Aku membina rijal dan pejuang - Al-Banna

Monday, February 28, 2011

Ikhwanul Muslimin - Anda kenal?


“ Aku membina rijal dan pejuang!” – Al Banna

Oleh : BroHamzah

Satu perkara yang sangat menarik untuk diperhatikan dan dinyatakan – susunan, ketentuan dan ketetapan Allah SWT – dari tercetusnya revolusi di Tanah Arab ialah dunia semakin tercari-cari jawapan akan satu hakikat, siapakah itu Ikhwanul Muslimin?

Satu dunia kian tersebar dan inginkan satu penjelasan, penerangan dan kenyataan. Siapakah Ikhwanul Muslimin? Jika dahulu, mungkin ia hanya terkenal atau banyak disebut-sebut dikalangan mereka-mereka yang aktif atau cakna akan isu gerakan Islam moden, kini hampir semua mata mulai tertumpu kepada IM.

Kenali Ikhwan. Sumber-sumbernya : English , Arabic , Bahasa Melayu , Ikhwatube.

Seorang ayah yang penyayang, cakna dan kasih kepada anak-anak

Saya mungkin tidak tahu secara mendalam dan terperinci tentang gerakan ini. Cuma dalam perkongsian pada kali ini saya terpanggil untuk berkongsi tentang seorang tokoh yang sangat akrab, dekat dan sinonim dengan IM. Tidak lain dan tidak bukan, tentulah as-Syahid Imam Hassan al-Banna.

Seingat saya, pertama kali nama beliau menyentuh cuping telinga saya ini ialah ketika saya tingkatan 2. Saya terbaca sebuku tentangnya, buku itu pun saya jumpa dalam sebuah bilik ketika saya demam berpanjangan. Saya ambil, dan bacanya.

Dan, saya terpegun dan kagum.

Beliau tegar, aktif, dinamik dan penuh bersemangat - menyampaikan, menyebarluaskan dan memperkukuhkan gerakan dakwahnya

Membaca kisahnya. Menarik! – Anda boleh membaca sebuah buku yang sangat menyentuh jiwa dan hati tentang sejarah, pendirian, prinsip perjuangan dan perjalanan kehidupan Hassan al-Banna. Buku tulisan Abbas Asisi, bertajuk Dakwah dan Tarbiyah daripada prespektif Hassan al-Banna.

Disenangi, disayangi dan dihormati - Oleh sahabat-sahabat seperjuanganya

Mencetak manusia yang luar biasa

Pengaruh , ketokohan dan kewibawaanya sangat memukau. Bukan sahaja, sahabat-sahabat beliau sahaja tetapi turut digeruni oleh musuh-musuh Allah SWT. Beliau mempunyai aura kepimpinan dan daya tarikan magnetnya yang tersendiri.

Bayangkan dalam masa beberapa tahun sahaja, pengasas gerakan Islam yang terbesar ini mampu melebarkan fikrah Islamiyah dan perjuangan dengan pantas dan merebak ke seluruh Mesir. Bahkan kini, bukan sahaja Mesir ia berkembang ke seluruh dunia.

Anda boleh membaca kisahnya dalam banyak buku dan sumber. Cuma saya berhajat kongsikan beberapa perkara yang memikat hati saya tentangnya. Salah satu, peninggalan dan karya yang ditinggalkan oleh Imam Hassan al-Banna adalah pengikut-pengikut atau anak didik yang sangat berkualiti dan meneruskan kesinambungan perjuangannya.

Boleh kita katakan:


“ Bangunan yang kuat dan berkesinambungan ini menunjukkan sebagian dari mahakarya Imam Syahid Hasan Al Banna.”

Saya tertarik dengan satu kisah yang diceritakan di dalam tulisan Dr. Muhammad Abdurrahman al Mursy Ramadan berkaitan manhaj Ikhwan dan beliau menyelitkan kisah berkaitan Imam Al-Banna

Kisahnya begini.

Suatu hari Imam Hassan al-Banna pernah ditanyakan suatu perkara,

“Mengapa anda tidak menulis ilmu yang luar biasa ini dan melahirkan buku-buku? .”

Beliau menjawab, “Sesungguhnya aku membina dan menciptakan para pejuang yang membawa kebenaran.”

Beliau membina rijal. Membina pemuda-pemuda dengan ruh Islam.

Imam Syahid sangat memperhatikan dan memberikan fokus yang istimewa kepada golongan pemuda, dan berhasil menjadikan mereka sebagai darah segar yang mengalir di tubuh umat Islam, yang mampu membangkitkan dan menggerakkannya.

Hassan al-Banna ditemuramah di pejabatnya

Dan, satu kisah lagi di saat-saat akhir hayatnya.

Di akhir kehidupannya, sekitar dua minggu sebelum kesyahidannya, -keadaan pada saat itu sangat genting-, salah seorang berkata, “Wahai Ustadz, banyak berita yang tersebar tentang engkau, dan tentang apa yang terjadi terhadap engkau. “

Imam Syahid berkata, “Apa yang akan terjadi? Apakah pembunuhan? Sesungguhnya kami mengetahui bahwa hal itu adalah kesyahidan, dan itu adalah cita-cita kami.

Seseorang bertanya lagi, “Bagaimana dengan dakwah?”

Imam menjawab, “Aku telah menyelesaikan tugasku dan aku telah meninggalkan para rijal (pejuang) dan aku melihat mereka dengan mataku bahwa mereka benar-benar rijal, maka aku akan mati dengan penuh ketenangan, dan yang aku inginkan adalah mati sebagai syahid.”

Cita-cita itu benar-benar terjadi , ia mendapatkan syahid. MasyaAllah. Alhamdulillah, walaupun Imam As-Syahid Hassan al-Banna telah tiada, perjuangannya diteruskan sehingga kini. Saya kongsikan kepimpinan IM bermula dari pengasasnya sehingga kini untuk kita lihat satu hakikat.




Mursyidul Am Pertama:
Hassan al-Banna (1928 - 1949)

Lihat wajahnya, terpancar di raut wajahnya ketenangan yang mendamaikan, semangat kepemudaan di matanya dan keperibadian yang menyejukan hati-hati disekelilingnya.

Satu kata-katanya yang sangat saya suka :

“ Andai diumpamakan ISLAM seperti sebuah bangunan using yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka. Tapi aku ingin hati-hati yang ikhlas untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan using itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah.”


Mursyidul Am Kedua:
Hassan al-Hudhaibi (1949 - 1972)

Salah seorang penulis Islam berkata mengenai beliau :

“Saya melihatnya beliau adalah sosok yang memiliki fanatik keimanan, berjiwa dan semangat muda, berani seperti pahlawan, bijaksana laksana syeikh, kaya akan pengalaman, penuh dengan cahaya iman, memiliki kasih sayang laksana orang tua, kecintaan laksana seorang al-akh, interaksi yang jujur laksana seorang sahabat, memiliki bimbingan laksana seorang guru, kebaikan yang memberikan teladan, keikhlasan sang murabbi, selalu memberi dengan penuh wibawa dan kharisma, akhlaq yang mulia, seakan sosok yang memiliki kesempurnaan, tampak pada wajahnya menghadapi kegamangan dakwah dengan penuh kesungguhan dan optimisme, dengan akhlaq yang mulia, penuh kasih sayang, cinta, wibawa, dermawan, ikhlas dan kebapakan”.


Mursyidul Am Ketiga:
Umar at-Tilmisani (1972 - 1986)

Beliau seorang yang zuhud. Hidup secara sederhana di sebuah apartmen yang berada di lorong-lorong sempit. Beliau memilih untuk sederhana walaupun berasal daripada keluarga yang berstatus tinggi dan kaya raya. Beliau fasih berkata-kata dan pandai berhujjah.

Pernah dipenjara selama 17 tahun. Satu kisah yang mengugah perasaan saya. Satu peristiwa, apabila beliau dibebaskan dari penjara pada tahun 1971, beliau bertanya kepada pengawai penjara :

“ Bolehkah saya menginap di sini satu malam lagi. Saya akan keluar pagi esok kerana saya sudah lupa jalan-jalan di kota Kaherah.”


Mursyidul Am Keempat:
Muhammad Hamid Abu Nasr (1986 - 1996)

Beliau, adalah antara nama Mursyidul Am IM yang jarang saya dengar. Namun, setelah membuat kajian dan pembacaan pelbagai sumber, masyaAllah beliau adalah salah seorang kepimpinan gerakan Islam yang hebat. Semoga Allah memberkati beliau dan usaha perjuangannya.


Mursyidul Am Kelima:
Mustafa Masyhur (1996 - 2002)

Beliau antara tokoh kepimpinan IM yang banyak menulis buku dan berkarya. Malah, penulisan bukunya banyak menjadi panduan kepada aktivis dakwah dalam bergerak untuk menyebarkan Islam. Antara bukunya ialah Bekalan di sepanjang jalan dakwah, Dakwah Fardiyah, Jalan Dakwah dan banyak lagi.


Mursyidul Am Keenam:
Ma'mun al-Hudhaibi (2002 - 2004)

Tidak banyak kisahnya yang saya tahu. Tetapi, beliau juga antara pimpinan Ikhwan yang sangat-sangat dihormati dan dikasihi.


Mursyidul Am Ketujuh:
Muhammad Mahdi 'Akif (2004 - 2010)

Beliau mulai berkecimpung dalam pergerakan Ikhwan dalam usia yang sangat muda iaitu 12 tahun. Fokus beliau saat itu ialah memberikan latihan berbentuk fizikal kepada anggota IM sebagai menyahut seruan Imam Hassan al-Banna.


Musyidul Am Kelapan :
Dr Muhammad Badi’ Bin Abdul Majid Saamy (2010 – kini)

Beliau dilihat sebagai kepimpinan Ikhwan yang akan memimpin IM di era medan yang baru dan mempunyai tugas dan tanggungjawab yang amat berat. Ikhwan Mesir akan berada dalam arena baru apabila mereka memutuskan untuk melibatkan diri dalam bidang politik secara rasmi. Pergerakan IM dilihat akan terus berkembang dan satu perkara – mereka juga akan menghadapi tentang yang lebih hebat dari sebelum ini.

Satu soalan?

Agak-agak anda, dengan setelah menatap wajah mereka ini - Adakah layak dan sesuai melabelkan mereka ini pengganas?

Read more...

Respon : Himmah LI - Februari

Sunday, February 27, 2011


Langit Ilahi.Com - Mari Menjadi Hamba


Mohon Respon : Himmah LI – Februari

Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Begitu pantas masa berlalu, sedar atau tidak – kita akan memasuki bulan 3. Saya bagaikan tersentak apabila membelek kalendar pagi ini.

“ Eh, sudah hendak masuk bulan 3!,” Respon saya kepada rakan sepejabat.

Itulah hakikatnya , masa akan terus berlalu dan meninggalkan kita. Masa yang berlalu tidak akan kembali. Semoga masa-masa yang berlalu, menjadi saksi bahawa kita telah melakukan yang terbaik dalam melaksanakan segala bentuk amalan soleh. InsyaAllah.

Ruangan Himmah – Langit Ilahi

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Dengan ketentuan dan ketetapan-Nya, saya juga telah sedaya upaya untuk berkongsi salah satu bentuk sumbangan perkongsian saya dalam website Langit Ilahi di ruangan artikel Himmah. Alhamdulillah, pada bulan Februari saya diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menulis 4 artikel ( sedikit huraian tentang artikel) iaitu :

1. Qudwah Himmah

Perkongsian untuk menyelami susuk tubuh dan keperibadian insan yang dihiasi dengan sejutaan keistimewaan dan kehebatan. Kewajaran untuk menjadikan baginda Rasulullah SAW sebagai qudwah, role model dan contoh dalam hidup.

" Bagi saya, baginda telah menunjukan contoh yang sangat mengujakan dalam soal himmah, kesungguhan, kecekalan, keseriusan dan keteguhan dalam menegakan kebenaran yang sebenar."

2. Membongkar Potensi Diri

Perkongsian saya ketika mengadakan sesi perkongsian ceramah di sebuah sekolah di Perlis pada awal tahun ini. Alhamdulillah, perkongsian ini telah memberikan banyak kesan dan impak buat diri saya sendiri. Membongkar diri, ia bermula dengan diri kita.

" Selalu melihat diri dengan jujur dan tulus. Agar Allah SWT membuka mata hati untuk melihat kelebihan, kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Inilah kunci bagi melakukan apa jua perubahan dalam kehidupan."

3. Seruan Buat Ummat Muhammad

Tulisan yang menyentuh keperibadian Nabi Muhammad SAW, insan yang mulia dan agung. Ajakan, seruan dan dorongan untuk mencintai, mengimani dan merindui Rasulullah SAW dalam kehidupan. Semoga kita menjadi ummat Nabi Muhammad yang sentiasa memperjuangkan sunnahnya!

"Seruan baginda buat ummat ini sehingga ke akhirnya tidak pernah pudar, suram dan terpadam. Baginda sentiasa menginginkan ummatnya yang hebat, luar biasa dan sentiasa “hidup” bahagia dalam lingkungan keimanan dan ketaqwaan."

4. Mengutip Ibrah di Puncak

Perkongsian saya tentang pengalaman saya sewaktu mendaki Gunung Tebu pada awal bulan Februari. MasyaAllah, perjalanan mendaki ke puncak memberikan seribu pengalaman dan ibrah yang mendalam bagi mereka-mereka yang berhajatkan kepada sentuhan keimanan kepada-Nya. Dengan melihat alam ciptaan Allah SWT , ia memberikan satu kekuatan kerohanian buat diri ini. Kesusahan, keperitan dan kepayahan mendaki banyak pengajarannya. Saya sedar :

“ Tidak dapat tidak, latihan kesengajaan untuk belajar kesusahan dan kepayahan akan mengetuk pintu hati agar sentiasa merendahkan hati, tunduk akan hakikat kekerdilan diri dan sedar akan hakikat bahawa kita semua adalah insan yang lemah.”

Jika anda berhajat untuk membacanya boleh layari ke website Langit Ilahi. InsyaAllah – di sana terdapat pelbagai artikel dengan pelbagai tema, karya seperti cerpen, puisi dan juga komik-komik islamik yang mendidik hati dan jiwa.

Sila layari

http://langitilahi.com

Dan

boleh klik

Ruangan “ Himmah” - BroHamzah

Cadangan, respon dan penambahbaikan.

Dengan kekerdilan, kelemahan dan kedhaifan diri, saya ingin meminta pandangan, cetusan, perkongsian idea dan juga kritikan membina daripada sidang pembaca mengenai tulisan saya dalam ruangan ini.

Saban waktu, apabila saya membaca semula tulisan – saya lihat ia masih kaku dan perlukan banyak penambahbaikan. Jadi jika anda – pembaca budiman – ingin berikan komentar dan pandangan, saya sangat-sangat mengalu-alukannya.

Dan, jika anda ingin memberikan pandangan tentang website Langit Ilahi ini, saya alu-alukan juga. Ia termasuklah dari segi persembahannya, layout, konsep yang ada, bahan-bahan artikel, teknikal dan apa jua yang boleh dipertingkatkan. InsyaAllah, setiap komentar anda – akan saya usulkannya kepada sahabat-sahabat saya dalam Krew Team Langit Ilahi.

Sekian

Terima Kasih
Syukran, Jazakallahu Khairan Khathira
Thanks A Lot


BroHamzah

Read more...

Apa yang perlu anda tahu tentang Gaddafi?

Friday, February 25, 2011

My Name Is Gaddafi, Muammar Gaddafi


Apa yang perlu anda tahu tentang Gaddafi?
Oleh : BroHamzah

Saya terfikir, antara hikmah tercetusnya Revolusi Kebangkitan rakyat Arab – Allah SWT telah menunjukan kepada kita watak-watak sebenar pemimpin diktator yang zalim. MasyaAllah, satu per satu dibongkar, didedahkan dan masyarakat dunia sedang menilai suatu hakikat yang terang, nyata dan bersuluh.

“ Kebanyakan diktaktor yang zalim, menindas dan kejam : Mempunyai sejarah kehidupan yang hampir sama,cara kehidupan mereka dan sebagainya. Bak kata orang pattern yang secocok dengan mereka semua.”

Wallahu’alam.

Kolonel Muammar al-Gaddafi, gambar tahun 1971. Beberapa tahun selepas memerintah Libya.


Saya kongsikan dengan anda beberapa perkara yang perlu kita tahu tentang Presiden Libya ini. Sekurang-kurangnya kita mengambil cakna, tahu, dan mengikuti perkembangan terkini pergolakan yang berlaku di dunia Arab.

Beliau menaiki takhta pemerintahan dalam usia yang muda sekitar 27 tahun iaitu pada 1 September 1969. 42 tahun, pemerintahannya yang mencetuskan pelbagai isu kontroversi sehingga rakyat menjadi muak, benci dan mereka mempunyai satu impian sahaja, iaitu menggulingkan presiden yang angkuh ini.

Lambaian tangan seorang diktator - Gambar sekitar Julai 1973


Beliau jelas membelakangkan Islam demi kepentingan politiknya yang kotor, jijik dan merosakan. Rakyat tidak akan pernah lupa bagaimana suatu ketika dahulu Gaddafi pernah menulis sebuah buku yang jelas menghina Islam. Bukunya, Penghapusan Sunnah habis-habisan di Libya telah memberikan satu cadangan yang tidak masuk akal.

Cadangannya : Agar perkataan Qul dalam empat surah iaitu al-Kafirun, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas dibuang. Katanya, kerana ia ditujukan kepada Nabi Muhammad, sedangkan baginda telah lama wafat dan ia tidak lagi dilihat bersesuaian dengan tuntutan semasa. Nampak sangat, jahil murakab!

Akibatnya, ramai ulamak yang menentang cadangannya. Lalu mereka ini ditangkap. Bermula dari peristiwa ini, para ulama dilarang menonjolkan diri mereka dengan amalan-amalan sunnat. Contoh seperti tidak boleh berjanggut, berjubah, berkopiah dan sebagainya.

Jika langgar arahan ini, mana-mana pihak akan diheret ke penjara tanpa pembelaan daripada sesiapa pun. Inilah bentuk kezaliman dan penindasan yang secara terang-terangan membelakangkan Islam.

First Lady Libya : Safia Gaddafi


Keluarga Gaddafi – Tak kenal, maka tidak tahu.

Gaddafi mempunyai dua orang Isteri – Fasiha Gaddafi dan Safia Gaddafi . Dan, mempunyai 8 orang anak kandung dan 1 orang anak angkat.


Wajah Gaddafi ketika muda.


Anak beliau, Mohammad (40) – Seorang Jurutera. Anak lelaki daripada Isteri pertama. Seorang yang sangat kaya dengan hasil pengumpulan harta melalui urus niaga telekomunikasi. ( Tiada gambar)

Saadi Gaddafi

Saadi (37) – Bekas pemain bola sepak. Karier awalnya di Serie A, Itali tetapi dipecat kerana gagal dalam ujian dadah.
Hannibal Gaddafi

Hannibal (34) – Punyai sejarah keganasan tersendiri. Pernah ditahan di Geneva pada tahun 2008 kerana menyerang pekerja tempatan, antarabangsa di antara Libya dan Switzerland.

Khamis (30) – Seorang pengawai polis, mengendalikan unit pasukan khas sendiri. Low profile orangnya. Saya cuba cari gambarnya, tapi tiada. (Tiada gambar)

Saif Al-Islam Gaddafi

Saif Al-Islam (39) – Disebut-sebut sebagai penganti Gaddafi. Anak kesayangan Gaddafi. Beliau merupakan anak lelaki sulung bersama Isteri kedua. Pernah keluar dikalayak memberikan penerangan mewakili ayahnya dalam revolusi terkini Libya.

Mutassim Billah bersama dengan seseorang. Anda kenal tak?

Mutassim Billah (36) – Merupakan seorang tentera. Penasihat Keselamatan Kebangsaan Libya dan dilihat sebagai pesaing kepada Saif al-Islam.

Senyuman Aisha Gaddafi


Aisha (32)- Satu-satunya anak perempuan Gaddafi. Beliau adalah seorang peguam dan turut menjadi penguam bela kes hukuman mati bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein. Beliau turut meminati bidang pengacaraan dan muzik.


Saif al-Arab Gaddafi

Saif al-Arab (29) – Masih menuntut sebagai seorang pelajar. Pernah disyaki menyeludup senjata api di antara Paris dan Munich pada tahun 2008. Namun pihak berkuasa Jerman kemudian mengugurkan kesnya.


Hannah – anak angkat perempuan. Terbunuh pada usia dua tahun kerana pengeboman Amerika Syarikat di Tripoli pada tahun 1986. ( Tiada Gambar)

Gambar terkini Gaddafi pada 22 Februari 2011 ketika berucap untuk menentang pemberontak habis-habisan. - Katanya, Aku akan mati syahid mempertahankan kuasa ini!.


Keganasan, tindak tanduk dan perilaku ayah – akan dicontohi oleh anak-anak. Dikatakan, bahawa Saif al-Islam Gaddafi menjadi bayangan kepada pemerintah Libya selepas ayahnya. Apa pandangan anda?

Tindakan kejam dan ketidakperikemanusiaan Gaddafi ini mendapat perhatian semua pihak, malah seorang ulamak tersohor dunia iaitu Syeikh Prof Dr Yusof al-Qardawi menyifatkan bahawa Qaddafi ini sangat kejam dan wajib ditamatkan riwayatnya. Malah, kebangkitan rakyat menentangnya adalah sah menurut hukum syarak. Apa kesudahan bagi masa depan Libya? Dan bagaimanakah nasib Gaddafi dan keluarga selepas ini?

Saya yakin, selepas ini banyak lagi kisah hidup, segala kezaliman, penindasan dan penipuan beliau akan terbongkar. Buat pemimpin dunia, jadikan kisah-kisah perjalanan diktator dunia seperti ini sebagai pengajaran dan iktibar buat kalian.

Yang zalim, pastikan akan tumbang!

Itu, kesimpulan saya.

Read more...

Presiden yang aneh, pelik dan luar biasa?

Wednesday, February 23, 2011


Muammar Abu Minya al-Gaddafi, Diktator Moden Libya


Presiden yang aneh, pelik dan luar biasa?

Oleh : BroHamzah


Semasa saya berjalan-jalan sekitar kampus, terserempak beberapa orang pelajar. Saya menegur, menyapa dan bersembang-sembang dengan saya.

Ramai yang bertanya kepada saya tentang satu soalan yang hampir kebanyakannya sama.


“ Ustaz, kenal siapa itu Gaddafi?,”

“ Apa entah, nama presiden Libya yang ganas itu?,”

“ Apa pandangan Ustaz tentang Muammar Gaddafi – dia ini baik ke jahat?,”


Menarik juga, persoalan mereka. Alhamdulillah, saya lihat ramai mahasiswa kini mengambil tahu, cakna dan peduli tentang isu semasa ummat Islam. Bagus, inilah mahasiswa yang kita hajati.Saya kira, sudah banyak maklumat yang disembang-sembang, disebar-sebarkan, dicanang-canangkan, diwar-warkan dan dibicarakan dalam media massa saat ini, baik media cetak atau media maya.

Saya Cuma ingin berkongsi, sesuatu tentangnya. Tentang keunikan, keanehan,kegilaan dan kepelikannya yang membuatkan saya tertanya-tertanya dan terfikir-fikir tentang diktator moden ini.



Khemah al-Gaddafi

Sidang media, menyambut tetamu dan ucapan rasmi kerajaan Libya - semua berlangsung dalam khemah.

Penampilan ala-ala Arab Badwi. Baru asli! - Mungkin itu getusan rasanya.


Dikisahkan bahawa, beliau ini mempunyai hobi yang pelik. Suka tinggal dalam khemah yang didirikan diluar rumahnya. Jika ada, tetamu kehormat dari luar negara – biasanya mereka akan disambut ke khemah ala masyarakat arab Badwi.

Kelihatan sederhana, zuhud dan penuhi kepuasan baginya. Tetapi khemah beliau ini bukan khemah biasa. Dihias cantik, dan ada kelasnya yang tersendiri.

Pengawal peribadi yang mengiring Gaddafi sewaktu lawatan rasminya di Rom. Kelihatan Berlusconi menyambut riang kehadirannya.


Ayu , Mesra dan Cakna : Motto Body Guard al-Gaddafi


Satu lagi yang menghairankan saya ialah beliau mengupah pengawal peribadi yang mengiringi dan mengawal keselamatannya terdiri daripada golongan wanita. Belum pernah lagi saya dengar – Body Guard – pemimpin negara dari kalangan wanita kesemuannya. Apa komen anda?


Selain itu, ada lagi.


Sejak remaja, mula-mula mengenali dengan presiden Libya yang mulai memerintah pada umur 27 tahun ini - saya tertarik dengan beliau kerana satu perkara. Anda tahu apa? – Saya suka tengok cara dia berpakaian. Berfesyen dengan peragaan pakaian dan gaya yang pelbagai. Fesyen ala arab badwi yang sederhana, lampau dan moden. Fesyen ala-ala tentera darat, laut dan komandar tentera yang hebat. Ada kalanya berpakaian seperti selebriti popular yang memukau mata dan terkesima dibuatnya. Dan, ala juga berpakaian aneh yang belum dilihat dipasaran dunia.





Fesyen aneka ragam Muammar al-Gaddafi.

Ilustrasi gurauan oleh pereka grafik. Macam-macam


Anak perempuannya, Aisha Gaddafi


Dan kini, satu lagi kegilaan beliau yang terbaru adalah membunuh rakyatnya sendiri. Libya kian meruncing dan tekanan ke atas Gaddafi sedang hebat dikenakan oleh seluruh dunia. Sampai bila beliau akan dapat bertahan? Atau beliau akan ditamatkan riwayat oleh rakyatnya sendiri?

Satu persoalan atau satu penantian?


Dibom - Berkecai jasad

Rakyat menjadi mangsa kerakusan dan kezaliman pemerintah.

Rakyat tidak berdosa menjadi saksi akan semua ini.

Read more...

Apa Perkembangan Mesir Sekarang?

Tuesday, February 22, 2011

Medan Tahrir - rakyat memilih jalan untuk perubahan!

Apa Perkembangan Mesir Sekarang?

Oleh : BroHamzah

CORETAN 1

Selepas tumbangnya kerajaan rejim Ben Ali dan kemudiannya Hosni Mubarak, aura kebangkitan ini merebak ke negara-negara Arab yang lain. Sesuatu yang menarik untuk dianalisis, diamati dan dikupas. Negara yang katakan sedang hebat bergelora dengan semangat suara rakyat, antaranya :

Muammar al-Gaddafi

Libya

Kini, hebat diperkatakan mengenainya. Tentangan, kebangkitan dan demostrasi rakyat terhadap pemerintahnya iaitu Muammar al-Gaddafi yang berkuasa bermula pada tahun 1969. Beliau dikatakan sebagai pemimpin yang paling lama berkuasa di Afrika dan Arab. Kenapa, rakyat bangkit menentang pemerintahannya? Apakah beliau ini satu pakej dengan Ben Ali dan Husni Mubarak?

Ayuh, kita kenali siapakah pemerintah Libya yang dikatakan pemerintah yang gemar berfesyen dan ada style yang tersendiri.


Libya bergelorak, apa kesudahannya?



Turun, turun, turun : Suara rakyat !




Sidang Akhbar penubuhan parti Ikhwan

CORETAN 2

Satu perkembangan terkini dari bumi Anbiya' Mesir. Pihak pembangkang terbesar kerajaan Mesir iaitu Ikhwan Muslimin memutuskan untuk menubuhkan parti politik sebagai persediaan dan persiapan mereka dalam menghadapi Pilihanraya Umum Mesir yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat. ( 6 bulan mendatang).

Keputusan ini diumumkan oleh Mursyid Am (Presiden) nya, Dr Mohd Badie kepada sidang akhbar. Dan nama parti politik yang akan mereka tubuhkan ialah “ Parti Kebebasan dan Keadilan”. Kata beliau, keputusan ini bukanlah baru, bahkan ia adalah keputusan Majlis Syura sejak dahulu yang memutuskan bahawa jemaah Ikhwan Muslimin akan menubuhkan sebuah parti politik untuk jemaah tersebut. Jelas beliau, penubuhan parti politik ini juga adalah sebagai menyambut harapan dan semangat umat Mesir sendiri ke arah memiliki masadepan yang lebih baik dan gemilang serta mengembalikan peranan, kedudukan dan kepimpinan Mesir itu sendiri yang telah diukir oleh sejarahnya yang terbilang.

Ada ura-ura menyatakan, mereka akan mendapat tentangan yang hebat dan campur tangan pelbagai pihak untuk menidakan hasrat mereka ini. Namun, mungkin hal ini dapat direalisasikan dengan perkembangan politik Mesir muttakhir ini. Harapan ini kelihatan bersinar di ufuk sinar bercahaya wajah Mesir yang baru.

SUMBER SINI DAN SINI

Husni Mubarak : Apa khabar keadaanmu?

CORETAN 3

Selepas tumbang, dan ranap empayar kekuasaannya - kedua-dua diktator rejim pemerintahan yang dijatuh ditangan rakyat mereka sendiri – Husni Mubarak dan Ben Ali dikhabarkan mengalami kemurungan dan tekanan yang teramat sangat. Akhirnya, Husni Mubarak jatuh sakit dan Ben Ali dikhabarkan sedang koma.

Bayangkan, tekanan yang hebat yang menyesakan dada kedua-dua mereka. Suara kebencian, cemuhan dan ancaman untuk mereka. Biar hebat mana pun kezaliman sesuatu pemerintah, akhirnya ia akan menemui saat akhir hayatnya – sama ada mati terhormat dengan penuh kemuliaan atau dipijak penuh kehinaan. Ya, yang pastinya kezaliman tidak akan bertapak lama di hati rakyat.

Ben Ali : Ke manakah senyumanmu yang manis ini?


Read more...

Bingkisan Untukmu : Women Of Heaven

Wednesday, February 16, 2011

Kekuatan yang luhur : A K H L A K


Bingkisan Untukmu : Women of Heaven
Oleh : BroHamzah

Dedikasi khusus :

Buatmu Muslimah Solehah,

Insan yang telah berikrar setia menunaikan tugas mulia sebagai Muslimah
Sentiasa bersabar menghadapi berbagai rintangan hidup yang mendatang
Yang sentiasa berupaya mewujudkan cita-cita mulia dan hanya mengharapkan keredhaan Allah SWT.

Akhlakmu begitu mempersona, sopan dan menyejukan mata
Tutur bicaramu melegakan jiwa yang lara
Penampilanmu terhias dengan panduan agama
Perisai malu menjadi pakaian keperibadianmu yang utama
Dan, semangat juangmu yang sentiasa membara dalam jiwa

Semuanya, bersatu padu dalam dirimu
Agar menjadi wanita yang dirindu Syurga

Ketahuilah, wahai muslimah yang luhur

Kehilanganmu, bererti kehilangan untaian talian cinta,
Ketiadaanmu, bererti ketiadaan generasi manusia,
Kebaikanmu, bererti kebaikan segenap semesta,
Keburukanmu, bererti kehancuran tiang negara.

Ketahuilah wahai saudariku mukminah solehah,

Tidak akan pernah kita temui kenikmatan hakiki tanpa perjuangan sejati, tidak pernah kita jumpai kebahagiaan tertinggi tanpa pengorbanan tiada henti. Apa yang kita persembahkan untuk meninggikan agama Allah tidak pernah sia-sia.

Ibarat cahaya, ia akan sentiasa menerangi,
Ibarat pohon rendang, ia akan menaungi,
Ibarat bunga mawar, ia sentiasa harum mewangi

Senyumanmu, akhlakmu, budi pekertimu, sahsiahmu adalah kekuatan, kemewahan dan kekayaanmu yang sebenar.

Jadilah dirimu yang sebenar sesuci fitrah insani, agar disayangi makhluk duniawi dan dirindui hati-hati yang mencintai Ilahi.

Agar Bidadari di syurga, mencemburuimu kerana mutiara berharga yang terpendam di dalam dirimu

Peliharalah dirimu dan perindahkanlah keperibadianmu
Agar dirimu menjadi wanita muslimah solehah yang dicintai, dikasihi dan diredahi Ilahi

Yakinilah ukhti mukminah,

Keindahan sanubari
Kedamaian hati
Ketenteraman batini
Kelembutan sahsiah diri
Akan terpancar dari setiap diri mukminah yang tulus ikhlas memilih jalan yang mulia ini,

Jalan yang dihampari dengan duri-duri
Yang mungkin akan tertusuk dikaki
Namun, jauh disudut hati
Inilah jalan menuju Ilahi

Muslimah yang tetap teguh menyusuri al-haq dengan keimanan yang hakiki
Membasmi yang batil dengan gagah berani
Tidak pernah gentar dan takut mati.

Semoga dirimu, benar-benar dicintai Rabbi.
Women Of Heaven

-----------------------------------------------------------

Titipan buat mereka-mereka yang bergelar wanita, kalian adalah insan ciptaan Allah SWT yang istimewa. Memiliki kekuatan yang luar biasa, andainya kehidupan ini didasari keimanan, keyakinan, kepasrahan dan pergantungan hanya sanya untuk Allah SWT.

BroHamzah

Read more...

Berputiknya Sebuah Kebahagiaan

Monday, February 14, 2011

Sinar kebahagiaan - Ia semakin hilang ?


Berputiknya Sebuah Kebahagiaan

Oleh : BroHamzah

Saya termenung, teringatkan satu peristiwa suatu masa dahulu. Sebuah kisah yang mendidik saya tentang suatu hakikat.

“ Abang, kenapa dalam hidup saya penuh dengan masalah?,” Seorang adik peserta bertemu dengan saya setelah program tamat.

“ Saya ada seorang ayah. Tapi saya… saya sangat benci ayah saya. Bagi saya, dia bukan ayah kandung saya,”tiba-tiba air matanya mengalir membasahi pipi.

Saya terdiam. Sambil merenungi wajahnya.

“ Ayah saya tidak pernah solat. Puasa pun tidak. Malah suka mencuri…Saya malu abang. Saya..,” adik itu berkata-kata sambil tersedu.

“ Kenapa ayah saya tidak seperti ayah orang lain. Saya tengok orang lain bahagia dengan ayah mereka.Tapi saya.. terseksa dengan ayah saya,” luahannya menyentuh hati saya.

“ Saya inginkan kebahagiaan abang..Kebahagiaan yang sebenar,” Tersekat-sekat adik untuk berbicara.

Peristiwa ini telah berlalu dua tahun yang lalu, tetapi ia masih segar dalam ingatan saya dan ia sangat berbekas pada hati saya kerana adik ini seorang lelaki. Jarang saya temui para peserta lelaki yang menangis dihadapan saya apabila berkongsi kisah atau masalah hidup mereka.

Lama juga saya berbual dan berkongsi luahan perasaannya. Kisah hidupnya adalah kisah hidup seorang anak yang dahagakan sentuhan kasih sayang dan belaian perhatian seorang ayah. Saya akui, ayahnya adalah seorang ayah yang tidak bertanggungjawab. Membiarkan anak-anaknya tanpa diberi nafkah kehidupan dan tidak menghiraukan langsung keadaan anak-anaknya. Apatah lagi, menjalankan tanggungjawabnya dalam soal pendidikan agama kepada anak-anak.

Daripada riak dan air mukanya, dia sangat-sangat membenci ayahnya. Saya agak terkedu apabila dia menyebut :

“ Saya benci ayah saya sebenci-bencinya. Kalau boleh saya tidak mahu menatap wajahnya. Biar wajahnya luput dari ingatan saya,” Katanya dengan nada yang keras.

Hilangnya sebuah kebahagiaan

Inilah salah satu kisah, daripada beribu-ribu dan bermacam-macam lagi kisah yang berlaku dalam masyarakat kita. Malah ada kisah yang lebih menyayat hati dan tersentak hati kita jika diketahui. Dewasa ini, harga sebuah kebahagiaan itu kian pudar dan semakin tersirna daripada kehidupan manusia. Kebahagiaan yang boleh membawa sinar ketenangan dan kedamaian kian pupus ditelan peredaran zaman dan seolah-olah kini bahagia itu bukan lagi juzuk kehidupan yang sangat penting untuk dikecapi.

Erti bahagia yang disalah ertikan

Saya lihat, konsep kebahagiaan pada hari ini juga telah terpesong dan disalah ertikan. Ramai yang menganggap bahagia itu bersumber daripada faktor luaran semata-mata. Bagi mereka ,kebahagiaan itu berpunca dari harta, kuasa, paras rupa dan kelulusan yang dimiliki seseorang. Kekayaan dan kemewahan dikejari oleh manusia sehingga sanggup bergadai maruah, nyawa dan segala-galanya. Kini, mengejar pangkat dan kekuasaan turut menjadi matlamat utama sehingga sanggup fitnah-menfitnah, tindas-menindas dan sanggup berbuat apa sahaja walaupun hatta menghilangkan nyawa. Jika inilah “parameter” bahagia pastinya golongan jutawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan boleh dikatakan sebagai individu yang bahagia.

Tetapi, sebenarnya bahagia bukan diukur pada aspek-aspek luaran seperti ini. Mari kita teliti, apakah kehidupan mereka ini bahagia? Kita lihat artis-artis Hollywood yang hartanya berbillion dolar, rupaparas menawan dan nama tersohor seantero dunia, tetapi mereka ditimpa masalah yang kronik menyeksakan jiwa dan membebankan fikiran.

Tiger Woods pemain golf bergelar jutawan yang hebat di padang golf akhirnya kecundang apabila memiliki tabiat buruknya dalam hubungan skandal dengan wanita. Madona dan Paris Hilton walaupun memiliki wajah yang jelita tetapi dicerca dan dikutuk kerana berkelakuan buruk. Tidak akhlak, moral dan etika.

Selebiriti yang lain seperti Brigitte Bardot dan Whitney Houston mengalami gangguan sakit jiwa sehingga dikatakan gila. Bob Marley membunuh diri kerana tekanan kehidupan. Kenamaan terkenal seperti Bill Clinton, Lady Diana, Cindy Crawford dan Brooke Sheild mengalami krisis rumah tangga sehingga ada yang bercerai berai mahligai keluarga mereka. Hilang kebahagian, kedamaian dan ketenangan jiwa dalam kehidupan mereka.

Ini belum kira lagi nasib malang yang menimpa negerawan dan bangsawan tersohor seperti Ferdinand Marcos ( Filipina), Tsar ( Rusia) dan Louis XVI (Perancis). Nampaknya secara jelas, bahagia yang mereka cari bukan terletak kepada faktor luaran itu. Jadi, di manakah kebahagiaan yang sebenarnya?

Mencari Sinar Kebahagiaan

Jadi, apa sebenarnya bahagia?

Ramai, sebenarnya. Bahkan kita sendiri. Sanga-sangat berhajatkan kebahagiaan dan kejayaan hakiki dalam kehidupan kita yang singkat ini. Persoalan ini berlegar-legar difikiran kita semua.

Mudahnya, kebahagiaan itu ialah apabila kita memiliki hati yang tenang, pasrah dan cekal dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Hati yang tenang itu lahir daripada keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada ALLAH SWT. Jiwanya subur dengan ketaqwaan dan sentiasa pasrah serta bergantungan sepenuhnya kepada ketentuan dan ketetapan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda : “ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada sebuah hadis Rasulullah SAW yang sangat terkesan pada hati saya. Daripada Shuhaib RA, sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud :

“ Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah kebaikan. Apabila mendapat nikmat, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan, apabila ditimpa ujian (kesempitan), maka dia bersabar, dan itu kebaikan baginya.” ( Ditakhrij Muslim, 8/125 dalam al-Zuhud)

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata : Rasulullah saw telah membaca ayat ini (maksudnya):

“ Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam ”

( Al-An’am : 125)

Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah itu melapangkan ?

Jawab Baginda : Cahaya yang dicampakkan ke dalam hati .

Mereka bertanya lagi : Wahai Rasulullah, adakah ia mempunyai tanda-tanda untuk mengenalinya ?

Jawab Baginda : Ya, ada.

Mereka bertanya lagi : Apakah dia?

Sabda Baginda saw : Mendekati ( menghampiri ) kepada tempat yang kekal ( akhirat ), menjauhi tempat yang menipu ( alam dunia ) dan bersedia untuk mati sebelum mati. (3)


Ketenangan, keimanan, kepasrahan dan kepergantungan kepada Allah SWT adalah kebahagiaan.



Bahagia, bagi mereka

Yahya bin Khalid al-Barmaky, seorang menteri yang masyhur di zaman Bani Abbas ditanya, “ Apakah yang dimaksudkan dengan bahagia, wahai tuan?”

Jawabnya, “ Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud.”

Seorang penyair bernama Hutai’ah berkata :

“ Menurut pendapatku, bukanlah kebahagiaan itu pada mengumpul harta benda tetapi takwa kepada Allah itulah bahagia.”

Ibnu Khaldun berpendapat : “ Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan berperikemanusiaan.”

Jadi, di mana BAHAGIA?

Dalam Buku Karya Dr Yusof Al-Qardawi, Iman dan Kehidupan ada satu kisah yang sangat menarik berkaitan kebahagiaan. Kisah berlaku antara sepasang suami dan isteri.

Seorang suami marah kepada isterinya dan dengan segera mengancam isterinya :

“ Aku akan melenyapkan kebahagiaanmu.”

Si isteri menjawab dengan tenang, “ Kamu tidak mampu melenyapkan kebahagiaanku sebagaimana kamu tidak memapu memberikan kebahagiaan kepadaku.”

Suami bertanya : “ Mengapa aku tidak akan mampu melenyapkan kebahagiaanmu?”

Isteri menjawab dengan penuh keyakinan : “ Kalau seandainya kebahagiaanku terletak dalam perbelanjaan, tentu anda akan mampu menghilangkannya. Dan kalau terletak dalam pakaian dan perhiasan, tentu kamu juga sanggup menahannya. Tetapi kebahagiaanku adalah sesuatu yang bukan milikmu dan tidak dapat kamu kuasai, baik kamu sendiri ataupun orang lain.”

Suami bertanya dengan penuh kehairanan : “ Di manakah kebahagiaanmu?”

Isteri menjawab dengan penuh keyakinan : “ Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimanaNku. Dan imanku itu dalam hatiku. Tiada seseorang pun yang dapat menguasai hatiku selain Allah.”

Hati adalah tempat bertapaknya keimanan kepada Allah SWT. Di sini juga la, tempat berputiknya sebuah kebahagiaan. Inilah dasarnya. Sesungguhnya bahagia itu terikat pada hati yang punyai sifat redha dan tawakal yang tinggi kepada Allah SWT.

Dan, siapakah insan yang berusaha dengan pengorbanan yang tinggi untuk melebarkan rasa kebahagiaan ini kepada manusia sejagat?

Mengorbankan seluruh kehidupannya agar kita merasai kenikmatan dan kebahagiaan yang hakiki. Agar keimanan itu mewarnai dan bertapak di hati kita?

Itulah baginda Rasulullah SAW. Insan yang memiliki sejuta keistimewaan dan kemuliaan.

Kata semangat

“ Abang simpati dengan kisah adik. Berat sungguh apa yang adik lalui,” Ujar saya dengan nada yang perlahan.

“ Allah SWT beri ujian ini, tanda Allah SWT sayang kepada kamu. Kuatkan hati dan tabahkan jiwa dengan banyak mengingati Allah SWT. Abang sangat-sangat yakin, kamu akan dapat hadapi semua ini dengan kekuatan iman dan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT.”

“ Orang mukmin itu tidak pernah berburuk sangka kepada Allah SWT. Dia yakin apa jua ujian yang menimpa dirinya ada hikmah dan terpancar kasih sayang Allah SWT kepadanya.

“ Jika adik ingin bahagia, bukannya bergantung sepenuhnya kepada ayah adik. Kamu sebenarnya boleh memperolehi kebahagiaan.”

“ Macam mana abang?,” Tanya adik itu dengan wajah yang bersungguh.

“ Beriman dengan Allah SWT dengan sifat redha dan tawakal yang tinggi kepadanya. Jaga hubungan hati dengan Allah SWT sehingga kamu benar-benar kuat jiwa dan sentiasa pasrah dan bergantung segalanya kepada Allah SWT.”

“ Cintai dan ikutilah segala sunnah ajaran baginda Rasulullah SAW. Sayangi baginda dan selusurilah kehidupan baginda agar kehidupan baginda dihayati dalam jiwa dan perasaan kita.”

“ Terima kasih, abang. Atas nasihat. Saya luah kat abang ini pun dah lega jiwa saya sikit,” ujarnya.

“ InsyaALLAH,” Jawab saya ringkas.

Ya Allah, bantulah dia agar kebahagiaan itu kembali berputik di sanubarinya.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1) – Semoga Allah SWT mencampakan kebahagian, ketenangan, kedamaian dan ketenteraman ke dalam jiwa kita semua. Yakinlah, kebahagiaan yang hakiki ia bermula dengan keimanan kepada Allah SWT, keyakinan kepada janji-janji dan ancaman-ancaman-Nya.

(2) – Bersempenan Sambutan Maulidur Rasul, marilah sama-sama kita meluruskan niat, memperkuatkan keazaman dan tekad untuk sama-sama membumikan segala sunnah Rasulullah SAW dari sebesar-besar sunnahnya sehinggalah sekecil-kecilnya. Mudahan, kecintaan kita kepada baginda terikat kukuh atas kefahaman, keyakinan, keimanan dan keteguhan dalam beramal soleh. InsyaAllah.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP