Imbasan Masa-masa yang berlalu

Saturday, January 28, 2012


Imbasan Masa-masa yang berlalu.
Di manakah hati kita diletakan di dalam kehidupan ini?

Bismillahirahmanirahim.

Dengan nama-Nya, coretan ini dipahatkan di teduhan maya ini.
Buat diri ini – buat hati ini – buat jiwa ini dan buat diri sendiri.

(1). Seringkali, - bahkan selalu -kita lupa, alpa, lalai dan abaikan diri sendiri. Tatkala, begitu senang berbicara, berkata-kata, menyampaikan dan menyeru insan lain – kita sering kali, - bahkan selalu – melupai dan “terlupa” akan jiwa dan hati kita sendiri.

“ Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri ; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?.”

( Al-Baqarah 2 : 44)

(2). Murabbi selalu menyebut : Ramai kita dapati insan-insan yang hebat, lunak dan asyik berbicara sehingga menyentuh jiwa-jiwa sehingga membuatkan air mata mengalir, tetapi sayang hati si sang pembicara itu sendiri tidak tersentuh, terasa dan berbekas.”

Mereka alpakan hubungan jiwa mereka dengan Rabb sendiri.
Masa-masa berlalu, tidak dikuatkan dengan bermanja-manja dengan Ilahi di waktu dinihari,
Masa-masa berlalu, di sia-siakan tanpa suatu amalan yang qawiy (kuat),
Masa-masa berlalu, usia kian bertambah tetapi hati kian gersang dan kosong tanpa isi,
Masa-masa berlalu, kekerasan dan kebatuan semakin terpahat kukuh di jiwa sendiri,
Masa-masa berlalu, “mereka” kian jauh dan jauh daripada kemanisan iman .

(3). Merubah diri daripada lalai untuk menjadi taat adalah sesuatu yang tidak mudah. Kata Imam Ibnul Jauzi : “ Jangan sekali-kali engkau mengganggap jalan (merubah diri menjadi baik) itu mudah.”

Jalan itu dipenuhi sesuatu yang kita benci,
Banyak halangan, sekatan dan “road block”nya,
Penuh duri-duri yang tajam, serpihan kaca yang menyakitkan dan paku-paku yang melukakan.
Justeru, sentiasalah – wahai diri –memiliki kesedaran yang meliputi diri.
Kesedaran yang sentiasa hidup dan menghidup.
Ia adalah modal yang terpenting untuk terus menerus menjadi hamba Ilahi.

(4). Betapa pentingnya, memiliki teman, sahabat dan rakan yang soleh dalam lingkungan kehidupan yang fana ini. Peganglah seerat-erat dan sekuat-kuatnya sahabat-sahabat yang soleh dan berwajah bersih ini.

Ketahuilah, di dalam keadaan taat – saudara yang soleh akan mendorong kita untuk berbuat ketaatan yang lebih lagi.

Sedarilah, di dalam kondisi lalai – saudara yang soleh akan mengingatkan kita dari kelalaian, kealpaan dan kelemahan.

Dan, di saat hati kita terluka dan tergores oleh “pisau” dosa noda – saudara yang soleh akan membantu mengubati dan merawati kita dan membuatkan kita pulih kembali.

Duduklah bersama-sama mereka. Hiruplah udara keharuman jiwa bersama mereka, dan rasailah kenikmatan hidup bersama mereka. Kebersamaan yang pasti mendamaikan – membaca ayat-ayat Al-Quran, merenungi petunjuk Rasullulllah SAW atau hanya sekadar bertatapan wajah muka ke muka.

Itulah kebiasaan dan gaya hidup para salafusoleh terdahulu. Mereka gemar, suka dan merindui suasana kebersamaan bersama orang-orang dan saudara-saudara mereka yang soleh. Kesannya yang terzahir segera ialah – hati mereka segera tenteram, damai dan terubat.

Hal ini, biasa dilakukan oleh seorang tabiin – Maimum bin Mahran yang pergi kepada guru generasi tabiin Hassan Al- Basri RA. Beliau mengetuk pintu rumah Hassan al-Basri lalu seraya berkata :

“ Wahai abu Said – panggilan Hassan al-Basri -, aku mulai merasaikan kekasaran dalam hatiku. Bantulah aku untuk melembutkannya kembali.”

(5). Masih segar ungkapan Saidina Umar al-Khattab yang pernah disebut oleh sahabat karib saya :

“ Tidak ada kurniaan Allah SWT yang lebih baik bagi seseorang setelah ia memasuki Islam, daripada kurniaan memiliki saudara yang soleh.”

Sahabat Rasulullah SAW yang berhati mulia itu, terkenal dengan ketegasannya dalam membela kebenaran lalu berpesan :

“ Jika di antara kalian ada yang merasa senang dengan saudaranya, hendaklah ia memegang saudaranya itu dengan kuat.”

Bersiaplah saudaraku seiman, tidak lama lagi – kita pasti akan diuji sesuai dengan kadar keimanan yang kita miliki. Maka, bersiap siagalah memasuki medan pertempuran demi pertempuran dan pertarungan demi pertarungan yang bersejarah dalam kehidupan kita.

Dimana sahaja berada, dalam apa jua keadaan dan kesibukan.

" Setiap hari - lazimi, perbanyakan dan konsisten dengan solat fardu serta sunat, bacaan Al-Quran, zikrullah, memelihara wudhuk & zikir al-Mathurat." Itulah hiburan orang-orang mukmin. Inilah keberuntungan, kemanisan, kelazatan, kenikmatan dan kebahagiaan hidup.

Semoga Allah SWT kuatkan dan teguhkan kita.
Tetapkan kita.
Luruskan hati-hati kita.

Allah Allah Allah Allah Allah
Allah Allah Allah Allah
Allah Allah Allah
Allah Allah
Allah


BroHamzah
29 Januari 2012
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Nota Kaki :

a. Murabbi meminjamkan saya sebuah buku catatan perenungan ruhani, Mencari Mutiara di Dasar Hati karangan Muhammad Nursani sebelum murabbi bercuti panjang.

b. Saya doakan agar murabbi berada dalam lindungan dan kasih sayang Allah SWT sepanjang tempoh cutinya yang panjang. Berehat mengumpulkan tenaga, kekuatan dan keteguhan. Semoga kembali nanti, murabbi akan terus cekal dan kuat mendidik kami.

Read more...

Titipan Kasih Buat Putriku

Sunday, January 22, 2012

Cinta keluarga saat ini antara -
Abi, Ummi & Mukhlisah

Titipan Kasih Buat Putriku



Buat Putriku yang dirindui,

‘Aliyah Mukhlisah yang meneduhkan jiwa.

Nukilan ini dititipkan ketika Mukhlisah berusia 12 hari. Saat ini abi, tinggal bersendirian, sunyi dan sepi. Abi merasai suatu hembusan perasaan yang belum pernah abi rasakan. Perasaan yang lembut, halus dan menenangkan.

Maha Suci Allah SWT yang mengurniakan perasaan ini dalam nurani abi. Semoga kasih sayang yang tumbuh di hati abi terus mekar hendaknya.


‘Aliyah, Putri abi yang dicintai,


Abi tidak sangka begitu cepat masa berlalu. Pejam celik, pejam celik – Mukhlisah hadir dalam kehidupan abi & ummi. Terasa baru semalam, kami disatukan dalam bingkai pernikahan. Namun, ketentuan Allah SWT yang mengizinkan kehadiran Mukhlisah dalam keluarga kecil ini.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Itulah lafaz yang terzahir tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Mukhlisah adalah permata anugerah, kurniaan dan pemberian Allah SWT buat abi dan ummi yang menjadi amanah yang besar, berat dan penuh makna buat kami berdua.

Mukhlisah, srikandi abi dan ummi yang dirindui,

Tahukah Mukhlisah, bagi sepasangan suami dan isteri, anak merupakan suatu aset yang sangat penting, mahal dan berharga dalam meraih keredhaan Allah SWT. Murabbi abi menyebutkan bahawa, projek yang paling besar bagi seorang ayah dan ibu ialah : - mendidik anak-anak untuk menjadi mukmin mukminah dan menghantar mereka ke syurga.

Ya ke syurga. Menjadi calon-calon syurga.
Syurga idaman dan impian semua manusia.

Dengan kata lain, ialah melahirkan suatu generasi anak-anak perindu syurga. Masya-Allah, beratnya tanggung jawab dan amanah ini. Jika proses pengabaian terhadap anak-anak berlaku dan terjadi, ia merupakan suatu jenayah, kejahatan dan kezaliman yang sangat besar dalam ketamaduan manusia.

Teringat kata-kata Ali Hassan An-Nadwi :

“ Apakah gunanya membesarkan anak kita jika hanya untuk menjadi bahan bakar dalam neraka?.”

Tersentak abi dan ummi membayangkan semua perkara ini. Kehadiran Mukhlisah adalah suatu perkara yang besar bagi kami. InsyaAllah, abi dan ummi akan sedaya upaya untuk mendidik, memelihara, membesarkan dan mengasuh Mukhlisah dengan didikan bersumberkan Al-Quran & As-Sunnah.



'Aliyah Mukhlisah Binti 'Ali 'Irfan




Duhai Srikandi abi dan ummi yang comel,

Abi dan ummi, sentiasa berdoa, munajat dan merintih kepada Ilahi agar diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah kubra ini. Mudahan-mudahan, insan yang sekerdil dan selemah abi dan ummi ini - sentiasa dipayungi, dirahmati dan diberikan hidayah oleh-Nya dalam setiap amalan yang kami lakukan.

Mukhlisah, dewasalah sebagai penyejuk hati bagi abi dan ummi. Membesarlah sayang abi ummi dengan kekuasaan, kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT. Dengan sedaya kudrat dan pohonan munajat yang berterusan, ia akan menjadi modal kepada proses didikan abi dan ummi. InsyaAllah

Mekarlah Mukhlisah umpama mawar merah yang berduri. Menjadi putri yang terpelihara daripada kerosakan, kefasadan dan kehancuran yang melata. Agar, terbina kukuh keperibadian wanita solehah yang menghiasi dunia dengan keindahan, ketenangan dan kedamaian yang meneduhkan.

Justeru, segeralah Mukhlisah kembali ke pangkuan abi dan ummi di teratak teduhan kita. Abi ingin benar untuk menyambung bacaan Al-Fatihah yang abi ajarkan sebelum ini. Abi merindui saat-saat kita membaca Al-Mathurat bersama-sama dan membaca al-Mulk sebelum tidur. Tersenyum abi melihat Mukhlisah senyum – senyum manis bersama lesung pipit yang indah itu.

Mukhlisah, abi menantimu.

‘Aliyah Mukhlisah yang diingati selalu,

Abi dan ummi, sepakat dan berazam untuk melaksanakan tugas mendidik ini bersama-sama. Ia bukannya tugas perseorangan sahaja tetapi kami berdua. Ya, abi dan ummi. Inilah komitmen dan kesungguhan yang menjadi titik asas pembentukan baitul muslim abi dan ummi. InsyaAllah.

Cukuplah, sekadar itu titipan ini. Akhirnya, abi ingin menukilkan kalam nasihat Akhlaq Hussain katanya :

“ Anak soleh menjadi sumber pahala kepada ibu bapa, mereka akan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat.”

Justeru, besar harapan kami agar – anak abi dan ummi – ini menjadi seorang anak solehah yang diredhai, dicintai dan disayangi oleh Allah SWT. Semoga Mukhlisah, membesar dan terus membesar sebagai anak solehah. Ya sayang, itulah impian, cita-cita dan hasrat abi dan ummi.

Sekian, sekadar itu titipan ringkas abi saat ini. Semoga anak abi dan ummi terus berada dalam keredhaan dan kasih sayang Allah SWT.

BroHamzah
12.30 pagi
23 Januari 2012
Kanpung Paya Batu, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Catatan Seorang Hamba

(1). Kezalimanan Ibu Bapa : - (a). Mengelapkan masa depan akhirat anaknya dari kelalaian, kealpaan dan kecuaian mendidik anak-anak dengan sebaiknya. (b). Tidak memiliki ilmu dan kemahiran mendidik anak-anak.

(2). Tanggungjawab dan amanah keibubapaan adalah jantung kehidupan seorang muslim. Justeru, perlu pindahkan aqidah dan segala kandungan risalah Islam kepada anaknya. – Punca kejahatan ialah membiarkan dan mengabaikan pendidikan anak-anak.

(3). Ketika dikurniakan permata hati ini soallah diri sedalam-dalamnya : “ Anak anugerah yang tak terhingga nilainya atau bebanan yang tidak diingini?.” Menjawab soalan yang memperlukan pengamatan dan pengamalan.

Bahan-bahan diatas telah diolah, diharmonikan dan dikongsikan daripada catatan peribadi saya semasa menghadiri Seminar Islamic Parenting 2, 11 Jun 2011 di Dewan Besar, Kolej Teknologi Darulnaim.

Read more...

'Aliyah Mukhlisah - Permata Hati Abi Wa Ummi

Wednesday, January 18, 2012


‘Aliyah Mukhlisah – Permata Hati Abi wa Ummi - Usia 1 hari.


11 Januari 2012

“ Abang.. Abang..” Terdengar suara zaujati memanggil menembusi lamunan lenaku.

Pagi itu hening. Seawal 4 pagi, zaujati mengejutkan saya, memaklumkan bahawa ada tanda-tanda bahawa beliau akan melahirkan anak kami.

Air ketuban telah keluar!

Terkejut saya. Jika mengikut due date – 3 minggu lagi. Dalam keadaan sebegitu, saya hubungi beberapa individu yang boleh dirujuk. Maka, cadangan mereka ialah – bahawa ke hospital sesegera mungkin.

Seusai Subuh, seawal 7 pagi kami berdua ke hospital Kota Bharu dengan harapan untuk mendapatkan kepastian status keadaan kandungan zaujati. Namun, tidak terlintas dalam hati - bahawa zaujati akan bersalin pada hari itu juga. Bahkan pagi itu, saya keluar dengan berpakaian kemas untuk ke pejabat. Berbaju kemeja kelabu tanpa kolar dan seluar slack hitam penuh gaya!
Masa berlalu dan terus berlalu.

Lama saya menanti di luar bilik menunggu, jam menunjukan jam 10.00 pagi. Saya gelisah lalu menghantar mesej kepada zaujati :

“ Lama lagi ka?”

“ Tak tau nak tanya siapa. Tadi, doktor kata tunggu keputusan. Macam doktor tengah cek fail. Doakan. Tidak mahu masuk wad.”

Lama, saya menanti. 20 minit kemudian, saya mesej sekali lagi.

“ Macamana?”

“ Ada 5 orang doktor di sini. Mereka tengah bincang. Mungkin kena scan!,”

Isteri saya memaklumkan bahawa, doktor ingin bertemu.

“ En Ali Irfan,…,” Doktor menyebut namaku.

Eh, macam cerpen pula perkongsian kali ini. Afwan, sekadar titipan ringkas sahaja. Tetapi itulah, detik-detik awal ketika berdebar menanti kelahiran cahaya mata. MasyaAllah – biar pun setelah seminggu berlalu, apa yang dilalui masih melekat dalam minda, hati dan ingatan saya. Kepenatan, keletihan, kelelahan dan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Namun, Alhamdulillah – Allah SWT memudahkan segala urusan saya ketika itu.

Sujud syukur saya dengan kurniaan, pemberian dan anugerah Ilahi. Seorang putri sulung yang sihat, sejahtera dan tenang raut wajahnya. Setiap kali memandangnya, jiwa saya bahagia, tenteram dan damai. MasyaAllah.

“ Anakku…” Getus hati kecil saya. Saya tersenyum penuh kesyukuran.


Ahlan Wasahlan Ya Ameeratuna! ( Selamat datang, putri kami). Usia 4 hari ketika di dalam wad 4, Hospital Kota Bharu.


Penyejuk dan buah hati.

Kami sepakat untuk menamakan putri sulung kami ini dengan nama :

‘Aliyah Mukhlisah

Ia membawa makna seorang wanita yang mulia dan ikhlas. Nama ini sangat dekat di hati kami semasa tempoh zaujati mengandungkan anak kami ini lagi.

Besar harapan, agar ameeratuna ini menjadi seorang wanita solehah yang mulia akhlak serta keperibadiannya dan sentiasa ikhlas dalam setiap amalannya kerana Allah SWT.

Semoga Allah SWT berikan saya dan zaujati kekuatan untuk mendidik ,membesarkan dan memelihara amanah yang besar ini. InsyaAllah.


'Aliyah Mukhlisah di usia 6 hari - Terus membesar dan membesar.

Persiapan menjadi Abi wa Umi

Saya masih ingat ketika bersembang-sembang dengan murabbi beberapa hari setelah mengetahui bahawa zaujati telah mengandung. Bagaikan suatu nasihat dan amanat, murabbi berpesan :

“ Satu sahaja yang ingin ana pesankan kepada anta sebagai persiapan untuk menjadi seorang abi, : tingkatkan ibadah anta – wajib dan sunat !.”

“ Kuatkan dan pelihara hubungan hati dengan Allah SWT.”

“ Melaksanakan amanah ini bukan hanya dengan kudrat semata-mata tetapi kita perlu kepada munajat!.”

“ Kukuhkan jiwa dan hati dengan banyakan berdoa, berdoa dan menangis di hadapan Allah SWT!.”

Terdiam, saya. – Melihat diri, menilai hati dan mengkoreksi peribadi.

“ Ya Allah, kepada-Mu aku memohon kekuatan, petunjuk dan hidayah!.”

Catatan Seorang Hamba

(1). Alhamdulillah, hanya sanya kesyukuran ini dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala kurniaan, anugerah dan pemberian ini. Cahaya mata adalah amanah yang harus dipelihara, dididik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang, ruh perasaan dan didikan keimanan yang benar. Mudahan, kami dilorongkan oleh Allah SWT ke arah itu. Tidak upaya dan kudrat, melainkan Allah SWT!

(2). Tidak mudah mengalas tanggunggjawab sebagai abi dan ummi. Terbayang emak saya yang membesarkan saya dan 9 orang adik yang lain dengan penuh kesabaran, ketekunan dan kesungguhan. Perjalanan kami suami isteri – hanya titik mula sebuah perjalanan yang masih jauh. Jujurnya, mengalir air mata saya – melihat kesakitan yang ditanggung oleh isteri saya. Masya-Allah!

(3). Buat adik-adikku, melangkah ke alam perkahwinan ia menuntut banyak pengorbanan, kesungguhan, kepasrahan dan kecekalan jiwa. – Di alam ini, seharusnya kita perlu banyak membicarakan tentang tanggungjawab kita lebih banyak daripada hak-hak kita yang harus kita perolehi dan kecapi. Justeru, bertimbangkanlah dengan penuh kesedaran, tanggungjawab dan keyakinan dalam melangkah ke alam perkahwinan ini. InsyaAllah, kalian akan temui kemanisannya walaupun jalan-jalannya penuh berliku, mencabar dan banyak ujiannya.

(4). Tiga hari saya demam, selsema dan sakit badan. Mungkin, kejutan menjadi seorang abi.^^. Apapun, syukran Ya Allah – kerana memberikan pengalaman yang sangat berharga ini kepada hamba-Mu yang kerdil ini.

BroHamzah
Kampung Paya Batu,
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Qurratul 'Aini - Cahaya Mata Kurniaan Ilahi

Thursday, January 12, 2012


Qurratul ‘Aini – Cahaya Mata Kurniaan Ilahi

Bismillahirahmanirahim.

(1). Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah. – Zaujati (Isteri saya) selamat melahirkan anak sulung kami - srikandi mujahidah - pada jam 11.13 malam, Rabu 11 Januari 2012 di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ) atau lebih famousnya Hospital Kota Bharu.

(2). Kini, kedua-duanya sihat, stabil dan sejahtera. Kami benar-benar rasa bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan dan anugerah Ilahi ini. MasyaAllah – tidak tergambar perasaan. Hanya mampu tersenyum dan berwajah-wajah ceria penuh berseri!

(3). Kian terasa amanah dan tanggungjawab daripada Ilahi yang harus kami pikul. Amanah ini adalah amanah yang semesti kami - ambil dengan penuh kesedaran, berjiwa penuh tanggungjawab dan merasai hakikat ubudiyah ini dengan sejelas-jelasnya.

(4). Nama puteri sulung kami ini, secara rasminya akan dikongsikan kepada sahabat-sahabat, rakan-rakan dan teman-teman dalam tempoh 7 hari mendatang. Cadangannya sudah ada. InsyaAllah. Tetapi, jika ingin memberikan cadangan amat-amat dialu-alukan.^^. Tetapi dengan satu syarat. – Harus bermula dengan huruf A dan M bagi gandingan 2 nama & makna yang baik, islamik dan bererti.

(5). Gambar srikandi kami – buat masa ini, kami tidak dapat kongsikan buat tatapan sahabat handai. Kerana, putri sulung kami yang tercintai ini masih dalam penjagaan rapi doktor untuk rawatan selanjutnya. ( Gambar tidak boleh diambil).

(6). Kami hajatkan perkongsian, tunjuk ajar dan panduan daripada sahabat-sahabat pembaca sekalian tentang dunia “keibubapaan” dan tips penjagaan anak. Jika punyai pengalaman, ilmu dan pengetahuan – sudi-sudilah kongsikannya. Kami sangat berbesar hati.

(7). Kami memohon doa dan solat hajat daripada kalian semua agar Allah SWT sentiasa memberikan kemudahan, kelancaran dan bantuan dalam setiap urusan kami. InsyaAllah, kepada Allah SWT jualah kita bergantung dan berharap.

Sekian,

BroHamzah & Zaujah
12 Januari 2012
Hospital Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Membuka Lembaran Baru

Wednesday, January 4, 2012

Sinaran harapan sentiasa ada
untuk kita semua.

Membuka Lembaran Baru

Bismillah, dengan nama-Nya coretan ini dinukilkan.

Saya kongsikan coretan ringkas ini sebagai membuka lembaran baru bagi tahun 2012. Tiada apa yang terlintas untuk dicatat dan dicoretkan sebenarnya. Namun, setelah direnungi dan difikirkan – setiap fasa dalam perubahan kehidupan harus dilalui dengan persedian dan persiapan. Semoga tahun 2012 ini akan dimulakan dengan suatu niat, matlamat dan perancangan yang jelas.

(1) Tahun 2011, yang berlalu telah memberikan suatu pengalaman dan kesan yang sungguh mendalam kepada saya secara peribadi. Maha Suci Allah SWT, yang telah menetapkan semua ini. Dan , sesungguhnya – saya hanyalah hamba-Nya yang lemah, dhaif, kerdil, kecil dan tiada sebarang upaya.

Fasa demi fasa berlalu, dan semakin hari ia berlalu – saya sentiasa bertekad dan berusaha mengutip ibrah, pengajaran dan nilai pendidikan terhadap apa yang ditempuhi dalam kehidupan.

Kian ramai manusia yang ditemui, dirapati dan diteladani – saya dapati bahawa sesungguhnya terdapat pelbagai jenis, ragam, kerenah dan sikap manusia. Manusia yang bertopengkan pelbagai jenis, bentuk dan aneka rupa wajah. Namun, benarlah - sebaik-baik manusia adalah manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT!

Setiap hari berhadapan dengan pelbagai “ramuan” kehidupan – ada saat tenang, damai dan tenteram – ada ketikanya dihimpit ujian yang tertimpa-timpa. Semuanya, mengajar saya untuk memiliki persedian jiwa yang tahan diuji. – Sahsiah keperibadian yang stabil!

Dan, jika dinukilkan terdapat banyak perkara yang boleh dikongsikan. Namun, cukuplah sekadar itu.

(2) Tahun 2012, kekadang saya terasa debaran untuk melaluinya. Tahun ini, saya akan lalui lebih banyak cabaran, pengalaman dan ujian dalam pelbagai bentuk. Saya tidak tahu apakah ia? Tetapi, perasaan itu hadir dengan tiupan kencang!

Tugas, amanah dan kerjaya yang akan menuntut lebih kesabaran, penelitian dan kesungguhan. Sepanjang, tahun 2011 – saya tidak pernah terlintas untuk menjadi seorang editor dan penulis namun, Allah SWT berikan pengalaman ini. Banyak perkara yang ditimba, dicedok dan diamati. Saya terima cabaran itu! Dan tahun ini, saya perlu persiapkan lagi untuk itu.

Perubahan fasa untuk terus menerus menjadi hamba Allah SWT. Daripada seorang, kini berdua. Dan daripada berdua, insyaAllah akan “bertiga”. Sebagai seorang lelaki dan juga semua – berdebar itu tetap ada untuk melangkah ke fasa bergelar – abi, ayah, abah, papa dan dady!. ^^

Yang pasti, tahun ini mesti lebih baik. Wujudnya pembaharuan, peningkatan dan perubahan kepada saya secara khususnya. Apakah yang perlu berubah, ditingkatkan dan diperbaharui?

(3) Pencapaian, komitmen dan kecekalan. Betapa sesungguhnya, kekuatan yang hakikat itu adalah daripada Allah SWT. Tiada yang lain, melainkan Dia.

Untuk lebih banyak bersabar,
Untuk lebih kuat dan tabah dengan sebarang ujian dan dugaan,
Untuk lebih kukuh dan stabil saat diuji,
Untuk lebih konsisten dan istiqamah,
Untuk lebih berhimmah dan berhikmah,
Untuk lebih meningkat dan tertingkat,

Kita – Saya dan Anda – harus memiliki kekuatan ruh, jiwa dan nurani dalaman yang kuat, jernih, bersih dan utuh. Maknanya, apa? : Hubungan dengan Allah SWT yang sentiasa murni, berhubungan 24 jam , dipelihara dan dijaga.

Kerana itu,

Al-Quranul Karim – sebagai sumber utama kekuatan – harus dibaca, difahami, diteliti dan dihayati lebih kerap dari sebelumnya.

Lidah, hati dan jiwa lebih – kerap membaca dan mengulangi zikrullah dalam setiap nadi kehidupan.

Amalan Zikir al-Mathurat harus lebih kerap dari sebelumnya. Jika sebelum ini, hanya sebagai rutin sahaja - kali ini ia dibaca dengan lebih penghayatan, perasaan dan jiwa yang berinteraksi.

Solat fardu diamati dengan lebih terfokus. – Kesempurnaannya, kekhusyukannya, perlaksanaanya dan berjemaahnya sentiasa disemak selalu.

Solat sunnat – sebagai tambahan – Qiamullailnya, Dhuhanya, Taubatnya dan Hajatnya. Ia harus dilazimi.

Kesentiasaan berwudhuk yang diteruskan dari semasa ke semasa.

Membuang, menghakis dan menanggalkan segala keaiban-keaiban, dosa-dosa dan maksiat yang menghitamkan dan mengotori hati secara teguh, bersungguh dan penuh tekad.

Dan, semua amalan-amalan yang boleh membersihkan hati, merawat jiwa dan menjernihkan nurani. – Ia diperkemaskan, diperkasakan dan ditekankan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan tanpa jemu, bosan dan lesu.

Akhirnya, :- Kepada Allah SWT jualah kita akan kembali.

Justeru, marilah kita perkukuhkan ubudiyah kita hanya sanya kepada Allah SWT.

Coretan Awal Tahun 2012
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP