Showing posts with label Hebahan. Show all posts
Showing posts with label Hebahan. Show all posts
Selamatkan Syria :
Berakhir Dengan Aman
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
Perhimpunan Aman Selamatkan Syria berlangsung dengan lancar petang tadi. Saya mengikuti arus gerombolan peserta yang berarak menuju ke Kedutaan Syria dengan tenang. Walapun, mata kelihatan seperti mata panda akibat keletihan travel semalaman dari Negeri Serambi Makkah – saya gagahkan diri bersama mereka dalam suasana perarakan di bawah terikan matahari yang membahang.
Berbaju serba putih
Itu saya, nampak tak ?
Teringat pagi tadi sebelum tiba di Ibu Kota, seorang teman menghantar mesej tazkirah perhimpunan kali ini :
(1) Tarbiyah diri kita untuk tunduk mengharap redho-Nya.
(2) Kita turun berdakwah dengan syaksiyah.
(3) Tanda kasih sayang dan prihatin kepada ummat.
" Semoga misi perhimpunan ini tercapai, dan ianya hanya satu permulaan bagi usaha untuk menuntut pembebasan daripada cengkaman kezaliman rejim Bashar al-Assad. Saya seronok melihat rakan-rakan peserta perhimpunan yang hadir daripada pelbagai NGO. Ramai yang saya tidak kenal tetapi jelas diwajah mereka terpancar ketenangan, keikhlasan, bersemangat dan punyai disiplin kerjasama yang erat bagi memastikan perarakan berjalan yang aman, tenang dan harmoni. "
Putih, lambang kebebasan.
Bebaskan Syria daripada kezaliman, penindasan dan kekejaman.
Syabas & Tahniah!
Semoga kerjasama erat daripada semua NGO ini akan melebar dan berkembang dari semasa ke semasa. Itulah ukhuwah Islamiyah yang kita harapkan untuk merealisasikan kesatuan ummah ini. Saya sangat-sangat percaya dan yakin inilah formula asasi kebangkitan ummah khususnya di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Gambar-gambar Perhimpunan : Sini
Berita Perhimpuanan : Sini
BroHamzah
Seksyen 12, Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan
Malaysia
Suara Bergema Buat Syria
Wednesday, March 14, 2012
Gabungan Selamatkan Syria
Lafaz itu tetap menjadi lafaz utama : Bismillah.
Setiap hari, pasti ada update tentang berita terkini tentang Syria. Semua mata kini mulai cakna, peka dan ingin ambil peduli tentang Syria. Apa sebenarnya yang berlaku? Apakah perkembangan terkini di sana? Bagaimanakah keadaan rakyat Syria yang tertindas, dizalimi dan diperlakukan dengan begitu kejam oleh rejim Basyar al-Assad?
Signal ini jelas! : Kesedaran tentang Bumi Syria mulai tersebar dan lampu “merah” memberikan suatu perkembangan yang positif buat rakyat Syria. Jihad menyebarkan gambar-gambar, video-video dan berita-berita sebenar tentang apa yang berlaku di bumi Syria – sudah ada kesan dan impaknya.
Memanfaatkan kecanggihan teknologi internet yang ada. Dunia kini bagaikan membuka mata, dan kisah-kisah, cerita-cerita dan realiti sebenar telah terbongkar!
Mana tidaknya, hampir berbulan-bulan hal ini tidak diketahui oleh masyarakat dunia lantaran sekatan maklumat sama ada media cetak mahupun media maya -dan penindasan yang dilakukan secara terancang oleh konco-konco keturunan al-Assad ini. Justeru, jelas kepada kita bahawa rakyat Syria semenangnya dizalimi, ditekan, ditindas dan dipijak-pijak oleh suatu kuasa yang jelas kezalimannya.
Kita ? Kita ? dan Kita ? – Apa yang boleh kita lakukan?
" Mari Membantu Mereka, Bukan Hanya Sekadar Doa"
Sama-sama kita nyatakan sokongan terhadap Gabungan Selamatkan Syria, dalam usaha zahir melalui suara bergema melalui kesepaduan ummat Malaysia untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan yang sedang berlaku di Syria.
InsyaAllah, - saya akan turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Sebagai tanda sokongan buat masa depan rakyat Syria yang lebih sejahtera, aman dan adil!. Jom, kita pakat-pakat pi!
Jumpa di sana!
BroHamzah
22 Rabiulakhir 1433 H
15 Mac 2012
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
Malaysia
Nota :
Awal pagi ini bangun dengan penuh kesegaran, bersemangat dan terus-menerus menanamkan himmah untuk memperbaiki diri! – Motto hidup harus digerakan sentiasa ;- “ Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.”
Alhamdulillah, sempat membaca sepintas lalu jawapan sahabat, Hilal Asyraf kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata soalan yang diajukan kepadanya. Semoga ia bermanfaat buat kita semua. Boleh capai di sini.
Komentar ringkas : Syabas buat sahabat Hilal Asyraf, berkongsi ilmu dengan mata pena agar menjadi saham buat akhiratmu.
Read more...
Labels:
Hebahan,
Pengumuman
Qurratul 'Aini - Cahaya Mata Kurniaan Ilahi
Thursday, January 12, 2012
Qurratul ‘Aini – Cahaya Mata Kurniaan Ilahi
Bismillahirahmanirahim.
(1). Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah. – Zaujati (Isteri saya) selamat melahirkan anak sulung kami - srikandi mujahidah - pada jam 11.13 malam, Rabu 11 Januari 2012 di Hospital Raja Perempuan Zainab 2 (HRPZ) atau lebih famousnya Hospital Kota Bharu.
(2). Kini, kedua-duanya sihat, stabil dan sejahtera. Kami benar-benar rasa bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan dan anugerah Ilahi ini. MasyaAllah – tidak tergambar perasaan. Hanya mampu tersenyum dan berwajah-wajah ceria penuh berseri!
(3). Kian terasa amanah dan tanggungjawab daripada Ilahi yang harus kami pikul. Amanah ini adalah amanah yang semesti kami - ambil dengan penuh kesedaran, berjiwa penuh tanggungjawab dan merasai hakikat ubudiyah ini dengan sejelas-jelasnya.
(4). Nama puteri sulung kami ini, secara rasminya akan dikongsikan kepada sahabat-sahabat, rakan-rakan dan teman-teman dalam tempoh 7 hari mendatang. Cadangannya sudah ada. InsyaAllah. Tetapi, jika ingin memberikan cadangan amat-amat dialu-alukan.^^. Tetapi dengan satu syarat. – Harus bermula dengan huruf A dan M bagi gandingan 2 nama & makna yang baik, islamik dan bererti.
(5). Gambar srikandi kami – buat masa ini, kami tidak dapat kongsikan buat tatapan sahabat handai. Kerana, putri sulung kami yang tercintai ini masih dalam penjagaan rapi doktor untuk rawatan selanjutnya. ( Gambar tidak boleh diambil).
(6). Kami hajatkan perkongsian, tunjuk ajar dan panduan daripada sahabat-sahabat pembaca sekalian tentang dunia “keibubapaan” dan tips penjagaan anak. Jika punyai pengalaman, ilmu dan pengetahuan – sudi-sudilah kongsikannya. Kami sangat berbesar hati.
(7). Kami memohon doa dan solat hajat daripada kalian semua agar Allah SWT sentiasa memberikan kemudahan, kelancaran dan bantuan dalam setiap urusan kami. InsyaAllah, kepada Allah SWT jualah kita bergantung dan berharap.
Sekian,
BroHamzah & Zaujah
12 Januari 2012
Hospital Kota Bharu, Kelantan
Read more...
Labels:
Hebahan,
Pengumuman
Layari Langit Ilahi.Com Setiap Hari
Wednesday, November 30, 2011
Iklan, hebahan dan sebaran : -
Langit Ilahi.Com : Mari Menjadi Hamba!
Bismillah,
(1) Alhamdulillah, semoga sedikit perkongsian di dalam medan ini ada manfaatnya buat sahabat pembaca yang selalu menyokong, mendorong dan mendokong Langit Ilahi.
(2) Dengan gabungan team daripada pelbagai kepakaran, kebolehan dan juga think tank dalam team LI ini ( sekarang sudah mencecah 30 orang - secara sukarela) - pengunjung LI mencecah 33,000 setiap hari merupakan suatu bonus untuk kami berusaha untuk "berkongsi" dengan kalian.
(3) Saya ingin ucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat-sahabat Team LI terutama akhi Hilal Asyraf sebagai master mind - yang bertungkus lumus untuk menggerakan usaha-usaha sebaran melalui alam maya ini. Semoga Allah SWT redha dan sentiasa memelihara niat, keikhlasan dan kebersihan hati kita dalam beramal kerana-Nya sahaja. Ya, kerana-Nya sahaja. Tiada yang lain.
(4) Harapannya, setiap yang kita laksanakan adalah medan ubudiyah kepada-Nya, medan untuk kita memenuhi gerak kerja secara jamaie' (berorganisasi) dan sentiasa saling bantu-membantu, lengkap-melengkapi dan sebagainya. InsyaAllah.
Mari Menjadi Hamba
BroHamzah
1 Disember 2011
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim.
Labels:
Hebahan,
Langit Ilahi.Com,
Pengumuman
Kursus JDK Kembali ! - Mohon Segera, tempat terhad!
Sunday, November 20, 2011
Nantikan ia!
Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) kembali!
Untuk tahun yang ke - tiga (3)
Tahun ini melibatkan Empat Zon di Semenanjung Malaysia & Satu di Sabah. Khusus untuk adik-adik pelajar SPM 2011.
Tahun ini menawarkan lebih banyak aktiviti-aktiviti yang menarik dan mendebarkan.
Pengalaman-pengamalan, perkongsian-perkongsian dan ilmu-ilmu yang akan ditimba sepanjang kursus ini.
22 Hari - tempoh masa yang akan memberikan pelbagai input buat anda! Justeru, usah lepaskan peluang ini. Mohon segera kerana tempat TERHAD - hanya 100 orang peserta sahaja untuk setiap zon.
Justeru, tunggu apa lagi.
Untuk maklumat lanjut, sila layari :
dan juga page FB JDK :
Komentar - seorang hamba :
(1) Kursus JDK - ia telah memberikan impaknya yang tersendiri kepada saya. Sungguh, terlalu banyak perkara yang saya pelajari, amati dan telusuri sepanjang 22 hari kursus ini berlangsung. Sedikit perkongsian saya mengenainya di sini.
(2) Tahun ini, saya tidak lagi terlibat secara "operasi" di peringkat kursus sebagai Kem Komandan. Walaupun, terlibat di peringkat induk untuk aspek pengurusan penyelarasan - sudah tentu : JDK tetap di hati dan nurani saya sebagai kursus yang sangat unik dan indah buat saya.
(3) Saya sangat mencadangkan, mengesyorkan dan mengalu-alukan sesiapa sahaja - adik-adik SPM 2011 untuk mengikuti kursus ini. Terlalu banyak manfaatnya yang dapat kalian timba, kutip dan lalui. InsyaAllah. Ikuti sedutan video JDK Zon Tengah di sini.
(4) Jika ada yang ingin berkongsi atau sudah berkongsi mengenai kursus ini di blog atau di mana-mana medium - mohon letakan link atau sumbernya agar dapat saya jadikan ia sebagai arkib khusus untuk Kursus JDK ini. Syukran!
Sekian,
BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim
Labels:
Haluan,
Hebahan,
Pengumuman
Terkini : Hujan rahmat membasahi bumi kering Somalia
Sunday, October 16, 2011
Perkongsian ini diteruskan, Alhamdulillah.
1. Saya mengikuti setiap perkembangan misi LL4S ini dengan penuh minat, teruja dan - rasa - simpati yang dalam. Bukan itu sahaja, isu-isu global yang lain turun mendapat perhatian hati ini. Entah mengapa, ia semakin hari - perasaan yang ada ini - melihat akan nasib ummah ini yang sangat meruntun jiwa.
2. Semangat, kecekalan dan ketabahan ; teman-teman team kedua misi LL4S ini membuatkan saya banyak terfikir. Sungguh, mereka dahulunya terlibat dalam misi kemanusiaan Palestin sebelum-sebelum ini kini,sekali lagi tampil dengan semangat sukarela dengan sepenuh jiwa. Seolah-olah jiwa mereka dekat dengan nilai-nilai kemanusiaan dan kebajikan. - Suka berkhidmat, membantu dan menolong.
3. Saudara Nizam Awang, Dr Arbain Syawal dan juga Ustaz Abu Ubaidah melalui pengalaman berbeza kali ini, apabila dapat merasai simbahan hujan rahmati membasahi bumi Somalia. Tidak terbayang akan perasaan saudara-saudara kita di sana - terutama rakyat Somalia sendiri. Setelah, 2 tahun tidak merasai hujan yang lebat ini - ia bagaikan rahmat buat mereka.
4. Murabbi saya menyebut : " Tiada pahala, bagi yang mengagumi pengorbanan, kesungguhan dan keseriusan insan lain dalam beramal." Kita sering, mengucapkan ucapan-ucapan kekaguman, keterpersonaan dan ketakjuban dengan amalan orang lain, namun sebenarnya ia tidak akan mendatangkan apa-apa pengaruh dan kesan kepada "tabung" pahala kita. Melainkan, ia menggerakan kita untuk segera dan terus beramal!. - Terkena panahan buat saya!
5. Mereka telah berusaha untuk melakukan yang terbaik di sana, dan kita juga mampu melakukan sesuatu di sini. Doa, huluran bantuan sumbangan, khidmat kepakaran dan apa sahaja yang termampu harus diglembengkan dengan kerjasama yang erat. InsyaAllah.
6. Saudara-saudari, teman-teman dan rakan-rakan boleh ikuti perkembangan sesama berkaitan misi ini di web rasmi HALUAN Malaysia di sini. Atau terus sahaja, ke laman sosial popular saat ini facebook : HALUAN. Segala isu terkini akan dikemaskinikan secara berkala.
Agihan makanan untuk mereka di sana. Semoga ia membantu mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. InsyaAllah.
Ustaz Abu Ubaidah dengan seorang putri Somalia - namanya Palestin. Senyumannya memberikan suatu gambaran perasaan yang penuh makna.
Hujan Lebat di Disso, 2 km dari sempadan Kenya - Somalia.
Air hujan turun mencurah-curah. Menyejukan kawasan sekeliling.
" Banjir - mungkin ini fenomena luar biasa di sana."
Laluan yang berlumpur, berselut dan dipenuhi air. Menykarkan bantuan makanan kepada mereka. Semoga Allah SWT permudahkan.
Labels:
Haluan,
Hebahan,
Misi Kemanusiaan,
Pengumuman
Terkini : Di Sebalik Air Mata Somalia
Monday, October 10, 2011
Dr Arbain Syawal :- Saya kagum dengannya, Doktor yang berjiwa luar biasa. Tiada aircond, keselesaan dan kemudahan seperti doktor biasa.
1. Sekadar catatan ringkas di waktu ini. Alhamdulillah team kedua - Lifeline For Somalia (LL4S) telah berada di Somalia selepas berangkat pada Sabtu, 6 Oktober 2011 yang lepas. MasyaAllah - Saudara Nizam Awang (Ketua Misi), Dr Arbain Syawal dan Ustaz Abu Ubaidah Musa, terpilih untuk berada di sana. Cemburu saya!
2. Suatu yang menarik untuk dikongsikan, suatu usaha untuk membangunkan anak-anak Somalia dengan batu batan pendidikan Al-Quran melalui sistem pondok "Dugsi". Mereka diajarkan menulis ayat-ayat Al-Quran sejak dari kecil, dalam tulisan tangan mereka sendiri, menghafal setiap baris hingga hadham, memadamnya dan menulis ayat-ayat baru sambungan pula. Kaedah ini terbukti berbaik bagi masyarakat Somalia yang kekurangan Quran mushaf untuk meneruskan proram pendidikan Al-Quran.
3. Masjid Istanbul : - satu kompleks yang didirikan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan jangka masa panjang untuk pelarian. Di dalamnya, masjid, pusat pengajian, klinik dan sebagainya. MasyaAllah, usaha-usaha yang murni. Salah satu usaha berterusan kerajaan Turki. Syabas!
Seawal 5 pagi, mereka generasi muda Somalia bangun untuk belajar. Mereka memulakan hari sebelum Subuh. Lifestyle sunnah para Rasul, Nabi-nabi, Salafusoleh dan para ulamak. Didikan yang luar biasa.
Asrama mereka, berehat seketika untuk memulakan hari yang baru. Lihatlah, penginapan mereka yang ala kadar. Kita?
Memulakan hari baru, papan pengajian dibersihkan daripada catatan semalam. Hari ini, mereka akan belajar sesuatu yang baru. Tersentuh!
Seusai Subuh dan terbitnya fajar baru. Mereka memulakan suatu yang baru dengan nafas, semangat dan tekad yang baru. Sinaran harapan buat generasi "baru" Somalia.
Puteri Somalia, tekunnya dia. Semoga Allah redha denganmu. Al-Quran menyinari hatimu dan inilah, asas pembentukan keperibadian mukmin yang Allah SWT redhai.
4. Bantuan, sumbangan dan apa jua pertolongan untuk Somalian anda boleh rujuk website HALUAN. Atau terus ke Facebook HALUAN untuk maklumat terkini. Kredit : Kesemua gambar ini saya ambil di sana.
5. Saya teringin ke sana. Namun, tiada peluang dan peluang. Mampukah saya? Jika anda punyai peluang dan kesempatan maka, sambutlah.
BroHamzah
11 Oktober 2011
Kota Bharu, Kelantan.
Read more...
Labels:
Haluan,
Hebahan,
Pengumuman
Hebahan : SEMAI 3
Thursday, October 6, 2011
Seminar Pembangunan Modal Insan 2011
(SEMAI 3)
UNISZA, Kuala Terengganu.
10 Oktober 2011
Tema :
" Keseimbangan Modal Insan Dalam Membangun Masyarakat Holistik."
Laman Web SEMAI :
www.semai.haluan.org.my
Read more...
Labels:
Haluan,
Hebahan,
Pengumuman
Hebahan : Program Ibadah Qurban 1432 H / 2011
Tuesday, October 4, 2011
Hubungi Wakil HALUAN Pusat untuk maklumat lanjut :
Mohd Azhar Idris +60126012743
Mohd Fadzil Husin +60134841309
Hasan Bahari +60173206871
Atau layari Laman Web Rasmi HALUAN
Read more...
Labels:
Haluan,
Hebahan,
Pengumuman
Al-Fatihah : Pemergian seorang insan gigih mendidik & berbakti - Allahyarham Mohamad Sabri Ibrahim
Tuesday, September 27, 2011
Allahyarham bersama isterinya yang tercinta.
Pagi ini, sekitar jam 5.20 pagi saya menerima mesej yang mengejutkan. Pemergian seorang lagi, individu yang saya kenali dan sentiasa berhubungan atas kerja-kerja tarbiyah, dakwah dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Allahyarham Mohamad Sabri Bin Ibrahim, atau saya lebih selesa memanggilnya dengan panggilan pak cik. Kerana merasakan bahawa – saya lebih muda usianya dan menghormatinya. Beliau telah kembali ke Rahmatullah jam 4.40 pagi 28 September 2011 di Hospital Ampang Puteri setelah sakit beberapa hari kerana mengalami serangan angin ahmar (strok).
Saya mengenalinya beberapa tahun yang lepas, terutama dalam penglibatan saya dalam Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK). Allahyarham merupakan bendahari HALUAN Malaysia yang banyak mengurus keluar masuk wang di akaun bank HALUAN dan khidmat beliau sangat membantu dalam melincinkan segala urusan berkaitan pengurusan kewangan.
Allahyarham (memegang kamera) bersama-sama sahabat-sahabat beliau dalam suatu majlis. Al-Fatihah.
Saat teringat, suatu masa dahulu – beliau bertanyakan saya tentang dunia blog. Beliau tanyakan kepada saya bagaimana hendak buat blog, reka bentuk dan mengurus pengisian di dalam blog.
Katanya : “ Ana berminat untuk menulis dalam blog sebagai salah satu medium dakwah dan perkongsian dengan rakan-rakan.”
Sememangnya, allahyarham sentiasa mengemaskini blognya dengan tulisan-tulisan nasihat yang dipetik dari pelbagai buku, catatan dan kuliah-kuliah yang dihadirinya. Semoga perkongsiannya di blog menjadi salah satu bekalan dan sahamnya di dalam akhirat kelak.
Layarilah blognya : TEHBRI Mendidik dan Berbakti. Sebagai perkongsian yang digerakan dan diusahakan oleh beliau. InsyaAllah.
Kali terakhir saya bertemunya adalah pada dua minggu yang lepas, ketika menghadiri suatu mesyuarat di Kuala Lumpur. Siapa sangka, saat itu beliau sihat dan tersenyum dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sungguh, Allah jualah yang Maha Kuasa dan Agung.
Saya ingin mengucapkan ta’ziah kepada ahli keluarga dan para sahabat-sahabat Allahyarham – semoga kita semua tabah menerima ketentuan dan suratan takdir Allah SWT. Peristiwa ini mengingatkan kepada kita semua bahawa, kematian itu pasti akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kehidupan ini harus ditunjangi dengan ketaatan dan amalan soleh kepada-Nya.
“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”
(Ali Imran 3 : 185)
Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosa dan kesalahan beliau. Semoga Allah SWT menerima semua amal soleh yang beliau usahakan, kerjakan dan laksanakan di sepanjang hayatnya.
Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu’anhu
Pengumuman : Seminar Pendidikan Ummah 2011
Wednesday, September 21, 2011
Percuma : Sesiapa sahaja boleh menyertainya.
Nantikan 8 Oktober 2011 (Sabtu) Di Balai Islam, Lundang.
1. Pendidikan menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang utuh. Membongkar rahsia bagaimana Rasulullah SAW membangunkan generasi awwalun iaitu Jinnul Quranul Farid (Generasi Al-Quran yang unik), baginda telah melaksanakan suatu proses pendidikan yang mampu melahirkan generasi yang hebat dan luar biasa dalam sejarah manusia.
2. Seminar Pendidikan Ummah berobjektif menengahkan sistem pendidikan Rabbani yang menjadi pelopor pembangunan manusia yang bertamadun, beretika dan berakhlak mulia :- harus dihadiri oleh para pendidik, para ibu bapa dan komuniti masyarakat yang hajatkan sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera.
3. Semoga usaha yang kerdil ini akan memberikan sebuah kesedaran, kefahaman dan langkah penyelesaian untuk memulakan perjalanan menuju Allah SWT melalui kehidupan yang bermakna. InsyaAllah.
BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan.
Labels:
Haluan,
Hebahan,
Pengumuman
Entri Khas : Setahun pemergian al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain
Saturday, September 17, 2011
Al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain
(1934-2010)
Saya mulakan sedikit perkongsian ini dengan lafaz Bismillah.
1. Hari ini - 18 September 2011, genap setahun pemergian al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Mudir dan murabbi yang sangat dihormati dan disegani. Beliau adalah pengasas Ma’had Attarbiyah al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri Perlis. Beliau adalah seorang tokoh pendidik yang berusaha gigih membentuk anak didiknya serta masyarakat untuk menghayati Islam secara syumul (menyeluruh), kamil (sempurna) dan syamil (lengkap).
Al-Fatihah
2. Mengimbas semula perjalanan kehidupan dan perjuangannya – sangat memberikan ibrah dan kesan yang sangat besar kepada kita semua. Artikel, Dato’ Kaya Bakti UDMZ, Pendidik berjiwa pejuang, :- memberikan sedikit gambaran secara ringkas tentang kisah hidup beliau. Kesimpulan yang boleh saya buat tentang kehidupan beliau ialah seluruh hidupnya difokuskan dan diserahkan sepenuhnya untuk kerja-kerja Islam melalui jalan penyeruan dan pendidikan. Berasaskan matlamat inilah, al-marhum Ustaz mengerakan usahanya ini melalui penubuhan MATRI. Artikel, Ustaz Dahlan dan MATRI :- memberikan sedikit gambaran tentang titik mula penubuhan MATRI serta hubungannya dengan al-marhum UDMZ.
Suasana yang memilukan, sedih dan pilu mengiringi pemergian al-marhum Ustaz
3. Beliau adalah seorang murabbi yang sentiasa berusaha melaksanakan segala ajaran Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupannya. Hidupnya adalah untuk mengajak manusia untuk sama-sama beriman, percaya dan yakin bahawa Islam adalah sebagai cara hidup. Artikel, Murabbi Ummah :- perkongsian saya berkaitan kerendahan jiwanya serta keperibadian dan kesederhanaannya.
Solat jenazah disempurnakan di MATRI, Perkampungan Tunjung, Beseri
4. Tarikh, 18 September 2010 sekitar 10.00 pagi – Al-Fadhli Ustaz Dahlan Mohd Zain menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di Mata Ayer, Perlis. Pemergiaannya, mengejutkan ramai insan-insan yang disentuh dengan didikannya. Ramai kenalan, anak-anak didiknya serta insan-insan yang mengenal al-marhum secara jauh datang untuk memberikan penghormatan yang terakhir buat al-marhum ustaz. Artikel, Untukmu Murabbi adalah tulisan murabbi saya juga ; Abu Umar sebagai tribute perkongsian jiwa khusus mengenangkan pemergian al-marhum ustaz.
Orang ramai yang hadir - kebanyakannya anak-anak didik Ustaz.
5. Kini, setahun pemergian al-marhum Ustaz - saya masih terkenangkan segala imbasan didikan serta kenangan hayat bersamanya walaupun seketika. Bagi saya, yang terkesan dan pengaruh yang ada padanya ialah didikan yang sangat halus dan benar-benar lembut dalam membentuk keperibadian anak didiknya. Benar, untuk mencari individu sepertinya sangat sukar. Moga Allah SWT sentiasa memberkati segala usaha-usaha beliau dalam perjuangan ini.
Suasana di saat pengembumian al-marhum UDMZ
Solat jenazah di tanah perkuburan - tempat persemadian al-marhum UDMZ
6. Artikel, Murabbi Mithali :- pandangan serta coretan jiwa anak-anak didikan al-marhum UDMZ tentang dirinya. Semoga sedikit perkongsian ini memberikan gambaran kepada kita, berkaitan siapakah al-marhum UDMZ yang sebenarnya.
Pusara al-marhum Ustaz Dahlan, di perkampungan Tunjung, Beseri.
7. Ya Allah, cahayakan tempat kerehatan murabbi ini di alam Barzakh dengan limpahan nur-Mu. Ya Rabbi, tempatkan beliau di kalangan para solihin dan pejuang agama-Mu. Semoga ruh al-Marhum UDMZ tenang dan dirahmati oleh Allah SWT.
BroHamzah
18 September 2011
20 Syawal 1432 H
Bangi, Selangor
Read more...
Kenyataan Rasmi MATRI berhubung tragedi 11 September
Monday, September 12, 2011
Kematian adalah suatu kepastian bagi setiap yang bernyawa.
Bagi yang masih hidup, pengakhiran seorang insan hanya terbahagi kepada dua, iaitu husnul khatimah ataupun su'ul khatimah. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi tadi, MATRI telah kehilangan tiga butir permata yang amat berharga didalam perjalanan hidup mereka demi memartabatkan ilmu ke tahap yang Allah kehendaki. Kejadian yang berlaku pada pagi ini melibatkan lapan orang pelajar MATRI dan seorang bapa angkat pelajar semestinya termasuk dalam ilmu dan hikmah Allah Taala.
Kumpulan pelajar yang mengikuti program Bapa Angkat yang dianjurkan oleh pihak MATRI sedang dalam perjalanan pulang dari melawat Ladang Tebu dan Kilang Gula di Chuping, Perlis untuk kajian tugasan tempatan. Bapa Angkat tersebut iaitu Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang juga merupakan suami kepada guru MATRI, Cikgu Nor Asmah binti Omar, merupakan salah seorang bekas kakitangan Kilang Gula.
Hujan lebat yang berterusan semenjak semalam telah melembutkan tanah, menyebabkan sebatang pohon besar yang rendang ditepi jalan telah terbalik dan menghempap kenderaan mereka yang sedang bergerak perlahan disebabkan hujan lebat. Allahyarham Ahmad Izzat bin Ismail dan Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang berada di bahagian hadapan bersama dengan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan yang duduk dibelakang pemandu telah dihimpit teruk oleh bumbung kenderaan tersebut dan meninggal ditempat kejadian.
Muhamad Ahnaf bin Anissofian yang cedera telah dimasukkan ke Unit Kecemasan manakala 5 pelajar lain yang cedera ringan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. Menjelang petang tadi, kesemua 6 pelajar tersebut telah dibenarkan pulang. Kesemua jenazah akan disolatkan di Dewan Musolla MATRI selepas Maghrib atau Isya', bergantung kepada perlepasan oleh pihak hospital. Jenazah Allahyarham Hj Shahidan bin Ali akan disemadikan di Beseri, Perlis, manakala Allahyarham Ahmad Izzat b Ismail dan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan akan disemadikan di Pulau Pinang dan Kulim.
Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)
Beseri, Perlis
Labels:
Hebahan,
MATRI,
Pengumuman
KEMASKINI 13 SEPT : Tragedi Van Pelajar MATRI dihempap pokok, 3 meninggal
Sunday, September 11, 2011
Keadaan Van yang dihempap pokok secara tiba-tiba
Bantuan tren untuk mengalihkan pokok yang sebesar pemeluk
Keadaan Van yang dinaiki mereka selepas tragedi.
Keadaan Van setelah pihak bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa-mangsa yang terlibat.
Pagi ini, saya menerima berita yang mengejutkan dari Utara Perlis. Tragedi kemalangan yang menyayat hati. Sebuah van yang memuatkan seramai 9 orang termasuk pelajar-pelajar Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) ranap teruk dihempap sebatang pokok di hadapan Kilang Gula Chuping pada jam 9.15 pagi tadi.
Menurut sumber berita, kesemua pelajar yang dibawa oleh Encik Shahidan Bin Ali yang merupakan pemandu van tersebut - dalam perjalanan ke kawasan tersebut untuk melakukan tugasan kajian tempatan anjuran pihak sekolah. Sumber Utusan Online.
Lagi berita boleh dilihat di mStar Online.
Sedikit maklumat berkenaan mangsa-mangsa yang terlibat.
Senarai nama sahabat yang terlibat kemalangan:
1. Shahidan Bin Ali – Pemandu- Meninggal,
2. Muhd Izzat Bin Ismail -Tingkatan 5 - Meninggal,
3. Hazman Bakhtiar Bin Shahrizan - Tingkatan 2 - Meninggal,
4. Muhd Ahnaf Bin Anisoffian - Tingkatan 2, Cedera Parah.
5. Muhd Shauqi Bin Salahuddin - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
6. Muhd Iqbal Bin Aminuddin - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
7. Muhd Faris Mustaqim Bin Nazri - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
8. Muhd Zalfadhli Bin Rodi - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
9. Omar Mokhtar Bon Shirin - Tingkatan 2 - Cedera Ringan,
[EDISI KEMASKINI] 12 September 2011
Semalam, ketiga-tiga mangsa yang terkorban telah disempurnakan solat jenazahnya di MATRI selepas Isyak. Kemudian, jenazah dibawa pulang ke rumah mereka masing-masing.
Menurut, salah seorang guru MATRI - bahawa malam sebelum kejadian - pelajar yang meninggal iaitu Hazman Bakhtiar Bin Shahrizan, sempat menatap wajah seorang demi seorang wajah rakan-rakan baiknya. Malah, beliau sempat membayar kesemua hutangnya. Semoga Allah merahmatinya.
Pagi ini, hampir kesemua akhbar-akhbar utama di Malaysia memaparkan kisah tragedi ini. Semalam, Buletin Utama TV 3 turut memaparkan berita ini. Boleh layari laman web ini untuk melihatnya. Sini.
Pelajar-pelajar yang lain, hanya cedera ringan. Namun, tragedi yang mereka lalui ini akan memberikan suatu pengalaman yang meninggalkan kesan yang besar dalam kehidupan mereka. Didoakan, mereka kuat dan tabah melalui semua ini.
Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Saya mengucapkan takziah bagi keluarga mangsa, dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan mendapat keampunan Allah SWT, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (Ali-’Imran: 185)
Semoga musibah yang menimpa ini membuatkan kita kembali menginsafi bahawa setiap daripada kita dari Allah SWT dan kita akan kembali kepada-Nya.
Memori : Saya teringat ketika bersalaman dengan Pak Cik Shahidan Bin Ali selepas solat sunat hari raya di MATRI syawal baru-baru ini. Tidak menyangka, itulah kali terakhir saya bertemu dan bermesra dengan beliau.
Subscribe to:
Posts (Atom)