Apa khabar Pagi Anda?
Sesejuk embunkah ia?
Pagi.
Setiap pagi adalah hari yang
membahagiakan. Padanya ada embun yang menitis lembut lagi menyejukan. Dalamnya,
ada taman.Ya sebuah taman. Taman yang indah lagi mengharumkan.
Itulah setiap pagi dalam
hari-hari bagi sepasang suami isteri
ini. Pagi mereka adalah pagi yang menceriakan. Senyuman, sapaan, kehangatan dan
perasaannya serta jiwa yang sentiasa mendamaikan. Sang suami bahagia. Sang
isteri bertambah ceria. Lirikan senyuman sentiasa terukir di dinding bibir
mereka berdua tanpa paksa. Ia hadir dengan penuh suka!
“Bahagia + Ceria”
Itulah cerita cinta. Cinta yang
memayungi dua insan dalam pondok teduhan mereka. Ia sungguh teduh. Benar-benar
meneduhkan segala perasaan mereka kepada ujian, cabaran dan dugaan dunia. Cinta
ini mengakari kehidupan mereka.
Pagi mereka sentiasa dipenuhi
dengan segala warna-warni. Tetapi, ia berjaya disulami dengan keceriaan yang
berpanjangan. Sang suami bijak mengambil hati. Sang isteri pula sentiasa
memberikan layanan yang terbaik. Pendek kata, tiada apa-apa permasalahan besar
antara mereka berdua.
Gelak tawa, usik-usikan, saling
memainkan peranan dan terpenting – keduanya sangat memahami antara satu sama
lain. Wah! Indah sungguh kehidupan mereka.
Pagi itu.
Namun pagi itu, langit sangat suram.
Entah mengapa, tsunami dahsyat melanda bahtera mereka tanpa dipinta. Sang
isteri berubah angin secara mendadak. Tiada signal atau apa-apa petanda.
Sang suami terpinga-pinga tidak tahu punca.
Pagi itu.
Tiada suara bermanja-manja antara
duanya. Tiada sarapan pagi seperti biasa. Pakaian yang tersedia untuk dipakai
juga, bersangkutan berkedut tanpa seterika. Terdiam sang suami. Sang isteri
melancarkan mogok besar-besaran. Puas di minda menggali punca, namun fikirannya
kian buntu tanpa cahaya.
Pagi itu.
Sang suami berduka. Wajah muram. Makanan
sarapan dimasaknya sendirian tanpa peneman. Baju kerja juga diseterika dengan
penuh kesabaran. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah semua ini? Apakah salah
aku?
Sang isteri berdiam senja di
kamar tanpa suara. Hatinya benar-benar kecewa kerana satu kesalahan sang
kekasih hati. Tapi, dirinya gagal menyuarakannya. Harapannya, agar sang kekasih
jiwa hadir memohon kemaafan dan memujuk dirinya. Main perasaan bercampur baur.
Pagi itu.
Sang suami ingin berlalu pergi.
Tapi, kali ini tanpa pengiring ke muka pintu. Tiada lagi ucapan salam, ciuman
kasih dan pelukan daripada kekasih hatinya. Dirinya terpaku seketika. Saat itu,
air matanya tertumpah tidak sengaja. Mata berkaca-kaca. Tapi, ditahan jua.
Lalu terkeluar suaranya
samar-samar kedengaran :
“ Assalamualaikum, cinta.
Maafkan abang…”
Langkahan kakinya menapak pergi
dengan jiwa yang sugul.
Sinaran cahaya yang menghangatkan perasaan kasih di awal pagi.
Pernahkan kita merasainya?
Pagi itu.
Sang isteri sendirian. Pagi ini
tidak seperti pagi-pagi biasa. Tiada sentuhan cinta daripada kekasihnya. Tiada
salaman, belaian dan kucupan. Dirinya rasa bersalah. Betulkah tindakan aku ini?
Ah, biarlah dulu. Nanti petang oklah tu. Hatinya memujuk diri sendiri.
Pagi kian meninggi. Sang isteri menanti
panggilan atau sms sang suami, selalunya jika ada apa-apa : pasti ketukan
mesejnya berbunyi. Namun, hampa – kali ini benar-benar sunyi lagi sepi.
Sang suami memandu menuju ke
suatu destinasi yang tidak pasti. Rupa-rupanya, hatinya sangat sedih. Namun, dipendam
rasa hatinya. Air mata bercucuran membasahi pipinya yang kering.
Pagi berlalu pergi
.
Tiba-tiba terbunyi sesuatu.
Sang isteri teruja. Kedengaran sahutan
bunyi daripada telefon bimbitnya. Memanggil-manggil dari jauh. Sang isteri
berlarian kecil menuju ke meja kecil tempat tersimpan telefon tersebut. Dia
sedikit hampa kerana bukan ringtone kekasih hatinya. Terpapar di skrin :
Siapa ya? Tergetus hatinya. Punat
hijau ditekan.
“ Assalamualaikum !,” Ujarnya.
“ Hello, ini Puan Cinta kah?
Isteri kepada Encik Kasih?,” Suara itu bersuara.
“ Ya. Saya Puan Cinta,”
Jawab Sang Isteri berdebar.
“ Begini Puan, maaf
mengganggu. Boleh, puan ke Hospital Bandaran sekarang? Suami puan kemalangan…
bertembung trak. Suami puan sangat parah.. icu… darah banyak.” Suara itu
samar-samar sahaja.
“ Hah…,” Sang isteri
terkejut.Genggaman tangan longgor. Telefon bimbitnya terlepas ke lantai.
Pagi itu.
Pagi itu – rupa-rupanya adalah
titik akhir kisah cinta mereka. Ia berlalu tidak seperti hari-hari biasa. Tanpa
luahan kasih dan tanpa lambaian cinta di jendela bahtera. Air mata berhamburan
lagi bercucuran.
Tiada kata bagi mereka. Tiada
kalimah buat mereka. Lalu, kisah ini terakam lagi tersimpan kukuh bagi mereka
yang ingin mengerti lagi memahami!
“ Abang, maafkan Cinta…”
--------------------
BroHamzah
Apakah semua ini?^^
0 comments:
Post a Comment