Majalah Pilihan : SOLUSI

Tuesday, November 30, 2010

SOLUSI Isu terkini no. 26

Majalah Pilihan : SOLUSI
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, terima kasih kepada sahabat-sahabat sidang pembaca yang memberi respon, cadangan dan komentar berkaitan dengan post berkaitan buku. Ya, inilah keindahan berada dalam alam yang sangat mengasyikan, penuh keseronokan dan kelazatan. Membaca, ia akan mencorak keperibadian dan kehidupan kita.

Menyebut tentang membaca ini, saya berhajat ingin kongsikan sedikit bahan bacaan yang saya beli dan tatapi secara bulanan melalui media bercetak terutamanya majalah. Hari ini, terdapat banyak majalah yang boleh kita perolehi dipasaran. Dan, setiap bulan saya memperuntukan sejumlah wang untuk memiliki beberapa majalah yang bagus, berinfomasi, mendidik dan penuh dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat. Salah satunya ialah Majalah SOLUSI.

Anda kenal dan pernah membaca majalah SOLUSI? – Seingat saya kali pertama melihat majalah ini adalah edisi perdana atau isu sulung majalah ini.

“ Eh, majalah apa ini? – SOLUSI.” Getus hati kecil saya. Asing benar nama majalah ini. SOLUSI. Jarang-jarang mendengar perkataan sebegini.

Isu pertama yang memikat dan menyentuh hati saya. " Jagalah H A T I"

Ketika itu, saya tidak terdetik langsung dihati untuk membacanya. Saya abaikan kewujudan majalah ini daripada pandangan dan perhatian saya sehingga, isu no.4. – Ketika itu fokusnya, sangat menyentuh hati dan jiwa saya.

“ Jagalah hati” – Itulah tajuknya. Saya membelek-belek dengan penuh perhatian dan teliti. Bagus ini. Dan saya terus beli dan pulang membacanya di rumah.

Dan, Alhamdulillah. Solusi – adalah majalah yang padat dengan pelbagai ilmu, perkongsian, dan pengalaman. Ia mendekatkan saya kepada Allah SWT. Saya teruja, suka dan gembira. Inilah majalah yang sangat memuaskan hati saya.

Majalah bulanan yang mengetengahkan isu-isu yang dekat dihati pembaca. Padat dengan hasil tulisan penulis-penulis yang prolifik, tips dan panduan serta tulisan-tulisan yang menyentuh hati.


SOLUSI merangkumi keseluruhan aspek kehidupan ummah: Motivasi untuk ibubapa, suami isteri, anak-anak, remaja, pelajar, pekerja, dan lain-lain.

Ia juga membincangkan banyak perkara seperti Fiqh Amali, Tauhid, Muamalat, Munakahat, Muqasid Syarie, Fadhail amal, Faraid, isu-isu semasa, perubatan, motivasi kerja dan sebagainya.

Komentar saya tentang SOLUSI :

1)- Majalah yang sangat memikat hati – Susunan grafik, persembahan intipati artikel dan rekaletak gambarnya sangat menarik, dan indah. Sedap mata memandang apatah lagi membaca. Bagi saya, hal ini sangat penting dalam menarik perhatian untuk seseorang membacanya.

2)- SOLUSI – membariskan penulis-penulis yang hebat, terkenal dan yang penting – kupasan yang baik. Penulis kegemaran saya ialah Pahrol Mohd Juoi – ( Ruangan fokusnya sangat berilmiah, kemas dan membuatkan kita bergerak untuk berfikir, beramal dan bertindak). Dan, diantara ruang kolum yang saya minat ialah Kolum Mahmudah tulisan Ustaz Umar M Noor. Saya suka kerana beliau mengambil kisah-kisah sirah para sahabat, para tabiin, ulamak dan orang-orang warak yang jarang sekali saya dengar. Saya peminat sirah no. 1 yang sangat kagum dengan sirah-sirah yang luar biasa dan menakjubkan.

3)- Tulisan-tulisan yang lain juga, saya minati dan sukai. – Dr Mohd Fadzillah Kamsah, Ust Hasrizal Jamil, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Fatimah Syarhan Noordin, Dr Farhan Hadi dan ramai lagi. Setiap bulan, saya menanti untuk mendapatkan keluaran SOLUSI yang baru. Bagi saya RM 9.00 yang dilaburkan adalah pelaburan yang sangat-sangat berbaloi. Pelaburan yang akan menghasilkan pemulangan yang menguntungkan. Yakinlah. Saya sangat-sangat mengesyorkan agar anda memilikinya.

4)- Harapan saya, aka nada banyak lagi majalah sebegini. Hari ini kita dipenuhi dengan majalah picisan, berbentuk hiburan, khurafat dan berbau dosa. Semoga kelahiran pelbagai majalah yang soleh, baik dan islamik akan menjadi medan alternative masyarakat untuk mendapatkan bahan bacaan yang mendidik jiwa dan hati.

Sekiranya, anda ingin berkongsi pandangan berkaitan Majalah SOLUSI. Saya sangat alu-alukan. Bagi, yang belum pernah membaca dan memilikinya – anda harus dapatkanya segera. Terkini, Majalah SOLUSI sudah memasuki isu no. 26.

Sekian, perkongsian ringkas dan padat.
Semoga bermanfaat.

Read more...

Buku, apa yang perlu dibaca?

Monday, November 29, 2010

Hajat untuk memiliki perpusatakaan sendiri - Bilakah?


Buku, apa yang perlu dibaca?
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, salam penuh keceriaan dan kebahagiaan. Semoga setiap daripada kita mampu mengukurkan senyuman yang akan menyerikan riak wajah kita dengan kecerahan, ketenangan dan ketenteraman.

Alhamdulillah, selepas artikel saya – Buku, ia sangat mengasyikan! – dipostkan beberapa hari yang lepas, saya menerima beberapa komentar, respon melalui emel dan juga daripada mesej facebook. Ada yang menanyakan tentang buku apa yang perlu dibaca untuk peningkatan tarbiyah, cadangan buku-buku dan juga penulis buku yang bagus dan sebagainya.

Terlebih dahulu, ingin saya nyatakan bahawa saya bukanlah seorang alim ulama atau ilmuan, atau cerdikpandai yang memiliki, membaca dan memahami banyak karya-karya kitab-kitab, buku-buku atau hasil tulisan yang hebat-hebat. Saya sekadar berkongsi dengan anda, tentang satu hakikat yang wajar dikongsikan iaitu kenikmatan dan kelazatan membaca. Dan sebenarnya, fokus saya tempohari ialah ajakan, galakan dan dorongan agar kita semua mempertingkatkan usaha untuk kuat membaca!.

Saya begitu terpesona dengan ungkapan Dr Aid Abdullah Al-Qarni dalam bukunya, ‘Asyiq ( Aku, Buku dan Cinta) :

“ Setelah berkenalan lama dengan buku dan perjalanan yang panjang bersama kertas, saya kembali dengan keyakinan bahawa tidak ada yang lebih setia selain buku. Sahabat boleh jemu, mengutuk, meninggalkan dan berkhianat. Tetapi buku, tidaklah demikian. Saya termasuk orang yang rela menjual persahabatan demi buku, kerana saya tidak menjumpai seorang sahabat pun yang setia selain buku.”

Saya hanya memiliki sebuah perpustakaan mini, yang jumlah bukunya tidak melebihi 1,000 buah. Sebuah perpustakaan yang kecil lagi kerdil dan saya usahakan pengumpulannya semenjak tingkatan 2 dengan duit poket sendiri. Semasa di universiti, saya peruntukan RM 50 setiap bulan untuk membeli beberapa buah buku mengikut keperluan dan fokus pembacaan saya pada ketika itu.

Baiklah, saya berhajat ingin kongsikan cadangan beberapa buah buku, kitab dan juga cadangan penulis-penulis atau pengarang-pengarang buku yang baik dan elok dibaca. Kebanyakannya, adalah para ulamak muktabar, para penulis yang sangat pakar dalam bidang kemahiran mereka dan penulis-penulis yang mampu menghasilkan karya yang hidup, membangkitkan dan segar untuk ditatapi. Saya pecahkan mengikut beberapa agihan skop :

B U K U U T A M A
Al-Quran tatapan harian - Sederhana kecil, mudah dibawa, bermakna dan mengesani jiwa!

Kitab Al-Quranul Karim

1)- Al-Quran Syamil Edisi Tajwid – Keluaran Indonesia. Kenapa saya syorkan? – [1] Sederhana kecil ; mudah untuk dibawa ke mana-mana [2] Bertajwid dengan warna-warna yang pelbagai mengikut hukum tajwid – memudahkan pembacaan dengan bacaan tajwid yang betul [3] Terjemahan makna bagi setiap ayat – memudahkan pembaca memahami ayat Al-Quran secara tidak langsung [4] Disertakan Sisipan Al-Mathurat yang kecil. Sebagai panduan zikir al-Mathurat.

Tafsir Al-Quran dan Hadis

1)- Tafsir Ibnu Kathir, pengarang Ibnu Kathir – Menurut Dr Aid Abdullah Al-Qarni, Imam al-Syaukani pernah berkata dalam kitab al-Badr al-Thali’ : “ Aku belum pernah melihat ada kitab tafsir yang lebih hebat daripada kitab ini.”

Keistimewaan kitab ini : - a) Ia mentafsirkan Al-Quran dengan Al-Quran. Dalam mentafsirkan satu ayat, dia menyebut beberapa ayat yang ada kaitannya dengan ayat tersebut. b)- Selain itu, ia juga menggunakan hadis-hadis nabawi seperti Musnad Imam Ahmad, kuttub al-Sittah dan kitab-kitab lain.

2)- Kitab Fizilalil Quran, karya Syed Qutb – Antara Karya beliau yang termahsyur. Dikatakan sebahagiaannya ditulis ketika beliau di dalam penjara. Bahasanya memukau, menyentuh dan menekankan aspek ruhiyah Al-Quraniyah.

3)- Kitab Sahih Bukhari – Kitab ini, sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Taimiyah dalam kitab Fatawanya – merupakan kitab hadis yang paling utama setelah Al-Quran. Penyusunannya luar biasa. Antaranya, Imam al-Bukhari memakai tulisan hadis sebagai nama bab kitab dan ia merupakan istinbat dari hadis-hadisyang ada dalam bab itu sendiri. ( Dr Aid Abdullah Al-Qarni)

Kitab syarah Sahih Bukhari yang popular seperti, Fath al-Bari karya Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Hady al-Sari karya al-Qasthalani.

4)- Kitab Sahih Muslim – Kitab hadis yang menduduki tempat kedua selepas kitab Sahih Al-Bukhari.

Tarbiyah Imaniyah, ruhiyah dan dzatiyah ( Proses pembentukan diri dan sahsiah)

1)- Fathi Yakan ( Buku Apa Erti Saya Menganut Islam?) – Buku yang penting untuk dihadam. Utamakan yang ini bagi yang inginkan pemahaman yang jelas tentang Islam. InsyaAllah.

2)- Abdullah Nasih Ulwan ( Menuju Jalan Taqwa, dan Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi) – 2 buah buku ini telah memberi suatu impak dan kesan kepada saya. Sangat-sangat membantu memproses penyucian dan pembersihan diri. InsyaAllah.

3)-Muhammad Ali al-Hashimi ( Keperibadian Mukmin)- Sangat sistematik, tersusun dan harus dimiliki oleh semua orang dalam melaksanakan kehidupan seperti baginda Rasulullah SAW. Ada dalam bahasa Inggeris iaitu The Ideal Muslim keluaran Internasional Islamic Publishing House.

4)-Dr Yusuf Al-Qardawi ( Iman dan kehidupan, Detik-detik Masa dalam kehidupan seorang muslim). Beliau banyak mengarang kitab dan kebanyakannya berkisar dakwah, tarbiyah, fiqh dan isu-isu semasa. Seorang tokoh ulamak terkini yang sangat dikagumi dan disegani.


Dakwah Islamiyah, Harakah Islamiyah

1)- Mustafa Masyhur ( Dakwah Fardiyah, Bekalan Di Sepanjang Jalan Dakwah, Suri Teladan Di Sepanjang Jalan Dakwah). – Banyak memberikan dorongan, penjelasan dan bekalan-bekalan dalam mengharungi jalan dakwah. MasyaAllah. Tulisan yang sangat penting untuk para-para daie.

2) Muhammad Ahmad Ar-Rasyid ( Al- Muntalaq (Titik Tolak) , Al- Raqa’iq, Al- Masar ( Khitab Dakwah), Al-Awaiq (Hambatan-hambatan dakwah). Tulisan berdasarkan pengamatan, pengalaman dan interaksi dakwahnya yang sangat mendalam dan panjang dalam medan dakwah. Dipenuhi dengan kajian fiqh dakwah dan bahasa yang sarat ruhaniyah. Dalam bukunya, kita akan dapat 2 perkara sekali gus iaitu , wawasan dakwah yang luas dan penguatan keruhanian yang sangat mengesani jiwa!

3) Hassan Al-Banna ( Beliau tidak menulis buku, tetapi pemikiran dan ceramah beliau ditulis semula dan dibukukan, antaranya Pandangan semula kepada Risalah Ta’lim, Usrah dan dakwah, Antara Hari ini dan semalam, Bingkisan untuk pemuda dan sebagainya.)

Fikrah Islamiyah, Ideologi Pemikiran

1)- Syed Qutb ( Petunjuk Sepanjang Jalan) – Buku kontroversi yang mencetuskan suatu era kesedaran dan kebangkitan Islam. Menjelaskan sejelas-jelasnya antara Islam dan Jahiliyah. Saya sangat menyukai satu bab awalnya iaitu : Generasi Al-Quran yang unik.

2)- Dr Ali Abdul Halim Mahmud ( Syarah Usul 20 Imam Hassan Al-Banna – Rukun Faham), Huraian secara terperinci berkaitan salah satu rukun baiah yang diperkenalkan oleh Imam Al-Banna iaitu rukun faham. Syarahan yang terperinci, berserta dalil-dalil Al-Quran dan Hadis serta contoh-contoh yang sesuai.

3)- Dr Ugi Suharto ( Pemikiran Islam Liberal )- Penulisan yang cuba menjelaskan suatu aliran pemikiran yang sangat bahaya dan kian menular di dunia. Bahasanya agak ilmiah dan perlukan panduan dan kajian lanjut.

4) Abul A’la Maududi – ( Islam dan Jahiliyah )- Bukunya nipis, bahasa agak tinggi dan ilmiah. Namun, penjelasannya berkaitan Islam dan Jahiliyah sangat terang dan nyata.

Sirah, Sejarah dan Fiqh Sirah

1)- Dr Abd Rahman Ra’fat ( 65 kehidupan para sahabat Rasulullah SAW atau terkini terdapat tajuk 65 Manusia Langit) – Komentar : Buku ini sangat bagus, bahasanya indah dan penuh kesasteraan yang menusuk jiwa. Bacalah dengan penuh penghayatan dan anda akan dapat menyelami kehidupan para sahabat seolah-olah kita berada di zaman mereka.

2)- Dr Ali Shurbaji (Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat). Kitab yang menceritakan kisah para sahabat mengikut tema-temanya yang tertentu. Diterjemahkan oleh Ustaz Darus Senawi.

3)- Mustafa al-Sibai’ (Al-Sirah al-Nabawiah : Durus wa ‘Ibar) – Kitab sirah kontemporeri namun penuh dengan pemikiran.

4)- Shafi al-Rahman al-Mubarakfuri (Al-Raeeq al-Makhtum fi Sirah al-Nabi al-Ma’shum). Antara kitab sirah yang terbaik. Susunan bahasa yang mudah dan sesuai untuk umum. Diterjemah oleh Ustaz Darus Senawi.

5)- Ibnu Qayyim Al-Jauziyah (Zad al-Ma’ad) – Komentar Dr Aid Abdullah Al-Qarni, ini merupakan kitab yang terbaik yang pernah dia lihat.

6)– Sirah Ibn Hisyam – Kirab ini merupakan kitab yang paling afdhal dan juga luaS perbahasannya.

Al-Quran dan Sains

1)- Sheikh Abdul Majid Al-Zindani ( Al-Quran dan Sains). Saya pernah memiliki buku ini namun, tidak pasti kemana ia telah menghilang?- Sempat membaca sehingga separuh buku. Menarik!

2)- Harun Yahya (Kaum-kaum yang pupus, Penipuan Evolusi, Malapetaka yang dibawa oleh Darwinisma kepada manusia, Bagi orang-orang yang memahami, Keajaiban Al-Quran dan banyak lagi). Konsep dan pendekatan yang dipersembahkan oleh Harun Yahya dalam bukunya, menjadikan ia tarikan utama untuk mendalami setiap penulisannya.

3) – Dr Haji Jamnul Azhar B Hj Mulkan ( Al-Quran dan Sains) – Saya sangat mengemari ceramah dan pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Jamnul sejak zaman menengah lagi. Menarik, berfakta, berisi dan terhibur. Buku ini sepatutnya bersiri tetapi saya hanya jumpa satu siri sahaja.

4)- Dr Danial Zainal Abidin ( Konsep Perubatan Islam, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden, Bukti-bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW, Empayar Minda Muslim dan 7 Formula Individu Cemerlang). Buku-buku beliau semuanya diterbitkan oleh PTS dan antara buku yang bestseller.

Motivasi Tarbawi dan Islamik

1)- Amru Khalid – ( The Power Of Akhlak, Melamar Bidadari dengan Solat Malam, Ibadatul Mukmin ( Ibadah Sebening hati), Ishlahul Qulub dan banyak lagi) – Siapa beliau? – merupakan seorang ustaz dan dai muda Mesir yang banyak berkecimpung dalam hal pengurusan kalbu. Terkenal sebagai pengacara acara televisyen paling terkenal di Timur Tengah iaitu Shuna’ul Hayah ( Pengurusan Hidup)

2)- Dr Aid Abdullah Al-Qarni. Buku beliau yang terbaik ialah La Tahzan Jangan bersedih telah membangkitkan saya daripada kelesuan dan kejatuhan semangat ketika itu. Dan bermula saat itu saya mulai membeli karya-karyanya yang tidak kurang hebatnya seperti, Jagalah Allah, Allah menjagamu, Jangan Melampaui batas, Tersenyumlah, Bacalah dengan nama tuhanmu dan sebagainya.

3)- Majdi Al-Hilali ( Mari Menjadi Hamba Rabbani, Hancurkan Ego dalam diri, Membina Personaliti Rabbani) – Tulisan yang baik, mudah dan praktikal. Harus dimiliki.

4)- Muhammad Ahmad Ismail al-Muqaddam ( Uluwwul Himmah) – Sebuah buku yang membangkitkan semangat saya. Setebal 509 muka surat, ia membawa kita menyelami erti sebuah semangat atas dasar keimanan dan matlamat yang jelas.

5)- Solikhin Izzudin. Bukunya seperti Zero to Hero, The Way to win, Tarbiyah Dzatiyah, Quantum Tarbiyah, The Great Power of Mother dan sebagainya telah saya baca dan teladani. Bahasanya mudah, simple tetapi bagi saya – ia menyengat!

6)- Salim A Fillah - Bukunya itu seperti Jalan Cinta Para Pejuang, Nikmatnya Pacaran Setelah Pernikahan, Agar Bidadari Cemburu Padamu, Bahagianya Merayakan Cinta, dan Saksikan Bahwa Aku seorang Muslim – telah saya cari, beli dan sedang berusaha membaca sehingga selesai!


Penulis-penulis Malaysia - Motivasi remaja, keibubapaan

1)- Ummu Anas – Motivasi remaja. Seorang ibu yang menulis dengan bahasa hati. Telah menghasilkan 2 buah buku, iaitu Anak-anakku bangunlah dan Anak-anakku berjuanglah. Boleh baca tulisannya di dalam majalah HALUAN setiap bulan. InsyaAllah

2)- Pahroi Mohd Juoi – penulis yang sangat berpengalaman. Saya terpikat caranya berinteraksi dengan pembaca di dalam setiap penulisannya. Mudah, simple, ajakan berfikir dan hidup. Layari blognya iaitu Genta-Rasa. Bukunya yang telah saya baca, antaranya Tentang Cinta, Nota fikir, Nota Zikir, Mukmin Profesional, Satu Rasa Dua Hati, Nota hati seorang lelaki dan sebagainya.

3)- Ustaz Hasrizal Mohd Jamil- seorang dai, blogger dan juga motivator yang terkenal di Malaysia. Websitenya iaitu SaifulIslam.Com telah menjadi medannya berkongsi ilmu dan memberi. Terkenal dengan ungkapan – Erti Hidup pada memberi. Buku-buku bestsellernya seperti Aku Terima Nikahnya, Bercinta sehingga ke Syurga dan Murabbi Cinta. Kesemuannya telah saya memiliki dan baca. Menarik!

4) - Ustaz Zaharudin Abd Rahman - seorang ahli akademik tetapi sentiasa berkongsi ilmu di teratak websitenya . Zaharuddin.net. Buku-bukunya juga sangat membantu dalam memahami fiqh, muamalat dan soal hukum hakam Islam.


Penulis-penulis karya kreatif dan kesenian kesasteraan

1)- Dr Faisal Tehrani - Beliau adalah penerima Anugerah Seni Negara 2006 oleh kerajaan Malaysia dan Tokoh Penulis Muda Negeri Melaka 2009 oleh Kerajaan Negeri Melaka.

Novel hasil karyanya - Cinta Hari-hari Rusuhan , Politikus Melayu , 1515 , Maaf Dari Sorga, novel Rahsia Ummi, Tunggu Teduh Dulu .1511H Kombat Advencer Si Peniup Ney , Detektif Indigo ,Surat-surat Perempuan Johor , Detektif Indigo, Bedar Sukma Bisu dan Manikam Kalbu. Hampir kesemuanya telah saya baca dan ia lain daripada lain. FT sangat teliti dan bijak dalam berkarya. Kerana itu mutu penulisannya sangat tinggi dan sukar ditandingi.

2)- Habiburahman El Syirazy - Novelnya Ayat-ayat Cinta telah memberikan suatu ledakan fenomena baru dalam dunia penulisan kesenian kreatif. Semasa membacanya – saya benar-benar tenggelam di dalam dunia penulisan garapnya. Sejak itu, karya-karyanya akan saya amati dan telaahi – Antaranya seperti, Di atas sajadah cinta, ketika cinta berbuah syurga, Ketika cinta bertasbih dan terkini Bumi Cinta.

3)- Fatimah Syarha Noordin – Seorang penulis muda yang prolifik. Karya seperti Tautan Hati, Syabab Musafir Kasih, Hatiku Milikmu telah membawa satu arus baru dalam penulisan seni kreatif. Kekuatannya, penulisannya ialah bahasa sastera yang tinggi, dipenuhi bunga-bungan keimanan dan rujukan nota yang dilampirkan dalam setiap novelnya.

4) – Hilal Asyraf – Penulis muda yang kian meningkat naik. Novelnya VT, Relasi, Sinergi dan lain-lain telah menjadikan keimanan dan dakwah sebagai tema utamanya. Beliau akan hadir dalam dunia sastera dengan karya-karya yang lebih mantap dan menarik. InsyaAllah. Boleh layari websitenya – LangitIlahi.

Penutup - Sekadarnya

1)- Artikel kali ini kelihatan panjang, insyaAllah saya akan menyambungnya dikesempatan yang lain. Banyak sebenarnya yang ingin dikongsikan dengan anda.

2)- Keutamaan kita dalam membaca harus bermula dengan Al-Quran. Itu prioriti kita. Kemudian, kitab-kitab hadis, buku berkaitan proses penyucian diri, dakwah, motivasi dan perkara-perkara lain. Akan dibincangkan nanti.

3)- Ada bertanya bagaimana ingin mengurus masa untuk membaca sedangkan masa terlalu singkat dan suntuk. Kita sibuk. – Sir Irwan, sahabat saya ada menyebut : “ Kita sebenarnya tidak dapat urus masa- kerana masa itu sememangnya 24 jam. Tidak lebih dan tidak kurang. Yang perlu kita urus ialah manusia itu sendiri.” Menarik jika dikongsikan ini.

4)- Dan akhirnya, saya terpegun dengan kata-kata ini : “ Setiap tokoh agung pasti sukakan membaca dan setiap orang bodoh pasti bencikan buku.”

5)- Sekiranya anda ingin kongsikan buku-buku dan cadangan penulis yang baik - dipersilakan. Kita kongsikan agar kita semua menjadi ummat Iqra!

Sekian, mohon maaf atas segalanya.
Semoga bermanfaat. Leader are reader!

Read more...

Bicara Murabbi : Menjadi Bintang ?

Sunday, November 28, 2010

Bintang - ada apa dengan bintang?


Bicara Murabbi : Menjadi Bintang?
Oleh : BroHamzah

Sedikit coretan daripada Abu Riduan.

"Hari ini ramai orang ingin menjadi BINTANG. Mahukah anda menjadi BINTANG? Bukan di pentas, bukan di televisyen tetapi di hadapan Allah."

Semua orang mahu jadi bintang. Saya juga. Menjadi bintang itu kan kebanggaan keluarga? Disanjung dan dipuja orang. Seperti bintang-bintang AF yang digilai oleh anak-anak muda malah 'nenek-nenek muda'!

Tetapi menjadi bintang di dunia hanyalah bersifat sementara. Hilang kecantikan atau ketampanan di wajah atau kelunakan suara, bintang tersebut akan dilupakan orang. Atau lahir bintang baru yang lebih hebat, perhatian tidak tertumpu lagi kepada bintang lama...

Namun, apabila kita menjadi bintang di mata Allah, kepopularan kita tidak akan hilang selagi kita mengekalkan prestasi kita. Tidak kira berapa banyak bintang baru muncul atau semakin usia kita meningkat, kita akan tetap menjadi bintang Allah.

Bagaimana mahu menjadi bintang di hadapan Allah?

Abu Riduan

Coretan dan komentar – BH

1)- Menjadi bintang itu adalah saat kemuncak untuk mempersembahkan bekalan yang terbaik untuk Allah SWT. Bekalan keimanan dan ketaqwaan hanyasanya untuk-Nya. Bintang di sisi Allah SWT, terkenal di langit tinggi, di langit Ilahi.

2)- Para sahabat yang didik oleh Rasulullah SAW telah menunjukan amal yang nyata dan prestasi yang mengagumkan. Mereka diiktiraf sebagai bintang oleh Allah SWT. – Bintang yang terbaik di dalam sejarah perabadan manusia.

3)- Bintang di sisi Allah SWT – ia bergemerlapan dengan sinar cahaya keimanan, wajahnya putih berseri kesan daripada air wudhuk serta kerap sujud menyembah Allah SWT, berprestasi dengan amal-amal nyata yang cemerlang, penuh kesungguhan dalam beramal, konsisten dalam memperkasakan medan dakwah dan sentiasa memelihara kebersihan, kejernihan & kesejahteraan hati.

4)- Di dalam sejarah, para sahabat Rasulullah SAW adalah bintang-bintang yang menyinari alam dengan kewujudan dan keberadaan mereka. Kehadiran mereka telah mencorak suatu perubahan yang sangat luar biasa kepada iklim dunia. – Mereka hadir mengubah dunia dan merekalah benar-benar bintang yang harus dijadikan contoh, qudwah, role model dan ikutan. Bintang akhirat yang terkenal di dunia dan disegani oleh seluruh penghuni langit!

Kita berkeupayaan untuk menjadi bintang!

Read more...

Sketsa Kehidupan : Oh BMW ku

Saturday, November 27, 2010

BMW 7 Series. Anda berminat untuk memilikinya?



Sketsa Kehidupan : Oh BMW ku.

Sharing by : Abu Ridwan

Seorang lelaki memandu BMW 7 Series barunya yang merelit (bersinar). Aura kereta berjenama dunia itu benar-benar mengujakannya. Sedang dia menikmati suasana itu tiba-tiba sebuah kereta lain yang dipandu laju menggesel bahagian kanan kereta mewahnya dengan teruk. Dia membrek dengan serta merta lalu berhenti di tepi jalan. Dia bergegas keluar melihat kesan kerosakan yang dahsyat. Dia menjerit-jerit melempias kemarahan sambil menunjuk kesan kerosakan pada keretanya. Apabila seorang anggota polis trifik tiba dia segera menghambur kemarahannya,

” Tengok kerosakan ini, tahu berapa saya perlu bayar untuk bimmers saya ini ?”

Anggota polis itu kehairanan melihat lelaki ini.

”Saudara...kamu begitu ambil berat tentang kereta, tetapi kenapa tidak tengok tangan kamu yang hampir hancur ?”

Lelaki itu tersentak dan memandang kepada tangannya yang parah. Dia menjerit dengan kuat,

”Ohhh...jam Rolexku !!!!!”

Moral of the story :

1)- Cinta dunia menjadikan manusia lupa diri, lupa keluarga dan lupa prinsip.

2)- Manusia sibuk memburu dunia sehingga lupa diri, keluarga dan agama.

3)- Putus tangan itu lebih sederhana jika dibandingkan dengan musnah diri, hancur sebuah perkahwinan, berantakan sebuah keluarga dan haru biru di dalam masyarakat.

4)- Dunia perlu bagi kita sebanyak yang mungkin tetapi letakkannya di tangan jangan di dalam hati.

5)- Dunia di tangan mudah menginfakkannya. Mudah untuk sabar dan redha sekiranya terlepas dari genggaman : Hilang dunia bukan hilang segala-galanya.

6)- Dunia di dalam hati mebuahkan bakhil bin kedekut, rasa diri musnah apabila hilang dunia : Hilang dunia hilang pertimbangan

7)- Belilah kereta buatan Malaysia.

**Cerita hanya jenaka, tiada kaitan dengan sesiapa sahaja samada yang masih hidup atau telah meninggal dunia...

Read more...

Blog Pilihan - Halaqah Muntijah

Halaqah - ia umpama charger kepada iman



Blog Pilihan – Halaqah Muntijah
Oleh : BroHamzah

Url : http://halaqahmuntijah.wordpress.com/
Pemilik/ Penulis : Abu Ridhuwan

Fokus : Perkongsian berkisar halaqah, bahan-bahan pengisiannya, persoalan-persoalan seputar perjalanannya halaqah dan bagaimana menghidupkan halaqah sehingga ia dikatakan muntijah.


Halaqah Muntijah

Halaqah membawa maksud kepada bulatan atau secara umumnya pada hari ini ia menjadi medium pertemuan jiwa-jiwa yang berhajatkan kepada proses didikan tarbiyah imaniyah dan mempunyai murabbi atau pembimbing yang akan mengendalikan perjalanan halaqah tersebut.

Blog Halaqah Muntijah kendalian moderatornya Abu Ridhuwan menjadi salah satu blog yang baik untuk dijadikan rujukan bagi memperolehi bahan-bahan untuk dibincangkan di dalam halaqah.

Tema Halaqah Muntijah

Dengan menjadikan kata-kata ini sebagai temanya : Tarbiyah Bukanlah Segala-galanya, Tetapi Segala-galanya Bermula Dengan Tarbiyah.” – Halaqah muntijah memfokuskan kepada aspek tarbiyah yang menjadi tunjang kepada penghayatan ruh pendidikan pembentukan keperibadian mukmin.

Tarbiyah – satu perkataan dan perbuatan yang harus dibumikan dalam kehidupan seseorang mukmin muslim agar setiap kehidupannya adalah berlandaskan Islam. Tarbiyah inilah yang menjadi focus utama baginda Rasulullah SAW di dalam mendidik para sahabat generasi awal pada zaman kebangkitan awal Islam di Makkah suatu masa dahulu.


Keistimewaan Halaqah Muntijah

Halaqah Muntijah juga menyediakan bahan-bahan tarbiyah dan penyampaian daripada Murabbi-murabbi tarbiyah yang pernah mendidik Abu Ridhuwan antaranya ialah Mohd Abd Ghani Bin Mohd Salleh, Sheikh Abu Muhammad ( al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain), Ustaz Abdullah Akhili, Ustaz Abu Hussein dan Ustaz Omar Haji Salleh. Perkongsian sebegini amat berharga untuk dijadikan sebahagian bahan-bahan untuk proses peningkatan diri. Selain itu, ia juga mewujudkan ruangan pertanyaan dan persoalan untuk sama-sama diperbincangkan bagi isu-isu yang berkaitan dengan halaqah.

Saranan saya

Saya juga sering mengunjungi blog ini untuk mendapatkan bahan-bahan tarbiyah halaqah untuk proses pendidikan diri saya. Alhamdulillah, banyak manfaat yang akan kita perolehi untuk kesejahteraan iman kita. InsyaAllah.

Read more...

Nota Tarbiyah : Menunduk Pandangan

Friday, November 26, 2010

Mata - punca hati bahagia dan ia juga sebab hati merana.


Nota Tarbiyah : Menunduk Pandangan

Oleh : BroHamzah

Suatu hari, ada seorang anak murid bertemu dengan murabbinya. Dia ingin meluahkan sesuatu permasalahan kepada murabbi yang disegani dan dihormatinya itu.

Saat itu, hatinya benar-benar gersang, hambar dan kaku. Setiap ibadah yang dilaksanakannya seolah-olah kering dan tidak meninggalkan kesan kepada hatinya. Kenikmatan dan kemanisan beribadah dan bermunajat jua semakin hari semakin hilang daripada kehidupannya.

Dia runsing, bimbang dan resah. Adakah dia sudah kehilangan cinta dan kasih sayang daripada Allah SWT. Ya, dia sentiasa konsisten dan istiqamah menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu, mendengar tazkirah mingguan dan pengisian-pengisian kerohanian.

Tetapi jauh di sudut hatinya, dia meronta-ronta.

“ Hati ini benar-benar kosong....”

“ Murabbi, hajat benar agar dapat membantu hamba ini,”Katanya lembut kepada Sang Murabbi yang dithiqahinya.

Air matanya mengalir. Sebak dan sayu. Dia merasakan seolah-olah sudah hilang segala keserian dan kehidupan yang membahagiakan. Matanya berkaca-kaca. Dia tertunduk di depan insan yang disayanginya.

“ Akhi, pernahkah anta merasai seperti saat ini, sebelum ini?,” Tanya Murabbinya.

“ Belum lagi ya Murabbi,” Jawabnya dengan nada perlahan.

“ Anta tahu, kadang-kadang jasad dan fizikal kita hadir ke dalam program-program pengisian ilmu dan tazkirah hati tetapi hati kita tidak dibawa bersama-sama. Hati tidak hadir ke dalam majlis ilmu, sedangkan sasar utama proses pensucian dan tarbiyah ini ialah hati. – Program berjalan tetapi proses tidak berlaku,” Kalam murabbi itu penuh tarbawi dan menusuk kalbu.

“ Jadi, sekarang ini apa yang perlu saya buat?,” Soalnya dengan penuh sinar pengharapan.

“ Tunduk pandangan dan peliharalah mata anta,” Kata murabbinya.

“ Hah! Kenapa pulak?,” Soalnya kepelikan.

Menunduk Pandangan

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan.”

( An- Nur : 30)

Di dalam buku Apa Ertinya saya menganut Islam, Dr Fathi Yakan telah menghuraikan berkaitan akhlak-akhlak yang perlu ada paa seorang muslim. Salah satunya ialah menundukan pandangan. Menundukan pandangan, bererti berusaha untuk mengalih pandangan, menutup dan dengan penuh sifat mujahadah dengan penuh keimanan, dan kerendahan hati daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah, kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke lembah kehinaan.

Dia akan bermujahadah daripada melihat perkara-perkara keji, kotor, jijik dan berbau dosa. Matanya dipelihara daripada perkara-perkara sebegitu. Kerana apa? – Pandangan mata akan memberikan kesan kepada hati. Setiap pandangan mata akan memberikan kredit kepada hati. Sama ada terbentuknya bintik-bintik hitam kerana dosa, atau menjernihkan hati dengan amalan kesolehan.

“ Dengan menundukan pandangan – anta akan dikurniakan oleh Allah suatu nikmat yang jarang-jarang diperolehi oleh manusia lain.” Kata Murabbi

“ Apa dia, wahai murabbi ?,” Katanya dengan penuh minat.

“ Allah SWT akan berikan nikmat dan kemanisan dalam beribadah. Anta akan merasai nikmat kekhusyukan di dalam solat!,” Katanya dengan lemah lembut.

Ya. Dengan menundukan pandangan, Allah akan berikan suatu nikmat yang sangat manis dan mahal. Kekhusyukan di dalam solat. Kerana, mata yang terpelihara dan terjaga – menjadi asbab hati, jiwa dan perasaan itu jernih, bersih, putih dan suci. Kesannya – ibadah solat akan terfokus, khusyuk dan membahagiakan.

Pratikal menunduk pandangan : Mustahil?

Boleh ke hendak menunduk pandangan. Rasa macam tidak logik. Hari ini, dimana-mana dan diserata tempat, terdapat banyak bentuk-bentuk kemaksiatan dan kemungkaran :

1)- Kota raya, - lihatlah bagaimana cara remaja-remaja berpakaian terutama perempuan. Sangat-sangat mengoncangkan iman dan mengiurkan perasaan. Pusing ke kanan, masyaAllah. Alih ke kiri juga, perkara yang sama. Di mana-mana tidak kira masa dan tempat. Setiap kali mata memandang, hati berdebar-debar rasanya.

2)- Kedai buku dan gerai majalah juga sama – lihatlah majalah-majalah picisan dan rendah moral yang berlambak dipasaran. Cover majalah yang mendedahkan segala-galanya. Sekali terpandang, tergugat hati dan seluruh jiwa raga. Macam-macam gaya yang diperlihatkan. Begitu juga dengan surat khabar yang ada sekarang. Iklan-iklan yang menggiurkan seringkali mencabar kelelakian dan keimanan yng bertahta di hati. Gambar-gambar yang didedahkan seolah-olah tiada unit tapisan dan diletak tanpa pemantauan undang-undang.

3)- Filem-filem dan drama-drama yang dihasilkan sama ada peringkat tempatan atau antarabangasa apatah lagi. Pastikan akan mendedahkan perilaku dan agenda-agenda membangkit syahwat, mengghairahkan nafsu dan merosakan keharmonian iman.

4)- Alam maya internet pun sama juga . Laman-laman website yang sentiasa mengganggu keharmonian ketika melayari internet sering muncul secara tiba-tiba, sangat-sangat mengejutkan iman! Ini tidak masuk lagi, yang gambar-gambar yang tidak soleh, separuh berpakaian dan aksi-aksi yang jijik dan kotor yang mudah dicapai di alam sesawang ini.

5)- Mesej-mesej berbau lucah dan video-video yang dihantar secara rambang ke handset kita selalu mengganggu ketenteram iman. Bisikan syaitan dan nafsu selalu – mengarahkan agar membukanya dan menikmatinya. Jadi bagaimana harus kita buat?

6) – Dan, banyak lagi. Semuanya ke arah kehancuran dan kemusnahan keimanan.

Jadi, bagaimana mahu memelihara mata? Sukar sekali.

“ Akhi, memelihara mata dan menunduk pandangan memerlukan sifat mujahadah nafsu yang sangat tinggi. Ia adalah bentuk jihad yang menuntut pengorbanan kejiwaan yang tinggi. Tetapi, yakinlah ganjarannya adalah sangat mahal dan tidak ternilai,” Murabbi meneruskan bicara kalamnya.

Menunduk pandangan bererti kita memelihara kehormatan dan kemuliaan diri. Keaiban-keaiban sebegini harus dijaga dan dicegah awal-awal lagi. Ingatlah sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu atau Allah menelungkupkan muka kamu.”

( Hadis riwayat At-Tabarani)

Menunduk pandangan, bagaimana hendak dibumikan?

“ Akhi, takutkan Allah SWT, banyakan mengingati mati dan bayangkan suasana hari Akhirat,” Kata murabbi lagi.

Perkara ini tidak akan berlaku tanpa, kekuatan keimanan. Ya imanlah yang akan menjadi dinamo, penggerak dan nadi utama segala bentuk tindakan kita.

Setiap kali, mempunyai peluang untuk melakukan bentuk-bentuk dosa dan maksiat – bayangkanlah episode-episod ngeri dan gelombang kedahsyatan sakaratul maut. Bayangkan bentuk kematian yang agar menimbulkan keinsafan dan kesedaran.

Dan, ketika jiwa dan hati dirundum kelesuan dan kelemahan – banyakan juga mengingati azab dan ancaman-ancaman yang akan Allah SWT berikan di hari akhirat kelak. Suasana-suasana hari kebangkitan yang digambarkan di dalam Al-Quran dan dijelaskan di dalam Hadis, mampu mengetuk hati dan meleburkan keangkuhan kita terhadap Allah SWT.

Petang itu, anak muridnya itu menangis sepuas-puasnya. Dia sedar akan dosanya. Barulah dia sedar bahawa selama ini, dia tidak begitu halus dan peka dalam soal penjagaan dan pemeliharaan matanya. Selama ini, matanya telah menyebabkan hati dan jiwanya kosong dan hilang kemanisan di dalam beribadah.

“ Murabbi, terima kasih banyak-banyak. Saya sedar dan insaf. Bimbinglah saya, Murabbi. Pandulah aya murabbi. Saya tidak mahu kehilangan Allah SWT di dalam diri saya. Saya tidak mahu kembali seperti zaman kejahiliyah saya dahulu,” Katanya tersedu-sedu di hadapan pembimbingnya.

Kata-kata murabbinya masih basah.

Ia sangat berkesan di hati dan menyentuh perasaan keinsanannya.

“Dengan memelihara pandangan daripada perkara-perkara keji, jijik, mungkar dan berbau dosa - Allah SWT akan campak satu kenikmatan yang jarang-jarang manusia perolehi. Iaitu : Nikmat Kekhusyukan dalam solah!”

Ya Allah, bantulah diri ini dalam memelihara pandangan dan mata kurniaan-Mu ini.

Berikanlah aku kekuatan Ya Allah untuk mengharungi kehidupan yang dipenuhi gelombang maksiat yang dahsyat. Ingin aku harungi kehidupan ini dengan keimanan seharum semerbak kasturi.

Ameen.

Read more...

Tips @ MusliMultimedia : Belajar buat komik

Konsep Kesenian oleh MusliMultimdia - lakaran watak, mimik muka, bentuk tubuh dan sebagainya

Tips @ MusliMultimedia : Belajar buat komik
Oleh : BroHamzah

Komik , kartun, mangga – suatu yang sangat saya minati. Dahulu, saya sukakan semua jenis komik. Dan apabila dewasa ini, saya lihat kartun sebegini mempunyai medium yang luas untuk sebaran dakwah kepada golongan remaja.

Semasa kanak-kanak sehingga lah kini, saya adalah seorang peminat penghasilan komik yang tegar. Tetapi yang uniknya, saya ini tidak pandai melukis sangat. Saya suka memberikan idea, membuat jalan cerita, dan menghasilkan dialog.

Saya pernah menghasilkan 2 buah komik semasa di cuti semester universiti bersama adik saya. Sebulan tempohnya kami berbincang, duduk bersama dan saya sentiasa memberikan sokongan kepada adik saya untuk melukis.

Adik saya, Cd-Key : adalah pelukis kartun dan penggiat seni yang sangat berbakat di dalam keluarga kami. Saya melihat potensinya yang sangat besar dan mencadangkan projek ini kepadanya agar terus menerus giat dalam kesenian kreatif seumpama ini. Alhamdulillah, dia sangat gembira untuk bersama menjayakan projek ini.

Saya katakan kepadanya :

" Gunakan bakat dan potensi melukis untuk Islam. - Barulah kita ada sumbangan untuk masyarakat ."


Dua buah komik telah pun kami hasilkan dan kami jual, dan kami dapat income daripada projek tersebut. Dengan modal RM 1,000 alhamdulillah kami jual dan dapat untung bersih sekitar RM 500. Alhamdulillah, pengalaman jadi pengeluar dan penghasilan komik. Pada masa yang sama, belajar buat business.


MusliMultimedia - Pandangan sisi, riak wajah dan keaslian watak sangat penting untuk menghasilkan komik yang baik

Sekadar itu sahaja, komik itu sudah habis dan tiada dalam simpanan saya. Cetakan hanya sekitar 900 buah sahaja. Tetapi saya dapat sesuatu yang berharga iaitu pengalaman. Saya suka buat sesuatu yang baru dan mencabar. Baru rasa berharga hidup kat dunia. Sentiasa ada sesuatu yang baru.

Adik, saya kini – dia sudah ada projeknya sendiri di universiti. – Jika tidak silap,dia dan rakan-rakannya sedang sibuk menghasilkan sebuah komik ilmiah untuk edaran di universitinya. Cuti semester ini, adalah saatnya membuat komik. Alhamdulillah, biar dia sibuk dengan perkara-perkara bermanfaat.

Setiap watak - perlu ada konsepnya. Agar, komik yang dihasilkan memberi impak dan kesan.InsyaAllah

Kini, saya bertemu dengan 2 orang pemuda yang juga berbakat dalam kesenian kreatif seumpama ini. Salah seorangnya ialah MusliMultimedia. Saya kongsikan sedikit tip atau kaedah penghasilan sebuah komik daripada MusliMultimedia. Semoga bermanfaat.

Kaedah penghasilan sebuah komik

1)- Idea - Hasil daripada akal seseorang individu atau secara brainstorming.

2)- Jalan cerita - Samada berbentuk story board atau skrip.

3)- Seni konsep @ Concept Art - Disinilah lakaran watak-watak komik akan dilukis sebagai gambar rujukan bagi pelukis-pelukis dan Layout Design dimana tempat atau latar belakang watak dimana babak akan dimainkan. Info bagi setiap watak cerita dan Layout Design perlu dikumpulkan sekali.

4. Komik - Barulah komik boleh dijalankan dengan baik.

5. Dan jangan lupa copyright - Ini akan menjaga hak ciptaan anda daripada aktiviti-aktiviti mencetak rompak atau menciplak

Read more...

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Thursday, November 25, 2010

Alhamdulillah - kalimah suci


Alhamdulillah – Alhamdulillah – Alhamdulillah
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, kalimah syukur hanya layak dipanjatkan kepada Allah SWT.

Dengan mengucapkan “ Alhamdulillah” -, atas segala kurniaan, penganugerahan dan pemberian nikmat yang pelbagai. – ia adalah lambang kehambaan, keimanan, ketundukan dan kekerdilan sebagai seorang hamba Allah SWT.

Bangunnya kita daripada tidur pagi ini – harus dimulai dengan kebeningan hati yang bersyukur dan bersyukur.

Pagi jumaat ini, sangat indah dan penuh berkah.
Embun yang menitis setiap pagi begitu dingin.
Kedinginan, kesejukan dan kesegaran inilah menguatkan lagi rasa kesyukuran kepada Yang Maha Esa.

Udaranya terjaga, bersih , nyaman dan menyegarkan. Menghirup udara yang masih terpelihara daripada nafas-nafas sang pendosa. Hiruplah udara di awal pagi sebelum fajar. Ia adalah waktu-waktu bersendirian bagi mukmin muslim yang sedang khusyuk bermunajat dan menadah tangan mengharapkan keampunan dan belas ehsan Sang Pencipta.

Alhamdulillah.

Allah SWT mendidik kita untuk bersyukur, satu kata yang lebih luas maknanya daripada berterima kasih. Syukur, ia lahir daripada natijah, hasilan keimanan yang tersemat kukuh disanubari.

Di dalam sebuah buku karya, Amru Khalid iaitu Ibadah Sebening Hati terdapat suatu kisah yang menyentuh rasa hati saya. Suatu hari, Amru Khalid telah bertemu dengan sekumpulan golongan remaja. Beliau terfikir suatu bentuk persoalan sembang-sembang santai bersama mereka.

“ Saya ingin mengajukan satu permainan berbentuk soalan kepada kalian,” Soalnya.

“ Apakah nikmat yang paling besar dan kalian paling hargai di dalam kehidupan ini,” Beliau bertanyakan soalan kepada mereka.

Ada yang menjawab dengan penuh yakin. Ada yang kelihatan teragak-agak . Pelbagai jawapan dan ucapan.

“ Nikmat kehidupan”
“ Nikmat Iman dan Islam”
“Nikmat belajar dan ilmu”
“ Dan pelbagai lagi.”

Kemudian, seorang pemuda memberi jawapan yang menyentuh hati Amru Khalid :

“ Nikmat Allah SWT yang sangat berharga dan besar bagi saya ialah nikmat Allah SWT sebagai Rabb saya.” Jawabnya tenang.

Saya terpaku, dan tersentuh.
Begitu halus, sensitif, peka dan hidup hati pemuda tersebut.

Ya, alangkah beruntung dan berbahagianya kita apabila dipilih untuk menjadi Muslim. Rabb, Ilah dan tuhan kita adalah Allah SWT.

Kita mempunyai tempat sembahan dan penyerahan segala perasaan cinta, kasih dan sayang terhadap-Nya.

Ketika dilimpahi kenikmatan dan kesenangan, kita mengucapkan lafaz kesyukuran kerana menyedari hakikat pemberian-Nya yang begitu banyak.

Ketika susah, kita mempunyai tempat untuk mengadu, merintih, meluahkan perasaan, menagih simpati, meletakan harapan kasih dan berdoa memohon bantuan pertolongan.

Iman mulai bertapak dihati. Ia disemai dan dibajai dengan subur dan kian mekar dijiwa hamba Rabbani.

“ tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan.”

( Al- Hujurat : 7)

Belahan hati kecilku

1)- Saidina Umar sentiasa memberikan suatu ungkapan yang menakjudkan serta mengetarkan jiwa perhambaan : “ Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang hina. Lalu Allah memuliakan kami dengan Islam. Sekiranya kami mencari kemuliaan selain daripada apa yang dimuliakan Allah, pasti Allah akan menghina kami.”

2)- Ruh Islam meresapi jiwa dan perasaan kita – sehingga kita merasa izzah (bangga) dengan keislaman, kemukminan dan kemusliman kita. Kita tidak malu atau kekok untuk mengistiharkan – “ Saksikanlah bahawa Aku seorang Muslim.”

3) – Setiap hari kita akan membawa imej, lambang dan syiar perwatakan seorang muslim dan muslimah. Muslimnya, dengan berhias dengan akhlak muslim dengan wajahnya penuh cahaya keimanan dan kesan daripada wudhuk dan soalan. Tidak lokek dengan senyuman dan sapaan. Muslimahnya , begitu tenang dan bahagia mengenakan pakaian yang meliputi seluruh aurat dengan senang, dan tiada beban. – Malah, dia bangga menjalankan perintah dan arahan Allah SWT.

4)- “ Ilahi, hamba-Mu hadiri memohon keampunan, kerahmatan dan pemeliharaan-Mu. Kasihilah diriku, suluhilah jiwa ku dengan cahaya hidayah-Mu, kurnialah kepada pengakhiran yang baik dan masukilah aku ke dalam golongan ahli Jannah-Mu yang indah lagi mempesonakan.” – Munajat hamba di dinihari.

Itulah yang diperbuat hasil keimanan
Membuka mata dan hati
Menumbuhkan kepekaan.
Menyinari kejelitaan, keserasian dan kesempurnaan
Iman adalah persepsi baru terhadap alam,
Apresiasi baru terhadap keindahan.
Dan kehidupan di muka bumi.
Di atas pentas ciptaan Allah,
Sepanjang malam dan siang

Cetusan rasa sanubari - Sayyid Qutb –

Alhamdulillah, syukur sehingga hari ini kita semua berusaha untuk terus menerus menjadi seorang muslim dan muslimah yang taat sepenuhnya kepad Allah SWT.
Semoga Allah SWT berikan kita kekuatan. Kita perlu mencari alas an dan kekuatan untuk terus menjadi kuat.

Kuat keimanan.
Kuat ketaqwaan.
Kuat dalam beramal dengan amal keislaman.

Jom kita kuat dengan sentiasa bersyukur!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Read more...

Facebook, medium terkini menjemput jodoh?

Wednesday, November 24, 2010

Jodoh Facebook - siapa yang pernah mengalaminya?


Facebook, medium terkini menjemput jodoh?
Oleh : BroHamzah

Suatu hari ada suatu suara menyapaku.

“ Kini, sudah mudah hendak cari jodoh yang cepat, segera dan murah”

“ Ya ke?,” Getusku dalam hati

“ Ya la, kenapa tidak percaya ka?,” Acahnya.

“ Apa dia dan bagi sedikit ‘hujjah’,” Nyataku lagi.

“ Hah, menjemput jodoh melalui facebook. Ledakan dunia ICT dan teknologi moden memberikan sesuatu yang menakjubkan,”

Ini dia hujjahnya

1)- Hari ini semua orang ada facebook. Jadikan kita boleh menyelidik, meninjau-ninjau, menyemak-yemak profile seseorang melalui FB nya. Kita akan mengenali peribadi, watak dan orangnya dengan mudah sekali. Cara dia berfikir, bertindak, menulis dan kehidupannya sekali.

2)- Kata orang, kalau hendak kenal seseorang kita boleh check dan kenali dengan siapa dia berkawan. Jadi kita explore dan tinjau-tinjau dengan siapa dia berkawan. Hah, kat sini kita boleh kenal cara dia bergaul, bersembang-sembang, berinteraksi, berbalas-balas komen dan sebagainya.- Orang selalu sebut : Kawan itu adalah cermin kepada kawannya.

3)- Biasanya, FB ini banyak gambar yang diletakan. Jadi, hah – kan mudah kita dapat melihat orangnya. Kita boleh tengok free tanpa menyewa dan membayarnya. Tak perlu susah-susah dah. Kekadangan itu, boleh tengok gambar familinya dan kaum kerabat juga. Penting itu, untuk menjemput jodoh yang sesuai. Kata orang hendak cari jodoh kena tengok juga orangnya dan kaum kerabatnya.

4)- Dah, kat FB ini kita boleh test dia. Kita hantar mesej atau juga chat dengan dia. Try masuk line, malah tau kot-kot mengena. – Inilah peluangnya. Peluang keemasan, bro. Betul tak? Perkara ini sudah lama berlaku.

5) Cuba bro baca artikel INI . Kat FB pun ada ruangan cari jodoh. Macam yang INI – dan yang INI. Sebenarnya, ramai sudah yang menggunakan FB untuk menjemput jodoh. Setuju tak dengan saya?


Mendengar hujjahnya. Saya tergamam seketika.

Terdiam.

Hmm.

Begitu kah?

Read more...

Santai : Lakaran MusliMultimedia

Santai : Lakaran MusliMultimedia
Oleh : BroHamzah

Sahabat saya ini, sungguh berbakat. Lukisannya sangat menarik, berseni dan mempunyai kekuatan. Saya kongsikan beberapa lukisan individu-individu terpilih yang dikartunkan. Bagi yang mengenali setiap karakter dalam gambar ini, boleh bagi komentar dan cadangan. Sekarang ini, dalam fasa melaksanakan suatu projek yang besar.

Jom kita tatapi.





Little Caliph
Berjiwa besar




Abu Umar
Keimanan memberikan kebahagiaan



Hilal Asyraf
Mari menjadi hamba





Abu Ridhuwan
Hidup perlu luar biasa!




MusliMultimedia
Kesenian itu indah





BroHamzah
Sharing is caring

Pesanan : Lucu jugak tengok wajah-wajah yang dikenali ini dikartunkan. Sekiranya wajah anda, bagaimana ya?

Read more...

Membaca, ia sangat mengasyikan!

Tuesday, November 23, 2010

Dunia buku, pernahkan anda memasukinya?


Membaca, ia sangat mengasyikan!
Oleh : BroHamzah

Buku adalah taman orang mulia,
Perkebunan orang cerdas, dan
Tempat rekreasi orang terhormat.

Buku adalah taman syurga bagi para pencinta ilmu,
Senjata untuk melawan musuhmu

Saya rasa sangat tenang, suka dan jatuh cinta dengan kata-kata di atas. Jatuh cinta dengan buku telah menjadi sesuatu yang paling bernilai bagi seorang pencinta keilmuan dan kejernihan akal.

Ya, saya sudah jatuh cinta dengan buku
Cinta yang sangat mengasyikan.

Pengalaman Saya

Sejak kecil lagi, first impression atau tanggapan awal saya kepada emak dan abah saya ialah, mereka berdua adalah orang yang suka dan kuat membaca. Setiap hari akan membaca Al-Quran, sama ada selepas subuh atau maghrib. Di waktu-waktu lain, juga akan membaca. Sama ada di meja, sebelum tidur di atas katil, membaca di dalam kereta sewaktu musafir dan sebagainya.

Sejak kecil, rumah saya dipenuhi buku-buku yang pelbagai tersusun di rak bercermin atau rak terbuka. – Banyak betul buku kat rumah kita ini ya – Getus hati saya semasa kecil. Sebelum tidur semasa saya kanak-kanak, emak saya akan bacakan buku sirah Nabi dan Para sahabat kepada saya dan adik-adik. Emak saya bercerita sehingga kami terlelap terus lena dibuai mimpi. Jika kami tidak tidur, emak saya sendiri akan tertidur kerana keletihan menjaga kami anak-anak kesayangannya. Pesanan : Hehe, emak jangan marah![“,]

Begitulah corak saya membesar – hidup dengan buku. Walaupun saya tidaklah membaca semua buku tersebut namun, suasana pembacaan itu mulai subur seawal usia kanak-kanak. Ketika di sekolah menengah, saya mulai cenderung membeli buku, majalah dan bahan bacaan. Sehingga suatu hari saya membeli buku berkaitan aqidah. Saya bawa pulang ke rumah, dan abah saya melihat buku tersebut.

“ Ali, beli kat mana buku ini?,” Tanya Abah.

“ Beli kat kedai buku di Kangar,” Jawab saya.

“ Ali, kenal ke penulis ini siapa?,”Soal abah saya lagi sambil membelek buku tadi.

“ Tak, Ali tengok tajuk macam ok sahaja, terus beli,” Jawab saya dengan penuh ketenangan.

Kemudian, abah saya keluar buku dan pensil. Abah mengajak saya duduk di atas kerusi. Dan, dia menulis sesuatu di dalam buku itu.

Saya lihat tajuk utama yang abah saya tulis.

“ Senarai Ulamak-ulamak muktabar”

Kemudian, abah saya menyenaraikan satu persatu nama-nama ulamak muktabar semasa zaman silam sehingga yang terkini. Saya masih ingat, sekitar 40 nama ulama besar yang abah saya catatkan.

Antara nama ulamak yang abah saya tulis, ialah Ulamak-ulamak tafsir seperti Ibnu Kathir, imam-imam mazhab seperti Imam Syafii’, Imam Ahmad, kemudian Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Hassan Al-Banna, Yusof Al-Qardawi, Fathi Yakan, Al-Maududi dan ramai lagi.

Sambil tersenyum abah menyebut :

“ Selepas ini, sekiranya Ali hendak beli buku – pilihlah buku-buku yang ditulis oleh ulamak-ulamak muktabar atau buku-buku yang menjadikan tulisan mereka sebagai rujukan.”

Saya mengangguk, sebagai tanda faham.

2 peristiwa di atas, telah meninggalkan kesan kepada kehidupan saya. Pertama, budaya pembacaan buku telah mulai menyinari kehidupan saya dan kedua, soal membeli buku dengan meneliti rujukan dan penulisnya telah menjadi garis panduan kepada saya dalam soal pemilihan bahan bacaan.

Karya-karya dan buku-buku yang memperngaruhi saya

Saya dididik untuk sukakan membaca. Semasa kecil, saya sukakan komik dan majalah-majalah kartun. Dahulu antara komik kegilaan saya ialah, Dewata Raya, Pendekar Laut dan Dragon Ball. Hampir kesemua koleksi komik-komik ini saya baca, sama ada pinjam atau membelinya. Suatu hari, saya telah membawa balik komik Pendekar Laut ke rumah. Dan, saya terkantoi dengan abah saya. Tetapi, abah tidak marah.

“ Ini komik, Ali beli ka?”

“ Ali, pinjam abah. Hendak baca”

“ Oo.. nanti bagi balik kat kawan. Abah, ada majalah dan komik yang lebih baik daripada ini.” Ujar abah saya tanpa memarahi saya ketika itu.

Dulu, abah saya ini sekiranya saya buat silap, selalu bertegas dan selalu rotan la akan hinggap di tangan. Tetapi, bila masuk bab ini, abah saya tidak marah pula. Pelik.

Kemudian, abah memberikan saya beberapa buah buku dan majalah yang Islamik. Sejak itu, saya diperkenalkan dengan majalah-majalah Kawan, Asuh dan ada satu lagi majalah kanak-kanak yang sangat popular ketika itu, Cuma saya dah lupa namanya. [ Sekarang sudah tiada].

Saya terus membesar, ketika sekolah menengah abah berikan buku Keperibadian Muslim tulisan Ali al- Hashimi .2 buku yang tebal. Fuh, berpeluh saya membacanya. 2 tahun pun tidak habis-habis.

Dan saat itu, saya banyak diperkenalkan dengan buku yang berbentuk kefahaman Islam. Dan, yang sangat mempengaruh saya ketika itu ialah buku Pandangan Berkaitan Dakwah dan Tarbiyah, di sisi Hassan Al-Banna tulisan Abbas Asisi. Buku ini, menjadi titik tolak kepada saya dalam mengenal tokoh Islam ini. Masa itu, saya tingkatan 2.

Dan masa terus berlalu, tingkatan 4 saya diperkenalkan dengan buku Apa Erti saya menganut Islam?, tulisan Sheikh Fathi Yakan. Buku hadiah sempena kecemerlangan PMR. Saya baca sehingga habis. Dan kebetulan ketika itu, Ustaz Dahlan Mohd Zain Mudir saya mensyarahkan intipatinya setiap hari Isnin di perhimpunan pagi.

Saya, juga terkesan dengan fenomena ledakan penulisan karya kreatif dalam bentuk novel. Semasa tingkatan 3, saya dan rakan-rakan meminati novel tulisan penulis thriller no 1 Malaysia – Ramlee Awang Mursyid. Novelnya yang menjadi kegilaan kami ketika itu, Semangat Hutan, Tombirou,Tombirou terakhir, Aku Darah Anak Malaysia ADAM, Ranggau, Satu Janji dan banyak lagi. Semua koleksinya saya ada. Melalui novel ini, minat saya terhadap dunia pembacaan semakin subur dan hidup.

Ketika, di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya – saya mulai meminati buku-buku bermutu yang ditulis oleh Harun Yahya. Kebetulan, terdapat sebuah kedai buku di Telipot menjual kesemua buku tulisan beliau. Buku-bukunya seperti Zaman kegelapan Islam dan ketibaan era kebangkitan Islam, Malapetaka Darminisma terhadap kemanusiaan, Hakikat di sebalik kehidupan, Indahnya Islam kita dan sebagainya menjadi bahan bacaan saya. Membaca bukunya membuatkan saya banyak berfikir dan berfikir. Apatah lagi, penulisannya banyak menengahkan kajian secara saintifik dan dijadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai hujjah utama. MasyaAllah.

Pada masa yang sama, saya juga mulai terpikat dengan tulisan-tulisan yang dikarang oleh ulamak-ulamak yang hebat seperti Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Dr Yusof Al-Qardawi, Abul Hassan Ali An Nadwi, Mustafa Masyhur, Sayyid Qutb, Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, Muhammad Ahmad Ar Rasyid, Abdullah Nasih Ulwan dan ramai lagi.

Sewaktu di universiti, saya jatuh cinta dengan tulisan Dr Aidh Abdullah Al-Qarni. Buku beliau yang terbaik ialah La Tahzan Jangan bersedih telah membangkitkan saya daripada kelesuan dan kejatuhan semangat ketika itu. Dan bermula saat itu saya mulai membeli karya-karyanya yang tidak kurang hebatnya seperti, Jagalah Allah, Allah menjagamu, Jangan Melampaui batas, Tersenyumlah, Bacalah dengan nama tuhanmu dan sebagainya.

Kemudian, di hujung akhir di zaman universiti – saya sangat meminati corak penulisan seorang penulis novel Islamik yang sangat popular dewasa ini iaitu Habiburrahman El Shirazy. Novelnya Ayat-ayat Cinta telah memberikan suatu ledakan fenomena baru dalam dunia penulisan kesenian kreatif. Semasa membacanya – saya benar-benar tenggelam di dalam dunia penulisan garapnya. Sejak itu, karya-karyanya akan saya amati dan telaahi – Antaranya seperti, Di atas sajadah cinta, ketika cinta berbuah syurga, Ketika cinta bertasbih dan terkini Bumi Cinta.

Dan – semenjak dua menjak ini saya juga telah jatuh hati dengan tulisan penulis-penulis hebat daripada seberang. Buku motivasi Luar Biasa – karya penulis muda yang hebat iaitu Solikhin Abu Izzudin sangat mengugah jiwa muda saya. Bukunya seperti Zero to Hero, The Way to win, Tarbiyah Dzatiyah, Quantum Tarbiyah, The Great Power of Mother dan sebagainya telah saya baca dan teladani. Bahasanya mudah, simple tetapi bagi saya – ia menyengat! Tulisannya banyak membantu saya dalam menyampaikan ceramah dan tazkirah.

Seorang lagi, penulis muda yang sangat berbakat daripada saya – turut membuahkan saya meminati tulisannya ialah Salim A Fillah. Lawatan saya ke Indonesia pada tahun 2008 mempertemukan saya dengan karya-karyanya. Bahasanya halus, menyentuh, membingkainya dalam nuansa sastera yang indah dan berjiwa pemuda itu terus membakar semangat saya. Bukunya itu seperti Jalan Cinta Para Pejuang, Nikmatnya Pacaran Setelah Pernikahan, Agar Bidadari Cemburu Padamu, Bahagianya Merayakan Cinta, dan Saksikan Bahwa Aku seorang Muslim – telah saya cari, beli dan sedang berusaha membaca sehingga selesai!

Dan – jika hendak dicerita sebenarnya – mungkin saya tiada kudrat lagi.[‘’,] Mungkin cukup sekadar itu sebagai perkongsian. Kenapa saya ceritakan semua ini?

Kita adalah apa yang kita baca

Saya ingin mengajak semua untuk menjadi seperti para sahabat, ilmuan dan cerdik pandai Islam yang terdahulu. Mereka ini – tertonjol dengan perwatakan yang tersendiri – SUKA MEMBACA dan menuntut ilmu.

Sedikit nota buat renungan semua :

1)- Membaca itu anak kunci kepada ilmu. Ilmu itu pula anak kunci kepada segala amalan. Dan amalan itu akan membaca kepada taqwa. – Majalah SOLUSI Isu no 18.

2)- Membaca adalah pintu masuk kepada keilmuan. Ilmu adalah sesuatu yang selalu dicari oleh para pahlawan, pencinta kejayaan, pengagum karya. Ia tidak pernah menolak cinta seseorang, tidak menjauh ketika di dekati. Ia terlalu akrab, selalu dekat. Bersamanya, anda akan diajak ke puncak kejayaan, meniti tangga kemuliaan dan naik menuju tangga kejayaan. – Dr Aidh Al-Qarni, dalam bukunya ‘Asyiq, Aku, Buku dan Cinta.

3)- Antara pelaburan yang memberikan pulangan yang berlipat ganda kepada pelaburnya ialah membeli buku. Yakinlah dengan membaca buku dan mengamalkan intipatinya anda sedang melakukan suatu perubahan dan kejayaan terhadap diri.

4)- Jika ingin mencari sahabat yang sejati – Bersahabatlah dengan buku. Ia adalah sahabat yang sejati, jujur, dan tidak pernah menipu. Sentiasa menemani dibawah naungan Ilahi.

5)- Anda adalah apa yang anda baca. Pilihlah bahan bacaan yang mematangkan, mendewasakan diri dan memberikan makna kepada diri serta hati.

6) – Dari kajian saya, kebanyakan pemimpin dunia yang berkalider dan hebat – semuanya adalah pembaca buku yang tegar. Mereka ini banyak membaca. Benarlah kata-kata seorang pemimpin terkenal : Jika anda ingin menguasi dunia, anda perlu banyak membaca.

7)- Dunia membaca sangat-sangat mengasyikan. Apabila anda memasukinya dengan jiwa, hati dan perasaan saya boleh katakana anda akan tenggelam penuh kepesonakan dan keindahan yang memukau. Percayalah!

Indahnya Islam, Allah memilih kita untuk menjadi umat yang harus banyak membaca. Kalimah Iqra adalah kalimah tarbiyah untuk menyantuni dan mendidik umat agar beramal dengan ilmu bukannya mengikuti tanpa suluhan panduan dan cahaya kebenaran.

Jom kita pergiatkan usaha-usaha membaca. Anda untung, dan saya pun untung.

Salam Iqra’ buat seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP