Merencana dalam melakar Baitu Muslim yang barakah
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Tiada apa coretan yang ingin direndangkan di pondok teduhan ini. Cuma, ingin berkongsi coretan- berbaki yang sempat ditaipkan walaupun mode ziarah menziarahi hari raya masih dirasai.
Pagi ini, saya termenung panjang memikirkan sesuatu. Ia bermain-main di fikiran saya.Berlegar-legar memenuhi ruang minda yang tiada batas dan sempadannya. Jauh mejangkau ke hadapan. Memikirkan tentang diri. Diri seorang lelaki.
Sambil-sambil berfikir, terbuka blog Saifulislam.Com. Artikel : Lelaki Itu. Ia benar-benar menggamit hati ini.
Lelaki Itu
“Abang sibuk dengan kerja. Sebab itu anak-anak buat perangai. Mereka mahukan perhatian” kata Lijah.
Hamid mendengar.
Sepi tanpa jawapan.
Tiada apa yang mahu dijawab. Memang itu hakikatnya.
“Kalau abang lebih bertegas, tidaklah emak abang buat macam itu” Siti berleter.
Abu mengangguk.
Tanpa sebarang kata.
Hatinya bersetuju. Memang dia perlu lebih bertegas, supaya emaknya tidak saban waktu mendesak dia membeli itu dan ini.
“Kalau kau gunakan kuasa kau sebagai suami, tidaklah keadaan jadi sampai macam sekarang” tegas Lan.
Syahrul termenung.
Hajatnya mahu mendapatkan ‘sokongan’ rakan, berkesudahan dengan telunjuk yang ditunding ke arahnya.
“Aku juga yang salah” keluh hatinya.
Inilah seni menjadi suami dan bapa.
Pusing ke mana pun, akhirnya kita juga yang salah. Kita yang perlu mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku.
Anak buat perangai, salah kita. Isteri berkelakuan tidak betul, suaminya yang dayus. Ibu berkonflik dengan isteri, suami yang lemah kepimpinan, kakitangan pejabat salah laku, kita yang gagal memberitahu.
Pokoknya semua salah kita.
Kalau seorang motivator memberikan sehelai kertas kepada seorang suami dan seorang isteri, kemudian mereka berdua diminta menulis apa-apa yang dia tidak berpuas hati dengan pasangannya, dalam tempoh sejam, hasilnya mungkin begini:
Selepas setengah jam…
Suami menggaru kepala yang tidak gatal, kertas masih kosong.
Isteri mengangkat tangan dan bertanya kepada motivator berkenaan, “boleh saya minta sehelai kertas lagi!”
Jika dirungut dan dipandang negatif, panjanglah keluhan para suami dan bapa.
Bertambah lagi ‘remark’ kelemahan kita.
“Kalau tak sanggup memikul tanggungjawab, jangan kahwin. Jangan jadi suami. Jangan jadi bapa!” kata mereka.
Tetapi jika dilihat dari sudut yang positif, semua itu menunjukkan kepada banyaknya tanggungjawab kita.
Di sisi manusia, ia tanggungjawab kita dan hak mereka ke atas kita.
Di sisi Tuhan, ia adalah peranan dan peluang mengerjakan kebaikan.
Peluang disayangi Tuhan.
Kemuliaan menjadi suami.
Menjadi bapa.
Menjadi majikan.
Orang kepercayaan.
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dimintai pertanggungjawaban tentang kepemimpinan kamu.” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Untuk Adam, siapakah makmum kalian? Untuk Hawa, siapakah Imam anda?
Coretan Seorang Hamba
(1) Saban waktu, detik dan hari, ramai sahabat-sahabat dan adik-adik muda yang meluahkan rasa ingin meminang suri dan langsung untuk membina masjid. Bagi saya, fikirlah masak-masak dengan pertimbangan yang sewajarnya. Beratkan soal kepada persediaan dan persiapan sebelum menjadi suami ,bapa dan anak menantu. Bahkan, yang terpenting daripada itu ialah persiapan kejiwaan. Bersediakah jiwa kita menanggung sebuah amanah yang sangat-sangat besar dan berat ini?
(2) Selangkah ke alam ini, ia bukannya untuk suka-suka, menghalalkan hubungan lelaki dan wanita atau mengikuti arus trend yang ada. Tetapi ia lebih daripada itu. Kemuliaan, kewibawaan dan sifat kepimpinan lelaki jarang-jarang disebut sebelum mendirikan rumah tangga. Kerana itu, bagi adik-adikku, pelajarilah seni menjadi suami dan bapa mithali sejak dari awal lagi.
(3) Semasa saya ke pejabat agama Negeri Pulau Pinang mengambil sijil kebenaran nikah bulan 2 yang lalu, terlihat senarai nama-nama yang memohon untuk berceria. Yang membuatkan saya terdiam ialah, majoriti usia perkahwinan baru setahun dua. Malah umur yang memohon baru berusia awal 20an. Dan, minggu lepas saya ke pejabat agama Negeri Perlis – mengambil sijil nikah yang asal. Terdiam juga, melihat fail-fail perceriaan yang “bertimbun-timbun” di tepi kaunter. Apakah makna semua ini?
(4) Afwan, jangan pula ada yang tidak mahu berkahwin selepas membaca perkongsian ini. Usah mengaku kalah sebelum melangkah. Hasratnya, marilah sama-sama kita persiapkan fasa individu ini sebaik-baiknya. Bagi sahabat adam, yang sabar menanti si ayu solehah dalam kehidupanmu - Nasihat saya, bersedialah untuk menghadapi masa-masa mendatang dengan ketenangan, kebijaksanaan, kesabaran dan kewibawaan anda sebagai seorang lelaki.
(5) Bagi kaum hawa, hargailah kehadiran seorang lelaki yang bernama suami yang sentiasa ingin melakukan yang terbaik untuk anda. Berikan ia sokongan, dorongan dan kepercayaan kepadanya untuk terus meneruskan melakukan yang terbaik kerana Allah SWT. Berdoalah agar dikurniakan seorang suami yang bertanggungjawab, penyayang dan sangat penyabar.
(6) Bagi teman-teman yang telah berkahwin dan baru melangsungkan majlis akadnya: Janganlah merasakan kepenatan, kelelahan dan kepayahan untuk menjadi suami yang terbaik itu suatu yang sia-sia tetapi ia adalah salah jalan ubudiyah kepada Allah dan menggapai Syurga Allah SWT.Justeru, sama-samalah kita menyemak semula niat asal kita untuk melangkah ke fasa baitul muslim ini. Mudahan-mudahan niat itu terus suci, murni dan bersih kerana Allah SWT.
BroHamzah
5 Ogos 2011 bersamaan 7 Syawal 1432 H
Wangsa Maju
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
Semoga kita berjaya membina sebuah rumah tangga dakwah yang sakinah mawaddah wa rahmah..
mohon doanya abg Ali, hehe..
mr IQ
InsyaAllah.
Kalau masuk bab ini, selalunya anta orang pertama yg akan meninggalkan jejak dan komentar.
Syabas, signal yang sangat-sangat terang.^^
BroHamzah
melafazkan 'aku terima nikahnya' hanyalah sehela nafas sahaja... namun tanggungjawab yg dipikul, perlu digalas hingga ke akhirat sana..!
k.ha
Tq abg ali atas perkongsian..Baca sekali lalu rasa mcm nak mmbujang ja..Berat sungguh amanah ni.
Ha Jaafar
Syukran atas peringatannya.Syukran.
BroHamzah
NJ
Bukan hendak menakut-nakutkan.Tetapi, ajakan untuk sama-sama mempersiapkan.InsyaAllah
Berat dan besar. Itulah amanah.
BroHamzah
Coretan yang bagus. Peringatan buat kita semua. JazakAllah.
Faktor terpenting dalam usaha perubahan keadaan kepada yang lebih baik, adalah faktor diri-sendiri. Mulakan dengan diri-sendiri, dengan membangunkan aspek spiritual, emosional, intelektual dan fizikal.
Ahmad Faiz.MS
Alhamdulillah, syukran atas ingatan anta juga. - Faktor diri sendiri. Ya, InsyaAllah - memajukan diri ke arah itu.
BroHamzah
Post a Comment