Motivasi Kejayaan ~ Tarbiyah

Monday, April 12, 2010

Kejayaan dan keberkatan hidup ada hubung rapatnya dengan proses Tarbiyah


“Motivasi untuk ana berjaya adalah TARBIYAH”
Oleh : BroHamzah

Hujung minggu lepas ketika di Perlis, saya diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk bersembang-sembang dengan salah seorang Murabbi Tarbiyah yang sangat saya segani iaitu Dr Azizan Ahmad. Beliau adalah salah seorang tokoh akademik yang menjadi inspirasi dan contoh buat saya sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Sewaktu di sekolah menengah, beliau banyak membantu saya dan rakan-rakan terutamanya dalam mata pelajaran “ Kimia”. Setiap bulan, walaupun sibuk beliau akan turun ke sekolah saya untuk membantu kami untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan terhadap ilmu kimia dan juga banyak memberi panduan dalam pentarbiyahan diri kami.

Dr Azizan Ahmad, adalah seorang yang bersemangat dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Walaupun orangnya biasa sahaja, tetapi setiap kali mendengar penyampaiannya pasti jiwa kita terbangkit dan jiwa menjadi berkobar-kobar. Dengan gaya yang bersahaja dan kelantangan dalam berbicara, kalimah yang dilontarkannya mampu mengugah jiwa yang mendengari setiap ucapan dan ceramahnya. Kini, beliau juga semakin dikenali sebagai pakar motivasi dan banyak memberi khidmatnya terutamanya dalam membantu pelajar sekolah menengah dan pelajar IPT di seluruh Malaysia.

Kehidupan yang susah, mematangkannya

“ Ana datang dari keluarga yang susah,” Dr Azizan pernah memberitahu saya dan rakan-rakan tentang latar belakang keluarga dan kisah hidupnya.



Bergalaskan cita-cita ingin menjadi seorang guru dan pendakwah, putera sulung ini turun dari rumah nenek tirinya dan tabah melangkah ke sekolah dengan sepasang kasut plastik. Perjalanan ke sekolah sejauh 2 KM bukanlah halangan yang membebankan jiwanya tetapi ditempuhinya dengan hati yang girang dan penuh bahagia. Tanpa bantuan pengangkutan motor mahupun kereta, beliau pergi dan ulang alik ke sekolah tanpa rungutan.

Sesekali hari hujan, daun pisang di tengah perjalanan menjadi peneman dan peneduh diri. Baju sekolah yang hanya sepasang perlu cermat dilindungi agar tidak basah dan dicemari. Selepas tamat sesi persekolahan, insan yang berjiwa besar ini belajar berdikari dengan mencari ikan atau menjual ais krim untuk menjana sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan diri.



Lahir dalam sebuah keluarga miskin mematangkannya mengenai erti dan sebuah hakikat kehidupan seterusnya menyemarakan keazamannya untuk terus menggapai kejayaan hidup. Ayahnya seorang pemandu bas dan ibunya pula seorang ustazah dengan gaji RM 28 sebulan. Tiga beranak ini tinggal di rumah sewa yang selayaknya di panggil pondok buruk di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Dengan bantuan jiran-jiran berhati pemurah, kehidupan mereka sedikit sebanyak menjadi mudah.

Kerana kesempitan hidup, dan kehadiran seorang anak perempuan dalam keluarga mereka menyebabkan ibu bapa Dr Azizan terpaksa menyerahkan putera sulung mereka ini kepada nenek tiri mereka dari usia 12 bulan sehinggalah 12 tahun. Selama itulah, Dr Azizan dijaga dan diasuh oleh neneknya. Namun jauh di sudut hatinya sangat merindui keluarganya dan titipan doa sentiasa ditadahkan ke hadrat ilahi. Tiada langsung sekelumit dendam yang disimpan pada ayah dan ibunya memandangkan beliau sedang tindakan mereka hanya kerana desakan hidup. Walaupun berjauhan, Dr Azizan dapat merasakan aura kasih sayang ayah dan ibunya.

“ Ana kongsikan kisah ana ini sebagai iktibar buat antum semua,” ucap beliau kepada kami sekelas ketika saya tingkatan 4 dahulu. Dulu, beliau dikenali dengan panggilan “ Cikgu Azizan”. Mendengar kisah beliau, menyebabkan ada sebahagian daripada kami sebak. Kisah beliau amat menginspirasikan kami!

Hasilan sebuah keperitan

Berkat usaha dan kesungguhannya, kejayaan demi kejayaan berjaya dikecapi bermula sekolah rendah sehinggalah ke peringkat berkerjaya. Sekolah Men. Dato’ Syed Umar, Sekolah Men Sultan Abdul Halim dan Kolej Islam Sultan Alam Shah pernah menjadi saksi kejayaan dan kecemerlangannya dalam bidang akademik dan juga sahsiah. Dikenali sebagai budak pintar dan juga terkenal di kalangan guru sebagai aktivis aktiviti kerohanian.

Dr Azizan terus mencipta kejayaan di gerbang menara gading. Beliau merangkul pelbagai anugerah seperti Anugerah Dekan empat tahun berturut-turut, Anugerah Biasiswa Kanan UKM empat tahun berturut-turut, Tokoh Muslim UKM 1996, Anugerah Mahasiswa Kimia Terbaik Malaysia 1996, Anugerah Sains Muslim Terbaik Malaysia dan sebagainya. Saya secara peribadi amat terpegun dengan kejayaannya. Pernah suatu hari selepas kelas kimia semasa tingkatan empat, saya cuba tanyakan rahsia kejayaan Dr Azizan sehingga mendapat pelajar terbaik semasa di Universiti.

“ Rahsia kejayaan cikgu dalam akademik ialah Tarbiyah,” Jawab beliau dengan mudah.

Sewaktu saya di Universiti Malaya dahulu, saya juga pernah bertemu dengan Dr Azizan dalam satu Seminar Kesejahteraan Mahasiswa. Sewaktu itu saya menjadi panel forum bersama dengan Dr Azizan. Saya ajukan juga soal yang sama semasa sesi kudapan pagi seusai forum.

“ Motivasi kejayaan ana ialah tarbiyah,” Jawab beliau dengan yakin dan bersemangat.

Semasa bertemu dengan beliau pada hujung minggu lepas, ketika berbicara tentang kejayaan pelajar dewasa ini, beliau juga menekankan tentang tarbiyah.

“ Bagi ana, untuk meraih kejayaan dalam apa jua bidang ia mesti bertunjangkan Tarbiyah,” Jawapan beliau tetap sama seperti 8 tahun yang dahulu.

Nasihat Untuk Remaja

Saya pernah membaca sebuah artikel yang ditulis oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin seorang novelis islamik terkenal Malaysia tentang kisah Dr Azizan dalam Majalah SOLUSI isu no 7.
Antara nasihat Dr Azizan untuk remaja ialah : “ Binalah personaliti diri dengan pandangan hidup yang jelas bermatlamatkan Allah SWT dan berasaskan ilmu, kemahiran dan sikap.”

Saya pernah dibimbing di bawah Dr Azizan suatu masa dahulu ketika di zaman IPT sebagai fasilitator di bawah program kelolaannya. Banyak tunjuk ajar dan nasihat beliau yang sangat berguna buat saya.

“ Anta, kena jelaskan matlamat dan jaga Tarbiyah anta setiap waktu dan ketika. Jangan biarkan jahiliyah kuasai diri anta. Sibukan diri. Biar sibuk dengan amal islami!,” Nasihat Dr Azizan kepada saya.

Seorang aktivis Dakwah yang sentiasa sibuk

Dr Azizan Ahmad adalah seorang aktivis kebajikan yang sangat sibuk. Beliau banyak memberi ceramah dan juga mengadakan program di pelbagai tempat dan pelbagai sasaran audiens. Namun, beliau tetap menegaskan bahawa seseorang itu harus menjaga hubungan dirinya dengan Allah SWT sebagai tunjang utama proses pembaikan diri.

“ Ini asas. Anta tidak boleh tinggalkan tarbiyah. Jika tidak, anta akan lemah dan lemah..” Katanya lagi. Nasihatnya sangat menekankan tentang asas keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT.

“ Sebagai muslim dan juga dai, pengurusan masa dangat penting. Kita hajat, seseorang yang bijak mengurus masa dan mampu membuat banyak kerja dalam 1 masa. Inilah yang kita namakan dai yang proaktif dan produktif.” Ujarnya lagi.

Seorang penceramah punyai daya tarikan tersendiri

Antara kekuatan dan tarikan yang ada pada Dr Azizan ialah beliau mampu menarik perhatian audiens yang mendengar ceramah dengan baik sekali. Gaya yang bersemangat, santai, kekadang di selang seli dengan jenaka ringan dan pengisian yang menyentuh hati menyebabkan ramai di kalangan pelajar sangat sukakan ceramah Dr Azizan. Saya pernah bertanyakan tips kepada beliau bagaimana untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan berceramah.
Kata beliau :

“ Kuatkan hubungan dengan Allah SWT dan jaga keikhlasan hati. Itu yang utama. Kemahiran yang lain, akan menyusul kemudian dari semasa ke semasa.”

Penutup Perkongsian

Dr Azizan Ahmad adalah seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi. Pernah menjadi cikgu Kimia saya.Pembimbing saya dalam mengendalikan program remaja. Dan juga mentor dakwah dan tarbiyah bagi saya. Semangatnya sentiasa membakar jiwa saya untuk terus memelihara tarbiyah diri dan mengembangkan dakwah islam ke seantero dunia.

Pernah beliau kata kepada saya :

“ Anta percaya tak? Suatu hari nanti ana akan jadi somebody di Malaysia,” Katanya sambil tersenyum.

“ Jadi somebody. Jadi apa itu, Doktor?,” Soal saya kehairan.

“ Menjadi seseorang yang akan mengegarkan bumi Malaysia dengan dakwah & tarbiyah,” Katanya dengan penuh bersemangat.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP