Jalan dakwah : laluan yang menghimpunkan manusia-manusia yang jiwanya cekal untuk tetap teguh untuk bersama jalan ini sehingga ke akhirnya. Cita-cita dan idaman mereka hanya : Redha Allah SWT dan Syurga-Nya.
Lafaz Bismillah pembuka coretan maya ini. Semoga ada manfaatnya.
1. Kelahiran rancangan TV yang islamik adalah suatu usaha murni yang sangat-sangat dihajati saat ini. Saat, dunia hiburan serta alam penyiaran media yang lebih menjurus kepada aspek-aspek hiburan yang lebih melalaikan,menjauhkan diri kepada hakikat ubudiyyah dan ia hanya sebuah bentuk komestik hiburan yang kosong.
Imam Muda. Terbitan Astro Oasis
2. Setahun dua ini, munculnya rancangan televisyen berbentuk program realiti yang berusaha menonjolkan ruh Islamik dan lebih bercorak keagamaan. Alhamdulillah, ia suatu kerja yang baik. Terkini, kemunculan rancangan TV di Astro :- Ustazah Pilihan dan di TV Hijrah :- Solehah. Kedua-dua rancangan ini lebih berobjektifkan kepada pencarian tokoh pendakwah di kalangan wanita muslimah dan keperibadian contoh kepada generasi muda hari ini.
Ustazah Pilihan. Terbitan Astro Oasis.
3. Ada mengatakan, ia adalah alternatif kepada rancangan-rancangan TV yang bertunjang kepada dunia kesenian dan hiburan yang mencari bakat-bakat baru di kalangan remaja hari ini. Dunia yang mengagungkan dunia hiburan telah menjangkau melebih apa yang ada sekarang. Katanya, Ia adalah alternatif kepada Akademik Fantasi, alternatif kepada Mentor mentee, Sehati berdansa, Maharaja Lawak dan sebagainya. Suatu alternatif yang baik dalam menengahkan unsur-unsur yang lebih positif, berakhlak dan membina jiwa yang soleh.
Solehah. Terbitan TV al-Hijrah
4. Tahun lepas, bermulannya rancangan Imam Muda yang sasarannya ialah kaum adam. Tahun ini, sasarannya lebih memfokuskan kaum hawa. Seolah-olah, kehadiran Ustazah Pilihan dan Solehah adalah pelengkap kepada Imam Muda. Mungkin. Sebelumnya, wujudnya rancangan seperti Akademi Al-Quran dan Akademi Nasyid. Hasilnya, wujudnya suatu fenomena baru kepada masyarakat dan para peserta rancangan ini secara tidak langsung akan menjadi ikon, selebriti dan public figure. Secara tidak semena – bayangan kepopularan, keglamouran dan menjadi terkenal akan menghiasi perjalanan para peserta selepas selesai siri rancangan ini.
5. Namun, timbul pelbagai tanda tanya, persoalan dan isu terhadap rancangan kewanitaan yang terbaru ini. Maudhunya ialah wanita. Keperibadian yang sangat sensitif untuk disentuh dan dibicarakan. Sejauh mana hal ini memampukan sesuatu yang menjadi objektif perlaksanaan rancangan dan program ini, akan mencapai matlamatnya? Bolehkah rancangan sedemikian dilaksanakan? Adakah ia menepati syara serta syariat Islam? Objektif program inilah ialah dakwah dan melahirkan tokoh dakwah di kalangan muslimah. Itulah yang dinyatakan.
Justeru, kaedah dan jalan-jalan perlaksanaannya jua harus menepati kaedah dakwah Rasulullah SAW. Dasar, polisi, objektif, kaedah, perlaksanaan dan ruhnya :- Harus bertunjangkan dakwah ini. Itulah yang terbaik!
6. Dakwah, ia adalah seruan kepada Allah SWT. Dakwah, ianya membawa manusia kepada sebuah perubahan yang menyeluruh, total dan syumul. Dan, kerja-kerjanya adalah suatu amanah yang mulia, terpuji dan dipandang tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"
(Fussilat: 33)
Dakwah, ia berakar tunjangkan kepada suruhan Allah SWT dan jalannya telah dirintis oleh baginda Rasulullah SAW. Jalan dakwah :- warna warnanya adalah warna-warna darah, warna kelelahan dan warna keperitan serta kesusahan. Batu bata binaan dakwah, adalah batu bata yang harus dikukuhkan melalui asas-asas yang benar-benar berakar umbi menjunam ke dasar binaan pembentukan ummah Islamiyah sehingga lahirnya keperibadian-keperibadian manusia yang benar-benar mantap keimanan dan tinggi penghayatan keIslamannya.
7. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam Kitabnya yang menggugah syuur seluruh Dai’ Haraki iaitu Al-Muntalaq telah memberi ungkapan yang jelas tentang hakikat tugasan dakwah :
“ Demi Allah, sesungguhnya dakwah ini adalah tugas lelaki sejati. Ia menghimpunkan lelaki yang gagah perkasa di dalam barisan mereka. Orang-orang yang takut menghadapi rintangan, gangguan dan pertarungan, maka kumpulan tersebut terdiri dari angkatan lelaki yang berjiwa kecil, kerdil dan mementingkan diri sendiri.”
8. Teringat satu kata-kata seorang Salafussoleh yang disebut semula Oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Kitabnya, Miftah Dar al-Sa’adah. Katanya :
“ Alangkah hebatnya agama ini sekiranya mempunyai rijal yang berjiwa besar.”
Rijal merujuk kepada pemuda dan pemudi. Lelaki dan perempuan. Kita berhajatkan kepada pemuda pemudi yang memiliki keperibadian yang tinggi, kemahuan yang besar dan ruh yang bersih.
Justeru, mereka-mereka ini harus diproses, dididik, diasuh, disemai dan dibina. Dan, tiada jalan yang lebih selamat, terbukti keberhasilannya dan berkesan : iaitu jalan tarbiyah dan dakwah. Jalan yang diasaskan, dilaksanakan dan diperjuangkan oleh Rasulullah SAW. Justeru para pendakwah harus melalui jalan-jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Itulah keaslian dakwah yang hakiki.
9. Sheikh Bahiy Khouly dalam tintanya Tazkirah Duat menyatakan : “Pendakwah adalah seorang yang menyakini kepada fikrah, gagasan atau idealismanya. Ia berdakwah atau menyeru manusia kepada fikrah secara tulisan, ceramah atau perbualan biasa, kerja keras, secara peribadi dan umum, dan segala perkara yang boleh digunakan yang berupa alat-alat penyebaran maklumat. Oleh sebab itu, pendakwah boleh menjadi penulis, penceramah, penyampai dan menjadi teladan yang mempengaruhi orang melalui perbuatannya”.
10. Beliau menambah lagi : “Pendakwah juga seorang ‘doktor masyarakat’ yang merawat penyakit di dalam jiwa, dan memperbaiki keadaan masyarakat yang rosak. Oleh itu, pendakwah adalah pengkritik yang celik, hidupnya digunakan untuk melakukan perubahan dan pembaikan ke arah yang Allah SWT kehendaki.”
11. Inilah para pendakwah yang dikehendaki oleh ummah ini. Susur galur perjalanan dan perjuangan para pendakwah, dai dan juga sheikh-sheikh murabbi ialah : - melalui suatu “proses” didikan yang panjang untuk mengajak ummah ini kembali kepada Allah SWT. Akhirnya, sekiranya keaslian jalan ini terpelihara :- InsyaAllah suatu perubahan yang menyeluruh dalam mencorakan kehidupan ummah ini.
12. Ummat perlu dan hajatkan kepada pendakwah dan dai yang benar-benar mampu merawat ketenatan ummat yang parah, rosak dan “tercekik” di dalam kepekatan arus jahiliyah. Apa jua bentuk program, institusi-institusi, wadah-wadah atau aktiviti-aktiviti dan rancangan-rancangan yang ada harus mengikuti trend yang dipelopori oleh Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana natijah, keberhasilan dan outputnya telah terbukti “menjadi” dengan keizinan dan kehendak Allah SWT.
Jika "trend" ini dipandang sepi dan tidak ditunjangi – bimbang, risau dan resah andainya segala usaha hanya kerja-kerja yang sia-sia, tiada nilai dan tidak dipandang oleh Allah SWT. Nauzubillah.
13. Ada yang lebih penting ialah :- ia adalah jalan-jalan yang mendekatkan jiwa kita kepada-Nya. Semakin lama berada dalam jalan ini, terasa akan kerendahan dan kekerdilan di hadapan Allah SWT. Semakin hari, keyakinan dan kepercayaan kepada janji-janji Allah SWT semakin bertambah dan menebal. Bahkan – benar-benar menyakini bahawa melalui jalan inilah Allah SWT meredhai kita sebagai hamba-Nya. Inilah laluan yang harus diperhalusi, dicermati dan diteliti oleh ummat manusia dalam mengajak manusia kepada Allah SWT.
14. Semoga apa jua usaha, gerak kerja, perancangan, perlaksanaan dan penilaian kerja-kerja dakwah melihat secara mendalam serta terperinci akan fiqh dakwah yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah SAW. Mungkin, jalannya tidak popular dan glamour seperti yang kita sangkaan. Namun inilah dia, jalan dakwah.
15. Pesanan Murabbiku :
“ Mehnah-mehnah di sepanjang jalan dakwah adalah dapur pembakar yang akan membakar semangat. Melebur kelemahan jiwa untuk memudahkan proses membentuk keperibadian yang benar dan tahan diuji sebagai persiapan untuk memikul tanggungjawab yang berat dan besar. Jika kau hajati syurga Allah marilah bersamaku menyinsing lengan merintis onak dan duri serta menongkah arus masyarakat.”
Sekian. Tinta berakhir sepenuhnya dipenghujung ini.
" Yang benar itu, adalah daripada Allah SWT."
BroHamzah
26 September 2011
Kota Bharu, Kelantan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
SubhanaAllah masyaAllah!
jazakallah khair atas pandangan dan pengisian yg sgt bermanfaat.
#tiada jalan pintas selain dakwah dan tarbiyyah. D&T
Qauthar
Jalan yang sulit tetapi kukuh.Panjang tetapi terjaga keasliannya.Lambat tetapi hasilnya terjamin.
BroHamzah
Salam 'alaika BroHamzah :)
Jadi kesimpulannya , adakah program realiti dakwah yg bersangkut paut dgn wanita ini dibolehkan dlm baiah Islam ? Ana masih keliru . Hrp BroHamzah dpt memperjelaskan . Alfun syukran .
Nurul Atiqah
Walaikumusalam, penulisan saya membawa pembaca untuk sama-sama menilai akan hakikat sebuah dakwah. Sekiranya ia selari dgn kaedah, ruh dan semangat Islam - insyaAllah tiada masalah.
Berkaitan, 2 rancangan ini - saya sendiri tidak pernah melihatnya lagi. Dan tiada komentar berkaitannya.
Perkongsian ini, mengajak untuk sama-sama menyedari suatu hakikat apa dakwah itu yang sebenarnya? Ia bukannya, tempelan atau sebuah komestik yang menghiasi sebuah perjuangan yang digembar gemburkan sebagai usaha dakwah. Mudahan semuanya adalah berada dalam landasan yang Allah redhai.InsyaAllah
BroHamzah
perkongsian yg menarik! jazakallahu khairan kathira :)
MissF
Perkongsian utk meneliti apakah dakwah yang hakiki?
BroHamzah
Post a Comment