Pilihan : Bernafas dalam udara dakwah

Tuesday, May 31, 2011

Dakwah adalah cinta, cinta akan meminta semuanya dari dirimu


Artikel Pilihan : Bernafas dalam udara dakwah

Tulisan-tulisan yang menjadi pilihan saya. Ia menggugah perasaan dalaman yang membangkitkan jiwa yang kehilangan sesuatu yang menghairahkan. Umpama rawatan kepada jiwa yang lesu, hambar dan kosong.

Syukran buat sahabat yang menukilkannya. Saat ini, saya membacanya dengan penuh minat, penghayatan dan jiwa yang mencari kekuatan.

BroHamzah


Bernafas dalam udara dakwah

Oleh : Afdholul Rahman
Blog Penyejuk Jiwa
http://tinninun-alislam.blogspot.com

Oksigen kehidupan itu segar lagi menyegarkan. Ia nadi utama dalam memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik.

Tiada ia, maka tidak berfungsilah paru-paru.
Bila-bila paru-paru tidak berfungsi, maka yang lain akan turut sama terencat.

Kehebatan sistem ciptaan Allah, saling menyokong dan mendokong satu sama lain.
Hikmah dan pengajaran terbesar buat kehidupan insani.

Dalam kehidupan ini, jika oksigen itu adalah sesuatu yang urgen dan penting bagi tubuh manusia, maka ada juga sesuatu yang sangat urgen dan sangat penting untuk roh manusia.

Jika tiada ia, maka roh kita juga bakal sesak nafas. Sesak nafas, tenggelam kelemasan dalam lubang jahiliah.

Oksigen dakwah.

Ia adalah udara segar buat sang daie’. Orang-orang yang berada di jalan Allah dan menyeru kepada-Nya.

Hilang ia akan menghilangkan seluruh kenikmatan hidup ini.
Bila dakwah tidak digerakkan, terasa keresahan yang begitu melemaskan jiwa.

Bila dakwah senyap tidak gencar, maka ia jadi risau tidak boleh duduk diam.
Kerana dia telah bernafas dengan udara segar itu, menjadikan ia resah dan risau bila sekali saja dalam kehidupannya, nafas itu terhenti kerana leka dan lalai.

Hakikatnya, bukan mudah menjadi DAIE’ sejati.

DAIE’ sejati itu cintakan dakwah, bukan berdakwah untuk melaksanakan rutin harian semata.

Bukan berdakwah atas nama seorang ‘Pendakwah’ semata.

Hatta dia seorang doktor, jurutera, peguam atau apa sekalipun pekerjaannya, maka bila cinta kepada dakwah, merasakan urgensi untuk bernafas dalam kehidupan dakwah, maka pasti dia akan menjadikan dakwah sebagai KERJA UTAMA dalam kehidupan.

Kata Al-Marhum Ust Rahmat dalam movie Sang Murabbi, “Ramai orang bisa berdakwah, tetapi berapa ramai yang bisa CINTA kepada dakwah?”


DAIE’ PERLU MENGINSAFI DIRI


Seorang daie’ perlu menyedari betapa besar dan berharganya amanah yang dipikulnya.

Kenapa?

Kerana seorang daie’ itu bukan semata-mata bertanggungjawab ke atas dirinya, bukan juga atas keluarganya sahaja, tetapi memegang tanggungjawab atas ummat ini.

Sesuatu yang berharga, sesuatu yang besar tidak mungkin akan terbayar melainkan dengan pengorbanan dan harga yang tinggi.

Justeru, seorang daie’ tidak akan mampu bergerak seorang diri untuk melaksanakan tanggungjawab sebesar ummat ini.

Bergerak seorang diri hanya akan merugikan nafas dakwah ini. Bila lemah, tidak sihat, sakit dan sebagainya, tidak ada sokongan dan dorongan untuk terus bergerak.

Bila diserang, diancam, dihina, tidak ada sahabat untuk mempertahankan.

Akhirnya, diam terus menyepi. Semangat yang dulu gencar, sudah hilang terbakar.

Kerana bergerak seorang diri itu lebih banyak mengundang bencanalah, Rasulullah s.a.w. memberi contoh supaya kita mencari sahabat dan kumpulan yang memiliki kefahaman yang sama untuk bersama-sama membangunkan semula Islam.


DUNIA YANG SENTIASA MEMPERDAYA

“Daie’ yang lemah hubungannya dengan Allah, akan disingkirkan daripada kafilah dakwah.”

Saya petik kata-kata ini daripada seorang murabbi.

Banyak faktor yang mengakibatkan lemahnya hubungan dengan Allah. Antara faktor terbesar itu adalah dunia yang sentiasa memaut hatinya.

Seorang daie’ tidak boleh memandang dunia terlalu lama.

Kata murabbi saya, “ Daie’ yang melihat dunia lama-lama, dia adalah daie’ yang dhoif.”

Apa maksud melihat dunia terlalu lama?

Adakah duduk, memperhatikan burung, gunung dan sebagainya itu?

Bukan.
Yang dimaksudkan di sini adalah mengambil kenikmatan dunia itu terlalu banyak sehingga melalaikan dan melupakan kita daripada tugas dan tanggungjawab sebenar.

Daie’ perlu buang rasa cinta kepada dunia. Daie’ yang cinta kepada dunia, tidak akan mampu memberi kesan kepada hati orang lain baik dalam ucapan mahupun syaksiahnya.

Orang yang dalam hatinya ada dunia, mampukah memberikan nilai akhirat kepada hati orang yang ada dunia juga di dalamnya?

Tidak. Kerana masing-masing memiliki dunia, nilai fana yang sama, sedang nilai akhirat itu nilai yang abadi !

Dunialah yang bakal menggugurkan daie’ dari perjalanan mulia ini.


Dunia jugalah yang menghilangkan keselesaan bekerja untuk Islam, mewujudkan rasa selesa untuk terus duduk berehat dan menikmati dunia.


Dunialah yang meragut rasa cinta DAIE' terhadap dakwah ini !


PENUTUP : WAHAI DAIE’, KITA PERLU BEKERJA!

Siapapun diri kita, kita perlu bersiap sedia untuk memproses diri supaya menjadi seorang daie’.

Daie’ sejati akan simpati, sedih dan bimbang melihat keadaan ummat.

Ia tidak menyalahkan kerosakan yang ada, tetapi ia akan kembali melihat dirinya yang mungkin masih belum maksimum usaha ataupun mungkin masih belum buat apa-apa!

Daie’ perlu turun ke medan amal. Turun untuk dilukai.

Memang itulah kerja daie’ . Ia mendapat luka demi ummat. Apalagi yang lebih besar daripada itu?

Kita perlu bangun, bekerja dan terus mengajak. Jika duduk berehat, tidak menghadapi masalah, kita hanya akan lebih banyak teoritikal daripada praktikal.


Ilmu lebih banyak dalam catatan, tetapi sedikit yang digunakan.


Rugi. Sangat merugikan. Proses tarbiyah yang dilalui seorang daie’ hanya akan menjadi excessive waste sahaja bagi dirinya.

Bahan lebihan (tarbiyah) yang menjadi buangan? Terima banyak, buat kerja cuma sikit sahaja atau tak buat langsung.

Samalah seperti kita makan. Makan banyak jika tidak gunakan untuk bekerja, hanya akan menjadi tenaga lebihan dalam badan. Akhirnya, malas dan tidurlah ubatnya !

Yang bernama DAIE’ tidak mungkin menzalimi dirinya sebegitu!

Read more...

Kemahuan jiwa

Sunday, May 29, 2011

Kemahuan yang tegar, teguh, kuat dan luar biasa - Ia adalah kata kunci segala bentuk hasrat, kejayan dan cita-cita.


Kemahuan jiwa
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saya sampaikan ucapan penghormatan dan salam penuh kasih sayang sesama insan beriman buat kalian para pengunjung, pambaca dan sahabat-sahabat yang budiman. Semoga terus menerus berada dalam payungan dan teduhan keimanan kepada Allah SWT. InsyaAllah.

Penghargaan buat semua – anda yang sering berteduh – di teratak maya saya ini, terima kasih kerana ingin berkongsi ilmu, pengalaman, pengetahuan dan apa jua yang ada pada kalian bersama saya. Alhamdulillah, semoga Allah SWT memberkati, merahmati dan menyayangi kalian semua dengan kurniaan nikmat yang pelbagai.

Tinta maya

Saya tiada apa-apa untuk dinyatakan pada saat ini, cuma dengan perasaan kerdil, rendah diri dan penuh perhambaan kepada Allah SWT ingin memohon maaf dan ampun andaikata perkongsian dan penulisan saya sebelum ini – ada yang tidak bermanfaat dan tidak berguna – kepada sidang pembaca.

Saya bukanlah alim ulama’, atau cerdik pandai, mahupun individu yang kaya dengan muatan ilmu serta hikmah. Bahkan jauh sekali ahli akademik dan tokoh ilmuan yang sarat dengan mutiara pengetahuan yang bersimbah.

Bukan juga, seorang yang layak digelar imam, mursyid atau maulana serta – rasa begitu kerdil dengan sapaan seorang “ustaz”. Bukannya seorang yang tafaquh (mendalami) bidang deeniyah secara penuh, rasmi dan dalam. Bukannya, berlatarbelakangkan pendidikan syariah mahupun usuludin seperti rakan-rakan, teman-teman dan sahabat-sahabat ustaz yang lain. Mereka begitu berterampilan dan bersahsiah sebagai individu berilmu dan mengoperasikan keilmuan mereka.

Tidak fasih berbahasa Arab, bukannya mahir dalam pentafsiran Al-Quran, juga tiada ilmu dalam bidang ulumul hadis. Tidak menekuni secara serius dalam ulum fiqh yang menjadi disiplin ilmu yang terpenting zaman berzaman. Bukan juga ahli huffaz Al-Quran yang menghafal, mentadabbur dan menjiwai kalam Allah dengan penuh perasaan serta jiwa. Itulah potret diri saya.

Saya masih bertatih, mungkin juga lebih sesuai disebut – merangkak- dalam apa jua bidang keilmuan. Sedang teman-teman lain, berlarian dalam medan ini. Bersungguh-sungguh tanpa jemu, bosan dan henti. Saya? – Entah la. Tiada kepakaran, malah tidak layak untuk memberi pandangan mahupun dijadikan tempat rujukan. Itulah kesedaran yang saya rasai.

Sesuatu yang menggerakan

Namun, jauh disudut hati saya punyai sesuatu. Sesuatu yang menggerakan saya untuk menganalisis, membaca, menaip, menulis dan berkongsi idea, pandangan, cetusan, perasaan dan pengalaman dengan kalian.

Saya punyai kemahuan. Kemahuan yang lahir daripada kesedaran yang membuak-buak di dalam nurani saya. Kesedaran yang mencetuskan kemahuan. Kemahuan yang bukannya, sekadar-kadar sahaja. Tetapi, kemahuan yang sangat kuat. Ia begitu meluap-luap dalam kolam api jiwa saya. Kalian nampakkah?

Kemahuan dan hasrat yang kuat untuk berkongsi dengan kalian. Dengan sesiapa sahaja. Berkongsi apa yang saya lalui, timba dan rasai dalam kehidupan ini. Kemahuan inilah yang menggerakan jiwa saya untuk sentiasa membakarkan semangat dalaman saya untuk terus teguh dan kuat untuk berkongsi.

Saya gagahkan diri untuk mencintai buku, pembacaan dan penulisan. Setiap kuliah pengajian, tazkirah, ceramah dan apa jua ilmu yang disampaikan - saya catatkan ia sekemas yang mungkin dalam buku catatan saya. Menulisnya dengan cermat, halus, penuh teliti dan minat.

Rujukan utama saya dalam menulis adalah Al-Quran, kitab-kitab Hadis dan kitab-kitab tulisan para ulama muktabar yang soleh, warak dan penuh dengan ilmu. Itulah yang utama. Disamping, penulis-penulis yang menjadikan rujukan utama saya ini sebagai sandaran.

Setiap kali menulis, buku-buku ini akan dijadikan panduan, telaahan dan semakan.Oleh itu saya akan membukanya semula untuk mencari sumber rujukan, idea dan cetusan. Saya petik setiap ayat-ayat, kata-kata dan mutiara hikmah yang dicatat di dalamnya kepada kalian.

Begitu juga dengan buku-buku yang tidak banyak yang sempat saya baca, telaah dan tekuni. Kerana kelemahan dan kedhaifan diri, banyak yang dibaca selalu – hilang begitu sahaja -. Saya terlupa. Lalu, saya buka dan semak balik buku-buku dan kitab-kitab yang pernah dibaca.

Itulah saya, hanya mampu memetik, menyalin dan mentransfer semula apa yang dicatat dan dibaca dalam setiap perkongsian artikel dengan kemampuan yang ada. Itulah saya. Hamba Allah yang kerdil, hina, dhaif serta punyai seribu bahkan jutaan kelemahan dan kesalahan.

Hamba lemah pohon maaf

Mohon ampun atas segala kesalahan, kesilapan, kecuaian dan ketidakcermatan dalam berkongsi serta menulis. Saya akui akan hakikat ini. Saya benar-benar merasainya dengan penuh ketundukan dan perasaan bahawa saya ini termasuk dalam golongan yang tidak layak. Tiada kelayakan!

Justeru, jadikanlah perkongsian saya ini sebahagian daripada perkongsian yang melengkapi proses kehidupan kalian. Harapan saya, kalian juga dapat memberikan teguran, kritikan dan apa jua pembetulan agar saya berada dalam laluan yang benar dan betul. InsyaAllah.

Ia tidak meluntukan, melemahkan dan menidakan saya untuk terus berkongsi. Bahkan ia adalah ingatan, peringatan dan satu kejutan bermakna agar saya benar-benar serius dalam berkongsi sesuatu ilmu, pengetahuan dan pengalaman. Teringat suatu pepatah :

“ Orang yang tidak punyai sesuatu, ia tidak akan dapat mengisi sesuatu.”

Inilah inspirasi, motivasi dan cetusan lonjakan dalaman buat saya.

Sekali lagi, mohon maaf kepada yang sering bertanya melalui emel, blog, facebook atau SMS. Setiap kali menerima pelbagai soalan, pertanyaan dan apa jua permohonan pandangan – saya terkaku. Benar-benar tidak arif dan mampu untuk menjawabnya. Selalu saya akan menjawab :

“ Mohon maaf, saya kurang tahu dan arif dalam hal ini.”

“ InsyaAllah, saya akan merujuk kitab dan individu yang lebih arif, alim dan dithiqahi (dipercayai).”

Itulah saya.

Itulah yang kudrat yang termampu. Itulah saya. Saya sentiasa cuba untuk berkongsi dengan perkongsian yang terbaik.

Moga Allah SWT mengampuni saya, kelemahan-kelemahan, kelalaian-kelalaian dan kesalahan-kesalahan saya yang begitu melaut. Dosa-dosa, maksiat-maksiat dan kealpaan-kealpaan saya.

Mudahan Allah SWT jua, merahmati dan mengampuni kalian semuanya. Harapannya agar kita terus menerus berada dalam landasan dan jalan yang benar. InsyaAllah.

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
30 Mei 2011


Read more...

Malam yang kelam itu

Wednesday, May 25, 2011


Disebalik kegelapan, kekelaman dan kesunyian malam, Ia telah membuka pintu cahaya yang terang buat hati-hati yang dikasihi -Nya.


Malam yang kelam itu
Oleh : BroHamzah


“Inilah cetusan nuraniku,”

Monolog sepi seorang pemuda.

Dia ingin berkongsi jiwa.

Pemuda yang dahulu keras dan kaku hatinya terhadap seseorang. Bahkan, titian nuraninya dengan insan lain tidak berbekas dan bersambung. Jiwanya tipis dengan ruh kasih sayang. Atmosfera jiwanya tidak meruap dengan kehangatan cinta terhadap manusia yang hidup berdampingan dengannya.

Namun, segalanya berubah dengan izin-Nya. Langit yang sebelumnya kelam dan suram, kini awanan berarakan pergi memberikan laluan kepada cahaya yang bersinar terang. Inilah ibrah buat jiwa-jiwa yang gersang.

Kisahnya bermula di suatu awal pagi yang kelam pekat. Saat insan asyik dibuai mainan mimpi yang indah lagi mempesonakan.

Aku tersedar dari lenaan yang panjang. Sungguh, semalam sangat memenatkan dan melelahkan.

Terjaga dari ulitan tidur yang nyenyak, aku terdengar sayup-sayup kokokan ayam jantan dan bunyi kicauan burung yang menenangkan fikiran.Terasa hati ini berbunga-bunga lembut. Bagaikan hembusan angin sepoi-sepoi yang menyentuh kulit dengan penuh kedinginan dan kesejukan yang enak.

Mataku dialihkan ke dinding rumah usang milik peninggalan arwah ayah. Rumah yang telah lama ditinggalkan saban tahun. Hatiku sudah tawar untuk pulang ke teratak buruk selepas peristiwa yang menguriskan jiwa yang lara. Ah, biarkan semua itu berlalu.

Jam menunjukkan pukul 3.00 pagi menandakan waktu masih awal sebelum masuk waktu subuh. Langit tenang namun tidak menampakan taburan bintang yang bergemerlapan indah.

“ Mungkin hendak hujan,” Getus hatiku.

Aku turun ke telaga untuk menyucikan diri. Air yang jernih itu, sangat-sangat sejuk menusuk sehingga ke tulang putih yang dalam. Simbahan air itu mengalir menyeluruh ke tubuhku. Curahan air itu, ku sambut dengan belaian yang lembut ke seluruh tubuh dengan keharuman sabun “ Zaitun”. Luar biasa perasaan ku kali ini, seolah-olah inilah pertama kali aku sebegini.

“ Nyamannya...” Hatiku terus bermonolog sendirian.

Kotak memoriku bagaikan memutarkan kisah-kisah silam sepanjang aku membesar dirumah ini. Kisah-kisah hitam putih kehidupan yang memeritkan, menyakitkan dan memenuhi segenap kelukaan hati. Aku benci semua ini! Ia sangat-sangat pedih untuk diimbas.

Setelah usai mandi, aku bergerak menuju ke bilikku. Langkahanku kemas menuju ke sana. Melewati suatu sudut di ruangan rumah dan bebola mataku terpaku kepada suatu arah. Kelihatan, ada insan sedang bersunyi-sunyi dalam suasana yang gelap di ruangan tamu. Suara yang serak-serak basah dan sayup-sayup kedengaran penuh syahdu. Langkahku terhenti. Telingaku memfokuskan sesuatu.

Selang seling dengan esakan dan tangisan yang bersangatan. Aku amati dengan teliti, itu adalah ibuku. Ibu yang aku tinggalkan buat sekian lamanya.

Ibu sedang solat tahajud sambil menangis bermunajat kepada Allah. Tiba-tiba, bagaikan suatu perasaan yang lembut tertiup lembut dalam perasaan ku.

Aku terasa sebak. Entah mengapa. Butiran-butiran munajat ibu dapat aku dengari walapun perlahan.

Ibu berdoa :

“Ya Allah, Ya Rabbul Jalil, Ya IIahi - di pagi hari yang mulia ini aku memohon kepadamu supaya melembutkan hati anakku, permudahkan segala urusan hidupnya Ya Allah…”

Jantungku berdenyut kencang. Dadaku berombak-ombak. Tarikan nafasku juga semakin melaju.

Bergetar hatiku apabila mendengar rintihan ibu yang menusuk dan menikam jantungku. Tusukan itu mengenai tepat ke relung-relung jiwa aku itu. Butir-butir doa ibu umpama duri-duri yang menusuk halus. Duri kecil yang tajam yang meninggalkan bekas. Aku terasa sangat-sangat.

“ Ya Ilahi, ampuni segala dosa anakku. Sesungguhnya, dia tidak mengetahui hakikat yang sebenar. Rahmatilah dirinya, redhailah dan berikanlah keampunan-Mu terhadapnya..”

Tangisan ibu menenggelamkan suara munajatnya yang panjang. Aku termanggu seketika. Hiba, terasa bersalah dan timbul penyesalan. Tanpa sedar, manik-manik air mata ku terbit dari kelopak mataku. Ia mengalir deras membasahi pipiku yang kering.

Apa yang telah terjadi kepadaku? Aku bingung. Satu perasaan yang luar biasa telah menyelubungi seluruh jiwa, perasaan, nurani dan hatiku. Bingkas aku bergerak menuju ke bilik dengan linangan air mata yang hangat.

Aku menangis dan terus menangis di dalam bilikku,esakan tangisan yang telah lama luput dari diriku. Air mata yang menghujani kolam hati terus menerus tanpa henti. Lebat selebatnya. Aku – aku berperasaan sebegini kerana selama ini aku banyak bersangka buruk dengan ibuku.

“Ya Allah betapa besarnya dosa-dosaku terhadap ibuku selama ini…”

“Ya Allah...”

“Ya Ilahi...”

“Ya Rabbi.......”

Selimut biru kepunyaan ku dicapai, air mata yang kian tertumpah dengan banyaknya itu – dikesatkan dengan penuh kehibaan, penyesalan dan bebanan perasaan yang bersangatan.

“ Ya Allah, apakah yang ingin Engkau tunjukan kepadaku? Ya Ilahi, berikan kepadaku jawapan dan kekuatan,” Aku tidak mampu untuk menahan tangisan dan bebanan
jiwa ini.

Saat ini, bayangan wajah ibu yang kian menua terpancar di hadapan mataku. Matanya, raut rupa dan kedutan-kedutan kulitnya jelas kelihatan. Ukiran senyuman yang tidak pernah sirna daripada air mukanya membuatkan aku lagi tertusuk.

“ Ibu,” Aku memanggil kuat, tetapi tidak terpacul keluar di dinding bibir. Ia hanya di dalam hati. Malah tersekat di kerongkong tanpa butiran suara yang nyata.

“ Ibumu hanya berada sepemisahan dinding. Saat inilah saat yang terbaik buatmu. Hulurkanlah tanganmu mengucup jari jemari yang kasar kulitnya, kucuplah pipinya yang berkedut itu dan rasailah dakapan kehangatan kasihnya. ” Suatu suara bergema kuat membuatkan aku terkejut.

Ia umpama kejutan elektrik dengan voltan yang sangat tinggi. Aku kian panas tidak keruan.

“ Jangan suatu saat nanti, ibumu terbaring bagaikan sekujur tubuh yang kaku dibaluti kapan putih – barulah engkau ingin memeluknya dengan hibaan penyelasan!,” Suara itu semakin meninggi.

Kata-katanya bagaikan petir yang menyambar seluruh batang tubuhku.

“ Mampukah aku?,” Soal diriku seperti dalam kebodohan, terpinga-pinga dan tanpa arah tujuan.


BroHamzah
Kota Bharu I Kelantan Darulnaim
26 Mei 2011

Read more...

Blog Pilihan - Muharrik Daie

Tuesday, May 24, 2011



Muharrik Daie - Menulis untuk menggerakan jiwa-jiwa




Blog Pilihan – Muharrik Daie

Url : http://muharrikdaie.wordpress.com
Pemilik/ Penulis : Muharrik Daie
Fokus : Menggerak jiwa-jiwa insan untuk merasai kemanisan, kehangatan dan kecintaan terhadap dakwah dan tarbiyah.



Muharik Daie

Apa itu muharik? Dalam ilmu saya yang terbatas, cetek dan kerdil – setahu saya muharik itu berasal daripada ha ra ka membawa makna gerak, bergerak. Muharik ialah penggerak. Kata pembuat. Betul kah? Saya pun bukan pakar bahasa.(‘’,). Daie itu ertinya pendakwah.


Siapa beliau?

Saya mulai membaca blog beliau pada tahun lepas, tidak pasti bila. Tetapi, sungguh blog ini punya kekuatan, keunikan dan fokusnya yang tersendiri. Penulisnya? Saya tidak mengenali secara dekat dan tidak pernah bersua. Namun, terasa akan sesuatu – persamaan dan hubungan jiwa – dengannya. Untuk bertaaruf dengannya sila ke : Siapa aku dimata kamu.

Kekuatan

Intipati, bahasa dan keindahan sastera yang tinggi. Itu yang dapat saya simpulkan. Keindahan bahasa berserta tulisan yang menyentuh dan mengesani hati telah membuatkan jiwa-jiwa yang membacanya akan terusik, terbangkit dan termotivasi. Hal ini lebih-lebih lagi apabila blog ini memfokuskan kepada kecintaan terhadap dakwah dan tarbiyah. Kata-kata yang menjadi tema blog ini iaitu : mengerakan jiwa-jiwa – sungguh bermakna. Ia benar-benar terhasil melalui bahasa yang menggugah.

Tulisan melalui hati akan menyimbah nurani. Itulah yang boleh saya simpulkan daripada blog ini. Saban waktu, ia menjadi tempat saya berteduh dan mencari mutiara-mutiara yang akan memberikan kekuatan kepada jiwa saya. Sungguh, di sini adalah tempatnya.

Saranan saya

Harapan saya, semoga Muharik Daie akan meneruskan usahanya untuk menggerakan jiwa-jiwa insan untuk menghayati, merasai dan menyelami erti dakwah dan tarbiyah. Ia bukan terhenti di situ, tetapi terus digerakan dalam amalan reality dan istiqamah sehingga ke akhirnya. InsyaAllah.

BroHamzah
Kota Bharu I Kelantan
25 Mei 2011


Read more...

Menulis, seni yang menguatkan

Sunday, May 22, 2011

Menulis, ia adalah suatu seni yang didalamnya ada makna
dan perasaan cinta.


Menulis, seni yang menguatkan
Oleh : BroHamzah

“ Bagaimana abang menulis?,” Satu soalan yang kerap menghinggapi cuping telinga saya.

“ Sejak bila saudara memulakan hobi menulis di blog?,” Ini juga antara soalan yang biasa berkunjung di hadapan saya, sama ada di alam realiti atau di alam maya.

“ Kenapa, anta tidak bukukan penulisan anta?,” Satu lagi soalan yang kerap kunjung kepada saya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Saya bersyukur kepada Allah SWT yang mengurniakan kepada saya individu-individu seperti mereka. Sentiasa memotivasikan saya, menginspirasikan semangat saya, bahkan sentiasa melorongkan saya kepada jalan-jalan kebaikan. Sekadar berkongsi berkaitan penulisan, menulis, dunia blog, blogger dan keseronokannya.

Kenapa menulis?

Soalan yang mudah tetapi sangat-sangat menarik untuk direnungi. Saya terbaca satu artikel penulisan isteri saya. Beliau mengambil satu kata-kata oleh Razib Ahmad, seorang penulis juga. Katanya :

“ Kita menulis – kebiasaanya – kerana dua sebab utama : pertamanya, untuk memenuhi kepuasan diri dan keduanya, untuk memperolehi tambahan pendapatan (wang).”

Mungkin, ya atau mungkin tidak. Saya tidak menafikan hakikat hal di atas. Namun, saya benar-benar tersentuh apabila isteri saya menulis sebab kepada dia menulis. Katanya :

“ Saya menulis kerana satu sahaja, iaitu cinta.”

Cinta kepada Allah SWT. Cinta kepada dakwah kebaikan serta kebenaran. Dan cinta kepada ummah – ingin mengajak mereka kepada Islam yang syumul, sempurna dan meneduhkan.

Terdiam seketika saya. Saat itu, saya merenungi balik diri saya. Kenapa saya menulis? Terdiam setika, selama ini kenapa aku menulis, untuk apa dan kenapa? Soalan itu bertubi-tubi menghujani akal fikiran saya. Ia memenuhi kolam hati saya, lantas saya berdayung mencari destinasi jawapan akan persoalan ini.

Menulis bagi saya ia bukannya hobi. Ya bukannya hobi mengisi masa lapang yang terluang atau tersisa. Bukan itu tujuan saya menulis. Bahkan telah saya letakan menulis itu sebahagian daripada kehidupan saya sendiri. Menulis bukan sekadar ingin memberitahu, menceritakan, mengisahkan atau bermain-main dengan susunan bahasa yang puitis atau indah. Saya benar-benar tertarik dengan ungkapan Ustaz Hasrizal Jamil – penulis laman web terkenal SaifulIslam.Com :

“Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU.”

Menulis dengan suatu arah, fokus dan sasaran yang jelas dan bermatlamat. Dunia penulisan dan penghasilan karya-karya yang hebat-hebat, berkualiti lagi bermutu telah mempertemukan saya dengan beberapa orang tokoh penulis yang sangat saya segani dan kagumi.

Saya benar-benar ingin mencontohi Syed Abul Ala Al-Maududi - merupakan seorang ‘alim, malah seorang pemikir Islam kontemporari yang terulung serta pengasas al-Jama’ah al-Islamiyyah di Benua India. Beliau banyak menulis buku-buku asas kefahaman Islam yang mudah, simple dan mampu difahami oleh kebanyakan orang. Dan membuatkan saya kagum ialah, beliau tidak pernah mengambil bayaran royalti jualan bukunya. Semuanya diserahkan kepada organisasi yang dipimpinnya untuk tujuan amal.

Namun sering kali emak saya berkomentar :

“ Sesetengah penulisan Ali sukar difahami, masih terdapat banyak perkara yang perlu dibaiki.” Saya menerima dengan senang hati. Berazam mencontohi penulisan yang bahasanya sederhana dan tinggi nilai intipati dan kandungannya.

Disamping itu, seorang lagi tokoh sasterawan Islam yang sangat dekat dihati saya iaitu As-Syahid Sayyid Qutb. Penulis buku Mua’alim Fil Tariq dan Tafsir Fizilalil Quran ( Di Bawah Naungan Al-Quran). Bahasanya, sentuhan literalnya, ketinggian kesasteraannya dan susunan puitis tulisannya : benar-benar indah! Kuat, mengugah, terkesan, berimpak dan sungguh mendalam.

“ Bahasa beliau mungkin tinggi bagi sesetengah orang, tetapi ia lain daripada lain. Beliau menulis melalui hati dan ia akan terkesan kepada hati dan menyentuh nurai bagi jiwa yang benar-benar hajatkan sesuatu daripadanya.” Pesan seorang murabbi berkaitan penulisan As-Sayyid Syed Qutb.

Seorang lagi, yang menjadi tokoh penulis yang saya benar-benar segani iaitu Dr Aid Abdullah Al-Qarni. Seorang Ulama Arab Saudi yang warak, alim dan soleh. Beliau juga merupakan penulis motivasi Islam yang terkenal lewat penulisan karya best sellernya iaitu La Tahzan. ( Janganlah bersedih!). Saya tersentuh membaca syair indah yang dikarangnya berkaitan penulisan :

Betapa pun kulukiskan keagungan-Mu dengan deretan huruf,
Kekudusan-Mu tetap meliputi semua arwah
Engkau tetap yang Maha Agung, sedang semua makna,
akan lebur, mencair, ditengah keagunganMu, wahai Rabbku.

Merekalah yang menjadi inspirasi buat saya dalam dunia penulisan ini. Saya berjinak-jinak dengan dunia blog sejak tahun 2005 lantaran ini berkongsi dengan sedikit pengalaman, pengetahuan dan ilmu yang ada. Namun melaluinya saya mendapat banyak perkara.

Menulis, ia adalah seni yang menguatkan

Suatu petang, semasa bermusafir dengan seorang sahabat saya – Abu Ridhuan kami bersembang-sembang tentang dunia penulisan.

“ Anta tahu, antara perkara yang ana dapat dengan menulis ini ialah ia akan memaksa ana untuk membaca. Untuk menulis kita perlu ada sesuatu, dan membaca adalah jalannya.” Kata beliau.

Ya. Saya sangat-sangat bersetuju dengan beliau. Melalui penulisan inilah, ia telah membuka lembaran minat, paksaan, perasaan dan keperluan untuk saya membaca. Secara tidak langsung dan tanpa sedar.

Dan, saya simpulkan buat kalian semua :

“ Menulis adalah merupakan suatu seni. Seni yang akan menguatkan kita. Malah, kesannya kepada kehidupan sangat-sangat besar dan mempengaruhi kehidupan kita.”

Baik, saya simpulkan kebaikan menulis daripada kaca mata saya :

(1) Menulis, ia adalah menjadi salah satu medan dalam beramal. Beramal soleh, sedarkah kita semua bahawa kebanyakan para rasul, nabi-nabi, pemimpin terdahulu,ulamak dan daie banyak menghasilkan penulisan dan karya. Rasulullah SAW mengutus surat kepada pembesar-pembesar menyeru untuk memeluk Islam. Ulama Islam – berkat kegigihan mereka berkarya, hari ini kita berkesempatan meneguh sebanyak mungkin ilmu hikmah yang sangat berharga daripada kecerdikan dan kebijaksanaan mereka.

(2) Menulis, ia memberikan suatu motivasi yang tinggi untuk kita merumuskan sesuatu ilmu yang kita perolehi. Untuk memahami suatu ilmu, kita perlu menulis, menganalisis dan merumuskannya. Ia adalah kaedah menuntut ilmu zaman berzaman. Tokoh cendiakawan silam, menjadikan menulis sebahagian daripada kehidupan mereka. Di mana-mana, membawa pen dan kertas. Ilham yang terlintas, dicatat di lembaran kertas dengan sebaiknya.

(3) Menulis, ia adalah wadah perkongsian ilmu yang sangat-sangat baik. Lihatlah, dengan penghasilan karya-karya hebat, kitab-kitab yang mashsyur dan lembaran-lembaran penulisan ulamak, cendiakawan, ilmuan, penyair, sasterawan, para alim serta tokoh akademik – kita akan mendapat seribu manfaat daripada nya.

(4) Menulis, melaluinya akan terhasillah buku-buku yang akan ditelaah, ditatap dan dibaca. Buku ia akan memberikan suatu pengalaman yang sangat mengasyikan. Ia adalah teman yang baik, khadam yang jujur, sahabat yang setia dan akan menemani kita saat suka, duka, gembira dan sedih. Buku, tulisan dan himpunan perkataan yang membawa maksud akan memberikan kekuatan.

(5) Menulis, ia adalah suatu seni yang boleh dipelajari, didalami dan ditekuni. “ Semua orang boleh menulis.” Kata seorang sahabat saya, Hilal Asyaf. Ya, saya bersetuju dengannya. Menulis, ia akan memberikan suatu kesan yang dalam kepada jiwa. Kita bebas, melakarkan pena di hujung tinta. Kita boleh mengerakan jari jemari di titian key board laptop dengan tenang tanpa apa jua sekatan dan halang. Jika anda sudah memasuki alam ini, rasailah keasyikannya.

(6) Menulis, ia menguatkan jiwa dan hati kita. Kenapa saya kata begitu? Menulis ia akan memberikan ketenangan, kedamaian dan menguatkan jiwa di saat hati dirundum kelaraan jiwa dan duka nestapa. Berapa ramai orang yang akan menyendiri lalu dicapai pena dan kertas atau buku lalui ia meluahkan segala apa yang terbuku di hati. Bahkan, saat itu juga – ia akan menyendiri membaca kalam Ilahi, buku-buku penguat nurani dan segala tulisan yang akan mempertingkatkan kekuatan di jiwa. Pernahkah anda melalui saat-saat sebegini?

(7) Menulis, ia akan memberika satu tolakan, paksaan dan dorongan yang kuat untuk kita membaca. Perlu membaca, ia adalah prasyarat untuk menghasilkan suatu gagasan fikiran melalui penulisan. Membaca membuat kita terisi dengan ilmu, pengetahuan, hikmah dan suluhan cahaya yang benar. Membaca buku tulisan ulama’ muktabar, penulis-penulis yang ikhlas dalam berkarya dan lembaran karya yang berkualiti, bermutu dan punyai nilai keintelektualan yang tinggi.

(8) Menulis, secara berterusan dan konsisten ia memberikan latihan untuk berdisiplin kepada kita semua. Setiap hari, kita boleh menulis, melakarkan, mencatat dan menaip apa sahaja yang terlintas dihati, berbekas di hati dan bermain-main di minda. Antara medium yang saya jadikan medan menulis ialah buku catatan harian, buku rancangan harian, kertas perancangan, blog, FB dan emel. Alhamdulillah, ia sangat bermanfaat.

(9) Menulis, ia mampu membentuk gelombang arus yang besar kesannya. Tulisan-tulisan yang berpengaruh dan meninggalkan impak kepada dunia telah membuktikan bahawa himpunan tinta yang asalnya terdiri daripada huruf-huruf dan gabungan ayat-ayat - mampu membangkitkan suatu gelombang perubahan kepada sejarah peradaban manusia.

Menulis akan menghasilkan tulisan. Tulisan inilah yang dinamakan sebagai karya. Syed Abu Ala Al-Maududi dalam risalahnya iaitu Kesusateraan Islam menjelaskan bahawa karya-karya Islam terbentuk kepada dua kumpulan iaitu karya-karya berbentuk hujjah (argumentative literarute) dan karya-karya yang memberikan rangsangan (motivative literature). Kesemua karya-karya ini menjurus kepada satu matlamat iaitu menyakinkan para pembaca bahawa Islam ialah Ad-Deen ( satu-satunya cara hidup yang sebenarnya).

Bagi saya, inilah penjelasan yang sanga-sangat jelas, nyata dan konkrit.

Dimensi baru dunia penulisan alaf baru : Dunia blog


Itulah boleh saya coretkan berkaitan hal ini, Alhamdulillah – kini saya jadikan medan berblog sebagai medium saya untuk menulis, memahirkan penggunaan bahasa, menyusun masa, menganalisis bahan bacaan , mencurahkan pandangan serta idea, berkongsi pengalaman serta pengetahuan yang kerdil dan – yang terpenting saya temui hajat saya dalam menulis- iaitu segala-galanya adalah medan untuk berubudiyah kepada Allah SWT. Saya pernah menulis tentang tips untuk menjadi blog sebagai amal soleh : [ Tips : Perinciannya di sini ]



Hajat saya, ialah semakin ramai yang menulis, berblog dan menyebarkan warna-warna kebaikan di dalam maya ini. Sebab apa? Hati saya sakit apabila melihat begitu membiak dan bercambah blog-blog yang berbau maksiat dan dosa ( bayangkan setiap hari blog porno, lucah, politik kotor, mencaci dan merosak bertambah jumlahnya dengan mendadak). Kerana itu, saya sangat-sangat menyarankan anda yang membaca perkongsian ini untuk : - Terjun ke medan menulis.

“ Eh, saya tidak berbakat!”
“ Saya tidak reti la menulis!,”
“ Saya? – Malas la, sibuk saya ini,”

Berhenti! – Mari kita beralih ke tulisan ini. Perkongsian daripada sahabat saya, Hilal Asyraf. Kamu boleh menulis sebenarnya. Kemudian, anda berikan jawapan, alasan dan komentar anda. (‘’,).

Hasrat, impian dan cita-cita

Impian saya, mahu melihat lebih banyak blogger-blogger Islamik di alam maya ini. Sekarang ini tidak ramai, sekitar ribuan sahaja. Sedangkan, jumlah blog dalam alam maya adalah melebihi jutaan blog dalam pelbagai bahasa, bentuk, tema dan fokus. Kita mahu ia menjadi gelombang yang dahsyat yang merebak ke seluruh dunia alam maya. Ya, blogger muslim profesional, blogger islamik dan blogger yang punyai keunikan yang tersendiri.

Agar mampu menghasilkan lebih banyak SaifulIslam.Com dan Zaharuddin.Net , membiaknya aura IluvIslam.Com, laman sesawang LangitIlahi.Com, bertambahnya portal-portal Islamik seperti Murabbi.Net, Halaqah.Net, al-Fikrah.Net dan sebagainya di dunia online ini.

“ Bukan dah banyak ke?,”
“ Cukup la tu,”

Saudara saudari, jika kalian membuka minda dan menerokai dunia alam maya tanpa batasan ini – ketahuilah di sana terdapat banyak laman-laman sesawang, portal-portal dan blog-blog musuh Islam yang sedang meracuni pemikiran remaja muslim di di seluruh dunia. Pelbagai rupa dan bentuk.

Hiburan yang melampau
Membudayakan hedonism (hidup bermewah)
Gambar-gambar, video-video tidak bermoral
Permainan Games
Blog-blog picisan yang merosak
Lawak yang tidak berfaedah
Dan bermacam-macam lagi

Ia bukan satu atau dua, ratusan bahkan jumlah mencecah kepada puluhan ribu. Mereka bergerak, merancang, menjana, merencana, melaksana, berstrategi dan menyuntik idealogi-idealogi selain daripada Islam dengan niat yang jahat.

Justeru, kita punyai peranan. Peranan, tanggungjawab dan amanah yang besar. Berbangga sebagai muslim bukan sekadar kita hebahkan, gembar-gemburkan dan war-warkan kepada dunia – kita memakai pakaian muslim, beribu berbapakan muslim dan memiliki rumah bercorak islamik.

Kita mampu melakukan sesuatu :

“ Membentuk arus gelombang kesedaran dan kebangkitan Islam.”

Jadi, bagaimana dengan anda? Apa keputusan anda? Ingin menyertai gagasan blogger muslim, blogger islamik dan blogger acuan Islam yang sebenar.

Keputusan di tangan anda. Kita mampu menjadikan medan penulisan ini umpama pedang yang menghunus. Merobek jahiliyah yang rakus merosakan keperibadian muslim muslimah di seluruh dunia dengan sebuah kesedaran dan kefahaman yang jernih.

Anda mampu mengubahkannya!

Keyakinan saya :

“Semua orang mampu dan boleh menulis.”

-----------------------------------------------------------


Nota :

Harapan saya agar isteri saya juga akan turut aktif dalam lapangan penulisan ini. Beliau sangat berpotensi, berbakat dan mempunyai gagasan fikiran yang sangat-sangat baik. Moga Allah SWT permudahkan.

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
23 Mei 2011

Read more...

Takziah : Mangsa Tanah Runtuh Hulu Langat

Saturday, May 21, 2011

Kawasan Musibah

Takziah : Mangsa Tanah Runtuh Hulu Langat
Oleh : BroHamzah

Semalam ketika keluar makan bersama isteri saya, kami singgah makan malam di sebuah restoran di Kota Bharu. Tiba-tiba mata saya terpaku di paparan televisyen. Seolah-olah ada sesuatu yang berlaku.

“ Tanah runtuh di Hulu Langat.”

MasyaAllah, saya tidak tahu akan hal ini kerana sudah lama tidak menonton televisyen. Allah SWT izin tidak berkesempatan membaca berita di internet.

Kejadian tanah runtuh telah berlaku di Rumah Persatuan Anak Yatim Malaysia dan Anak-anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat pada pukul 2.30 petang, semalam : Sabtu 21 Mei 2011. Hati saya sayu dan terharu melihatnya. Pulang ke rumah, saya bergegas membuka laptop mencari maklumat berkaitan.

“ Masya-Allah, semoga Allah SWT berikan kekuatan kepada mereka,” getus nurani ini.

Kesan tanah runtuh

Ucapan takziah diucapkan kepada semua mangsa, ahli keluarga, kaum kerabat dan kenalan yang menerima berita yang menyedihkan ini. Sebak melihat gambar, berita dan liputan mengenainya. Semoga Allah SWT mencucuri ruh mereka dengan rahmat, pengampunan dan inayah-Nya kepada semua mangsa yang terlibat.

Musibah kematian, bencana dan kehilangan adalah didikan daripada Allah SWT untuk dialami, dirasai, dihayati dan diambil pengajaran oleh setiap kita. Yakinlah, hadapilah musibah dengan keimanan, kesabaran dan ketabahan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Disebalik musibah, ada ganjaran syurga buat kalian. InsyaAllah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

“ Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berita gembira kepada orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Innalillah wa inna ilaihi rajiun.”

[ Al Baqarah (3) : 155 – 156 ]


Sedikit maklumat berkaitan di sini , sini dan sini.

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
22 Mei 2011

Read more...

Facebook : kita menguasai atau dikuasai?

Monday, May 16, 2011

Facebook, sembang-sembang mengenainya.


Facebook : kita menguasai atau dikuasai?
Oleh : BroHamzah

“ Pasal Facebook lagi?,”
“ Tiada isu lain ka?,”
“ Lagi-lagi muka buku?,”

Mungkin ini yang tergetus dihati anda apabila membaca perkongsian saya kali ini. Sabar dulu, saya sekadar ini berkongsi sesuatu berkaitannya. Sembang-sembang saya bersama isteri saya baru-baru ini.

“ Kekadang kita kena uji dan test, adakah kita ini menguasai atau dikuasai oleh FB,” Teringat akan salah satu bicara isteri saya.

“ Bagaimana?,” Tanya saya.

“ Dulu, biasanya saya akan berhenti seketika daripada melayari FB untuk tempoh tempoh tertentu. Kempen ‘berpuasa’ daripada berFB.” Kata isteri saya.

“ Hendak pastikan bahawa, saya menguasai penggunaan FB bukannya saya dikuasai oleh FB sehingga terlalai dengannya.” Isteri saya berkongsi dengan penuh petah. Asyik saya mendengarnya.(‘’,)

Menarik. Saya kira ini satu kaedah yang praktikal yang boleh kita semua lakukan. Katanya, kekadang beliau akan tetapkan satu tempoh agar berhenti seketika dengan penggunaan FB. Contohnya, berhenti atau tidak membuka akaun FB selama seminggu, sebulan atau tempoh-tempoh yang relevan. Kemudian, kita lihat.

“ Apa perasaan kita?,”

“ Bagaimana kita bertahan, mengawal kehendak perasaan dan bertindak apabila kebiasaan harian kita di”berhentikan” seketika dalam jadual harian?,”

“ Gelisahkah kita?”

“ Atau kita mampu menjalani kehidupan seperti biasa, penuh ketenangan dan seolah-olah tiada apa yang berlaku.”

Alah, senang sahaja tu. – (‘’,) Tersenyum saya apabila mendengar respon sesetengah daripada kawan-kawan dan kenalan yang sememangnya kaki FB. Tetapi apabila minta mereka “berhenti” seketika :

“ Fuh, tidak mudah juga. Rasa lain sangat-sangat!.”

Rungsing dan bimbang

Tanpa menafikan kebaikan dan manfaat daripada FB – ( menghubungkan jaringan empayar kenalan, persaudaraan, persahabatan dan sebagainya, menjadi medium merancang, merencana, merangka dan melaksanakan apa-apa projek secara maya, menjadi reminder tarikh-tarikh event tertentu dan sebagainya) – FB juga telah membuktikan kesan negatifnya kepada komuniti masyarakat kita.

“ Semasa kursus perkahwinan saya di Perlis, pengawai yang menyampaikan kursus tersebut ada menyebutkan bahawa di Perlis sahaja pada tahun 2010 – 20 % kes perceriaan yang berlaku adalah di sebabkan oleh FB,” Isteri saya berkongsi lagi.

Facebook kini, menjadi medan untuk meluahkan ketidakpuas hatian kepada seseorang. Medium untuk mengumpat, mencaci, mencerca, menghina, menabur fitnah malah tempat membuka aib manusia. Sebaran dosa berlaku tanpa disedari – berputar 24 jam di dalam alam maya.

" MasyaAllah, hal ini benar-benar berlaku di sekeliling saya," Seorang sahabat berkomentar.

Facebook, mewujudkan suasana persengketaan, kekeruhan dan kekacauan dalam persaudaraan sesama manusia. Hanya kerana tersalah faham akan maksud di status di akan FB – ia akan menguriskan perasaan dan membawa kepada syak wasangka yang keterlaluan dan akhirnya, timbullah pelbagai buah-buah keburukan diluar fikiran manusia.

Membunuh, taburan fitnah dan mengumpat. Suami isteri yang bersengketa sehingga terdedah dengan percuma di layar maya, adik beradik berkelahi sesama sendiri, rakan sepejabat bermasam muka, dan jiran tetangga tidak bertegur sapa. Semuanya kerana, tidak dapat mengawal dan menguasai diri untuk mengendalikan nafsu ketika menggunakan FB.

Marilah kita – semak semula akan hakikat ini. Saya bukanlah penggunaan FB yang mahir, baik atau tidak ada lakukan salah dan silap. Namun, ajakan ini untuk kita perhalusi dan mengamat benar-benar setiap kelakuan, tindakan dan sikap kita dalam amalan harian.

Begitu juga dalam soal menyebarkan hadis daripada nabi Muhammad SAW di FB. Kita bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan hal ini. Pastikan sandaran hadis itu benar, sahih dan berasal daripada Rasulullah SAW. Saya sendiri pernah ditegur dan diingatkan oleh beberapa orang kenalan tentang perkara ini. Bimbang, kita sebarkan hadis – tetapi sebenarnya ia bukannya hadis yang datang daripada Rasulullah SAW. Kita akan menipu dalam keadaan tanpa sedar.

Ketagihan dan Kelalaian FB – Jom kita semak.

Untuk ruangan ini, sama-sama kita jujur kepada diri. Sama-sama kita lihat pada hati dan diri sendiri. Bermuhasabah untuk kita lihat akan kualiti dan tahap kepekaan serta kesensitifan diri kita dalam soal ini. InsyaAllah.

Secara praktikal, sama-sama kita lihat adakah kita ini berada dalam zon “ketagih” kepada FB ini. Sama-sama jujur dalam mengkoreksi diri.

Apa tanda anda ketagihan FB?

(1) Jika melayari internet, laman sesawang FB merupakan laman yang pertama yang akan anda buka. Membukanya dengan penuh keterujaan, - sangat-sangat mengharapkan “sesuatu” daripadanya.

(2) Anda akan rasa tidak selesa jika tidak dapat menghadap FB ini untuk tempoh satu hari. Rasa gelisah, tidak tenang dan menggeletar seluruh jiwa dan raga. Di minda anda : FB, FB, FB, FB.

(3) Anda mampu menghadap laptop, atau computer berjam-jam lamanya hanya dengan FB. Ya. Menukar status FB sekerapnya mungkin, membalas komentar-komentar dengan penuh minat dan asyik. Berchatting melalui ruangnya FB dengan rakan-rakan yang online – serentak – kekadang 5 sehingga 10 orang sekaligus. Hebat dan luar biasa!

(4) Anda terlupa untuk melakukan kerja-kerja lain, seperti assignment kuliah, tugasan daripada boss dan sebagainya sehingga mutu kerja dan produktiviti merudum. Apabila pensyarah kita, soal kenapa tidak mampu siapkan assignment pada datelinenya? Alasan kita : Saya sibuk. Maksud tersiratnya ialah, sibuk dengan FB.

(5) Bagi jiwa dan hati anda, tanpa FB anda akan rasai suatu kehilangan dalam kehidupan. Kehilangan yang akan meruntun jiwa, perasaan anda menjadi keluh kesah dan tidak dapat fokus kepada kerja-kerja harian yang lain.

Bagaimana? Ada yang pernah berkata : Aduh pedihnya? Banyak senarai ini terkena kepada aku. Sama-sama kita jujur dalam penilaian ini.

Sama-sama kita check diri kita, adakah kita begitu? Kita semak juga, bentuk-bentuk kelalaian FB. Adakah kita sudah terjebak kepada penyakit ini?

Kelalaian FB

Secara peribadi, FB ini jika disalahertikan dan disalahgunakan ia akan membawa kepada kemudaratan, kelalaian dan kealpaan.

Tanda-tanda kita dalam kelalaian ketika menggunakan FB :

(1) Ibadah harian kita semakin tumpul, dan kita leka serta habiskan masa banyak dengan FB. Kemanisan untuk beribadah kian hilang. Kelazatan dan kenikmatan membaca Al-Quran, mendirikan solat wajib, berzikir dan lain-lain amalan soleh tidak lagi menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan. Bahkan, terasa akan kehambarannya. Pernah, salah seorang rakan saya menasihati saya : “ Tanda kita hilang kemanisan beribadah, kita tidak rasa pentingnya solat berjemaah!,”

(2) Ketika azan berkumandang di udara, ketika itu kita tiada keupayaan untuk berhenti daripada melayari FB dan terus leka dibuai indah bersama alam ke”facebook”an. Susah sangat-sangat. Dalam hati, tidak mengapa – awal lagi. Kita teruskan dengan dunia FB. Sehinggakan, kita tersentak – waktu solat tinggal beberapa minit sahaja lagi!

(3) Berjam-jam masa dan detik kita dihabiskan untuk menjelajahi alam FB, dan kita semakin seronok dan sayang kepada FB. Sayangnya kita dengan FB membuatkan kita begitu ghairah menerokai kecanggihan, fungsian dan apa sahaja tentang FB walaupun tiada tidak memberikan apa-apa manfaat buat diri kita. Pernah saya jumpa seorang student, daripada pagi sehingga subuh keesokannya berhadapan dengan laptop. Bila ditanya buat apa? – Melayari FB semata-mata!

(4) Kita semakin jarang membuka Al-Quran yang menjadi penguat ruhani kita. Jika dahulu, sempat menghadap Al-Quran setiap hari, kini kita semakin jauh daripada ruh Al-Quran. Kita kata kita tidak sempat untuk mentadabbur Al-Quran kerana sibuk dengan tugasan harian. Awas, saudara-saudariku : berhati-hati dengan istilah kesibukan. Ia akan disoal dihadapan Allah SWT kelak.

(5) Zikrullah yang harus menemani kehidupan kita bergantian, dengan FB sebagai peneman hidup yang akrab. Kita kian larut dengan teman hidup yang baru, namanya FB. Kita begitu asyik berdampingnya dengannya sehingga lupakan sesuatu yang lebih penting buat jiwa dan hati kita. Zikrullah, zikir-zikir yang menjadi penenang diri kian luntur dalam sebutan bibir dan hati – lama kelamaan jiwa kita gersang, kosong dan hampir mati.

(6) Assignment kuliah yang diberikan pensyarah, gagal disiapkan tepat pada masanya. Dateline terlepas dan berasalan bahawa : “ Saya sibuk dan tidak sempat.” Hal-hal yang lain, tugasan ditempat kerja, bertangguh-tangguh, bertimbun-timbun dan akhirnya kita tidak perform! Tepuk dada, soallah iman.

(7) Dengan FB, kita leka bersembang dan berbicara tanpa arah tujuan sehingga jiwa kita terasa kekosongan dan lebih parah jika teman bersembang kita itu berlawanan jantina. Bibit-bibit maksiat mulai mencemari kejernihan hati dan akhirnya kita tersangkut dengan cinta nafsu yang memberikan bintik-bintik hitam kepada jiwa.

(8) Budaya kutuk mengutuk, usik mengusik berlawanan jantina, berbincang tanpa asas kemanfaatan dan sebagai mendominasi aktiviti harian kita. Pada awalnya, kita rasa bersalah. Eh, tidak elok begini. Tergetus dalam hati. Namun, lama-lama suntikan jarum syaitan mulai membawa kepada bibit-bibit yang menyeronokan dan mengasyikan.

(9) Gambar-gambar yang dishare, ditag dan dikomen lebih banyak membawa kepada kemudaratan, menuju ke arah penyebaran dosa dan maksiat. Gambar-gambar yang mendedahkan aurat, menghairahkan, membawa kepada fitnah dan sebagainya harus dielakan untuk diletak di dalam FB kita. Hati-hati dengan hal ini.

Dan, banyak lagi jika disenaraikan. Dan saya yakin anda sendiri mengetahuinya.
FB jika melalaikan, ia harus dinilai semula.

“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya”

[al-Mu'minun 23: 1-3]

Afwan saya sebut, gambar-gambar para wanita dan adik-adik remaja perempuan begitu mudah untuk dikenali, dilihat dan disedari melalui laman FB ini. Pernah saya sebut kepada para pelajar dalam kuliah saya :

“ Siswi sekalian, jaga-jagalah dalam meletakan gambar anda di FB. Di sana terdapat mata-mata dan hati-hati yang sedang asyik menikmati – kecantikan dan keayunan- anda.”

Dan, apatah lagi jika gambar itu terdedah auratnya atau tidak sempurna penutupannya.

Ia sangat-sangat mengganggu jiwa.

Ia sedikit sebanyak memberi kesan dan calaran kepada kejernihan hati.

Mencorak keperibadian kita

Anda perasaan tak?

Bahawa, FB kepunyaan kita melambangkan keperibadian kita. Apa yang kita tulis, ungkapkan, bicarakan dan nyatakan adalah sifat kita sebenarnya.

Kekadang tanpa disedari, ada yang membuat penilaian dan memerhatikan kita melalui “wajah” facebook kita.

Ia seolah-olah menampakan sisi gelap, sahsiah diri kita dan perangai sebenar kita.

Wallahu’alam

Saya sedang berfikir ke arah itu, berfikir bagaimana hendak mengajak semua orang untuk menjadikan FB ini sesuatu yang berguna, bermanfaat dan yang penting ia baik untuk dakwah!

Kitalah yang menjadikan FB ini bermanfaat atau sebalik. Marilah kita menjadi hamba-hamba Allah SWT yang melayari FB dengan keupayaan untuk menguasainya. Kita yang mengaturkan segala tindak tanduk di FB sama ada penyiaran gambar, menyatakan status, komentar-komentar dan segala sebarang fungsian di dalamnya. InsyaAllah.

Atau anda ada pandangan yang lain?

Read more...

Syukran Ya Murabbi

Credit to : Maisarah Kamal Of Langit Ilahi
Langit Ilahi.Com

Syukran Ya Murabbi
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Allah SWT izinkan saya untuk bertandang dan meninggalkan jejak di sini. Afwan, sehari dua yang kurang menyegarkan dan diuji dengan kemerosotan kesihatan.

“ Selamat Hari Murobbi”
“ Selamat Menyambut Hari Guru”
“ Buatmu Muallim, Pendidik dan Cikgu”

Saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan, dan semaian kasih sayang buat semua murabbi, guru, pendidik, muaalim, cikgu, ustaz ustazah dan mereka-mereka yang banyak mencurahkan ilmu, pengetahuan dan pengalaman kepada saya. Tanpa kalian dalam hidup – tentunya saya teraba-raba berjalan di alam dunia ini tanpa suluhan kebenaran.

Syukran kerana mendidik dengan ketulusan, keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang. Terima kasih banyak-banyak kerana bersabar dengan karenah anak didikmu ini. Semoga Allah SWT merahmati kalian semua.

Abah & Emak - Murabbi dan Murabbiyah pertama dan selamanya


Khusus buat Murabbi dan murabbiyah pertama dalam hidupku – Abah dan Emak- : Terima kasih atas segala pengorbanan yang dicurahkan sehingga mewarnai kehidupan diri ini,

Buat ustazah-ustazah di PASTI Kampung Wakaf Stan yang gigih memberi,

Semua cikgu-cikgu Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan banyak menyumbang buat diri ,

Buat Murabbi murabbiyah Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) yang mendidik diri mengenal rabbi,

Semua pensyarah-pensyarah Universiti Malaya yang mencurah ilmu dan bakti,

Dan seluruh “guru-guru” kehidupan yang selalu menasihati, melorongkan diri dan memperingatkan diri tentang matlamat hidup yang singkat ini.

Kalian adalah cahaya yang menyinari alam yang suram ini dengan nur hikmah, keilmuan dan sentuhan kasih sayang. Kalian adalah insan-insan biasa yang bergerak secara luar biasa untuk ummah ini. Syukran ya Murabbi dan Murabbiyah! Semoga Allah SWT merahmati kalian semuanya.

BroHamzah
Jalan Long Yunus I Kota Bharu Kelantan
16 Mei 2011

Read more...

Lantunan Ayat-ayat Cinta

Wednesday, May 11, 2011


Cita-cita, impian dan hasrat untuk menghafal Al-Quran. Agar ruh Al-Quran menjiwai setiap relung perasaan, memberikan kekuatan kepada hati dan dizahirkan dalam amalan serta tindakan.


Oleh : BroHamzah

Saban waktu, aku lebih suka menyendiri
Melihat detik-detik waktu yang berlepas pergi
Sungguh, dunia ini dicipta penuh dengan keperitan yang menyentap hati
Sehingga, andai diriku tersungkur - ia sukar untuk bangkit kembali
Namun, sebagai hamba Ilahi yang hina lagi dhaif ini
Aku tahu, setiap yang berlaku didunia ini adalah didikan Ilahi

Dan, ketika itu suatu bisikan lembut menyapa sanubari
Sentuhan yang benar-benar dalam lagi bersemi
" Carilah kekuatan di lembaran kitab suci"
Kalimah itu berlegar-legar bahkan berulang-ulang kali..

Masih segar dalam benak fikiran dan minda saya, apabila emak menyatakan hajatnya : " Emak hajat kalau boleh di dalam keluarga kita ini ada ahli huffaz Al-Quran. Maksud mak, menghafal 30 juzuk Al-Quran. InsyaAllah - Cahayanya akan menyinari seisi keluarga kita." Hajat, impian dan hasrat emak ini sungguh mulia. Pernah mak sebut, jika tidak dapat semua - seorang pun tidak mengapa. Namun yang pentingnya ialah semuanya menjiwai, menghayati dan mengamalkan segala intipati kandungan Al-Quran dalam kehidupan. Siapa di kalangan kami yang akan mengerakan hasrat murni ini

Seorang mukmin harus membiasakan diri untuk membaca Al-Quran dengan pembacaan yang perlahan-lahan, penuh tadabbur (memperhatikan) dan khusyu'. InsyaAllah - dengan izin Allah SWT - akan terbukalah kunci-kunci pintu hatinya, bersinar dan terserlahlah cahaya Al-Quranul Karim dan terasalah kemanisannya di seluruh jiwa dan pelusuk dirinya. Bagaimanakah untuk mengagendakan jadual harian agar ia sentiasa terisi dengan Al-Quran?

Tanda kita mencintai Allah SWT ialah kita suka, gembira, seronok dan bahagia berdampingan dengan Al-Quranul Karim. Saban hari, masa yang ada diusahakan dengan bersungguh-sungguh untuk menatap Al-Quran, membaca dan melantunkan bacaan dengan penuh perasaan dan jiwa yang benar-benar hidup. Generasi Al-Quran adalah generasi yang kita idamkan dalam proses pendidikan ini. Generasi yang mencontohi generasi awal para sahabat yang digelar generasi Al-Quran yang unik. Mereka dididik dengan ruh Al-Quran sehingga apa yang terkandung di dalam kalbu (hati) mereka berupa keimanan yang mantap, keyakinan yang kukuh, ketulusan yang jernih dan kejujuran yang setia. Inilah kekuatan, kehebatan dan keunggulan mereka. Kekuatan yang tiada tandingan. Inilah kekuatan ruh Al-Quranul Karim.

Rumah tangga yang berkat, penuh rahmat dan keampunan Allah SWT adalah rumah tangga yang hidup dengan ruh Al-Quran. Perhiasannya ialah ayat-ayat cinta dari Ilahi yang bukan sekadar pergantungan di dinding-dinding mahupun sudut-sudut dekorasi rumah semata-mata tetapi ia menghiasi keperibadian dan akhlak setiap ahli rumah . Perhiasan inilah yang mengikat jiwa-jiwa ahli keluarga sehingga mereka saling cinta-mencintai antara satu dengan yang lain kerana Allah SWT. Rumah yang tidak kedengaran bacaan Al-Quran di dalamnya adalah rumah yang kelam, suram dan gelap tanpa cahaya. Bahkan ia juga umpama rumah yang usang menanti saat untuk roboh walaupun pada zahirnya ia indah bagaikan istana kaca.

Program menghafal Al-Quranul Karim harus direncanakan secara tersusun, sistematik dan terancang dalam setiap unit-unit di dalam institusi pendidikan. Samaada badan organisasi, persatuan, atau unit sekecil institusi keluarga - agenda membaca, menghafal, memahami dan mengamalkan Al-Quran harus ada. Bukan sekadar mengadakan sahaja, tetapi ia harus diwajibkan sebagai agenda terpenting pembangunan keinsanan dan kemanusiaan.

Nabi Muhammad SAW sentiasa berkekalan membaca Al-Quran dan memohon ke hadrat Allah SWT supaya menjadikan Al-Quran itu sebagai penawar dan pelembut bagi Baginda, menjadi sinaran kepada penglihatannya serta pengubat segala kekecewaan dan kedukacitaan Baginda. Al-Quran akan menciptakan kebahagiaan jiwa dan kedamaian di dalam dada. Kita bagaimana? Adakah Al-Quran menjadi pengubat dan penawar utama kepada setiap permasalahan yang hadir dalam kehidupan kita?

" ( Iaitu ) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allahlah, hati akan tenteram."

[ Ar-Ra'd 13 : 28]

Tenangkan diri kita dengan mendengarkan bacaan yang indah, lembut dan menyentuh hati dari kitab suci Al-Quran. Bacaan daripada qari-qari yang lembut, bagus dan merdu - dapat menghantarkan kita kepada keredhaan Allah SWT dan ketenangan. Ia juga akan dapat menimbulkan keyakinan, kesejukan dan ketenteraman di dalam hati kita. InsyaAllah. Luangkanlah masa dalam sehari semalam unntuk membuka radio, rakaman kaset , MP3 atau laptop peribadi agar kita dapat mendengar alunan ayat-ayat cinta Allah SWT yang dibaca oleh qari-qari yang dikagumi.

Komentar - Seorang Hamba
  • Kerasnya kehidupan dengan pelbagai ujian, musibah dan dugaan telah banyak mengeraskan dan menggelisahkan jiwa kita bahkan mengusik ketenangan yang ada. Maka, rendamkanlah kegelisahan dan kekacauan itu dengan keindahan alunan suci dan zikir kepada Allah SWT. InsyaAllah, rasailah kemanisannya.

  • Setiap hari, apabila keletihan, kepenatan dan kelelahan - Al-Quran akan dicapai, dibuka dan ditatap. Mata tertumpu kepada setiap huruf yang mengindahi kalamullah ini. Saat ini, segala rupa gangguan, kepedihan, ketakutan, ketidakupayaan dan keperitan - akan beransur hilang apabila mendengar firman Allah SWT. Hati terasa nyaman, segar, sejuk dan kembali segar. MasyaAllah - luar biasannya ayat-ayat suci ini.

  • Marilah menyempatkan diri membaca Al-Quran, baik ketika sibuk mahupun ketika masa terluang. Senandungkan Al-Quran di dalam rumah yang indah binaannya, di sudut-sudut lapang pejabat, di tepi-tepi sungai, di pinggiran hutan yang merimbun, di dalam kereta yang meluncur di kota raya, di masjid-masjid yang ukirannya mempesona dan di seluruh bumi milik Sang Maha Pencipta. Semoga kalimah-kalimah suci bergema di mana-mana.

BroHamzah
Pengkalan Chepa I Kota Bharu
12 Mei 2011
3.35 Petang

Read more...

Tarbiyah Qur'aniyah

Tuesday, May 10, 2011

Belajar dan memupuk jiwa untuk mencintai Al-Quran

Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatullah, sekadar meninggalkan jejak di sini. Berteduh berkongsi rasa jiwa yang lara agar kita semua merasai secebis perasaan seorang hamba.

Pertemuan mingguan kami benar-benar meninggalkan bekas yang mendalam kepada jiwa saya. Sedar atau tidak - saya mempelajari dan dididik dengan suatu perkara.

Minggu ini, murabbi berpesan kepada kami :

“ Untuk menguasi diri dan mendidik hati kita, kita harus dekat dan mendampingi Al-Quran. Inilah rahsia yang dilakukan oleh para salaful soleh, ulama-ulama yang warak dan mukmin muslim yang tawaduk.”

Dekatilah Al-Quran dan bongkarkanlah rahsia yang terpendam di dalamnya. Berikan hak hati dan ruh untuk disinari dengan cahaya Al-Quran yang terang benderang. Tiada perkara yang mudah untuk bermujahadah melainkan kita perlukan kekuatan yang sebenar.

Dan, kekuatan kita sebenarnya adalah bersama Al-Quran! Dan ia bertambah kuat dan mengesani jiwa jika lantunan kalamullah ini dilantunkan di saat-saat penghujung malam yang kelam dan sunyi sepi tanpa suara. Berusahalah dan bertekadlah dengan jiwamu yang membara :

“ Wahai jiwa, celakalah kalian – bantulah aku
Dengan bersungguh-sungguh dalam usahamu di gemerlapan malam
Mudah-mudahan kalian pada hari Kiamat,
Meraih kehidupan nan indah pesona,
Di puncak-puncak ketinggian (syurga).”

Justeru,– saya dapat simpulkan bahawa :
  • Mendisiplin diri dengan pembacaan Al-Quran setiap hari dengan istiqamah dan konsisten adalah suatu tuntutan yang besar buat kita semua. Kita harus sedari bahawa kita benar-benar berhajat kepada sentuhan Al-Quran.

  • Tarbiyah qur’aniyah harus diagendakan dalam jadual kehidupan seharian. Berapa muka yang perlu dihabiskan? Berapa ayat-ayat Al-Quran yang telah dihafal dan diulang-ulang?

  • Memperbetulkan tajwid, makhraj, bacaan dan kelancaran pembacaan secara serius dan tersusun. Ia dilihat dengan jiwa yang hidup, berhimmah dan benar-benar berkemahuan.

  • Murabbi, mengalakan dengan nada yang serius sekurang-kurang setiap daripada kami harus khatam Al-Quran setiap 3 bulan sekali. Ini paling minimum.

  • Bermula saat ini, setiap daripada kami harus belajar dan membaca tafsir Al-Quran sebagai pengukuhan pemahanam dan mendalami Islam. Justeru, murabbi mencadangkan Juzuk 30 Tafsir Fizilalil Quran karya As-Syahid Syed Qutb sebagai tafsir yang harus kami baca, fahami, hadam dan bumikan.( Masih banyak lagi tafsir yang boleh kita pelajari dan baca, antaranya ialah Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Azhar ( Hamka), Tafsir Imam Qurtubi, Tafsir Jalalain, Tafsir al-Manar (Muhammad Abduh) dan banyak lagi.)

  • Tanda kita mencintai Allah SWT ialah kita mencintai Al-Quran. Bagaimanakah sikap dan interaksi kita dengan Al-Quran? Terwujudkan perasaan yang istimewa antara kita dengan Al-Quran? Atau bagaimana?

  • Gunakan kemudahan teknologi untuk mewarnai kehidupan kita dengan Al-Quran. Kita boleh pasangkan MP3 Al-Quran bacaan Qari-qari ( Sheikh Abdul Basit, Sheikh Muhammad Rafit, Sheikh Mishary Rashed Alafasy dan lain-lain) yang kita minati melalui telefon bimbit, radio kereta, laptop peribadi, komputer dan apa jua alat elektronik yang ada.

  • Lazimkan dan warnailah kehidupan keluarga kita dengan Al-Quran. Hidupkanlah suasana membaca, mentadabur, menghafal dan mempelajari Al-Quran. Yakinlah keberkatan dan keharmonian akan memayungi rumah tangga kita dengan payungan kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman. InsyaAllah.
Boleh ikuti kupasan lanjut di dalam artikel terbaru saya di Langit Ilahi, semoga ia bermanfaat :


BroHamzah
Kota Bharu I Kelantan
11 Mei 2011
2.45 Petang

Read more...

Meniup debunga-debunga Syurga

Sunday, May 8, 2011

Debunga-debunga Syurga



Meniup debunga-debunga Syurga

Oleh : BroHamzah



“ Kasih sayang akar hati, daya terkuat nadi”

Ungkapan di atas telah lama tersimpan dalam kotak memori dan minda saya. Kini ia mulai turun singgah ke jiwa hati saya. Kolam hati kian bergelora dengan perasaan itu.

Ya. Belajar tentang sesuatu yang asing dalam kehidupan kini. Sesuatu yang merupakan pantulan jiwa dan cerminan hati. Ia bukan boleh dilakonkan dan dizahirkan dengan wajah kepura-puraan.

Apabila melihat remaja-remaja pada hari ini, hati saya amat tersentuh dan sayu. Melihat kehidupan dan gaya hidup mereka riang gembira tanpa bimbingan menyebabkan saya rasa begitu kesian akan mereka. Sekiranya kita melihat mereka dengan kaca mata keimanan dan ketaqwaan, pasti kita akan menangis mengenangkan nasib remaja dewasa ini.

“ Mereka adalah mangsa keadaan dan dibesarkan dalam kehidupan masyarakat yang kian rosak.” Kata murabbi suatu hari.

Remaja hari ini adalah mangsa keadaan dan mangsa penindasan yang tiada tara zalimnya. Jahiliyah mencengkam hati dan jiwa mereka semahunya dan tiada langsung rasa belas dan kasihan. Mereka diratah semahunya dengan nilai-nilai dan moral-moral yang terlalu rendah nilainya. Mereka diheret seperti seekor lembu yang "tidak tahu apa-apa" menuju ke sebuah lembah kehinaan.

“ Air mata ini mengalir apabila bergaul dan berbicara luah jiwa bersama remaja. Jiwa mereka gersang, kosong dan amat jauh daripada Allah SWT,” Kata murabbi lagi.

Remaja hari ini dihinakan, dijijikan dan dikotori segala kesucian mereka yang suci lagi murni. Mereka tidak tahu apa-apa. Mereka perlukan bimbingan dan belas kasihan yang datang dari ketulusan hati dan kejernihan hati. Mereka adalah mangsa keadaan masyarakat yang tenat ini. Mereka adalah mangsa kerana ketidak prihatian kita.

Mereka tertindas dan teraniaya kerana kealpaan kita. Mereka amat memerlukan kita. Batin mereka menjerit dan meraung kesakitan. Hati mereka pedih dan sakit lagi bernanah. Jiwa mereka kosong dan terhiris dengan goresan-goresan jahiliyah. Luka-luka di jiwa mereka memerlukan rawatan sesegera yang mungkin. Mereka sakit dan perlukan ubat untuk menyembuhkannya. Penawar-penawar yang tulen, asli dan mujarab diperlukan untuk merawat kelukaan yang kian bernanah dan membusuk di jiwa dalaman mereka.

Mereka ini memerlukan belas ehsan dan pelukan kasih sayang. Mereka yang sakit ini memerlukan cinta dan pujukan manja keimanan dan ketaqwaan. Mereka yang fitrah pada asalnya perlukan ubat ketenangan iman untuk melegakan keperitan mereka. Mereka menitiskan air mata kerana sedih kekosongan dan kekeringan dalaman yang menusuk sanubari dan perasaan jiwa. Hidup mereka tertekan dan penuh keserabutan. Mereka ini adalah saudara kita.Mereka ini memerlukan sentuhan kasih sayang dan keperihatinan kita.

Wahai saudaraku, lihatlah mereka dengan kaca mata keimanan dan kasih sayang kita.Mereka memerlukan kita!

Jadi, apakah yang boleh kita lakukan?

Saya, teringat satu kisah yang saya baca di sebuah médium penulisan berkaitan kasih sayang. Kisahnya memikat jiwa dan hati saya untuk berkongsi dengan anda. Semoga ia bermanfaat.

Kisah : Kasih sayang, kejayaan dan kekayaan

Ia bermula begini. Di sebuah rumah di sebuah perkampungan yang mendamaikan dan penuh ketenteraman.

Keihatan seorang wanita sedang keluar dari rumahnya apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk dihalaman rumahnya. Dia tidak mengemal mereka.

Wanita itu bertanya, " Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar. Silalah masuk kerumah saya dan makan sesuatu."

"Adakah suami awak ada dirumah?", mereka bertanya. "Tidak", wanita itu berkata.

"Suami saya telah keluar."

"Jadi, kami tidak akan masuk", mereka menjawab.

Sewaktu suaminya pulang ke rumah pada petang itu, wanita itu pun memberitahunya kejadian tersebut. "Pergi beritahu mereka bahawa saya telah balik dan menjemput mereka masuk ke dalam sekarang!"

Wanita itu keluar dan menjemput ketiga-tiga lelaki tua itu masuk ke dalam. "Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama," mereka menjawab.

"Mengapa begitu?" soal wanita itu ingin tahu. Salah seorang dari lelaki tua itu pun menerangkan : "Namanya ialah Kekayaan,"

Dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk kearah kawan yang seorang lagi, " Dia adalah Kejayaan, dan saya adalah Kasih Sayang."

Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula kedalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput kedalam rumah." Wanita itu pun masuk semula kedalam dan memberitahu suaminya perkara tersebut. Suaminya berasa sungguh gembira.

"Bagusnya!!" dia berkata. "Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!" Isterinya tidak bersetuju.

"Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?"

Kebetulan, menantu perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya : "Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang? Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!" "Biarlah kita mengikut nasihat menantu kita itu," kata suami itu kepada isterinya.

"Keluar dan jemputlah kasih sayang sebagai tetamu kita." Wanita itu pun keluar dan bertanya kepada tiga lelaki tua, "Yang mana satu diantara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami."

Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah. Kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan :

"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"

Selingan dan ajakan sama-sama merenungi dan berfikir akan kisah ini. Kisah untuk memahami dan mengertikan sebuah bentuk sebaran debungan cinta dan kasih sayang. Debungan yang kecil akan menghinggapi dedaun hati manusia yang kian menghijau. Siraman air yang dicurahkan jika kena pada masa, cara dan suasananya, insyaAllah dengan izin Allah – kasih sayang ini akan menyebarkan keharumannya ke udara alam ini dengan bauan kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian yang semerbak haruman kasturi.

Ahli-ahli syurga adalah insan-insan yang di dalam jiwa – mereka - mekar dengan ruh cinta dan perasaan kasih sayang. Tiada perasaan dengki dan dendam kesumat di dalamnya, bahkan mereka melayari kehidupan di alam Syurga dengan bersenang-senang dengan tiupan keharuman cinta dan kasih sayang yang sejati.

Marilah kita tiupkan debunga-debunga Syurga ini dengan menyemai benih-benih cinta dan kasih sayang sesama kita.

Komentar - Catatan Seorang Hamba

  • Hidup ini indah, bermakna dan bermartabat jika kita memiliki perasaan bersulamankan kasih sayang dan menyebarkannya dengan ketulusan jiwa yang menghangat.
  • Saya tertarik dengan pengertian kasih sayang yang dinyatakan oleh seorang pelajar baru Minggu Silaturahim (MASIR) KTD. Katanya kasih sayang itu adalah sebuah ikatan ataupun hubungan yang dijalinkan semata-mata kerana Allah SWT. Bila wujudnya sebuah ikatan kerana Allah SWT, maka akan terbentuk dengan sendirinya perasaan kasih sayang dan cinta sesama kita.
  • Hati adalah tempat bertapaknya kasih sayang. Untuk meraih kasih sayang yang tulus, bersih, jernih dan putih - hati harus dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya. Justeru, hati perlukan penawarnya. Berikut adalah lima penawar hati.

BroHamzah
Jalan Long Yunus I Kota Bharu
8 Mei 2011
11.01 Malam


Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP