Cahaya Kehidupan Baru

Wednesday, December 28, 2011

Menggenggami cahaya itu bukan semudah yang diangan-angankan.
Ia cahaya buat jiwa yang lara.


Malam itu.

Malam yang hening, sejuk dan mendamaikan. Pertemuan mingguan yang sememangnya dinanti-nantikan bagi kami yang kekeringan, kegersangan dan dahagakan pengisian kerohanian.

Bekalan seminggu yang lalu telah kehabisan. Minggu ini, kami melangkah dengan kehadiran jiwa yang penuh pengharapan dan hajat yang besar. Hajat untuk menerima rawatan setelah terluka di medan tempur yang paling dahsyat di dunia. Iaitu pertarungan dengan hawa nafsu kami sendiri.

“Bismillahirahmanirahim..,” Murabbi memulakan muqadimmah pertemuan kami malam itu.

“ Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa’kan rasa syukur kepada Allah SWT kerana menitipkan keimanan kepada jiwa-jiwa kita.” Butiran mutiaranya mengamit rasa dan nurani kami.

“ Maha Suci Allah SWT yang mengizinkan kita untuk berada dalam suasana yang menyuburkan keimanan kita. Terasa ketenangan, kedamaian dan kenikmatan yang bersangatan.Dengan iman inilah, kita melalui hidup ini dengan perasaan yang berbeza. Seolah-olah, kita melalui kehidupan yang baru, lebih hidup dan bermakna.” Katanya dengan penuh perasaan. Kami tekun mendengar bicara pembukaan itu.

“ Mungkin, kehidupan kita berbeza sebelum ini. Sejujurnya, ana sangat-sangat sebak apabila menyebutkan tentang keimanan ini. Dahulunya, ana sudah merasai kehidupan di dalam kegelapan jahiliyah yang merosakan. Umpama, berada dalam longkang-longkang jahiliyah,” Tersedu murabbi seketika.

“ Kehidupan… kehidupan,” Tersekat-sekat sebutannya.

Murabbi menunduk pandangannya. Kelihatan air mata mengalir perlahan-lahan.

Kehidupan yang menjijikan, kotor dan tiada hubungan dengan Allah SWT. Ana mohon maaf, jika bicara ini agak sebegini. Tetapi inilah hakikat kehidupan. Antum lebih beruntung, kerana lahir daripada keluarga yang faham Islam, dan hajatkan Islam. Tetapi, ana telah melalui kepekatan suasana jahiliyah yang telah memutuskan hati ana dengan Allah SWT,” Sambungannya lagi dengan suara serak-serak basah.

“ Ana, sangat-sangat bersyukur atas kurniaan dan anugerah Allah SWT ini.”

“ Kerana itulah, ana sangat-sangat takut jika Allah SWT mencabut nikmat keimanan ini dalam hati ini. Ana ta..takut akhi,” Terdengar esakan lagi dalam tuturannya.

Kami semua terdiam. Ada tertunduk dan ada yang berusaha mengawal emosinya. Tersentuh jiwa dan hati-hati kami dengan bicara muqadimmah ini. Ya Allah, teguhkanlah hati-hati kami atas keimanan yang benar dan lorongkanlah jiwa-jiwa kami untuk sentiasa mendekati, menghampiri dan menyayangi-Mu.

“ Dengan keimanan inilah, jiwa-jiwa kita akan lebih merasai kenikmatan dan kemanisan kehidupan yang sebenar. Tatkala, manusia lain diuji dengan pelbagai ujian sehingga mereka tertekan, bimbang, tension dan resah – tetapi, kita ada tempat untuk bersandar, berharap dan bergantung.Ketika itu, kita sentiasa menyuburkan harapan kita terhadap-Nya.”

“ Kita ada Allah SWT. Dialah yang memberikan bantuan, pertolongan dan bantuan kepada kita. Tidak antum merasai semua ini?,” Ujar murabbi.

“ Suka ana mengambil kata-kata Prof Dr Yusof Al-Qardawi berkaitan keimanan, katanya :

“ Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam bentuk jiwa manusia dan menjadikan manusia itu dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya.

“ Kita dimuliakan dengan iman. Iman itu memuliakan keinsanan dan kemanusiaan kita.”

“Allah SWT menganugerahi kita dengan nikmat Iman yang amat bernilai dan berharga dalam kehidupan kita. Dengan keimanan ini jiwa dan hati kita menjadi teguh dan sentiasa bergantung serta berhubung dengan Allah SWT.”

Murabbi mengamati wajah-wajah kami dengan senyuman yang diukir indah lalu bicara disambung lagi :

“Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan kita seperti sebuah kisah cinta ; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.”

“Inilah cahaya kehidupan baru yang disinari dengan keimanan, keyakinan dan kepasrahan kepada Allah SWT. Dan cahaya ini akan terus bersinar terang benderang di dalam jiwa - jika kita sentiasa membersihkan hati dan jiwa ini untuk sentiasa dekat, hampir, rindu, sayang dan cinta hanya sanya kepada-Nya.”

Dan, malam itu kami benar-benar tenggelam dengan cahaya itu.

Catatan Seorang Hamba

(1) Iman itu adalah percaya dan yakin kepada kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Iman itu rasa cinta, rindu dan sayang kepada Allah SWT dan menjadikan saat-saat pertemuan dengannya satu saat kerinduan yang bersangatan. Iman itu terletak pada jiwa dan hati. Untuk rasai kemanisan beriman, bersih dan jagailah hati kita. Warnai kehidupan ini dengan keimanan dan keyakinan kepadaNya!!

(2) Hidup dengan keimanan – memberikan suatu kekuatan yang luar biasa. Ia penuh ketenangan, kedamaian, ketenteraman, kepasrahan dan kebergantungan yang sepenuh kepada Allah SWT. Walaupun diuji, kesabaran dan keteguhan tetap menjadi pakaian diri.


Muhasabah di Hujung Tahun 2011

“ Ternyata, kehidupan yang manis itu
hanyalah dengan cahaya keimanan.”

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan



Read more...

Allah SWT Uji Kita, Kerana Dia Sayangkan Kita

Wednesday, December 21, 2011

Allah SWT : - Sayangkah kita kepada-Nya?




Bertaqwalah ketika berbicara, kerana Dia pasti menguji apa yang kita kata.
Bertaqwalah ketika melakar tinta, kerana Dia akan menguji segala
yang dicoret oleh pena
Bertaqwalah ketika menghubungkan persaudaraan, kerana Dia akan menguji ketulusan ukhuwah yang dibina


Murabbi merapati diri dengan langkahan penuh ketenangan dan kedamaian. Senyuman tidak pernah lekang walaupun seketika. Sentiasa dan sentiasa mengukir senyuman yang benar-benar memikat.

Diam tanpa bicara.

“ Kenapa ini? Ada masalah?,” Ujarnya lembut tanpa keras atau buat-buat. Sinar matanya memberikan suatu sinar harapan.

Air mata tertumpa jua dihadapannya. Terasa lemah bersangatan.

“ Akhi..,” Bicaranya bermula.

“ Sesungguhnya, kita ini benar-benar berhajatkan kepada Allah SWT.”

“ Walaupun sehebat mana kita, segagah mana pun kita, selantang dan setinggi mana pun ilmu kita. Kita adalah hamba Allah SWT,”

“ Allah SWT uji anta, sebab Allah SWT sayang anta,” Katanya dengan bahasa-bahasa yang sederhana tetapi suaranya menyejukan jiwa.

“ Kita dididik untuk menghubungkan semua perkara :- baik, gembira, musibah, ujian dan dugaan yang menimpa dengan Allah SWT. Rasailah kehadiran dan kebersamaan Allah SWT dalam setiap peristiwa yang menimpa anta. Lihatlah ia dengan pandangan keimanan dan amatilah ia sedalam-dalamnya bahawa, kita sebenarnya berhak diuji oleh Allah SWT,”

“ Pastikan setiap yang terjadi, benar-benar tarbawi agar ia mendidik hati, jiwa, perasaan dan nurani,” Katanya lagi.

“ Akhi, kita hamba-Nya kan?,”

Kepala terasa berat untuk mengganguk.

“ Ya. Kita hamba-Nya. Saat diuji, - segala kekerdilan, kelemahan, kekurangan, kedhaifan dan keaiban diri kita terserlah. Dan, ketika itu kita rasa kita hilang segala tempat pergantungan. Bagaikan putus harapan”

“ Tetapi, untungnya kita sebagai hamba Allah SWT. Kita ada Dia. Kita ada tempat pergantungan. Kita ada tempat persandaran dan kita ada tempat untuk mengadu dan meluah.”

“ Hadapilah semua yang terjadi dalam kehidupan anta dengan ketaqwaan, keimanan, kepasrahan, keyakinan dan kebergantungan hanya sanya kepada-Nya.”

“ Akhi, bertaqwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa!.”

“ Akhi,..” Bicara terhenti seketika. Tangan murabbi memegang halus penuh rasa ke bahu ini.

“ Pergilah ambil wudhuk – kemudian dirikan solat sunat dua rakaat. Di penghujung sujud rendahkanlah dirimu serendah-rendahnya dan mohonlah keampunan daripada-Nya. “

“ Dan, tadahlah tangan seusai itu – mengadulah kepada-Nya, luahkanlah segala isi hati yang tidak tertanggung, munajatkan kepada –Nya, merintihlah sepuas-puasnya dan menangislah di hadapan-Nya.”

“ Akhi, bertaqwalah kepada Allah SWT!.”

“ Akhi, pujuklah hati dengan lantunan ayat-ayat cinta-Nya dan bingkisan peringatan hadis daripada junjungan Mulia – Nabi Muhammad SAW.”

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

( Al Fatir 35 : 15)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, nescaya Allah akan mengujinya dengan kesusahan.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Bertaqwalah ketika memberi, kerana Dia akan menguji keikhlasan hati
Bertaqwalah ketika menerima, kerana Dia berhak untuk mengambilnya semula
Bertaqwalah ketika meniti kehidupan, kerana Dia mengamati dan menilai setiap perbuatan
Bertaqwalah ketika ditegur atau dikritik menguris rasa, kerana Dia sedang menguji kerendahan jiwa
Bertaqwalah kepada-Nya, kerana kamu adalah hamba!



Catatan Seorang Hamba

(1) Antara kenikmatan dan kemanisan dalam kehidupan adalah memiliki murabbi (pendidik) dan pembimbing yang berjiwa besar dan berakhlak mulia. Mereka umpama , ibu ayah, sahabat, guru, pemimpin dan individu yang sangat-sangat halus dalam mendidik serta mengambil berat tentang diri kita.

(2) Kita sebenarnya :- Sangat kerdil, lemah, tiada upaya dan tiada nilai apa-apa. Tiada ilmu kita yang wajar dibanggakan, tiada kehebatan kita yang boleh diwar-warkan dan tiada apa-apa tentang “nilai” diri yang boleh diheboh-hebohkan. Ramai manusia akan tersungkur, sedar dan insaf akan hakikat ini apabila mereka diuji dan ditimpakan dengan musibah.

(3) Bertaqwa. Berhati-hatilah kita dalam melakukan apa jua di alam dunia ini. – Berkata-kata, memberikan teguran, menulis, menjalinkan hubungan kemanusiaan dan apa jua aktiviti harian. Allah SWT akan menguji kita dengan apa yang kita perkatakan, nukilkan, tuliskan, berikan dan sebagainya.

Allah SWT menguji saya selepas saya kongsikan satu perkongsian berkenaan bangun selepas azan Subuh. Selepas itu, 4 hari berturut-turut badan sakit dan tidak boleh bangun sebelum azan Subuh. Saya melihat hati, mengamati diri dan benar-benar insaf akan ujian Allah SWT ini. Di sebalik itu, tersimpan hikmah yang harus diselidiki.

(4) Justeru, antara ibrah yang ingin dikongsikan – Kita adalah hamba Allah SWT yang hina, kecil, kerdil dan tiada apa-apa. Maka, bertaqwalah kita kepada-Nya dengan sebenar-benar taqwa.

Koreksi Diri Di Hujung Tahun 2011

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim

Read more...

Bangun Selepas Azan Subuh

Wednesday, December 14, 2011

Ada Cahaya dalam kegelapan Subuh!


Bismillah, semoga coretan ringkas ini bermanfaat.
Berbekas, tercuit dan menyentuh.

Masih terkesan kata-kata murabbi :

" Islam tidak diperjuangkan & dibangunkan oleh pemuda-pemuda yang bangun tidur selepas azan Subuh!"

Lontaran, sentuhan dan lantunan nasihat itu masih berlegar-legar di minda, terusik di jiwa dan masih bermain-main dalam fikiran saya.

Kenapa waktu sebelum Subuh sangat-sangat ditekankan oleh murabbi-murabbi saya?

Ajakan, galakan, dorongan dan motivasi untuk “mengimarahkan” saat-saat hening sebelum Subuh, menjadi salah satu fokus murabbi-murabbi, ustaz-ustaz, abang-abang serta sahabat-sahabat saya sejak dari dahulu?

Bahkan -

Apabila membelek-belek kitab sirah, kehidupan Rasulullah SAW dan para rasul serta nabi, kisah-kisah para sahabat awwallun serta pejuang agama Allah SWT – mereka semuannya adalah ahli Subuh dan ahli Qiamullail. (Manusia-manusia yang mendirikan dan menghidupkan malam – di saat sebelum Subuh!)

“ Seorang mukmin yang bangun tidur ketika azan Subuh berkumandang, itu tandanya dia adalah mukmin yang lalai.”

“ Mukmin itu, dia bangun sebelum Azan Subuh…”

“ Mukmin yang kuat, bertakwa, tawaduk, berjiwa besar, dipenuhi himmah dan sentiasa berusaha mempertingkatkan dirinya – di awal-awal permulaan harinya lagi. Bagaimana?”

“ Dia bangun awal sebelum Subuh!.”

Namun, suatu hari yang mendamaikan :

“ Tapi, ustaz – saya tengok ramai sahaja kawan-kawan saya asyik “kalah” sahaja dalam bab ini. Bergegar, bergema dan kecoh dalam “memperkatakan” Islam, itu ini, itu ini. Tapi – Subuh, tak pah cakap. Fail !!.” Jujur katanya.

Fail = Gagal!

Saya diam. Hendak kata Tidak. Itu realiti. Mahu kata Ya. Itulah hakikatnya.

Ya Allah, ampunilah aku. Ampunilah dia dan mereka. Kuatkan kami dalam mendidik diri kami sendiri. Saya teringat suatu doa dari Abu Bakr RA yang dipetik daripada kitab Hadits Thultha’ ( Bicara Hari Selasa) yang bermaksud :

“ Ya Rabbku, Kau lebih mengetahui tentang diriku dariku sendiri. Dan aku mengetahui akan diriku lebih dari apa yang manusia tahu. Ya Rabbku, jadilah aku lebih baik dari apa yang mereka sangka. Ampunilah aku dalam hal yang mereka tidak tahu, Jangan Kau hukum aku dengan apa yang mereka kata.”

Justeru, persoalan ini terus menerus muncul :

Mengapa dan kenapa, waktu sebelum Subuh begitu penting, utama dan istimewa bagi seorang mukmin dan bahkan, bagi mereka-mereka yang ingin meninggikan kalimah Allah SWT?

Namun, berapa ramai para pemuda – (pejuang-pejuang, penggerak-penggerak dan para daie’) yang tertewas di awal hari lagi?

Lalu, kepada siapakah yang boleh kita harapkan untuk tujuan yang murni, besar lagi mulia ini?

Lalu seseorang mencelah :

“ Carilah dan dekatilah mereka-mereka yang konsisten dengan Solat Subuh berjemaah di Masjid , madrasah, pusat islam atau surau.”

Akhirnya, - “ Ummat yang memelihara solat Subuh akan teguh!. Dan, langkah awal ialah berazamlah, bertekad dan berlatihlah untuk bangun tidur sebelum Subuh walaupun ia memakan masa hatta 5 tahun!.”

Mencari sinar cahaya di kegelapan Subuh
Muhasabah Diri Di Hujung Tahun 2011

BroHamzah
14 Disember 2011
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Ujian-ujian Cinta

Sunday, December 11, 2011

Ditimpa ujian bertubi-tubi, pernahkah kita mengalaminya?


Ujian-ujian Cinta

Bismillah, Dengan nama-Nya pondok teduhan ini disinggahi.

Mencelah di alam maya ;- tatkala jari jemari ini kian kaku untuk berkarya.
Benar, ujian-ujian ( dugaan, musibah, mehnah, fitnah, kealpaan dan pelbagai bentuk kesusahan) yang hadir di dalam kehidupan ini akan membawa kita kepada suatu hakikat.

Ia menyedarkan kita, menyentapkan kita dan membangkitkan kita bahawa sesungguhnya kita ini adalah hamba Allah SWT yang kerdil, kecil, hina, lemah dan tiada upaya.

Saat diuji, kita benar-benar berhati sensitif , basah dan peka.
Tatkala berhadap dengan ujian, air mata kita begitu mudah mengalir.
Mata begitu mudah berkaca-kaca. Dan, terasa sayu yang bersangatan di hujung tadahan doa.
Di saat dihimpit badai ujian, kita terasa bahawa diri ini benar-benar memerlukan Allah SWT.

Itulah ujian-ujian dalam meraih Cinta. Cinta daripada Sang Pencipta.
Ujian itu memberikan seribu macam pengalaman, ibrah dan pengajaran. Namun,di sebalik itu adalah ruh cinta Ilahi buat hamba-hamba-Nya. Kasih sayang-Nya, kelembutan-Nya, Cinta-Nya dan Sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Ujian hadir sebagai pengikat rasa “kedekatan” antara kita dan Diri-Nya.

Ujian-ujian Cinta-Nya

"Cinta yang didambakan adalah cinta yang merangsang perasaan, menaikan semangat perjuangan dan memberikan makna dalam kehidupan."

Ujian-ujian Cinta-Nya

"Cinta adalah perkongsian, kegembiraan dan penderitaan, yang menuntut kemuliaan hati, kasih sayang dan rasa hormat kepada orang yang dicintai dengan sepenuh perasaan, jiwa dan raga."

Ujian-ujian Cinta-Nya

"Cinta adalah pengorbanan, perkongsian, kesabaran dan ketaatan kepada yang dicintai. Cinta yang tulen lahir daripada orang beriman yang mencintai Allah SWT sepenuh hati dan perasaan, bersikap lemah lembut dan saling kasih-mengasihi sesama Islam."

Melihat diri dan mengamati perjalanan hidup yang fana ini,
Muhasabah diri kepada Ilahi

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Bicara Cinta, Pentingkan Allah SWT lebih daripada nafsunya.

Tuesday, December 6, 2011

Hati terluka dengan noda-noda, dosa-dosa dan maksiat, banyak mengotori hati ini.



Bicara Cinta

Dengan Cinta, terjadilah kesatuan
Dengan Cinta, tersebarlah kedamaian
Dengan Cinta, terciptalah perpaduan
Dengan Cinta, terhembuslah kebahagiaan

Berkata Ibnu Qayyim al-Jauziyah : " Siapa yang mahu hatinya bersih, hendaklah dia lebih mementingkan Allah SWT dari nafsunya."

Semenjak dua menjak ini, mendapat berita – perkongsian cerita, pertanyaan, luahan dan juga pelbagai sudut perkhabaran yang membuatkan saya memikirkan sesuatu. Kekadang, sukar juga untuk melelapkan mata.

Kisah-kisah teman-teman, adik-adik dan kenalan yang dikenali yang mempermudahkan soal pergaulan antara lain jantina sama ada di dunia offline mahupun dunia online - bahasa-bahasa bicara sama ada di SMS, Facebook, dan jua di blog yang terlalu diringan-ringankan tanpa asbab nilai sebuah “urusan”.

Sms tanpa urusan, berfacebooking tanpa urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah sesuatu perkara yang harus kita amati dan lihat sedalam-dalam. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan? Memetik salah satu, tulisan daripada Kak Fatimah Syarha -

“Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah.”

Menerima juga, teguran, dorongan serta saranan agar hal ini dibangkitkan dan diketengahkan. Saya memikirkan – bagaimanakah hendak menyampaikan kepada mereka-mereka ini dengan baik, hikmah dan penuh didikan serta dalam biah ruh ukhuwah yang terbaik. Jika dahulu, bersama mereka saya dapat duduk bersama – face to face -,bergurau sederhana dengan ceria, berbicara dari hati ke hati, melihat respon secara real – namun, dunia maya yang membataskan ini kekadangan menyukarkan bicara hati ke hati.

Tambahan, - adik-adik kini sedang bercuti, jauh batasan sempadan geografi dan sebagainya.

Tulisan, kita mampu dinilai dan dibaca – daripada pelbagai sudut dan persepsi. Mungkin, saya maksudkan lain – maka adik-adik, teman-teman, rakan-rakan dan sahabat pembaca memahaminya dari sudut yang lain. Saya adukan kepada murabbi. Tersenyum beliau, lalu bicara mulai berbutir :

“ Akhi, hati ini milik Allah SWT. Mengadu, berdoa dan luahkanlah kepada-Nya dahulu. Usaha-usaha kita adalah asbab ke arah itu. Teruskan mendidik diri dan hati sendiri sekuat-kuatnya. Pelihara hubunganmu dengan Allah SWT. Mungkin, kerana dosa-dosa kita, kelalaian kita, kealpaan kita, kelemahan kita dan keaiban kita – nasihat dan didikan kita tidak menembusi hati mereka. Dan – ingatlah, Allah SWT jualah yang memberikan manusia itu kesedaran dan kefahaman!.”

Kerana itu, dalam soal hati atau permasalahan melibatkan hal-hal sebegini – agak sukar untuk saya kongsikan lebih mendalam kerana saya tidak kemampuan untuk memberikan sesuatu yang jelas kerana ia memerlukan ilmu, kefahaman dan kesedaran yang mendalam daripada para alim ulama, murabbi dan mereka-mereka yang berhak.

Justeru, bagi mereka-mereka yang sering bertanya - di emel, inbox mesej mahupun FB atau di SMS - saya lebih suka kita bersemuka, bertentangan mata dan saling berkongsi dari hati ke hati. Namun, jika menulis itu adalah sebahagian daripada permulaannya – inilah yang termampu kita lakukan.

Jika ada pandangan dari sidang sahabat pembaca, saya alu-alukan.

Sukarnya melelapkan mata,
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Cerna Minda : Ini Jawapannya

Monday, December 5, 2011


Mata Hati - Ibrah penting dalam perkongsian kali ini.



Alhamdulillah, hari ini berkesempatan lagi untuk mencoret sesuatu di teratak saya ini.

Sungguh, masa yang ada berlalu dengan begitu pantas – Justeru, kitalah yang mencorakan kualiti masa kita.

Berkaitan soalan cerna minda yang saya kongsikan minggu lepas, [ Soalan di sini ] Alhamdulillah terima kasih kepada yang sudi berkongsi pandangan, idea, cetusan dan coretan kalian. Baiklah, saat ini kita lihat dan amati jawapan bagi soalan ini. Semoga bermanfaat.

Sebelum itu, saya ingin nyatakan bahawa soalan ini adalah soalan yang pernah dikemukan oleh Abu Umar kepada adik saya dan rakan-rakannya. Dan, dia telah perpanjangkan soalan ini kepada saya untuk perkongsian.

Jawapannya :


Kebanyakan orang akan membuat keputusan untuk mengorbankan seorang kanak-kanak demi menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak (ramai). Ini adalah keputusan yang dikira paling wajar diambil, paling rasional, emosional dan bermoral. Ini adalah perkara yang sering berlaku, masyarakat akan lebih cenderung kepada nilai majoriti berbanding nilai minoriti, walaupun kadang-kadang pendapat minoriti mungkin lebih menghampiri kebenaran.

Oleh itu, untuk membuat keputusan yang tepat, beberapa perkara perlu diberi pertimbangan:

(1) Kanak-kanak yang bermain sendirian telah mengambil keputusan yg betul iaitu bermain di landasan yg tidak lagi digunakan kerana disitu dia akan lebih selamat. Jadi, kenapa dia yang telah membuat keputusan yg betul perlu dikorbankan kerana kecuaian pihak yg lain.

(2) Sekumpulan kanak-kanak yang bermain dilandasan yang masih beroperasi menyedari hakikat bahaya yang mungkin terjadi. Oleh itu, mereka akan lebih berwaspada dan peka dengan bunyi atau kehadiran kereta api . Mereka akan lari ke tempat lain jika mereka mendengar bunyi kereta api yg begitu hampir.

(3) Kanak-kanak yg bermain sendirian di landasan yang tidak lagi berfungsi tidak akan pernah menyangka bahawa kereta api akan melalui landasan tempat di abermain. Oleh itu, walaupun bunyi kereta api sudah begitu hampir, dia tidak akan mengambil apa-apa tindakan menyelamatkan diri.

(4) Landasan yg tidak lagi beroperasi sudah lama tidak digunakan lagi itu mungkin terlalu uzur untuk menanggung berat kereta api yg bakal lalu di atasnya. Kesannya, kemungkinan kereta api yang penuh dengan penumpang itu akn terbalik dan menyebabkan korban yg lebih ramai.

Inilah pertimbangan-pertimbangan yang harus kita lihat dan amati dalam soalan cerna minda kali ini. Saya sendiri tidak terfikir sehingga ke tahap ini, walaupun ianya kelihatan simple dan mudah sahaja.

Hakikatnya, beginilah kehidupan kita. Setiap hari kita akan membuat keputusan sama ada berskala kecil atau besar. Dalam membuat keputusan, terdapat pertimbangan-pertimbangan yang harus kita lakukan dengan sebaiknya. Harus diingat, setiap pertimbangan itu bukan sahaja dinilai menggunakan minda atau akal semata-mata tetapi juga harus dilihat dengan mata hati.

Sedarilah - setiap keputusan yang kita buat – yang bertanggungjawabnya ialah diri kita sendiri. Pendek kata : Kita bertanggungjawab dengan setiap keputusan yang kita lakukan!

Wallahu’alam.

BroHamzah
6 Disember 2011.
Muhasabah Diri, Setelah Diuji

Read more...

Rasa Manis

Saturday, December 3, 2011

Sahabat


Dedikasi Khas buat antum semua :-
“ Rasa manis bergandingan bahu dengan antum semua.”

Kaze, Naim, Wandy, Irwan, Muad Eswan, Abu Mujahid, Abu Umar al-Fateh, Khalil, Hafiz J, Abe Hasrul, Abu Ridhwan. Abe Sodiq, Ust Zul, Zulkarnain, Zul Willi, Sidek Jr
& Murabbi-murabbi kami di sini.

Melihat dari dekat.
Sahabat-sahabat yang tidak lelah berkelana
Senyuman, tangisan dan gelak tawa mereka
Adalah hiburan buat jiwa-jiwa hamba

Tekun dan tegar dalam langkah juang
Tiada rasa termampu seperti kalian
Terus tetap dalam keperitan dan kepedihan

Memandang setiap wajah mereka
Adalah kemanisan bagi jiwa-jiwa yang kerdil
Terasa akan tautan hati yang terus melekat
- Akrab, dekat dan Erat -

Cetusan hati :- Hamba Kerdil

8 Muharam 1433 H
3 Disember 2011
Seusai Kerja-kerja Dinihari
Pengkalan Chepa, Kelantan Darulnaim

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP