Travelog Seorang PA - Tip Mantop Public Speaking

Wednesday, December 4, 2013



Pencetus Ummah
Renovasi Pencari Speaker Ummah


Rancangan Pencetus Ummah yang sedang rancak ditayangkan di kaca televisyen Astro saat ini, benar-enar menarik perhatian saya. Membawa tagline “ Duniaku Dakwahku” menjadikan ia mempunyai visi dan misi yang tersendiri dalam mencungkil bakat, kemahiran dan potensi para pendakwah muda untuk menyebarkan risalah rahmatan lil alamin kepada masyarakat serta ummah.

Saya lihat, fokus utama rancangan ini ialah memantapkan kemahiran public speaking kepada para pesertanya. Ternyata, rata-rata pesertanya berkaliber, bersahaja, spontan, beraura, memikat, mempunyai daya tarikan tersendiri dan ada magnet masing-masing ketika beraksi di mimbar bicara.

Antara peserta pilihan saya ialah PU Rahmat Ikhsan, PU Hafiz dan PU Thowi. Bagi saya, persembahan mereka sangat memukau, berkarismatik, energetik dan sangat-sangat padu. Pilihan utama saya ialah PU Rahmat Ikhsan. Biarpun masih muda dan merupakan peserta terbongsu – saya yakin beliau mampu menjadi pilihan terbaik bagi menaik takhta mimbar dengan gelaran juara Pencetus Ummah musim pertama.


Keperluan Public Speaking

Dalam kehidupan harian, public speaking sangat penting. Ia tidak terbatas kepada sesi ceramah, tazkirah, talk atau penyampaian kuliah semata-mata. Tetapi, public speaking adalah satu kemahiran keupayaan kita menyampaikan mesej kita kepada si penerima dengan baik, jelas dan terang.

Ketika berkomunikasi dengan isteri, suami, anak-anak, jiran tetangga dan kaum kerabat – seni public speaking amat-amat diperlukan. Begitu juga ketika mengendalikan mesyuarat, perjumpaan, sesi halaqah atau usrah amat-amat memerlukan kemahiran pengucapan awam ini.

Bagi saya, public speaking bukannya semata bakat tetapi ia adalah latihan yang berterusan dan semangat untuk mencuba di dalam diri kita. Bagi yang berusaha, berusaha dan terus berusaha – maka skill public speakingnya akan “menyerlah” secara pasti.


Mengasah Bakat Ini

Saya adalah seorang yang pemalu, tidak suka berdepan apatah lagi berdiri di khalayak ramai dan akan gementar apabila saat ini tiba.

Yer ke?

Ya. Itulah saya, bagi yang mengenali. Gementar, takut, berdebar, cuak dan suspen akan terus-menerus menghantui diri saya sehinggalah ke hari ini. Itu sisi sebalik saya yang ramai bersangka saya “biasa” bercakap di hadapan ramai orang.

Setiap kali menerima jemputan talk, forum atau apa-apa yang bersangkut dengan public speaking saya akan berada dalam dua bersimpang serta dilemma kehidupan yang memeritkan. Hati berbolak balik sama ada menerima atau menolak. Hati berdebar-debar lagi tidak keruan.

Namun, satu sahaja yang memberikan kekuatan untuk berkongsi dan menerima jemputan. - Dakwah! Kerana semangat ingin menyampaikan sedikit apa yang ada saya memberanikan diri. Itulah modal saya.

Sebenarnya, takut atau gementar untuk memberikan pengucapan awam bukan suatu yang janggal kerana kajian menunjukan bahawa hampir 75 % orang sangat takut untuk melakukannya menewaskan ketakutan kepada kematian dan berada di tempat yang tinggi.

Jadi, jangan gusar jika anda takut untuk bercakap di khalayak ramai.


Pengalaman Bersama DASAR

Sepanjang saya bersama DASAR, kemahiran dan seni public speaking adalah satu ilmu yang saya timba. Sejak muda, DASAR telah banyak memberikan penyampaian, talk, seminar, ceramah dan sebagainya di pelbagai medan.

Semasa ditugaskan menjadi driver beliau, saya berpeluang mengikut sesi talk dan ceramah beliau di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. Forum, talk, taklimat, ceramah keibubapaan, sesi tazkirah dan juga bermesyuarat bersama beliau.

Bagi saya, DASAR punyai tarikan tersendiri apabila berbicara dan menyampaikan gagasan beliau dalam public speaking. Menariknya, intipati dan mesej gagasan beliau sentiasa konsisten, sama dan tidak berubah walaupun membicarakan topik yang berbeza.

Suatu hari, saya bersembang-sembang dengan beliau. Lalu, saya bertanyakan tips, teknik dan kaedah beliau dalam public speaking. Hal ini, selalu saya soal kepada sesiapa sahaja yang saya temui untuk manfaat saya. Sememangnya, telah banyak tip yang saya dapat. Tetapi, tips DASAR menarik minat saya kerana lain daripada lain.

Bagi ana satu sahaja – sebelum berucap, berhadapan, bertemu atau bermesyuarat dengan sesiapa pastikan kita membaca Al-Quranul Karim,” Ujar beliau dengan tenang.

InsyaAllah, lidah dan mulut kita akan lancar mengeluarkan tutur bicara. Hati tenang, jiwa lapang dan perkataan baik-baik sahaja,” Tambah DASAR lagi.

Hati saya tersentuh apabila mendengar kata-katanya itu. Kuat sebenarnya pengaruh Al-Quran dalam kehidupan mukmin. Ia tidak hanya untuk perkara-perkara spiritual atau amalan ritual semata, tetapi menjangkau hal-hal yang bersangkut paut dengan kehidupan seharian.

Saya sedar, yakin dan faham kenapa DASAR memberikan nasihat tips sedemikian kepada saya. Tunjang peringatannya beliau ialah agar Al-Quran terus-menerus menjadi santapan dan hidangan utama jiwa serta hati saya sebelum melakukan apa-apa dalam menjalani aktiviti kehidupan.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud :

Wahat Umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

( Surah Yunus 10 : 57)

Penutup – Nadi Kekuatan Mukmin

Tanpa mengepikan kemahiran teknikal public speaking yang lain, kebersamaan dan sentiasa mendampingi Al-Quran adalah rahsia utama menghilangkan serta menghapuskan penghalang utama berdiri di hadapan khalayak ramai iaitu gementar.

Bagi saya, inilah tips, teknik, kaedah dan wasilah utama yang terpenting, termudah, terkuat, terhebat dan terbanyak dalam mencipta aura tersendiri dalam lapangan public speaking.


Hah! Rahsia sudah dibentangkan, apa lagi sama-sama kita luruskan niat dan sentiasa perbaharui keazaman untuk menguasai kemahiran ini untuk menyebarkan keindahan Islam.

1 comments:

Unknown May 27, 2020 at 2:11 AM  

Thanks for sharing, great post!

Áo khoác Đà Lạt chuyên sỉ và lẻ áo khoác áo khoác nam với giá ưu đãi nhất 2020. Luôn cập nhật mẫu mới chất lượng và dày ấm nhất kể cả với thời tiết lạnh giá các nước có du học sinh và xuất khẩu lao động. Aokhoacdalat.com được đồng hành cùng các bạn!!!!

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP