Kajian Tarbawi - Kita Perlukan Allah SWT

Wednesday, April 28, 2010

Kita amat berhajat kepada Allah SWT


KAJIAN TARBAWI Edisi 3
Oleh : Abu Munzir
http://tinta-tarbawi.blogspot.com

KITA AMAT MEMERLUKAN ALLAH SWT


Putera-puteri harapan ummah yang dkasihi sekalian. Marilah kita melihat satu hakikat yang sangat besar dalam kehidupan, iaitu kita adalah para hamba yang faqir yang sangat-sangat memerlukan Allah SWT sedangkan Allah SWT adalah al Ghani, Yang Maha Kaya, yang tidak punya keperluan apa-apa.

Manusia hari ini majoritinya sangat jauh dari Allah sehingga tidak merasakan keperluan untuk menghubungkan diri dengan Allah. Mereka amat bergantung kepada makhluk yang sangat lemah tetapi terputus dari Allah Yang Maha Kuat.


Kita memerlukan Allah dalam urusan yang kita amat jahil, maka kita memerlukan hidayah dan petunjuk Allah


Kita memerlukan Allah dalam urusan yang kita punya pengetahuan tetapi tidak mampu untuk mengamalkannya. Maka kita perlu memohon keampunan serta bertaubat dari kelemahan dan kelalaian kita


Kita perlu sentiasa diperingatkan bahawa kita sangat perlu kekuatan dan bimbingan Allah untuk meninggalkan 'zhulumat' kegelapan jahiliyyah dalam masuk secara total ke dalam cahaya petunjuk Allah. Kita perlu ingat bahawa bila kita diseru untuk mentauhidkan Allah, berubudiyyah kepada Allah serta mentaati-Nya, Maha Suci Allah dari sebarang keperluan dan Allah Maha Agung dan Maha Besar, tidak memerlukan semua itu. Allah tidak sekali-kali memerlukan kita dan pengorbanan dan jihad kita. Kesemua itu adalah keperluan kita.


Sekiranya kita lalai atau enggan menunaikan hak-hak Allah yang telah ditentukan ke atas kita, maka Allah Maha Berkuasa dengan mudah untuk mencipta dan memilih kelompok baru untuk berubudiyyah kepada-Nya dan berjuang untuk menegakkan Deen-Nya.


Anak-anak yang dikasihi, marilah kita memohon dengan penuh rendah diri kepada Allah SWT agar dikurniakan dalam hati-hati kita rasa sangat berhajat kepada Allah SWT, khususnya keperluan kita agar hati kita dapat terus hidup dan mampu menghilangkan bahan-bahan cemar hati, rawasib , yang melumpuhkan dan mematikan hati. Hanya Allah sumber pertolongan dan perlindungan bagi kita.

Read more...

Ruh Tarbiyah Pejuang Ummah

Tuesday, April 27, 2010

Pejuang Palestin Yang Dikagumi


Ruh Tarbiyah Pejuang Ummah

Oleh : BroHamzah

Setiap pengalaman dan perkongsian yang saya lalui dalam kehidupan ini adalah sesuatu yang sangat saya hargai dan sayangi. Pengalaman hidup dan perkongsian perjalanan hidup manusia adalah unik dan ianya tidak diperolehi secara terus dari karyawan mahupun buku bercetak. Justeru, saya laziminya sangat menyukai setiap pengalaman hidup ini dikongsi dengan teman-teman dan sahabat-sahabat agar ianya hidup dan dirasai manfaatnya secara bersama.InsyaAllah.

Bersama, Seorang Pejuang Deen

27 April 2010, adalah tarikh yang sangat istimewa buat saya. Allah SWT mengizinkan saya bertemu dan menyelami kehidupan seorang pejuang yang bermatian-matian mempertahankan deen Allah SWT dan juga tanah air ummat Islam iaitu Bumi Palestin. Abu Mu’min, individu yang bertubuh sasa dan memiliki raut wajah yang dihiasi ketenangan dan kedamaian. Beliau adalah salah seorang insan yang dilahirkan di Bumi Palestin dan dibesarkan di Bumi Barakah itu. Alhamdulillah, dalam tempoh yang sangat singkat, Allah SWT mengurniakan kesempatan yang jarang saya perolehi. Kesempatan, untuk menilai diri dan diberi satu pengajaran yang sangat besar dalam hidup.

Abu Mukmin, dijemput oleh pihak HALUAN Kelantan untuk memberi sedikit perkongsian pengalaman hidup beliau dalam perjuangan membebaskan bumi Palestin. Semalam, dalam ceramah beliau di KTD, beliau banyak berkongsi kisah dan meniupkan semangat perjuangan kepada hadirin yang hadir untuk bersama-sama merasai hakikat kehidupan para pejuang dan pencinta kebenaran di Bumi Palestin. Saya kagum dengan semangat perjuangan mereka dan sudah tentu, mereka di sana telah menjalani satu proses yang panjang sehingga dapat melahirkan satu generasi pejuang dan penegak kebenaran yang tegar, berani, bersahsiah tinggi dan sangat soleh dari segi penampilan dan tindakan.

Alhamdulillah, jumlah kutipan semalam ialah RM 4,100. Satu kutipan yang sangat memberangsangkan kerana melebihi target yang diletakkan iaitu RM 2,000.

Rahsia menjadi ummah pejuang



Seorang sahabat saya menanyakan tentang rahsia pendidikan mereka dalam membentuk generasi muda yang beriman dan seterusnya mampu menjadi pejuang agama Allah SWT.



Wahai pemuda, kami mulakan semua ini dengan proses Tarbiyah Islamiyah. Proses menyemai keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT di dalam jiwa dan sanubari anak-anak kami yang masih kecil. Inilah ASAS utama kami. Tarbiyah Islamiyah.” Ujar Abu Mukmin.

Mendidik Remaja di Palestin

“ Setiap remaja di Palestin, akan mempunyai pertemuan mingguan secara berterusan. Dalam tempoh lebih kurang 2 jam, mereka akan di minta menghafal 10 ayat Al-Quran, menghafal 1 hadis Rasulullah SAW, berbincang 1 bab dari Sirah Nabi SAW, menambah maklumat pengetahuan tentang Negara Ummat Islam. Perkara ini berlaku secara konsisten sehingga lah kini.” Ceritanya lagi.

Proses penanaman Aqidah berlaku dengan teliti dan ianya adalah perkara pokok yang menjadi tunjang pembinaan generasi SYABAB di Palestin. Penyebaran Kefahaman Islam dan kesedaran Islam melebar secara meluas di Palestin sehingga jiwa-jiwa anak-anak muda terusik untuk bangkit dan menjiwai Agama mereka secara sedar dan bersungguh-sungguh. Mereka difahamkan tentang Halal dan Haram dalam Islam. Mereka juga diingatkan agar menjauhi perkara maksiat dan mungkar.



Saya begitu teruja dengan proses tarbiyah ini. Ia berlaku secara real dan perlaksanaan juga diteliti dan dipantau agar segala proses pembentukan asas ini benar-benar kukuh dan terpasak teguh dalam jiwa anak-anak muda Palestin.

Nasihat Buat Kami

Semalam, Abu Mukmin mengimami Qiamullail solat sunnat 2 rakaat, kemudian beliau memberi sedikit Tazkirah sebelum kami lelapkan mata jam 2.30 pagi.


“ Ana berpesan kepada kalian. Biasakan diri antum dengan Qiamullail walaupun hanya dengan 2 rakaat. Antum perlu sentiasa beriadhah untuk kekuatan fizikal, lazimi ibadah-ibadah sunnat dan beristiqamahlah antum.”



Katanya inilah kekuatan seorang mukmin. Beliau menceritakan, seorang ketua mereka yang telah Syahid Dr Rantisi, setiap malam akan mendirikan qiamullail 3-5 jam semalam, dan tidak pernah meninggalkannya dalam kehidupan beliau. Solat sunnat Dhuha dilazimi sentiasa dan selalu berzikir dan beristighfar kepada Allah SWT memohon keampunan kepada Allah SWT.

Sebelum pulang semasa saya dan sahabat saya, Abu Mujahid menghantar beliau ke Lapangan Terbang sekali lagi beliau berpesan :



“ Akhi, jangan tinggalkan Qiamullail dan perlu selalu riadhah. Setahun lagi jika kita berjumpa, antum akan merasai kelainannya jika antum laksanakan pesanan ini secara istiqamah. Jika gagal melaksanakannya, antum akan menyesal.” Beliau berpesan dengan bersungguh-sungguh.

Saya berkata :
“ Syukran Abu Mukmin, sehingga berjumpa lagi nanti.”


Beliau tersenyum dan menjawab : “InsyaAllah, Kita akan bertemu di syurga nanti.”

Read more...

Kajian Tarbawi - Selamilah Hatimu

Koreksi Diri, Muhasabah Hati


KAJIAN TARBAWI Edisi 2
Oleh : Abu Munzir
http://tinta-tarbawi.com





Pusat kebahagiaan itu terletak di hati. Apabila hati seseorang itu dipenuhi dengan cahaya keimanan sesuai dengan petunjuk Allah dan Rasul-Nya, dia akan bahagia di dunia dan akhirat. Sebaliknya, bagi mereka yang berpaling dari jalan Allah dan mengikuti jalan lain dengan konsepsi syaitan dan konco-konconya, pasti cepat atau lambat akan mendapat kesengsaraan dunia, apalagi di akhirat.

Majoriti manusia memberikan tumpuan kepada pelbagai sudut kehidupan kecuali yang paling memerlukan perhatian, malah perhatian yang paling teliti, iaitu HATI. Maka lahirlah mereka yang bijak tanpa RUH. Yang lebih teruk yang bodoh tanpa ruh.

Anak-anak yang dikasihi, berhentikan kehidupanmu sekejap dan selongkarlah hatimu, lihatlah apa yang engkau cintai, takuti dan harapkan. Jangan sekali-kali biarkan hatimu dipenuhi oleh segala bentuk kecintaan, ketakutan dan kebergantungan tetapi langsung tiada ruang untuk Allah.

Allah SWT berfirman (yang artinya), "Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, ...." (At-Taubah: 124).


Read more...

Kajian Tarbawi - Siri Tazkiyatun Nafs

Monday, April 26, 2010

Kajian tarbawi tidak terbatas hanya kepada akal manusia sahaja, tetapi juga meliputi seluruh fakulti keinsanan termasuk kajian kejiwaan manusia.

KAJIAN TARBAWI Edisi 1

Pengenalan

Kajian Tarbawi adalah salah satu wasilah proses Tazkiyatun Nafs yang diwujudkan di Kolej Teknologi Darul Naim yang dilaksanakan secara umum untuk para pelajar. Metodologi perlaksanaan adalah melalui penyampaian berbentuk perkongsian yang dikendalikan oleh Pengurus HEP KTD, Tuan Haji Rosdi Baharom (Abu Munzir) secara mingguan pada setiap Hari Isnin selepas solat Asar di KTD. Saya akan kongsikan serba sedikit Kajian Tarbawi Edisi Online yang ditulis sendiri oleh Abu Munzir ini sebagai bekalan untuk kita semua.

Kajian Tarbawi Edisi 1






Oleh : Abu Munzir
http://tinta-tarbawi.com


Anak-anak yang dikasihi, tiada seorangpun mungkin mencapai tahap taqwa sehingga dia memiliki sifat BENAR dan JUJUR atau memiliki AS SIDQU.

Apakah ertinya sidqu ini? Sidqu itu adalah benar dalam fikiran, benar dalam amalan dan perbuatan dan benar dalam perasaan hati. Benar semasa bersama dengan orang ramai dan benar pada ketika keseorangan. Walapun kita mampu sembunyikan dari mata, telinga dan pengetahuan manusia tetapi sudah pasti kita tak sembunyi dari pengetahuan Allah SWT Yang Maha Mengetahui.

Umar Abd Aziz telah berkata: "Tidak akan sampai seseorang itu ke tahap taqwa yang sebenar sehinggalah dia tidak lagi memiliki amalan atau perkataan yang membawa kepada keaiban kepada dirinya di dunia mahupun di akhirat."


Dan dia juga pernah ditanya" "Bilakah seseorang itu mencapai taqwa?




Umar Abd Aziz menjawab:

"Jika seseorang itu meletakkan semua yang ada dalam fikirannya dan segala yang ada dalam hatinya di dalam sebuah pinggan, dan diapun pergi berlegar-legar di pasar, dia tidak akan merasa aib terhadap apa yang terdapat dalam pinggan itu"

Read more...

Musafir Tarbawi

Sabah semakin subur dengan ruh Dakwah


Musafir Tarbawi

Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, hari ini 26 April 2010 Allah SWT memberikan keizinan dan kesempatan kepada saya untuk duduk seketika mengemaskini blog perkongsian saya yang tidak seberapa ini. 2 minggu yang lalu adalah 2 minggu yang terisi dengan pelbagai program dan pengisian. Perjalanan 5 hari ke Sabah, kemudian hampir seminggu lebih di Utara bersama team Marketing KTD serta sempat bertandang ke program Hijrah Menara Gading (HIMEGA’10) anjuran HALUANSiswa National di Bangi telah memberi pelbagai pengalaman untuk saya. Allamdulillah.

Sabah – Bumi yang subur dengan dakwah



Pertama kali menjejak kaki ke Sabah, hati saya diwarnai dengan pelbagai perasaan. Sebelum ini, Sabah hanya dikenali melalui cerita teman-teman, dokumentari di televisyen dan coretan dari media massa dan media cetak. Alhamdulillah, peluang ke Sabah adalah peluang untuk meluaskan lagi “pandangan” dan menambahkan lagi pengalaman hidup saya sebagai seorang hamba Allah SWT.

Kota Kinabalu, adalah destinasi saya bersama sahabat saya dan juga Murabbi saya Abu Umar. Misi kali ini adalah bersama-sama sahabat-sahabat HALUAN Malaysia di sana mengadakan sebuah program berbentuk perkongsian kehidupan dengan bertemakan “ Remaja Bersahsiah Mutiara Ummah.” Kali ini, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu menjadi tempat kami berbakti, mendidik dan berkongsi cerita.

Dengan perasaan penuh rendah diri, gembira dan terharu, saya mulakan setiap sesi bersama para pelajar tingkatan 3 dan 5 MRSM Kota Kinabalu yang bijak dan pandai. Senyuman dan jiwa yang dipenuhi perasaan untuk memberi segala pengetahuan dan perkongsia itu membuak-buak dan Alhamdulillah program selama 3 hari 2 malam berjaya dijalankan dengan lancar. Ucapan terima kasih kepada Cikgu Syed dan sahabat-sahabat HALUAN di sana ( Cikgu Rudi, Cikgu Jamal, Cikgu Rahman, Cikgu Ahad dan lain-lain). Semangat juang antum adalah masa depan untuk melebarkan kefahaman Islam di Sabah. Saya lihat, Sabah subur dengan sebaran dakwah islamiyah.

Marketing KTD

Seusai ke Sabah, saya pulang ke Semenanjung untuk bersama Team Marketing KTD untuk siri jelajah promosi KTD. Alhamdulillah, sepanjang itu jua saya bersama dengan Abu Ridhwan dan sahabat saya Ahmad Syukri dalam permusafiran ini. Abu Ridhwan tidak kekok untuk berkongsi pengalaman hidupnya dan syuurnya sentiasa membakar dalam jiwa saya untuk terus berkhidmat untuk deen Allah SWT.




Mungkin, di kesempatan yang ada saya boleh kongsikan pengalaman saya bersamanya.Paling menarik, beliau mencerita pengalaman hidup beliau ketika kecil yang diwarnai dengan kesusahan dan kepayahan. Pengalaman hidup beliau inilah yang mahal untuk dicari dan ditimba. Di sebalik kisah hidupnya, terdapat pengajaran yang boleh saya ambil.

Kesibukan terancang

“ Berbaloikah anta sibuk macam ini?,” Suatu hari ada pertanyaan yang singgah di telinga saya.



“ InsyaALLAH, kesibukan yang memberi kekuatan kepada ruh iman,” Jawab saya.
Saya sempat bersembang dengan Abu Umar berkaitan perkara ini. Dan beliau jua akui bahawa tahun ini beliau sangat sibuk. Namun, persoalan yang harus kita lihat adalah ke manakah kesibukan ini akan membawa kita?



Sejak di zaman IPT lagi, saya selalu pastikan masa kehidupan saya ini harus diisi dan disibukan dengan aktiviti yang membuahkan AMAL. Saya selalu diingatkan oleh sahabat-sahabat agar memastikan kesibukan ini adalah kesibukan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan erti kata lain, kesibukan ini harus dirancang dan pengisian haruslah tarbawi dan mendidik jiwa.



Memetik ungkapan Abu Umar dari Blognya :



Ketika berdepan dengan kesibukan yang luarbiasa ini saya sering ingat-ingatkan diri saya dengan pesanan Imam Al Ghazali; "orang yang rugi itu ialah orang yang terlalu sibuk tetapi segala kesibukannya hanyalah untuk dunia yang sementara". Kesibukan adalah saham Akhirat tetapi juga kecelakaan yang akan mengorbankan kebahagiaan dunia dan akhirat. Kesibukan ini jika tidak diuruskan akan menjadikan kita hilang matlamat hidup bahkan sampai saatnya, kehidupan itu sendiri bukan lagi milik kita.

Semoga kesibukan ini membuahkan amal. Sebagai bekalan yang akan menjadi peneman di hari pertemuan dengan Allah SWT.

Read more...

Motivasi Kejayaan ~ Tarbiyah

Monday, April 12, 2010

Kejayaan dan keberkatan hidup ada hubung rapatnya dengan proses Tarbiyah


“Motivasi untuk ana berjaya adalah TARBIYAH”
Oleh : BroHamzah

Hujung minggu lepas ketika di Perlis, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bersembang-sembang dengan salah seorang Murabbi Tarbiyah yang sangat saya segani iaitu Dr Azizan Ahmad. Beliau adalah salah seorang tokoh akademik yang menjadi inspirasi dan contoh buat saya sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Sewaktu di sekolah menengah, beliau banyak membantu saya dan rakan-rakan terutamanya dalam mata pelajaran “ Kimia”. Setiap bulan, walaupun sibuk beliau akan turun ke sekolah saya untuk membantu kami untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan terhadap ilmu kimia dan juga banyak memberi panduan dalam pentarbiyahan diri kami.

Dr Azizan Ahmad, adalah seorang yang bersemangat dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Walaupun orangnya biasa sahaja, tetapi setiap kali mendengar penyampaiannya pasti jiwa kita terbangkit dan jiwa menjadi berkobar-kobar. Dengan gaya yang bersahaja dan kelantangan dalam berbicara, kalimah yang dilontarkannya mampu mengugah jiwa yang mendengari setiap ucapan dan ceramahnya. Kini, beliau juga semakin dikenali sebagai pakar motivasi dan banyak memberi khidmatnya terutamanya dalam membantu pelajar sekolah menengah dan pelajar IPT di seluruh Malaysia.

Kehidupan yang susah, mematangkannya

“ Ana datang dari keluarga yang susah,” Dr Azizan pernah memberitahu saya dan rakan-rakan tentang latar belakang keluarga dan kisah hidupnya.



Bergalaskan cita-cita ingin menjadi seorang guru dan pendakwah, putera sulung ini turun dari rumah nenek tirinya dan tabah melangkah ke sekolah dengan sepasang kasut plastik. Perjalanan ke sekolah sejauh 2 KM bukanlah halangan yang membebankan jiwanya tetapi ditempuhinya dengan hati yang girang dan penuh bahagia. Tanpa bantuan pengangkutan motor mahupun kereta, beliau pergi dan ulang alik ke sekolah tanpa rungutan.

Sesekali hari hujan, daun pisang di tengah perjalanan menjadi peneman dan peneduh diri. Baju sekolah yang hanya sepasang perlu cermat dilindungi agar tidak basah dan dicemari. Selepas tamat sesi persekolahan, insan yang berjiwa besar ini belajar berdikari dengan mencari ikan atau menjual ais krim untuk menjana sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan diri.



Lahir dalam sebuah keluarga miskin mematangkannya mengenai erti dan sebuah hakikat kehidupan seterusnya menyemarakan keazamannya untuk terus menggapai kejayaan hidup. Ayahnya seorang pemandu bas dan ibunya pula seorang ustazah dengan gaji RM 28 sebulan. Tiga beranak ini tinggal di rumah sewa yang selayaknya di panggil pondok buruk di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Dengan bantuan jiran-jiran berhati pemurah, kehidupan mereka sedikit sebanyak menjadi mudah.

Kerana kesempitan hidup, dan kehadiran seorang anak perempuan dalam keluarga mereka menyebabkan ibu bapa Dr Azizan terpaksa menyerahkan putera sulung mereka ini kepada nenek tiri mereka dari usia 12 bulan sehinggalah 12 tahun. Selama itulah, Dr Azizan dijaga dan diasuh oleh neneknya. Namun jauh di sudut hatinya sangat merindui keluarganya dan titipan doa sentiasa ditadahkan ke hadrat ilahi. Tiada langsung sekelumit dendam yang disimpan pada ayah dan ibunya memandangkan beliau sedang tindakan mereka hanya kerana desakan hidup. Walaupun berjauhan, Dr Azizan dapat merasakan aura kasih sayang ayah dan ibunya.

“ Ana kongsikan kisah ana ini sebagai iktibar buat antum semua,” ucap beliau kepada kami sekelas ketika saya tingkatan 4 dahulu. Dulu, beliau dikenali dengan panggilan “ Cikgu Azizan”. Mendengar kisah beliau, menyebabkan ada sebahagian daripada kami sebak. Kisah beliau amat menginspirasikan kami!

Hasilan sebuah keperitan

Berkat usaha dan kesungguhannya, kejayaan demi kejayaan berjaya dikecapi bermula sekolah rendah sehinggalah ke peringkat berkerjaya. Sekolah Men. Dato’ Syed Umar, Sekolah Men Sultan Abdul Halim dan Kolej Islam Sultan Alam Shah pernah menjadi saksi kejayaan dan kecemerlangannya dalam bidang akademik dan juga sahsiah. Dikenali sebagai budak pintar dan juga terkenal di kalangan guru sebagai aktivis aktiviti kerohanian.

Dr Azizan terus mencipta kejayaan di gerbang menara gading. Beliau merangkul pelbagai anugerah seperti Anugerah Dekan empat tahun berturut-turut, Anugerah Biasiswa Kanan UKM empat tahun berturut-turut, Tokoh Muslim UKM 1996, Anugerah Mahasiswa Kimia Terbaik Malaysia 1996, Anugerah Sains Muslim Terbaik Malaysia dan sebagainya. Saya secara peribadi amat terpegun dengan kejayaannya. Pernah suatu hari selepas kelas kimia semasa tingkatan empat, saya cuba tanyakan rahsia kejayaan Dr Azizan sehingga mendapat pelajar terbaik semasa di Universiti.

“ Rahsia kejayaan cikgu dalam akademik ialah Tarbiyah,” Jawab beliau dengan mudah.

Sewaktu saya di Universiti Malaya dahulu, saya juga pernah bertemu dengan Dr Azizan dalam satu Seminar Kesejahteraan Mahasiswa. Sewaktu itu saya menjadi panel forum bersama dengan Dr Azizan. Saya ajukan juga soal yang sama semasa sesi kudapan pagi seusai forum.

“ Motivasi kejayaan ana ialah tarbiyah,” Jawab beliau dengan yakin dan bersemangat.

Semasa bertemu dengan beliau pada hujung minggu lepas, ketika berbicara tentang kejayaan pelajar dewasa ini, beliau juga menekankan tentang tarbiyah.

“ Bagi ana, untuk meraih kejayaan dalam apa jua bidang ia mesti bertunjangkan Tarbiyah,” Jawapan beliau tetap sama seperti 8 tahun yang dahulu.

Nasihat Untuk Remaja

Saya pernah membaca sebuah artikel yang ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin seorang novelis islamik terkenal Malaysia tentang kisah Dr Azizan dalam Majalah SOLUSI isu no 7.
Antara nasihat Dr Azizan untuk remaja ialah : “ Binalah personaliti diri dengan pandangan hidup yang jelas bermatlamatkan Allah SWT dan berasaskan ilmu, kemahiran dan sikap.”

Saya pernah dibimbing di bawah Dr Azizan suatu masa dahulu ketika di zaman IPT sebagai fasilitator di bawah program kelolaannya. Banyak tunjuk ajar dan nasihat beliau yang sangat berguna buat saya.

“ Anta, kena jelaskan matlamat dan jaga Tarbiyah anta setiap waktu dan ketika. Jangan biarkan jahiliyah kuasai diri anta. Sibukan diri. Biar sibuk dengan amal islami!,” Nasihat Dr Azizan kepada saya.

Seorang aktivis Dakwah yang sentiasa sibuk

Dr Azizan Ahmad adalah seorang aktivis kebajikan yang sangat sibuk. Beliau banyak memberi ceramah dan juga mengadakan program di pelbagai tempat dan pelbagai sasaran audiens. Namun, beliau tetap menegaskan bahawa seseorang itu harus menjaga hubungan dirinya dengan Allah SWT sebagai tunjang utama proses pembaikan diri.

“ Ini asas. Anta tidak boleh tinggalkan tarbiyah. Jika tidak, anta akan lemah dan lemah..” Katanya lagi. Nasihatnya sangat menekankan tentang asas keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT.

“ Sebagai muslim dan juga dai, pengurusan masa dangat penting. Kita hajat, seseorang yang bijak mengurus masa dan mampu membuat banyak kerja dalam 1 masa. Inilah yang kita namakan dai yang proaktif dan produktif.” Ujarnya lagi.

Seorang penceramah punyai daya tarikan tersendiri

Antara kekuatan dan tarikan yang ada pada Dr Azizan ialah beliau mampu menarik perhatian audiens yang mendengar ceramah dengan baik sekali. Gaya yang bersemangat, santai, kekadang di selang seli dengan jenaka ringan dan pengisian yang menyentuh hati menyebabkan ramai di kalangan pelajar sangat sukakan ceramah Dr Azizan. Saya pernah bertanyakan tips kepada beliau bagaimana untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan berceramah.
Kata beliau :

“ Kuatkan hubungan dengan Allah SWT dan jaga keikhlasan hati. Itu yang utama. Kemahiran yang lain, akan menyusul kemudian dari semasa ke semasa.”

Penutup Perkongsian

Dr Azizan Ahmad adalah seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Pernah menjadi cikgu Kimia saya.Pembimbing saya dalam mengendalikan program remaja. Dan juga mentor dakwah dan tarbiyah bagi saya. Semangatnya sentiasa membakar jiwa saya untuk terus memelihara tarbiyah diri dan mengembangkan dakwah islam ke seantero dunia.

Pernah beliau kata kepada saya :

“ Anta percaya tak? Suatu hari nanti ana akan jadi somebody di Malaysia,” Katanya sambil tersenyum.

“ Jadi somebody. Jadi apa itu, Doktor?,” Soal saya kehairan.

“ Menjadi seseorang yang akan mengegarkan bumi Malaysia dengan dakwah & tarbiyah,” Katanya dengan penuh bersemangat.

Read more...

Duduk sebentar, Kita Beriman Sejenak

Sunday, April 11, 2010

Beriman di mana-mana sahaja , tidak terbatas di sesuatu tempat tertentu

MARI KITA DUDUK SEBENTAR. KITA BERIMAN SEJENAK

Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah baru selesai daripada permusafiran ke Utara pada minggu lepas. Syukur dapat bertemu para murabbi dan sahabat-sahabat yang banyak mendidik dan memberi kalam nasihat. Sungguh, seorang mukmin itu salah satu dari kenikmatan dan kegembiraan baginya ialah bertemu dengan jiwa-jiwa mukmin yang di dalamnya hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Saya mengajak diri saya.
Dan diri kalian untuk sama-sama kita mengkoreksi diri.
Melihat diri akan hakikat keimanan kita kepada Allah SWT.

Para mukmin sentiasa terdedah kepada dua tarikan.Tarikan pertama ialah tarikan keimanan, niat, kesungguhan dan kesedarannya terhadap tanggungjawab. Dengan itu dia berada dalam amal soleh dan azam kebaikan.

Tarikan kedua pula ialah tarikan syaitan pula dari sudut yang lain, menghiasi futurnya dan menghiasi cintanya kepada dunia. Menyebabkan dia berada dalam kelalaian, malas, panjang angan-angan dan berlengah-lengah dalam mempelajari apa yang tidak diketahuinya. Berulang-alik di antara kedua-dua tarikan ini adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Allah, tidak akan berhenti, terus berlaku.

Oleh kerana itulah, orang-orang yang beriman telah mewajibkan kepada diri mereka untuk menghadiri majlis-majlis tafakkur dan saling nasihat-menasihati di antara satu sama lain. Memeriksa diri daripada dihinggapi penyakit takabbur atau menolak kebenaran. Memeriksa hati daripada diselubungi penyelewengan. Memeriksa ilmu dan iman daripada tergelincir yang membawa kepada bid'ah atau kecuaian yang membawa kepada meninggalkan mana-mana perintah Allah dan petunjuk.

Mu'az bin Jabal telah menterjemahkan perasaan ini dengan satu perkataan yang
telah menjadi satu fasal daripada perlembagaan orang-orang yang beriman. Beliau telah berkata ketika mengingatkan sahabatnya:

(Marilah kita duduk untuk beriman sejenak).

Perkataan ini telah diambil oleh Ibnu Rawaahah, lalu ia berkata kepada Abu ad-Dardaa’ RA sambil memegang tangannya:

(Marilah kita beriman sejenak. Sesungguhnya hati lebih cepat berbolak balik daripada isi periuk yang sedang menggelegak).

Lalu kita mengambil perkataan ini daripada mereka berdua. Kita menyeru para mukmin muslim untuk duduk sejenak dengan setiap nasihat untuk ia beriman dan mengkaji diri, ilmu dan kesungguhannya.

Musafir kali ini, saya sempat bersembang dan bertemu dengan seorang lagi Murabbi yang banyak mendidik dan memotivasikan saya sewaktu sekolah menengah dan IPT. Individu yang saya maksudkan ialah Dr Azizan Bin Ahmad. Jika berkesempatan, saya akan kongsikan serba sedikit pengalaman bersamanya.InsyaALLAH.

Read more...

Jika itulah yang kamu harapkan

Wednesday, April 7, 2010

Selamat Penganti Baru buat sahabatku Ustaz Hafiz dan pasangannya, Nur Fathin


Sedikit Perkongsian ; Jika itulah yang kamu harapkan


Suatu hari, saya mendapat satu perkongsian kisah daripada seorang sahabat saya. Kisah ini saya dedikasikan buat teman-teman dan sahabat-sahabat saya yang berada di Kolej Teknologi Darul Naim, yang setia berkorban mendidik anak bangsa dan bersiap sedia melaksanakan tugas tanpa mengira masa, waktu dan ketika. Khususnya yang masih bujang. ( Ustaz Zul, Sir Irwan, En Nizam, En Muadz, En Khalil, En Kamarudin, En Umair, En Asri dan lain-lain) . Kisah ini khusus buat kalian.


Ini adalah Sebuah kisah tentang dua orang sahabat yang telah lama tidak bertemu. Suatu hari mereka kembali bertemu disebuah tempat, pertemuan ini membuat keduanya begitu bahagia, mengingat keduanya Ini adalah sahabat yang sangat erat hubungannya.

Mereka pun saling berbincang, bergurau senda, dan bernostalgia tentang kisah indah persahabatan mereka di masa lalu, hingga akhirnya pembicaraan mereka sampai kepada kehidupan mereka saat ini .


Lalu salah satu dari mereka bertanya kepada sahabatnya,


“ Mengapa hingga hari ini kau belum menikah?"


"Aku ingin mencari wanita terbaik untuk menjadi isteriku,"


"Lalu apakah kau telah menemukannya?"


"Dulu, aku pernah bertemu dengan seorang wanita, dia adalah wanita yang cantik dan cerdas, hingga aku yakin dialah yang terbaik untuk menjadi isteriku, namun setelah mengenalnya cukup lama, ternyata dia adalah wanita yang sombong. Aku tidak jadi menikahinya kerana dia bukan wanita terbaik untukku. Setelah itu, aku kembali bertemu dengan seorang wanita yang cantik, baik, solehah, dermawan & rendah hati. Hatiku mengatakan dialah wanita terbaik yang telah dipilihkan Allah untukku".

"Lalu mengapa kau tidak menikahinya?".


Ia terdiam sejenak saat sahabatnya menanyakan hal itu, tak lama kemudian barulah ia kembali buka suara dan mengatakan :


" Kebelakangan ini barulah ku tahu, ternyata ia sedang mencari laki-laki terbaik utk menjadi suaminya".

Pengajaran kisah ini, sebelum kita mencari yang terbaik, jadilah yg terbaik lebih dahulu. Kerna lelaki yang baik hanya untuk wanita yang baik. Begitupun sebaliknya.


Read more...

Nota Tarbiyah : Perlu Kembali Kepada TIH

Tuesday, April 6, 2010

Tarbiyah perlu disemai sejak daripada kecil lagi


Nota Tarbiyah ; Perlu Kembali Kepada Tarbiyyah Islamiyyah Harakiyyah.

Al Imam asy Syahid Hasan al Banna telah menyedari hakikat ini dan merasai bahawa
“umat ini semestinya kembali bangkit, namun khazanah (aset) umat ini untuk kembali telah terkuras habis, kecuali satu: itulah pemuda!”

Hasan al Banna telah mengungkapkan kata-kata: “nahnu fi ‘asyri at taqwin, fakawwinu anfusakum ( kita sekarang sedang berada di abad pembentukan peribadi, maka bentuklah diri kalian masing-masing).”

Umat yang serba lemah ini tidak mungkin mampu bangun dan berjuang untuk membangunkan semula Islam tanpa melalui proses Tarbiyyah Islamiyyah yang sebenarnya, sebagaimana Rasulullah s.a.w. telah membangunkan generasi al Qur’an yang unik tersebut.

Imam Hasan al Banna menyedari bahawa tarbiyyah ini jalannya panjang dan kesulitannya banyak. Hanya sedikit orang yang sabar menempuh jalannya yang panjang dan kesulitannya yang banyak , iaitu orang yang berkemahuan keras. Tetapi Hasan al Banna yakin pula bahawa tarbiyyah itulah satu-satunya jalan yang dapat menyampaikan kepada tujuan dan matlamat islami dan tidak ada jalan lain.

Asy Syeikh Mustafa Masyhur telah berkata:
“Tarbiyyah bukanlah segala-galanya, tetapi segala-galanya tidak akan dapat diraih kecuali melalui tarbiyyah”.

Oleh itu untuk kita membangunkan individu muslim yang berkemampuan untuk mendukung Risalah Ilahi dan seterusnya membangunkan rumah tangga da’wah dan terbangunnya masyarakat yang diredhai Allah dan kita tidak ada pilihan lain melainkan melalui proses Tarbiyyah Islamiyyah harakiyyah.

Pengertian Tarbiyyah Islamiyyah

Tarbiyyah dari segi bahasa berasal daripada perkataan Arab yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Manakala dari segi istilah, perkataan Tarbiyyah membawa pengertian cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa keteladanan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.

Tarbiyyah Islamiyyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber Rabbani. Atau dalam pengertian yang lebih khusus Tarbiyyah Islamiyyah bererti proses mempersiapkan individu dengan persediaan yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya, meliputi: ruhani, jasmani dan aqli (akal fikirannya). Ianya bersifat integral dan komprehensif.

Tarbiyyah Islamiyah adalah proses penyediaan manusia yang soleh , yakni agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, matlamat, ucapan dan tindakannya secara menyeluruh. Keseimbangan di sini bermaksud jangan sampai kemunculan suatu potensi menyebabkan lenyapnya potensi yang lain. Dengan proses tarbiyyah inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah s.a.w. sehingga berjaya melahirkan Generasi Rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

(Ali ‘Imran: 110)

Read more...

Konsert Shoutul Harokah ~ Nantikan!!

Monday, April 5, 2010


Read more...

Bahagia menjadi Ibu dan Ayah

Abah dan Emak - Tetap tabah membesarkan dan mendidik kami 10 orang


Bahagia menjadi Ibu dan Ayah
Oleh : BroHamzah

Tanggungjawab seorang ibu dan ayah sangatlah besar dan amanah menjadi ibu dan ayah juga amatlah berat. Namun, perasaan menjadi seorang ibu dan ayah adalah pengalaman yang sangat manis bagi seorang wanita yang di dalam hatinya ada nilai keinsanan dan sentuhan kasih sayang.

Anak yang nakal



“ Emak, dalam ramai-ramai anak mak yang sepuluh orang ini. Siapa yang paling nakal dan memang susah mak hendak jaga waktu kami kecil-kecil dulu,” Soal saya kepada emak saya.



“ Kenapa Ali nak tahu?,” Jawab Emak saya ringkas.


“ Ada la,” Saya senyum.



“ Dalam 10 orang anak mak ini. Ali lah yang paling nakal, dan paling susah mak nak jaga,” Jawab mak saya.



Mendengar jawapan emak saya, saya tersengih dan tersenyum lebar. Ia menyebabkan saya terkenangkan zaman saya sewaktu kecil dulu.


“ Ali ini kalau menangis, satu kampung boleh dengar kuatnya suara tangisan tu. Kalau hendak satu benda, tapi kalau mak atau abah tak bagi, Ali akan mengamuk sepahkan satu rumah,” Cerita emak saya lagi.



Saya pernah ingat dulu, masa kecil-kecil mak selalu menangis disebabkan kenakalan dan karenah saya yang beragam. Jika diingatkan balik zaman kanak-kanak, saya adalah anak yang agak sukar dididik dan dibentuk. Mungkin juga, saya ini anak sulung. Emak dan Abah saya masih belajar proses mendidik anak-anak. Kiranya saya ini experiment.

Ketabahan mendidik

Tetapi, emak saya tidak pernah jemu mendidik saya. Setiap hari diulangnya perkara yang sama.



“ Ali, kalau nak minum kena duduk. Nak sopan, dan Allah SWT suka,”



“ Lepas Maghrib ini, baca Al-Quran dengan mak.”



“ Malam ini, mak cerita kisah Nabi Musa.Kita sambung yang semalam.”


“ Sebelum tidur, buat dulu kerja rumah sehingga selesai.”



Inilah peringatan dan ayat-ayat yang selalu diungkapkan oleh Emak saya. Setiap hari, mesti kena baca Al-Quran, setiap hari kena baca Bismillah bila hendak makan. Hampir setiap malam, saya akan diceritakan oleh Emak kisah-kisah Rasul, para sahabat atau kisah Ulamak.



Yang saya hairannya, emak saya tidak pernah jemu melakukan semua ini.



Tiada kebosanan dalam hatinya



Malah, jarang sekali merungut dalam melakukannya

Ketegasan dalam membentuk



Abah saya pun sama juga. Dalam rumah kami, ada peraturan. Dahulu, kami perlu balik ke rumah sebelum jam 6.30 petang. Kata abah, kena siap mandi dan bersiap untuk solat Maghrib. Jika tidak, kami akan dapat hadiah yang special.



Zapp!!



Satu rotan yang bersaiz sederhana singgah ditapak tangan saya.


“ Kan, Abah dah bagitau. Kena balik awal ke rumah. Kenapa tak faham-faham lagi,” Suatu hari, Abah tinggi suara dan saya kena hukuman. Hari tu, saya balik rumah lewat sangat. Terleka tengok televisyen cerita Doremon kat rumah kawan. Masa itu, tv di rumah saya rosak .

Selalu sahaja, saya akan mengikut abah saya ke surau untuk solat Maghrib dan Isyak di Surau. Walaupun ketika itu bukan solat yang menjadi target saya, tetapi proses pembentukan ke arah pembinaan untuk menjadi seorang mukmin muslim itu telah dibentuk.

Cabaran mendidik anak-anak



Saya selalu sahaja ponteng kelas membaca Al-Quran, sehingga terpaksa tukar sehingga 3 orang tok guru. Kerana sikap saya yang sangat malas, abah saya terpaksa tunggu di depan pondok surau tempat saya membaca Al-Quran. Kalau abah saya tidak ada di situ, itulah kegembiraan bagi saya.

Namun, semua ini tidak pernah mematahkan semangat emak dan abah saya dalam mengasuh dan mendidik saya.



“ Ali kena tunjukan contoh kepada adik-adik. Ali kan abang sulung. Mak, harap juga Ali dapat bantu mak dan abah dalam mendidik adik-adik yang lain,” Pesan mak saya kepada saya.



Dorongan, sokongan dan doa tidak pernah putus, malah emak dan abah saya tetap gigih dan berusaha keras dalam mendidik saya dan adik-adik.

Berkat usaha dan doa yang tidak putus-putus, adalah menjadi kekuatan dalam proses pendidikan ini. Segala cabaran, ujian dan dugaan dalam mendidik anak-anak dihadapi dengan kekuatan ini. Sering kali kita lihat ramai ibu bapa mengalir air mata mereka apabila anak-anak mereka tidak menjadi seperti yang diharapkan. Malah inilah dugaan yang sangat perit untuk dihadapi.

Bahagia menjadi Ibu dan Ayah

Dewasa ini ramai yang tertekan dengan kewajipan menjadi seorang ibu dan juga seorang ayah. Kepenatan, keletihan, tekanan dan segala bentuk ujian yang akan dihadapi dalam proses mendidik anak-anak. Namun, ketahuilah wahai ibu dan ayah, tugas dan amanah inilah yang akan memberi kemuliaan kepada seorang ibu dan ayah, sekiranya ia dilakukan dengan tuntutan keimanan kepada Allah SWT.

“ Emak, bahagia ke menjadi seorang “ibu”?,” Saya pernah menyoal emak saya dengna soal ini.



Apa jawapan emak saya.



“ Bahagia , kerana emak sememangnya berhajat dan ingin menjadi seorang “ibu”. Jawapan ringkas tetapi mendalam maksudnya.



Berhajat mempunyai anak dan generasi pewaris. Berhajat untuk mendidik anak-anak mengenal Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan. Walaupun susah, payah dan pelbagai masalah yang hadir. Ia umpama penghias kepada jalur-jalur kehidupan seorang ibu. Mungkin, jawapan emak saya adalah MINDSETTING yang perlu ditanam dalam pemikiran semua ibu yang ada. Ia itu hajat dan keinginan untuk menjadi IBU itu ada dalam jiwa dan hati.



Sungguhpun menjadi seorang ibu itu amat meletihkan, namun yakinlah bahawa di sana terdapat ganjaran yang besar sedang menanti. Ciuman “terima kasih”, tinta biru yang bertulis “ Saya sayang ibu”, kiriman SMS secara berkala dan hadiah istimewa daripada anak-anak adalah umpama hadiah yang luar biasa yang sangat membahagiakan.



Malah, ada ganjaran yang sangat besar dan luar biasa daripada Allah SWT, iaitu dosa-dosa kita akan jatuh berguguran di saat kita merawat dan menjaga “buah hati” kita dengan ikhlas serta penuh kasih sayang.

Untuk anak-anak yang punyai ibu dan ayah

Saya cuma ingin kongsikan buat kalian yang masih punyai ibu dan ayah, sayangi dan hargailah mereka tatkala mereka masih bersama kita. Hormati dan cintailah mereka. Taatilah mereka dengan sepenuh jiwa dan raga.



Rasulullah saw juga ada menyentuh tentang keperluan dan keutamaan berbuat baik kepada ibu bapa (birrul walidain). Sabda Baginda SAW :




Maksudnya :



Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata : Aku bertanya kepada Nabi saw : Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah Ta’ala ?


Jawab Baginda : Solat pada waktunya.


Aku bertanya lagi : Selepas itu ?


Sabda baginda : Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.


Ku bertanya lagi : Selepas itu ?


Baginda menjawab : Berjihad di Jalan Allah.


Di dalam hadis di atas, jelas menunjukkan suruhan dari Baginda SAW untuk berbuat baik kepada mereka, malah kelebihan dan fadlilat mereka lebih dari keluar berjihad fisabilillah. Imam Al-Qurtubi ada berkata berkenaan hadis ini :



“ Rasulullah saw menerangkan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah amalah yang paling afdhal selepas solat, yang mana ia (solat) adalah semulia-mulia tonggak agama islam. Lafaz ثم di dalam hadis menunjukkan kepada tertib .”

Read more...

Terkini Perkembangan Sahabat Kita

Sunday, April 4, 2010

Kertas Mahjung yang tertulis kata-kata semangat dan doa khusus untuk Suhaib daripada pelajar dan staff KTD


Terkini ; Perkembangan Sahabat Kita
Oleh : BroHamzah

Jumaat lepas, Saudara Shuib Shaifee menelefon saya. Saya rasa sangat gembira apabila dapat mendengar suara walaupun percakapannya masih kedengaran lemah.


“ Abang Ali, InsyaAllah ana akan keluar hospital esok (sabtu),” Kata Suhaib kepada saya.

“ Alhamdulillah,” Jawab saya ringkas. Sempat juga saya bertanya khabar dan memberinya kata-kata semangat. Saya sengaja tidak mahu bercakap lama dengannya kerana bimbangkan kondisinya. Setahu saya doctor tidak galakan Suhaib bercakap terlalu kerap kerana rahangnya masih dalam proses pemulihan dan rawatan.


Kecekalan dan ketabahan beliau, berat mata kita memandang berat lagi bahunya memikul dan menghadapi semua dugaan ini


Cuma, saya sebagai seorang sahabat kepadanya sangat kagum dengan ketabahan dan kecekalannya. Saudara pembaca boleh membaca sedikit coretan berkaitan Suhaib di dalam blog Saudara Afdholul Rahman , yang baru sahaja menziarahi beliau baru-baru ini.

Semoga Allah SWT berikan kekuatan dan keredhaannya kepada kita semua. Saya sertakan juga gambar terkini Suhaib yang saya perolehi daripada Ustaz Muzakkir Che Ani.

Read more...

Saranan Buat Mu Wahai Pemuda

Saturday, April 3, 2010

Dr Abdullah Naseh Ulwan ; Ulama' Muktabar yang sentiasa berjiwa muda


Saranan Buat Mu Wahai Pemuda

Antara Tokoh Ulamak Muktabar yang saya kagumi dan contohi adalah Dr Abdullah Naseh ‘Ulwan. Beliau banyak menulis buku untuk golongan pemuda dan penulisan sangat dekat dengan jiwa pemuda.

Pada amatan saya, Dr Abdullah Naseh ‘Ulwan ini mempunyai gaya penulisan yang sistematik dan bahasa jelas dan terang. Antara buku beliau yang sangat saya sukai ialah sebuah buku yang bertajuk “ Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi”. Tulisan buku ini pernah menjadi perbincangan saya dan rakan-rakan semasa di IPT suatu masa dahulu.

Saya kongsikan juga salah satu saranan beliau untuk kita semua. Semoga membakar semangat agar ia sentiasa membara sehingga menghasilkan amal yang nyata.

Peranan Pemuda Di Dalam Menyampaikan Risalah Islam
Oleh Dr Abdullah Naseh `Ulwan

Wahai pemuda-pemuda Islam!
Kamu sangat-sangat dituntut supaya bekerja dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh. Rasa malu, silu, malas, segan dan sifat tunggu dahulu, jangan dibiarkan wujud sama sekali di dalam jiwa kamu. Terus maralah kamu untuk berdakwah ke jalan Allah.

Sampaikanlah risalah Islam yang kamu bawa ini kepada manusia. Semuga dengan usaha ini terukirlah pula zaman kegemilangan Islam, sebagaimana yang telah dicatat oleh sejarah. Kamulah semua satria pembawa Risalah. Tulang belakang ummah mulai dan sekarang hingga ke hari muka.

Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupa suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan belia-belia Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi.

Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan belia adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.

Di sebalik keagungan dan ilmu ketamaddunan Islam, maka kita dapati generasi belialah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu hebat, hinggakan Keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat kagum sekali. Mereka tidak tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus berusaha, bekerja dan berJihad untuk berdakwah ke jalan Allah, hatta tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni itu...

Duhai pemuda-pemuda Islam! Sem0ga kamu semua akan menjadi perwira Islam. Perwira yang kenal agamanya yang unggul, yang beribadat dan berJihad, memperbaiki kekurangan diri sendiri di samping berdakwah ke jalan Allah. Inilah golongan pemuda yang bersifat mulia lagi terpuji. Golongan inilah yang tidak sanggup dicemar dan dikeji. Kesudahannya zaman Keagungan Islam akan kembali. Negara Islam yang diimpi-impikan oleh setiap penganutnya akan tegak semula di atas daya usaha satria pemuda. Allah Maha Mulia lagi Pengasih. Dia akan memberi kemenangan kepada sesiapa yang Dia sukai.

Saya doakan, semoga Allah jadikan kita seperti golongan yang mendengar ucapan dan disusuli dengan amalan. Semuga Allah jadikan kita seperti para-para da’i yang bekerja dengan tulus ikhlas, demi untuk menyampaikan risalah Islam. Kita tidak gentar dengan sesiapa pun. Hanya kepada Allah saja sebaik tempat kita bergantung dan meminta. Saya sudahi dengan memuji Allah, Pentadbir semesta alam.

(Surah Al Maaidah, Ayat 55,56 )

“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, RasulNya, dan orang- orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”

Read more...

Nota Tarbiyah : Jemu dengan Tarbiyah?

Thursday, April 1, 2010

Tarbiyah Tanpa Dakwah, Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.



Nota Tarbiyah : Jemu dengan Tarbiyah?


Kenapa Jemu Dengan Tarbiyah

Kita telah lama duduk dalam Medan Tarbiyah. Kita kadang-kadang rasa jemu dengan Tarbiyah. Kenapa ?

Ini merupakan persoalan yang perlu kita renungkan dan cari jawapannya. Jika kita benar-benar meyakini jalan yang kita lalui sekarang iaitu jalan Tarbiyah dan Da’wah. Persoalan ini jika tidak dijawab ianya mungkin akan melemahkan dan menyebabkan kita rasa jemu untuk terus duduk dalam Medan Tarbiyah. Kita mungkin tidak dapat Istiqamah dalam Medan Tarbiyah.

Mustafa Masyhur menyebut;
“Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyah.”

Ini menjelaskan kepada kita bahawa Tarbiyah bukan matlamat/Ghayah kita tetapi merupakan wasilah untuk kita mencapai Ghayah Kubra iaitu Mardhatillah. Tarbiyah adalah wasilah utama untuk kita sampai kepada matlamat kita. Tanpa melalui proses tarbiyah kita tidak akan sampai kepada matlamat yang dicitakan.

Proses tarbiyah ialah proses untuk mempersiapkan rijal-rijal yang akan mendokong Deen Allah swt. Hanya melalui tarbiyah, peribadi mukmin akan dibina; iaitu peribadi yang menyedari dan merasai tuntutan-tuntutan iman kepada Allah SWT.


Jalan yang berliku


Sebagaimana juga Dakwah, Jalan Tarbiyah ialah jalan yang panjang dan mempunyai banyak tahapan. Jika kita hanya berada di satu tahapan sahaja tanpa ada peningkatan maka kita akan merasa jemu dengan tarbiyah. Namun begitu untuk meningkatan diri kita dari satu tahap ke satu tahap yang lain kita perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Akan tetapi yang pastinya tarbiyah menuntut kepada amal; iaitu amal yang akan membuka hijab kita kepada suatu dimensi baru dalam tarbiyah. Suatu dimensi yang hanya akan dirasai oleh mereka-mereka yang telah beramal dengan fikrah yang ada padanya.

Berada dalam tarbiyah bukan bermakna kita hanya berada dalam lingkungan halaqah mahupun usrah sahaja, menyalin dan mencatat ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Murabbi semata-mata, merakam mutiara kata yang dituturkan oleh sang dai’ sahaja tetapi ia adalah membumikan segala fikrah dan tarbiyah yang diperolehi secara nyata dalam kehidupan seharian.

“ Proses tarbiyah berlaku dalam kehidupan sehingga menjadi malakah ( darah daging).” Pesan seorang Murabbi.


Perlunya kepada peningkatan

Di sinilah akan berlakunya satu peningkatan dalam proses tarbiyah. Ini adalah kerana tarbiyah kita ialah Tarbiyah Mas’uliah. Kita tidak ditarbiyah hanya untuk menjadi penyokong Islam ataupun pemidato-pemidato, penceramah-penceramah atau pensyarah-pensyarah yang boleh melemparkan kata-kata yang boleh menyebabkan manusia ta’ajub dengan Islam.



Tetapi Tarbiyah kita ialah untuk melahirkan pendokong-pendokong Islam atau Rijal-Rijal Aqidah yang akan mengubah suasana yang mungkar kepada suasana yang ma’aruf dengan penuh keikhlasan dan menggunakan qaedah-qaedah atau uslub-uslub yang benar.

Aspek yang terpenting yang perlu dilihat tanpa sebarang pengabaian ialah proses peningkatan melalui amalan yang nyata. Perlaksanaan amalan ini perlu selari dengan segala proses tarbiyah agar apa yang berlaku dalam proses pendidikan ini bukan sekadar teori semata-mata.


Kerja-kerja merawat dan memulihkan ummat yang rosak serta kerja-kerja membina suasana ma’aruf dalam suasana manusia bangga dengan kemungkaran adalah kerja-kerja yang besar dan memerlukan persediaan dan bekalan yang banyak. Kita yang merasa taklif Rabbani ini tidak akan merasa jemu dengan Tarbiyah bahkan kita disetiap masa sentiasa berhajat kepada tarbiyah kerana hanya dengan tabiyah kita dapat membina kekuatan-kekuatan dan menyediakan bekalan-bekalan yang secukupnya.


Analoginya mudah;
jika kita hendak melakukan kerja-kerja yang ringan tentu kita hanya berhajat kepada bekalan-bekalan yang sedikit. Tetapi jika kita sedang menuju kepada suatu destinasi yang jauh untuk suatu pekerjaan yang besar, tentunya kita berhajat kepada bekalan-bekalan yang banyak.

Read more...

Lagi Hari Rehlah HALUAN Kelantan ~ Meriah!

Tuan Haji Nasir Saat, YDP yang peramah, ceria dan suka membantu

Pembahagiaan Kumpulan Dewasa dan Remaja

Sambil berehlah dan bersembang-sembang bertukar cerita


Suasana ketika program Rehlah

Bola Kaki Tiga ~ Susah juga nak main



Aktiviti Tolak Tali yang memenatkan


Makan tengahari dalam talam, merapatkan jalinan ukhuwah

Sesi Kalimah Akhirah oleh YDP HALUAN Kelantan


HALUANITA dan pelajar puteri KTD turut terlibat


Persembahan Nasyid oleh Team KTD yang iketuai Saudara Ruqaimi Rabbani


Penyampaian Hadiah " Cabutan Bertuah" dan Sukaneka



Makan dulu sambil berehat



Bersama team remaja, sembang-sembang tarbawi



Adik-adik main apa, sampai jadi macam ini



Tuan Haji Hassan Ab Rahman, dapat hadiah bagi kategori Keluarga Bahagia

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP