Sulitnya Bangun Sebelum Azan Subuh

Tuesday, February 28, 2012

Ada sesuatu yang menakutkan dan mengerikan ,
sehingga menyebabkan kita sukar untuk bangun daripada buaian lena yang panjang.


Bismillah, saya kongsikan catatan ini.

Sahabat pembaca, perasan atau sedar kah kita – kadang-kadang kita begitu sukar dan sulit untuk bangun awal di sepertiga malam? Mudah kata, bangun dan terjaga dari tidur sebelum azan Subuh dilaungkan dan dikumandangkan.

Walhal, ada saatnya kita begitu mudah bangkit daripada lamunan tidur yang nyenyak dan melenakan kita.

Selimut yang ringan itu, terasa begitu berat seperti besi yang mengeras.

Kepala sendiri bagaikan ditolak sesuatu yang memberatkan. Seolah-olah ada konkrit seberat 100 tan menghempas ke muka kita.- Ia melekat erat berbekas di wajah.

Mata yang terpejam itu, bagaikan di”gam” kan oleh gam cap gajah buatan tahi “mata” sendiri.

Pernah kah kita mengalami keadaan dan situasi sebegini?

Jika saya – sejujurnya, pernah bahkan sentiasa dan selalu. Hambatan, kekangan dan ujian untuk bangkit dan bangun daripada tidur adalah mujahadah dan perjuangan yang terbesar saya di awal pagi yang dingin dan hening itu!

Itulah yang saya alami. Saya mencari-cari apa sebabnya, apa puncanya dan kenapa boleh jadi sebegini ? Mungkin tidur lewat sangat kot. Tetapi tidak juga, kerana saya selalu tidur awal, sekitar jam 11.30 sehingga 12.00 tengah malam biasanya, saya sudah “kaku” di atas katil.

Tidur dengan tenang dan nyaman sekali.

Saya, membelek-belek sebuah buku mencari sesuatu dalam kitab, Tazkiyah hasil tulisan Ustaz Cahyadi Takariawan dan Ghazali Mukri. Buku yang penuh dengan taujih untuk jiwa. Buku yang mereka rumuskan daripada sebuah kitab “ Al Bahrur Ra’iq fiz Zuhdi war Raqa’iq” karya Dr Ahmad Farid.

Perkongsian yang ingin saya petik dan kongsikan di sini ialah berkisar, - kenapa begitu sulit, payah dan sukarnya untuk kita gerakan diri untuk bangkit di awal pagi yang hening untuk mendirikan qiamullail dan melaksanakan munajat khusus kita dengan rabb kita.

Pernah suatu ketika, ada orang bertanya kepada Ibnu Mas’ud RA :

“ Kami tidak mampu dan boleh bangun malam.”

Jawab Ibnu Mas’ud :

“ Ini kerana, dirimu dijauhkan oleh dosa-dosamu.”

Kisah lainnya, ada orang berkata kepada tabiin yang soleh lagi warak iaitu Hassan al-Basri :

“ Saya tidak boleh bangun malam. Berikanlah aku penawarnya!,”

Kata Hassan al-Basri dengan tenang :

“ Janganlah kalian bermaksiat kepada Allah SWT di siang hari, nescaya Dia akan membangunkan kalian di hadapan-Nya di malam hari.”

At-Tsauri pernah berkata :

“ Saya terhalangi untuk melakukan qiamullail selama lima bulan kerana suatu dosa yang telah saya kerjakan.”

Apa yang boleh kita simpulkan? Apakah yang sebenarnya yang menjadi penghalang kita dalam usaha menghidupkan sunnah mengimarahkan malam bersama Allah SWT?

Jelas. Jawapannya ialah kerana hati kita kotor, hitam, jijik dan rosak. Ini semua lantaran dan asbabnya ialah dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda yang kita buat berulang kali kepada Allah SWT!

Lantaran itu, antara nasihat yang berbekas dan menyentuh hati saya ialah :

“ Janganlah memperbanyakan dosa di siang hari, sebab perbuatan dosa akan menyebabkan hati keras dan terhalang untuk mendapat rahmat daripada Allah SWT.”

Jauh mengaudit diri, merenungi akan perjalanan waktu dan hari-hari yang telah berlalu. Persoalannya, bagaimana dengan kita semua? Terlalu, jauhkan kita daripada kasih sayang Allah SWT sehingga kita tidak terdetik dan tersedar langsung untuk berazam dan bertekad untuk menjadi ahli malam dan perindu syurga?

MasyaAllah, saya tersentuh lagi dengan kata-kata Ibnu Munkadir :

“ Tidak ada kelazatan di dunia ini, kecuali pada tiga hal iaitu qiamullail, bertemu dengan saudara-saudara seiman dan solat berjemaah.”

Catatan Seorang Hamba

(1) Bagaimana dengan kita? Soal untuk bangun awal pagi bukannya bergantung kepada kekuatan luaran dan fizikal kita semata-mata, tetapi ia bergantung kepada keadaan dan kekuatan dalaman kita iaitu kondisi hati kita. Bersihkan ia, jernihkan ia dan bagaimana hati ini hidup berhubungan dengan Rabb-Nya ? – Dan, inilah fokus kita apabila berbicara dengan soal kekuatan.

(2) Amalan bangun awal sebelum Subuh, adalah amalan para Rasul, para sahabat salafusoleh, para tabiin, para alim ulamak dan pejuang-pejuang agama Allah SWT daripada dahulu sehinggalah sekarang. Dah, ketahuilah ia menjadi kayu ukur kekuatan dan prasyarat untuk meraih bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

(3) Jika kita, menyatakan kita adalah individu yang tegar dalam perjuangan deen, perjuangan agama dan perjuangan demi perjuangan – perhalusi hal-hal ini. Berwaspadalah, tentang hakikat kekuatan sebenar dalam perjuangan ini. Kuantiti, kualiti, angka, nombor dan sebagainya – harus diteliti sedalam-dalamnya dalam membicarakan tentang “akar” perjuangan. Ini kerana, sesebuah perjuangan akan rapuh jika tidak ditunjangi oleh akar kekuatan yang benar-benar utuh, kukuh dan mantap.

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Kota Bharu
Kelantan, Malaysia

Read more...

Malu Menjadi Soleh

Saturday, February 25, 2012

Soleh dan solehah itu
suatu pilihan ?


Bismillah, dengan nama Allah SWT catatan ini dikongsikan.

“ Abang, kenapa saya ada satu perasaan sebegini..”

Suatu hari, kami bersembang-sembang setelah lama tidak bersua muka. Ketentuan Allah SWT mempertemukan kami.

“ Kenapa? Ada apa-apa yang tidak kena ke?,” Soal saya.

“ Entah la, saya sebenar rasa malu kalau dikatakan sebagai orang yang baik atau soleh,” Jujur bicaranya. Tanpa selindung-selindung.

“ Maksudnya?,” Sedikit kemusykilan terpapar di wajah saya.

“ Saya rasa,- segan dan sangat-sangat serba tidak kena bila orang labelkan sebagai budak baik, atau budak surau. Apatah lagi, budak soleh. Saya rasa tebal muka dan rasa tak suka disebut begitu,” Katanya lagi.

“ Saya rasa lebih baik, saya ini dikenal sebagai orang biasa-biasa sahaja. Rilek dan cool sahaja. No label-label atau apa-apa yang sewaktu dengannya,” Bicaranya diluaskan lagi.

Terdiam saya.

“ Semoga Allah SWT merahmati kamu wahai sahabatku.”

-----------------------------------------------------

Wahai sahabatku, kita ini bukan siapa-siapa. Kita bukan para sahabat nabi, bukan golongan alim ulamak dan bukan juga tergolong dalam kumpulan mereka-mereka berjuang bermati-matian sehingga menempa nama sebagai para syuhada’.

Wahai sahabatku, jika itulah yang merungsingkan jiwamu. Ketahuilah, ada sesuatu yang ingin aku kongsikan denganmu. Ya, aku tidak dalil, hujjah mantop atau apa-apa untuk menjawab persoalanmu kerana aku sedar siapa aku. Aku insan kerdil.

Wahai sahabatku, renungilah kata-kata Ibnu ‘Ataillah ini :-

“ Jika anda ingin mengetahui kedudukanmu di sisi Allah, maka perhatikanlah di mana Dia menempatkanmu.”

Mereka-mereka yang Allah SWT kasih, sayang dan cinta -, mereka-mereka ini mendapat tempat yang istimewa di sisi-Nya. Dan, antara tanda, kayu ukur dan parameter ialah mereka sentiasa berada dalam amal soleh,mencintai kebaikan dan suka mengerjakan kebajikan. Mereka hidup bahagia, tenteram dan nyaman dengan amalan-amalan itu.

Generasi awal dahulu, mereka digelar salafusoleh. ( Orang yang terdahulu yang soleh). Para sahabat, tabiin dan tabi’ tabiin mereka terkenal dengan kesolehan, kewarakan dan kezuhudan.

Para alim ulamak, cendiakawan Islam dan ilmuwan mereka tersohor dengan jolokan sheikh, al-huffaz , al-hafiz dan sebagainya. Ia menggambarkan suatu gelaran yang baik-baik.

Begitu juga, dengan para pejuang agama Allah SWT – mereka dipilih oleh Allah SWT untuk mendapat panggilan dan gelaran yang memuliakan mereka.

Mereka hidup dengan kemuliaan kerana amal-amal soleh, kebaikan dan kebajikan yang mereka kerjakan sehingga, Ibnu Abbas pernah berkata :

“ Sesungguhnya kebaikan itu penyebab wajah bercahaya, hati bersinar, rezeki dilapangkan dan dicintai oleh semua makhluk. Sesungguhnya pula kemaksiatan penyebab wajah hitam, hati gelap gulita, rezeki sempit dan dibenci oleh semua makhluk.”

Lama saya merenungi hal ini, sudah ramai yang berkongsi hal ini dengan saya. Sama ada, tidak suka dipanggil insan baik, budak soleh, budak sekolah agama dan sebagainya. – mereka merasakan ada alergik dengan hal ini.

Catatan Seorang Hamba

(1) Sungguh, saya temui bukan seorang atau dua yang berkongsi hal ini dengan saya. Sudah ramai. Terfikir saya, adakah ini juga boleh dikatakan suatu fenomena atau bagaimana? Malu dipanggil soleh atau solehah , dilihat sebagai budak baik – hanya suatu perkara yang kelihatan kecil dan remeh temeh. Namun, adakah ia boleh memberikan suatu gambaran terhadap keadaan jiwa dan hati seseorang? Saya berfikir lama.

Secara fitrahnya, manusia ini berhajatkan kebaikan. Jiwanya sangat-sangat sukakan kebenaran. Justeru, kesolehan dan kebaikan itu sangat-sangat dekat dengan jiwa manusia.

(2) Saya masih mencari jawapan tentang hal ini. Pernahkah anda merasai sedemikian?

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan
Malaysia

Read more...

Kesinambungan Ta'aruf : Versi Kemas Kini

Thursday, February 23, 2012

BroHamzah & Zaujah -
Tinta Lukisan Muslimultimedia


Kesinambungan Ta’aruf : Versi Kemas Kini

Bismillah, dengan nama-Nya kita berkenalan, berinteraksi dan berukhuwah.

Begitu pantas masa berlalu, pejam celik pejam celik – masing-masing di kalangan kita telah melalui fasa-fasa kehidupan yang pelbagai. Ada yang baru menamatkan pengajian, ada juga yang baru memulakan titik awal kerjaya, ada yang baru memasuk gerbang perkahwinan, ada yang dianugerahi cahaya mata dan sebagainya.

Justeru, saya ingin meneruskan kesinambungan ta’aruf kita. Versi updated hal-hal yang terkini. Mungkin sahabat pembaca juga boleh kongsikan status terkini masing-masing di ruangan yang terhad ini.

Sebelum ini saya pernah kongsikan :- Salam Taaruf : 7 daripada Saya dan juga Santai : Ta’aruf lebih mendalam. Kali ini, hanya sebagai kesinambungannya.

“ Tak kenal, maka??..”

“ Maka tidak tahu…”

Jadi, saya kongsikan seadanya.

(1) Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah – dengan ketentuan Allah SWT, saya sudah mendirikan baitul muslim saya pada tahun lepas (12 Mac 2011) bersama bekas tunang saya – Puan Hanisah Hazni. Terasa tenang, damai dan tenteram jiwa saya, memiliki pendamping, pasangan dan teman hidup. Anda bagaiamana? - Bila lagi?

Layari blog zaujati sebagai perkongsian bersama. Blog Special For You.

(2) Masa benar-benar pantas berlalu, tahun ini bersamaan 11 Feb 2012 – Kami dikurniakan cahaya mata sulung kami. Seorang putri. Nama diberi ‘Aliyah Mukhlisah Bt ‘Ali ‘Irfan. MasyaAllah, terasa akan kebesaran Allah SWT atas pemberian ini.

Saya sudah bergelar abi. Tiap-tiap pagi bangun sahaja daripada tidur, mesti saya cium pipi anak saya. Allah, nikmatnya ada anak. Titipan perasaan yang belum pernah saya rasai.

(3) Tahun ini, terdapat beberapa perancangan dalam kehidupan saya. Saya sentiasa berdoa agar Allah SWT sentiasa permudahkan segala urusan kami sekeluarga. Semoga apa yang dirancang ini, diredhai oleh Allah SWT sebagai amal soleh.

(4) Buat masa ini, saya menetap di Kelantan. Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus. Menanti dengan penuh debaran, tempat posting zaujati yang akan diketahui beberapa bulan lagi selepas menghadiri temuduga nanti. Tidak putus-putu berdoa s, agar zaujati mendapat sekolah berhampiran dan berdekatan dengan saya. Ada tips ka untuk memudahkan urusan ini ?

(5) Tahun ini, saya berhadapan dengan skop kerja yang berbeza dan mungkin tidak pernah terlintas di fikiran saya. Namun, saya sentiasa menerima dengan jiwa yang terbuka dan berlapang dada. Kerana, saya sukakan cabaran. Saya target sehingga umur 40 – saya akan lakukan pelbagai perkara, lalui pelbagai pengalaman sama ada kerjaya, kemahiran dan sebagainya untuk meningkatkan potensi diri yang ada. InsyaAllah.

Itu sahaja, catatan ringkas & santai-santai di pagi Jumaat ini. InsyaAllah, bermula bulan Mac mendatang ini – saya akan aktif semula dalam dunia blog ini secara berkala dan menulis secara konsisten dalam website Langit Ilahi yang sebelum ini – tergendala sementara, kerana ingin memberikan ruang kepada diri saya agar dapat menyesuaikan diri dengan fasa perubahan dalam kehidupan saya.

Bagi yang berhajat untuk berkongsi ta’aruf versi kemas kini – saya alu-alukan.

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Menuju Perubahan

Friday, February 17, 2012

Kolej Teknologi Darulnaim
bakal berubah wajah.

(1) Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) menuju perubahan fasa dalam rangka membangunkan generasi kepimpinan masa hadapan. Wajah baru landskap, pembangunan modal insan dan infrastrukur digerakan untuk bergerak ke arah Kolej Universiti. Jika dahulu, ianya hanya mimpi - kini ia sedang menuju ke realiti.

Siapa pun pemimpin yang dipilih, mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar di hadapan Allah SWT.

(2) Kepimpinan mahasiswa menjadi "teras" utama kepada perubahan masa hadapan KTD. Justeru, memberikan pengalaman, kepercayaan dan panduan kepada mereka adalah sesuatu yang sangat penting dalam menjana kreabiliti dan kewibawaan mahasiswa. Saya percaya, - gagasan, idealisma dan buah fikiran mahasiswa harus didengari, diamati dan disinergikan bagi memperkasakan aktivitisme kemahasiswaan.

Dan - salah satunya ialah, menanamkan sikap cakna dan kepedulian mereka tentang dunia masyarakat kampus. Maka, pilihan raya kampus mampu menjadi salah satu wadah yang sihat ke arah itu.


(3) Buat mahasiswa dan mahasiswi KTD khususnya, anda punyai tanggungjawab yang besar untuk masa depan KTD. Esok, 20 Februari tunaikanlah hak dan tanggungjawab anda untuk memilih saf kepimpinan mahasiswa KTD yang baru. Jadikan, KTD sebagai medan untuk melatih dan menggilap kepimpinan masa hadapan anda. Semoga setiap usaha ini, diberkati oleh Allah SWT.


BroHamzah
Kolej Teknologi Darulnaim (KTD)

Read more...

Bumi Syria Berdarah, pedulikah kita?

Sunday, February 12, 2012

Syria, Syria & Syria - Mereka saudara kita.

Bismillah, coretan ringkas ini saya kongsikan bersama.

(1.) Ada yang bertanya, apakah sebenarnya yang berlaku di bumi Syria? - Tiba-tiba heboh sahaja. Ketahuilah, apa yang berlaku ini bukan baru seminggu dua, tetapi sudah berbulan-bulan.

Bashar al-Assad

(2.) Sudah lama saya tidak berkongsi tentang isu semasa dan global. Untuk menulisnya, memerlukan masa, kajian, pemerhatian dan maklumat yang berfakta dan sahih. Justeru, dalam memahami dan cakna dalam isu apa yang berlaku di Syria ini - kita harus ambil tahu suatu perkara yang utama. Kenali, rejim yang sedang memerintah Syria sekarang iaitu, Bashar al- Asad.


Susuk tubuh yang menjadi "master mind"
kepada apa yang berlaku di Syria kini.

(3.) Kenali, mengkaji, membaca dan layari internet ini untuk mengambil tahu tentang siapakah pemerintah Syria ini. Keturunannya, sikapnya, kehidupannya dan kezaliman-kezaliman yang beliau lakukan. Dan - selidiki jua siapakah sekutunya.

Lambaian seorang diktator

(4.) Bashar al- Assad, adalah individu yang akan menjejaki rejim diktator yang telah tumbang, tewas dan dikalahkan oleh rakyat mereka sendiri. Husni Mubarak, Ben Ali, Muammar Gaddafi dan lain-lain telah tercatat sejarah hitam dalam revolusi kebangkitan rakyat era baru ini. Kita nantikan episod-episod seterusnya.

(5.) Jika, sahabat pembaca ingin berkongsikan maklumat, video, gambar-gambar serta apa jua yang berkaitan tentang isu Syria - saya alu-alukan. Sama-sama kita sebarkan untuk membantu saudara-saudara kita di sana. Sekiranya, diberikan kesempatan saya akan kongsikan untuk makluman sesama kita.

Selamatkan Syria, tanggungjawab kita bersama!

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Warkah Buat Bekas Tunangku

Thursday, February 9, 2012

Warkah titipan silam dalam kenangan.



Assalamualaikum WBT

Buat UkhtiFillah yang dihormati

Semoga berada dalam keadaan yang diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT sentiasa. Alhamdulillah, lafaz syukur dan penuh dengan rasa kehambaan dirafa’atkan kehadrat Allah SWT kerana diatas segala kurniaan nikmat yang pelbagai kepada kita semua. KepadaNya lah selayaknya rasa kesyukuran ini dizahirkan di dalam bentuk amalan dan ketaatan yang membulat.

Selawat dan salam ke atas Junjung besar Nabi Muhammad SAW, Rasul Dakwah, Rasul Tarbiyah dan Rasul Jihad yang mulia lagi terpuji sahsiah dan akhlaknya. Baginda adalah Qudwah Hasanah utama yang seharusnya kita contohi dan menjadikan kehidupan Baginda sebagai ruh qudwah yang hidup untuk diamalkan sepanjang perjalanan hidup kita di dunia.

UkhtiFillah,

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna pernah berpesan katanya :

“ Kebahagiaan kita tidak terletak pada Harta, tidak pada penampilan diri, tidak juga pada gemerlapan perhiasaan dan keindahan dunia. Ukuran kebahagiaan terikat erat pada HATI dan ruh manusia yang mendamba redha Allah SWT.”

Pastinya, setiap manusia yang hidup di dunia ini menginginkan kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup mereka. Secara fitrahnya semua jiwa-jiwa manusia hajatkan kebahagiaan yang benar-benar mendamaikan dan membahagiakan hati mereka. Namun persoalannya, kebahagiaan yang bagaimanakah yang seharusnya dimiliki oleh manusia?

Dalam fikrah yang kita yakini yang bersumberkan Al-Quran dan As Sunnah kebahagian dan kejayaan dalam Kehidupan kita diukur berdasarkan kepada keyakinan dan keimanan kita kepada Allah SWT. Keimanan kepada Allah SWT dengan menyakini janji-janji dan ancaman-ancaman Allah SWT. Inilah sumber dan punca utama kebahagiaan kita di dalam kehidupan.

Justeru itu marilah sama-sama kita pertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Sama-sama merenungi kata-kata ini :

“Imanlah satu-satunya unsur yang dapat mencipta perubahan dalam jiwa manusia dan menjadikan manusia itu dalam bentuk yang baru, sehingga berubah pada pandangan hidup dan jalan hidup yang ditempuhnya.”

Prof Dr Yusof Al-Qardawi, Petikan Buku Iman dan Kehidupan.


UkhtiFillah,

Alhamduilillah, ana bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat mencoretkan sesuatu untuk anti. Allah SWT memberi kekuatan kepada ana untuk menulis dan mengarang setelah nikmat kebahagiaan menulis ini tarik seketika oleh Allah SWT. Mudahan segala yang dikongsikan ini dapat mendekatkan jiwa dan hati-hati kita kepada Allah SWT. InsyaAllah.

Sedar tidak sedar, tahun ini sudah masuk tahun ke tiga ulangan tahun pertunangan dan perkenalan kita. Begitu cepat masa berlalu, dan itulah hakikat masa yang berlalu. Sepanjang tempoh itu jugalah, kita saling kenal mengenali dengan keterbatasan yang ada. Sepanjang tempoh itu jugalah, pelbagai ujian Allah SWT yang hadir dalam kehidupan kita. Alhamdulillah, bagi ana tempoh pertunangan ini banyak memberi hikmah kepada ana.

Ukhtifillah budiman,

Untuk pengetahuan anti, ana sudah berbincang dengan keluarga ( Mak & Abah ) ana dan Mak anti tentang perancangan kita untuk disatukan pada tahun hadapan 2010. Semenangnya dalam perancangan ana, ana target untuk mendirikan baitul Muslim pada usia 25 Tahun. Ana sudah berbincang dengan Mak anti, dan insyaAllah nanti Mak anti akan perincikan. Mudahan Allah SWT permudahkan.

UkhtiFillah yang dihormati,

Ana mohon maaf kerana tidak dapat menulis dengan panjang lebar. Sekarang ini perlu fokuskan kepada kem dan kursus yang perlu ana kendalikan. InsyaAllah, jika diizinkan Allah SWT ana akan berkongsi ilmu, pengetahuan dan didikan hati dengan anti di lain waktu. InsyaAllah.

Syukran.

29 November 2009
10.59 Malam

Akhukifillah

BroHamzah
brohamzh@yahoo.com
http://brohamzah.blogspot.com




Catatan Seorang Hamba

(1) Warkah di atas adalah salah satu bingkisan yang saya nukilkan kepada bekas tunang saya, yang kini sudah menjadi isteri saya. Alhamdulillah. Tempoh perhubungan kami sepanjang fasa ini amatlah sederhana. Saya tidak pernah terfikir bahawa tempoh fasa ini selama itu. Namun, benarlah dengan nasihat dan panduan daripada ibu bapa, murabbi dan syuyukh – amat penting dalam mendirikan rumah tangga.

(2) Sesungguhnya, kita sebagai manusia dan insan merancang dengan kudrat dan usaha yang Allah SWT anugerahi, namun ketentuan Allah SWT yang mengatasi segalanya. Setelah hampir setahun kami disatukan, saya benar-benar menyakini bahawa sebagai hamba Allah SWT – kita sebenarnya kerdil, lemah dan dhaif. Banyak perkara yang kita tidak tahu dan tidak mampu tanpa bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

Justeru, dalam soal persiapan, persediaan dan perlaksanaan mendirikan rumah tangga – memperbanyakan munajat, doa dan pergantungan kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan untuk mengharunginya adalah sesuatu yang amat-amat perlu & penting.

(3) Persepsi saya sebelum berkahwin dan selepas berkahwin tentang dunia baitul muslim juga berubah sama sekali. – Wujudnya perbezaan yang ketara antara alam sebelum perkahwinan dan selepas perkahwinan.

"Melihat rumah tangga seseorang berbeza dengan mengalami sendiri alam berumah tangga itu."

Kerana itulah, persediaan jiwa dan hati sangat penting untuk mengharungi dan menghadapi apa jua ujian-ujian dan kemanisan sepanjang tempoh ini. Mungkin sahabat-sahabat pembaca yang telah berkahwin ingin berkongsi akan hal ini - saya amat alu-alukan.

(4) Kemanisan, kelazatan, kenikmatan dan keberuntungan dalam kehidupan adalah kita dianugerahi pasangan hidup yang meneduhkan jiwa. Melihat, menatap dan saat hidup bersamanya – kita sentiasa disimbahi dengan kesabaran, ketabahan, ketenangan, & kebahagiaan. Dan, tanda hubungan suami isteri itu bahagia dan berkah – kedua-duanya semakin dekat, hampir dan sayang kepada Allah SWT.

Perkongsian pagi Jumaat yang indah.
Hujan yang menyejukan suasana pagi penuh dingin.

BroHamzah
17 Rabiu awal 1433 Hijrah
10 Februari 2012
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Menghargai Insan Yang Dicintai Kerana Allah SWT

Monday, February 6, 2012

Menghargai Insan Yang Dicintai Kerana Allah SWT

Bismillah, titipan perkongsian ini dicoretkan.

Saat ini, hati kecil ini bercampur baur perasaannya. Mungkin sukar diungkapkan melalui kata-kata mahu pun tutur bicara. Dan, terasa berat untuk dititipkan melalui tinta mahupun pena. Namun, kuatnya rasa hati ini ingin berteduh dan menyapa sahabat pembaca yang budiman yang tidak jemu-jemu bertandang ke sini.

Lama benar rasanya, saya tidak berteduh berkongsi rasa dan cerita di teratak ini. Benar, awal tahun ini Allah SWT berikan lagi pengalaman baru buat saya. Banyak perkara ”baru” hadir serentak dalam titian –perjalanan- kehidupan saya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.



Putri Sulung Kami : 'Aliyah Mukhlisah


Dalam banyak-banyak perkara, antara yang paling berbekas, mengesani dan mempengaruhi jiwa saat ketika ini ialah :- kehadiran insan yang menyuburkan lagi kasih dan cinta antara kami – saya & zaujati – dalam baitul muslim kami, iaitu putri sulung kami. Sungguh, terlalu banyak perkara yang saya timba, rasa dan alami dengan kehadirannya.

Apakah kesimpulan yang saya dapat daripada semua ini ?

Hargailah setiap insan yang kita cintai kerana Allah SWT selagi mereka masih berdamping di sisi kita. Saya tersentuh dengan banyak hal. Antaranya :

(1) Pengorbanan dan susah payah Emak Abah.

Saya punyai 10 orang adik beradik. Semasa menjaga, bersengkang mata dan memelihara anak sulung saya ( baru seorang anak) – saya membayangkan perasaan emak abah menjaga, memelihara dan membesarkan kami 10 orang adik beradik.

Minggu pertama, saya demam dan selsema. Minggu dua, datang sakit yang lain dan minggu ketiga – diuji pula dengan penyakit yang lain. Itu baru seorang anak. Bagaimana pula dengan 10 orang anak? Saya menitiskan air mata apabila mengenangkan semua itu.

“ Mak & Abah, Ali kasih kepada kalian berdua kerana Allah SWT.”

(2) Keperitan, kesakitan dan kesabaran Zaujati.

Zaujati – banyak perkara saya belajar daripadanya. Setelah dua minggu, ibu mertua saya ( terima kasih mak atas segala pengorbanan, bantuan dan pertolongan) membantu kami ketika zaujati dalam tempoh berpantang dan pulang semula ke Perlis – saya perlu mengambil alih semua tugas rumah tangga ( saya kekok mengerjakannya. ^^).

Bermula dari bangun tidur sehingga melelapkan mata , - memandikan putri kami, memasak, membasuh, mengemas rumah, membasuh pinggan dan sebagainya – membuatkan saya bertambah sayang dan sangat-sangat menghargai seorang insan bergelar isteri.

Begitu penat mengurus hal rumah tangga! Dahulu, saya hanya melihat sahaja – pulang ke rumah, segala-galanya telah dibereskan oleh zaujati. Dan, ternyata ianya bukanlah semudah yang disangka-sangka dan dirasakan.

Justeru, kepada para suami – ambil masa suatu hari suntuk, cuba berikan rehat kepada isteri kita sepenuhnya dan kita lakukan semua tugasannya. Ketika itu, sambil memasak pun air mata kita boleh berkaca-kaca mengenangkan susah payahnya menyediakan yang terbaik buat kita.

“ Sayang, abang cinta kepadamu kerana Allah SWT.”

(3) Keteduhan dan ketenangan wajah permata hati

Saya memandangkan mata, hidung dan seluruh raut wajah putri sulung saya. Bagaikan sesuatu perasaan yang belum pernah menerpa ke dalam relung jiwa saya. Masya-Allah, inilah kurniaan Allah SWT yang harus diperlihara dan dilaksanakan amanah ini sebaiknya.

Wajah suci bayi ini – seolah-olah memanggil kita untuk mengucupnya, melindungi dan mencorakannya dengan corakan yang selari dengan fitrah. Semakin ditatap, direnungi dan dihayati setiap inci raut wajahnya, semakin gementar di hati akan beratnya amanah dan tanggungjawab ini.

“ Mukhlisah, Abi sayang padamu kerana Allah SWT!.”

(4) Kebersamaan, ukhuwah dan setia kawan yang erat

Saat saya memerlukan bantuan, tunjuk ajar dan pertolongan – adik-adik saya, ramai kenalan, sahabat, sanak saudara, rakan sekerja dan jiran yang hadir membantu. Mereka menghulurkan bantuan tanpa rasa terbeban atau mengharapkan bantuan.

Ramai yang datang menziarahi kami.
Syukran. Syukran & Syukran

Masya-Allah, titipan doa dan munajat, tip-tip menjadi ayah, panduan menjaga anak, sedikit bantuan kewangan, hadiah kelengkapan bayi dan sebagainya – hadir ketika saya bagai terpinga-pinga dan “kosong” memikirkannya. Sesungguhnya, perkara inilah menguatkan saya untuk melalui dan menghadapi semua ujian-ujian kehidupan ini.

“ Buat semua, saya kasihkan kalian kerana Allah SWT.”

Syukran dan terima kasih banyak-banyak atas segala bantuan, sumbangan dan pertolongan.
Kerana cinta yang harum ini, melebarkan lagi jalinan persaudaraan sesama kita.

Moga Allah SWT meredhainya.

Nota :

a. Sehingga 6 Februari 2012, demam kuning anak kami masih tinggi. Pelbagai usaha telah dilakukan. Saya akan terus berusaha, berdoa, berdoa dan berdoa – kepada-Nyalah kami berserah.

b. Jika, sahabat pembaca ada petua untuk sembuhkan demam kuning ini sangat-sangatlah saya alukan. InsyaAllah, saya akan ikhtiyarkan. InsyaAllah.

BroHamzah
Kampung Paya Batu, Jalan Long Yunus
Kota Bharu Kelantan.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP