Kenyataan Rasmi MATRI berhubung tragedi 11 September

Monday, September 12, 2011



Kematian adalah suatu kepastian bagi setiap yang bernyawa.

Bagi yang masih hidup, pengakhiran seorang insan hanya terbahagi kepada dua, iaitu husnul khatimah ataupun su'ul khatimah. Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi tadi, MATRI telah kehilangan tiga butir permata yang amat berharga didalam perjalanan hidup mereka demi memartabatkan ilmu ke tahap yang Allah kehendaki. Kejadian yang berlaku pada pagi ini melibatkan lapan orang pelajar MATRI dan seorang bapa angkat pelajar semestinya termasuk dalam ilmu dan hikmah Allah Taala.

Kumpulan pelajar yang mengikuti program Bapa Angkat yang dianjurkan oleh pihak MATRI sedang dalam perjalanan pulang dari melawat Ladang Tebu dan Kilang Gula di Chuping, Perlis untuk kajian tugasan tempatan. Bapa Angkat tersebut iaitu Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang juga merupakan suami kepada guru MATRI, Cikgu Nor Asmah binti Omar, merupakan salah seorang bekas kakitangan Kilang Gula.

Hujan lebat yang berterusan semenjak semalam telah melembutkan tanah, menyebabkan sebatang pohon besar yang rendang ditepi jalan telah terbalik dan menghempap kenderaan mereka yang sedang bergerak perlahan disebabkan hujan lebat. Allahyarham Ahmad Izzat bin Ismail dan Allahyarham Hj Shahidan bin Ali yang berada di bahagian hadapan bersama dengan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan yang duduk dibelakang pemandu telah dihimpit teruk oleh bumbung kenderaan tersebut dan meninggal ditempat kejadian.

Muhamad Ahnaf bin Anissofian yang cedera telah dimasukkan ke Unit Kecemasan manakala 5 pelajar lain yang cedera ringan hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar. Menjelang petang tadi, kesemua 6 pelajar tersebut telah dibenarkan pulang. Kesemua jenazah akan disolatkan di Dewan Musolla MATRI selepas Maghrib atau Isya', bergantung kepada perlepasan oleh pihak hospital. Jenazah Allahyarham Hj Shahidan bin Ali akan disemadikan di Beseri, Perlis, manakala Allahyarham Ahmad Izzat b Ismail dan Allahyarham Hazman Bakhtiar bin Sharizan akan disemadikan di Pulau Pinang dan Kulim.

Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)
Beseri, Perlis


0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP