Layari Langit Ilahi.Com Setiap Hari

Wednesday, November 30, 2011

Iklan, hebahan dan sebaran : -
Langit Ilahi.Com : Mari Menjadi Hamba!

Bismillah,

(1) Alhamdulillah, semoga sedikit perkongsian di dalam medan ini ada manfaatnya buat sahabat pembaca yang selalu menyokong, mendorong dan mendokong Langit Ilahi.

(2) Dengan gabungan team daripada pelbagai kepakaran, kebolehan dan juga think tank dalam team LI ini ( sekarang sudah mencecah 30 orang - secara sukarela) - pengunjung LI mencecah 33,000 setiap hari merupakan suatu bonus untuk kami berusaha untuk "berkongsi" dengan kalian.

(3) Saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat Team LI terutama akhi Hilal Asyraf sebagai master mind - yang bertungkus lumus untuk menggerakan usaha-usaha sebaran melalui alam maya ini. Semoga Allah SWT redha dan sentiasa memelihara niat, keikhlasan dan kebersihan hati kita dalam beramal kerana-Nya sahaja. Ya, kerana-Nya sahaja. Tiada yang lain.

(4) Harapannya, setiap yang kita laksanakan adalah medan ubudiyah kepada-Nya, medan untuk kita memenuhi gerak kerja secara jamaie' (berorganisasi) dan sentiasa saling bantu-membantu, lengkap-melengkapi dan sebagainya. InsyaAllah.


Mari Menjadi Hamba
BroHamzah
1 Disember 2011
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.

Read more...

Cerna Minda - Nyatakan pandangan anda!

Monday, November 28, 2011

Akal berfikir, Hati berzikir.

Cerna Minda : Nyatakan pandangan anda!

Bismillah, dengan nama Allah SWT saya kongsikan tinta ini.

Alhamdulillah, semakin hari kehidupan kita terus berlalu pantas. Sedar atau tidak, kekadang kita hampir-hampir tidak sedari bahawa usia semakin meningkat dan banyak perubahan yang berlalu di sekeliling kita. Itulah kehidupan, ia akan terus beredar, berubah dan sentiasa “mematuhi” sunnatullah.

Ia akan mengalami perubahan sejajar dengan tabi’atnya yang disusun, ditetapkan dan ditentukan oleh Allah SWT. Semoga kita adalah insan-insan yang sentiasa sensitif dan peka dengan perubahan serta sangat-sangat berhajat kepada perubahan yang akan memberikan sinaran harapan untuk jiwa dan hati kita semakin dekat, hampir dan sayang terhadap Allah SWT.

Berkongsi semula : Cerna Minda

Sudah lama, saya tidak berkongsi koleksi uji minda bersama sahabat pembaca. InsyaAllah – kali ini tergerak untuk kongsikan tentang satu uji minda berdasarkan situasi dan keadaan yang saya nyatakan dibawah. Harapannya, ialah sahabat pembaca boleh lontarkan pandangan, cetusan idea, pendapat dan jawapan yang paling :

TEPAT, BERPRINSIP, BIJAK, CERDIK, BERPANDANGAN JAUH, PEMIKIRAN TAJAM, TENANG, LOGIK, BERANI & PUNYAI PENDIRIAN YANG TEGUH.

Serta berikan hujah-hujahnya serta hal-hal yang boleh menyokong jawapan anda itu.




Kanak-kanak melintas landasan kereta api - " Bayangan Awal"


Situasinya begini : - baca dengan baik-baik dan fahami ia dengan mata hati!

Ketika anda sedang melintasi landasan keretapi anda mendapati ada sekumpulan kanak-kanak sedang bermain agak jauh dari tempat anda berada. Salah seorang dari mereka sedang leka bermain di satu landasan yang sudah lama tidak digunakan manakala yang lain bermain di landasan yang masih aktif.

Tiba-tiba sebuah keretapi penumpang bergerak laju menuju ke arah anda yang seterusnya akan melalui kawasan kanak-kanak yang sedang asyik bermain. ( Sungguh mencemaskan!)

Anda pada masa itu berada berhampiran intercharger (gear untuk mengubah laluan keretapi). Mustahil bagi anda untuk menghentikan keretapi tersebut. Mungkin yang mampu anda lakukan ialah menukar laluan keretapi ke landasan yang lain di mana terdapat seorang kanak-kanak yang sedang leka bermain.


Ini landasan kereta api. Memudahkan imaginasi anda.^^

Soalannya :

Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu anda ambil dalam situasi tersebut ? Membiarkan keretapi penumpang merempuh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di landasan aktif atau mengubah laluannya ke landasan di mana hanya terdapat seorang budak ?

Berikan jawapan kalian, hujjah anda dan nyatakan kenapa anda membuat keputusan sedemikian. Boleh tinggalkan jejak, komentar dan perkongsian di bawah ini. Dan kita lihat jawapan, pandangan dan “cernaan” minda sesama kita nanti. InsyaAllah.

Saya berikan peluang dan tempoh kepada semua sehingga awal Disember mendatang.
Menanti jawapan kalian. InsyaAllah, senyum-senyum selalu.

BroHamzah
29 November 2011
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Berubah, kenapa terlalu sukar?

Saturday, November 26, 2011

Sinaran harapan untuk berubah, masih tetap ada.


Himmah : Berubah, kenapa terlalu sukar?

Benar, sungguh sukar untuk berubah! Ramai yang sebenarnya hajatkan kepada perubahan demi perubahan, tetapi perubahan yang dilakukan tidak kekal lama. Kata orang, hangat-hangat tahi ayam. Kasar bunyinya, tetapi apabila direnungi – semenangnya itulah hakikat yang ada. Ya, itulah realiti yang berlaku kepada kita semua.

Beberapa tahun sebelum ini, saya sering bersama-sama sahabat saya mengendalikan kursus motivasi dan suntikan kesedaran hati kepada pelajar-pelajar sekolah dan juga institusi pengajian tinggi. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT selalunya kursus-kursus sebegini memberikan suatu pengalaman yang baik dan menyuntik kesedaran kepada para peserta.

Pengalaman mengikuti modul-modul serta pengisian-pengisian berteraskan Al-Quran serta alunan zikrullah dapat melembutkan hati mereka lalu memberikan suatu keinsafan dan kesedaran. Suasana yang dibina dan dibentuk dengan pendekatan sebegini mempunyai pengaruh dan kesannya yang tersendiri.

Jiwa mereka disentuh dengan hakikat perhambaan kepada Allah SWT. Hati mereka ditiup lembut dengan ayat-ayat Allah SWT yang melunakan dan meleburkan kekerasan jiwa. Akhirnya, mata mereka berkaca-kaca dengan linangan air mata yang membasahi pipi dan nurani dalaman mereka.

Masih segar suasana kem itu difikiran dan minda saya. Bahkan – saya sendiri rasa tenang, damai dan bahagia dengan biah-biah yang menyuburkan jiwa sedemikian rupa.

Pernah saya dihubungi oleh seorang adik peserta selepas beberapa minggu program berlalu. Katanya :

“ Saya sangat-sangat merindui suasana kem. Hajat benar untuk mengulanginya dan terus kekal dengan perasaan yang jarang-jarang saya rasai. Ramai kawan-kawan saya yang berubah, namun ianya hanya untuk beberapa minggu sahaja. Kemudian, kami akan kembali seperti asal.”

Tersenyum saya mendengar luahannya. Lalu saya kongsikan sesuatu kepadanya.

“ Sesiapa yang berubah kerana TERPAKSA dia sebenarnya adalah MANGSA, dan sesiapa yang berubah kepada Allah SWT kerana kesedaran yang JELAS dan NYATA, pasti ia akan BAHAGIA.”

Jika berubah kerana terpaksa dan buat-buat, ia adalah natijah atau kesan yang cetak. Berubah kerana suasana, kerana keluarga, kerana ikut-ikutan, kerana desakan ibu bapa dan sebagainya – ia adalah suatu bebanan perasaan yang menyesakan dada. Ingin berubah, tetapi tiada asas yang kukuh dan kuat. Masih samar-samar dan kabur dalam langkahan untuk berubah.

Ya. Inilah suatu hakikat yang sama-sama kita rasai sebelum-sebelum ini. Apabila hidayah “perubahan” dan kesedaran menerpa ke dalam diri kita – rasa penyesalan, keinsafan dan kesedihan akan segala kisah silam dan perbuatan yang menyalahi tuntutan Allah SWT. Justeru, timbul bibit-bibit keazaman dan usaha tekad untuk berubah, berubah dan terus berubah.

Namun, apabila suatu tempoh masa berlalu – kita menyedari bahawa perubahan itu tidak kekal lama. Suam-suam sahaja, kemudian sejuk kembali. Perasaan yang berkobar-kobar untuk menggerakan perubahan diri telah hilang dimamah usia dan ianya hanya tinggal memori. Dan – akhirnya, kita terus di takuk lama. Tidak berubah, zaman berzaman lamanya.

Titik tolak untuk berubah!

Justeru itu, apa yang perlu kita buat?

Saya masih ingat, seorang murabbi saya menyebut tentang perubahan. Jika kita ingin melakukan perubahan, kita perlu jelas dan fahami akan hakikat perubahan itu sendiri. Hampir semua orang ingin berubah, namun setelah masa berlalu mereka masih di tahap yang sama. Oleh itu, kita bukan sekadar merasa perlu berubah tetapi kita juga perlu tahu kenapa kita perlu berubah, apa perubahan yang perlu kita lakukan dan bagaimana perubahan itu patut bermula.
Inilah persoalan-persoalan awal yang perlu kita jawab sekiranya benar-benar ingin berubah.

Titik tolak melakukan perubahan, kata murabbi saya ialah :

“ Kenali kelemahan, keaiban dan kekurangan diri kita.”

Itu asasnya. Sedarkah kita bahawa kita ini sebenarnya insan yang lemah, kerdil lagi hina ?

Sekali sekala air mata ini berguguran jua. Sekuat mana kita, sekental mana fizikal luaran kita dan segagah mana daya tahan perasaan yang ada, akhirnya kita bagaikan “terpaksa” - akur bahawa kita sebenarnya insan yang sangat – sangat kerdil, hina dan lemah.

Ujian demi ujian. Dugaan demi dugaan serta musibah yang bersilih ganti hadir mengusik setiap sanubari kita. Apabila musibah itu tiba, maka sedarlah diri kita bahawa sesungguhnya, kita sangat-sangat berhajatkan kepada Allah SWT. Ya, dalam segala hal, tindakan dan peristiwa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ (Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

( Al- Fatir 35 : 15)

Inilah tandanya dan signalnya : kita sangat-sangat perlukan Allah SWT. Kita ini sangat-sangat lemah!

Justeru, berhentilah seketika. Saat itu, kita perhatikan insan-insan di sekeliling kita dan amatilah setiap wajah mereka. Ketika itu, rehatkan juga minda kita. Dan – koreksi diri kita sedalam-dalamnya. Lihatlah hati kita yang berada di dada kita. Bersihkah ia? Jernihkah ia? Atau sebaliknya? Semua ini adalah titik mula untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang tercalit pada diri kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa Yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa Yang ada pada diri mereka sendiri.”

( Ar Ra’du 13 : 11)

Takut untuk berubah

Takut untuk berubah? Benarkah?

Ya.

Kebanyakan manusia sebenarnya takut dan sukar menerima perubahan walaupun zahirnya mereka sangat inginkan perubahan. Tapi sayang perubahan kepada kebaikan tidak berlaku secara mukjizat atau sekelip mata umpama magis yang memukau anak-anak mata manusia. Kita, kita dan kita semua – yang bertanggungjawab untuk berubah dan semua itu ada harga yang perlu kita bayar.

Sedar atau tidak, semua manusia – saya, anda dan mereka – hajatkan kepada perubahan tetapi tidak sanggup untuk membayar harganya. Harga bagi sebuah perubahan adalah pengorbanan, kesukaran dan kepayahan. Kita sentiasa harapkan perubahan yang bersifat “instant” , segera dan mudah – sedangkan perubahan tidak semudah yang kita angan-angankan.

Murabbi saya juga selalu mengulangi kata-kata ini :

“ Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi. Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang mustahil. Kenikmatan tidak mungkin diperolehi dengan kenikmatan pula. Setiap sesuatu yang bernilai tinggi pasti ada harganya. Kejayaan tidak akan diraih dengan kesenangan,mahupun kenikmatan. Ini kerana kedua-dua itu hanya akan datang selepas keperitan, kesusahan dan kesengsaran.”

Saya sering menyoal sesuatu perkara :

Kenapa perubahan itu terlalu sukar?

Sebenarnya perubahan menuntut kita untuk meninggalkan sesuatu tabiat atau kebiasaan yang salah kepada yang betul. Untuk merubah tabiat atau kebiasaan-kebiasaan yang sudah mendarah daging dalam jiwa kita bukanlah mudah melain kita benar-benar bertekad, berazam dan menjiwai sebab serta alasan untuk kita berubah.

Oleh itu, perubahan yang sebenarnya bermula dari dalam diri kita iaitu apabila kita membina matlamat hidup yang jelas sehingga kita sanggup berkorban untuk mencapai apa yang kita benar-benar hajati. Tanpa memiliki kejelasan matlamat dan himmah yang tinggi adalah terlalu sukar untuk kita berubah.

* Artikel ini disiarkan di Langit Ilahi.Com

Read more...

Qudwah dalam berjiddiyah!

Tuesday, November 22, 2011

Majalah HALUAN Edisi 4 2011 - Nyahlah Malas!
Hubungi Zulkarnain Zainuddin 013-954 4197 untuk dapatkannya.



Menyelami Jiddiyah Di Sebalik Sorotan Sejarah
BroHamzah

Jiddiyah itu adalah kesungguhan, ketekunan dan semangat yang membara di dalam jiwa. Ia adalah lambang keperibadian insan yang mempunyai harga diri yang tinggi dan mulia.

Kesungguhan, keseriusan dan komitmed adalah sesuatu yang harus dibicarakan dengan penuh ketulusan dan keikhlasan. Menyelusuri sirah dan sorotan sejarah mereka-mereka yang hebat di sepanjang peradaban manusia kita akan dapati mereka ini sangat luar biasa kehidupan mereka.

Kesungguhan dalam beramal, menuntut ilmu dan berjihad di jalan Allah SWT, membuatkan nama mereka harum semerbak kasturi di kalangan penghuni dunia bahkan ia berterbangan sehingga ke penghuni langit yang tinggi.

Saya suka berkongsi kisah-kisah mereka yang luar biasa dalam usaha dan kegigihan mereka menuntut ilmu. Kegigihan mereka menyentuh perasaan, membangkitkan jiwa dan memberikan dorongan motivasi untuk menjadikan mereka qudwah dan contoh utama dalam kehidupan. Kita selusuri setiap kisah mereka dengan mata hati.

Qudwah Jiddiyah ( Contoh kesungguhan) , saksikan kehidupan mereka

Ahmad bin Hanbal, pengasas Mazhab Hanbali sanggup berjalan sejauh 30 000 batu untuk mencari hadis dan menghafal sejuta atsar dan mewariskan 40 000 hadis dalam Musnad.

Jabir Bin Abdullah sanggup menempuh perjalanan selama sebulan ke Mesir semata-mata mencari satu hadis. Ibnu Hibban meriwayatkan hadis daripada 2 000 orang syeikh dan mengarang kitab sahih sehingga menjadi kitab yang menakjubkan. Beliau menguasai banyak ilmu sehingga menjadi bintang pada zamannya. Imam al- Ghazali telah menghafal al-Quran pada usia 6 tahun dan menjadi ulama besar yang mengajar ulama seluruh negara pada usia 9 tahun.

Ibnu Taimiyah menulis empat topik dalam satu hari dan setiap buku diselesaikan dalam seminggu. Beliau pernah menyiapkan sepenuhnya sebuah buku dengan hanya sekali duduk. Bukunya menjadi rujukan lebih daripada 1000 penulis. Ibnu Sina menulis kitabnya dalam satu hari 25 halaman. Al-Sarkhasi mampu menulis 30 jilid kitab al-Mabsuth ketika di penjara. Begitu juga Ibnu Taimiyah dapat mengarang 30 jilid kitab Majmu’ Fatawa di dalam penjara.

Itu kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu, bagaimana pula para ulamak, ilmuwan dan cerdik pandai dalam melakukan persiapan dan persediaan untuk alam akhirat?. Imam Al-Nawawi menyebutkan bahawa Karz bin Wabrah mengkhatamkan al-Quran empat kali pada malam hari dan empat kali pada siang hari. Ibnu Idris pernah mengkhatamkan al-Quran di rumahnya sebanyak 4 000 kali. Imam Syafie mengkhatamkan al- Quran pada bulan Ramadhan sebanyak 60 kali dan Imam Bukhari sebanyak 30 kali. Imam Ahmad mengerjakan solat sunat dalam satu hari sebanyak 300 rakaat.

MasyaAllah. Terkedu saya membacanya. Inilah sesuatu mustahil jika kita ingin lakukan. Tetapi, apakah rahsia para sahabat dan ulamak sehingga begitu hebat dan luar biasa dalam beramal? Saya membelek-belek dan mencari-cari jawapannya. Banyak buku motivasi, kitab-kitab rujukan yang ditelaahi dan saya temui satu jawapan.

Jawapannya.

Kesungguhan dan jiddiyah itu bermula daripada hati. Inilah tapak asasnya. Hati tempat tumbuhnya keimanan, ketaqwaan dan keyakinan kepada Allah SWT. Tanpanya, ruh yang mengalir di saluran darah dan jiwa tidak akan membangkitkan kekentalan perasaan untuk tekun, bersungguh dan serius dalam apa jua perkara yang kita lakukan.

Sungguh, sesiapa yang memiliki cita-cita yang membakar, jiwa yang teruja, usaha yang giat dan kesabaran yang berterusan, maka dia mememenuhi cirri-ciri manusia yang ulung. Benar, Dr Abdullah ‘Aid Al-Qarni pernah menyebutkan :

“ Sesiapa yang cita-citanya hanya untuk syahwatnya dan mencari kenikmatan hidup semata-mata, maka banyak kegagalan yang akan ditemui, terserlah kekurangan dan terdedah aibnya.”

Cita-cita yang benar dan matlamat yang jelas kerana Allah SWT akan memandu kita untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh, mempunyai tekad yang luar biasa dan tidak pernah kenal erti putus asa. Cita-cita setinggi bintang dan tekad secekal para nabi mampu menggoncangkan gunung-ganang.

Kerana itu, saya sangat setuju bahawa untuk mengekalkan momentum kesungguhan dalam diri kita – sifat berusaha dengan iltizam harus kita bumikan dalam kehidupan ini. Benarlah kata-kata seorang ulamak :

“ Sesiapa yang berpendirian akan menonjol. Sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh, akan berjaya. Sesiapa yang menyemai, akan dapat menuai. Sesiapa yang bersabar akan menang, Sesiapa yang menang akan mendapat habuannya.”

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa-apa yang diusahakannya. Bahawasanya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya). Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang paling sempurna.”

( Surah al-Najm (53) : 39 – 41)

Ayuh, sama-sama kita menyemarakan jiddiyah (bersungguh) ini dalam kehidupan kita. Agar ruhnya itu mengalir hangat dalam setiap saluran darah kita semua. InsyaAllah.

Komentar seorang hamba

(1) Artikel ini tersiar di dalam Majalah HALUAN Edisi 4 2011 di ruangan Kita Janakan. Semoga ia memberikan manfaat.InsyaAllah.

(2)Kobarkan semangat kesungguhan kita dalam beramal, bekerja dan berprestasi. Sesungguhnya, amalan yang dicintai Allah SWT adalah amalan yang soleh, benar dan dilakukan dengan penuh bersungguh-sungguh serta dengan komitmen yang dalam.

(3) Saya sedang belajar untuk sentiasa bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang diberikan, diamanahkan dan dilakukan. Sungguh, ia bukanlah sesuatu yang mudah!

(4) Saya kongsikan juga artikel Himmah saya untuk minggu ini di Langit Ilahi yang bertajuk Berubah, kenapa terlalu sukar? - Semoga ada manfaatnya. Muhasabah untuk diri ini juga.

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim.


Read more...

Blog Pilihan - Video Tarbawi

Monday, November 21, 2011




Blog Pilihan – Video Tarbawi

Pertama, Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi blog pilihan masing-masing. [ Rujuk di sini]. Alhamdulillah, banyak link-link blog serta website yang kali pertama saya kunjungi dan singgahi. Sungguh, banyak manfaat, kebaikan dan ibrah yang dapat saya perolehi daripada perkongsian kalian.

Dunia IT dan alam maya pada hari ; - telah memberikan impaknya yang tersendiri kepada kita semua. Manfaat positif dan juga ada sisi negatifnya. Justeru, bagi saya – baik dan buruk sesuatu kecanggihan teknologi pada hari ini ia terletak kepada kebijaksanaan dan “keupayaan penilaian” kita dalam menggunakannya.

Kali ini, saya kongsikan sebuah blog yang lain dari yang lain. Tiada medium penulisan sebagai asas perkongsiannya. Tetapi, yang diketengahkan ialah video-video daripada youtube. Itulah blog – Video Tarbawi.

Url : http://videotarbawi.blogspot.com
Pemilik : Bro Ahmad
Fokus : Himpunan video-video yang tarbawi, mendidik dan penuh pengajaran.



Video-video yang mendidik

Bagus sebenarnya video-video yang dikumpulkan di blog ini. Saya sering mengambilnya sebagai bahan perkongsian semasa kursus, kem-kem yang dikendalikan dan cerama-ceramah yang dihadiri. Ia sebenarnya, mempunyai daya tarikan yang baik dan alternative bahan untuk mendidik kepada adik-adik remaja pada hari ini.

Jika merujuk kepada kepentingan elemen video dalam kajian pendidikan video merupakan antara elemen multimedia yang paling dinamik dan realistik. Ia adalah gabungan pelbagai media seperti teks, grafik, audio dan sebagainya. Penggunaannya dapat mempengaruhi motivasi seseorang terhadap proses penerimaan maklumat. Pendek kata, ia memberikan kesan dan pengaruh yang besar kepada perasaan, emosi, jiwa dan naik turunkan dalaman manusia dengan lebih nyata.

Tahniah, saya ucapkan kepada Bro Ahmad atas usaha anda. Semoga Allah rahmati anta. InsyaAllah, mungkin di masa mendatang boleh cipta dan buat video sendiri.

BroHamzah

Read more...

Kursus JDK Kembali ! - Mohon Segera, tempat terhad!

Sunday, November 20, 2011

Nantikan ia!

Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) kembali!

Untuk tahun yang ke - tiga (3)

Tahun ini melibatkan Empat Zon di Semenanjung Malaysia & Satu di Sabah. Khusus untuk adik-adik pelajar SPM 2011.

Tahun ini menawarkan lebih banyak aktiviti-aktiviti yang menarik dan mendebarkan.

Pengalaman-pengamalan, perkongsian-perkongsian dan ilmu-ilmu yang akan ditimba sepanjang kursus ini.

22 Hari - tempoh masa yang akan memberikan pelbagai input buat anda! Justeru, usah lepaskan peluang ini. Mohon segera kerana tempat TERHAD - hanya 100 orang peserta sahaja untuk setiap zon.

Justeru, tunggu apa lagi.


Untuk maklumat lanjut, sila layari :


dan juga page FB JDK :




Komentar - seorang hamba :

(1) Kursus JDK - ia telah memberikan impaknya yang tersendiri kepada saya. Sungguh, terlalu banyak perkara yang saya pelajari, amati dan telusuri sepanjang 22 hari kursus ini berlangsung. Sedikit perkongsian saya mengenainya di sini.

(2) Tahun ini, saya tidak lagi terlibat secara "operasi" di peringkat kursus sebagai Kem Komandan. Walaupun, terlibat di peringkat induk untuk aspek pengurusan penyelarasan - sudah tentu : JDK tetap di hati dan nurani saya sebagai kursus yang sangat unik dan indah buat saya.

(3) Saya sangat mencadangkan, mengesyorkan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja - adik-adik SPM 2011 untuk mengikuti kursus ini. Terlalu banyak manfaatnya yang dapat kalian timba, kutip dan lalui. InsyaAllah. Ikuti sedutan video JDK Zon Tengah di sini.

(4) Jika ada yang ingin berkongsi atau sudah berkongsi mengenai kursus ini di blog atau di mana-mana medium - mohon letakan link atau sumbernya agar dapat saya jadikan ia sebagai arkib khusus untuk Kursus JDK ini. Syukran!

Sekian,

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Heart Setting Seorang Penulis

Saturday, November 19, 2011

Menulis dengan jiwa, perasaan dan ruh.
Soalnya kembali kepada hati kita.



Heart Setting Seorang Penulis
Bismillah, perkongsian ini dilakarkan.

Semoga sahabat pembaca ceria-ceria selalu hendaknya. Mudahan semuanya dalam payungan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Safar hujung minggu ini , saya dan teman-teman penulis mengadakan pertemuan yang jarang-jarang diadakan. Pertemuan untuk berkongsi rasa, bertukar-tukar pandangan dan bersinergi segala idea yang dilontarkan. Semoga ianya, adalah untuk meraih keredhaan daripada Allah SWT.

Perkongsian yang dikongsikan berkisar : “ Menulis Untuk Remaja.” Kali ini, Abu Umar dan Kak Fatimah Syarha berkongsi pengalaman, ilmu serta pengetahuan mereka berkaitan dunia penulisan ini – khusus untuk remaja. Tidak banyak sekadar cetusan buat renungan, muhasabah dan menyemak semula – kenapa kita menulis?

Titipan Abu Umar,

Remaja hari ini mengalami suatu krisis yang besar di dalam diri mereka. Mereka jauh dan sangat-sangat daripada Allah SWT. Mereka sunyi, sepi dan dahaga kasih sayang daripada Allah SWT.

Kata Sheikh Said Ramadhan al-Buty : “ Remaja adalah mangsa masyarakat.” Mereka tumbuh daripada masyarakat yang rosak. Jiwa mereka dibesarkan di dalam suasana masyarakat – ibu bapa, kaum keluarga dan ahli masyarakat – yang sibuk mengejar kebendaan, kemewahan dan kekayaan duniawi sama adan secara suka atau terpaksa.

Akhirnya, lahirlah generasi-generasi yang sunyi, dipinggirkan, kekeringan sentuhan kasih sayang dan sangat-sangat dahaga perasaan keinsanan.

Bahkan, mereka kehilangan contoh, qudwah dan keperibadian yang baik untuk diikuti. Jiwa mereka tertanya-tanya akan sesuatu untuk diikuti dan diteladani, namun semuanya kabur dalam bayangan sendiri.

Saban waktu, jiwa mereka menderita dan terseksa. Jiwa mereka memerlukan sesuatu untuk difahami, didalami dan dimengertikan. Justeru, heart setting seorang penulis – ia harus menulis dengan jiwa dan perasaan. Kita harus menulis umpama kita bercakap dengan jiwa mereka , menghayati luka-luka yang dialami oleh para remaja. Kita menyelami dan menghayati segala penderitaan dan penyeksaan jiwa mereka – dengan tinta pena ini. Kerana itu, seorang penulis itu harus menulis dengan ruh.

Hati seorang penulis mesti menerbitkan cetusan kasih sayang terhadap remaja. – Saya benar-benar tenggelam dalam perkongsian Abu Umar. Katanya lagi :

“ Menjadi menulis, kita kena belajar menangis. Merasai penderitaan dan penyeksaan mereka. Menulis itu adalah untuk kita berikan sinaran harapan kepada mereka bahawa, mereka perlu dan wajar untuk berubah. Berubah untuk lebih dekat, hampir dan akrab dengan Allah SWT. Sentuhan jiwa inilah kita hajatkan dalam dunia penulisan hari ini.”

Bayangkan jiwa mereka. Kita perlu yakin bahawa yang menghubungkan hati kita dengan mereka ialah Allah SWT. Allah akan sampaikan kepada mereka. Umpama kita sedang berSMS kepada jiwa mereka. Yakinlah, kerana itulah kekuatan kita sebenarnya dalam menulis.

Yakinlah bahawa,
Tulisan itu mampu merawat luka-luka mereka.
Tulisan itu boleh menghiburkan hati-hati mereka.
Dan tulisan itu juga memberikan harapan kepada mereka.
Bahawa, Allah SWT akan sentiasa menerima mereka.

Justeru, titik asas yang utama bagi seorang penulis ialah jiwa dan hatinya harus utuh dan kuat berhubungan dengan Allah SWT. Ia adalah manusia yang kuat kepasrahan, kebergantungan dan keyakinannya kepada Allah SWT. Inilah heart setting utama seorang penulis yang kita idamkan.

Kak Fatimah Syarha turut berkongsi ;- beliau menyatakan bahawa untuk menulis kita perlu melaksanakan 4 M :- Memahami, Mendidik, Menyayangi dan Memotivasikan.

Memahami keperluan, hajat dan kemahuan remaja.
Mendidik mereka dengan tulisan dan cetusan kita bersumberkan Al-Quran dan Hadis.
Menyayangi mereka dengan sentuhan penulisan yang hadir daripada jiwa.
Memotivasikan mereka untuk memulakan suatu perubahan dan istiqamahnya dengannya.

Berusahalah untuk bergerak, bersungguh-sungguh dan berazam untuk menjadi penulis yang benar-benar jujur, ikhlas dan menjadikan ia ibadah kepada Allah SWT.

Katanya, lagi gunakanlah nilai bahasa melayu yang tinggi. Ianya akan tetap evergreen sepanjang zaman. Bahasa-bahasa yang baik ini mampu menghaluskan dan melunakan jiwa kita. Justeru, berusahalah ke arah itu.

Marilah kita menjadi penulis yang menjadikan penulisan sebagai wasilah (jalan) dakwah dan tarbiyah tanpa meninggalkan tuntutan-tuntutan lain yang juga akan disoal di Akhirat nanti. Panjatkan doa dan kuatkan munajat kepada Allah SWT agar kita benar-benar ke arah itu!

Komentar – Seorang Hamba

(1) Alhamdulillah, pertemuan bersama-sama penulis kali ini menyuntik sesuatu yang bermakna buat saya. Sungguh kerdil diri ini apabila mendengar nasihat, panduan dan pedoman yang mereka lontarkan. Ya! -Terlalu banyak kelemahan, kekurangan, keaiban dan kelompongan diri ini.

(2) Saya takut, gerun dan bimbang sekiranya tergolong dalam golongan penulis yang : - jari jemarinya berkata-kata tetapi jiwanya bisu, pandangannya hebat menerokai pelbagai isu tetapi dirinya sendiri terkurung lesu dan tulisannya memancarkan cahaya pembimbing tetapi nuraninya sendiri kelam gelita!

(3) Dalam dunia penulisan, saya ingin mencontohi Abul Ala Al- Maududi dalam kesungguhan dalam menulis, mendalami ilmu dan menyampaikan kepada seluruh manusia. MasyaAllah – bacalah kisah perjuangan yang membakar jiwa di sini.

(4) Ya Ilahi, ampunilah kekurangan diriku. Ampunilah segala kedhaifan yang wujud dalam diri ini. Sesungguhnya, hamba-Mu ini sentiasa mengharapkan segala kekuatan, bantuan dan pertolongan hanya sanya daripada-Mu. InsyaAllah.

BroHamzah
19 November 2011
Kajang, Selangor.

Read more...

Musim-musim Terindah Dalam Binaan Cinta

Wednesday, November 16, 2011


Musim-musim Terindah binaan cinta ;

Cinta dalam rumahtangga!

Umpama berada di sebuah taman yang mendamaikan.

Dengan lafaz Bismillah, perkongsian ini dicetuskan.

Masih segar peristiwa itu di minda ini.

“ Anta perlu bersiap sedia. Bersedia untuk jatuh cinta dan merasai keindahan perasaan ini,” Masih segar akan titipan nasihat murabbi di jiwa saya.[1]

Titipan nasihatnya itu bermekar subur di nurani saya tatkala keluar bermusafir dengannya pada tahun lepas. MasyaAllah – murabbi, setiap titipan nasihatnya berbekas mendalam dalam jiwa ini. Saat itu, selama tiga hari bermusfirnya – hanya kami berdua – saya benar-benar merasai usapan nasihat daripada seorang ayahanda.

Kami bermusafir, berbicara, berkongsi, saling memberikan pandangan dan segala-galanya kami kongsikan dalam safar yang indah itu. Saya benar-benar bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan kesempatan yang sememangnya sangat sukar diperolehi dan dialami kecuali dengan keizinan Allah SWT.

“ Jangan kita durhaka kepada Allah SWT, dalam membina rumahtangga,” Hembusan nasihatnya terus menerus menyejukan relung-relung jiwa saya. Terasa bicara itu hadir dengan ruh dan perasaan kasih seorang murabbi.

Anta perlu ingat akhi, pesanan Hisham al-Wadi : “ We get married to increase our iman!,” Butiran kata-kata murabbi terus melekat di nurani ini.

Itulah peristiwa yang sangat membahagiakan saya. Kisah setahun yang berlalu, sebelum – saya mendirikan rumah tangga. Saya – insan yang kerdil serta jahil ilmu – sangat-sangat suka mendekati mereka-mereka yang berpengalaman ini untuk mengorek rahsia berkaitan pembinaan rumah tangga yang Allah SWT redhai. Alhamdulillah, nasihat dan pesanan mereka sungguh bermanfaat buat saya.

Insan kerdil yang mengharapkan bimbingan

Pernah suatu ketika.

Saya malu dengan diri saya. Banyak keaiban, kelemahan serta kekurangan yang ada – berbanding teman-teman yang sudah bersedia dan telah “pun” mendirikan rumah tangga. Saya resah – suatu ketika – kerana merasakan seolah-olah tidak membuat apa-apa persediaan untuk mendirikan sebuah masjid. Namun, murabbi memujuk rasa :

“ Sebenarnya, dalam banyak-banyak persediaan dalam menempuhi gerbang rumahtangga yang paling sukar adalah : - persediaan jiwa!,

Saya merenungi bingkisan nasihat murabbi. Ya. Itulah yang paling sukar sekali. Jiwa – perlu bersih, kuat, jernih, suci dan cekal untuk melangkah ke alam yang baru ini.

“ InsyaAllah, kuatkan hubungan dengan Allah SWT dan banyakan munajat kepada-Nya,” Telinga ini sempat menangkap nasihat itu. Ia tersemat kukuh di sini. [ Jari menunjuk ke dada sendiri ]

Kukuhkan hubungan cinta suci ini

Saya ingin memetik ungkapan ini :

“ Islam adalah agama cinta. Dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta.”- Dr Mahmud asy-Syarif dalam karyanya, al-Hubb Fil Islam ( Cinta dalam Islam)

Ringkas sahaja perkongsian saya,- ingin berkongsi intipati yang sangat penting bagi insan-insan yang akan mendirikan rumah tangga, baru mendirikan rumah tangga, sudah lama dan yang akan terus memekarkan hubungan kasih sayang, cinta dan mawadah sesama mereka.

Murabbi menitipkan suatu tip, langkah-langkah dan kaedah mengukuhkan hubungan pasangan suami isteri yang baru melayari bahtera rumahtangga, dan ia juga sangat-sangat baik untuk yang telah mendirikan rumah tangga. Semoga akar mawaddah itu adalah cinta, kasih, rindu dan rahmah kerana Allah SWT.

Murabbi berkongsi rahsia, katanya ;- [2]

“ Dalam mengukuhkan hubungan kita dalam cinta rumahtangga, amatilah tiga perkara ini :-

Pertama, kukuhkan dan dalamkan hubungan dengan Allah SWT.

“ Inilah adalah asas yang sangat-sangat penting dan utama,” Ulang murabbi tanpa jemu.

“ Hati kita dengan Allah perlu : Erat, Dekat dan Akrab!,” – Getus hati saya.

Allah SWT yang memiliki hati, jiwa dan perasaan kita. Dan – Allah SWT yang punyai hak, kuasa dan upaya yang mutlak untuk menyuburkan perasaan cinta – tulus & suci – di dalam jiwa suami isteri. Lihatlah, diri kita – bagaimanakah ketaatan kita kepada Allah SWT?

Jika masih sukar membuang dan sayang kepada dosa-dosa, noda-noda, maksiat-maksiat dan aib-aib yang durjana. Masihkah kita ini ada cinta kepada Allah SWT?

Kedua, membina emotional bank account yang baik antara suami isteri.

Bagaimana?

“ Kumpullah pengalaman-pengalaman yang indah, manis dan bahagia bersama.” Ujar murabbi.

“ Berusahalah mewujudkan suasana dan biah yang mekar emosinya sepanjang usia pernikahan kita,” – Terdetik hati saya bermonolog sendirian.

Buatlah kebaikan positif terhadap pasangan kita sebanyak-banyaknya, kiriman hadiah yang luhur dengan kejutan “kecil” serta “besar”. Percikanlah cinta kasih dengan sentiasa menghiasi jalur cinta rumah tangga dengan panggilan yang penuh kasih, sayang dan jiwang.

Mereka berdua – iaitu pasangan suami dan isteri - sentiasa peka, sensitif dan aktif dalam mengoperasikan segala sunnah Rasulullah SAW dalam biah atau suasana rumah tangga. Sehingga, benar-benar terasa akan keberkahan dalam kisah percintaan mereka.

Ketiga, harmonikan hubungan dengan dua M : iaitu Mesra & Manja.

Akhirnya, berazamlah dan bersungguh-sungguhlah dalam menghormanikan binaan rumahtangga kita dengan titipan kemesraan dan perasaan penuh kesederhanaan dalam bermanja.” – Ungkap murabbi lagi.

Mesra :- ia tidak kaku, hambar atau dibuat-buat. Tapi, ia jelas diraut wajah dan berhias indah pada ukiran senyuman antara sang kekasih. Panggilan nama yang menusuk jiwa : Abang Sayang – yang hanya dua insan ini rasai dan kecapi.

Manja :- ia tersimpan kukuh sebagai tiang seri layar keindahan sebuah rumah tangga. Hanya insan berdua ini sahaja yang tahu betapa bersyukurnya menjadi hamba Allah SWT yang memilih “cinta kerana Allah SWT” dalam melayari perasaan yang asyik ini dalam sejarah kehidupan mereka.

Saya sangat tersentuh dengan ungkapan Saidina Umar al-Khattab, apabila beliau mengambarkan seseorang rijal itu dengan ungkapan sebegini :

“ Sepatutnya bagi seorang lelaki ia umpama seorang bayi, ( yakni berlaku lembut, manja dan ramah di dalam keluarganya). Dan apabila di hadapan khalayak ramai ia adalah seorang rijal yang tegas dan gagah.” [3]

Akhirnya, saya masih ingat seusai mendirikan rumah tangga beberapa minggu – murabbi menelefon saya dan menanyakan adakah saya memiliki sebuah buku yang sangat baik untuk pasangan suami isteri. Beliau memberikan tajuk buku itu dan pengarangnnya.

Dan, saya menjawab :

“ Alhamdulillah, ana sudah ada. Baru sahaja membelinya bersama dengan zaujah. Setiap daripada kami memilikinya,”

“ Alhamdulillah!,”- Ujar murabbi. “ Bagus buku itu, patut jadikan ia bahan serta rujukan harian dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga.”

Buku yang saya maksudkan ialah Haakadzaa Yablugh Al- Hubb Bainahuma Daliiluka ilaa As-Saa’aadah Az-Zaujijah - “ Beginilah seharusnya suami isteri saling mencintai” Karangan Fathi Muhammad Ath-Thahir Ghayati. Terbitan Irsyad Baitus Salam, Indonesia. [4]


Komentar – seorang hamba

(1) Entri ini saya dedikasi khas - khusus buat zawjati. Semoga Allah SWT menyinar kehidupan kita dengan “cahaya”-Nya di sepanjang perjalanan usia ini. Agar kita terus berazam, berkomited dan tegar menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam rumahtangga kita.

(2) Artikel ini juga, ditujukan kepada sahabat saya – Mohd Hafiz Zainol Abidin dan zaujahnya, Afeefah Saalihah Zainal Abidin yang mendirikan baitul muslim pada 11 November 2011 atau 11.11.11. Semoga Allah SWT merahmati antuma berdua. Barakallahulakuma! ( PS : Buat pengantin baru : kesalahan telah diperbetulkan. Terima kasih atas teguran "antuma"^^)

(3) Marilah sama-sama kita sentiasa memurnikan, mengukuhkan dan mengharmonikan hubungan sesama kita dengan musim-musim terindah yang digalakan oleh Allah SWT, Rasulullah SAW dan Deen kita, Islam.

----------------------
[1] Musafir Tarbawi bersama Murabbi pada 1 sehingga 4 Oktober 2010, jelajah Utara – Perlis, Kedah, Pulau Pinang & Perak.

[2] Kuliah : “ Komunikasi Rumahtangga” Oleh Murabbi pada 3 Oktober 2011, di Ipoh Perak.

[3] Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam, ( Pendidikan Anak-anak dalam Islam) Oleh Prof. Dr Abdullah Nasih Ulwan. Penerbitan Pustaka Amani, Jakarta.

[4] Kitab Haakadzaa Yablugh Al- Hubb Bainahuma Daliiluka ilaa As-Saa’aadah Az-Zaujijah - “ Beginilah seharusnya suami isteri saling mencintai” Karangan Fathi Muhammad Ath-Thahir Ghayati. Terbitan Irsyad Baitus Salam, Indonesia.

Salam penuh hormat ;
Hamba Kerdil

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Blog Pilihan Anda - Kongsikan Bersama

Sunday, November 13, 2011


Blog Pilihan Anda –
Kongsikan untuk kita timba sesuatu daripadanya.

Bismillah, dengan nama-Nya tinta ini dinukilkan seadanya.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana sentiasa memberikan kita nikmat, kesempatan dan kurniaan yang penuh barakah kepada kita semua. Mudahan segalanya, mendekatkan kita kepada-Nya. InsyaAllah.

(1) Buat sekiannya, saya telah berkongsi beberapa blog, website dan juga medium penulisan beberapa kenalan dan juga blogger yang menjadi tempat saya singgah, membaca dan mengutip mutiara ilmu, perkongsian dan pengetahuan mereka untuk sama-sama dimanfaatkan. Sahabat pembaca bolehlah, melihatnya di ruangan Blog Pilihan ini.

(2) Justeru, saya sangat berbesar hati sekiranya – sahabat pembaca dapat menitipkan saranan atau cadangan blog pilihan saudara-saudari yang sentiasa dikunjungi, disinggahi dan melekat di hati buat perkongsian kita semua. Di alam maya ini, terdapat berates-ratus ribu ;- blog dengan pelbagai fokus, tema dan bentuk perkongsian. Jadi – jika sahabat pembaca ada cadangan, sama ada blog sendiri atau blog rakan-rakan atau sesiapa sahaja, amat baik sekiranya ia dikongsikan bersama di sini.

(3) Mudah sahaja, sila tinggalkan jejaknya di ruangan komentar di bawah ini dengan menulis butiran maklumat berikut :

Url : http://blognya.blospot.com ( Sila nyatakan amalat urlnya)
Pemilik : ( Nyatakan siapakah pemiliknya)
Fokus : ( Nyatakan fokus atau apakan tema utama penulisan blog tersebut)

Dan, sekiranya sahabat pembaca hendak kongsikan blog sendiri – saya juga sangat-sangat-sangat alukan. Itulah satu bentuk perkongsian yang sangat baik!

(4) InsyaAllah, saya ingin melayari dan mengutip apa yang tertulis diblog-blog pilihan saudara-suadari. Mudahan, saya boleh kongsikan diruangan Blog Pilihan untuk masa-masa hadapan. InsyaAllah. Saya yakin, diluar sana terdapat banyak blog-blog yang sangat bermanfaat untuk kita tatapi, hayati dan mengambil ibrah daripadanya. Blog yang unik, punyai kekuatan dan mesej yang tersendiri pastinya meninggalkan kesan yang kuat, berbekas dan pengaruh kepada para pembaca. Justeru, itulah blog-blog yang akan sama-sama kita kongsikan.

Tidak semestinya, blog itu pemiliknya seorang selebriti, atau mempunyai ramai follower, rakan pengikut setia, mendapat pengiktirafan pelbagai pihak atau trafiknya banyak serta “sesak” saban waktu. Yang penting ialah intipati dan tiang seri terwujudnya blog itu memberikan manfaat kepada kehidupan dan usia kita. Jika anda mempunyai saranan atau pilihan anda ; maka berkongsilah di medium komentar entri kali ini.

Sekian,

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Berkorban Demi Cinta

Thursday, November 10, 2011



[ Begitu sukar untuk saya menulis artikel Himmah, bertemakan pengorbanan. Akhirnya, setelah beberapa hari tertangguh - inilah yang termampu. Ya Allah, ampunilah segala kelemahan dan dosa-dosa hamba-Mu ini]

Untuk artikel penuh bolehlah layari di Langit Ilahi.Com.

Tanyalah dirimu sejujurnya.

Wahai diri, lihatlah masa dan waktumu – dimanakah dihabiskan saban hari? – Hanya “terperap” di hadapan laptop melayani rakan facebook, bertwitter, bergamez atau berblogging tanpa mengira waktu?

Wahai diri, lihatlah wang dan duit yang kamu miliki? – dimanakah ia dibelanjakan? – Hanya untuk hal-hal yang menyeronokan, atau sangat berkira-kira untuk menyumbang, bersedekah dan berinfaq kepada saudaramu yang memerlukan?

Wahai diri, pandanglah kepada kebijakan dan kepintaran akal yang ada? – dimanakah kita manfaatkan? – Hanya sekadar lulus memperolehi deretan “A” setiap peperiksaaan dan hanya untuk berbangga-bangga. Itu sahaja?

Wahai diri, renungilah akan kehidupan yang dilalu? – bagaimanakah ia dihabiskan? – Hanya membiarkan ia berlalu pergi dengan urusan-urusan kerja yang remeh-temeh tanpa bercita-cita besar dan mulia.

Wahai diri, telusurilah perasaan dan jiwa sendiri? – bagaimanakah ia dikuasai dan dirasai? – Adakah hanya dengan melayani tuntutan hawa nafsu dan terheret dengan segala keseronokan yang melalaikan?

Wahai diri, amatilah benar-benar akan kerjayamu saat ini? – bagaimanakah ia dimanfaatkan? – Adakah hanya menuruti keperluan kehidupan dan disibukan dengan alasan kesibukan “kerjaya” sehingga melupai asas-asas amanah dan tanggungjawab yang asasi?

Wahai diri, jujurlah sebenar-benarnya dengan dirimu sendiri? – Bagaimanakah corak penghabisan ajalmu yang diidamkan? Adakah Husnul Khatimah yang diutamakan atau sebaliknya?

Soal diri kita, setiap detik demi detik
Setiap jam demi jam yang berlalu,
Setiap hari demi hari yang pergi,
Dan – setiap masa yang hilang ditelan zaman.


BroHamzah
Beseri, Perlis
10 November 2011

Read more...

Blog Pilihan - "Special For You"

Wednesday, November 9, 2011

Dia adalah hadiah teristimewa buatku.



Dengan Nama-Nya, perkongsian ini dimulakan.

Salam Aidil Adha bagi semua para sahabat pembaca sekalia, semoga ruh pengorbanan yang sebenarnya mengakari hati kita dan seterusnya kita mampu membuminya di dalam kehidupan kita. InsyaAllah.Dalam ruangan yang ada ini, saya ingin kongsikan lagi blog pilihan saya untuk perkongsian pada kali ini. Saat ini, saya memilih sebuah blog yang dinamakan Special For You.

Url blog : http://specialforyou03.blogspot.com.
Pemilik : Sincere Servant
Fokus : Perkongsian pengalaman, pandangan dan isu kewanitaan.

Pemilik Special For You (S4U)

S4U – adalah blog perkongsian milik isteri saya (zaujati). Dengan nama samarannya di alam maya : Sincere Servant atau Abidah Mukhlisah – blog ini menjadi salah satu medan zaujati menulis, berkongsi, memberikan pandangan dan juga titipan coretan hatinya. Alhamdulillah, zaujati dikurniakan bakat, minat dan kebolehan dalam menulis serta berkongsi melalui medium penulisan ini. Alhamdulillah. Dan – salah satu kelebihannya juga ialah keupayaannya menulis menggunakan bahasa Inggeris.

Alhamdulillah, zaujati juga diberikan ruangan untuk menulis serta berkongsi dalam ruangan sister dalam website Langit Ilahi.Com. – Mudahan, ia memberikan banyak manfaat buat rakan pembaca sekalian.

Beberapa bulan yang lalu, zaujati benar-benar kesuntukan masa dengan tanggungjawabnya sebagai pelajar, sibuk dengan praktikal sebagai guru serta amanah-amanah yang lain. Justeru, zaujati jarang-jarang mengemaskini blog peribadinya ini. Alhamdulillah, saat ini beliau diberikan kesempatan masa untuk terus berkongsi dengan kemampuan dan kemahuan yang ada.

Pengalaman yang ditimba

Sepanjang tempoh kehidupannya, zaujati melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam warna warni kehidupan. Banyak kisah-kisah benar dan pengalaman hidupnya dikongsikan terutamanya ketika zaujati berada di United Kingdom ketika melanjutkan pengajian TESL di sana. Peluang dan kesempatan yang ada digunakan untuk melawat dan menziarahi tempat-tempat yang bersejarah dan menarik seperti Syria, Turki, Sepanyol, seluruh UK, Iran dan juga Scotland. Semoga perkongsian yang ada diblog ini sama-sama memberikan kita suatu pandangan serta pengalaman untuk dikongsikan.

Menurut zaujati, tujuan penghasilan blog ini adalah perkongsian untuk rakan-rakan dan sahabat-sahabatnya yang jauh di sisi tetapi dekat di hati. Kerana itulah namanya, special for you. Apa pun, perkongsian boleh dimanfaatkan untuk semua orang. InsyaAllah.

Harapan Saya

Saya sentiasa mengharapkan bahawa, zaujati akan terus mengembangkan potensinya dalam penulisan. Saat ini, zaujati sedang bertungkus lumus menyiapkan sebuah buku pendidikan untuk kanak-kanak yang memfokuskan penanaman tauhid. Semoga Allah SWT berikan zaujati kekuatan yang utuh!

Saya mengimpikan suatu hari nanti, kami berdua boleh menghasilkan sebuah karya bersama dalam pendidikan yang bermanfaat untuk generasi pada mendatang. Doakan kami!
Wallahu’alam.

BroHamzah
Bukit Kerang, Perlis

Read more...

Duhai adik-adik remajaku

Friday, November 4, 2011

Titipan doa dan munajat sentiasa ditadahkan buat kalian. Duhai adik-adik remajaku, tabahkan diri kalian dan teruskan usaha kalian mendidik diri untuk mendekati Allah SWT.


Bismillahirahmanirahim.
Catatan ini, buat kalian duhai adik-adik remajaku.
Semoga kalian berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

(1) Sepanjang berkongsi berkaitan persoalan cinta sama ada dalam bentuk tazkirah, ceramah, forum atau sembang-sembang personal – pastinya ia akan menjadi suatu perbincangan yang sangat-sangat menarik minat adik-adik remaja untuk mendekati dan menyelaminya. Sudah tentu, banyak persoalan yang akan ditanya, disoal dan diajukan dalam pelbagai bentuk situasi, keadaan dan bentuk.

“ Bolehkah kita pendamkan perasaan kita terhadap seseorang?,”
“ Bagaimana kita hendak kejar cinta Allah SWT?”
“ Mohon berikan langkah-langkah detail dalam membuang cinta nafsu?,”
“ Bagaimanakah cinta Rasul dan para sahabat?,”
“ Adakah suka dan cinta itu perasaan yang sama?,”
“ Berdosakan kita menyimpan perasaan kepada seseorang?,”
“ Jelaskan cara untuk atasi cinta yang haram?.”

(2) Menurut, Prof. Madya Dr Asmawati Desa – pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – antara perkara yang menjadi priority dan fokus remaja ketika meningkat usia matang mereka ialah, soal cinta. Justeru, cinta itu wujud dan hadir dalam kehidupan remaja. Ingin menyayangi, disayangi, dikasihi dan mengasihi – adalah fitrah semua insan termasuk remaja.

(3) Ramai adik-adik remaja, akan bertanya soal ini. Salahkah kami bercinta? Bagaimana perasaan cinta yang telah wujud dalam diri kami? Dan, pelbagai lagi soalannya. – Adik-adiku, masyaAllah Maha Suci Allah SWT yang menganugerahi dan mengurniakan perasaan ini kepada kalian. Sujud syukurlah kalian kepada-Nya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

(4) Cinta itu suci, bersih dan jernih. Maka – uruskanlah perasaan ini dengan panduan dan jalan-jalan yang dicintai dan disukai oleh Allah SWT. Cinta adalah sebuah getaran rasa yang menandakan rasa suka, rasa ingin selalu dekat, rasa ingin sentiasa diperhatikan dan rasa ingin selalu bersama orang yang dicintainya. Soal cinta inilah, bagaimanakah kita mengurus perasaan ini. Apakah manual, panduan dan pedoman yang kita gunakan dalam mengurusnya? Itulah yang harus kita bincang-bincangkan. Itulah yang harus diketengahkan dan diwar-warkan kepada adik-adik remaja kita.

(5) Cinta yang ingin kita popularkan ialah cinta yang suci, dari seorang insan yang suci, tidak menginginkan agama dan kesuciaan dirinya serta peribadinya menjadi rosak disebabkan perasaan cinta itu. Dia juga tidak ingin hubungan antara dirinya dengan Allah SWT menjadi renggang, jauh dan semakin jauh lantaran cinta yang jijik dan kotor.

(6) Selain, itu ;- ketika saya mengendalikan sesi perkongsian bersama pelajar-pelajar SPM di sebuah sekolah di Kangar – majoriti mereka sangat-sangat takut dan gementar untuk menghadapi SPM yang dijadualkan akan mereka duduki pada minggu hadapan. – Tidak yakin, hilang fokus, malas, tidak bersemangat dan tidak rasa apa-apa untuk menempuhi medan peperiksaan ini.

“ Saya rasa sangat takut untuk hadapi SPM. Bantu saya?,”
“ Saya kabur, apakah hakikat kejayaan yang sebenarnya?,”
“ Mengapa saya susah hendak study?”
“ Saya malas dan malas. Ada ubat ka?,”
“Adakah saya sudah terlambat?,”
“ Saya ingin menjadi anak yang terbaik dalam keluarga. Tetapi, bagaimana hendak buat?”

(7) Ini juga adalah dilemma adik-adik remajaku saat ini ;- tiada matlamat hidup, tidak tahu untuk berpaut dengan cita-cita yang tinggi, hilang arah tujuan hidup dan kabur dalam kehidupan sendiri. Duhai, adik-adikku – renungilah diri kalian sedalam-dalamnya. Ada sesuatu yang perlu kita fikirkan.

(8) Entri, post dan artikel ini saya bukakan kepada sesiapa sahaja – untuk bertanyakan soalan, atau memberikan apa-apa pandangan, coretan dan kalam nasihat berkaitan adik-adik, anak-anak dan saudara-saudari remaja kita. Kita kongsikan titipan jiwa dan kata-kata jiwa kepada mereka. Buat adik-adik, jika kalian ada sesuatu yang bersarang diminda, persoalan yang bermain-main di fikiran dan terbuka di dada – maka tinggalkan jejak itu diruangan komentar dibawah. InsyaAllah, kita akan sama-sama berkongsi jawapan dengan para pengunjung yang ada.

(9) Akhirnya, Salam Aidil Adha saya – ucapkan kepada semua. Semoga ruh pengorbanan agar terus mengakar di dalam hati kita dan ia mampu dijelmakan dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.

BroHamzah
Bumi Indera Kayangan
Perlis Darus Sunnah.

Read more...

Fasih Dalam Diam

Wednesday, November 2, 2011


Keperibadian yang mulia, sejernih air yang mengalir. Ia akan menyejukan sesiapa sahaja bersamanya.

Memulakan, catatan ringkas ketika ini. – Merenungi sebuah hakikat kehidupan yang sebenarnya. Dengan Nama Allah Lagi Maha Pengasih dan Penyayang.

Saya punyai seorang sahabat baik.

Saya menghormatinya, segan dan kagum kepadanya. Seorang sahabatnya yang kelihatan biasa-biasa sahaja. Keupayaan untuk bertutur kata, tidaklah sepetah mana. Kerap tersangkut-sangkut di saat berkata-kata di khalayak ramai. Penampilan diri, atau wataknya juga seperti insan yang lain.

Ilmunya juga tidaklah setinggi para sarjana, ilmuwan atau mereka yang bergelar ulama atau ustaz. Kerap berceramah ke sana ke mari. Menyampaikan sekelumit ilmu di dada dengan “aura” kehebatan yang ada.

Namun, - sahabat ini- sahsiah dan keperibadiannya memikat hati saya ini. Akhlaknya dicermati dan dihiasi dengan sunnah nabi. Budi pekerti juga sentiasa diperhalusi. Segala apa yang dipelajari, diterima dan ditimba dalam proses tarbiyah ini – akan diusahakan untuk dihiasi dalam penampilan diri. Terpancar akan kesungguhan dalam membaiki diri dan mengajak orang lain yang ada disekelilinginya.

Kata murabbi saya :- “ Fasih dalam diam.”

Diam, tidak banyak bicara, tersenyum dan tenang sahaja. Tetapi, punyai kekuatan yang sangat ampuh dan kukuh.

Kekadang, tidak perlu kita berkata-kata sekencang bicara ahli pemidato handalan, berseloroh memikat para pendengar dengan lawak jenaka keterlaluan dan berusaha mempengaruhi yang lain dengan apa jua cara dan kaedah. Tapi, hanya dengan suatu perkara sahaja : Syaksiyah diri – ia mampu memikat hati-hati untuk mengikuti yang baik dari penghayatan Islam.

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"

(Fussilat: 33)

Itulah muslim mukmin yang sejati :- menjadi daie yang fasih dalam diam. Akhlak, syaksiyah dan keperibadiannya menjadi qudwah dan contoh. Menyemak semula Tazkirah Duat oleh Bahiy Khouly, memberikan suatu dimensi yang jelas kepada kita akan hakikat daie yang sebenar. Katanya :

“Pendakwah juga seorang ‘doktor masyarakat’ yang merawat penyakit di dalam jiwa, dan memperbaiki keadaan masyarakat yang rosak.

Oleh itu, pendakwah adalah pengkritik yang celik, hidupnya digunakan untuk melakukan perubahan dan pembaikan ke arah yang Allah kehendaki.

Pendakwah adalah rakan dan teman, saudara kepada yang kaya dan miskin, tua dan muda, dan melalui sifat ini tercerna dalam hatinya perasaan kasih mengasihi, dan mengalirkan rahmat di matanya, dan mendatangkan kecerian dan pengharapan dari lidah dan tangannya.

Ini sangat diperlukan bagi pendakwah. Dakwahnya melimpahkan kekuatan dan keceriaan kepada ruh, bukan dari kefasihan bicara dan kepetahan lidah.

Semua ini membuktikan bahawa tidak memadai hanya bergantung kepada syarahan atau ceramah sahaja, tetapi mesti ada pengaruh jiwa, dan dominasi ruhiyyah, berhubungan dengan Allah, dan penggunaan fikiran tentang apa yang telah terjadi dari pengalaman sejarah, dan keadaan manusia”.

Komentar – catatan seorang hamba :

(1) Dunia hari ini, adalah zaman kehilangan keperibadian dan syaksiyah yang baik. Manusia-manusia yang rosak, fasad, dan dipenuhi dengan pelbagai bentuk keruntuhan moral dan akhlak. Justeru, usaha-usaha memulihkan aspek ini menjadi fokus utama dalam dakwah dan tarbiyah.

(2) Ia bermula dengan diri kita. Baiki diri kita dan serulah orang lain. Slogan yang akan terus diwar-warkan ke seluruh alam ini. Ia sukar dan amat sukar – kecuali kita melalui suatu proses untuk membentuknya.

(3) Minggu ini, adalah minggu saya ditugaskan untuk menemuramah beberapa orang Tokoh. Dan, kesimpulan yang saya perolehi dalam tugasan ini ialah, betapa penting sahsiah dan qudwah di dalam proses pendidikan hari ini. Masyarakat kehilangan contoh dan ikutan di dalam kehidupan mereka.


Perkongsian Jauh,

BroHamzah
Kangar, Perlis Indera Kayangan.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP