Titipan Kasih Buat Putriku

Sunday, January 22, 2012

Cinta keluarga saat ini antara -
Abi, Ummi & Mukhlisah

Titipan Kasih Buat Putriku



Buat Putriku yang dirindui,

‘Aliyah Mukhlisah yang meneduhkan jiwa.

Nukilan ini dititipkan ketika Mukhlisah berusia 12 hari. Saat ini abi, tinggal bersendirian, sunyi dan sepi. Abi merasai suatu hembusan perasaan yang belum pernah abi rasakan. Perasaan yang lembut, halus dan menenangkan.

Maha Suci Allah SWT yang mengurniakan perasaan ini dalam nurani abi. Semoga kasih sayang yang tumbuh di hati abi terus mekar hendaknya.


‘Aliyah, Putri abi yang dicintai,


Abi tidak sangka begitu cepat masa berlalu. Pejam celik, pejam celik – Mukhlisah hadir dalam kehidupan abi & ummi. Terasa baru semalam, kami disatukan dalam bingkai pernikahan. Namun, ketentuan Allah SWT yang mengizinkan kehadiran Mukhlisah dalam keluarga kecil ini.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Itulah lafaz yang terzahir tanda kesyukuran kepada Allah SWT. Mukhlisah adalah permata anugerah, kurniaan dan pemberian Allah SWT buat abi dan ummi yang menjadi amanah yang besar, berat dan penuh makna buat kami berdua.

Mukhlisah, srikandi abi dan ummi yang dirindui,

Tahukah Mukhlisah, bagi sepasangan suami dan isteri, anak merupakan suatu aset yang sangat penting, mahal dan berharga dalam meraih keredhaan Allah SWT. Murabbi abi menyebutkan bahawa, projek yang paling besar bagi seorang ayah dan ibu ialah : - mendidik anak-anak untuk menjadi mukmin mukminah dan menghantar mereka ke syurga.

Ya ke syurga. Menjadi calon-calon syurga.
Syurga idaman dan impian semua manusia.

Dengan kata lain, ialah melahirkan suatu generasi anak-anak perindu syurga. Masya-Allah, beratnya tanggung jawab dan amanah ini. Jika proses pengabaian terhadap anak-anak berlaku dan terjadi, ia merupakan suatu jenayah, kejahatan dan kezaliman yang sangat besar dalam ketamaduan manusia.

Teringat kata-kata Ali Hassan An-Nadwi :

“ Apakah gunanya membesarkan anak kita jika hanya untuk menjadi bahan bakar dalam neraka?.”

Tersentak abi dan ummi membayangkan semua perkara ini. Kehadiran Mukhlisah adalah suatu perkara yang besar bagi kami. InsyaAllah, abi dan ummi akan sedaya upaya untuk mendidik, memelihara, membesarkan dan mengasuh Mukhlisah dengan didikan bersumberkan Al-Quran & As-Sunnah.



'Aliyah Mukhlisah Binti 'Ali 'Irfan




Duhai Srikandi abi dan ummi yang comel,

Abi dan ummi, sentiasa berdoa, munajat dan merintih kepada Ilahi agar diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah kubra ini. Mudahan-mudahan, insan yang sekerdil dan selemah abi dan ummi ini - sentiasa dipayungi, dirahmati dan diberikan hidayah oleh-Nya dalam setiap amalan yang kami lakukan.

Mukhlisah, dewasalah sebagai penyejuk hati bagi abi dan ummi. Membesarlah sayang abi ummi dengan kekuasaan, kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT. Dengan sedaya kudrat dan pohonan munajat yang berterusan, ia akan menjadi modal kepada proses didikan abi dan ummi. InsyaAllah

Mekarlah Mukhlisah umpama mawar merah yang berduri. Menjadi putri yang terpelihara daripada kerosakan, kefasadan dan kehancuran yang melata. Agar, terbina kukuh keperibadian wanita solehah yang menghiasi dunia dengan keindahan, ketenangan dan kedamaian yang meneduhkan.

Justeru, segeralah Mukhlisah kembali ke pangkuan abi dan ummi di teratak teduhan kita. Abi ingin benar untuk menyambung bacaan Al-Fatihah yang abi ajarkan sebelum ini. Abi merindui saat-saat kita membaca Al-Mathurat bersama-sama dan membaca al-Mulk sebelum tidur. Tersenyum abi melihat Mukhlisah senyum – senyum manis bersama lesung pipit yang indah itu.

Mukhlisah, abi menantimu.

‘Aliyah Mukhlisah yang diingati selalu,

Abi dan ummi, sepakat dan berazam untuk melaksanakan tugas mendidik ini bersama-sama. Ia bukannya tugas perseorangan sahaja tetapi kami berdua. Ya, abi dan ummi. Inilah komitmen dan kesungguhan yang menjadi titik asas pembentukan baitul muslim abi dan ummi. InsyaAllah.

Cukuplah, sekadar itu titipan ini. Akhirnya, abi ingin menukilkan kalam nasihat Akhlaq Hussain katanya :

“ Anak soleh menjadi sumber pahala kepada ibu bapa, mereka akan mendapat ganjaran di dunia dan di akhirat.”

Justeru, besar harapan kami agar – anak abi dan ummi – ini menjadi seorang anak solehah yang diredhai, dicintai dan disayangi oleh Allah SWT. Semoga Mukhlisah, membesar dan terus membesar sebagai anak solehah. Ya sayang, itulah impian, cita-cita dan hasrat abi dan ummi.

Sekian, sekadar itu titipan ringkas abi saat ini. Semoga anak abi dan ummi terus berada dalam keredhaan dan kasih sayang Allah SWT.

BroHamzah
12.30 pagi
23 Januari 2012
Kanpung Paya Batu, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Catatan Seorang Hamba

(1). Kezalimanan Ibu Bapa : - (a). Mengelapkan masa depan akhirat anaknya dari kelalaian, kealpaan dan kecuaian mendidik anak-anak dengan sebaiknya. (b). Tidak memiliki ilmu dan kemahiran mendidik anak-anak.

(2). Tanggungjawab dan amanah keibubapaan adalah jantung kehidupan seorang muslim. Justeru, perlu pindahkan aqidah dan segala kandungan risalah Islam kepada anaknya. – Punca kejahatan ialah membiarkan dan mengabaikan pendidikan anak-anak.

(3). Ketika dikurniakan permata hati ini soallah diri sedalam-dalamnya : “ Anak anugerah yang tak terhingga nilainya atau bebanan yang tidak diingini?.” Menjawab soalan yang memperlukan pengamatan dan pengamalan.

Bahan-bahan diatas telah diolah, diharmonikan dan dikongsikan daripada catatan peribadi saya semasa menghadiri Seminar Islamic Parenting 2, 11 Jun 2011 di Dewan Besar, Kolej Teknologi Darulnaim.

16 comments:

Qawiem Khairi January 22, 2012 at 9:32 AM  

Salam alaik abg ali.

Moga Allah sentiasa memberi kekuatan buat abg ali dan kak yam untuk mendidik puteri aliyah. Ya Allah, curahkanlah rahmat dan berkatmu pada keluarga ini. Amin.

Nazihah@Jiha January 22, 2012 at 9:45 AM  

semoga Puteri 'Aliyah mukhlisah membesar menjadi si solehah yang dijanjikan syurga dari Allah :)

bintufadeen January 22, 2012 at 10:41 AM  

semoga tabah ya ummi & abi Mukhlisah.. :)

sebak baca nukilan kali ni..

BroHamzah January 22, 2012 at 2:46 PM  

Pelaut Rabbani

Walaikumusalam, syukran atas titipan & perkongsian anta. Kekuatan yang hakiki itu adalah daripada Allah SWT. Benar, segala panduan dan pedoman mendidik adalah daripada Allah SWT & ajaran Rasulullah. Usaha, tawakal dan kesungguhan kita dalam melaksanakannya.

Tugas abi dan ummi adalah untuk memastikan "proses" pendidikan tauhid ini terlaksana dengan baik. InsyaAllah

BroHamzah

BroHamzah January 22, 2012 at 2:47 PM  

Nazihah @ Jiha

Terima & syukran atas titipannya.

BroHamzah

BroHamzah January 22, 2012 at 2:48 PM  

bintufadeen

Syukran atas saranan dan dokongan. Doakan agar kami benar-benar kuat, tabah & istiqamah dalam mendidik putri ini.

BroHamzah

NooR AzLen BinTi HaRoN January 22, 2012 at 6:02 PM  

Assalammualaikum

moga 'Aliyah Mukhlisah menjadi anak yang solehah.Amin.

BroHamzah January 22, 2012 at 7:53 PM  

Noor Azlen Bt Haron

Walaikumusalam,

Syukran atas doanya. InsyaAllah itulah harapan dan impian.

BroHamzah

Rintihan HambaMu January 22, 2012 at 9:23 PM  

Assalamualaikum..

moga puteri 'Aliyah Mukhlisah menjadi anak yg solehah, muslimah yg solehah & pemudi harapan ummah, insyaallah...

kehadirannya amat dinntikan..xsbr tgk dia membesar..

BroHamzah January 22, 2012 at 9:46 PM  

Srikandi permata

Walaikumusalam, alhamdulillah. Syukran, sama-sama kita menghidupkan suasana yang subur dengan iman, ruh islam dan serasi dengan fitrah insani agar 'Aliyah Mukhlisah membesar dengan acuan fitrahnya sebagai hamba Allah SWT.

Syukran
BroHamzah

Dr Amira Atiqah January 22, 2012 at 10:57 PM  

Alhamdulillah, sayu membacanya, jika si comel ini sudah membesar dan membaca titipan ini, semestinya dia berbangga mempunyai parents yang sangat penyayang. Tahniah sekali lagi.

BroHamzah January 22, 2012 at 11:30 PM  

Amira Atiqah

Semua ibu bapa sangat-sangat meyayangi anaknya.
BroHamzah

Abdullah Imrran As-Sabar January 25, 2012 at 1:46 AM  

salam cikgu ktd.. dari ana, jauh nun di selatan tanah air. semoga izzah Islam terus mekar.

kura2 January 25, 2012 at 4:26 AM  

kata2 yg amat terasa di hati, krn kita masing2 adlh ank2 kpd ibu bapa kita...

BroHamzah January 25, 2012 at 10:33 PM  

Abdullah Imrran As-Sabar

Wassalam, insyaAllah. Sama-sama kita bina Islam dalam diri kita.

BroHamzah

BroHamzah January 25, 2012 at 10:34 PM  

Huraiyah

Semoga kita menjadi anak yang soleh. InsyaAllah

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP