Kisah Benar : Surat-surat Suci

Sunday, April 29, 2012



Ia bukannya sebarangan "surat".




Kisah Benar : Surat-Surat Suci

Bismillah, terlintas dihati untuk berkongsi sebuah kisah dengan sahabat pembaca. Bukan kisah biasa-biasa, tetapi kisah yang pernah meninggalkan pengaruh dan bekasnya pada jiwa saya.

Begini kisahnya.

Ada sebuah keluarga yang sangat bahagia dan wajah ahli-ahlinya sentiasa dihiasi dengan keceriaan dan kegembiraan. Keluarga sederhana. Seorang ayah, seorang ibu berserta empat orang anaknya. Hidup mereka aman, tenteram dan saling kasih mengasihi.

Suatu hari, sang ayah terpaksa keluar merantau ke luar negara untuk mencari nafkah dan mempertingkatkan lagi pendapatan ekonomi keluarganya. Dirinya sedar, ahli keluarganya kian bertambah dan membesar. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk merantau di negeri orang.

Maka, tinggallah si isteri dan anak-anaknya di rumah. Mereka sebenarnya begitu berat untuk berjauh dengan ayah mereka. Ini kerana, mereka sangat-sangat mencintai, mengasihi dan menghormati ayah mereka yang sangat penyayang itu.

Setelah berada di perantauan yang nun jauh di benua timur sana, sang ayah mulai menghantar surat kepada keluarganya yang dirindui saban waktu. Mana tidaknya, berpisah itu perit rasanya – tetapi apakan daya, dengan tujuan mencari sesuap nasi, pengorbanan ini harus dilakukan. Harapnya, agar surat itu mampu menjadi pengganti dirinya buat seketika.

Ahli keluarganya menerima surat pertama dengan penuh cinta dan suka. Berbunga-bunga hati mereka melihat surat daripada insan yang mereka sayangi tiba di perkarangan rumah. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Dikucup-kucup sebagai tanda rindu. Wah! – Terasanya perasaan itu benar-benar terubat. Itulah penangan rindu! Masing-masing memeluk dan menciumnya bagaikan tidak mahu berpisah dengan surat itu.

Kemudian surat yang berharga itu, disimpan rapi dalam pembalut berwarna emas-keemasan yang indah sekali. Di samping itu, disembur dengan bauan pewangi yang sangat harum. Sekali sekala, sampul itu dikeluarkan dari pembalut untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian, ia akan disimpan semula dengan penuh penjagaan dan penelitian.

Hari demi hari berlalu, tibalah surat kedua, ketiga dan seterusnya daripada ayah mereka. Seperti biasa, surat-surat itu dijaga penuh rapi seperti surat pertama.

Beberapa tempoh masa pun berlalu. Maka, sang ayah pulang daripada perantauannya itu untuk menemui keluarga yang tercinta. Langkahannya dipenuh perasaan rindu yang membuak-buak ingin menatap setiap wajah ahli keluarganya dan terasa ingin memeluk mereka untuk melepaskan kerinduan.

Setiba di rumah.

Alangkah terkejutnya dia, apabila mendapati tiada seorang pun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan perasaan tertanya-tanya dan cemas dia bertanya :

Untuk mengetahui kisah selanjutnya, layarilah : 


Read more...

Potensi Diri - Harus Tertingkat !

Thursday, April 26, 2012



Menggilap setiap potensi yang ada. Untuk manfaat deen Islam.

Bismillah,

Sunnatulah alam ini ia mengalami perubahan dan akan terus berubah. Begitu juga dengan kita sebagai manusia. Kita berubah dari suatu fasa ke suatu fasa. Perubahan itu perlu dilalui. Jika tidak, kita akan mengalami ketidaknormalan dalam kehidupan.

Tahun ini adalah tahun yang begitu mencabar kewibawaan dan keupayaan diri saya. Kelihatan biasa-biasa sahaja. Tetapi, banyak perubahan yang berlaku dalam hidup. Antara perkara yang mengubah saya :

            Beralih fasa menjadi seorang ayah.
         Perubahan bidang tugas dalam kerjaya.
      Perlu lebih giat berkongsi ilmu di tempat kerja, kolej-kolej dan masjid.

Boleh dikatakan ia berlaku serentak. Ramai yang menyatakan saya boleh lakukannya serentak. Saya cuba menerima dan gagahkan diri. Melawan kelemahan, kekurangan dan ketidakupayaan diri.  Namun, ada saat-saatnya : saya rebah seketika.

Jatuh, saya bangkit.
Terasa lemah, pujuk diri.
Tidak tahu, saya belajar.
Diuji, saya kuatkan diri dengan bersabar.
Tersungkur, terus tabahkan dengan solat & doa.



Dr Abdullah Sudin Ab Rahman, Tokoh yang disegani di bumi Serambi Makkah

Dan, semakin meningkat usia – semakin banyak perkara yang saya pelajari. Namun, disebalik ini hikmahnya saya semakin belajar pengalaman-pengalaman, santunan dan ilmu-ilmu daripada syuyukh yang lebih berusia daripada saya.

Hari ini, semakin banyak hikmah, himmah dan ibrah yang saya timba daripada seorang tokoh murabbi – Dr Abdullah Sudin Ab Rahman. Bagi yang mengenali secara dekat, dia adalah seorang yang berpandangan jauh, berwibawa dan punyai karismatik sebagai pemimpin yang disegani.

“ Anta perlu cepat membesar dan perlu cepat matang. Kena banyak belajar, belajar dan cepat belajar. Tingkatkan potensi diri secara serius,” Itu nasihatnya saban waktu.

Melihat sendiri, kesibukannya mengurus beberapa organisasi, memenuhi pelbagai tanggungjawab dan amanah yang digalasnya, beliau tetap kuat dan bersabar dengan bermacam-macam ujian dan cabaran  yang timbul. Bagi saya, bukan calang-calang orang yang mampu berbuat demikian. Tidak mengenal kelelahan, kepenatan dan keletihan – beliau sentiasa optimis dengan kerja-kerja yang beliau gerakan. Semoga Allah SWT rahmati beliau dalam setiap langkahan, keputusan dan amanah yang dilaksanakannya.

Target saya semenjak dulu ialah, sebelum berumur 30 tahun – saya hajat untuk bersama para tokoh murabbi dan syuyukh selama yang boleh untuk mengutip mutiara hikmah mereka, menyantuni kehidupan mereka serta belajar sebanyak boleh tentang “seni” kehidupan yang tidak boleh dicari atau dibaca melalui mana-mana buku atau karya-karya penulisan.

Kerana itu, masa muda ini – saya peruntukan untuk “membina” kehidupan saya daripada “mengikut” kehidupan yang ada. Ia kelihatan sukar, payah dan penuh cabaran. Tetapi, inilah harga yang perlu dibayar agar saya cepat matang, dewasa dan berdikari.

Santai-santai Sahaja

Hujung minggu ini, saya bermusafir  ke Kuala Kumpur. Ada beberapa destinasi serta tugasan yang perlu disegerakan. Salah satunya ialah, untuk mempertingkatkan potensi dan kemahiran yang ada dalam diri saya. Antara kemanisan dan kelazatan dalam hidup ialah, saya mencabar diri untuk melakukan suatu perkara yang tidak pernah terfikir untuk saya galasi dan lakukan. Saya jadikan ia suatu cabaran buat diri!

Dan, seperti tahun-tahun yang lepas saya tidak pernah melepaskan peluang berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Tahun ini, saya masih berniat yang sama. Menghirup udara buku-buku yang sudah pasti membuatkan para pencinta buku teruja seketika.

Di minda, terdapat beberapa buah buku yang akan saya belikan. Walaupun, bajet tahun ini semakin berkurang dan menurun – saya akan usahakan untuk mendapatkan diskaun dengan kadar terbaik dan berbelanja dengan penuh hemah.

Zaujati selalu mengusik : “ Bila lah buku abang nak ada di rak kedai buku atau pesta buku ini?,”

Saya tersenyum. Hendak berangan-angan, boleh. Nak bercita-cita pun boleh. Dalam hati, hanya ingin berkongsi melalui dunia penulisan, jika medium cetakan buku juga mampu merealisasi target audien insyaAllah - apa salahnya, meluaskan potensi ke arah itu.

BroHamzah
26 April 2012
Bersiap Menempuh Hujung Minggu Ini
Di Bandaraya Kota Metropolitan – Kuala Lumpur.

Read more...

Jujurlah Dengan Diri, Betapa Lalainya Kita

Monday, April 23, 2012


Daerah Kebaikan - Ia bermula subur dengan benih-benih 
nasihat-menasihati dan tegur-menegur.



Dengan Nama Allah SWT, kita mulakan perkongsian ini.

“ Sesiapa yang tidak sedar dirinya lalai, dia sebenarnya sedang lalai!,” – Murabbi Tarbiyah.

Benar, kelalaian adalah penyakit hati yang menghinggapi kebanyakan kita. Kelalaian yang akan membawa kita kepada suatu jurang yang menjarakan  antara kita dan Allah SWT. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sering terpedaya dan tertipu.

Lalai – itu barah yang merbahaya. Bermula hal kecil-kecil ia akan mengundang bencana yang dahsyat. Lalai juga, telah membuatkan ramai manusia dari ummat terdahulu sehingga kini menyimpang daripada kebenaran dan jalan yang lurus.

Lalai boleh bermula daripada hal-hal yang kecil. Sesuatu yang dekat dan hampir dengan kita. Perkara yang selalu dilakukan dan dikerjakan.

Lalai dengan perkara-perkara yang harus. Lalai dengan kebanyakan perkara yang kita lakukan. Lalai dengan hiburan-hiburan yang asalnya mubah. Lama kelamaan, ia mengasyikan sehingga kita lupa asas keutamaan dalam diri.

Lalai dengan bentuk-bentuk hiburan kejiwaan. Lagu-lagu yang melalaikan. Hiburan sinetron, drama lelehan air mata, filem-filem aksi yang berlambakan dalam pasaran dan majalah-majalah picisan yang menghaburkan fitnah-fitnah melata.

Lalai dengan isteri, anak-anak dan keluarga. Itu pernah terjadi dan disebut oleh Allah SWT di dalam kalamnya. Terpesona dan terpana hingga yang wajib dipandang sepi.

Lalai dengan kejayan, kemenangan dan kegemilangan yang dianugerahi oleh Allah SWT. Terusik dengan pujian, pujaan dan penghargaan.

Lalai dengan kemahsyuran, kepopularan dan sebagainya terhadap diri kita. Tanpa sedar, ujub dan riak hadir bersarang di hati sendiri. Terasa diri diagung-agungkan sehingga lupa dataran dan lautan.

Lalai dengan pandangan, cetusan dan pendapat diri sendiri. Berkeras, mengeras dan ego tidak berkesudahan. Lalu, terperangkap dengan apa yang diwar-warkan.

Lalai dengan amal-amal yang banyak, tersebar dan diiklankan. Tanpa sedar, amal sebegitu juga mampu merosakan jiwa dan merencatkan proses peningkatan diri. Keikhlasan luntur dan akhirnya, tersasar daripada matlamat yang suci.

Lalai dengan kesibukan-kesibukan harian yang terus menerus berlalu tanpa henti. Sehingga kita bergerak umpama robot memenuhi semua tuntutan hidup yang tidak berkesudahan. Berkejar-kejar sehingga kelelahan, kepenatan dan kelesuan.

Dan, sesungguhnya banyak lagi kelalaian kita yang tidak diungkapkan atau disenaraikan.
Justeru, apakah yang kita dapat daripada hal ini?

Kita adalah manusia yang tidak terlepas daripada kekhilafan, kesalahan, kesilapan dan kemaksiatan. Justeru, marilah sama-sama kita belajar mendidik hati untuk menerima teguran, berlapang dada kepada nasihat dan peringatan serta terus menerus belajar merendahkan diri.

Kerana apa?

Kerana inilah kunci kepada “pelebur” kelalaian. Kita perlukan kata-kata, teguran, nasihat dan apa jua peringatan daripada mereka-mereka yang alim lagi berhikmah, berilmu, berpengalaman, berusia  dan lebih dewasa daripada kita.

Bukankah Allah SWT telah berfirman dalam kalamnya :

" Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh, dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.



( Surah Al-Asr 103 : 1-3)

Wahai sahabat pembaca, alangkah manisnya hidup ini sekiranya kita dapat bersua muka, tegur -menegur, nasihat- menasihati dan ingat-mengingati dalam suasana persaudaraan yang penuh keamanan. Saat itu, segala-galanya kita curahkan kerana Allah SWT tanpa sebarang kepentingan dan rebutan beralaskan gemerlapan dunia.

Saat itu, keikhlasan dan kejujuran adalah modal ukhuwah ini. Ketahuilah, dunia hari ini sudah kehilangan suasana insan yang bersilaturahim, berkasih sayang dan bersahabat kerana Allah SWT. Yang ada, berkawan, bergeng dan berkenalan kerana “projek”, kerana kepentingan “masa hadapan”, kerana hal-hal dunia yang tidak berkesudahan dan kerana hal-hal yang melalaikan.

Justeru, sahabat pembaca – diri ini perlukan sahabat, teman dan taulan yang sudi memimpin tangan ke lorong Ilahi, menegur jika diri ini kealpaan menguasai diri  dan menarik tangan ke landasan andai tergelincir hingga terseliuh "kaki".

Masihkah, ada yang sudi?

BroHamzah
1 Jamadilakhir 1433 H
23 April 2012
Buat Kita Yang Sentiasa Lalai 

Read more...

Titik Mula Untuk Berubah

Friday, April 20, 2012

" Di antara perkara yang boleh membawa kepada dosa adalah kelalaian.
Ia adalah titik penghalang untuk memacu perubahan pada diri."


-------------------------------------------------------------------------

“ Menuju Perubahan”
“ Bergerak Memacu Perubahan.”
“ Berubah Untuk Masa Hadapan.”

Banyak benar slogan, motto dan laungan berkisar “perubahan” sejak akhir-akhir ini. Jauh disudut hati, saya juga ingin sentiasa berubah ke arah lebih baik. Fitrah manusia, dalam dirinya pasti cenderung untuk melakukan anjakan, paradigma dan kelainan dengan meningkat lebih baik, maju dan berwawasan. Semua kita, ingin dan berhajat untuk berubah. Namun – di sana ada benteng-benteng penghalang yang menjarakan antara kita dengan pintu perubahan.

Justeru itu, apa yang perlu kita buat?

Saya masih ingat, seorang murabbi saya menyebut tentang perubahan. Jika kita ingin melakukan perubahan, kita perlu jelas dan fahami akan hakikat perubahan itu sendiri. Hampir semua orang ingin berubah, namun setelah masa berlalu mereka masih di tahap yang sama. Oleh itu, kita bukan sekadar merasa perlu berubah tetapi kita juga perlu tahu kenapa kita perlu berubah, apa perubahan yang perlu kita lakukan dan bagaimana perubahan itu patut bermula.

Inilah persoalan-persoalan awal yang perlu kita jawab sekiranya benar-benar ingin berubah.

Titik mula melakukan perubahan, kata murabbi saya ialah :

“ Kenali kelemahan, keaiban dan kekurangan diri kita.”

Itu asasnya. Sedarkah kita bahawa kita ini sebenarnya insan yang lemah, kerdil lagi hina ?

Sekali sekala air mata ini berguguran jua. Sekuat mana kita, sekental mana fizikal luaran kita dan segagah mana daya tahan perasaan yang ada, akhirnya kita bagaikan “terpaksa” - akur bahawa kita sebenarnya insan yang sangat – sangat kerdil, hina dan lemah.

Ujian demi ujian. Dugaan demi dugaan serta musibah yang bersilih ganti hadir mengusik setiap sanubari kita. Apabila musibah itu tiba, maka sedarlah diri kita bahawa sesungguhnya, kita sangat-sangat berhajatkan kepada Allah SWT. Ya, dalam segala hal, tindakan dan peristiwa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ (Oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah Yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam Segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”

( Al- Fatir 35 : 15)

Inilah tandanya dan signalnya : kita sangat-sangat perlukan Allah SWT. Kita ini sangat-sangat lemah!

Justeru, berhentilah seketika. Saat itu, kita perhatikan insan-insan di sekeliling kita dan amatilah setiap wajah mereka. Ketika itu, rehatkan juga minda kita. Dan – koreksi diri kita sedalam-dalamnya. Lihatlah hati kita yang berada di dada kita. Bersihkah ia? Jernihkah ia? Atau sebaliknya? Semua ini adalah titik mula untuk mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang tercalit pada diri kita.

Pengalaman Untuk Berubah

Sejak akhir-akhir ini , saya mulai berlawan dengan suatu perkara yang begitu dekat dengan diri saya. Saya mulai perasaan akan beberapa perkara yang menganggu dan menyekat diri saya untuk meningkat. Apabila saya berbincang dengan zaujati, salah satu yang melalaikan saya ialah memiliki akaun muka buka atau facebook. - Laman sosial yang digilai ramai saat ini. Lama saya berfikir & bermuhasabah, jujurnya saya telah dilalaikan oleh facebook. Saya tidak kuat untuk mengendalikan facebook dalam kehidupan saya.

Walaupun, jarang mengemas kini status, melayari ke akuan rakan-rakan lain dan sebagainya. Bagi saya, - diri ini telah dilanda ketagihan bermuka buka yang belum pernah saya alami sebelum ini. Banyak kesan buruk facebook kepada saya. Dan paling mengesani saya ialah, saya terbaca dan terambil tahu tentang berita-berita, status-status dan perkara-perkara yang tidak perlu saya tahu dan virus-virus facebook yang melanda suatu masa dahulu sehingga memaparkan imej-imej yang tidak senonoh! Luka hati saya.

Banyak rakan-rakan & adik-adik, mulai kongsikan permasalahan mereka dengan keburukan facebook dan perangkap-perangkapnya. – Salah memahami maksud status yang membawa perselisihan faham, tercetusnya hubungan percintaan terlarang, penggunaan yang merosakan dan sebagainya. Ada juga terperangkap dengan kononnya – saling menasihati kawan-kawan – tetapi terselindung maksud yang buruk di sebaliknya.

Setiap hari saya akan melayarinya, sehingga mengganggu dan merencatkan tugasan harian saya yang lebih utama. Saya kata bahawa saya lalai dengan facebook apabila saya menggunakannya lebih daripada 1 jam sehari. Bagi saya, itu terlalu membazirkan masa!

Apa kesan kelalaian ini?

Saya mulai rasa lain ketika solat, - hilang kekhusyukan. Membaca Al-Quran tidak lagi manis. Ibadah di awal Subuh mulai suam-suam sejuk. Masa menatap Al-Quran, berzikir dan tadabur ayat-ayat Al-Quran kian kurang dalam kehidupan.

Justeru, saya berbisik kepada diri - saya ingin berubah kerana masih banyak perkara yang perlu saya lakukan. Masya-Allah, ketahuilah betapa sukarnya untuk mengurangkan masa saya bersama facebook. Saya menjadualkan semula kehidupan dengan hanya membuka akaun facebook hanya di sebelah malam dengan peruntukan masa hanya sejam sahaja. Tetapi saya gagal.

Lalu hujung bulan lepas, - Bulan Mac- saya mulakan dengan deactivekan akaun facebook sehingga kini. Pada peringkat awalnya, ia kelihatan drastik – saya tumpang juga untuk lihat apa maklumat berkaitan dengan menggunakan akaun zaujati saya & lama-kelamaan jarang-jarang membukannya. Dan, alhamdulillah ia menunjukan kesan yang sangat positif!

Mungkin, menutup akuan itu adalah jalan yang terbaik buat saya.

Bagi saya, walaupun ianya kelihatan kelakar, simple dan melucukan. Tetapi, itu realiti kehidupan. Itulah lemahnya saya.

Saya semakin tenang tanpa facebook, dikeliling status-status yang tidak perlu saya tahu, dan apa-apa yang berhubung kait dengannya. Maaf, bagi saya inilah titik kelemahan yang menyebabkan saya sukar meningkat selama ini.

Kelemahan saya ialah : Kelalaian!

Hakikatnya, bukannya salah itu pada facebook. Tetapi diri saya, gagal menguasai hati, jiwa dan diri untuk bertindak mengikuti keimanan, ketaqwaan dan kefahaman yang benar. Justeru, setakat ini – inilah jalan yang terbaik buat saya.

Andai bagaimana? Inilah salah satu pengalaman saya dalam titian perjalanan untuk berubah dan terus meningkat. Berubah meninggalkan perkara yang boleh merosakan dan merencatkan pembangunan diri saya. Dan – terima kasih buat zaujati yang sentiasa memberikan nasihat dan peringatan. Alhamdulillah, zaujati mampu mengendalikan diri dengan baik dalam berfacebook. Kagum saya!^^

“ Dalam hidup kita, banyak perkara yang kita perlu korbankan untuk meningkat. Terutamanya, meninggalkan perkara-perkara yang kita sayangi. Apatah lagi, jika ia adalah sesuatu yang aib,” Nasihat murabbi saya suatu masa dahulu.

“ Kita semua memiliki keaiban-keaiban yang sangat kita sayangi kerana hawa nafsu. Justeru, tinggalkan ia secara berperingkat-peringkat. Mungkin, setiap kita tidak sama kekuatan dan kudratnya. Tetapi, berusahalah dengan mengikis kelemahan-kelemahan yang ada,” Ujar murabbi lagi.

Bagi yang memiliki facebook, saya tidak menyatakan kalian bersalah atau apa-apa. Tidak sama sekali, itu hanya secebis pengalaman saya yang lemah dan kerdil yang gagal menguasai diri serta berdisiplin dalam mengemudi alat teknologi untuk manfaat diri. Itu sahaja.

Kalian, mungkin bijak serta cermat menggunakan facebook. Maka teruskan memanfaatkannya, serta menggunakannya untuk kebaikan dan kebenaran. Saya hanya berkongsi akan “gagal”nya saya dalam hal ini. Teringat akan artikel saya berkaitan facebook pada tahun lepas, hari ini Allah SWT uji akan apa yang saya catat dan tulis dahulu. Allah!

Saya masih berjuang, dan akan terus berjuang untuk berubah serta mengekalkan momentum perubahan buat diri kerana saya hajat ingin meningkat dalam perjalanan menuju Allah SWT. Dan, mohon maaf atas kekurangan, kelemahan dan kekerdilan hamba Allah ini.

BroHamzah
20 April 2012
Menerima Teguran Dengan Jiwa Yang Lapang
Ingin Pulang Sebagai Hamba Allah SWT,
Dengan Penuh Kasih Sayang

Read more...

Allah Sangat-Sangat Sayangkan Kita

Monday, April 16, 2012

" Allah SWT Menyayangi Hamba-Nya Melebihi Kasih Sayang Seorang Ibu
Terhadap Anaknya."



Bismillah. Bismillah. Bismillah.

“ Abang, banyakan perkara yang kita lalui sepanjang minggu ini,” Zaujati bersuara.

Saya berada bersebelahan dengannya, terdiam sejenak. Mengimbas beberapa perkara yang kami lalui bersama. Sesungguhnya, setiap perkara yang berlaku mempunyai ibrah, hikmah dan pengajaran buat hamba-hamba Allah SWT yang beriman.

Bermula jaulah kami ke Terengganu – menziarahi seorang sahabat saya yang dikesani menghidapi kancer di Kemaman, sehingga pulang ke Kelantan dan Allah SWT izin anak kami ditahan di wad untuk pembedahan kecil membuang nanah bisul di badannya. Semuannya, memberikan didikan yang berharga buat kami sekeluarga.

Saya terkedu ketika melihat sahabat saya, Mughirah menyambut kehadiran kami dengan wajah yang ceria. Pada awalnya, saya seolah-olah tidak mengenalinya. Berubah benar wajahnya. MasyaAllah. Namun, sahabat saya tabah dan gagah tekadnya. Beliau semangat berkongsi cerita tentang apa yang dilaluinya dan beliau redha dengan apa yang Allah SWT tetapkan kepadanya. Semoga Allah SWT kuatkannya.

Pengalaman kami di hospital, berkenalan dengan seorang kanak-kanak istimewa berusia 4 tahun - tidak boleh cakap dan jalan. Hanya boleh senyum dan menangis bagai seorang bayi. Allah SWT izin ibu jari kakinya terputus terkena rantai motor ayahnya. Namun, kami kagum melihat kesabaran dan kesungguhan ibu dan ayahnya berusaha meraih syurga dengan menjaga dia penuh kasih sayang dan perhatian.

Pengalaman zaujati di hospital, berkenalan dengan seorang bayi 7 bulan yang lahir tanpa kerongkong. Tidak boleh minum susu seperti bayi lain. Dia sentiasa menggunakan tiub untuk makan semenjak daripada hari pertama kelahiran. Kami kagum melihat ibu dan ayahnya yang sangat sabar dan tabah dengan ujian ALLAH itu.

Dan, pengalaman zaujati di hospital juga, berkenalan dengan seorang bayi 11 bulan yang lahir tanpa usus besar dan dubur. Dia terpaksa melalui pembedahan beberapa kali. Hospital sudah menjadi rumah keluarganya yang kedua. Kagum melihat ibunya yang sangat redha dengan keadaan anaknya sehinggakan masih boleh tersenyum ceria, dan berkongsi tazkirah dengan kita.

Subhanallah. Melihat diri dan anak kami yang diuji tidak seberapa, terasa angin keinsafan berhembus syahdu dalam hati. Sungguh ALLAH menguji hamba-hambaNya sesuai dengan tahap iman dan kemampuannya.

“ Itulah tarbiyah,” Ujar saya membuat kesimpulan.

“ Yang dinamakan tarbiyah atau tarbawi itu apabila semua perkara yang kita lalui mampu kita hubungkan dengan Allah SWT. Peristiwa itu menyentuh hati dan jiwa kita,” Tambah saya ketika dalam perjalanan pulang dari hospital.

“ Apa yang abang dapat daripada semua ini?,” Soal zaujati.

“ Satu sahaja, betapa sesungguhnya – Allah SWT sangat-sangat sayangkan kita semua. Kerana itu segala musibah, ujian dan dugaan hadir dalam kehidupan kita sebagai hamba-Nya.” Balas saya.

Ujian itu tarbiyah daripada Allah SWT.
Musibah itu juga didikan daripada Allah SWT.

Kesakitan, penderitaan, kepayahan dan segala bentuk ujian-ujian Allah SWT adalah jalan-jalan yang mampu mendekatkan kita kepada Allah SWT jika kita melihatnya dengan pandangan serta kaca mata keimanan.

Mak selalu mengingatkan kami :

“ Apabila Allah SWT berikan kesakitan kepada anak kecil kita, sebenarnya Allah SWT bukan hendak menguji anak kita tetapi Allah SWT ingin menguji keimanan, kesabaran dan sangka baik ayah dan ibunya.”

Perjalanan kami sebagai seorang abi dan ummi baru bermula. Anak kami ini baru 3 bulan. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari terutama daripada mak-mak dan abah kami. Kini, kekuatan, ketabahan, kesabaran dan kecekalan mereka membesarkan kami – menjadi inspirasi untuk membesar & mendidik anak kami ini.

Kami sentiasa belajar untuk respon dan bertindak balas dengan setiap ketentuan Allah SWT dengan jiwa dan hati yang dipenuhi dengan keredhaan dan kepasrahan kepada Allah SWT.

Kami masih belajar dan akan terus belajar. Dan, kami harus kuat kerana kami sentiasa yakin :- Allah SWT sangat-sangat sayangkan kami.

Abu Mukhlisah dan Ummu Mukhlisah
16 April 2012
Seusai discharge dari Wad Anggerik,
Hospital Raja Perempuan Fauziah,
Kota Bharu, Kelantan.

Read more...

Kita Ikut Tarbiyah, Untuk Apa?

Thursday, April 12, 2012


" Tarbiyah bukanlah segala-galanya,
tetapi segala-galanya dapat diraih dengan tarbiyah."

( Sheikh Mustafa Mashyur)

Taman syurga kami mengharum lagi. Haruman semakin mewangi.

“Orang Mukmin itu sentiasa merindu suasana iman dan ukhuwah. Dan merekalah yang berusaha membinanya.”

Murabbi memulakan madah pertemuan kami malam itu. Sambil mengungkapkan kalam-kalam nasihat dan peringatan buat santapan rohani kami.

“ Ke mana sahaja, antum pergi dan berhijrah nanti – teruskanlah proses tarbiyah yang telah antum ikuti dan jalani ini. Teruskan menikmati kemanisannya dan sebarkanlah kepada orang lain.”

Aku terdiam seketika. Tiba-tiba, terkeluar dari lidahku suatu soalan secara spontan.

“ Murabbi, kenapa kita perlu lalui semua ini?,” Soalku.

Murabbi merendahkan dadanya, lalu ditegakan badannya semula. Tenang sahaja.

“ Akhi, kita ikuti tarbiyah, supaya Allah SWT sayang kepada kita!,” Ungkapannya meresap ke hatiku.

Aku berhenti seketika, berfikir panjang.
________________________________

Apa itu tarbiyah? Apa yang kita faham tentangnnya?
Atau, - kita sebenarnya masih di pinggaran proses tarbiyah?

BroHamzah
20 Jamadilawwal 1433
12 April 2012
Bersiap Melangkau Sempadan Kelantan – Terengganu.
Misi Ziarah Merapat Ukhuwah.

Read more...

Cinta Berusrah : Kemanisan Yang Kian Menghilang

Tuesday, April 10, 2012

" Cahaya Iman memancar pada wajah yang memiliki
nur Allah SWT di jiwa dan hatinya."


Bismillah, dengan kalimah ini kita memulakan amal dalam setiap detik kehidupan ini.

Semenjak dua ini, saya merasai kehilangan sesuatu dalam langkah mengikuti arus perjalanan waktu. Terasa kekadang - hilangnya sentuhan perasaan yang suatu saat dahulu ianya memberikan ketenangan, ketenteraman dan kebahagian kepada jiwa ini.

Hari demi hari, kehidupan ini disantuni dengan kesibukan. Betul, setiap daripada kita sentiasa sibuk , sibuk dan sibuk.

Tanyalah kepada sesiapa pun. Perdana Menteri sibuk, timbalannya pun sibuk, Ketua Eksekutif sebuah syarikat juga sibuk, pensyarah pun sibuk hatta jika disoal kepada tukang sapu sampah pun – dia akan menyatakan : “ Saya sibuk!.”

Justeru, apa yang perlu kita soal dan persoalkan ialah ke manakah kesibukan ini melorongkan kita? Di manakah destinasi yang kita tuju dengan kesibukan yang kita kerjakan ini?

Semalam, saya dan zaujati mengawalkan masa Usrah Cinta kami kerana beberapa faktor. Kami sentiasa berusaha untuk wujudkan suasana bagi menyuburkan iman dalam halaman rumah tangga ini, agar kesibukan kami dalam meniti kehidupan tidak berlalu tanpa ketidakterikatan bersama-sama Allah SWT.

Prinsip kami :

Rumah tangga ini harus dihubungkan dengan Allah SWT.
Usrah ini, tiang binaannya ialah kecintaan kepada Allah SWT.

Jika hal ini diremeh-remehkan, maka kami akan kehilangan segala-galanya dalam kehidupan ini. Saya memulakan bicara dengan menyatakan bahawa :

“ Abang rasa kekosongan jika tiada Allah SWT ada hati, malah perasaan itu akan terus menerus menghilangkan jiwa – jika kita mengabaikan perkara ini.”

Saya memetik sebuah kata-kata daripada Imam Hassan al-Basri RA berkaitan amalan soleh yang tidak mampu memberikan pengaruh, bekas dan kesan kepada si pelakunya. Apa katanya ?
Katanya :

“ Carilah kemanisan hidup ini dalam tiga perkara :- dalam solat, dalam dzikir dan dalam membaca Al-Quran. Jika kalian tidak mendapatkannya, maka ketahuilah bahawa pintunya dalam keadaan tertutup.”

“ Jika abang melalaikan hal-hal ini, Solat , Al-Quran dan Dzikir. Mohon ingatkan abang,” Ujar saya.

Perkongsian semalam, lebih kepada gejala kelesuan iman. Kami sama-sama berbincang, berkongsi, bertukar-tukar pandangan dan memberikan solusi agar apa yang dibicarakan mampu diamalkan.

Dan, salah satunya perkara yang mungkin sudah lama diremehkan dalam menguatkan hubungan hati dengan Allah SWT ialah memperbanyakkan munajat kepada Allah SWT. Hal ini, rentetan daripada perkongsian menjadi generasi sajjad (bersujud) pada usrah cinta minggu yang lalu.

Munajat – ia adalah rayuan, curahan perasaan, cetusan hati nurani dan berbisik-bisik dengan Allah SWT bagi memperkukuhkan hubungan Allah SWT. Ia adalah bekalan bagi manusia dalam menghadapi kemelut kehidupan yang tidak sunyi daripada kesulitan, kerungsingan, kelemahan, ketakutan, kesengsaraan, penyeksaan dan kezaliman.

Munajat – adalah dialog, bingkisan perasaan dan luahan jiwa yang punyai kekuatan yang ampuh terutamanya di saat keheningan dan kesyahduan malam yang gelap gulita. Hamba yang jujur lagi ikhlas – merendahkan dirinya menghadap Rabb-Nya dengan jiwa yang mengharapkan belas ihsan, pergantungan dan bantuan daripada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu.”

( Al-Mukmin 40 : 60)

Bermunajat :-

Alangkah besarnya hajat kita kepada Allah SWT agar Allah SWT :

(1) Menyapu bersih hati kita daripada pelbagai penyakit hati dan jiwa.

(2) Memandang kepada kita di tengah-tengah malam dengan pandangan redha.

(3) Membuka bagi kita pintu rahmat-Nya, melalui kejayan dan kemenangan.

(4) Menghapuskan karat-karat pada hati dan menyinarinya dengan Nur Al-Quran.

(5) Membekali kita dengan bekalan iman yang dapat meneguhkan kita pada jalan ini.

(6) Menyirami hati dengan air kesejukan yang mendamaikan nurani.


Itulah pentingnya, munajat!

Dalam didikan ini, kita amat-amat berhajatkan kepada munajat, rintihan dan doa kepada Allah SWT. Ia adalah asas kepada pembentukan jiwa yang sentiasa berhubungan rapat dan punyai kehangatan hubungan dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut.”

( Al-A’raaf 7 : 55)

Jujurnya, inilah kemanisan yang kian menghilang dalam diri kebanyakan daripada kita.

Tanyalah diri kita, bilakah kali terakhir kita duduk tersimpuh menadah tangan bermunajat kepada Allah SWT dengan penuh hina dan insaf mengenang akan diri kita yang kerdil ini?

Soallah diri kita, bagaimanakah kita bersikap dengan tuntutan munajat ini? Adakah merasainya sebagai suatu keperluan atau bebanan?

Suatu yang harus diamati sedalamnya, buat para daie’ yang dicintai!

Sesungguhnya kemampuan pengurusan, pentadbiran, ketelitian dan kerapian dalam berorganisasi mahupun bergerak semuanya itu tidak berguna di dalam amal dan usaha di atas jalan dakwah, apabila tidak disertai dan dikuasai dengan bekalan rohani dan kekuatan hubungan dengan Allah SWT.

Kerana inilah prasyarat untuk melayakannya mendapat taufiq Allah dan memeliharanya daripada kesalahan, penyelewengan dan penipuan. Justeru, munajat itulah jalannya dan wasilahnya untuk mencapai bekalan ini.

Ditengah-tengah usaha, amal dan gerak kerja di atas jalan ini, syaitan dan iblis sentiasa masuk campur serta berbisik-bisik lalu menimbulkan persengketaan dan perselisihan di antara pekerja-pekerja dakwah. Setelah terjadinya kecelaruan ini, kadang-kadang susah untuk mendamaikan antara mereka.

Dan, hanya hati-hati yang benar-benar ikhlas, jujur dan bersih sahaja akan merasa pilu, sedih dan dukacita melihat suasana demikian. Lalu, apakah penawarnya bagi merungkai permasalahan ini? Jawapannya ada - dengan munajat kepada Allah SWT.

Oleh itu masa yang terbaik dan teristimewa dalam bermunajat ialah menjelang fajar, sebaik sahaja si hamba Allah SWT itu menunaikan Qiyamullail dan solat tahajud. Itulah saat-saat yang menggugah jiwa sang hamba.

Sahabat pembaca budiman,

Munajat itu : –

(1) Perlukan keikhlasan hati yang sepenuhnya kepada AllAH SWT.

(2) Melupakan segala yang lain daripada-Nya.

(3) Berhias dengan perasaan hina diri sang hamba kepada Allah SWT.

(4) Dikuasai oleh rasa kelemahan, kekurangan tenaga & upaya lantas dari
yang Maha Kuat.

(5) Suasana yang diselubungi oleh perasaan takut dan gerun kepada Allah SWT.

(6) Takut dan takut dari siksaan-Nya.

(7) Mengakui segala dosa dan kecuaian yang telah dilakukan terhadap hak Allah SWT.

(8) Merayu-rayu dengan segenap kebulatan hati semasa meminta keampunan kepada Allah.

(9) Medan untuk memohon hidayah, petunjuk dan pertolongan daripada-Nya.

(10) Saat terbaik untuk meminta keteguhan jiwa dan istiqamah pada jalan kebenaran.

Saudara budiman,

Berusaha, beramal dan bergerak di atas jalan dakwah bermakna pekerja mesti melaporkan setiap amalan dan hasilnya kepada Allah SWT yang menguasai segenap urusan dan yang memberikan ganjaran di atas amal hamba-Nya.

Ya Ilahi, Aku menuju pintu-Mu dalam kesunyian malam tatkala manusia sedang tidur nyenyak untuk aku meminta kepada-Mu lalu Engkau memberi kepadaku. Inilah seorang fakir yang benar-benar memerlukan-Mu, yang datang mengetuk-ngetuk pintu yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah.

Ya Ilahi, Ya Rabbi. Berikanlah aku kekuatan untuk bermunajat, merintih dan bermanja-manja bersamamu.

Ya Rabbi, Ya Ilahi. Aku merindu saat yang penuh manis, lazat dan indah itu. Titipkanlah kelazatan itu, agar jiwa ini akan terus menerus merasai kehangatan bermesra dengan-Mu.

BroHamzah
11 April 2012
Muhasabah, Audit & Koreksi Perjalanan Hidup
Allah SWT itu adalah segala-galanya!

Read more...

Usrah Cinta : Titik Terdekat Kita Dengan Allah SWT

Friday, April 6, 2012

Ada suatu saat, kita benar-benar hampir dan dekat dengan Allah SWT.
Carilah titik itu, agar kita terus menyayangi dan disayangi oleh Allah SWT.


Bismillah, perkongsian ini dilampirkan.

Malam itu, usrah cinta kami diteruskan seperti biasa. Walaupun, mata benar-benar berat bagaikan digamkan oleh sesuatu – kami sepakat meneruskannya. Saya mulakan dengan sebuah cerita.

Ada sebuah kisah. Tercatat utuh dalam sirah.

Seorang sahabat Rasulullah SAW, Rabiah bin Kaab namanya. Beliau berkongsi pengalaman ketika bermalam bersama junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW pada suatu malam.

“ Diwaktu malam, aku menghampiri Rasulullah SAW dengan menghantarkan air wudhu dan beberapa keperluan yang lain.”

Lalu, Rasulullah SAW bertanya kepada ku dengan penuh lemah lembut :

“ Apa yang engkau cita-citakan, wahai Rabiah?,”

Rabiah membalas dengan penuh penghormatan :

“ Aku ingin menemanimu di Syurga!,”

Rasululllah SAW bertanya lagi :

“ Selain itu, wahai Rabiah?,”

Rabiah menjawab :

“ Sama sahaja Ya Rasulullah, aku hanya ingin menemanimu di Syurga.”

Rasulullah SAW dengan wajah yang tenang mengatakan :

“ Jika demikian, bantulah aku untuk mewujudkan apa yang engkau inginkan itu dengan memperbanyakan sujud.”

( Hadis Riwayat Muslim)

Ketika kami menyelusuri sirah ini, luluh hati dengan sentuhan perasaan yang mendalam. Banyak ibrah, pengajaran dan tauladan yang kami amati dalam sirah yang ringkas ini. Betapa mendalamnya, kecintaan seorang sahabat kepada baginda Rasulullah SAW, dan sesungguhnya cita-cita kehidupannya begitu konkrit pada dirinya.

Lalu, Rasulullah SAW memberikan panduan yang pada hakikatnya ianya, sangat berguna dan bermanfaat buat kita semua. – Ia itu melipat gandakan usaha untuk meletakan dahi kita ke tanah, dalam rangka sujud merendahkan diri di hadapan rabbi!

Sahabat pembaca yang budiman,

Sujud, adalah simbol ketundukan, ketaatan, pergantungan dan kepasrahan kita kepada Allah SWT.

Sujud itu, adalah tanda hancur leburnya semua benih keegooan, kesombongan dan keangkuhan yang tertanam dalam diri kita di hadapan kuasa Allah SWT.

Dan, sujud itu juga, ialah perakuaan bahawa kita adalah hamba yang kerdil, hina dan lemah!

Banyak bersujud, merupakan kehidupan dan amalan para Rasul, sahabat dan generasi salafusoleh. Mereka mencintainya dan gemar bersujud. Bahkan daripada sujud ini, mereka memperolehi kelazatan, kemanisan dan kenikmatan yang tiada taranya.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata : “ Bagiku dunia ini tiada mempunyai apa-apa nilai kecuali kerana tiga perkara :-

Pertama, di dunia aku boleh mengutip mutiara ilmu di dalam majlis ilmu .
Kedua, di dunia aku boleh meletakan dahiku ke tanah untuk sujud menyembah Allah SWT.
Dan, ketiga, di dunia ia bernilai kerana aku boleh berjihad di jalan Allah SWT.

Bahkan, Ali bin Abdullah bin Abbas, salah seorang tokoh generasi Tabi’in, mendapat gelaran dan jolokan sajjad kerana ia adalah orang yang sangat gemar melakukan sujud. Diriwayatkan, Ali Bin Abdullah Bin Abbas dalam satu hari mampu melakukan sujud lebih daripada 100 kali.

Allah SWT memerintahkan kepada makhluk yang paling dicintainya, Rasulullah SAW dalam firman-Nya : “ Wasjud Waqtarid”Dan sujudlah dan dekatlah kepada Allah SWT. ( Surah Al-Alaq : 19).

Maka, sujudlah dan mintalah kepada Allah, apa sahaja kebaikan yang kita inginkan. Kerana, ketika sujud, kita berada di titik terakhir yang paling hampir dan dekat dengan Allah SWT. Jelas, seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW :

“ Posisi seorang hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam posisi sujud.”

( Hadis Riwayat Muslim).

Sahabat pembaca yang dimuliakan,

Sujud syukur, sujud tilawah, atau sujud dalam solat – semuanya adalah kesempatan, peluang dan ruang untuk kita berada sangat dekat dengan Allah SWT. Kerana itu, bersegeralah untuk bersujud, jika kita hajatkan ketenangan , kebahagian dan ketenteraman.

Ketika kita terumbang ambing dengan tekanan kehidupan, terlentur dengan banyaknya ujian serta dugaan kehidupan dan kita ingin keluar daripada cengkaman kesulitan itu, maka bersujudlah.

Di saat kita terseret oleh kedahsyatan arus dunia yang menggila dan tenggelam serta terbawa oleh gelombang kesibukan dan gemerlapnya dunia – maka datanglah mendekat dan menghampir kepada Allah SWT dan sujudlah.

Ada waktu, kerinduan kita menguat kepada Allah SWT. Terasa dalam buah kecintaan kepada-Nya. Maka datanglah menghadap kepada Allah SWT, dan sujudlah kepada-Nya.

Namun, lidah kita sering beralasan :

Keletihan, kelelahan dan kepenatan dalam mengejar dunia, selalu menjadi kita manusia yang menjuarai pentas tipu daya dunia. Kita bergerak bagaikan robot yang diprogram untuk “sibuk”, “sibuk” dan “sibuk” dengan keindahan dunia.

Kesibukan, kekalutan dan keterikatan dengan rutin kerja harian, sering menjauhkan kita daripada Allah SWT. Lalu, amalan-amalan yang dilakukan hanya menjadi bebanan yang memberatkan. Justeru, tanyalah diri kita – dimanakah Allah SWT di dalam hati kita?

Jika kita hamba yang jujur dan sejati, carilah jawapan dalam sujud kita. Melatih diri dengan memperuntukan masa untuk merendahkan diri menyentuh tanah di dahi – adalah suatu amalan yang akan merawat segala kemelut jiwa yang kita alami selama ini.

Hancurkanlah sekecil mana pun kesombongan kita di hadapan-Nya. Hempaskanlah semua kebanggaan yang melekat di dinding-dinding hati kita.

Rasailah keadaaan hampa, pasrah dan penuh berserah sepenuhnya dalam detik demi detik di titik sujud yang kita lakukan. Benamkanlah seluruh perhatian dan pemikiran pada suasana khusyu’, tunduk, taat, patuh, hanya kepada Allah SWT.

Saudara dan sahabat pembaca sekalian, cubalah dengan sentiasa bersujud kepada-Nya, insya Allah kalian akan memperolehi sesuatu yang belum pernah kalian rasai dan alami.

----------------------------------------------------------

Nota : Bahan saya petik dan olah daripada buku yang dipinjam daripada murabbi saya yang bertajuk Mencari Mutiara di Dasar Hati, Catatan Perenungan Rohani tulisan Muhammad Nursani.

BroHamzah
6 April 2012
Bahan perkongsian Usrah Cinta bersama Zaujati
Diteratak teduhan tumpangan kami
Kampung Paya Batu, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim.

Read more...

Jenuh dan jemu dengan Tarbiyah?

Monday, April 2, 2012

Perubahan, perubahan dan perubahan.
Sejauh mana kita menuju kepada fasa-fasa perubahan yang diharapkan.


Kenapa jemu, jenuh dan bosan dengan Tarbiyah?

Sudah lama kita duduk dan berada dalam Medan Tarbiyah. Ada setahun, ada 5 tahun dan bahkan ada sudah melebihi 10 tahun ke atas. Sedar atau tidak - kadang-kadang timbul rasa jemu dengan Tarbiyah. Rimas, bosan, jenuh dan hilang keghairahan untuk terus tetap bersama-samannya.

Lebih mudah lagi, kita sudah hilang kemanisan, kelazatan dan kenikmatan bersama-sama melalui proses tarbiyah.

Kenapa? Kenapa hal ini boleh terjadi?

Ini merupakan persoalan yang perlu kita renungkan dan cari jawapannya. Jika kita benar-benar meyakini jalan yang kita lalui sekarang iaitu jalan Tarbiyah dan Da’wah. Persoalan ini jika tidak dijawab ianya mungkin akan melemahkan, melunturkan dan menyebabkan kita rasa jemu untuk terus bersama dalam Medan Tarbiyah. Kita mungkin tidak dapat Istiqamah dalam Medan Tarbiyah.

Mustafa Masyhur menyebut; “Tarbiyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyah.”

Ini menjelaskan kepada kita bahawa Tarbiyah bukan matlamat/Ghayah kita tetapi merupakan wasilah untuk kita mencapai Ghayah Kubra iaitu Mardhatillah. Tarbiyah adalah wasilah utama untuk kita sampai kepada matlamat kita. Tanpa melalui proses tarbiyah kita tidak akan sampai kepada matlamat yang dicita-citakan.

Proses tarbiyah ialah proses untuk mempersiapkan rijal-rijal yang akan mendokong Deen Allah swt. Hanya melalui tarbiyah, peribadi mukmin akan dibina; iaitu peribadi yang menyedari dan merasai tuntutan-tuntutan iman kepada Allah swt.


Sebagaimana juga Dakwah, Jalan Tarbiyah ialah jalan yang panjang, berliku-liku dan mempunyai banyak tahapan. Jika kita hanya berada di satu tahapan sahaja tanpa ada peningkatan maka kita akan merasa jemu dengan tarbiyah. Namun begitu untuk meningkatan diri kita dari satu tahap ke satu tahap yang lain kita perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.

Akan tetapi yang pastinya tarbiyah menuntut kepada amal; iaitu amal yang akan membuka hijab kita kepada suatu dimensi baru dalam tarbiyah. Suatu dimensi yang hanya akan dirasai oleh mereka-mereka yang telah beramal dengan fikrah yang ada padanya.

Di sinilah akan berlakunya satu peningkatan dalam proses tarbiyah. Ini adalah kerana tarbiyah kita ialah Tarbiyah Mas’uliah. Kita tidak ditarbiyah hanya untuk menjadi penyokong Islam ataupun pemidato-pemidato, penceramah-penceramah atau pensyarah-pensyarah yang boleh melemparkan kata-kata yang boleh menyebabkan manusia ta’ajub dan terpesona dengan Islam.

Tetapi Tarbiyah kita ialah untuk melahirkan pendokong-pendokong Islam atau Rijal-Rijal Aqidah yang akan mengubah suasana yang mungkar kepada suasana yang ma’aruf dengan penuh keihklasan dan menggunakan kaedah-kaedah atau uslub-uslub yang benar. Kita inginkan daripada proses ini :

(1) Terbangunnya jiwa-jiwa yang hidup, kuat dan teguh.

(2) Hati-hati yang segar dan memiliki semangat yang berkobar-kobar.

(3) Jiwa-jiwa yang tidak pernah berputus asa dan sentiasa merindukan tercapainya cita-cita Islami serta bekerja keras dalam usaha-usaha menuju ke sana.

Ia melahirkan rijal-rijal yang tahan diuji, sanggup menghadapi pelbagai mehnah kesusahan dan rela untuk berkorban. Rijal yang menjuarai medan beramal melebihi medan berkata-kata atau berslogan semata-mata!

Suatu perkara yang harus tertanam di dalam jiwa dan dada kita ialah :

Kerja-kerja merawat dan memulihkan ummat yang rosak serta kerja-kerja membina suasana ma’aruf dalam suasana manusia bangga dengan kemungkaran adalah kerja-kerja yang besar dan memerlukan persediaan dan bekalan yang banyak.

Kita yang merasa taklif Rabbani ini tidak akan merasa jemu dengan Tarbiyah bahkan kita disetiap masa sentiasa berhajat kepada tarbiyah kerana hanya dengan tabiyah kita dapat membina kekuatan-kekuatan dan menyediakan bekalan-bekalan yang secukupnya.

Analoginya mudah; jika kita hendak melakukan kerja-kerja yang ringan tentu kita hanya berhajat kepada bekalan-bekalan yang sedikit. Tetapi jika kita sedang menuju kepada suatu destinasi yang jauh untuk suatu pekerjaan yang besar, tentunya kita berhajat kepada bekalan-bekalan yang banyak.

Justeru, semua yang berada dibawah payungan tarbiyah harus bersinergi dalam segala kekuatan yang dimiliki untuk mempersiapkan diri dalam melahirkan rijal yang sebenar-benarnya rijal. Rijal yang dibayangan sebagai rijal yang berjiwa besar, punyai potensi yang besar dalam memimpin ummah dan bersiap siaga untuk melaksanakan perubahan.

Bukannya, perubahan yang biasa-biasa yang ingin direalisasikan, tetapi perubahan yang menyeluruh!

Sinergi Kekuatan, Memacu Perubahan!

BroHamzah
10 Jamadilawal 1433
2 April 2012
Negeri Serambi Mekah
Tanah Rendah Sekebun Bunga.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP