Pencetus Ummah
Renovasi Pencari Speaker Ummah
Rancangan Pencetus Ummah
yang sedang rancak ditayangkan di kaca televisyen Astro saat ini,
benar-enar menarik perhatian saya. Membawa tagline “ Duniaku
Dakwahku” menjadikan ia mempunyai visi dan misi yang
tersendiri dalam mencungkil bakat, kemahiran dan potensi para
pendakwah muda untuk menyebarkan risalah rahmatan lil alamin
kepada masyarakat serta ummah.
Saya lihat, fokus utama
rancangan ini ialah memantapkan kemahiran public speaking kepada para
pesertanya. Ternyata, rata-rata pesertanya berkaliber, bersahaja,
spontan, beraura, memikat, mempunyai daya tarikan tersendiri dan ada
magnet masing-masing ketika beraksi di mimbar bicara.
Antara peserta pilihan
saya ialah PU Rahmat Ikhsan, PU Hafiz dan PU Thowi. Bagi saya,
persembahan mereka sangat memukau, berkarismatik, energetik dan
sangat-sangat padu. Pilihan utama saya ialah PU Rahmat Ikhsan.
Biarpun masih muda dan merupakan peserta terbongsu – saya yakin
beliau mampu menjadi pilihan terbaik bagi menaik takhta mimbar dengan
gelaran juara Pencetus Ummah musim pertama.
Keperluan Public Speaking
Dalam kehidupan harian,
public speaking sangat penting. Ia tidak terbatas kepada sesi
ceramah, tazkirah, talk atau penyampaian kuliah semata-mata. Tetapi,
public speaking adalah satu kemahiran keupayaan kita menyampaikan
mesej kita kepada si penerima dengan baik, jelas dan terang.
Ketika berkomunikasi
dengan isteri, suami, anak-anak, jiran tetangga dan kaum kerabat –
seni public speaking amat-amat diperlukan. Begitu juga ketika
mengendalikan mesyuarat, perjumpaan, sesi halaqah atau usrah
amat-amat memerlukan kemahiran pengucapan awam ini.
Bagi saya, public
speaking bukannya semata bakat tetapi ia adalah latihan yang
berterusan dan semangat untuk mencuba di dalam diri kita. Bagi yang
berusaha, berusaha dan terus berusaha – maka skill public
speakingnya akan “menyerlah” secara pasti.
Mengasah Bakat Ini
Saya
adalah seorang yang pemalu, tidak suka berdepan apatah lagi berdiri
di khalayak ramai dan akan gementar apabila saat ini tiba.
Yer
ke?
Ya.
Itulah saya, bagi yang mengenali. Gementar, takut, berdebar, cuak dan
suspen akan terus-menerus menghantui diri saya sehinggalah ke hari
ini. Itu sisi sebalik saya yang ramai bersangka saya “biasa”
bercakap di hadapan ramai orang.
Setiap
kali menerima jemputan talk, forum atau apa-apa yang bersangkut
dengan public speaking saya akan berada dalam dua bersimpang serta
dilemma kehidupan yang memeritkan. Hati berbolak balik sama ada
menerima atau menolak. Hati berdebar-debar lagi tidak keruan.
Namun,
satu sahaja yang memberikan kekuatan untuk berkongsi dan menerima
jemputan. - Dakwah! Kerana
semangat ingin menyampaikan sedikit apa yang ada saya memberanikan
diri. Itulah modal saya.
Sebenarnya,
takut atau gementar untuk memberikan pengucapan awam bukan suatu yang
janggal kerana kajian menunjukan bahawa hampir 75 % orang sangat
takut untuk melakukannya menewaskan ketakutan kepada kematian dan
berada di tempat yang tinggi.
Jadi,
jangan gusar jika anda takut untuk bercakap di khalayak ramai.
Pengalaman Bersama
DASAR
Sepanjang
saya bersama DASAR, kemahiran dan seni public speaking adalah satu
ilmu yang saya timba. Sejak muda, DASAR telah banyak memberikan
penyampaian, talk, seminar, ceramah dan sebagainya di pelbagai medan.
Semasa
ditugaskan menjadi driver beliau, saya berpeluang mengikut sesi talk
dan ceramah beliau di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. Forum,
talk, taklimat, ceramah keibubapaan, sesi tazkirah dan juga
bermesyuarat bersama beliau.
Bagi
saya, DASAR punyai tarikan tersendiri apabila berbicara dan
menyampaikan gagasan beliau dalam public speaking. Menariknya,
intipati dan mesej gagasan beliau sentiasa konsisten, sama dan tidak
berubah walaupun membicarakan topik yang berbeza.
Suatu
hari, saya bersembang-sembang dengan beliau. Lalu, saya bertanyakan
tips, teknik dan kaedah beliau dalam public speaking. Hal ini, selalu
saya soal kepada sesiapa sahaja yang saya temui untuk manfaat saya.
Sememangnya, telah banyak tip yang saya dapat. Tetapi, tips DASAR
menarik minat saya kerana lain daripada lain.
“
Bagi ana satu sahaja – sebelum berucap, berhadapan, bertemu atau
bermesyuarat dengan sesiapa pastikan kita membaca Al-Quranul Karim,”
Ujar beliau dengan tenang.
“
InsyaAllah, lidah dan mulut kita akan lancar mengeluarkan tutur
bicara. Hati tenang, jiwa lapang dan perkataan baik-baik sahaja,”
Tambah DASAR lagi.
Hati
saya tersentuh apabila mendengar kata-katanya itu. Kuat sebenarnya
pengaruh Al-Quran dalam kehidupan mukmin. Ia tidak hanya untuk
perkara-perkara spiritual atau amalan ritual semata, tetapi
menjangkau hal-hal yang bersangkut paut dengan kehidupan seharian.
Saya
sedar, yakin dan faham kenapa DASAR memberikan nasihat tips
sedemikian kepada saya. Tunjang peringatannya beliau ialah agar
Al-Quran terus-menerus menjadi santapan dan hidangan utama jiwa serta
hati saya sebelum melakukan apa-apa dalam menjalani aktiviti
kehidupan.
Benarlah
firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Wahat Umat
manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi
nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi
penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi
hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi
orang-orang yang beriman.”
(
Surah Yunus 10 : 57)
Penutup – Nadi
Kekuatan Mukmin
Tanpa
mengepikan kemahiran teknikal public speaking yang lain, kebersamaan
dan sentiasa mendampingi Al-Quran adalah rahsia utama menghilangkan
serta menghapuskan penghalang utama berdiri di hadapan khalayak ramai
iaitu gementar.
Bagi
saya, inilah tips, teknik, kaedah dan wasilah utama yang terpenting,
termudah, terkuat, terhebat dan terbanyak dalam mencipta aura
tersendiri dalam lapangan public speaking.
Hah!
Rahsia sudah dibentangkan, apa lagi sama-sama kita luruskan niat dan
sentiasa perbaharui keazaman untuk menguasai kemahiran ini untuk
menyebarkan keindahan Islam.
Read more...