Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Pagi Itu Tidak Seperti Pagi-Pagi Biasa

Monday, December 17, 2012




Apa khabar Pagi Anda? 
Sesejuk embunkah ia?


Pagi.

Setiap pagi adalah hari yang membahagiakan. Padanya ada embun yang menitis lembut lagi menyejukan. Dalamnya, ada taman.Ya sebuah taman. Taman yang indah lagi mengharumkan.

Itulah setiap pagi dalam hari-hari  bagi sepasang suami isteri ini. Pagi mereka adalah pagi yang menceriakan. Senyuman, sapaan, kehangatan dan perasaannya serta jiwa yang sentiasa mendamaikan. Sang suami bahagia. Sang isteri bertambah ceria. Lirikan senyuman sentiasa terukir di dinding bibir mereka berdua tanpa paksa. Ia hadir dengan penuh suka!

“Bahagia + Ceria”

Itulah cerita cinta. Cinta yang memayungi dua insan dalam pondok teduhan mereka. Ia sungguh teduh. Benar-benar meneduhkan segala perasaan mereka kepada ujian, cabaran dan dugaan dunia. Cinta ini mengakari kehidupan mereka.

Pagi mereka sentiasa dipenuhi dengan segala warna-warni. Tetapi, ia berjaya disulami dengan keceriaan yang berpanjangan. Sang suami bijak mengambil hati. Sang isteri pula sentiasa memberikan layanan yang terbaik. Pendek kata, tiada apa-apa permasalahan besar antara mereka berdua.

Gelak tawa, usik-usikan, saling memainkan peranan dan terpenting – keduanya sangat memahami antara satu sama lain. Wah! Indah sungguh kehidupan mereka.

Pagi itu.

Namun pagi itu, langit sangat suram. Entah mengapa, tsunami dahsyat melanda bahtera mereka tanpa dipinta. Sang isteri berubah angin secara mendadak. Tiada signal atau apa-apa petanda. Sang suami terpinga-pinga tidak tahu punca.

Pagi itu.

Tiada suara bermanja-manja antara duanya. Tiada sarapan pagi seperti biasa. Pakaian yang tersedia untuk dipakai juga, bersangkutan berkedut tanpa seterika. Terdiam sang suami. Sang isteri melancarkan mogok besar-besaran. Puas di minda menggali punca, namun fikirannya kian buntu tanpa cahaya.

Pagi itu.

Sang suami berduka. Wajah muram. Makanan sarapan dimasaknya sendirian tanpa peneman. Baju kerja juga diseterika dengan penuh kesabaran. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah semua ini? Apakah salah aku?

Sang isteri berdiam senja di kamar tanpa suara. Hatinya benar-benar kecewa kerana satu kesalahan sang kekasih hati. Tapi, dirinya gagal menyuarakannya. Harapannya, agar sang kekasih jiwa hadir memohon kemaafan dan memujuk dirinya. Main perasaan bercampur baur.

Pagi itu.

Sang suami ingin berlalu pergi. Tapi, kali ini tanpa pengiring ke muka pintu. Tiada lagi ucapan salam, ciuman kasih dan pelukan daripada kekasih hatinya. Dirinya terpaku seketika. Saat itu, air matanya tertumpah tidak sengaja. Mata berkaca-kaca. Tapi, ditahan jua.

Lalu terkeluar suaranya samar-samar kedengaran :

“ Assalamualaikum, cinta. Maafkan abang…”

Langkahan kakinya menapak pergi dengan jiwa yang sugul.






Sinaran cahaya yang menghangatkan perasaan kasih di awal pagi. 
Pernahkan kita merasainya?

Pagi itu.

Sang isteri sendirian. Pagi ini tidak seperti pagi-pagi biasa. Tiada sentuhan cinta daripada kekasihnya. Tiada salaman, belaian dan kucupan. Dirinya rasa bersalah. Betulkah tindakan aku ini? Ah, biarlah dulu. Nanti petang oklah tu. Hatinya memujuk diri sendiri.

Pagi kian meninggi. Sang isteri menanti panggilan atau sms sang suami, selalunya jika ada apa-apa : pasti ketukan mesejnya berbunyi. Namun, hampa – kali ini benar-benar sunyi lagi sepi.

Sang suami memandu menuju ke suatu destinasi yang tidak pasti. Rupa-rupanya, hatinya sangat sedih. Namun, dipendam rasa hatinya. Air mata bercucuran membasahi pipinya yang kering.

Pagi berlalu pergi
.
Tiba-tiba terbunyi sesuatu.

Sang isteri teruja. Kedengaran sahutan bunyi daripada telefon bimbitnya. Memanggil-manggil dari jauh. Sang isteri berlarian kecil menuju ke meja kecil tempat tersimpan telefon tersebut. Dia sedikit hampa kerana bukan ringtone kekasih hatinya. Terpapar di skrin :


Siapa ya? Tergetus hatinya. Punat hijau ditekan.

“ Assalamualaikum !,” Ujarnya.

“ Hello, ini Puan Cinta kah? Isteri kepada Encik Kasih?,” Suara itu bersuara.

“ Ya. Saya Puan Cinta,” Jawab Sang Isteri berdebar.

“ Begini Puan, maaf mengganggu. Boleh, puan ke Hospital Bandaran sekarang? Suami puan kemalangan… bertembung trak. Suami puan sangat parah.. icu… darah banyak.” Suara itu samar-samar sahaja.

“ Hah…,” Sang isteri terkejut.Genggaman tangan longgor. Telefon bimbitnya terlepas ke lantai.

Pagi itu.

Pagi itu – rupa-rupanya adalah titik akhir kisah cinta mereka. Ia berlalu tidak seperti hari-hari biasa. Tanpa luahan kasih dan tanpa lambaian cinta di jendela bahtera. Air mata berhamburan lagi bercucuran.

Tiada kata bagi mereka. Tiada kalimah buat mereka. Lalu, kisah ini terakam lagi tersimpan kukuh bagi mereka yang ingin mengerti lagi memahami!

“ Abang, maafkan Cinta…”

--------------------
BroHamzah
Apakah semua ini?^^

Read more...

Bahagia Di Pentas Cinta

Sunday, November 18, 2012




Impian, Hasrat, Hajat & Cita-citaku : Agar Kami Dapat Sentiasa Bersama Di Pentas Dakwah Dalam Menyebarkan Cinta.



Bagaikan tidak percaya. Namun, itulah yang terjadi di pentas cinta.

Alhamdulillah, hujung minggu yang lalu – saya dan zaujati digandingkan dalam suatu program bersama remaja Terengganu dalam slot yang cukup istimewa. Mana tidaknya, ialah kali pertama saya dan zaujati “berjaya” dipertemukan untuk bersama-sama berkongsi hati dalam satu pentas yang sederhana tapi penuh makna.

Tajuknya : “ Cinta”

Ha’ah! Tentunya bergetar jiwa-jiwa yang membacanya. Saya dan zaujati bertungkus lumus mencipta keserasian, keseragaman dan juga kata sepakat untuk menjayakan slot cinta ini. Berbincang, berdiskusi, bercambah minda dan bersembang-sembang penuh minat untuk memastikan sesuatu yang bererti untuk dicurahkan kepada para peserta.

Sejujurnya, ianya bukan semudah yang disangka. Berminggu-minggu saya mencari titik mula untuk duduk bersama. Namun, ia tertangguh sehingga ke saat-saat akhir. Berpeluh saya. Migrain hadir menambahkan ragam penuh cuka – segala persediaan dan  persiapan kami. Sehingga, pada hari tersebut barulah kami dapat duduk bersama secara serius, tenang dan penuh tenaga. Akhirnya, itulah yang kami mampu berikan seadanya.

Satu perkara yang benar-benar saya rasai ialah bahagia. Bahagia bersama si dia di pentas cinta. Hajat benar agar suatu masa saya dan zaujati dapat bergandingan bersama-sama dalam memberi apa sahaja yang mampu disebarkan kepada ummat ini. Susunan, tetapan dan aturan Allah SWT Maha Kuasa – di pentas cinta jua kami akhirnya digandingkan.

“Apa perasaan?,” Tanya hati kecil saya.

“ Bahagia,” Jawab monolog sendirian.

“ Bahagia bersama di pentas cinta,” Ujar saya kepada zaujati sambil tersenyum.
------
BroHamzah
Sayang, abang bahagia bergandingan denganmu!

Read more...

Ujian-ujian Cinta

Sunday, December 11, 2011

Ditimpa ujian bertubi-tubi, pernahkah kita mengalaminya?


Ujian-ujian Cinta

Bismillah, Dengan nama-Nya pondok teduhan ini disinggahi.

Mencelah di alam maya ;- tatkala jari jemari ini kian kaku untuk berkarya.
Benar, ujian-ujian ( dugaan, musibah, mehnah, fitnah, kealpaan dan pelbagai bentuk kesusahan) yang hadir di dalam kehidupan ini akan membawa kita kepada suatu hakikat.

Ia menyedarkan kita, menyentapkan kita dan membangkitkan kita bahawa sesungguhnya kita ini adalah hamba Allah SWT yang kerdil, kecil, hina, lemah dan tiada upaya.

Saat diuji, kita benar-benar berhati sensitif , basah dan peka.
Tatkala berhadap dengan ujian, air mata kita begitu mudah mengalir.
Mata begitu mudah berkaca-kaca. Dan, terasa sayu yang bersangatan di hujung tadahan doa.
Di saat dihimpit badai ujian, kita terasa bahawa diri ini benar-benar memerlukan Allah SWT.

Itulah ujian-ujian dalam meraih Cinta. Cinta daripada Sang Pencipta.
Ujian itu memberikan seribu macam pengalaman, ibrah dan pengajaran. Namun,di sebalik itu adalah ruh cinta Ilahi buat hamba-hamba-Nya. Kasih sayang-Nya, kelembutan-Nya, Cinta-Nya dan Sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Ujian hadir sebagai pengikat rasa “kedekatan” antara kita dan Diri-Nya.

Ujian-ujian Cinta-Nya

"Cinta yang didambakan adalah cinta yang merangsang perasaan, menaikan semangat perjuangan dan memberikan makna dalam kehidupan."

Ujian-ujian Cinta-Nya

"Cinta adalah perkongsian, kegembiraan dan penderitaan, yang menuntut kemuliaan hati, kasih sayang dan rasa hormat kepada orang yang dicintai dengan sepenuh perasaan, jiwa dan raga."

Ujian-ujian Cinta-Nya

"Cinta adalah pengorbanan, perkongsian, kesabaran dan ketaatan kepada yang dicintai. Cinta yang tulen lahir daripada orang beriman yang mencintai Allah SWT sepenuh hati dan perasaan, bersikap lemah lembut dan saling kasih-mengasihi sesama Islam."

Melihat diri dan mengamati perjalanan hidup yang fana ini,
Muhasabah diri kepada Ilahi

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Bicara Cinta, Pentingkan Allah SWT lebih daripada nafsunya.

Tuesday, December 6, 2011

Hati terluka dengan noda-noda, dosa-dosa dan maksiat, banyak mengotori hati ini.



Bicara Cinta

Dengan Cinta, terjadilah kesatuan
Dengan Cinta, tersebarlah kedamaian
Dengan Cinta, terciptalah perpaduan
Dengan Cinta, terhembuslah kebahagiaan

Berkata Ibnu Qayyim al-Jauziyah : " Siapa yang mahu hatinya bersih, hendaklah dia lebih mementingkan Allah SWT dari nafsunya."

Semenjak dua menjak ini, mendapat berita – perkongsian cerita, pertanyaan, luahan dan juga pelbagai sudut perkhabaran yang membuatkan saya memikirkan sesuatu. Kekadang, sukar juga untuk melelapkan mata.

Kisah-kisah teman-teman, adik-adik dan kenalan yang dikenali yang mempermudahkan soal pergaulan antara lain jantina sama ada di dunia offline mahupun dunia online - bahasa-bahasa bicara sama ada di SMS, Facebook, dan jua di blog yang terlalu diringan-ringankan tanpa asbab nilai sebuah “urusan”.

Sms tanpa urusan, berfacebooking tanpa urusan, call tanpa urusan, dating tanpa mahram, chatting tanpa urusan dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah sesuatu perkara yang harus kita amati dan lihat sedalam-dalam. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.

Apakah sebenarnya yang dimaksudkan urusan? Memetik salah satu, tulisan daripada Kak Fatimah Syarha -

“Urusan adalah sesuatu yang apabila kita bentangkan depan Allah SWT, kita yakin kita mampu jawab dan berhujah depan Allah bahawa ia adalah urusan, maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was-was samada ia suatu urusan atau tidak, maka berawaslah.”

Menerima juga, teguran, dorongan serta saranan agar hal ini dibangkitkan dan diketengahkan. Saya memikirkan – bagaimanakah hendak menyampaikan kepada mereka-mereka ini dengan baik, hikmah dan penuh didikan serta dalam biah ruh ukhuwah yang terbaik. Jika dahulu, bersama mereka saya dapat duduk bersama – face to face -,bergurau sederhana dengan ceria, berbicara dari hati ke hati, melihat respon secara real – namun, dunia maya yang membataskan ini kekadangan menyukarkan bicara hati ke hati.

Tambahan, - adik-adik kini sedang bercuti, jauh batasan sempadan geografi dan sebagainya.

Tulisan, kita mampu dinilai dan dibaca – daripada pelbagai sudut dan persepsi. Mungkin, saya maksudkan lain – maka adik-adik, teman-teman, rakan-rakan dan sahabat pembaca memahaminya dari sudut yang lain. Saya adukan kepada murabbi. Tersenyum beliau, lalu bicara mulai berbutir :

“ Akhi, hati ini milik Allah SWT. Mengadu, berdoa dan luahkanlah kepada-Nya dahulu. Usaha-usaha kita adalah asbab ke arah itu. Teruskan mendidik diri dan hati sendiri sekuat-kuatnya. Pelihara hubunganmu dengan Allah SWT. Mungkin, kerana dosa-dosa kita, kelalaian kita, kealpaan kita, kelemahan kita dan keaiban kita – nasihat dan didikan kita tidak menembusi hati mereka. Dan – ingatlah, Allah SWT jualah yang memberikan manusia itu kesedaran dan kefahaman!.”

Kerana itu, dalam soal hati atau permasalahan melibatkan hal-hal sebegini – agak sukar untuk saya kongsikan lebih mendalam kerana saya tidak kemampuan untuk memberikan sesuatu yang jelas kerana ia memerlukan ilmu, kefahaman dan kesedaran yang mendalam daripada para alim ulama, murabbi dan mereka-mereka yang berhak.

Justeru, bagi mereka-mereka yang sering bertanya - di emel, inbox mesej mahupun FB atau di SMS - saya lebih suka kita bersemuka, bertentangan mata dan saling berkongsi dari hati ke hati. Namun, jika menulis itu adalah sebahagian daripada permulaannya – inilah yang termampu kita lakukan.

Jika ada pandangan dari sidang sahabat pembaca, saya alu-alukan.

Sukarnya melelapkan mata,
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Musim-musim Terindah Dalam Binaan Cinta

Wednesday, November 16, 2011


Musim-musim Terindah binaan cinta ;

Cinta dalam rumahtangga!

Umpama berada di sebuah taman yang mendamaikan.

Dengan lafaz Bismillah, perkongsian ini dicetuskan.

Masih segar peristiwa itu di minda ini.

“ Anta perlu bersiap sedia. Bersedia untuk jatuh cinta dan merasai keindahan perasaan ini,” Masih segar akan titipan nasihat murabbi di jiwa saya.[1]

Titipan nasihatnya itu bermekar subur di nurani saya tatkala keluar bermusafir dengannya pada tahun lepas. MasyaAllah – murabbi, setiap titipan nasihatnya berbekas mendalam dalam jiwa ini. Saat itu, selama tiga hari bermusfirnya – hanya kami berdua – saya benar-benar merasai usapan nasihat daripada seorang ayahanda.

Kami bermusafir, berbicara, berkongsi, saling memberikan pandangan dan segala-galanya kami kongsikan dalam safar yang indah itu. Saya benar-benar bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan kesempatan yang sememangnya sangat sukar diperolehi dan dialami kecuali dengan keizinan Allah SWT.

“ Jangan kita durhaka kepada Allah SWT, dalam membina rumahtangga,” Hembusan nasihatnya terus menerus menyejukan relung-relung jiwa saya. Terasa bicara itu hadir dengan ruh dan perasaan kasih seorang murabbi.

Anta perlu ingat akhi, pesanan Hisham al-Wadi : “ We get married to increase our iman!,” Butiran kata-kata murabbi terus melekat di nurani ini.

Itulah peristiwa yang sangat membahagiakan saya. Kisah setahun yang berlalu, sebelum – saya mendirikan rumah tangga. Saya – insan yang kerdil serta jahil ilmu – sangat-sangat suka mendekati mereka-mereka yang berpengalaman ini untuk mengorek rahsia berkaitan pembinaan rumah tangga yang Allah SWT redhai. Alhamdulillah, nasihat dan pesanan mereka sungguh bermanfaat buat saya.

Insan kerdil yang mengharapkan bimbingan

Pernah suatu ketika.

Saya malu dengan diri saya. Banyak keaiban, kelemahan serta kekurangan yang ada – berbanding teman-teman yang sudah bersedia dan telah “pun” mendirikan rumah tangga. Saya resah – suatu ketika – kerana merasakan seolah-olah tidak membuat apa-apa persediaan untuk mendirikan sebuah masjid. Namun, murabbi memujuk rasa :

“ Sebenarnya, dalam banyak-banyak persediaan dalam menempuhi gerbang rumahtangga yang paling sukar adalah : - persediaan jiwa!,

Saya merenungi bingkisan nasihat murabbi. Ya. Itulah yang paling sukar sekali. Jiwa – perlu bersih, kuat, jernih, suci dan cekal untuk melangkah ke alam yang baru ini.

“ InsyaAllah, kuatkan hubungan dengan Allah SWT dan banyakan munajat kepada-Nya,” Telinga ini sempat menangkap nasihat itu. Ia tersemat kukuh di sini. [ Jari menunjuk ke dada sendiri ]

Kukuhkan hubungan cinta suci ini

Saya ingin memetik ungkapan ini :

“ Islam adalah agama cinta. Dan mukmin tidak merasakan manisnya iman sehingga ia merasakan hangatnya cinta.”- Dr Mahmud asy-Syarif dalam karyanya, al-Hubb Fil Islam ( Cinta dalam Islam)

Ringkas sahaja perkongsian saya,- ingin berkongsi intipati yang sangat penting bagi insan-insan yang akan mendirikan rumah tangga, baru mendirikan rumah tangga, sudah lama dan yang akan terus memekarkan hubungan kasih sayang, cinta dan mawadah sesama mereka.

Murabbi menitipkan suatu tip, langkah-langkah dan kaedah mengukuhkan hubungan pasangan suami isteri yang baru melayari bahtera rumahtangga, dan ia juga sangat-sangat baik untuk yang telah mendirikan rumah tangga. Semoga akar mawaddah itu adalah cinta, kasih, rindu dan rahmah kerana Allah SWT.

Murabbi berkongsi rahsia, katanya ;- [2]

“ Dalam mengukuhkan hubungan kita dalam cinta rumahtangga, amatilah tiga perkara ini :-

Pertama, kukuhkan dan dalamkan hubungan dengan Allah SWT.

“ Inilah adalah asas yang sangat-sangat penting dan utama,” Ulang murabbi tanpa jemu.

“ Hati kita dengan Allah perlu : Erat, Dekat dan Akrab!,” – Getus hati saya.

Allah SWT yang memiliki hati, jiwa dan perasaan kita. Dan – Allah SWT yang punyai hak, kuasa dan upaya yang mutlak untuk menyuburkan perasaan cinta – tulus & suci – di dalam jiwa suami isteri. Lihatlah, diri kita – bagaimanakah ketaatan kita kepada Allah SWT?

Jika masih sukar membuang dan sayang kepada dosa-dosa, noda-noda, maksiat-maksiat dan aib-aib yang durjana. Masihkah kita ini ada cinta kepada Allah SWT?

Kedua, membina emotional bank account yang baik antara suami isteri.

Bagaimana?

“ Kumpullah pengalaman-pengalaman yang indah, manis dan bahagia bersama.” Ujar murabbi.

“ Berusahalah mewujudkan suasana dan biah yang mekar emosinya sepanjang usia pernikahan kita,” – Terdetik hati saya bermonolog sendirian.

Buatlah kebaikan positif terhadap pasangan kita sebanyak-banyaknya, kiriman hadiah yang luhur dengan kejutan “kecil” serta “besar”. Percikanlah cinta kasih dengan sentiasa menghiasi jalur cinta rumah tangga dengan panggilan yang penuh kasih, sayang dan jiwang.

Mereka berdua – iaitu pasangan suami dan isteri - sentiasa peka, sensitif dan aktif dalam mengoperasikan segala sunnah Rasulullah SAW dalam biah atau suasana rumah tangga. Sehingga, benar-benar terasa akan keberkahan dalam kisah percintaan mereka.

Ketiga, harmonikan hubungan dengan dua M : iaitu Mesra & Manja.

Akhirnya, berazamlah dan bersungguh-sungguhlah dalam menghormanikan binaan rumahtangga kita dengan titipan kemesraan dan perasaan penuh kesederhanaan dalam bermanja.” – Ungkap murabbi lagi.

Mesra :- ia tidak kaku, hambar atau dibuat-buat. Tapi, ia jelas diraut wajah dan berhias indah pada ukiran senyuman antara sang kekasih. Panggilan nama yang menusuk jiwa : Abang Sayang – yang hanya dua insan ini rasai dan kecapi.

Manja :- ia tersimpan kukuh sebagai tiang seri layar keindahan sebuah rumah tangga. Hanya insan berdua ini sahaja yang tahu betapa bersyukurnya menjadi hamba Allah SWT yang memilih “cinta kerana Allah SWT” dalam melayari perasaan yang asyik ini dalam sejarah kehidupan mereka.

Saya sangat tersentuh dengan ungkapan Saidina Umar al-Khattab, apabila beliau mengambarkan seseorang rijal itu dengan ungkapan sebegini :

“ Sepatutnya bagi seorang lelaki ia umpama seorang bayi, ( yakni berlaku lembut, manja dan ramah di dalam keluarganya). Dan apabila di hadapan khalayak ramai ia adalah seorang rijal yang tegas dan gagah.” [3]

Akhirnya, saya masih ingat seusai mendirikan rumah tangga beberapa minggu – murabbi menelefon saya dan menanyakan adakah saya memiliki sebuah buku yang sangat baik untuk pasangan suami isteri. Beliau memberikan tajuk buku itu dan pengarangnnya.

Dan, saya menjawab :

“ Alhamdulillah, ana sudah ada. Baru sahaja membelinya bersama dengan zaujah. Setiap daripada kami memilikinya,”

“ Alhamdulillah!,”- Ujar murabbi. “ Bagus buku itu, patut jadikan ia bahan serta rujukan harian dalam melayari bahtera kehidupan berumah tangga.”

Buku yang saya maksudkan ialah Haakadzaa Yablugh Al- Hubb Bainahuma Daliiluka ilaa As-Saa’aadah Az-Zaujijah - “ Beginilah seharusnya suami isteri saling mencintai” Karangan Fathi Muhammad Ath-Thahir Ghayati. Terbitan Irsyad Baitus Salam, Indonesia. [4]


Komentar – seorang hamba

(1) Entri ini saya dedikasi khas - khusus buat zawjati. Semoga Allah SWT menyinar kehidupan kita dengan “cahaya”-Nya di sepanjang perjalanan usia ini. Agar kita terus berazam, berkomited dan tegar menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam rumahtangga kita.

(2) Artikel ini juga, ditujukan kepada sahabat saya – Mohd Hafiz Zainol Abidin dan zaujahnya, Afeefah Saalihah Zainal Abidin yang mendirikan baitul muslim pada 11 November 2011 atau 11.11.11. Semoga Allah SWT merahmati antuma berdua. Barakallahulakuma! ( PS : Buat pengantin baru : kesalahan telah diperbetulkan. Terima kasih atas teguran "antuma"^^)

(3) Marilah sama-sama kita sentiasa memurnikan, mengukuhkan dan mengharmonikan hubungan sesama kita dengan musim-musim terindah yang digalakan oleh Allah SWT, Rasulullah SAW dan Deen kita, Islam.

----------------------
[1] Musafir Tarbawi bersama Murabbi pada 1 sehingga 4 Oktober 2010, jelajah Utara – Perlis, Kedah, Pulau Pinang & Perak.

[2] Kuliah : “ Komunikasi Rumahtangga” Oleh Murabbi pada 3 Oktober 2011, di Ipoh Perak.

[3] Kitab Tarbiyatul Aulad Fil Islam, ( Pendidikan Anak-anak dalam Islam) Oleh Prof. Dr Abdullah Nasih Ulwan. Penerbitan Pustaka Amani, Jakarta.

[4] Kitab Haakadzaa Yablugh Al- Hubb Bainahuma Daliiluka ilaa As-Saa’aadah Az-Zaujijah - “ Beginilah seharusnya suami isteri saling mencintai” Karangan Fathi Muhammad Ath-Thahir Ghayati. Terbitan Irsyad Baitus Salam, Indonesia.

Salam penuh hormat ;
Hamba Kerdil

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Duhai adik-adik remajaku

Friday, November 4, 2011

Titipan doa dan munajat sentiasa ditadahkan buat kalian. Duhai adik-adik remajaku, tabahkan diri kalian dan teruskan usaha kalian mendidik diri untuk mendekati Allah SWT.


Bismillahirahmanirahim.
Catatan ini, buat kalian duhai adik-adik remajaku.
Semoga kalian berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.

(1) Sepanjang berkongsi berkaitan persoalan cinta sama ada dalam bentuk tazkirah, ceramah, forum atau sembang-sembang personal – pastinya ia akan menjadi suatu perbincangan yang sangat-sangat menarik minat adik-adik remaja untuk mendekati dan menyelaminya. Sudah tentu, banyak persoalan yang akan ditanya, disoal dan diajukan dalam pelbagai bentuk situasi, keadaan dan bentuk.

“ Bolehkah kita pendamkan perasaan kita terhadap seseorang?,”
“ Bagaimana kita hendak kejar cinta Allah SWT?”
“ Mohon berikan langkah-langkah detail dalam membuang cinta nafsu?,”
“ Bagaimanakah cinta Rasul dan para sahabat?,”
“ Adakah suka dan cinta itu perasaan yang sama?,”
“ Berdosakan kita menyimpan perasaan kepada seseorang?,”
“ Jelaskan cara untuk atasi cinta yang haram?.”

(2) Menurut, Prof. Madya Dr Asmawati Desa – pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – antara perkara yang menjadi priority dan fokus remaja ketika meningkat usia matang mereka ialah, soal cinta. Justeru, cinta itu wujud dan hadir dalam kehidupan remaja. Ingin menyayangi, disayangi, dikasihi dan mengasihi – adalah fitrah semua insan termasuk remaja.

(3) Ramai adik-adik remaja, akan bertanya soal ini. Salahkah kami bercinta? Bagaimana perasaan cinta yang telah wujud dalam diri kami? Dan, pelbagai lagi soalannya. – Adik-adiku, masyaAllah Maha Suci Allah SWT yang menganugerahi dan mengurniakan perasaan ini kepada kalian. Sujud syukurlah kalian kepada-Nya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

(4) Cinta itu suci, bersih dan jernih. Maka – uruskanlah perasaan ini dengan panduan dan jalan-jalan yang dicintai dan disukai oleh Allah SWT. Cinta adalah sebuah getaran rasa yang menandakan rasa suka, rasa ingin selalu dekat, rasa ingin sentiasa diperhatikan dan rasa ingin selalu bersama orang yang dicintainya. Soal cinta inilah, bagaimanakah kita mengurus perasaan ini. Apakah manual, panduan dan pedoman yang kita gunakan dalam mengurusnya? Itulah yang harus kita bincang-bincangkan. Itulah yang harus diketengahkan dan diwar-warkan kepada adik-adik remaja kita.

(5) Cinta yang ingin kita popularkan ialah cinta yang suci, dari seorang insan yang suci, tidak menginginkan agama dan kesuciaan dirinya serta peribadinya menjadi rosak disebabkan perasaan cinta itu. Dia juga tidak ingin hubungan antara dirinya dengan Allah SWT menjadi renggang, jauh dan semakin jauh lantaran cinta yang jijik dan kotor.

(6) Selain, itu ;- ketika saya mengendalikan sesi perkongsian bersama pelajar-pelajar SPM di sebuah sekolah di Kangar – majoriti mereka sangat-sangat takut dan gementar untuk menghadapi SPM yang dijadualkan akan mereka duduki pada minggu hadapan. – Tidak yakin, hilang fokus, malas, tidak bersemangat dan tidak rasa apa-apa untuk menempuhi medan peperiksaan ini.

“ Saya rasa sangat takut untuk hadapi SPM. Bantu saya?,”
“ Saya kabur, apakah hakikat kejayaan yang sebenarnya?,”
“ Mengapa saya susah hendak study?”
“ Saya malas dan malas. Ada ubat ka?,”
“Adakah saya sudah terlambat?,”
“ Saya ingin menjadi anak yang terbaik dalam keluarga. Tetapi, bagaimana hendak buat?”

(7) Ini juga adalah dilemma adik-adik remajaku saat ini ;- tiada matlamat hidup, tidak tahu untuk berpaut dengan cita-cita yang tinggi, hilang arah tujuan hidup dan kabur dalam kehidupan sendiri. Duhai, adik-adikku – renungilah diri kalian sedalam-dalamnya. Ada sesuatu yang perlu kita fikirkan.

(8) Entri, post dan artikel ini saya bukakan kepada sesiapa sahaja – untuk bertanyakan soalan, atau memberikan apa-apa pandangan, coretan dan kalam nasihat berkaitan adik-adik, anak-anak dan saudara-saudari remaja kita. Kita kongsikan titipan jiwa dan kata-kata jiwa kepada mereka. Buat adik-adik, jika kalian ada sesuatu yang bersarang diminda, persoalan yang bermain-main di fikiran dan terbuka di dada – maka tinggalkan jejak itu diruangan komentar dibawah. InsyaAllah, kita akan sama-sama berkongsi jawapan dengan para pengunjung yang ada.

(9) Akhirnya, Salam Aidil Adha saya – ucapkan kepada semua. Semoga ruh pengorbanan agar terus mengakar di dalam hati kita dan ia mampu dijelmakan dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.

BroHamzah
Bumi Indera Kayangan
Perlis Darus Sunnah.

Read more...

Indahnya cinta berpaksikan wahyu

Thursday, August 18, 2011




" Cinta itu indah jika ia berpaksikan wahyu Allah"

Perkongsian ini dimulakan dengan lafaz bismillillah.

Saya kongsikan semula artikel cinta berpaksi wahyu dengan sedikit pembaikan dan penambahan berdasarkan beberapa siri forum Cinta berpaksikan wahyu yang sempat saya ikuti. Semoga bermanfaat.

Cinta itu adalah perasaan

Saya mulakan dengan mengambil ungkapan Ibnu Qayyim al-Jauziyah yang memberi satu sentuhan indah, sederhana dan bersahaja berkaitan erti dan makna cinta. Katanya :

“ Cinta adalah sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyik. Cinta adalah gelojak perasaan yang muncul apabila orang yang bercinta merasa amat rindu dan terkenang-kenangkan yang dicintainya.”

Itulah cinta, ramai tokoh dan ahli ulama memberi definisi dan makna cinta. Jika diteliti dan diamati, banyak definisi dan maksudnya. Tetapi, secara kesimpulannya ia adalah suatu perasaan dan cetusan rasa hati yang hadir dalam diri setiap insan.

Dalam membicarakan berkaitan cinta ini, semasa membentangkan ceramah pertama berkaitan Cinta dan Pengurusannya dalam meraih kebahagiaan, Tuan Haji Rosdi menyatakan antara rujukan yang beliau gunakan ialah Buku karya Ibnu Qayyim Jauziyah iaitu Raudhatul Muhibbin ( Taman-taman orang jatuh cinta).

Dan, dalam buku ini sahaja Ibnu Qayyim telah memberikan 50 definisi berkaitan cinta. Kata Tuan Haji Rosdi, beliau semakin kagum dengan tulisan-tulisan yang ditulis oleh ulama yang soleh ini dan Alhamdulillah, pencerahan dan huraiannya berkaitan cinta sangat teliti, menjernihkan dan menyejukan. Saya sendiri telah membelek-belek dan sempat melihat buku ini. [ Tebal buku ini ]

Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan jenis-jenis cinta. Ia terbahagi kepada 4 iaitu, Cinta Ibadah ( Al-Hujurat (49 ) : 7), Cinta Syirik ( Al-Baqarah (2) : 165), Cinta Maksiat ( Al Fajr (89): 20) dan Cinta Manusiawi (Tabiat) ( Yusuf (12 ): 8)

Dan, kesimpulan yang dibuat ialah cinta manusiawi yang akan memberi kekuatan, keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT ialah cinta yang berada di dalam mainframe, kerangka dan bingkai utama cinta Ibadah.

Kata mudahnya, cinta yang didasari, ditunjangi oleh cinta Allah SWT. Iaitu Mahabatullah. Ia adalah pancaran, sumber, masdar dan punca kepada keaslian, ketulinan dan kejernihan cinta yang didambakan. Inilah fitrah yang sebenar yang perlu kita fahami dan hayati.

Cinta yang menguatkan bukan melalaikan

Cinta yang didambakan adalah cinta yang meransang perasaan, menaikan semangat perjuangan dan memberikan makna dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah SWT. Jika perkara sebaliknya berlaku, itu bukanlah cinta tetapi ia adalah nafsu.

Kehidupan tanpa cinta adalah kematian. Cinta umpama cahaya, tanpa suluhannya seseorang akan tersesat di dalam lautan kegelapan. Justeru, kita harus mempunyai ilmu berkaitan cinta ini. Jangan membutakan mata dan mata hati untuk mengetahui, mengenali dan mempelajari tentang cinta.

Sebenarnya apa yang saya utarakan ini adalah sebahagian daripada aspek perasaan manusia. Dalam jiwa manusia, terdapat 4 aspek perasaan yang menjadi fitrah manusia. Iaitu fitrah menjadikan Allah SWT sebagai tujuan dan tumpuan, perasaan cinta (al-hub), perasaan takut (al-khauf) dan kepergantungan. Dan perbincangan ini, akan cuba menyimbangi semua aspek ini agar ia selari dengan tuntutan deen Islam.


Cinta itu fitrah


Firman Allah SWT :

“ Orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah SWT.”

( Al-Baqarah (2) : 165)

Kata Ibnu Qayyim dalam Karya Radhatul Muhibbin menyatakan :

"Cinta itu mensucikan akal, menghilangkan kekhuatiran, memunculkan keberanian, mendorong berpenampilan rapi, membangkitkan selera makan, menjaga akhlak mulia, membangkitkan semangat, mengenakan wewangian, memperhatikan pergaulan yang baik, serta menjaga adab dan kepribadian. Tapi cinta juga merupakan ujian bagi orang-orang yang soleh dan cubaan bagi ahli ibadah."

Perasaan ini akan menyapa dan menyentuh sesiapa sahaja apabila tiba masa dan waktunya. Perasaan cinta manusiawi ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Tidak kira sesiapa pun ia. Inilah fitrah manusia, sejajar dengan firman Allah SWT dalam Al-Quran :

“ Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu ; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari segi emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).”

( Ali Imran (3) : 14)

Ibrah daripada sirah, saya pernah berkongsi satu kisah yang diceritakan oleh Abdullah ibn Abbas.

“ Suatu ketika,” beliau berkongsi cerita,

“ Seorang wanita solat di belakang Rasulullah SAW. Dia seorang wanita yang sangat canti, secantik-cantik wanita. Demi Allah, kata Ibnu ‘Abbas bersaksi, “ Aku belum pernah melihat wanita secantik dia.” Wanita itu berada di saff terdepan di barisan wanita.

Kehadiran wanita itu menyebabkan sikap para sahabat berbelah bahagi dalam aspek menunaikan solat berjemaah. Ada sebahagian berupaya keras datang lebih awal dan mengambil tempat di saff awal agar tidak berkesempatan melihat wanita tersebut , agar hati tidak terganggu.

Tetapi, ada juga yang melambatkan sedikit kehadiran mereka, agar dapat berada di saff akhir di barisan lelaki, agar dapat curi-curi pandangan untuk melihatnya. Kisah ini kita ambil dari sudut, perasaan. Inilah fitrah perasaan yang wujud dalam hati manusia. Kisah ini diriwayatkan oleh para Imam pemilik Kitab Sunan yakni Abu Dawud, At Tirmidzi, An Nasai dan Ibnu Majah. Imam Al Hakim menshahihkannya menurut syarat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim.

Inilah sahabat Rasulullah. Inilah sahabat Rasulullah! Inilah mereka generasi terbaik!.

Ada di antara mereka juga yang mempunyai perasaan kecenderungan untuk tertarik, terpesona dan perasaan sehalus ini. Selalunya kita membayangkan mereka sangat baik, seperti malaikat. Tetapi ketahuilah, mereka tetap adalah manusia. Manusia yang mempunyai fitrahnya yang telah ditetapkan Allah SWT.

Satu kisah lagi yang ingin saya kongsikan, anak Baginda Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah pernah berkata kepada suaminya, Ali Bin Abi Talib :

“ Wahai Ali sesungguhnya sebelum berkahwin, ada seorang lelaki di Kota Mekah ini yang sangat aku kagumi,”

“ Jadi engkau menyesal berkahwin denganku?,” Soal Ali.

Lalu dengan penuh ketenangan sambil tersenyum kepada suaminya yang tercinta :

“ Tentu tidak, kerana lelaki itu adalah kamu..”

Anda pasti tersenyum membayangkan bagaimana reaksi wajah Ali Bin Talib saat mendengar pengakuan tulus daripada isterinya yang tercinta.

Siti Fatimah, telah mempunyai perasaan yang halus semasa zaman remaja terhadap Ali bin Abi Talib. Begitu juga dengan Saidina Ali. Perasaan yang unik itu sudah berputik sekian lama dihatinya, dan akhirnya ia zahirkan perasaan ini melalui jalan yang paling syara iaitu perkahwinan. MasyaAllah.

Saudara-saudari, dan sidang pembaca. Inilah perasaan fitrah anugerah Allah SWT, ia hadir menyapa dan menyentuh sesiapa sahaja.

Bahasa Cinta Manusiawi

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan bahawa cinta yang kita bicarakan di sini adalah tentang cinta yang suci, dari seorang lelaki yang suci, tidak menginginkan agama dan kesuciaan dirinya serta peribadinya menjadi rosak disebabkan cinta. Dia tidak mahu hubungan antara dirinya dengan Allah renggang, jauh dan tersirna.

Ibnu Hazm pun pernah berkata : “ Ramai dari para Khulafa Rasyidin dan para Imam yang bersih hatinya mengalami jatuh cinta.”

Inilah cinta orang-orang salaf dan para imam terhormat. Ungkapan seorang pemuda yang takut dan bertaqwa kepada Allah SWT dalam bisikan hatinya :

“ Sesungguhnya saya mencintainya kerana Allah dan saya ingin agar cinta ini menjadi cinta yang benar di hadapan Allah SWT.”

Untuk membingkaikan cintanya agar tetap suci seusai fitrahnya, lalu pemuda tersebut berusaha dan bersungguh-sungguhn untuk merealisasikan perasaan cintanya melalui cara yang diredhai ALLAH. Dan bingkai yang syara’ dan diberkati Allah itu adalah bingkai perkahwinan yang bersih, suci dan jernih!.

Seorang muslim mukmin dan muslimah mukminan tidak dilarang untuk saling mencintai. Mereka juga tidak dilarang untuk jatuh cinta. Hanya, Islam menyediakan penyaluran untuk bercinta melalui PERKAHWINAN.

Di bawah naungan perkahwinan, sepasang manusia diberi kebebasan untuk bercinta. Seorang lelaki menjadi seorang suami dan seorang perempuan menjadi seorang isteri. Melalu ikatan ini, terjalinlah perhubungan yang halal, suci dan mampu membuahkan barakah. Lantas tenteramlah hati, sempurnalah keinginan.

Perasaan ini adalah lambang kebesaran dan keagungan Allah SWT. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya antaramu rasa cinta dan kasih sayang..”

( Ar Rum (30 ):21)

Itulah, apa yang boleh saya simpulkan daripada apa yang saya perolehi dari seminar, perkongsian permusafiran bersama Tuan Haji Rosdi, dari bahan pembacaan sebagai persiapan untuk seminar ini. Ini merupakan perkongsian semampu saya, insyaAllah jika berkesempatan akan saya kongsikan lagi. Kerana di sana, masih banyak input-input baru yang saya perolehi. Nantikan InsyaAllah. Saya akhiri dengan kata-kata dibawa :

“Cinta merupakan cermin bagi seseorang yang sedang jatuh cinta untuk mengetahui watak dan kelemah-lembutan dirinya dalam citra kekasihnya. Kerana sebenarnya dia tidak jatuh cinta kecuali terhadap dirinya sendiri.”

Catatan ringkas :

1. Dalam siri jelajah Forum Cinta berpaksikan wahyu ini, insyaAllah di dalam perancangan ia akan dibuat secara berkala ke seluruh Malaysia. Bagi sesiapa yang berhajat untuk mengadakannya di tempat pengajian dan institusi anda – pihak kami sangat-sangat mengalu-alukannya sebagai wadah perkongsian ilmu. Boleh hubungi BroHamzah di emel brohamzah85@gmail.com.

2. Perancangan terdekat pada hujung tahun ini di utara dan pantai timur.InsyaAllah. Semoga Allah SWT permudahkan.

3. Ramadhan adalah saat yang indah menyuburkan cinta. Saya kongsikan sedikit perkongsian berkaitannya di website Langit Ilahi.Com. Anda dijemput untuk membacanya. Semoga ada manfaat untuk disharekan.

Read more...

Bercahayakah cinta di hati kita?

Wednesday, August 17, 2011

Hati, tempat bertapaknya cinta. Bercahayakah hati kita dengan cinta yang sebenarnya?

Lafaz Bismillah menjadi pembuka bicara pada kali ini.

1. Ramadhan pada kali ini, membawa suatu pengertian yang bermakna buat diri saya. Saya menjalani Ramadhan dalam keadaan bermusafir yang agak panjang . Keadaan yang menuntut kekuatan jiwa yang lebih agar saya mampu memaksimakan setiap masa yang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam meraih janji-Nya iaitu ganjaran taqwa.

2. Alhamdulillah, biasanya di bulan Ramadhan tiada tazkirah, kuliah, forum atau ceramah yang saya libatkan diri. Namun, kali ini Allah SWT berikan suatu pengalaman yang baru. Berforum di siang hari Ramadhan dengan beberapa orang panel yang saya hormati, segani dan kagumi.

3. Forum bertajuk Cinta berpaksikan Wahyu, bertempat di Sekolah Menengah Ibnu Khaldun – saya diamanahkan sebagai moderator. Mengemudikan bahtera forum selama 2 jam memberikan ruang pengalaman yang baru kepada saya. Sudah lama tidak memainkan peranan sedemikian. Pada awalnya agak kekok, tetapi Alhamdulillah – ia berlansung dengan suasana yang tenang dan baik.

4. Panel-panelnya yang sangat arif dalam tajuk ini membawa para pendengar yang terdiri daripada lebih 400 orang pelajar SMIK dengan jayanya. Banyak ilmu-ilmu, panduan-panduan dan cara-cara untuk mengendalikan cinta ini berpandukan suruhan Allah SWT. Alhamdulillah, forum gabungan 3 panelis ini memberikan suatu makna baru buat para audien dalam memahami apa itu cinta.

5. Panel-panelnya, Abu Munzir atau Tuan Haji Rosdi Baharom ( Tinta Tarbawi.Com), Kakak Fatimah Syarha Bt Haji Mohd Nordin ( Blognya, Sebarkan Bahagia) dan Abu Ridhuwan atau Cikgu Razali Maarof ( Blognya, Usrah Keluarga) – telah memberikan suatu input yang sangat berguna buat kami semua sebagai pendengar forum. Alhamdulillah.

6. Abu Munzir, beliau memberikan suatu penjelasan berkaitan makna dan pengertian cinta yang sebenarnya. Membahasakan diri umpama gaya seorang ayahanda, perkongsian beliau memfokuskan kepada bagaimana cinta itu harus dilaksanakan bagi meraih keredhaan Allah SWT. Dan bagaimanakah untuk merawat jiwa jika telah melakukan bentuk-bentuk cinta yang tidak berlesen?

7. Kakak Fatimah Syarha, beliau berkongsi kisah-kisah cinta yang dipetik daripada sirah para sahabat dan sahabiyah pada zaman Rasulullah SAW. Kisah yang sangat menarik, iaitu diolag sepasang suami isteri yang soleh dan solehah iaitu Fatimah Az Zahra dan Saidina Ali bin Abi Talib pada malam hari pertama perkahwinan mereka. Dua, kisah cinta anak Abu Bakr, iaitu Abdullah dan isterinya Atiqah yang meruntun hati dan memperlihatkan bagaimana cinta itu menjadi ujian kepada mereka. Ingin tahu kisahnya?

8. Abu Ridhuwan, beliau membawa perkongsian kisah-kisah yang nyata. Apakah yang dikatakan cinta luar biasa dan cinta luar tabiat? Penyampaian penuh bersemangat, berkobar-kobar dan membara mengugah jiwa para pendengar. Gaya bersahaja itu memberikan suatu konsep bahawa cinta itu mampu menghasilkan natijah yang mulia dan suatu sudut yang lain ia juga boleh memberikan suatu hasil yang hina.

9. Banyak sungguh soalan-soalan yang diutarakan kepada panelis. Saya kira, tajuk cinta ini punyai kekuatannya apabila dibicarakan dan ia akan tetap evergreen sampai bila-bila dan kepada sesiapa pun. Kerana cinta itu adalah fitrah. Seperti nasihat Kak Fatimah Syarha ,” Kita perlu mengurus fitrah agar tidak menjadi fitnah, agar ia membawa rahmah dan berkah.”

10. Saya berhasrat untuk kongsikan sesi forum bersama mereka nanti. Mungkin, dalam perkongsian-perkongsian kuliah dan tazkirah saya mendatang dengan pelajar-pelajar saya. InsyaAllah, jika berkesempatan dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Satu kupasan berkaitan cinta dari sudut yang tarbawi, dan membawa perspektif yang dikutip daripada nilaian Islam yang syumul dan menyeluruh.

11. Ramadhan adalah bulan cinta. Bulan yang menyuburkan perasaan cinta terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, terhadap ibu bapa, suami isteri, anak-anak, masyarakat dan ummah. Terasakah kita akan hakikat ini?

12. Semoga Ramadhan yang sedang kita lalui ini, akan menambahkan lagi perasaan cinta yang ada dalam hati serta perasaan kita terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW dan insan-insan yang berada di sekeliling kita.InsyaAllah.

Seusai permusafiran yang panjang,

BroHamzah
18 Ramadhan 1432 H
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Syukran Ya Murabbi

Monday, May 16, 2011

Credit to : Maisarah Kamal Of Langit Ilahi
Langit Ilahi.Com

Syukran Ya Murabbi
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allah SWT izinkan saya untuk bertandang dan meninggalkan jejak di sini. Afwan, sehari dua yang kurang menyegarkan dan diuji dengan kemerosotan kesihatan.

“ Selamat Hari Murobbi”
“ Selamat Menyambut Hari Guru”
“ Buatmu Muallim, Pendidik dan Cikgu”

Saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan, dan semaian kasih sayang buat semua murabbi, guru, pendidik, muaalim, cikgu, ustaz ustazah dan mereka-mereka yang banyak mencurahkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman kepada saya. Tanpa kalian dalam hidup – tentunya saya teraba-raba berjalan di alam dunia ini tanpa suluhan kebenaran.

Syukran kerana mendidik dengan ketulusan, keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang. Terima kasih banyak-banyak kerana bersabar dengan karenah anak didikmu ini. Semoga Allah SWT merahmati kalian semua.

Abah & Emak - Murabbi dan Murabbiyah pertama dan selamanya


Khusus buat Murabbi dan murabbiyah pertama dalam hidupku – Abah dan Emak- : Terima kasih atas segala pengorbanan yang dicurahkan sehingga mewarnai kehidupan diri ini,

Buat ustazah-ustazah di PASTI Kampung Wakaf Stan yang gigih memberi,

Semua cikgu-cikgu Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan banyak menyumbang buat diri ,

Buat Murabbi murabbiyah Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) yang mendidik diri mengenal rabbi,

Semua pensyarah-pensyarah Universiti Malaya yang mencurah ilmu dan bakti,

Dan seluruh “guru-guru” kehidupan yang selalu menasihati, melorongkan diri dan memperingatkan diri tentang matlamat hidup yang singkat ini.

Kalian adalah cahaya yang menyinari alam yang suram ini dengan nur hikmah, keilmuan dan sentuhan kasih sayang. Kalian adalah insan-insan biasa yang bergerak secara luar biasa untuk ummah ini. Syukran ya Murabbi dan Murabbiyah! Semoga Allah SWT merahmati kalian semuanya.

BroHamzah
Jalan Long Yunus I Kota Bharu Kelantan
16 Mei 2011

Read more...

Meniup debunga-debunga Syurga

Sunday, May 8, 2011

Debunga-debunga Syurga



Meniup debunga-debunga Syurga

Oleh : BroHamzah



“ Kasih sayang akar hati, daya terkuat nadi”

Ungkapan di atas telah lama tersimpan dalam kotak memori dan minda saya. Kini ia mulai turun singgah ke jiwa hati saya. Kolam hati kian bergelora dengan perasaan itu.

Ya. Belajar tentang sesuatu yang asing dalam kehidupan kini. Sesuatu yang merupakan pantulan jiwa dan cerminan hati. Ia bukan boleh dilakonkan dan dizahirkan dengan wajah kepura-puraan.

Apabila melihat remaja-remaja pada hari ini, hati saya amat tersentuh dan sayu. Melihat kehidupan dan gaya hidup mereka riang gembira tanpa bimbingan menyebabkan saya rasa begitu kesian akan mereka. Sekiranya kita melihat mereka dengan kaca mata keimanan dan ketaqwaan, pasti kita akan menangis mengenangkan nasib remaja dewasa ini.

“ Mereka adalah mangsa keadaan dan dibesarkan dalam kehidupan masyarakat yang kian rosak.” Kata murabbi suatu hari.

Remaja hari ini adalah mangsa keadaan dan mangsa penindasan yang tiada tara zalimnya. Jahiliyah mencengkam hati dan jiwa mereka semahunya dan tiada langsung rasa belas dan kasihan. Mereka diratah semahunya dengan nilai-nilai dan moral-moral yang terlalu rendah nilainya. Mereka diheret seperti seekor lembu yang "tidak tahu apa-apa" menuju ke sebuah lembah kehinaan.

“ Air mata ini mengalir apabila bergaul dan berbicara luah jiwa bersama remaja. Jiwa mereka gersang, kosong dan amat jauh daripada Allah SWT,” Kata murabbi lagi.

Remaja hari ini dihinakan, dijijikan dan dikotori segala kesucian mereka yang suci lagi murni. Mereka tidak tahu apa-apa. Mereka perlukan bimbingan dan belas kasihan yang datang dari ketulusan hati dan kejernihan hati. Mereka adalah mangsa keadaan masyarakat yang tenat ini. Mereka adalah mangsa kerana ketidak prihatian kita.

Mereka tertindas dan teraniaya kerana kealpaan kita. Mereka amat memerlukan kita. Batin mereka menjerit dan meraung kesakitan. Hati mereka pedih dan sakit lagi bernanah. Jiwa mereka kosong dan terhiris dengan goresan-goresan jahiliyah. Luka-luka di jiwa mereka memerlukan rawatan sesegera yang mungkin. Mereka sakit dan perlukan ubat untuk menyembuhkannya. Penawar-penawar yang tulen, asli dan mujarab diperlukan untuk merawat kelukaan yang kian bernanah dan membusuk di jiwa dalaman mereka.

Mereka ini memerlukan belas ehsan dan pelukan kasih sayang. Mereka yang sakit ini memerlukan cinta dan pujukan manja keimanan dan ketaqwaan. Mereka yang fitrah pada asalnya perlukan ubat ketenangan iman untuk melegakan keperitan mereka. Mereka menitiskan air mata kerana sedih kekosongan dan kekeringan dalaman yang menusuk sanubari dan perasaan jiwa. Hidup mereka tertekan dan penuh keserabutan. Mereka ini adalah saudara kita.Mereka ini memerlukan sentuhan kasih sayang dan keperihatinan kita.

Wahai saudaraku, lihatlah mereka dengan kaca mata keimanan dan kasih sayang kita.Mereka memerlukan kita!

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?

Saya, teringat satu kisah yang saya baca di sebuah médium penulisan berkaitan kasih sayang. Kisahnya memikat jiwa dan hati saya untuk berkongsi dengan anda. Semoga ia bermanfaat.

Kisah : Kasih sayang, kejayaan dan kekayaan

Ia bermula begini. Di sebuah rumah di sebuah perkampungan yang mendamaikan dan penuh ketenteraman.

Keihatan seorang wanita sedang keluar dari rumahnya apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk dihalaman rumahnya. Dia tidak mengemal mereka.

Wanita itu bertanya, " Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar. Silalah masuk kerumah saya dan makan sesuatu."

"Adakah suami awak ada dirumah?", mereka bertanya. "Tidak", wanita itu berkata.

"Suami saya telah keluar."

"Jadi, kami tidak akan masuk", mereka menjawab.

Sewaktu suaminya pulang ke rumah pada petang itu, wanita itu pun memberitahunya kejadian tersebut. "Pergi beritahu mereka bahawa saya telah balik dan menjemput mereka masuk ke dalam sekarang!"

Wanita itu keluar dan menjemput ketiga-tiga lelaki tua itu masuk ke dalam. "Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama," mereka menjawab.

"Mengapa begitu?" soal wanita itu ingin tahu. Salah seorang dari lelaki tua itu pun menerangkan : "Namanya ialah Kekayaan,"

Dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk kearah kawan yang seorang lagi, " Dia adalah Kejayaan, dan saya adalah Kasih Sayang."

Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula kedalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput kedalam rumah." Wanita itu pun masuk semula kedalam dan memberitahu suaminya perkara tersebut. Suaminya berasa sungguh gembira.

"Bagusnya!!" dia berkata. "Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!" Isterinya tidak bersetuju.

"Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?"

Kebetulan, menantu perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya : "Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang? Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!" "Biarlah kita mengikut nasihat menantu kita itu," kata suami itu kepada isterinya.

"Keluar dan jemputlah kasih sayang sebagai tetamu kita." Wanita itu pun keluar dan bertanya kepada tiga lelaki tua, "Yang mana satu diantara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami."

Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah. Kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan :

"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"

Selingan dan ajakan sama-sama merenungi dan berfikir akan kisah ini. Kisah untuk memahami dan mengertikan sebuah bentuk sebaran debungan cinta dan kasih sayang. Debungan yang kecil akan menghinggapi dedaun hati manusia yang kian menghijau. Siraman air yang dicurahkan jika kena pada masa, cara dan suasananya, insyaAllah dengan izin Allah – kasih sayang ini akan menyebarkan keharumannya ke udara alam ini dengan bauan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian yang semerbak haruman kasturi.

Ahli-ahli syurga adalah insan-insan yang di dalam jiwa – mereka - mekar dengan ruh cinta dan perasaan kasih sayang. Tiada perasaan dengki dan dendam kesumat di dalamnya, bahkan mereka melayari kehidupan di alam Syurga dengan bersenang-senang dengan tiupan keharuman cinta dan kasih sayang yang sejati.

Marilah kita tiupkan debunga-debunga Syurga ini dengan menyemai benih-benih cinta dan kasih sayang sesama kita.

Komentar - Catatan Seorang Hamba

  • Hidup ini indah, bermakna dan bermartabat jika kita memiliki perasaan bersulamankan kasih sayang dan menyebarkannya dengan ketulusan jiwa yang menghangat.
  • Saya tertarik dengan pengertian kasih sayang yang dinyatakan oleh seorang pelajar baru Minggu Silaturahim (MASIR) KTD. Katanya kasih sayang itu adalah sebuah ikatan ataupun hubungan yang dijalinkan semata-mata kerana Allah SWT. Bila wujudnya sebuah ikatan kerana Allah SWT, maka akan terbentuk dengan sendirinya perasaan kasih sayang dan cinta sesama kita.
  • Hati adalah tempat bertapaknya kasih sayang. Untuk meraih kasih sayang yang tulus, bersih, jernih dan putih - hati harus dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya. Justeru, hati perlukan penawarnya. Berikut adalah lima penawar hati.

BroHamzah
Jalan Long Yunus I Kota Bharu
8 Mei 2011
11.01 Malam


Read more...

Sentuhan Bonda

Wednesday, May 4, 2011


Sentuhan Bonda - ia bukannya sentuhan biasa.

Oleh : BroHamzah


Saya suka satu kalimah yang menggugah jiwa saya.

“ Disebalik kehebatan seorang lelaki, dibelakangnya ada seorang wanita yang berjiwa besar menyokongnya.”

Disebalik kejayaan, kecemerlangan dan kepahlawanan seorang anak dalam kehidupan, kerjayaan dan pencapaiannya – insyaAllah, ada seorang insan yang memberikan didikan, dorongan, sokongan dan inpirasi kepada nya. Itulah aura seorang insan yang bergelar ibu.

Akademi, sekolah dan madrasah pertama individu-individu yang hebat,berjaya dan bersinar dalam dunia semuanya bermula dengan sentuhan guru yang pertama iaitu ibu. Mereka adalah madrasah sebelum madrasah yang lainnya.

Itulah Al-ummu madrasatun. ( Madrasah keibuan)

Seorang ibu adalah akademi, sekolah, institusi dan pusat pengajian bagi setiap anak-anaknya sekaligus menjadi madrasah cinta para pahlawan yang gagah berani dalam sejarah peradaban dunia. Di sebalik perwatakan, keperibadian, susuk tubuhnya dan tutur bicara seorang ibu – ia telah melahirkan puluhan ribu manusia-manusia yang hebat dalam sejarah dunia.

Ibu, mereka adalah insan yang dihiasi dengan kelembutan, keindahan, keistimewaan dan ketenangan. Di tangan merekalah lahirnya manusia-manusia yang berjiwa besar, lahirnya para ulama, terbentuk manusia-manusia yang bersabar dan wujudnya manusia-manusia yang bijak seperti cendiakawan.

Ibu, dia adalah insan yang terhias di raut wajahnya dengan warna kasih sayang yang tiada bandingan. Seorang teman, pendamping dan teman dalam duka. Insan terbaik untuk meluahkan perasaan, kehibaan, kesedihan dan kekecewaan. Tempat berlindung dan mengadu segala kesakitan dan penderitaan. Didikan, asuhan dan belaiannya adalah kedudukan yang paling mulia dan dialah sumber pancaran kasih sayang yang menyinari alam.

Ibu, pada matanya ada rahsia, dikelopak matanya ada derita. Namun, semuannya dipendam jauh di pangkal jiwa demi kebahagiaan, kesenangan dan kejayaan anak-anak tercinta. Pelukannya penuh makna kemanusiaan. Ciumannya kepada anak-anak adalah selawat hati dan segala curahan keperihatinan kepada mereka adalah ibadah buat Rabbul Izzati.

Ibu , mereka umpama mentari yang menghidupkan keserian seisi bumi.Hilangnya wanita yang bergelar ibu dari kehidupan, ia akan menguburkan sebuah kebahagiaan. Lenyapnya mereka dari pentas atlas dunia bererti terbunuhnya kegembiraan yang mengakar jiwa.

Kisah-kisah mereka yang terkenal dengan ketokohan, kepahlwanan, keilmuan, kebijaksanaan dan kemahsyuran semuanya bermula dengan didikan tangan seorang ibu. Ingatkan anda kisah seorang imam mazhab yang kecil-kecil sudah menjadi mufti, – Imam Syafiee? Imam Nawawi yang gigih dalam menuntut ilmu sehingga lupa untuk menjamah makan? Pemimpin yang begitu tegar memimpin bala tenteranya yang berlayar di atas dataran, Sultan Muhammad al-Fateh? Kisah kecekalan As Sayyid Syed Qutb yang teguh dalam berjuangan penannya? Kesungguhan semangat jihad Abdullah Azzam, bapa jihad zaman moden yang akhir menemui cita-cita agungnya iaitu mati syahid? – Dan siapakah seorang insan disebalik kehebatan dan keluarbiasaan mereka ini?

Itulah penangan sentuhan tangan bonda yang sangat-sangat luar biasa.

* Artikel ini dipetik daripada artikel tulisan saya di laman Langit Ilahi.Com. Untuk bacaan penuh, anda boleh layari ke SINI.

Komentar - Seorang Hamba

  • Saya mempunyai seorang emak. Emak yang saya cintai sepenuh jiwa. Melihatnya, saya rasa benar-benar kagum. Kagum kerana benar-benar tabah membesarkan 10 anaknya yang "nakal-nakal", pelbagai karenah dan macam-macam ragam.
  • Kesabarannya, kesungguhannya, kecekalananya, ketabahannya dan kesederhanaannya - membuatkan saya jatuh cinta kepadanya. Wanita pertama yang mencuri hati saya dan terpikat kepadanya, itulah emak saya!
  • " Seorang ibu mampu menjaga dan membesarkan 10 orang anak , dan 10 orang anak belum tentu mampu menjaga dan memelihara seorang ibu di penghujung usiannya." - Kenyataan ini mencabar dan menggugah perasaan saya sejak dahulu. Bagaikan satu pukulan dan cabaran buat diri. Mampukah saya dan adik-adik menidakannya?
  • Seusai solat, saya tadahkan tangan - memohon ampunan dan kerahmatan daripada Allah SWT buat emak dan abah saya. Saya berdoa agar siapa-siapa pun saya di masa hadapan - saya adalah seorang anak yang akan menyatuni mereka, menghormati mereka dan memenuhi hak-hak terhadap mereka. Doa saya buat keduanya tidak pernah luput dalam munajat, rintihan dan doa pengharapan kepada Allah SWT
BroHamzah
Pengkalan Chepa I Kelantan Darulnaim
4 Mei 2011

Read more...

Hajat yang bersangatan - Ingin menatap wajahnya

Friday, April 29, 2011

" Hajatku ingin - Menatap wajah Baginda yang dihiasi nur keimanan dan kesolehan."

  • Akhir-akhir ini, rindu kepada Baginda Rasulullah SAW adalah perasaan yang benar-benar mekar di dalam jiwa dan nurani saya.
  • Tidak tahu mengapa perasaan ini hadir dalam sanubari saya yang paling dalam. Hajat yang bersangatan.
  • Hajat ini bermimpi, bertemu, bertentang mata, menatap dan melihat wajah insan yang mulia ini.- Ya Rasulullah SAW, aku ingin menatap wajahmu yang bercahaya itu.
  • Saya berdoa dan sentiasa berdoa agar peluang, ruang dan kesempatan itu sentiasa ada buat insan sekerdil, selemah dan sehina saya. Sebagai ummatnya, saya benar-benar ingin bertemu dengannya.
  • Bertemu - ingin sekali mengucup tangan lembut baginda sebagai tanda kasih, hormat dan mencintai baginda.
  • Menatap dengan penuh keimanan, keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT. Dan ingin mendengar mutiara indah daripada bibir baginda akan kalam nasihat dan peringatan buat diri.
  • Saya - benar-benar - ingin memeluk baginda, seerat-eratnya, semahu-mahunya dan ingin membisikan bahawa saya benar-benar kasih, cinta dan merindui baginda. Saat ini, air mata saya tertahan dan sebak membayangkannya.
  • Ya Rasulullah, redhailah aku sebagai ummatmu. Bimbingilah aku ke jalan syurga dan jadikanlah aku sebagai temanmu di jannah kelak.
BroHamzah
29 April 2011
Nibong Tebal I Pulau Pinang
11.04 Malam

Read more...

Hati bernanah itu sungguh menjijikan!

Thursday, April 28, 2011

Hati busuk, hanya ada pada manusia. Manusia yang bagaimana?

Hati yang bernanah itu sungguh menjijikan!
Oleh : BroHamzah

Sekadar meninggalkan jejak dipondok teduhan ini setelah lelah berkelana di dunia fana. Ada kalanya, pondok teduhan ini lebih “menyenangkan” daripada dunia realiti yang banyak ragam dan ujiannya. Namun, diri ini sedar kehidupan sebenar adalah – di dunia bukan maya!

Terusik hati, tergerak jiwa dan tersentuh nurani.

Benarkah?

Bergaul dan bersama manusia-manusia – adakalanya ia sangat-sangat melukakan. Hirisan demi hirisan jiwa yang terluka akan terasa keperitan, kepedihan dan kesakitannya. Lebih parah, jika ia membintik hitam, mengembung, mengelupas dan bernanah. Air nanah yang melekat pekat di celahan luka apabila dibiarkan ia akan bertambah parah dan mampu membinasakan. Nanah itu meleleh dengan warna-warna yang menjelekan dan ia kian membusuk menusuk hidung.

Jijik, kotor, jelek dan busuk!

Hati yang asal baik dan memutih, menjadi jijik dan meloyakan kerana hasad-hasad dengki dan perasaan khianat yang berbenih di permukaannya. Hasutan-hasutan jahat, bisikan-bisikan penuh hawa nafsu bercambah dan membiak seperti cendawan tumbuh seusai hujan. Bisikan suara-suara halus yang menyesatkan tertusuk dalam ke hati anak-anak adam sehingga sanggup menzalimi sesama sendiri dengan jalan-jalan yang hina, kotor dan merosakan.Bahkan kata-mengata, umpatan, cacian, hinaan dan sebaran fitnah yang melata menjadi perkara biasa dalam siulan harian mereka.

Keji-mengeji, hina-menghina dan jatuh-menjatuhkan berlaku di mana-mana!

Itulah dunia. Ia dipenuhi fitnah merata-rata , kerosakan di mana-mana, kebusukan dalam bermuamalat dan porak peranda dalam perhubungan. Manusia hilang kewarasan dalam melakukan pertimbangan malah sanggup melakukan apa sahaja akibat diheret dan diikat oleh tali kenafsuan. Sifat kebinatangan terzahir daripada wajah manusiawi dengan gugurnya satu persatu segala nilai kemanusiaan, asas keinsanan dan keluhuran budi pekerti. Manusia bukan lagi berwajahkan manusia, tetapi bertopengkan dua watak yang berbeza. Sisi gelap kehidupannya mulai meresapi jiwanya dengan kejahatan, penindasan dan pelbagai bentuk kezaliman terhadap manusia lain.

Jahat, dengki, zalim dan menindas!

Hilang segala-galanya yang dinamakan cinta, kasih sayang, nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan harga sebuah keamanan. Kedengaran di celah-celah saki baki kehidupan ialah iri hati, busuk nurani, mengadu domba, sebaran fitnah, herdikan penuh kebencian dan hemburan nafas kedustaan sesama manusia. Ruang udara yang harum dengan wangian persaudaraan, ukhuwah dan ruh kasih sayang tercemar, lantaran percikan bau-bauan nafas kebencian yang membusuk dan meloyakan.

Bahagia, damai dan tenteram!

Di manakah kebahagiaan dan ketenteraman yang menyejukan jiwa ini? Kebahagiaan yang menenangkan manusia dan mengharmonikan persaudaraan sesama manusia. Hati adalah tempat bertapaknya keimanan,keyakinan, kepercayaan dan kepasrahan kepada Allah SWT. Dan, hati jugalah tempat yang dihuni oleh hawa nafsu. Di dalamnya terdapat ruang-ruang untuk membiaknya perasaan kebencian, iri hati, dengki dan segala jenis perasaan yang merosakan jiwa manusia.

Usah biarkan kolam hati kita tercemar dengan racun-racun yang akan mencemarkan air-air jernih persaudaraan dan perhubungan sesama manusia. Racun yang meresapi dan mengakari akar nurani. Suburkanlah perasaan kasih sayang diantara manusia agar berputiknya kasih sayang dan perasaan hormati menghormati dalam ikatan kejiwaan ini.

Rawatan emergency kepada hati-hati yang bernanah ini harus disegerakan. Segala penawar, ubat-ubatan, pil-pil dan suntikan perlu diberikan dengan hikmah dan bijaksana. Membelek-membelek Al-Quranul Karim, Allah SWT memberikan hembusan kalam yang bermaksud :

“ Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim ( Al-Quran) itu hanya akan menambah kerugian.”

[ Al-Isra (17) : 82]

Coretan Seorang Hamba : -

• Manusia hari ini sudah hilang kepekaan dan sensitiviti mereka terhadap perkara-perkara ini : Dosa dan Pahala, Syurga dan Neraka.

Kejernihan langit kehidupan pada hari ini mulai keruh dengan warna-warna kedustaan, kezaliman, penindasan dan penderitaan. Manusia berlumba-lumba dan bermati-matian untuk mengejar keindahan, kenikmatan dan keseronokan “palsu” dunia. Sehingga ada yang sanggup memutuskan silaturahim, membuang ibu bapa dan adik-beradik sendiri dan ada yang lebih kejam dengan mengambil jalan mudah dengan “membunuh”!

Maruah dan harga diri manusia seolah-olah sudah terhakis kekebalan dan kemuliaannya. Manusia tidak lagi memandang penting, mulia dan hormat dengan nilaian kasih sayang, persaudaraan dan perhubungan keakraban sesama manusia. Keutamaan dalam kehidupan telah berubah – menjulang tuntutan hawa nafsu yang sememangnya tidak pernah kering dan habis!


BroHamzah
28 April 2011
Pengkalan Chepa I Kota Bharu
5.30 Petang



Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP