Harapan Untukmu, Duhai Anak

Thursday, May 31, 2012



Dakapan Seorang Ayah


Di sebuah rumah yang sederhana. Kelihatan sebuah keluarga begitu bahagia sekali. Suami. Isteri dan anak kecil mereka.

“ Sayang, apa yang sayang harapkan untuk anak kita?,” Tanya si suami sambil mengusap kepala anak kecil mereka.

Si isteri memandang redup wajah anak mereka. Sungguh tenang dan cerah ceria rautnya. Matanya bulat, pipi sedikit tembam dan kulit cerah-cerah kuning. Tersenyum kecil si kecil itu.

“ Abang, bagi sayang,” Kata-katanya terhenti seketika.

“ Bagi sayang, cukuplah anak kita menjadi anak yang solehah dan hamba Allah SWT yang taat kepada-Nya. Tiada kenikmatan yang bernilai dan berharga daripada itu.”

Si suami mengangguk mendengar luahan hati buah hatinya.

“ Jadi, kita perlu buat sesuatu ke arah itu,” Sambungnya lagi.

“ Ya. Abang. Kita perlu banyak berdoa agar Allah SWT memilih dia sebagai hamba-Nya dan berusaha mendidiknya. Kita tidak akan pernah mampu menjadikan anak kita hamba Allah SWT yang taat, melainkan dengan izin Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT memilih kita untuk menerima hidayah-Nya seperti itulah kita mengharap Allah SWT  akan memilih anak-anak kita juga,” Kata si isteri lagi.

Si suami terdiam. Jiwanya tersentuh mendengar bicara hati isterinya. Benar, Allah SWT yang memilih hamba-hambanya untuk diberikan sinar hidayah dan cahaya keimanan. Hatinya terusik lagi.

Anak mereka merenget dan tertawa-tawa kecil. Tergelak mereka melihat telatah anaknya itu. Menjerit-jerit sambil mengoyang-goyangkan tangannya meminta perhatian dan belas ihsan. Sungguh bersih dan suci anak ini. Beratnya amanah ini Ya Allah.

Catatan Seorang Hamba

(1) Setiap yang dianugerahi cahaya mata, pastinya menyimpan hasrat dan harapan yang menggunung untuk anak-anaknya mereka. Sejak kecil anak itu, dipasakan dengan cita-cita yang diimpikan oleh ibu bapa. Jika cita-cita itu hanya tersangkut dengan hal-hal dunia semata-mata, alangkah “seksa”nya anak itu kerana terpaksa menanggung bebanan sebuah paksaan dan kepalsuan.

(2) Ibu bapa dituntut oleh Islam untuk melaksanakan semua fasa-fasa proses pendidikan anak dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman berasaskan Al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW. Antara yang melekat di hati saya ialah penerapan didikan Al-Quran secara penghayatan kepada anak-anak semenjak kecil. – Tidur Al-Quran, Makan Al-Quran, Minum Al-Quran, Main Al-Quran dan Belajar Al-Quran. Peliknya bunyi? Macamana itu?

(3) Hari ini, ingin saya kongsikan bahawa betapa pentingnya memilih calon isteri kita yang benar-benar boleh menjadi ibu kepada anak-anak kita. Serius. Sanga-sangat serius. Baru saya mengerti bahawa, antara aspek yang perlu dilihat ialah – seorang wanita yang “mampu” untuk menjadi ibu yang mendidik anak-anak dengan penuh ilmu, kasih sayang, dan keimanan. Sehingga ia punyai kesedaran untuk mendidik anak itu kerana Allah SWT. Bukan kerana mengikut trend, bukan kerana terpaksa, bukan kerana naluri keibuaan tetapi kerana mentaati perintah Allah SWT.

BroHamzah
31 Mei 2012
Belajar menjadi ayah dan belajar mendidik putri saya kerana Allah SWT. Suatu dimensi baru dalam hidup ini.

Read more...

Mari Berteduh Sebentar

Tuesday, May 29, 2012



Bismillah. 

Tekan pause button seketika, kita semak-semak kehidupan kita.

“ Hidup ini hanya ada dua pilihan :
Hidup sekadar bernafas atau hidup bagi mengukir sejarah.”

------------------------------------------------

BUTANG PERTAMA

Abu Sulaiman Ad-Darini pernah berkata :

“ Setiap hari saya memperhatikan diri di hadapan cermin, apakah wajah saya berubah hitam kerana dosa-dosa saya?.”



Para Nabi, Rasul & Ulama begitu peka dan sensitif tentang dosa-dosa mereka. Sangat-sangat serius. Kita, bagaimana ?

---------------------------------

BUTANG KEDUA

Imam Hassan al-Basri, seorang tabiin memberikan satu taujih buat kita :

“ Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikannya dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah (sang penyeru). Maka akan jadi sedikitlah orang yang memberi peringatan.”




Jika masih ada suasana tegur-menegur , saling nasihat-menasihati dan memperingati tandanya kita masih punyai taman di jiwa. Kita menegur kerana kita sayang menyayangi. Justeru, sudikah kita memberi teguran dan menerima teguran dengan jiwa lapang dan terbuka?

-----------------------------------

BUTANG KETIGA

Fudhail bin Iyadh, seorang yang warak lagi soleh berkata :

“ Barangsiapa yang inginkan teman (pasangan) yang sempurna, dia tidak akan mempunyai teman (pasangan) sampai bila-bila.”





Ramai punyai hasrat jika boleh memiliki pasangan hidup kelas A - namun, bersediakah kita untuk menjadi pasangan yang punyai ciri-ciri kelas A?

-------------------------------

BUTANG KEEMPAT


Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, seorang ulama kini pernah menulis :

“ Generasi muda yang tidak berminat membaca akan menjadi petaka 
kepada bangsa dan negara.”






Kita adalah apa yang kita baca, hadam dan fahami. Jika, majalah picisan itu yang menjadi telaah kita - picisanlah kita jadinya.

-----------------------------------------

BUTANG KELIMA


Imam Ahmad menyatakan bahawa :

“ Usaha pembaikan umat kemudian mesti meneladani kaedah pembaikan ummat terdahulu.”




" Ummat terbaik adalah ummat yang menjadikan asas pembentukan generasi Al-Quran yang unik itu sebagai sandaran dan rujukan. Apakah sumber rujukan mereka - Al-Quran dan hanya Al-Quran."

BroHamzah
29 Mei 2012
Lihat Diri. Lihat Hati. Dan Lihat Nurani Sendiri

Read more...

Tahniah Ummi Syabas Zaujati

Saturday, May 26, 2012


Gembira dengan Teddybear baru.

Mukhlisah : “ Tahniah Ummi, nanti Mukhlisah juga nak jadi macam ummi. Belajar sampai universiti. Boleh kan?”

Mukhlisah, bersama Abi, Teita dan Uncle Long – menemani Ummi di hari bersejarah buatnya. 





Bunga haruman tahniah buatnya


Majlis Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa ( IPG KBA), Lembah Pantai  pagi tadi, 26 Mei 2012 berlangsung dengan lancar. Alhamdulillah, secara rasminya zaujati selesai pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan TESL setelah 4 tahun berjuang di medan ilmu ini. 

Semoga Allah SWT merahmati setiap usahanya dan melangkah ke alam pendidikan dengan jiwa yang tulus dan ikhlas untuk memartabatkan Islam sebagai cara hidup melalui wasilah ini.

“ Tahniah, Puan Maryam. Semoga Allah SWT redha dengan kejayaanmu.” Titipan mesej ringkas buatnya seusai zaujati mengambil scroll ijazah. Nampak skema sikit.^^


BroHamzah
26 Mei 2012
Keletihan itu terpamer jelas di raut wajah. Namun, terpancar jua dicelah-celahnya - seribu kepuasan dan kegembiraan.



Read more...

Manisnya "Gula-gula" Ta'aruf Suami Isteri

Tuesday, May 22, 2012



Kenapa perlu benar-benar kenal pasangan kita?

Ada yang bertanya, kenapa perlu tahu, teliti dan mengamati perbezaan antara lelaki dan perempuan? Salah satu jawapannya ialah – inilah pintu untuk kita lebih mengenali, memahami dan menjiwai pasangan kita.

Sungguh, lelaki dan perempuan itu amat berbeza. Maha suci Allah SWT yang menjadikan semua ini. Satu langkah yang paling praktikal, waras dan amat cocok dilakukan ialah kita sedar bahawa lelaki dan perempuan itu adalah makhluk yang berbeza dan punyai minat untuk mengetahui, mendalamnya dan merespon  secara aktif, penuh tanggangjawab dan berhemah sebagai tindakan reflektif terhadap perkara ini. Serius, lelaki dan perempuan berbeda dari segi biologi, emosi hatta cara berfikir pun. Ya ka begitu?

Sama ada kita tahu, sedar atau tidak – titik inilah yang akan membawa kepada penghubungan titik-titik yang berbeza itu kepada suatu keserasian, sepersefahaman dan kesecocokan. Ia adalah jalan-jalan yang harus ditempuhi oleh pasangan suami isteri dalam menempuhi bahtera rumah tangga.

Corak hidup yang ada jurang perbezaan mungkin kerana faktor yang pelbagai. Ada kerana latar belakang keluarga yang berbeza, lifestyle hidup yang berbeza, pandangan hidup yang berbeza, budaya harian yang berbeza, selera makan yang berbeza, cara merespon sesuatu yang berbeza, pandangan serta pendapat yang berbeza dan macam-macam lagi. Oleh itu, mengenali pasangan itu memerlukan pertimbangan dan kesabaran yang super duper tinggi. Inilah cabaran yang termanis dalam rumahtangga. Perlu tip top kesabarannya  yang menjulang ke atas.

Satu hari saya bersembang-sembang dengan murabbi, katanya :

“ Biasanya sepasang suami isteri mengambil masa sehingga 10 tahun untuk mengenali pasangan masing-masing secara lebih mendalam. Bahkan, ada yang lebih daripada itu,”

“ 10 tahun?,” Getus saya.

Ya. 10 tahun.

Kenapa begitu lama?

Nota : - Betulkah pandangan seorang teman saya ini?

Ada yang memilih “bercouple” sebelum apa-apa ikatan dengan alasan untuk lebih mengenali bakal pasangan hidup. Katanya ia adalah cara terbaik untuk tahu, kenal dan membuat penilaian kepada “bakal” pasangan hidup.

Namun, apabila berkahwin. Segala-galanya berubah. Dia itu seolah-olah insan yang tidak pernah dikenali. Wataknya lain daripada sebelum berkahwin. Tanpa sedar, rupa-rupanya itu adalah sekadar lakonan di alam penuh manis gula-gula nafsu.

Jika begitu, apakah cara yang betul, sah, benar dan terbaik yang diiktiraf oleh syara untuk membuat sesi asas mengenali bakal pasangan ketika proses merisik, bertunang sehingga ke jinjang perkahwinan? Suatu persoalan.

Hujung Nota : - Gula-gula Cinta

Di antara kemanisan hidup, ialah mengenali pasangan kita selepas akad nikah yang sah. Jiwa lebih percaya, sangkaan itu disuburi dengan taqwa dan kejujuran terbina dengan pandangan kasih sayang. Dan, terpenting sentuhan jiwa itu amat terasa apabila semakin sayang dan dekat dengan Allah SWT.

Esok, kami bermusafir lagi. Tentunya dengan bermusafir banyak perkara yang boleh dita’arufkan kerana sesi perkenalan antara suami isteri tidak pernah habis dan kering.

BroHamzah
23 Mei 2012
Manisnya gula-gula ta’aruf suami isteri. Ia selamat kerana tiada kolestrol maksiat, kadar gula kesangsian yang rendah dan tidak merbahaya.

Read more...

Awalnya, Ragu-ragu Namun Akhirnya KTD Jua Yang Melekat Di Hati



Di sini : www.ktd.edu.my

Bismillah, dengan nama Allah SWT saya kongsikan.

Tiada siapa tahu kisah benar ini, namun ia benar-benar terjadi 3 tahun yang lalu. Adik saya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan SPMnya dan Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT beliau ditawarkan ke sebuah universiti tempatan di Kuala Lumpur. - Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya.

Ketika itu, Abah saya memberikan pilihan dan galakan kepada adik saya untuk melanjutkan pelajarannya ke sebuah kolej di pantai timur Malaysia. Namanya, Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). Awalnya, kelihatan seperti melepaskan suatu peluang “keemasan” sahaja.

Namun, sejak dahulu – Abah mendidik kami dalam setiap keputusan yang dibuat harus dengan istikarah. Mohon panduan dan petunjuk daripada Allah SWT. Lalu, disusuli dengan perbincangan sesama kami. Pertimbangan, melihat kelebihan dan kekurangan serta pandangan dilihat dengan mata kasar dan juga mata hati. Sejak dahulu, abah sentiasa memberikan panduan dan galakan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Dalam tempoh itu, adik saya bertimbang-timbang dan berkira-kira untuk membuat kata putus. Tentunya berbelah bagi dan dalam dilemma. Antara dua ;- sama ada, menyambung pengajian di Kuala Lumpur, Kota Metropolitan atau Kelantan Darulnaim, Negeri Serambi Makkah.

Hendak dijadikan kisah, ketika tarikh pendaftaran untuk masuk ke UIA semakin hampir – adik saya masih belum menerima surat tawaran ke sana. Semakin hari semakin dekat. Sedangkan, kawan-kawannya yang lain telah menerimanya. Lalu, ketika itu bagaikan satu signal dan petanda – bahawa tiada jawapan yang sah untuk ke sana lalu, setelah istikarah, memohon hidayah dan taufik daripada Allah SWT, adik saya membuat keputusan dengan tekad bahawa dia akan belajar ke KTD. Abah menyambutnya dengan gembira dan teruja.

Beberapa hari kemudian, surat tawaran UIA sampai ke rumah. Dan, ketika itu adik saya telah uruskan semua pengesahan dan surat menyurat untuk KTD. Abah bertanya bagaimana?

“ InsyaAllah, terus ke KTD.”

Tanpa nada menyesal. Tiada sebarang keraguan. Dan, beliau melangkah dengan sebuah harapan, keyakinan dan kepercayaan.  Bermula saat itu, itulah sebenarnya medan terbaik baginya untuk menimba ilmu, membina kemahiran kendari, medium latihan membentuk jatidiri dan mengasah bakat serta potensi insani.

Beliau telah menamatkan pengajian diplomanya – Perakaunan- semester lalu dengan first class (CGPA 3.81), dianugerahi Anugerah Nilam (terbaik keseluruhan) dua semester berturut, aktif sebagai penolong fasilitator dan memegang jawatan Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.

Begitu juga seorang adik saya lagi – Kakak kepada individu di atas- , turut menamatkan pelajar dengan first class untuk diploma Pengajian Al-Quran dan Hadis. Untuk beliau, saya amat terharu dengan kejayaannya kerana beliau telah melalui perjalanan hidup yang agak panjang untuk berjaya sehingga setakat ini.

Apa yang saya dapat daripada semua ini?

Justeru, asasnya ialah keyakinan, keyakinan dan kepercayaan terhadap Allah SWT amat-amat penting dalam membina kehidupan. Ramai orang melihat, belajar itu harus juga pentingkan tempat yang bagus-bagus, dipandang-pandang dan sebagainya. Bagi saya, itu nombor dua. Yang pertama, apa yang kita yakini dan percayai untuk diri kita dalam mengejar kejayaan.

Saya melihat bagaimana adik-adik saya melalui semua ini di KTD, saya mengetahui apakah hasrat, cita-cita dan matlamat yang dilaksanakan oleh KTD kepada mereka. Kerana itu, adik lelaki saya yang seterusnya turut bersama-sama melanjutkan pelajaran di sini. Apa natijahnya?

Alhamdulillah, beliau mendapat first class juga untuk kedua-dua semester yang telah didudukinya. Semester depan, adalah tahun ke duanya di KTD. Harapan saya, bukan sekadar akademik dia menyerlah tetapi kepimpinan, karismatik dan seterusnya akhlaknya.

Mereka membuktikan, anjakan paradigma dan sikap yang betul dalam menuntut ilmu mampu menghasilkan lonjakan transformasi yang luar biasa hebat. Kerana itu, pesan emak dan abah sentiasa menjadi inspirasi buat kami dalam melakar kejayaan dalam kehidupan.

Anda bagaimana? Mahu berjaya seperti mereka?
Saya syorkan kepada anda, KTD adalah tempatnya. Pilihan yang terbaik buat anda.

BroHamzah
21 Mei 2012
Gembira apabila melihat manusia yang biasa-biasa berubah menjadi luar biasa. Jujurnya, ramai saya jumpai mereka di sini.

Read more...

Kolej Terbaik Dunia

Sunday, May 20, 2012


Layari : www.ktd.edu.my untuk lebih terperinci.

Kisah benar :


Saya punyai 3 orang adik yang belajar di Kolej Terbaik Dunia (KTD) ini. Alhamdulillah, tiga-tiga mereka mendapat anugerah dekan tiap-tiap semester. Dan, yang terpenting mereka terbina melalui program PESAT untuk menjadi hamba Allah SWT yang bertaqwa dan beriman.

Salah seorang daripada mereka, pernah dianugerahkan Anugerah Nilam (Terbaik Keseluruhan) untuk 2 semester berturut-turut. Apakah rahsianya? - Ia hanya terbongkar di Kolej Terbaik Dunia ini.

Slogan yang sentiasa meniti di bibir para pelajar KTD ialah : " Mengaji biar pandai, Perangai Biar Juruh, Hidup Biar Boleh Tumpang. Ia menjadi inspirasi untuk melakar kejayaan di masa mendatang. 

Justeru itu, bagi adik-adik, pelajar-pelajar dan bakal mahasiswa yang ingin "sesuatu" yang membakar semangat dan jiwa anda dalam mengukir kejayaan - saya syorkan KTD sebagai medan ilmu anda. Semoga kalian temui sesuatu di sini dengan izin Allah SWT.

Tahukah, kalian - ia bermula dengan sebuah kepercayaan dan keyakinan. Tanpanya, kejayaan itu amat kabur sekali. 

BroHamzah
20 Mei 2012
Tersenyum Melihat Kejayaan Adik-adikku. Tahniah & Syabas! Abang "tumpang" kegembiraan ini.


Read more...

"Catalyst" Proses Tarbiyah

Friday, May 18, 2012




"Meningkat" & Terus meningkat - suatu yang amat penting dalam proses tarbiyah diri.


Suasana hari itu tenang sahaja. Sambil memerhati teman-teman bersandar dan berehat menghirup udara pagi yang mendamaikan.

“ Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana memilih saya untuk berada dalam proses didikan ini,” Bicara bermula.

“ Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, kepada Allah SWT lah selayaknya pujian ini,” Kata seorang sahabat yang duduk bertentangan.

“ MasyaAllah, hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT telah membuka jalan yang lurus dan benar ini buat saya. Jika dibandingkan saya dahulu dan sekarang, masyaAllah jauh bezanya. Terima kasih abang kerana sudi membimbing dan bersabar dengan karenah saya dulu. Kesian pula apabila terkenangkan peringkat awal dulu bagaimana abang mula mendekati dan mendidik saya. Lucu pun ada,” Katanya sambil tersengih-sengih.

“ Alhamdulillah, akhi. Ana tidak ada apa-apa pun. Kerdil saya dan itu pun tanggungjawab ana. Cumanya, ana ingin kongsi-kongsikan dengan anta beberapa perkara. Menurut Ibnu Jauzy, apabila kita memilih jalan keimanan ini bermakna kita memilih ujian-ujian dan kesusahan. Jadi, akan terbentang pelbagai dugaan dan cabaran di hadapan anta kelak,” Kata sahabatnya itu dengan lemah lembut.

“ Terima kasih, abang kerana sentiasa memberikan titipan nasihat kepada saya. Tidak jemu-jemu pula tu,” Sambungnya lagi.

“ Alhamdulillah, kekuatan daripada Allah SWT. Dialah yang mendorong dan memberikan suatu perasaan dan kesedaran untuk kita saling lengkap-melengkapi. Akhi, pagi ini ana nak sharing-sharing dengan anta tentang satu perkara yang terpenting dalam proses tarbiyah. Sangat penting. Tidak boleh abaikan perkara ini,” Kata sahabat karibnya itu.

“ Apa dia, abang?,” Soalnya kehairanan.

“ Tentang catalyst kepada proses tarbiyah,” Kata sahabatnya itu sambil memandang ke matanya.

“ Apa tu?,” Keningnya sedikit naik.

“ Catalyst tu maksudnya pemangkin. Dalam erti dan makna yang lain ialah pencepat kepada proses tarbiyah. Ada perkara-perkara yang akan membantu untuk kita “cepat”  meningkat dalam proses tarbiyah ini. Ini berdasarkan nasihat-nasihat ulama muktabar dan pengalaman beberapa orang sahabat abang.” Kata sahabat sejatinya itu.

“ Err, maaf abang. Nak tanya satu perkara. Muktabar tu apa?,” Segan-segan dia bertanya.

“ Oh, afwan. Muktabar itu bermakna tersohor, terhormat atau terkenal. Ia adalah berasal daripada bahasa Arab. Jadi, ulama' muktabar adalah ulama terhormat dengan keilmuan, akhlak dan kewarakan mereka,” Jelas sahabatnya itu.

“ OOoo.. lama dah saya dengar istilah muktabar, tetapi buat-buat tahu. Tetapi sebenarnya tidak tahu. Malu bertanya.” Katanya tersipu-sipu malu.

“ Dalam, tarbiyah ini jika kita tidak jelas dan tidak faham - segeralah bertanya tanpa bertangguh. Bertanya itu bukan suatu keaiban. Malah, ia adalah jalan untuk kita lebih cepat memahami,” Ulas sahabatnya itu dengan merendah diri.

“ Terima kasih, abang,” Katanya lagi.

“ Begini, antara pemangkin atau pencepat kepada proses tarbiyah kita ada beberapa perkara. Hal ini jika kita ambil dengan serius, hadam dan terus laksanakan insyaAllah – akan tinggalkan kesan yang besar kepada proses peningkatan kita,” Kata “murabbi” nya itu.

“ Apakah perkara itu,” Tanya dengan semangat untuk tahu.

Lalu, sahabatnya itu memberikan secebis kertas yang di dalam terdapat tulisan tangan yang kemas, cantik dan tersusun rapi.
------------------------------------------------------------------------------


Catalyst - Pemangkin & Pencepat Proses Tarbiyah

Pertama, kehadiran jiwa, hati dan diri kita dalam setiap program yang kita libatkan diri.

Kedua, tumpuan, fokus dan ulangkaji (semak) bahan-bahan dalam halaqah, tazkirah, liqo’ dan ijtima’ yang kita lalui.

Ketiga, concertation dalam solat. ( Khusyuk dan fokus dalam ibadah solat).

Keempat, bekerja memimpin satu persatu individu melalui dakwah fardiah (DF).

Kelima, terus-menerus melakukan mua’lajah al-Uyub. ( Merawat Keaiban)

“ Tarbiyah Fi Aidikum, Fi Aidikum Faqad”

---------------------------------------------------------------------------------------------------



" Cantiknya tulisan kertas ini, abang buat ka?,” Ujarnya sedikit teruja.

Sahabatnya itu tersenyum.

“ Nanti tolong huraikan point-point ini dalam pertemuan minggu kita. Banyak perkara yang saya kurang jelas dan kalau boleh saya nak tanya banyak soal. Bolehkan abang?,” Mintanya sambil memegang cebisan kertas itu.

“ InsyaAllah, boleh. Kita sama-sama kongsikan nanti.” Sahabatnya itu mengangguk-angguk. Ternyata dia sangat senang dan tenang dengan ukhuwah ini.

BroHamzah
19 Mei 2012
Setiap detik dalam biah tarbiyah punyai kemanisannya yang tersendiri.

Read more...

Hajat-hajat Kita

Tuesday, May 15, 2012





Saat punyai hajat dan keinginan, kita punyai tempat untuk menggantungkan 
harapan dan hasrat.

Bismillah, sharing is loving.

Dalam hidup ini, banyak hajat-hajat, keinginan dan permintaan kita yang terlintas dan terbuku di hati. Jika boleh, ingin sahaja disenaraikan dalam satu list yang panjang dan paling penting - segala-galanya itu dikabulkan segera oleh Allah SWT.

Namun, sunatullah tidak begitu. Ada laluan, jalan dan prasyarat yang harus kita lalui. Salah satu cara didikan Allah SWT kepada kita ialah dengan “mendidik” kita agar sentiasa menadah tangan, meminta, berdoa penuh harapan , bermunajat dengan segala kerendahan dan “bermanja-manja” dengan-Nya dalam setiap hajat-hajat kita itu.

Syeikh Ibnu Ata’illah Iskandari dalam kitab al-Hikamnya menyatakan :

“ Sebaik-baik permintaan yang seharusnya kamu mohon daripada Allah SWT adalah (kemampuan) melaksanakan apa sahaja yang Allah SWT perintahkan kepada kamu.”

Sejak daripada kecil, saya sememangnya memiliki banyak hajat-hajat yang saya dipinta daripada Allah SWT. MasyaAllah, Maha Pemurah dan Pengasihinya, Allah SWT – hampir kesemua yang dihajati itu dikurniakan, dianugerahi dan diberikan oleh Allah SWT kepada diri ini.

Dahulu ketika berumur 3 tahun lebih, emak bertanya kepada saya :

" Ali hendak berapa orang adik-beradik?,"

Saya kata dengan riang :

" 10 orang adik-beradik!,"

Dengan izin-Nya, kini saya dikurniakan 10 orang adik-beradik. Dan, banyak lagi asalnya, angan-angan kini menjadi realiti dengan izin Allah SWT.

Tetapi, kata-kata Sheikh Ibnu Ata’illah ini benar-benar menggugah jiwa. Ternyata, dalam banyak-banyak permintaan saya – tidak pernah terfikir saya untuk memohon sebaik-baik permintaan kepada Allah SWT iaitu kekuatan dan kemampuan untuk taat dan patuh dalam melaksanakan segala perintahnya.

MasyaAllah. MasyaAllah. MasyaAllah.

Kerdilnya aku. Hinanya Aku dan Kecilnya Aku di hadapan Sang Maha Agung, Maha Besar dan Lagi Maha Berkuasa.

BroHamzah
15 Mei 2012
Seusai Sesi Usrah Cinta Tidak Formal. Bersharing sambil-sambil melipat pakaian.

Read more...

Like Father Like Daughter

Saturday, May 12, 2012


Saya bersama Abah saya ketika usia 6 bulan. Sekitar Hujung Tahun 1985.
Kata Mukhlisah : " Abi bersama Tok Wan."

( Nota : Saya cuba kongsikan sebuah hadis tentang anak sebagai buah hati. Namun, ada masalah teknikal. Justeru, saya akan check dengan tuan pakar IT.)




Saya ketika 5 bulan. Berbaring dengan riang.




Anak saya, 'Aliyah Mukhlisah ketika berusia 3 bulan 25 Hari. Penghujung April 2012. Ada iras abinya tak?

(1) Syukur kepada Allah SWT atas kurniaan & anugerah ini. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

(2) Amanah & Tanggungjawab ini amat berat dan harus dilaksanakan sebaik mungkin dengan ilmu, iman dan amal. Ia bukanlah suatu bebanan, tetapi ia adalah nikmat.

(3) Anak adalah anugerah kepada pasangan suami isteri. Dengan kehadiran anak, ia menambahkan lagi perasaan kasih sayang dan cinta di antara keduanya. Hargailah kehadiran anak, dengan mendidiknya mengenal penciptanya – Allah SWT.

(4) Anak juga adalah rezeki daripada Allah SWT. MasyaAllah, melaluinya jua Allah SWT salurkan bermacam-macam bentuk rezeki melalui pintu-pintu yang tidak disangka-sangka. Sungguh, Allah SWT itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

BroHamzah
12 Mei 2012
Seharian Bersama Anak Sendiri. Muhasabah Seorang Abi.


Read more...

Harus Memiliki 3 "Kunci" Sebelum Bernikah

Wednesday, May 9, 2012


Kunci terpenting dalam mendirikan rumah tangga ialah
 memiliki kunci hati sendiri

Bismillah, perkongsian ini dimajukan.

Paparan berita di media cetak, elektronik dan maya hari ini serba sedikit menarik perhatian kita sejenak. Tajuknya yang mungkin sensitif  bagi sebahagian kita, tetapi itulah realiti yang ada. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa faktor yang dinyatakan.






Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi. Akal berfikir jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa itu bukan?

Anda pula bagaimana?

Tengah harinya, saya seperti biasa keluar makan tengahari bersama rakan-rakan di kedai makan beramai-ramai. Biasalah, banyak juga perkara yang kami sembang-sembang dan bual-bualkan. Tiba-tiba, salah seorang daripada kami berkongsi sesuatu.

“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada kami semua yang ada.

“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada kami.

“ Haa.. cuba teka,” Katanya.

Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab. Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.


Terus dia berkata :

“ Pertama, kunci pejabat,”

“ Kedua, kunci kereta,”

“ Ketiga, kunci rumah,”


Kemudian dengan spontan saya berkata, :

“ Ada satu lagi, cuba teka?,”

“ Kunci Syurga!,” Ada yang cuba menambah.


Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.

“ Ada satu lagi, tahu apa dia ?,”

“ Kunci spare!,” Kata Saya.

Masing-masing ternaik kening dan riak muka sedikit teruja. – Smile -






Kita, kita dan Perkahwinan

Saya menerima beberapa perkongsian, pertanyaan dan diskusi daripada beberapa orang adik-adik dan sahabat-sahabat agar dapat share sedikit berkaitan alam rumah tangga. Menariknya, ada dikalangan mereka begitu bersemangat untuk melangkah ke fasa persediaan untuk mendirikan rumahtangga serta alam pertunangan. Alhamdulillah, ia adalah suatu mind setting yang baik.

“ We get married to increase our iman,” Itulah kata-kata Hisham Al-Awady yang memikat hati saya.

Sebelum mendirikan rumahtangga, itulah yang tertanam dalam jiwa saya bahawa perkahwinan yang akan dilalui itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Alhamdulillah, antara perkara yang saya perolehi yang paling ketara selepas berkahwin ialah ibadah yang lebih khusyuk dan tenang.

Fasa-fasa yang dilalui dalam kehidupan bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa menjadi sesuatu yang akan dilalui bagi setiap insan di dunia ini. Fasa-fasa ini adalah titik perubahan yang meninggalkan pengaruh, kesan dan bekas kepada setiap manusia yang mengalaminya.

Begitu juga, dalam konteks alam rumah tangga. Setiap manusia yang normal, secara fitrahnya memiliki hasrat dan keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Impian untuk mempunyai pendamping hidup, peneman dan insan yang dikasihi serta disayangi secara lebih dekat itu dengan suasana hidup secara bersama. Mereka ingin dikat serta berkongsi hidup secara halal, suci, bersih dan sah. Namun, suatu persoalan yang harus jelas tertanam dalam benak kita ialah apakah sebenarnya tujuan kita mendirikan rumahtangga ini?

Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumah tangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini kembali.

Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.

Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut : “ Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”

Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?

Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka yang telah lama dalam fasa ini – bersedialah bersungguh-sungguh sebelum melangkah ke alam berumah tangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani. Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga iaitu :

(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri

Dan, antara persediaan dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi segala ujian, dugaan dan cabaran alam rumahtangga kelak.

Di masa mendatang, saya berhajat untuk kongsikan buku-buku serta bahan bacaan yang amat sesuai untuk dijadikan rujukan sebagai persiapan sebelum mendirikan rumahtangga. InsyaAllah, ia akan disusun, dirumuskan dan dikongsikan nanti.

Sekadar itu sahaja yang mampu saya kongsikan saat ini, semoga ianya bermanfaat.

Nota : Setelah setahun berkahwin, saya lebih berhati-hati dan cermat dalam menulis tentang dunia perkahwinan. Di sana terdapat banyak perkara yang semakin hari semakin banyak perkara yang saya timba, belajar dan telusuri. Banyak perkara yang saya tidak tahu, tidak tahu dan tidak tahu. Setiap hari ada debaran bagi pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga. Itu perasaan saya. Wallahu’alam.

BroHamzah
9 Mei 2012
Semakin Hari Semakin Sayang - Menuju Usrah Cinta 

Read more...

Rahsia Seorang Anak

Sunday, May 6, 2012


" Matanya, Senyumannya, Gelak Tawanya & Tangisannya - 
mampu menjadi penawar."



Ada seorang bapa, setiap hari kerjanya dipejabat beraneka ragam cabanganya. Tiada siapa pun tahu apa pekerjaannya. Bahkan tiada siapa pun akan memahami apa jenis kerja buatnya itu. Tetapi, semua orang tahu dia amat-amat sibuk. Namun, di wajahnya tiada keserabutan yang terpamer di riak mukanya yang menyejukan  itu.

Ditanya, apakah rahsianya dia se”cool” itu.

“ Akhi, anta ada anak kan?,” Soalnya.

“ Alhamdulillah, ada,” Jawab sahabatnya.

“ Setiap kali pulang ke rumah, tataplah wajah anak anta tu sedalam-dalamnya. Berbicaralah dengannya dengan jiwa dan perasaan. InsyaAllah, anta akan tahu rahsianya.” Ujarnya.

Rahsia ini, sangat-sangat tinggi nilai kerahsiaanya. Bagi yang telah berumahtangga dan dikurniakan cahaya mata, adakah kalian telah menemui rahsianya?

BroHamzah
6 Mei 2012
Sedang berusaha mengorek dan membongkar rahsia itu.

Read more...

Merindui Seorang Murabbi

Wednesday, May 2, 2012


Murabbi Abu Munzir : " Anak-anak, usah biarkan dirimu mencintai dunia dan jangan biarkan sekali-kali hatimu terpaut kepada kemewahan dunia."



Bagi sesiapa yang mengenalinya, hidup bersama setiap semangat juang dan ruh kekuatan jiwanya – pasti akan terkesan dan berbekas pengaruhnya kepada diri.

Sudah sekian lama tidak bersua, bersama dan berada di bawah dakapan didikannya. Terasa kerinduan dan kehangatan kian kuat menyelubungi perasaan ini.

Kesungguhannya, kecekalannya, ketabahannya, keistiqamahannya dan ketinggian himmahnya – sentiasa menjadi inspirasi buat diri.

Mudahan murabbi terus berada dalam lindungan, Inayah dan kasih sayang Allah SWT di mana sahaja beliau berada. Beliau adalah murabbi yang banyak melorongkan, mendidik, mengasuh dan memberikan titipan taujih kepada kami semua untuk sentiasa “membersih”kan diri agar pulang kepada Allah SWT sebagai hamba Allah SWT yang benar-benar berjiwa hamba.

Antara kenikmatan, kelazatan dan keindahan dalam tarbiyah ialah kita dikurniakan seorang murabbi yang begitu peka, sensitif dan sentiasa cakna akan perkembangan tarbiyah diri ini. Benar, bukan mudah untuk menjadi murabbi yang berjiwa halus. Ia bagaikan suatu anugerah dan kurniaan Ilahi tetapi, kata murabbi – kita harus mendidik diri agar kita mampu menjadi dai’ dan murabbi. Proses tarbiyah menuntut kita untuk meningkat, meningkat dan terus meningkat. Salah satunya, meningkat menjadi murabbi.

Kata murabbi yang sehingga kini terpahat kukuh di minda dan jiwa ini :

“Murabbi yang baik, ialah murabbi yang mampu mendidik anak didiknya lebih baik daripada dirinya!”

BroHamzah
2 Mei 2012
Terkenang Memori Tarbiyah Bersama Sang Murabbi

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP