Tahun Ke Dua - Melayari Bahtera Menuju Syurga

Tuesday, March 12, 2013



BroHamzah & Zaujah.
Ada persamaan kah?^^


Maha Suci Allah SWT.

13 Mac 2013 – Genap dua tahun pernikahan kami berdua. Masya-Allah, terlalu banyak yang dilalui, dirasai dan dihadapi bersama-sama dan pastinya – di masa akan datang , kami perlu bersiap siaga untuk hadapi pelbagai warna warni kehidupan.

Saya memandang wajah zaujati dengan redupan kasih sayang yang meneduhkan. Tiada lafaz yang mampu diungkapkan kecuali kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana mengurniakan saya seorang isteri yang baik hati, penyayang, solehah dan pintar.

Zaujati – berjiiwa seorang pendidik

Dua tahun bersamanya, saya mengakui bahawa jiwanya adalah jiwa pendidik yang luhur. Teringat masa muda-muda dahulu apabila emak saya bertanya apakah ciri wanita pilihan hati saya, selalunya saya akan jawab :

“ Wanita pilihan Ali adalah wanita pilihan Allah SWT,”

“ Ya la. Itu semestinya jika diizinkan Allah SWT,” Ujar mak saya. Ketawa kecil saya.

“ Hasrat dihati jika boleh  - 3 perkara sahaja. Pertama, lebih muda daripada Ali. Kedua, seorang pendidik (guru), ketiga, yang berketerampilan (tegas).” Kata saya.

Alhamdulillah, 3 ciri ini Allah SWT berikan. Melihat ketekunannya, kesungguhannya, ketabahannya dan kesabarannya menyiapkan bahan pengajaran, pembelajaran dan sebagainya – saya dapat satu gambaran yang jelas bahawa beliau sangat meminati dunia pendidikan.

Sangat passion!

Jiwanya gembira, bahagia dan puas dapat mencurahkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman kepada anak didik. Bagi saya itu sudah mencukupi. Melihatnya zaujati seronok dan gembira – hati saya suka dan bahagia. Lega rasanya.

Kurniaan, Anugerah dan Hadiah Daripada Allah SWT

Alhamdulillah.

Allah SWT – Yang Maha Baik – mengurniakan kami cahaya mata yang membahagiakan hati. Saya dan zaujati sangat-sangat bersyukur. Dan, di tahun kedua ini – insyaAllah – akan bertambah seorang lagi pada bulan Ramadhan ini.

Tiada kata yang boleh diungkapkan. Kecuali –

Alhamdulillah.
Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Membina Kebersamaan Menuju Syurga

Perjalanan kehidupan kami akan diteruskan kerana destinasinya masih jauh. 2 tahun adalah titik permulaan mencari keserasian, penyesuaian dan kesefahaman.

Titik persamaan semakin jelas antara kami. Visi, misi dan halatuju bahtera itu diselaraskan sebaiknya agar “rentak” dan derapan langkahan kaki kami sentiasa bersama dan beriringan tanpa berpisah.

Berbunga hati saya apabila sampai di tempat baru atau ke mana-mana, respon orang kepada kami berdua :

“ Muka kamu berdua ini sama. Elok bebenor,” Katanya.

“ Kamu ini adik beradik ka?”

Tersenyum dibuatnya. Dalam hati hanya mampu tergelak kecil. Besar harapan agar persamaan ini bukan hanya di sudut luaran tetapi tumbuh mekar pada hati kami yang jauh di sudut dalaman diri masing-masing.

Itu sebenarnya yang lebih penting!

Teringat satu buku khas yang saya hadiah kepada bekas tunang saya (zaujati) yang saya tulis sendiri dengan pen selama beberapa bulan – muqadimmah awalnya :

“ Pernikahan itu harus ada visi dan misi yang dikongsi bersama.”

Perkongsian  itu akan kami sama-sama hidupkan dalam rumahtangga ini. InsyaAllah.

Akhirnya, khusus buat zaujati – terima kasih kerana sudi menerima diri ini seadaannya, menerima dengan lapang dada serta sentiasa berbaik sangka dengan segala kelemahan, kekurangan, keaiban dan bermacam lagi kesalahan yang ada pada diri abang.

Abang bahagia, tenang dan tenteram bersamamu melayari kehidupan ini. Marilah sama-sama kita teruskan perjalanan ini dengan genggaman keazaman dan harapan untuk merealisasikan segala cita-cita serta impian yang kita gariskan bersama.

“ Barakah Itu Indah, Dengannya – kita terasa tabah!”

BroHamzah
13 Mac 2013
Ulangtahun Pernikahan Ke Dua
Bagan Datoh, Perak

Read more...

UDMZ : Kesabaran dan kecekalannya - Inspirasi Buat Diri

Monday, March 11, 2013



  Al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain
(1934 - 2010)

Bagi yang mengenali beliau, akan mengiyakan bahawa al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ) adalah seorang murabbi dan pendidik yang sangat-sangat penyabar.

Kesabarannya – menyantuni satu persatu anak didiknya dalam proses meningkatkan diri kepada Allah SWT. Kesabarannya – menyebarkan dan menyampaikan kefahaman Islam kepada masyarakat tanpa jemu, bosan dan berputus asa.

Kecekalannya – membumikan fikrah (kefahaman) Islam dalam bentuk amali dalam kehidupannya dan dijelmakan dalam pengoperasian secara nyata dalam kehidupan bermasyarakat. Teguh, tetap dan thabat – sehingga akhir hayat, menjadikan beliau qudwah yang hidup bagi mereka-mereka yang bergaul bersamanya.

Kesabarannya – menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam kehidupan yang penuh onak duri. Pernah menerima tohmahan, cercaan dan cacian – tetapi UDMZ berdiam dan sabar. Keperibadian, sahsiah dan akhlak Islamiyah teguh bersama dirinya.

Kecekalannya – membina sebuah institusi pendidikan yang bertunjangkan tarbiyah Islamiyah bukanlah suatu yang mudah. Pelbagai halangan, cabaran dan mehnah yang dihadapi satu per satu dengan pergantungan kepada Allah SWT dan usaha bersungguh-sungguh dengan penuh perancangan serta perlaksanaan.

Akhirnya, lahirlah MATRI. Sebuah legasi institusi pendidikan yang ditinggalkannya untuk ummah. MATRI, bakal mengadakan sambutan Jubli Perak 25 Tahun MATRI tahun ini. Besar pahala yang mengalir kepada al-marhum UDMZ atas segala usaha yang dilakukan sepanjang hayatnya dalam berjuang serta berpenat lelah membangun “jiwa” dan mendidik anak-anak pelajar di bumi wakafan ini.

Moga Allah SWT merahmati dan menerima segala amal beliau di dunia. Dan, mudahan al-marhum ditempatkan di kalangan para solehin.

------
BroHamzah
Terkenangkan Ustaz.

Read more...

# Prolog - Travelog Seorang PA

Saturday, March 9, 2013


" Tugas PA bukan hanya berhadapan dengan komputer, kertas, pen dan meja yang kaku - tetapi berhubungan dengan manusia yang mempunyai jiwa, perasaan dan pelbagai karenah."



Suatu pengalaman dan perjalanan kehidupan yang tidak terpernah terfikir dan terlintas di minda saya selama ini ialah pengalaman hidup menjadi seorang personal asistant (PA) atau pembantu peribadi  kepada seorang tokoh masyarakat yang disegani dan dihormati di negeri Kelantan Darulnaim.

Tugas PA pada awalnya, - saya beranggapan mudah, simple dan ringan-ringan sahaja. Namun, setelah lebih setahun menjadi PA, ternyata ia adalah satu kerjaya dan tugas yang sangat berat. Bermula daripada tugas menulis surat, menyusun jadual boss, menempah tiket, membuat tempah hotel, membuat kajian penulisan, menyediakan teks ucapan, melayan tetamu dalam negara dan luar negara  sehingga kepada membantu tugas-tugas yang besar – saya merasakan pengalaman ini amat-amat berharga buat saya sepanjang kehidupan ini!

Majikan saya – Dr Abdullah Sudin Ab Rahman adalah tokoh akademi dan juga pemimpin sebuah NGO adalah seorang insan yang kuat bekerja, menyantuni masyarakat dan berkorban untuk berkhidmat kepada ummah. Tanggungajawab, amanah dan kerja yang dipikulnya sangat-sangat banyak dan saya sendiri apabila melihat keseluruhan “kerja” nya terdiam dibuatnya. Pernah saya bertanya kepadanya :

“ Apa kekuatan Dr untuk lakukan semua ini?,”

Jawab beliau sambil tersenyum tenang.

“ Kekuatan iman. Kita kena pelihara hubungan kita dengan Allah SWT sentiasa”

Travelog Seorang PA ini adalah catatan peribadi saya secara santai dan bersahaja segala pengalaman saya bersama beliau dan sudut pandangan saya kepada kerjaya ini. Bagi saya, tempoh lebih kurang 3 bersama beliau – banyak memberikan pengaruh, kesan dan bekas kepada saya.

Beliau tidak pernah mengganggap saya ini pekerja bawahan apabila memperkenalkan saya kepada tetamu-tetamu dan sesiapa sahaja yang ditemui sepanjang saya bersama dengannya.

“ Ini rakan sepejabat saya,” Ujarnya sambil memandang ke arah saya. Perasaan saya ketika itu sangat sejuk dan tenang. Beliau tidak pernah menyatakan saya ini pekerja dia, atau istilah-istilah saya ini orang bawahannya sedangkan beliau boleh menyatakannya walaupun perkara itu tidak salah.

Tetapi, pembawakannya saya sebagai “sahabat”nya amat-amat menyentuh hati saya.

Body language beliau dalam melayani, menyantuni dan mendidik saya telah meletakan beliau sebagai insan yang sangat baik di mata saya. Menjadi PA kepada Dr Abdullah Sudin Ab Rahman (DASAR) adalah kenangan termanis dalam hidup saya.

Walapun hanya sebagai seorang PA, saya sebenarnya berdamping dengan seorang murabbi, ayahanda, pemimpin, ilmuan dan tokoh masyarakat yang sangat dihormati, disegani dan disayangi oleh ramai orang.

Benarlah – kita tidak akan mengenali seseorang sehingga kita hidup, bergaul dan bermusafir dengannya. Dan, saya mendapat sesuatu yang sangat berharga melalui pengalaman ini. Maha Suci Allah SWT yang memberikan peluang, kesempatan dan ruangan ini.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

------------
Muqadimmah Travelog Seorang PA.
Kenangan Indah Bersama DASAR

Read more...

Aura Tarbiyah

Wednesday, March 6, 2013



Aura Tarbiyah

Saat di sapa hidayah serta petunjuk daripada Allah SWT – kita merasai satu kelainan kepada pandangan hidup terhadap kehidupan serta seisinya.

Hati mulai mencari sesuatu untuk mengisi segala kekontangan dan kekosongan jiwa yang telah lama gersang.

Suntikan kesedaran, percikan kebangkitan diri dan pencarian identiti diri mulai bermula. Ketika itu, suluhan cahaya menuju Sang Pencipta mulai bersinar di satu ufuk yang sangat jauh. Hati mulai merindui setiap pertemuan dengan-Nya, jiwa meronta-ronta untuk menghampiri-Nya dan perasaan sayang serta cinta mulai berputik indah.

Kita semakin “berani” untuk melangkah menuju kebenaran, kebaikan dan kesolehan. Fasa pencarian dikukuhkan lagi dengan lingkaran manusia-manusia yang soleh, jujur dan musleh. Ketika itu, satu terma baru menjengah ke telinga kita.

“Tarbiyah!”

Awalannya ia benar-benar asing. Namun, lama kelamaan jiwa semakin terusik untuk mengenalinya. Hari demi hari, berdampingan dengannya membuat hati terus tenggelam dalam kemanisan, kelazatan dan kenikmatan. Melaluinya, tanpa sedar kita sedang dibersihkan, dijernihkan dan disucikan.

Lalu, tumbuh mekar keimanan yang tulen dalam jiwa yang sekian lama kering tanpa asuhan, didikan dan kebaikan. Karat-karat jahiliyah dikikis dan dibuang beransur-ansur secara sedar dan tidak. Mujahadah, perjuangan dan kesabaran menitinya membuatkan kita semakin kental, tabah dan kuat untuk menggengam tarbiyah ini seeratnya.

Aura tarbiyah menyapa kita. Kemanisannya, membuat kita begitu asyik dengan ruh baru yang menyelimuti seluruh tubuh kita yang dahagakan ketenangan, kedamaian dan ketenteram yang hakiki.

Aura ini menjadi tenaga, gelombang dan aura baru kepada diri kita. Kita berubah menjadi manusia baru, memiliki pandangan hidup yang berbeza dengan manusia lain dan saat itu orentasi pandangan kita berteras orentasi akhirat.

Inilah aura yang merubah kehidupan!

---------------
Bergetar hati menukilkan tentang tarbiyah.

Read more...

Menyemai Harapan

Tuesday, March 5, 2013



Agar Ia Tumbuh Subur Di jiwa Para Pejuang Kebenaran
Harapan Demi Harapan



Menghembus harapan bagi sang pejuang adalah tiupan perasaan yang menenangkan lagi mendamaikan. Sang pejuang sangat-sangat memerlukan tempat persinggahan untuk berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanannya yang semakin hari semakin sukar.

Di hadapanya, jalan penuh berliku.

Tabiat jalan yang diwarnai dengan luka, rasa penat, penuh kepedihan, linangan air mata dan ditusuk duri adalah perkara biasa bagi sang pejuang. Namun, mereka tidak akan pernah berhenti melaluinya, tidak lelah menyusurinya dan terus menerus mengikut arus yang juga tidak pernah berhenti.

Di jalan ini – “ rasa sakit telah menjadi kenikmatan, pengorbanan menjadi suatu keindahan dan jiwa menjadi semakin bersih lagi putih.” Para pejuang terus mengenggam penuh erat tali kebersamaan sesama mereka kerana perjuangan ini telah menjadikan mereka lebih tabah, sabar, kuat, kukuh dan sanggup menghadapi apa jua rintangan yang mendatang.

Kita perlukan satu bekalan

Sahabatku, inilah hakikat tabiat jalan ini. Justeru, kita memerlukan satu bekal yang ampuh iaitu bersikap lapang dada, nafas panjang dan mudah memaafkan. Hal ini seperti para solihin, salafusoleh dan juga para sahabat – yang tidak peduli dengan suasana cemas, getir dan tentangan yang mereka terima dalam melaksanakan segala ketaatan dan kepatuhan.

Begitu juga para pejuang yang kental zaman berzaman, lihatlah susuk keperibadian mereka yang tidak sengal oleh tipu daya dan serangan hebat pihak musuh terhadap mereka. Bahkan, junjungan Mulia Rasulullah SAW tidak merasa tertekan, terhimpit dan seksa dada dengan cacian, penghinaan dan cercaan manusia-manusia sekitarnya dalam menyenmpurnakan misi kenabiannya.

Kisah Ibrahim An Nakh’i wajar diteladani.

Suatu masa, beliau berjalan bersama sahabatnya seorang buta. Setelah beberapa lama menyusuri jalan, orang buta itu mengatakan :

“ Ya Ibrahim, orang-orang yang melihat kita mengatakan, “ Itu orang buta dan orang pincang…itu orang buta dan orang pincang,”

Ibrahim dengan tenang lalu mengatakan :

“ Kenapa engkau begitu terbebani memikirkannya? Jika mereka berdosa kerana menghina kita sedangkan kita mendapat pahala, lalu kenapa?

Begitu tenang jiwanya dan jawapannya sangat menyakinkan.

Manusia yang pelik

Ketahuilah, sahabat kita akan temui pelbagai jenis ragam, karenah dan kejelekan manusia di sepanjang kehidupan kita. Semakin hari semakin pelik lagi jelek manusia ini jika terus hidup bersama mereka. Tetapi, sebagai hamba Allah SWT kita akan dituntut untuk terus bergaul dan hidup bersama mereka dalam menjalankan misi-misi dan kerja-kerja yang besar.

Lantas, apakah kita akan memencilkan diri?

Tidak sama sekali. Bahkan kita akan terus menerus menyantuni mereka dengan kadar kemampuan yang ada. Tetapi, sifat lapang dada, mudah memaafkan dan bersahsiah tinggi akan menjadi pakaian dan imei kita sepanjang masa.

Mereka yang dirahmati Allah SWT itu, menyikapi pelbagai persoalan, melayani pelbagai krisis dan berhadapan dengan bermacam-macam konflik kehidupan dengan lapang dada. Mungkin sahaja, mereka akan berduka, bersedih, kecewa dan akan memuncak rasa marah. Tetapi, mereka berhasil menguasai hati mereka kembali.

Hati mereka redha. Mata mereka tetap teduh. Ketenangan mereka sama sekali tidak terusik. Alangkah indahnya saat itu.

Mereka bahagia begitu. Ketahuilah bahawa manusia yang paling menderita ialah manusia yang tidak berlapang dada dan cepat marah lagi melenting.

Dada sempit. Keliru menerjah akal. Nafas tersengal. Wajah kemurungan. Hilang keceriaan. Hati kesal lagi kesat. Jiwa bergemuruhan lagi berduka cita, bahkan air mata dan dendam terbit tanpa duga. Hingga segala istirehat terganggu, fikiran tidak menentu arah.

Jika, lapang dada menjadi benteng. Ketahuilah, amal-amal yang besar mampu dijanakan. Lantaran, amal-amal besar itu hanya lahir dari jiwa yang bersih, hati yang tenang, nurani yang putih penuh redha dan fikiran yang jernih.

Benarlah apa yang diungkapkan oleh Ar-Rafi’I dalam Wahyul Qalam :

“ Jika engkau menghadapi dunia dengan jiwa lapang, engkau akan memperoleh banyak kegembiraan yang semakin lama semakin bertambah, semakin luas, duka yang makin mengecil dan menyempit. Engkau harus tahu bahawa apabila duniamu terasa sempit, sebenarnya jiwamulah yang sempit, bukan dunianya.”


Penutup : Rahsia Mereka

Lantas itu, apakah rahsia lapang dada yang dimiliki oleh para sahabat, salafusoleh dan insan-insan soleh? Bagaimanakah mereka menyantuni semua kemelut kehidupan dengan penuh kebijaksanaan dan basirah yang terang?

Satunya ialah wawasan ilmu mereka yang luas.

Manusia yang sempit wawasan – terasa begitu kerdil untuk berdiri dengan keyakinan, sangat takut dengan peristiwa yang remeh temeh, gerun dengan perkara-perkara kecil dan mudah marah.

Hal kecil menjadi besar. Perkara yang tidak perlu dibalasi – diungkit-ungkit tanpa penghujung. Dan, ketahuilah manusia yang berjiwa besar adalah manusia yang melayani segala konflik, dilemma dan persoalan kehidupan dengan sahsiah dan akhlak yang mulia. Lidah, anggota badan dan keperibadian mereka mampu menyenangkan sekitar dan layak  mendapat keredhaan daripada Allah SWT.


------------
BroHamzah

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP