Year Of Weddings ( Ucapan Istimewa)

Thursday, December 31, 2009

DJ Hafiz ZA & Ustaz Yat di Majlis Walimatul Urus Fadhli & Husni
Fadhli Md Diah & Pasangannya. Semoga Bahagia dan Selamat Mengharungi Bahtera Baitul Dakwah
Sepupu Saya, Habib Bin Halim & Pasangannya. Selamat Pengantin Baru

Alhamdulillah, tahun 2009 ini Ramai sahabat-sahabat dan kawan-kawan serta kenalan saya yang mendirikan rumah tangga. Ada yang sempat saya hadir dan ada yang hanya sempat mengirimkan SMS ucapan tahniah.

Antaranya

Muzakkir Che Ani
Ustaz Wan Nahar Othman
Amru Irfan
Khalid Al -Walid
Noor Asrul USM
Suheil Rabbani
Rizal UTM
Dzulkhairi UM
Nazifi Nawawi UM
Shahrul UM

Tahniah semua. Semoga kekal bahagia sehingga ke akhir hayat.

Read more...

Di Ambang Tahun 2010 - Cita-cita & Harapan

Wednesday, December 30, 2009

Saya ada cita-cita dan harapan untuk diri, keluarga dan Ummah ini!

Di Ambang Tahun 2010 – Cita-cita & Harapan

Oleh : BroHamzah


2010, akan ku jejaki

Melangkah dengan segenap kekuatan rohani

Membina impian seorang insani

Mengorak langkah mencipta visi dan misi

Agar Redha Ilahi menjadi pasti


2009, ku tinggal pergi

Doa kupanjat kepada Ilahi

Atas segala kurniaan tidak terperi

Akan terus disyukuri

Hingga ke akhir hayat nanti


KITA DAN MASA

Esok, 1 Januari 2010. Saya, anda dan kita semua akan memulakan 1 tahun yang baru. Bertambah lagi usia dan umur. Bermakna kita semakin membesar dan semakin dewasa. Dan yang penting, kita semakin menghampiri detik-detik pertemuan dengan kematian dan pertemuan dengan Allah SWT

Hampir seminggu saya menganalisis dan melihat kembali pencapaian dan peningkatan saya dalam tahun 2009. Alhamdulillah, ada yang tercapai dan ada yang belum memuaskan hati dan jiwa saya. Pada 1 Januari 2009, saya telah menyenaraikan 49 perkara yang akan saya laksanakan dan lakukan sepanjang 2009. Alhamdulillah 80 % telah Berjaya dicapai. Yang belum dicapai, akan saya lakukan post mortem dan akan ditingkatkan usaha kearah pencapaiannya pada tahun 2010. Seperti biasa, saya akan melakukan Pernyataan Misi atau Mission Statement yang telah 3 tahun saya amalkan dan biasakan dalam hidup saya. Inilah rahsia dan tips saya dalam merancang dan membina TEKAD dan AZAM dalam menghadapi kehidupan.

MISSION STATEMENT

Dalam menyenaraikan Misi dan Target saya dalam setahun, saya akan memecahkan MISI ini kepada 5 pecahan yang lebih kecil. Saya kecilkan skop-skop target berdasarkan beberapa bidang dan fokus. Berikut adalah pecahan yang saya lakukan :

SKOP 1 : Dakwah & Tarbiyah

SKOP 2 : Kerjaya dan Akademik

SKOP 3 : Pengurusan Kewangan

SKOP 4 : Peningkatan Kemahiran Insaniah (Soft Skill)

SKOP 5 : Hubungan Sosial & Ilmu Pengetahuan Umum

Kenapa saya buat begini? Bagi setiap SKOP akan saya senaraikan TARGET, AZAM, IMPIAN & CITA-CITA yang ingin saya capai dan laksanakan. Dan saya juga akan letakan TARIKH/MASA untuk dicapai target tersebut dan juga perancangan serta pelan tindakan untuk setiap skop tadi agar ia menjadi suatu yang realiti.

Mission Statement ini pernah saya kongsikan secara formal apabila saya masukan ia ke dalam modul Fasilitator ketika mengajar dalam Kursus Intensif Bahasa Arab, Kepimpinan dan Dakwah (KIBAR) awal tahun 2009. Secara umumnya, agar sukar untuk saya jelaskan kepada para peserta tanpa ia dilakukan secara praktikal. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mereka mendapat gambaran secara umum.

Semalam, semasa pulang dari Kota Bharu menuju ke Pulau Pinang, saya habiskan masa dengan menyenaraikan seberapa banyak mungkin TARGET & AZAM saya untuk tahun 2010. InsyaAllah, bermula esok saya akan susunkan ia mengikut SKOP yang biasa saya lakukan.

KENAPA PENTING MENETAPKAN TARGET & AZAM KITA?

Soal pentingnya untuk menetapkan matlamat, target dan azam bergantung kepada nilaian dan pandangan sisi seseorang kepada kehidupannya. Ada sesetengah kita yang sangat memandang serius tentang kehidupannya dan ia mempunyai wawasan yang jelas tentang apa yang ingin dicapai dalam hidupnya.

Baru-baru ini, saya sempat bersembang melalui YM dengan seorang sahabat dan junior saya semasa sekolah dahulu. Hilal Asyraf namanya. Kini, beliau semakin dikenali sebagai seorang penulis novel dan mempunyai websitenya sendiri. ( http://langitilahi.com)

Hilal Asyraf yang saya kenal adalah seorang yang mempunyai cita-cita yang tinggi dan kekuatan beliau adalah TEKAD & AZAM yang kuat untuk merealisasikan impiannya. Saya sempat berbual tentang perancangan untuk tahun hadapan. Wah! Jangan terkejut, tahun depan beliau mempunyai banyak plan yang akan memberangsang kita untuk terus memajukan diri dan menggilapkan potensi dalam menyebarkan dakwah ke seluruh alam.

Tahun 2008, Hilal Asyraf ada menyatakan bahawa dia akan menerbitkan novel yang bertemakan ukhuwah dan tarbiyah Islam. Ketika itu, saya hanya menjadi pendengar dan seakan-akan tidak mempercayainya. Namun dalam hati saya,melihat dirinya yang bersungguh-sungguh dan berkobar-kobar saya amat yakin impiannya itu akan tercapai. Dan tahun 2009, Hilal Asyraf telah membuktikan kepada saya, bahawa dia benar-benar serius dan akhirnya kini novelnya telah berada di pasaran.

Sebenarnya, banyak perkara yang saya belajar daripada Hilal Asyraf ini. Walaupun masih muda, beliau ada sesuatu yang luar biasa. Iaitu BERJIWA BESAR dan BERWAWASAN JAUH. Daripada Hilal juga, saya belajar apa itu erti TEKUN, USAHA & BERSUNGGUH-SUNGGUH.

AYUH KITA BINA CITA-CITA & HARAPAN

Sukarkah kita untuk menjadi hebat dengan diri sendiri.?

Payahkah kita mengoptimumkan keupayaan diri untuk dimanfaatkan oleh Islam?

Masih ragukah kita dengan proses pendidikan yang kita lalui hari ini?

Tidak yakinkah kita bahawa kita sebenarnya sentiasa mampu melakukan sesuatu perkara jika kita ada cita-cita dan harapan?

Saya ingin mengajak kepada semua sidang pembaca, rakan-rakan dan teman-teman untuk membina cita-cita dan harapan yang tinggi. Kita tajamkan diri dengan proses Dakwah dan Tarbiyah sehingga kita mampu memberi apa yang kita ada semaksima yang mungkin.

Kita bina semua ini kerana modal untuk meraih kejayaan sudah berada di dalam genggaman kita. Modal itu adalah KEMAHUAN, CITA-CITA & HARAPAN. Dengan adanya kemahuan, kita mampu membina semua kejayaan dengan langkahan yang jitu dan padu. Jika diuji dengan warna-warni ujian dan cabaran, pasti kita akan sanggup menghadapinya kerana apa? Kerana kita ada kekuatan yang sangat besar iaitu KEMAHUAN!


AKHIRNYA

Ayuh teman, kita bina cita-cita dan harapan.

Agar diri kita sentiasa menjadi insan dan seseorang.

Insan yang berguna dan bermanfaat kepada orang di sekelilingnya

Menjadi seseorang yang ada maruh, cita-cita dan impian.

Dan akhirnya kita dapat MEMBERI sesuatu kepada masyarakat dalam rangka ubudiyah kita kepada Allah SWT.

Semoga tahun 2010, menjanjikan produktiviti yang lebih baik, cemerlang dan cermat berbanding tahun 2009.

Hiduplah untuk sesuatu yang tinggi dan mulia.

Read more...

KIBAR 2009 Versi UPSR

Detik itu Bermula
Pendaftaran KIBAR 2009
Latihan Team Work & Public Speaking
Peserta Puteri sedang berada dalam Halaqah Al-Quran
Jalan-jalan melihat Alam
Kembara Alam ke Bukit Jernih. Aktiviti yang paling Best, kata para peserta!
Gotong Royang Membersihkan Mussola
Tokoh KIBAR 2009, Adik Ali Hilmi Bin Ismail

Read more...

KIBAR - Menjadi Pelayan Ummat

Rekreasi Kembara Alam KIBAR 2009
Dikendalikan sepenuhnya oleh Fasilitator Kelab RMC Training Centre

K.I.B.A.R - Menjadi Pelayan Ummat

Luahan Rasa : BroHamzah

FASILITATOR TERBAIK

“ Ana sebenarnya ada meminta adik-adik peserta untuk memilih abang-abang dan kakak-kakak Fasilitator yang mereka rasakan yang terbaik di kalangan antum semua, “ Ujar saya kepada Fasilitator KIBAR Lepasan UPSR pada malam post mortem terakhir.

“ Setiap adik-adik perlu memilih hanya seorang sahaja dikalangan antum fasilitator yang terbaik bagi mereka dan ana juga meminta mereka nyatakan sebab mereka pilih abang atau kakak fasi tersebut.” Saya jelaskan kepada para Fasilitator tentang “undian rahsia” yang saya buat tanpa pengetahuan mereka.

“ Di tangan ana ada kertas yang ditulis oleh adik-adik tentang antum dan ana akan serahkannya kepada antum semua untuk dibaca,” ujar saya sambil menyerahkan kertas tersebut kepada semua Fasi.

Sambil mereka membaca kertas masing-masing, saya memerhatikan riak wajah dan air muka mereka. Ada yang tersenyum dan ada ketawa. Kebanyakan berubah air muka. Saya tersenyum sendiri.

“ Inilah luahan hati adik-adik terhadap antum. Cuba antum baca dan teliti. Apa punca mereka memilih antum sebagai Fasilitator kegemaran mereka?,” Soal saya.

Itulah antara intipati post mortem terakhir KIBAR 2009 baru-baru ini. Saya banyak menekankan kepada Fasilitator dibawah kendalian saya tentang peranan dan tugas fasilitator yang berkesan dalam menjayakan sesebuah kem. Malam itu, sengaja saya berikan kertas undian Fasilitator terbaik kepada mereka. Kebanyakan mereka mendapat tempat dihati dan dipilih oleh adik-adik.

Jika dilihat kepada faktor-faktor kenapa mereka dipilih sudah menerangkan kepada saya bahawa dalam memikat dan memenangi hati manusia kita perlukan kekuatan yang utama iaitu SENYUMAN, PERHATIAN dan SENTUHAN KASIH SAYANG. Berikut adalah beberapa komen dan sebab adik-adik memilih seseorang Fasi itu sebagai Fasilitator pilihannya yang saya sempat baca :

Kakak ini sangat baik hati dengan saya

Dia seorang penyayang dan mengambil berat tentang saya

Sangat Memahami jiwa saya

Abang ini suka buat lawak dan bergurau dengan saya

Dia rajin tolong adik-adik terutamanya jika ada masalah

Kakak suka senyum dan sentiasa Tanya khabar tentang saya

Abang selalu tekun membantu saya membaca Al-Quran

Itu adalah sebahagian yang ditulis oleh adik-adik peserta.

“ Apabila antum baca komen adik-adik, apa yang antum rasakan?,” Soal saya kepada semua Fasilitator.

“ Inilah kunci untuk menambat jiwa dan hati manusia,” Saya simpulkan.

KHADIMUL UMMAH

Visi kita sebagai trainer dan fasilitator adalah Khadimul Ummah atau Pelayan Ummat,” Inilah perkara yang selalu saya ulang-ulangkan kepada mereka.

Menjadi Pelayan kepada para peserta dan menjadi pemudah cara yang baik memerlukan pemahaman kepada jiwa manusia. Malam itu kami berkongsi banyak perkara tentang pengalaman dalam kem ini.

Fasilitator atau pemudah cara adalah individu yang sangat penting di dalam menjayakan keberkesanan sesebuah kem. Konsep yang selalu saya bawakan bersama-sama rakan-rakan dalam mengendalikan kem adalah fasilitator perlu sentiasa bersama para peserta. Merekalah yang akan menjalinkan hubungan hati dan membina jambatan hati dengan para peserta. Bagi saya tugasan Fasilitator ini adalah medan praktikal dalam melatih diri untuk menjadi dai’ yang tulin.

“ Kita berhubung dengan manusia atau para peserta melalui jiwa dan perasaan. Bukannya kata-kata atau tindakan arahan semata-mata. Dengan jiwa dan hati, kita akan menyentuh hati dan perasaan mereka,” Saya menambah simpulan yang saya buat.

KIBAR ITU BERLALU PERGI

KIBAR lepasan UPSR sudah 2 minggu berlalu, namun hati dan jiwa saya masih terawang-awang merentasi suasana kem tersebut. Segala kenangan bersama semua Fasilitator dan adik-adik peserta masih lagi dalam minda dan bayangan perasaan saya. Sukar untuk saya gambarkan melalui tulisan dan kata-kata.

Antara perkara yang saya belajar dari kem ini ialah ;

Pertamanya

Kebanyakannya para peserta merupakan pelajar darjah 6 dan tidak pernah berpisah dengan ibu bapa mereka. Dan boleh saya katakan hampir kesemua mereka pertama kali berpisah dengan keluarga untuk tempoh yang agak lama. Dan disebabkan inilah saya belajar cara untuk memujuk mereka. Kenapa? Ramai dikalangan adik-adik yang menangis ingin pulang ke rumah. Seingat saya ada 4 orang yang menangis di depan saya merayu untuk pulang. Saya rendahkan diri dan memujuk dengan kata-kata yang lembut.

“ Adik sayang emak tak?,” Soal saya dengan nada yang berhikmah.

“ Sayang,” Jawabnya sambil menahan tangisan.

“ Kalau adik sayangkan emak dan abah adik, adik kena buktikan kasih sayang tersebut.” Pujuk saya dengan kata-kata yang lembut.

“ Buktikan kepada abang, adik akan teruskan bersama abang di kem ini sehingga tamat KIBAR. Kalau sayangkan emak dan abah, adik kena jadi anak yang baik dan soleh. Emak dan Abah hantar ke kem ini mesti ada harapan yang tinggi.” Saya terus memujuk dengan kasih sayang.

Alhamdulillah. Ada respon yang baik daripadanya.

“ InsyaAllah, abang. Saya cuba.” Jawab adik tersebut.

Itu pengalaman yang baru bagi saya. Kenapa ye? Saya ini sebenarnya tidak pandai memujuk. Tetapi kerana pengalaman ini, saya belajar satu perkara baru.


Kedua

Saya belajar erti kasih sayang, merendahkan diri dan mengasihi manusia. Saya belajar bagaimana mengendalikan manusia dengan perasaan dan jiwa bukannya semata-mata dengan arahan melalui kata-kata dan memahami erti kasih sayang dan kepentingannya.

Sebuah kem itu akan hidup dan meninggalkan makna kepada para peserta apabila mereka merasai sesuatu yang baru dan meninggalkan kesan kepada hati mereka. Dan perkara yang paling menyentuh hati mereka apabila layanan dan kemesraan yang diberikan adalah melalui sentuhan kasih sayang dan perhatian yang ikhlas tanpa dibuat-buat. Daripada pemerhatian saya, kebanyakan Fasilitator KIBAR telah berjaya melakukan perkara ini. Mereka benar-benar berjaya membuktikan mereka adalah pelayan ummat kepada adik-adik peserta.

Tidak jemu melayan dan bersabar dengan karenah para peserta. Saya memerhati dan dari sinilah saya belajar melalui para Fasilitator. Tahniah buat antum!

SAAT PERPISAHAN

Setiap pertemuan pasti ada saat perpisahannya. Setelah 15 hari bersama, kami lalui KIBAR ini banyak pengalaman dan pengajaran yang kami timba. Ini bukan sahaja kepada para peserta tetapi untuk semua pihak. Termasuklah urusetia dan fasilitator sendiri.

Kami akhiri KIBAR dengan sesi sharing moment dan bersalaman. Saat paling sayu adalah ketika bersalaman dengan adik-adik. Kesemua adik-adik gagal mengawal perasaan dan akhirnya gugur jua titisan air mata membasahi pipi masing-masing. Dan saya jua tidak dapat menahan sebak. Bayangkan 15 hari bersama, tentunya bibit-bibit hubungan keinsanan itu sudah terbina dan perpisahan itu bermakna kami akan pulang ke tempat masing-masing, dan entah bila akan bertemu kembali.

Saya sebagai Kem Komandan ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada semua yang terlibat terutama Pengarah KIBAR Ustaz Zainudin Zakaria dan tenaga pengajar KIBAR yang banyak membantu seperti Ustaz Wafi, Ustaz Hairey, Ustaz Aswadi dan lain-lain. Timbalan saya Abdul Qawiem Baki, Azhar Hilmi ( Kem Kom pelatih) dan juga Siti Hajar Atiqah. Tidak lupa juga kepada Fasilitator yang hebat-hebat. Antum adalah yang TERBAIK!! Akhirnya buat adik-adik KIBAR 2009, Abang Ali akan sentiasa merindui adik-adik semua. Jumpa Lagi!.

Read more...

KEM JATI DIRI 2009

Monday, December 28, 2009

KEM JATIDIRI 2009

Kini, saya sedang berada di sebuah Kem JATI DIRI yang sedang berlangsung di Kolej Teknologi Darul Naim. Membantu untuk kelancaran program.

Seruan saya, ingin saya mengajak sahabat-sahabat Majlis Tertinggi dan ahli-ahli HALUANSiswa seluruh Malaysia untuk melibatkan diri dalam Kem ini.

Kem ini julung-julung kali kita adakan untuk adik-adik lepasan SPM, dah seharusnya peluang untuk memberi sumbangan, tenaga dan khidmat kepada mereka digiatkan dan diaktifkan. Ayuh, gerakan diri anda untuk berkhidmat dan berbakti. Pihak urusetia amat mengalu-alukan kehadiran anda. Jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Hubungi Saudara Anaqi Salleh untuk maklumat lanjut. 013-5900750

Read more...

Ibrah 2009 K.I.B.A.R

Keluarga KIBAR 2009

Ibrah 2009 – K.I.B.A.R

Cetusan Hati : BroHamzah Jr

Sedarkah kita?

Beberapa hari lagi kita akan memasuki tahun 2010. Ini bererti bertambah lagilah satu tahun umur kita. Dan meningkatkan juga pengalaman dan pelbagai aspek di dalam hidup kita. Penilaian dan melihat semula perjalanan laluan hidup kita menjadi agenda yang mesti kita lakukan pada saat ini.

Review, muhasabah, post mortem dan apa jua istilah yang diberikan pada dewasa ini, kita seharusnya sedar dan menjadikan ia sesuatu yang penting untuk dilakukan. Bagi mereka yang mempunyai wawasan dan matlamat yang jelas dan terang, ia akan merasai keperluan untuk melakukannya. Sama-sama kita lakukannya untuk melihat tahap diri sendiri dan bersedia untuk meningkatkan diri.

UKIRAN SEJARAH 2009

Alhamdulillah, susunan dan ketentuan ALLAH SWT saya diizinkan olehNya untuk berkerja, berkhidmat dan menetap di negeri Perlis Indera Kayangan ( Kini kebanyakan orang kata Darul Sunnah). Setahun di sini, saya berkerja dan mengajar di sebuah IPTA iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dan juga terlibat secara langsung dengan sebuah syarikat pembangunan Modal Insan iaitu RMC Training Centre. Tahun ini juga saya banyak ilmu, pengetahuan dan kemahiran insaniah (soft skill) yang saya perolehi. Dan yang menariknya kesemuanya adalah sesuatu yang baru buat saya. Jika ditanya apa perasaan saya, jawapannya adalah SYUKUR. Inilah nikmatnya dan kepuasannya.

Teringat saya pesan seorang Murabbi saya : “ Tarbiyah kita adalah tarbiyah amaliyah. Ia sentiasa menuntut perubahan dan peningkatan.” Proses tarbiyah yang dilalui sangat-sangat menuntut kepada peningkatan. Tanpa peningkatan, kita akan berada pada tahap biasa-biasa. Tahap yang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Kekadangan saya suka menyebut sebagai tahap yang akan menjumudkan kita. Tarbiyah yang berbentuk teori dan dibentang dalam bentuk falsafah yang memberatkan sehingga tarbiyah itu sendiri dirasakan sebagai satu bebanan dan menjemukan. Harapan kita, tarbiyah itu merubah cara kita berfikir, cara bertindak dan seterusnya cara kita membuat keputusan dalam hidup ini.

KIBAR 2009

Saya ingin kongsikan 1 kem yang banyak memberi pengajaran dan input yang sangat berguna kepada saya secara peribadi. Kursus Intensif Bahasa Arab, Dakwah dan Kepimpinan (KIBAR) khusus untuk Lepasan SPM yang berlangsung pada Januari sehingga Mac tahun inindan Kursus Intensif Bahasa Arab dan Pemantapan (KIBAR) khusus untuk Lepasan UPSR yang baru sahaja selesai minggu lepas yang berlangsung pada 1-15 Disember 2009. Kedua-dua kem ini ringkasan namanya adalah KIBAR. Saya mulai tahun 2009 dengan KIBAR dan mengakhirinya juga dengan KIBAR.

Apa istimewanya KIBAR kepada saya?

KIBAR telah mengajar saya erti memberi dan berkongsi dengan sejujurnya.

KIBAR juga telah membentuk saya untuk menjadi insan yang penyayang dan pemurah

Penyayang dengan bekalan kasih sayang dan Pemurah dengan bekalan senyuman dan perhatian.

KIBAR juga melatih saya untuk sentiasa menjadi pendengar yang baik dan juga pemerhati yang sentiasa peka dan sensitif dengan keadaan sekeliling.

KIBAR LEPASAN SPM 2009

Inilah kem yang paling lama saya kendalikan. 3 Bulan, ia bukanlah tempoh yang singkat. Namun, dalam tempoh masa ini saya lalui pelbagai perasaan. Saat gembira, ketawa, riang, marah, sedih, terkilan,terasa, jemu, bosan, tertekan, tenang, bahagia, damai dan sayu. Semua perasaan ini telah dianugerahi oleh Allah SWT kepada saya sepanjang tempoh itu. Dan yang paling sukar saya lupa adalah peserta-peserta KIBAR 2009 ini. Terutamanya peserta lelaki.

Qawiem Baki, Mohsin Suhor, Nur Muhammad Mohsin, Zulkarnain, Fian Mursyidi, Hafiz Maarof, Siddiqi Ismail, Naqib, Nu’man Afifi, Solehuddin Zul, Khairi Asri dan Syairazi. Dan juga tenaga penggerak KIBAR seperti Azri Bashiron, Cikgu Azmi dan Ustaz Zainuddin Zakaria.

Dengan mereka ini, saya belajar untuk merendahkan diri dan berkongsi segala ilmu dan pengalaman yang ada. Alhamdulillah, selepas 3 Bulan. Saya semakin akrab, kenal dan mesra dengan mereka. Apa yang saya dapat dari KIBAR LEPASAN SPM 2009 :

Pertama

Mengurus kem yang tempohnya memakan masa yang lama dan belajar bagaimana untuk me”maintain”kan mood serta perasaan mereka. Saya belajar untuk sentiasa bersama dan memahami mereka. Alhamdulillah, saya belajar bagaimana memenangi hati manusia dengan mereka ini.

Kedua

Belajar pengurusan dan mengurus kem dengan sistematik dan teratur. Saya dapat juga membentuk sistem pengurusan bagi kursus-kursus yang memakan masa yang lama dan panjang. Sistem ini akhirnya saya laksanakan dalam kem KIBAR LEPASAN UPSR baru-baru ini. Alhamdulillah.

Ketiga

Mengembangkan modul Fasilitator Berkesan dan Pengenalan Kepada Pengendalian Kem.Alhamdulillah perkongsian ilmu dan pengalaman mengendalikan kem selama 2 tahun dikongsikan bersama mereka. Alhamdulillah, separuh daripada mereka menunjukan minat untuk mendalami bidang kefasilitatoran ini. Dan hampir kesemua menunjukan peningkatan dalam mengembangkan kemahiran dalam mengurus kem dan menjadi fasilitator yang baik.

Keempat

Saya belajar merendahkan diri. Tinggal bersama mereka dan HIDUP dengan mereka. Usia yang berbeza bukanlah penghalang untuk menjalinkan silaturahim dan membina jambatan hati. Di sini saya sedar, kita manusia adalah sama dan yang membezakan kita adalah TAQWA. Kerendahan hati itu dibina atas kesedaran untuk memberi dan berkongsi dan akhirnya saya menerima kepuasan yang tidak terhingga. Alhamdulillah.

Itu KIBAR LEPASAN SPM, KIBAR LEPASAN UPSR bagaimana pula? Nantikan post seterusnya..

Sekian wassalam

Read more...

Pohon Kemaafan

Thursday, December 24, 2009

Kursus Intensif Bahasa Arab dan Pemantapan Ibadah (KIBAR 2009)
Lepasan UPSR
Bismillahirahmanirahim




Alhamdulillah, segala puji kepada Allah SWT yang memberi kesempatan kepada saya untuk mencoret sesuatu setelah genap sebulan menyepi daripada blog BroHamzah ini. Segan sebenarnya saya ingin katakan saya SIBUK. Kerana di sana terdapat ramai lagi individu-individu yang benar-benar sibuk tetapi mampu melakukan banyak perkerjaan dalam satu masa.


Saya gagal sebenarnya dalam mengurus waktu yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada saya. Banyak masa yang terbuang dan seharusnya saya perlu SEDAR akan hakikat ini. Kemahiran mengurus masa dan merancang sesuatu pekerjaan seharusnya saya jadikan agenda penting di dalam hidup.

Sepanjang Bulan Disember, saya telah diamanahkan untuk mengendalikan satu kursus yang sangat bermakna buat saya. Kursus Intensif Bahasa Arab dan Pemantapan Ibadah. Uniknya kursus ini memakan masa yang agak lama iaitu 15 hari. Bermula 1 Disember sehingga 15 Disember 2009. Saya akan kongsikan beberapa pengalaman baru tentang kursus ini.InsyaAllah.

2010, bakal kita temui tidak lama lagi. Cuma ingin saya nyatakan di sini. 2010 akan membawa banyak perubahan kepada saya. Perubahan dalam fasa-fasa kehidupan saya. Perubahan kepada pengalaman dan perkongsian hidup saya. Kini, saya sedang review balik mission statement 2009 saya dan dalam proses membina mission statement 2010. Banyak perkara-perkara baru dan menarik yang saya nyatakan dalam MS kali ini. Saya benar-benar teruja!


Sekadar itu sahaja coretan kali ini. Saya memohon maaf kepada mereka-mereka yang sentiasa menantikan pengisian daripada blog ini. InsyaAllah bermula tahun 2010, lebih banyak perkongsian akan saya laksanakan. Doakan.

Read more...

Remaja dan Keunikan Dunia Keremajaan

Tuesday, November 24, 2009

Remaja Mulia, Ummah Menantimu


Remaja dan Keunikan Dunia Keremajaan
Oleh : BroHamzah

Hari ini, apabila menyebut tentang remaja pastinya kita akan memberikan beberapa gambaran mengenai golongan ini. Saya sukakan alam remaja dan ingin berkongsi berkaitannya. Kenapa tidaknya, kerana saya juga adalah remaja dan sedang melalui alam remaja dan berada dalam dunia remaja yang penuh dengan misteri dan kompleks.

Zaman remaja adalah zaman peralihan daripada kanak-kanak menuju alam dewasa. Ia merupakan zaman yang penting dan genting. Ia penting kerana ia merupakan zaman proses pencarian indentiti diri dan ia juga merupakan tempoh masa yang sangat proaktif dan produktif. Zaman remaja adalah masa yang dihiasi dengan semangat berkobar-kobar dan keberanian yang luarbiasa. Masa muda ini jugalah ia menjadi tempoh penyediaan bekalan dihari tua.



Ia genting, kerana zaman inilah membuaknya perasaan ini mencuba. Mencuba segala sesuatu yang baru tanpa melihat kepada kesan positif dan negatif. Dan tempoh ini juga genting kerana tempoh ini bermulalah fasa pencarian diri dan indentiti sebelum melangkah kea lam dewasa yang lebih mencabar dan penuh dengan dugaan kehidupan.

Cabaran Mendidik Diri Semasa Remaja

Sewaktu di Tingkatan 4, saya mengalami krisis pencarian identiti yang agak kompleks dan proses pembinaan diri yang sangat merumitkan. Sepanjang tempoh itu, keperibadiaan saya tidak stabil dan emosi yang sering terganggu. Setiap input proses Tarbiyah akan saya terima dan diproses di dalam diri untuk melahirkan suatu kefahaman. Namun apabila disesuaikan dengan realiti, saya benar-benar keliru dan apa yang saya terima daripada kefahaman yang ada bercanggah dengan suasana yang ada. Ketika itu saya benar-benar tertekan. Jiwa memberontak dan kehidupan yang dilalui benar-benar membebankan.

Ketika itu saya berjalan tanpa bimbingan dan panduan. Namun Alhamdulillah, di sana terdapat insan-insan yang ikhlas dan jujur hatinya dalam membantu saya dalam memperbaiki diri dan tidak jemu untuk melorongkan saya ke arah jalan yang benar. Di penghujung tingkatan 4, saya mulai berminat untuk mengkaji tentang alam remaja. Ketika itu saya banyak membaca buku-buku yang berkaitan psikologi remaja dan segala berkaitan misteri alam remaja. Bermula saat itu lah saya mulai sedar, alam yang sedang saya lalui ini adalah alam yang sangat KRITIKAL, GENTING dan SANGAT PENTING dalam fasa-fasa pembesaran kehidupan saya.

Keunikan Dunia Remaja



Mendidik remaja merupakan satu cabaran besar bagi ibu bapa. Seringkali ibubapa menitiskan air mata kerana gagal dalam mendidik anak-anak remaja mereka. Berdasarkan pengalaman-pengalaman dalam mengendalikan program-program atau kem-kem yang melibatkan remaja , saya mulai sedar kepada suatu hakikat bahawa remaja mempunyai keunikan mereka yang tersendiri .



Saya pernah membaca satu artikel yang ditulis oleh seorang Murabbi saya berkaitan dunia remaja :



“ Mereka (remaja) ini mempunyai dunia mereka sendiri dengan bahasa, nilai dan budaya mereka sendiri. Berinteraksi dengan remaja dengan mengabaikan hakikat ini adalah satu tindakan sia-sia yang akan menatijahkan kegagalan dan kekecewaan. Oleh itu, kita perlu memahami dunia mereka terlebih dahulu supaya kita benar-benar dapat berinteraksi dengan jiwa mereka. Kita perlu ziarah dan menetap di dunia mereka untuk satu tempoh hingga kita dapat memahami bahasa, nilai dan budaya mereka sebelum kita melakukan sebarang tindakan untuk membetulkan mereka. Penguasaan kita dalam bahasa mereka akan memudahkan kita memahami dan menghayati nilai dan budaya mereka. Semakin fasih kita berbahasa dengan bahasa mereka, semakin mudah untuk kita bergaul dan diterima sebagai ‘warga’ mereka dan barulah mudah untuk kita memahami nilai dan budaya mereka.”



Salah satu halangan yang paling besar ketika proses pencarian identiti semasa remaja, adalah PENGARUH Rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya adalah faktor utama kepada perubahan dalam diri seorang remaja. Benar atau tidak? Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, ia adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Dengan siapa kita berkawan, bergaul dan bersama akan mempengaruhi corak pemikiran dan ia akan memberi kesan yang besar kepada proses pencarian identiti seorang remaja.

Remaja Hari Ini



Di era Millinium ini cabarannya terlalu berbeza. Ketika berdepan dengan globalisasi (perkongsian maklumat dan budaya) remaja kita membesar tanpa sentuhan kasih sayang. Kemewahan dan kesibukan duniawi hasil dari cara hidup kapitalis menjadikan hati-hati anggota keluarga sering berjauhan. Kalau kemiskinan dan kekurangan mengasah jiwa manusia agar menjadi kental dan tabah….tetapi kemewahan menjadikan jiwa manusia lemah dan manja.



Saya suka mengambil analogi Prof Hamka berkaitan persekitaran dan perkembangan jiwa manusia, katanya “Ikan di sungai lebih baik dan sedap isinya dari ikan di kolam”. Ya, ikan di sungai hidupnya sentiasa menentang arus. Hari-hari yang ditempuhinya adalah perjuangan atau survival diri. Manakala ikan di kolam hari-hari yang dilaluinya adalah hari-hari libur, santai dan kerehatan kerana itu isinya hanyir dan tawar berbanding ikan di sungai. Kesusahan menjadikan pemikiran kita tajam dan jiwa lebih matang.



Ketika kehidupan terlalu menekan manusia akan lebih cenderung pada nilai-nilai asasi kehidupan. Perjuangan mereka ialah untuk kesatuan, kebersamaan dan kepentingan bersama. Sedangkan kesenangan dan kemewahan menyibukkan kita dengan keinginan dan impian yang lebih bersifat peribadi. Ibnu khaldun dalam kitabnya Muqaddimah pernah menyebut “ Pemuda-pemuda yang lahir dan membesar dalam suasana yang sukar dan tertekan lebih memikirkan keperluan masyarakat dari keperluan diri sendiri manakala pemuda yang lahir dan membesar dalam suasana kemewahan lebih mengutamakan diri sendiri dari masyarakatnya”.

Mencari Remaja Mulia dan Hebat



Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la :



“ Sesungguhnya Allah SWT sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda( waktu bergembira dan bersuka ria) .”

Siapa pemuda yang hebat yang kita ingin miliki? Hari ini kita kehilangan tokoh-tokoh keperibadian yang boleh menjadi contoh kepada masyarakat. Lihatlah remaja yang ada. Hanyut dibuai mimpi-mimpi palsu dan tenggelam dalam gelora nafsu yang sentiasa menipu.

Kita inginkan pemuda seperti Mus’ab Bin Umair yang teguh mempertahankan keyakinannya walaupun diancam oleh Ibunya yang dikasihi. Kita hajatkan susuk tubuh pemuda umpama Bilal Bin Rabah yang tabah menghadapi segala ujian dan seksaan hebat oleh pihak Kafir Musyrikin. Kita idamkan pemuda yang berpandang jauh dan hebat kepimpinan seperti Sallahudin Al-Ayubi yang Berjaya menawan kota empayar musuh Islam. Kita impikan pemuda yang hatinya sebersih Hassan Al-Banna yang memimpin Gerakan Islam yang hebat di usia yang begitu muda.

Wahai remaja mulia? Di mana kalian ketika ummah ini benar-benar memerlukan kalian?

Read more...

Kehilangan

Tuesday, November 10, 2009

Kehilangan Islam Yang Kelam ,Yang Akan Kembali Bersinar

Kehilangan
Oleh : BroHamzah

Setelah memiliki sesuatu yang amat kita hargai dan sayangi, sudah tentu ia akan menyenangkan dan menggembirakan hati kita. Namun, apabila Allah SWT menarik balik pemberian sesuatu nikmat itu daripada jagaan dan pemilikan kita, kita pasti akan merasai kehilangan. Teringat kata-kata seorang Hukamak : “ Manusia seringkali menghitung nikmat yang telah tiada.”

Saya masih teringat satu kursus yang berbentuk kem yang saya ikuti semasa Tahun satu di IPT. Kem ini berbentuk Islamik dan banyak pengisiannya ke arah pembentukan Kefahaman Islam yang sebenar. Salah satu pengisian slot ceramah yang sangat saya tersentuh adalah satu penyampaian yang disampaikan oleh seorang Murabbi saya dalam proses Tarbiyah ini iaitu Sir Rosdi Baharom. Dan pada ketika itu tajuk yang disampaikan ialah Konsep Kesedaran Islam yang sebenar. Dibawah huraian tajuk ini ada satu tajuk kecil iaitu Kehilangan.

“ Jika kita hilang satu barang yang sangat kita sayangi dan hargai dalam hidup, apa yang kita rasai?Kita rasa seolah-olah dunia ini kelam dan jiwa kita resah kerana kita kehilangan sesuatu yang sangat penting dalam hidup.” Kata-katanya penuh dengan sentuhan kejiwaan.


“ Hari ini kita sebenarnya kehilangan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan tamadun kemanusian. Kita kehilangan Islam sebagai satu cara hidup!.” Tegasnya

Hari ini kita kehilangan Islam yang seharusnya menjadi satu cara hidup dan kita bernaung di bawah cahaya kebenarannya. Kita kehilangan keperibadian-keperibadian mukmin contoh yang hidup yang mampu menjadi contoh kepada sesiapa sahaja. Kita kehilangan akhlak Islamiyah yang seharusnya menghiasi kehidupan ini di dalam pergaulan masyarakat. Kita kehilangan kekuatan Iman yang menjadi sumber kekuatan utama Mukmin dalam menghayati dan menjiwai Islam di dalam kehidupan yang sebenar.

Saat saya diuji dengan kehilangan barang-barang yang saya miliki, ketika itu baru lah saya memahami erti kehilangan yang sebenar. Apatah lagi jika kita kehilangan suatu khazanah yang benar-benar berharga dalam ketamadun Islam iaitu cara hidup Islam itu sendiri.

Read more...

Hanya Dengan Berdoa

Berdoa itu tanda kekuatan jiwa hamba


Hanya Dengan Berdoa
Oleh : BroHamzah

Kehidupan dunia yang sementara ini tidak sunyi daripada pelbagai ujian dan dugaan. Adakalanya ujian itu datang bertimpa-timpa sehingga kita sebagai manusia hilang pertimbangan dan kesabaran untuk menghadapinya. Ketika ini sebenarnya Allah SWT ini menguji keimanan dan keyakinan kita kepadanya. Bagi seorang mukmin, ia akan menganggap setiap ujian dan dugaan yang hadir dalam hidupnya sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepadaNya.
Saat inilah, keteguhan dan keyakinannya kepada janji-janji Allah SWT menzahirkan segala bentuk amalan dan tindakannya dalam kehidupan. Sejauh mana kepasrahan dan kepergantungannya kepada Allah SWT dalam bersabar untuk menghadapinya dan mencari jalan keluar daripada segala masalah yang dialaminya. Tabah dan sabar berhadapan dengan kemelut kehidupan adalah ciri-ciri mukmin yang sejati. Segalanya dialaminya dihadapai dengan SYUKUR & SABAR.

PENGALAMAN PERIBADI

Allah SWT telah menguji saya dengan satu ujian yang benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya. Dugaan ini benar-benar membuktikan betapa kasih dan sayangnya Rabb Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Minggu lepas, rumah saya telah dimasuki pencuri. Dengan izinNya, hampir kesemua barang yang berharga saya telah dihilang. Kisahnya bermula ketika pulang dari Surau selepas Solat Zohor. Sesampainya saya dirumah, saya terkejut apabila mendapat pintu rumah terbuka dan apabila memasuki rumah saya dapat keadaan rumah yang berselerak seperti digeledah. Saya terus mencapai beg laptop dan saya dapati laptop peribadi saya telah hilang. Kemudian saya periksa kesemua barang saya. Ketika itu saya sedar, beg pakaian, dompet, hardisk peribadi dan kasut sukan saya hilang. Ketika itu jiwa saya benar-benar tersentap. Lafaz Istighfar terkeluar tanpa putus dari bibir saya dan doa mempermudahkan urusan diulang-ulang tanpa jemu.

Saat inilah, saya teringat sebuah Hadis Rasulullah SAW yang saya amati dan hayati ketika sesi Halaqah pada minggu lepas. Hadis tentang Keajaiban Mukmin. Ia merupakan hadis yang menghuraikan ciri seorang mukmin yang sungguh luar biasa. Segala yang dihadapinya dalam kehidupan semuanya adalah baik belaka. Jika dianugerahi dengan keseronokan atau kebahagiaan yang menyukakan ia akan bersyukur. Dan jika ditimpa dengan musibah atau perkara yang menyulitkan ia akan bersabar. Kini , saya benar-benar diuji secara real.

Kemudian, saya menuju ke pintu rumah dan tiba-tiba dengan izin Allah SWT lalu seorang pemuda dengan menaiki motornya di hadap rumah saya. Dengan spontan saya menjerit memanggilnya.

“ Abang, mai sini!,” Jeritan saya agak kuat kedengaran. Bagaikan seorang tentera yang patuh kepada arahan ketuanya, pemuda tadi berhenti dan memusingkan motornya lalu bergerak memasuki halaman rumah saya. Sebenarnya abang ini saya sudah terserempak sebelum ini cuba mengambil barang diluar rumah saya 2 Bulan lepas.

“ Abang, ada masuk rumah saya tadi. Habis semua barang saya kena curi!,” Saya menyoalnya dengan suara yang agak tegas dan tinggi.

“ Saya tak masuk rumah ini, kawan saya sahaja. Masa tu saya tunggu kat luar,” jawabnya selamba. Ketika mendengar jawapannya saya rasa sangat marah.Namun, ketika inilah saya cuba menyabarkan diri.

“ Mana kawan abang tu? Saya nak jumpa. Saya tak boleh sabar macam ini.” Saya cuba bertanyakan tentang kawannya memasuki rumah saya. Saya lihat matanya dan gerak badannya. Jawapan-jawapannya banyak berbelit-belit. Daripada gerak mata dan tingkah lakunya sangat mencurigakan.


Ketika itu, dia terus menaiki motornya dan terus meninggalkan saya di halaman rumah. Saya menjerit memanggilnya dan dengan pantas saya menaiki motor menuju ke arahnya. Dengan izin ALLAH SWT, ada seorang guru saya berhenti ditepi jalan ketika saya mengejarnya dan memaklumkan dia terjumpa helmet dan beg ditepi jalan. Ketika itu, saya terlihat ada helmet dan beg saya ditepi jalan. Andai saya, pencuri tadi telah meletakannya di tepi jalan.Alhamdulillah apabila membuka beg tersebut saya dapati ada laptop saya. Rasa lega rasanya. Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah. Allah SWT memudahkan urusan saya. Saat itu juga jiwa saya rasa benar-benar lega seperti bagaikan hembusan angin yang menyejukan.

Jika saya huraikan kisah ini satu per satu mungkin ia akan mengambil masa dan ruang yang banyak. Cukuplah sekadar untuk memahamkan para pembaca situasi yang saya alami. Dipendekan cerita, saya dan beberapa orang rakan saya berjaya menangkap pencuri tadi dan kami membawanya ke Balai Polis.Perkara yang sangat menghairankan saya, pencuri tadi tidak melawan malah patuh segala arahan saya.

Petang itu, saya pulang ke rumah sambil memikirkan kejadian yang menimpa saya. Saya melihat kembali diri saya dan mencari hikmah terhadap apa yang berlaku ini. Saya berasakan ia merupakan teguran Allah SWT kepada saya. Teguran yang penuh hikmah dan bermakna. Pada sebelah petang itu, ada teman-teman dan guru saya datang ke rumah untuk bertanya khabar tentang peristiwa ini. Nasihat dan hikmah mereka memberi peringatan kepada saya.

“ Doa banyak-banyak kepada Allah SWT. Cuba anta baca Surah Yassin. Apabila sampai ayat yang ada perkataan mubim anta ulang tiga kali. InsyaAllah, benda yang hilang akan dijumpa balik. Kalau ada benda yang tenggelam dalam air akan timbul balik dengan izin Allah,” seorang Murabbi memberi panduan yang berguna kepada saya.


PENGALAMAN YANG REAL

Selesai solat Maghrib, saya menghadap wajah dan tadahan tangan kepada Allah SWT. Dengan doa pengharapan saya memohon agar Allah SWT memudahkan urusan saya agar dompet dan barang saya yang lain dikembalikan. Ketika itu, fokus dan keyakinan saya hanya kepada Allah SWT.

Selepas berdoa, saya terus balik ke rumah. Dalam perjalanan ke rumah, saya terserempak dengan seorang pemuda dan saya benar-benar terkejut kerana pemuda itu adalah pencuri yang saya tangkap tadi.

“ Abang buat apa kat sini? Nak mencuri lagi ke?,” bentak saya kepadanya.

“ Tak la, saya bawa kawan saya. Dia kata dia jumpa dompet awak,” katanya dengan selamba tanpa rasa bersalah.

Saya terus bergegas ke rumah dan memang ada seorang lagi lelaki yang tidak saya kenali. Saya berjumpa dengannya dan dia memberikan dompet saya. Semua dokumen dan kad yang penting ada di dalam dompet itu kecuali wang saya. Sekali lagi, saya rasa benar-benar bersyukur. Allah SWT memudahkan urusan saya. Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Kemudian, dua orang lelaki tadi pergi meninggalkan saya. Sebenarnya, mereka telah dibebaskan kerana pihak polis tidak menjumpai apa-apa bukti yang menunjukan mereka mencuri. Saya juga tidak melihat mereka mencuri dan hanya kebetulan sahaja saya meneka lelaki pertama dalam kisah di atas yang mencuri. Apa pun peristiwa ini benar-benar meninggalkan kesan kepada saya.

PENGAJARAN

Perkongsian saya di sini adalah hanya dengan berdoa dengan penuh pergantungan dan pengharapan kepada Allah SWT, insyaAllah Allah SWT akan membantu dan mengkabulkan permintaan kita. Saya benar-benar bersyukur di atas pengalaman ini dan pengajarannya sangat besar kepada jiwa kehambaan saya. Doa itu adalah intipati kehidupan seorang mukmin yang beriman. Doa yang hidup adalah doa yang menghubungkan interaksi seorang hamba dengan RabbNya. Doa itulah tanda penyerahan jiwa dan penyerahan diri kepadaNya.

Ketika menaiki kereta selepas pulang menghantar seorang guru saya di Lapangan Terbang Kepala Batas, saya mengimbau balik peristiwa yang berharga ini. Saya rasa sangat malu dengan Allah SWT kerana begitu banyak nikmatNya kepada saya, namun saya hamba yang kerdil, hina dan dhaif ini selalu alpa dan lalai untuk mengingatiNya. Allah kabulkan permintaan saya ketika saya benar-benar memerlukannya.

Saat itu, jiwa saya tersentuh dan air mata saya mengalir membasahi pipi. Ya Allah, begitu banyak nikmatmu kepada hambaMu. Ya Allah ampunilah dosa-dosa ku. Sepanjang perjalanan itu, saya benar-benar merasai hakikat kecintaan kepadaNya. Pengajaran dari pengalaman yang berbentuk ujian itu membuatkan saya lebih menyakini bahawa dengan keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT hidup kita akan dianugerahi kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar.

“ Bersabar dan berdoalah kepada Allah SWT. Saat itu anta akan merasai kemanisan iman yang sebenarnya,”

Nasihat seorang Murabbi agar kita bersabar tatkala diuji denga ujian yang berat.
Semoga perkongsian ini membuahkan amal dan peringatan yang meningkatkan kepekaan kita untuk memelihara iman di hati.Sekian

Read more...

Berita Terkini Ust Omar Haji Salleh

Monday, November 9, 2009

UOHS Tersenyum Tenang

Alhamdulillah, sebentar tadi saya dan guru-guru MATRI berkesempatan menziarahi Al-Fadhli Ust Omar Haji Salleh di Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Star. Semalam, kami dikejutkan berita Ustaz Omar dimasukan ke ICU atas sebab kesihatan dan dikatakan ada kaitan dengan masalah Jantung. Berita ini tersebar dengan cepat di kalangan kami di sini.


Menurut anak Ustaz Omar, jantung Ustaz tersumbat dan menyebabkan Ustaz sakit dibahagian dada.Sama-sama kita doakan kesejahteraan Ustaz Omar dan mudahan keadaan semakin baik dan pulih seperti sedia kala.

Sekian

Read more...

Trainer Islamik - Mencari ERTI Sebuah Perkongsian

Sunday, November 8, 2009

Perkongsian - Kunci Untuk Memberi Seikhlas Hati

Trainer Islamik – Mencari ERTI Sebuah Perkongsian

Oleh : BroHamzah

Hari ini saya baru sahaja selesai menjalani Kem Kesempurnaan Ibadah bersama pelajar-pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis.Sebuah kem yang banyak memberi pengalaman baru dan pengajaran untuk terus mempertingkatan perkongsian serta kemahiran dalam mengendalikan sesebuah program berbentuk kem. Tanpa bantuan Fasilitator, saya dan beberapa orang rakan diamanahkan untuk menjalankan program yang melibatkan 150 orang pelajar. Saya mengambil peluang ini sebagai CABARAN. Dan saya sememangnya sukakan cabaran.

Sememangnya dalam mengendalikan kursus sebegini, akan timbul pelbagai perasaan dalam diri saya. Rasa gementar, takut, berdebar-debar, seronok, ceria dan bersemangat. Perasaan yang bercampur baur ini akan terus dirasai sehinggalah saat-saat program berakhir. Kekadang dalam jiwa kita, kita bimbang akan kritikan, teguran dan komen para peserta dan orang yang berada dalam program kendalian kita. Bagi saya ini suatu perasaan yang normal.

“ Kita sebenarnya tidak dapat memuaskan hati semua pihak sama ada peserta, urusetia dan penganjur, Jika ini lah perasaan yang ada, kita sudah berada dalam titik tolak sebuah kegagalan. Yang mesti kita lakukan ialah melaksanakan segalanya dengan cara TERBAIK.” Ujar saya kepada seorang teman.

Namun, disana adalah erti dan makna yang lebih bererti kepada saya. Dengan kem sebegini, saya belajar untuk memberi dan berkongsi.

Saya bercita-cita untuk menjadi seorang Trainer Islamik professional. Niat saya ialah untuk berkongsi segala ilmu dan pengalaman kepaa para peserta yang mengikut kursus dan kem dibawah kendalian saya. Dan saya jadikan semua kem yang saya ikuti sebagai medan amal untuk memberi dan memberi.

“ Anta tau, apa yang ana dapat dengan memberi,” Soal saya kepada seorang sahabat yang dikasihi.

“ Apa dia?”, katanya sambil tersenyum.

“ Kepuasan dan Kebahagiaan,” Ujar saya sambil mengukirkan sebuah senyuman kepadanya

Dengan mengiatkan diri dalam kem sebegini, saya sememangnya dapat menyampaikan dan berkongsi segala perasaan, pengalaman, pengetahuan dan ilmu yang sedikit ini kepada semua orang. Inilah nilai keutamaan yang saya letakkan dalam hidup saya. Bagi saya, inilah medan yang akan membuahkan amal soleh untuk saya jadikan bekalan sebelum hari pertemuan dengan Allah SWT.

“ Jadilah Dirimu Untuk Memberi Sebanyak-banyaknya, bukan untuk Menerima Sebanyak-banyaknya!”

Read more...

Mendidik Adik-adik

Wednesday, November 4, 2009

Adik-adik Saya, mereka adalah INSPIRASI Kejayaan saya sepanjang masa


Mendidik Adik-adik, Insan Yang Dekat dengan kita

Oleh : BroHamzah

“ Assalamualaikum, saya nak bincang sedikit dengan Abang Ali, “ seorang pelajar menyapa saya.



“ Ya silakan,” Balas saya sambil merenung matanya dengan senyuman.



“ Saya sebenarnya hendak Tanya Abang Ali, bagaimana cara dan kaedah untuk kita mendidik adik-adik kita sendiri. Maksud saya adik-adik kandung yang membesar bersama-sama kita di bawah satu bumbung.” Soalnya terus kepada soalan.

Persoalan ini sudah lama bermain di minda saya. Proses mendidik dan membentuk mereka-mereka yang dekat dengan kita adalah satu proses yang amat sukar dan mencabar. Ia seperti seorang ibu dan bapa dalam usaha mereka untuk mendidik anak-anak mereka. Cabarannya sememangnya membuatkan kita yang sentiasa berusaha dengan pelbagai cara untuk melakukan yang terbaik agar individu-individu yang berdekatan dengan kita dididik dengan didikan yang betul.

MEREKA UMPAMA SPAN



Saya selalu berkata kepada para pelajar saya, bahawa adik-adik kita adalah umpama SPAN. Span iaitu sejenis benda yang boleh menyerap air dan selalu digunakan untuk membasuh dan mengelap air yang tumpang. Sifat span adalah kebolehannya menyerap air yang dikenakan ke atasnya.



Begitu juga dengan jiwa-jiwa adik-adik yang masih kecil dan kian membesar, mereka akan menyerap apa jua yang berlaku disekeliling mereka. Jiwa mereka menyerap dan menerima segala kelakuan, tindakan dan contoh-contoh peribadi-peribadi yang hadir dalam kehidupan mereka. Mereka melihat, meniru dan melakukan perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka tanpa tapisan sama ada perkara itu betul atau salah.



Tabiat jiwa manusia sememang berkecenderungan untuk meniru dan mencontoh apa jua yang terjadi disekeliling mereka. Sememang jiwa manusia sekiranya tidak diisi dengan kebaikan maka ia akan terisi dengan keburukan. Apatah lagi jiwa adik-adik kita yang sedang membesar, kecenderungan untuk mengikut dan mencontohi apa yang mereka lihat, dengar dan alami akan dijelmakan serta merta dalam kelakuan harian mereka.

PERISTIWA YANG MENYENTUH

Suatu hari saya ke kedai untuk membeli barang keperluan harian. Kebetulan di Kedai itu ada seorang kanak-kanak lelaki yang berusia sekitar 3 tahun. Kecil, comel dan akan menyejukan jiwa sesiapa sahaja yang memandang kepadanya. Saya memang sukakan kanak-kanak, lantas saya ukirkan senyuman manis sebagai medium perantaraan kemanusiaan. Saya memerhatinya daripada jauh.

Ketika itu, saya melihat gelagatnya. Sambil mengambil sebotol air lalu diletakan di suatu sudut di dalam kedai tersebut. Dia berusaha mengangkat dan meletaknya dengan elok agar botol itu tidak terjatuh. Tetiba dengan izin Allah SWT, botol itu terjatuh.



“ Oh..b*b*. Daj*l punya botol,” terpacul kata-kata kesat daripada mulut kanak-kanak itu.



Saya terkejut dan terkesima. Terdiam seketika. MasyaALLAH, siapa sangka seorang kanak-kanak yang begitu kecil dan bersih hatinya begitu mudah mengungkapkan kata-kata kesat dan tidak mendidik jiwanya.



“ Hoi! Along, angkat balik botol tu, yang tu pun susah ka buat. #$&**##,” tetiba ada seorang lelaki dalam lingkungan 30 an mengarahnya mengangkat botol itu. Dengan bahasa yang kasar dan mencederakan jiwa sesiapa yang mendengarnya, lelaki itu meninggikan suaranya kepada kanak-kanak tersebut.

“ Aku, tengah angkat la ini. Kejap la ayah init u pun hendak bising,” Jawab kanak-kanak itu dengan selamba.

Baru saya tahu, lelaki itu ayah kepada kanak-kanak tadi. Melihat peristiwa itu, saya mengangguk akan teori yang selama ini saya pelajari dalam proses pendidikan. KANAK-KANAK jiwanya halus dan akan meniru dan bertindak berdasarkan apa yang mereka perolehi sepanjang proses pembesaran mereka.

QUDWAH, ROLE MODEL & CONTOH

“ Perkara yang paling payah dalam mendidik adik-adik ini ialah sukarnya kita untuk bersabar dan menahan marah,” kata seorang Murrabi saya.

Ada dikalangan kita mampu untuk mendidik orang lain yang bukan ahli keluarganya. Namun gagal dalam mendidik adik dan keluarga sendiri.

“ Susahlah nak proses dan didik adik dan keluarga sendiri. Mereka tahu dan kenal kita. Mereka tahu kelemahan dan kekurangan kita. Jadi, kalau hendak cakap benda-benda baik ini, mereka tak mahu dengar.” Ujarnya.

Inilah halangan utama dalam mendidik adik-adik kita sendiri. Kita tidak mampu menjadi contoh dan qudwah kepada mereka. Kita gagal dalam meletakan diri sebagai INSPIRASI dan qudwah hasanah yang terbaik untuk mereka.


RASULULLAH SAW ADALAH QUDWAH HASANAH

Melihat sirah Rasulullah SAW saya benar-benar kagum dengan keperibadian baginda. Kita lihatlah di peringkat awal dakwah Rasulullah SAW kepada masyarakat. Baginda mulakan dengan individu-indidvidu yang terdekat dengan mereka. Baginda mulakan dengan isteri Baginda iaitu Siti Khadijah yang dikasihi.

Bagaimana respon Isteri Baginda? Siti Khadijah menerimanya dengan hati terbuka dan mempercayai dan terus beriman dengan Risalah Rasulullah SAW.

Semua ini kerana beliau benar-benar mengenali akhlak dan kehidupan Baginda. Dengan sifat, akhlak dan sahsiah yang mulia, Siti Khadijah tertarik dengan Rasulullah SAW dengan mengimani apa yang dibawa dan diperjuangan oleh Rasulullah SAW.

Baginda Rasulullah melaksanakan segala ajaran Islam bersungguh-sungguh sehingga lahir Islam dalam bentuk yang real dan memikat hati sesiapa sahaja yang melihat baginda. Inilah kaedah dan cara mendidik individu yang hampir dengan kita. Iaitu QUDWAH & CONTOH.

PRAKTIKAL DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Bagaimana hendak mulakannya?
Kita mulakan dengan diri kita sendiri.
Baiki Diri dan Serulah orang lain.
Kita terus berusaha mensolehkan diri sendiri dan menjadikan ia sebagai AGENDA penting dalam hidup kita. Kita lakukannya tanpa jemu dan menjadikan proses TARBIYAH ISLAMIYAH sebagai jalan untuk mencari keredhaan Allah SWT
Mendidik adik-adik kita bermula dengan perasaan kasih sayang kerana Allah SWT. Mendidik mereka dan berkongsi segala kebenaran untuk kebaikan bersama.

Read more...

Kem Minda Kreatif 14

Tuesday, November 3, 2009


Read more...

Harga Sebuah Fikrah dan Tarbiyah

Monday, November 2, 2009

Sentiasa Dijaga dengan Jagaan Yang Rapi
Buku Hijau, Tercatat Sejarahnya Yang Tersendiri

Harga Sebuah Fikrah dan Tarbiyah

Oleh : BroHamzah

Pada Hari Rabu minggu lepas, saya diberi peluang oleh Allah SWT untuk bersama-sama dengan pelajar-pelajar kepimpinan MATRI untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam Ijtima’ Pembantu Halaqah Pelajar. Malam itu, saya tergerak hati untuk berkongsi dengan mereka tentang sesuatu perkara yang telah merubah perjalanan kehidupan saya pada hari ini. Tajuknya sangat simple tetapi meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.

Harga Sebuah Fikrah dan Tarbiyah

“ Pada Malam ini, ana tidak ada tajuk khusus seperti minggu-minggu sebelumnya. Malam ini kita ada sedikit sesi sharing moment.Malam perkongsian kita berkisar HARGA Sebuah Fikrah dan Tarbiyah. Ana berhajat berkongsi dengan antum tentang satu pesan dan nasihat seorang sahabat kepada ana ketika di alam menengah dulu.”

Pesan seorang Sahabat, katanya pemangkin dan pencepat kepada proses Tarbiyah diri kita ada empat :

Pertama

Kehadiran jiwa, hati dan diri kita dalam program Tarbiyah. Sama ada dalam majlis ilmu, halaqah, ijtima’am atau kem-kem Tarbawi.

Kedua

Keperluan untuk fokus dan mengulangkaji (semak) bahan-bahan, tajuk-tajuk Fikrah yang diperolehi dalam Halaqah, Tazkirah dan Ijtima

Ketiga

Kekhusyukan dalam Solah. Ia menjadi medium utama untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjiwai hakikat hubungan dengan Allah SWT.

Keempat

Bekerja memimpin satu persatu individu melalui proses Dakwah Fardiyah

BUKU FIKRAH

Apa yang ingin saya kongsikan dan fokuskan adalah perkara kedua iaitu BAHAN Fikrah yang saya dapat. Saya secara jujurnya amat menghargai segala apa yang saya perolehi pada hari ini iaitu KEFAHAMAN ISLAM. Melalui kefahaman dan fikrah inilah saya mengetahui MATLAMAT hidup saya dan ia merubah cara pandang hidup saya dalam melihat kehidupan dunia ini dan seterusnya membentuk satu NILAI pandangan hidup yang berbeza daripada mereka-mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT.

“ Dengan Ilmu dan Fikrah yang ana dapat inilah, ana mengenal hakikat kehidupan ana yang sebenarnya. Ana benar-benar menghargai segala bahan yang ana perolehi dalam Halaqah, Ijtima’ dan Tazkirah yang disampaikan oleh Murabbi-murabbi kita.”

Malam itu, atas syuur untuk berkongsi saya tunjukan kepada para pelajar buku-buku Halaqah, Ijtima dan penulisan Fikrah yang saya dapat sepanjang 11 tahun dalam proses pendidikan ini.

“ Buku hijau ini, adalah buku Halaqah ana semasa tingkatan satu sehingga tingkatan empat. Buku ini amat berharga buat ana. Jika syuur bekerja mulai menurun, ana akan SEMAK dan membuka lembaran penulisan ini balik, Alhamdulillah ia akan memberi kekuatan untuk maintain dalam beramal,” Saya memberi penerangan sambil memegang buku Halaqah berwarna hijau.

Sehingga kini, saya mempunyai 9 buah buku hasil didikan proses Tarbiyah. Apa yang saya amalkan ialah setiap buku akan saya catat dan semak semula tajuk-tajuk yang telah saya perolehi dibahagian belakang dan akan membuah penilaian tentang tahap kefahaman saya tentang tajuk tersebut. Jika kurang memahaminya saya akan rujuk Murabbi yang ada.

PRAKTIKAL DAN CETUSAN IDEA

Buku-buku ini saya akan labelkan mengikut tahun buku itu dicatatkan. Berikut adalah buku-buku catatan mengikut fasa-fasa yang tertentu :

Buku 1 – Feb 1998 – Mei 2001

Buku 2 – Jun 2001 – Nov 2002

Buku 3 – April 2003 – Dis 2004

Buku 4 – Feb 2005 – Ogos 2006

Buku 5 – Ogos 2006 – Jun 2007

Buku 6 – Jun 2007 – Ogos 2008

Buku 7 – Ogos 2008 – Dis 2008

Buku 8 – Jan 2009 – Nov 2009

Buku 9 – Khas Untuk Halaqah Umum Semasa Tingkatan 4 dan 5 serta Ijtima’am 2000-2002

Selepas habis daripada Sesi penyampaian saya, ada seorang pelajar jumpa dengan saya.

“ Abang Ali, anta bagitau lambat la tentang perkara ini. Kalau tak dari dulu lagi ana buat macam anta.” Ujarnya sambil bersalaman dengan saya.

Saya kata : “ Masih belum terlambat, anta kena mula dari sekarang.”

SAAT BERMULA

Sebenarnya, saya mulai serius untuk mencatat semua bahan-bahan ini secara terancang dan tersusun apabila perkara ini disentuh oleh Cikgu Muhd Abduh Bin Zainal Abidin semasa tingkatan dua. Seorang guru saya semasa di MATRI dahulu. Kami memanggilnya Sir Abduh. Beliau mengajar Bahasa Inggeris kepada kami.

“ Sir, ada berbelas-belas buku Fikrah dirak kat rumah Sir. Sir sayang semua buku-buku ini kerana ia telah meninggalkan kesan TARBIYAH yang sangat besar dalam hidup sir.Ada masa lapang, sir akan buku dan baca semula.” Kata-kata yang membangkitkan semangat saya.

Bermula saat itu, saya mulai merancang. Semua bahan yang dapat melalui program Tarbiyah akan saya catat dan ditulis dalam sebuah buku yang dikhususkan untuk CATATAN Fikrah. Alhamdulillah, cara ini meninggalkan kesan kepada saya dalam memahami Fikrah Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan.

TUJUAN PERKONGSIAN INI

Semua buku-buku ini amat saya sayang dan disimpan dengan jagaan yang TERBAIK. Semasa menyalin apa yang saya perolehi daripada majlis ilmu, halaqah atau ijtima’am saya akan cuba menulisnya dengan tulisan yang kemas, cantik dan menarik. Kerana bagi saya, ia akan memudahkan saya untuk membaca dan menyemaknya dimasa hadapan.

Sambil memegang buku-buku tersebut, saya berkata :

“ Antum tahu apa ERTI semua ini pada ana?.”

Semua tersenyum.

“ Inilah HARGA SEBUAH FIKRAH dan TARBIYAH.”

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP