Bayangan Syurga

Wednesday, September 7, 2011

Soalan Cepu Emas : Apa kaitan gambar ini dengan Syurga?


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Buat semua teman-teman yang sudi bertandang di pondok teduhan ini. Syukran Jazilan atas ziarahnya.

Kini, saya sibuk menelaah buku-buku yang berkaitan dengan sesuatu yang indah iaitu Syurga. Buat sedikit assignment mengumpul bahan-bahan yang berkaitan Syurga, bersumberkan Al-Quran dan Hadis. Hajat sedikit bantuan sesiapa yang punyai cadangan buku-buku yang sesuai untuk saya baca, teliti dan semak untuk tujuan ini. InsyaAllah. [Boleh tinggalkan jejak di ruangan komentar nanti]

0. Syurga, kata serapan daripada bahasa Saskrit Swargam manakala bahasa Arabnya ia disebut Jannah ( جنّة )Dalam bahasa Inggeris ia disebut Heaven dan Paradise. Sungguh, terdapat banyak ayat Allah SWT dan hadis Rasulullah SAW yang memberikan gambar tentangnya. Inilah suatu didikan yang sangat mendidik jiwa agar, kita sentiasa merindui dan mencintai kehidupan yang seharum dan seindah syurga.

1. Berbicara tentang Syurga, tentunya ia sangat menggamit rasa. Syurga itu – kediaman dan tempat yang sangat mulia di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam Surah Az-Zummar ayat 73 yang bermaksud :

“ Sejahteralah ke atas kamu, beruntunglah kamu, maka masuklah syurga ini, sedangkan kamu kekal di dalamnya.”

( Az-Zumaar : 73)

2. Syurga adalah tempat bersara yang paling indah. Taman-tamannya memberikan teduhan yang mengasyikan penuh nikmat . Kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas oleh hati. Tetapi, Allah SWT memberikan gambaran serta bayangan syurga dan nikmat bandingan yang boleh didekati dan difahami oleh deria dan naluri manusia.

3. Ramai manusia yang beranggapan dan benar-benar berkeyakinan bahawa kehidupan dunia inilah kehidupan serta kesudahan hayatnya. Pendek kata, mereka menjadikan dunia ini adalah kampung halaman yang sebenar. Lihatlah, kesibukan mereka berlingkar sekitar urusan-urusan dunia. Sibuk sesibuk sibuknya. Sibuk mencari duit, sibuk mengejar pangkat, sibuk mengumpul harta, sibuk bekerja membina kerjaya, sibuk dengan kesukaan, keseronokan, kemewahan dan kekayaan “dunia”.

4. Bagaikan terlupa, bahawa saat itu semuanya akan berakhir dan kita akhirnya akan kembali ke kampung halaman yang sebenarnya iaitu syurga atau neraka. Ya inilah destinasi terakhir kita. Kita diberikan peluang untuk membuat pemilihannya di dunia ini lagi.

5. Mengharapkan syurga dan memohon perlindungan dari neraka, adalah dasar kehidupan mukmin dalam hidupnya. Inilah cita-cita hayat yang dimiliki oleh mereka-mereka yang berjiwa besar.

6. Para sahabat RA, ada dikalangan mereka diberikan jaminan oleh Rasulullah SAW bahawa mereka adalah ahli Syurga. Bayangkan, jaminan ini adalah jaminan Rasulullah SAW. MasyaAllah – sesuatu yang sukar diucapkan melalui kata-kata, tutur lisan dan kalam biasa.

7. Kunci dan prasyarat menjadi ahli dan calon Syurga diajar dan diberitahu oleh Rasulullah SAW. Ada yang mengambilnya sebagai ilmu dan khazanah berharga. Dan ada yang menjadikannya intipati amalan dan teras utama kehidupan mereka. Kehidupan calon ahli-ahli Syurga di dunia yang sementara.Kita bagaimana?

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP