Nota Tarbiyah : Jemu dengan Tarbiyah?

Thursday, April 1, 2010

Tarbiyah Tanpa Dakwah, Ia tidak akan membawa kita ke mana-mana.



Nota Tarbiyah : Jemu dengan Tarbiyah?


Kenapa Jemu Dengan Tarbiyah

Kita telah lama duduk dalam Medan Tarbiyah. Kita kadang-kadang rasa jemu dengan Tarbiyah. Kenapa ?

Ini merupakan persoalan yang perlu kita renungkan dan cari jawapannya. Jika kita benar-benar meyakini jalan yang kita lalui sekarang iaitu jalan Tarbiyah dan Da’wah. Persoalan ini jika tidak dijawab ianya mungkin akan melemahkan dan menyebabkan kita rasa jemu untuk terus duduk dalam Medan Tarbiyah. Kita mungkin tidak dapat Istiqamah dalam Medan Tarbiyah.

Mustafa Masyhur menyebut;
“Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyah.”

Ini menjelaskan kepada kita bahawa Tarbiyah bukan matlamat/Ghayah kita tetapi merupakan wasilah untuk kita mencapai Ghayah Kubra iaitu Mardhatillah. Tarbiyah adalah wasilah utama untuk kita sampai kepada matlamat kita. Tanpa melalui proses tarbiyah kita tidak akan sampai kepada matlamat yang dicitakan.

Proses tarbiyah ialah proses untuk mempersiapkan rijal-rijal yang akan mendokong Deen Allah swt. Hanya melalui tarbiyah, peribadi mukmin akan dibina; iaitu peribadi yang menyedari dan merasai tuntutan-tuntutan iman kepada Allah SWT.


Jalan yang berliku


Sebagaimana juga Dakwah, Jalan Tarbiyah ialah jalan yang panjang dan mempunyai banyak tahapan. Jika kita hanya berada di satu tahapan sahaja tanpa ada peningkatan maka kita akan merasa jemu dengan tarbiyah. Namun begitu untuk meningkatan diri kita dari satu tahap ke satu tahap yang lain kita perlu memenuhi syarat-syarat tertentu. Akan tetapi yang pastinya tarbiyah menuntut kepada amal; iaitu amal yang akan membuka hijab kita kepada suatu dimensi baru dalam tarbiyah. Suatu dimensi yang hanya akan dirasai oleh mereka-mereka yang telah beramal dengan fikrah yang ada padanya.

Berada dalam tarbiyah bukan bermakna kita hanya berada dalam lingkungan halaqah mahupun usrah sahaja, menyalin dan mencatat ceramah-ceramah yang disampaikan oleh Murabbi semata-mata, merakam mutiara kata yang dituturkan oleh sang dai’ sahaja tetapi ia adalah membumikan segala fikrah dan tarbiyah yang diperolehi secara nyata dalam kehidupan seharian.

“ Proses tarbiyah berlaku dalam kehidupan sehingga menjadi malakah ( darah daging).” Pesan seorang Murabbi.


Perlunya kepada peningkatan

Di sinilah akan berlakunya satu peningkatan dalam proses tarbiyah. Ini adalah kerana tarbiyah kita ialah Tarbiyah Mas’uliah. Kita tidak ditarbiyah hanya untuk menjadi penyokong Islam ataupun pemidato-pemidato, penceramah-penceramah atau pensyarah-pensyarah yang boleh melemparkan kata-kata yang boleh menyebabkan manusia ta’ajub dengan Islam.



Tetapi Tarbiyah kita ialah untuk melahirkan pendokong-pendokong Islam atau Rijal-Rijal Aqidah yang akan mengubah suasana yang mungkar kepada suasana yang ma’aruf dengan penuh keikhlasan dan menggunakan qaedah-qaedah atau uslub-uslub yang benar.

Aspek yang terpenting yang perlu dilihat tanpa sebarang pengabaian ialah proses peningkatan melalui amalan yang nyata. Perlaksanaan amalan ini perlu selari dengan segala proses tarbiyah agar apa yang berlaku dalam proses pendidikan ini bukan sekadar teori semata-mata.


Kerja-kerja merawat dan memulihkan ummat yang rosak serta kerja-kerja membina suasana ma’aruf dalam suasana manusia bangga dengan kemungkaran adalah kerja-kerja yang besar dan memerlukan persediaan dan bekalan yang banyak. Kita yang merasa taklif Rabbani ini tidak akan merasa jemu dengan Tarbiyah bahkan kita disetiap masa sentiasa berhajat kepada tarbiyah kerana hanya dengan tabiyah kita dapat membina kekuatan-kekuatan dan menyediakan bekalan-bekalan yang secukupnya.


Analoginya mudah;
jika kita hendak melakukan kerja-kerja yang ringan tentu kita hanya berhajat kepada bekalan-bekalan yang sedikit. Tetapi jika kita sedang menuju kepada suatu destinasi yang jauh untuk suatu pekerjaan yang besar, tentunya kita berhajat kepada bekalan-bekalan yang banyak.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP