Delegasi Erdogan : Luka Somalia terubat

Wednesday, August 24, 2011

Bersama-sama menjayakan Lifeline For Somalia. Saluran sumbangan anda di bulan Ramadhan yang penuh berkata ini.

BIMB
14-023-01-002571-8 (HALUAN)

Coretan ini saya mulakan dengan bismillah. Semoga ia mendatangkan manfaat buat semua.
Ramadhan ini, marilah sama-sama kita menyelami akan sebuah hakikat kehidupan. Di suatu sudut di dunia ini, ada insan-insan yang memerlukan bantuan, perhatian dan sokongan kita. Mereka itu bukan siapa-siapa, tetapi mereka ada saudara kita. Saudara seIslam.


1. Alhamdulillah, terima kasih atas respon dan usaha sebaran semua berkaitan isu yang sedang berlaku di Somalia saat ini. Hati-hati kalian sangat lembut dan begitu sensitif dengan nasib ummat yang ditimba kesusahan dan musibah. Terima kasih, syukran dan jazakallahu khairan khatira.

Ya Allah, berkatilah dan rahmatilah ummat ini.
Payungilah mereka dengan nur hidayah-Mu
Dan, ampunilah segala kesalahan dan dosa-dosa mereka.


Presiden Somalia dan PM Turki : Aqidah Islamiyah yang merentasi benua


2. Saya terharu dan ingin kongsikan sesuatu. Minggu lepas, Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan dan isteri bersama beberapa orang menteri kabinetnya membuat lawatan rasmi ke Somalia. Tujuannya jelas, melihat sendiri keadaan di sana dan membantu rakyat Somalia dan menarik perhatian dunia berkaitan kemarau yang sedang belaku di sana. Bagi saya, ia adalah suatu sokongan moral yang besar dan meninggalkan kesan yang besar kepada sudut pandangan dunia berkaitan isu ini.


Komitmen pasangan kepimpinan yang mengagumkan. Buktikan keprihatinan

3. Beliau menyeru, agar negara-negara Islam dan negara maju yang lain turut prihatin dalam isu dan permasalahan yang sedang berlaku di sana. Presiden Somalia, Sharif Ahmad sangat-sangat berbesar hati dengan lawatan ini. Gembira, terharu dan sudah tentu jauh di sudut hatinya berbunga-bunga indah bahawa " Masih ada sinar harapan buat Somalia."

Kedatangan yang diraikan, " Kami mengalu-alukan tetamu seperti anda!"

4. Kerajaan Turki memecah tradisi "ketidakpedulian" terhadap Somalia. Mereka mulakan langkah dan menjadi qudwah buat negara Islam lain. Menurut maklumat yang diterima, mereka telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan, dan PM Erdogan bercadang untuk membina 12 hospital, membina jalan menuju ke lapangan terbang di Somalia dan pembinaan sumber air yang lebih efisien di sana.

Anda prihatin? Ingin menderma, sedekah dan infaq? Saya cadangkan ini salurannya.

BIMB
14-023-01-002571-8 (HALUAN)
Isteri Presiden Somalia dan Isteri PM Turki : Mesra, Erat dan Rapat!

5. Dalam usaha murni ini, ada juga suara-suara sumbang dari Barat yang berkumandang sengau di media cetak dan barat. Apa kata mereka? Erdogan mencari publisiti murah dan hendak tunjuk hero. Saya kira, kalau pemimpin mereka yang lain seperti Obama, Cameron dan lain-lain sudah tentu liputan indah dan melayang-layang pujian. Pedulikan mereka. Ini masalah ummat Islam. Jawapan balas Erdogan sememang power dan harus dikagumi.

Katanya : "Turki tidak akan mempedulikan apa negara lain katakan. Tunjukan komitmen anda sebagai negara yang bertamadun."

Tersenyum puas saya dengan ucapan ini. Tahniah, pemimpin yang lantang dan pemberani. Ini baru pemimpin sejati.


Turun sendiri, melihat dan menyelami situasi sebenar. Agar lebih dekat, cakna dan menjiwai penderitaan mereka.

Suasana Lawatan Erdogan di Somalia. Untuk paparan, gambar dan maklumat terkini anda boleh layari di FB Erdagon

Mendekati masyarakat Somalia. Lambaian bermakna seorang pemimpin dunia.
" Kami bersama anda semua. Kami akan lakukan yang terbaik."

Fakta : Hampir 30 000 kanak-kanak di Somalia mati kebuluran. Dan, kita harus bertindak melakukan sesuatu. Anda punyai peluang untuk membantu. Salurkan sumbangan anda ke :

BIMB
14-023-01-002571-8 (HALUAN)

6. Sebuah NGO di Malaysia, HALUAN dalam perancangan untuk membantu rakyat Somalia melalui projek Lifeline For Somalia. Pengesahan daripada Ketua Misi, Dr Baharudin Suri - Misi Kemanusiaan Somalia dari Team 1 seramai 3 orang akan bertolak pada hari Khamis 1 September 2011 ini dan tiba di Nairobi pada 3 September dan dijangka pulang semula ke Malaysia pada 14 September 2011 ini. Saya doakan agar misi mereka ini mencapai objektif yang telah ditetapkan. InsyaAllah.

7. Galakan dan dorongan buat semua blogger-blogger, facebooker-facebooker, pemilik apa jua medium alam maya : marilah kita lakukan sesuatu dengan kemampuan kita. Kita war-warkan, hebah-hebahkan dan gembar-gemburkan hal ini. Masih ramai, rakyat Malaysia yang tidak menahu akan situasi yang berlaku di Somalia. Justeru, anda punyai tanggungjawab dalam bab ini. Ayuh, kita gerakan massa alam maya online ini dengan nada yang sama.


Bermimpi, agar khemah sebegini akan bertukar wajah kepada yang lebih baik.InsyaAllah

Harapan : Semoga kepimpinan negara kita bergerak seiringan dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Turki. Walaupun, tidak mendatangkan apa-apa keuntungan atau pulangan kekayaan kepada negera dari sudut materialnya. Namun, hakikatnya - itulah titik permulaan kejayaan kepada kemenangan kesatuan ummat Islam.

Itu impian kita semua.
Saya, anda, mereka dan seluruh ummat Islam seluruh dunia!

Dan, impian itu kian bersinaran terang di ufuk sana.

BroHamzah
25 Ramadhan 1432 H
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Entri Khas : Talian Hayat Pelarian Somalia

Monday, August 22, 2011

Sumber : Utusan.Com

Entri khas ini dimulakan dengan lafaz mulia, Bismillah.
Semoga perkongsian ini memberikan kita semua sesuatu yang bermanfaat. Baca, hayatilah dan doakanlah agar kita semua dilindungi dan diredhai Allah SWT. Selamat membaca dengan jiwa yang sedar.

1. Seorang sahabat saya bertanya kepada saya baru-baru ini, kenapa tiba-tiba isu tentang Afrika dan Somalia sedang hebat diperkatakan oleh media massa dan orang ramai. Seingat saya, ia mula mendapat perhatian ramai pihak sebelum kita memasuki Ramadhan tahun ini. Kini, timur Afrika terutamanya Somalia sedang dilanda krisis kemarau yang terteruk dalam tempoh 60 tahun. Kesannya, ia memberikan impak yang besar kepada penduduk di sana, terutama di kawasan-kawasan Somalia dan Kenya.

2. Saya mengikuti berita-berita dari sana setiap hari, melawat beberapa laman web sumber berita dunia untuk mengetahui berita terkini daripada saya. Banyak info dan kisah-kisah yang menyentuh hati. Sebak dan terharu. Mereka sedang lalui sebuah kehidupan yang sangat perit. Bak kata pepatah melayu, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Tiada apa yang ingin saya coretkan, cuma sedikit perkongsian mengenai suasana saudara-saudara kita di bumi tandus Afrika Timur. Melihat dengan mata hati, menyelami penderitaan mereka agar "tergerak" jiwa untuk melakukan sesuatu.


Seorang kanak-kanak di sana, Mihag Gedi Farah, 7 bulan yang kekurangan zat makanan yang beratnya hanya 3.4 kg. Apa perasaan anda apabila menatap wajahnya?



Para wanita di sana sanggup meredah ribut pasir untuk mencari air. Bekalan untuk meneruskan kehidupan. Mereka mempertaruhkan nyawa untuk terus hidup.



Seorang pelarian Somalia, Kadija Ibrahim berumur 67 tahun duduk berehat di kem pelarian sambil merenung jauh memikir sesuatu. Merenung masa depan yang kelam. Itu mereka, bagaimanakah kita melihatnya? Melihat sebagai seorang saudara seIslam.



Bekalan air yang disediakan di kem pelarian Dadaab. Dengan populasi seramai 370,00 kem tersebut adalah antara kem yang terbesar di Afrika Timur. Namun ia hanya dapat menampung sejumlah 90,000 orang pelarian sahaja. Bayangkan?



Kaum ibu, sedang diperiksa kesihatan dan kadar nutrisi mereka di Lowdar Turkana, Kenya. Kesihatan mereka yang terjejas teruk akibat kemarau ini.



Lihat wajah adik ini, Luli Nunow 4 tahun. Dia sengsara, sakit dan menderita akibat daripada kekurangan zat makanan. Lihat pula adik-adik dan anak-anak kita di Malaysia ini, alhamdulillah. Bersyukurnya kita kepada Allah SWT.



Budak lelaki pelarian Somalia sedang mengutip ranting kayu api untuk dijadikan bahan bakar untuk tujuan memasak dan memanaskan badan di waktu malam.



Nenek warga emas ini sedang menanti dengan penuh kesabaran dan kecekalan. Menanti giliran untuk mendapatkan makanan di Lolkuta, Wajir.



Pemandangan di kem pelarian Dadaab, di Timur Kenya. Ini pemandangan sebuah kem yang terdiri daripada beratus-ratus khemah pelarian.




Seorang warga pelarian Somalian, Nado Mahad Abdilli sedang menyiapkan pondok untuk berteduh. Mereka berteduh dengan ranting-ranting dan dahan-dahan pokok yang boleh diambil sekitar mereka. Hidup perlu diteruskan!


Tin makanan yang telah digunakan yang merupakan bantuan dari USA. Kita harus hulurkan juga bantuan dari Malaysia.





Adik ini, sedang menunggu giliran untuk mendaftar di kem Dagahaley. Penantian dengan penuh kesabaran yang luar biasa.


Terbaring warga emas ini, Mohammed Osman 70 tahun dari Selatan Somalia.



Kesan kemarau yang dahsyat, lihatlah keadaan haiwan ternakanan.



Sheikh Yare Abdi memandikan mayat Aden Ibrahim 4 tahun untuk dikebumikan mengikut amalan tradisi orang Somalia



Abdirisak Mursal 3 tahun mendapat rawatan kerana kekurangan zat seimbang di Banadir hospital di Mogadishu sebulan yang lalu, 16 Julai 2011.



Rage Mohamed sedang memegang kayu untuk dijadikan tempat berteduh bersama-sama keluarganya di kem pelarian Dagahaley.



Pelarian Selatan Somalia sedang menerima makanan di Mogadishu pada 26 Julai 2011 yang lalu.




Seorang lelaki sedang menggali lubang untuk dijadikan tandas.


Gambar ini tersebar ke seluruh dunia. Aden Salad 2 tahun melihat ibunya ketika dimandikan di Sans Frontieres Hospital di Kem Dagahaley pada 11 Julai 2011



Tetapi, sujud kepada Ilahi walaupun kesusahan. Hasan Ali sedang solat di antara sempadan Kenya dan Somalia.


Anak kecil ini menanti menunggu untuk mendapatkan rawatan




Seorang lelaki sedang menguruskan unta beliau di Harfo, Somalia.


Pelarian menerima bantuan minyak masak dan bijirin bantuan daripada OIC. Apa itu OIC? Organization of Islamic Co-Operation.


Gambar ini menyentuh hati saya. Seorang doktor sedang memeriksa seorang kanak-kanak disamping ibunya. Wajah ibunya menanti dengan penuh harapan.



Namun, ketentuan Ilahi mengatasi segala-galanya. Itu saat terakhir beliau menatap wajah anaknya yang dicintai. Anaknya meninggal dunia di hadapan matanya sendiri di Banadir hospital di Mogadishu, pada 21 Julai 2011.


3. Kenapa saya kongsikan semua ini? Di Bulan Ramadhan ini, Allah SWT berikan suatu keinsafan dan didikan yang sangat luar biasa kepada kita semua. Merasai sesuatu yang akan memberikan kepekaan dan kesensitifan pada jiwa kita. Lihat dengan mata hati dan keimanan kita akan semua ini. Saban detik dan waktu, ramai kanak-kanak yang menghembuskan nafas terakhir mereka lantaran kekurangan makanan dan ada juga yang terkena pelbagai penyakit.

4. Kita di sini, sangat bertuah. Kehidupan yang dilimpahi nikmat yang banyak. Selesa, aman dan sentosa. Makanan yang banyak, sehingga selalunya akan berlaku pembaziran.Tidak percaya, lihatlah makanan-makanan yang kita buang ke dalam tong sampah. MasyaAllah, banyaknya ibrah yang saya dapat daripada semua ini. Apakah perasaan kita saat ini? Saat melihat semua gambar-gambar yang dipaparkan yang mempunyai 1000 pengertian buat kita.

5. Tergerakkah kita untuk melakukan sesuatu. Ketahuilah masih ramai lagi rakyat Malaysia, rakan-rakan dan masyarakat kita tidak mengetahui tentang perkara ini. Maka, seruan saya ayuh kita sebar-sebarkan ia kepada semua. Dan - ada yang bertanya? Apakah bentuk bantuan yang boleh disumbangkan?

6. Alhamdulillah, sungguh murni hati anda. Antara sumbangan yang boleh kita lakukan ialah dengan melalui sumbangan kewangan yang akan digunakan untuk membeli keperluan makanan dan kehidupan untuk mereka. Tetapi, bagaimanakah salurannya?

7. Saya mencadangkan salah satu saluran yang ada, melalui, projek Talian Hayat Untuk Pelarian Somalia yang diusahakan oleh sebuah badan NGO di Malaysia iaitu HALUAN. Sumbangan anda bolehlah disalurkan ke Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) 14-023-01-002571-8 atas nama HALUAN. Atau untuk maklumat lanjut anda boleh ke sini dan sini.

Bersedekah dan berinfaq di bulan Ramadhan adalah suatu amalan yang sangat mulia. Bahkan ganjaran berganda-ganda berbanding bulan lain.Inilah peluang dan kesempatan yang tidak boleh kita abaikan.

Kredit sumber : sini . Dan banyak lagi gambar dan berita-berita terkini di sini.

Read more...

Kenangan bersama : Gathering Sulung Team Langit Ilahi

Sunday, August 21, 2011


Langit Ilahi.Com
Gathering Sulung Langit Ilahi


Coretan ini saya mulakan dengan lafaz yang mulia, bismillah.

1. Setelah 8 bulan menggerakan Langit Ilahi secara maya dan online, akhirnya susunan Allah SWT yang mengizinkan team Langit Ilahi berkumpul secara bertentangan mata. Bertemu dalam ruh ukhuwah dan biah yang sangat harmoni.Alhamdulillah, hampir separuh ahli team dapat menghadirkan diri ke Perlis untuk tujuan itu. Sepanjang gathering dan mesyuarat sulung ini, kami duduk berbincang merencanakan halatuju Langit Ilahi secara serius, terancang dan lebih terarah.

2. Hasil brainstorming dan perbincangan hampir 5 jam, Alhamdulillah kami sama-sama melihat halatuju dan gerak kerja LI ini dengan lebih bersepadu dan buah fikiran sesama ahli team telah mencernakan idea-idea dan muafakat yang akan dijelmakan dalam bentuk realiti, berstrategi dan aktif dalam perlaksanaanya.

Projek LangitIlahi Store yang pertama. Baju Muslim dan Muslimat LI. Hampir 300 helaian yang ditempah oleh rakan-rakan online LI.Alhamdulillah. Suatu permulaan yang baik.

3. Hasil daripada pertemuan ini, insyaAllah LangitIlahi akan mempunyai empat komponen: LangitIlahi.Com (website), LangitIlahi Consultancy (Konsultansi), LangitIlahi Brotherhood (Kelab), dan LangitIlahi Store. Doakan kami agar perjalanan ini diberkati dan dipermudahkan oleh Allah SWT.

4. LangitIlahi hanyalah jalan atau wasilah untuk kami berkongsi berkaitan keindahan dan kenikmatan Islam. Ia bukanlah matlamat utama dalam perjalanan hidup ini. Tugas ubudiyah sebagai hamba Allah SWT akan dilaksanakan melalui jalan-jalan yang diwujudkan melalui jalan dakwah dan tarbiyah selaras dengan tuntutan Islam itu sendiri.

5. LangitIlahi adalah salah satu medium alternatif yang akan memakmurkan lagi dunia alam maya dan online. Besar harapan saya agar di masa hadapan, akan wujud lebih banyak website sebegini. Bagi yang mempunyai blog atau apa jua wahana medium di alam internet, gunakanlah ia untuk sebaran kebaikan dan kebenaran. Inilah tanggungjawab kita yang besar sebagai hamba Allah SWT.

6. Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada sahabat-sahabat Team LangitIlahi kerana sentiasa bersemangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan tugasan masing-masing. Inilah salah satu kekuatan team krewa LangitIlahi yang ada. Alhamdulillah. Semoga ukhuwah kita terjalin kerana-Nya terus mekar, subur dan harum mewangi.

Bersama-sama dengan sebahagian sahabat-sahabat team LangitIlahi. Majlis berbuka puasa LangitIlahi tajaan Hilal Asyraf.

7. Projek terdekat LangitIlahi ialah kolabarasi buku 4 penulis yang sedang giat diusahakan. Saya memohon kekuatan kepada Allah SWT agar sentiasa diluruskan niat dan diberikan kekuatan jiwa untuk bersama-sama menjayakan projek ini. InsyaAllah. Disamping program Muslim Super bersama LangitIlahi di UiTM Shah Alam selepas Hari Raya nanti. Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

8. Alhamdulillah, ruangan Himmah akan mempunyai seorang lain penulis baru yang akan bergandingan dengan saya. Saudara Afdholul Rahman Che Ani. Seorang yang sangat berbakat dalam penulisan. Boleh layari blog beliau ialah Penyejuk Jiwa :- Tarbiyah untuk perubahan.

9. Akhirnya, apa jua medium yang kita gunakan yang terpenting ialah kita menjadikannya sebagai alat untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Itulah yang utama dan tidak boleh diabaikan. Asas Ubudiyah inilah yang menjadi fokus dan agenda utama dalam mengerakan LangitIlahi.



BroHamzah
22 Ramadhan 1432 H
Pengkalan Chepa, Kota Bharu

Read more...

Indahnya cinta berpaksikan wahyu

Thursday, August 18, 2011




" Cinta itu indah jika ia berpaksikan wahyu Allah"

Perkongsian ini dimulakan dengan lafaz bismillillah.

Saya kongsikan semula artikel cinta berpaksi wahyu dengan sedikit pembaikan dan penambahan berdasarkan beberapa siri forum Cinta berpaksikan wahyu yang sempat saya ikuti. Semoga bermanfaat.

Cinta itu adalah perasaan

Saya mulakan dengan mengambil ungkapan Ibnu Qayyim al-Jauziyah yang memberi satu sentuhan indah, sederhana dan bersahaja berkaitan erti dan makna cinta. Katanya :

“ Cinta adalah sesuatu yang suci, tenang, utuh dan mengasyik. Cinta adalah gelojak perasaan yang muncul apabila orang yang bercinta merasa amat rindu dan terkenang-kenangkan yang dicintainya.”

Itulah cinta, ramai tokoh dan ahli ulama memberi definisi dan makna cinta. Jika diteliti dan diamati, banyak definisi dan maksudnya. Tetapi, secara kesimpulannya ia adalah suatu perasaan dan cetusan rasa hati yang hadir dalam diri setiap insan.

Dalam membicarakan berkaitan cinta ini, semasa membentangkan ceramah pertama berkaitan Cinta dan Pengurusannya dalam meraih kebahagiaan, Tuan Haji Rosdi menyatakan antara rujukan yang beliau gunakan ialah Buku karya Ibnu Qayyim Jauziyah iaitu Raudhatul Muhibbin ( Taman-taman orang jatuh cinta).

Dan, dalam buku ini sahaja Ibnu Qayyim telah memberikan 50 definisi berkaitan cinta. Kata Tuan Haji Rosdi, beliau semakin kagum dengan tulisan-tulisan yang ditulis oleh ulama yang soleh ini dan Alhamdulillah, pencerahan dan huraiannya berkaitan cinta sangat teliti, menjernihkan dan menyejukan. Saya sendiri telah membelek-belek dan sempat melihat buku ini. [ Tebal buku ini ]

Dalam ceramahnya, beliau menjelaskan jenis-jenis cinta. Ia terbahagi kepada 4 iaitu, Cinta Ibadah ( Al-Hujurat (49 ) : 7), Cinta Syirik ( Al-Baqarah (2) : 165), Cinta Maksiat ( Al Fajr (89): 20) dan Cinta Manusiawi (Tabiat) ( Yusuf (12 ): 8)

Dan, kesimpulan yang dibuat ialah cinta manusiawi yang akan memberi kekuatan, keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT ialah cinta yang berada di dalam mainframe, kerangka dan bingkai utama cinta Ibadah.

Kata mudahnya, cinta yang didasari, ditunjangi oleh cinta Allah SWT. Iaitu Mahabatullah. Ia adalah pancaran, sumber, masdar dan punca kepada keaslian, ketulinan dan kejernihan cinta yang didambakan. Inilah fitrah yang sebenar yang perlu kita fahami dan hayati.

Cinta yang menguatkan bukan melalaikan

Cinta yang didambakan adalah cinta yang meransang perasaan, menaikan semangat perjuangan dan memberikan makna dalam kehidupan sebagai seorang hamba Allah SWT. Jika perkara sebaliknya berlaku, itu bukanlah cinta tetapi ia adalah nafsu.

Kehidupan tanpa cinta adalah kematian. Cinta umpama cahaya, tanpa suluhannya seseorang akan tersesat di dalam lautan kegelapan. Justeru, kita harus mempunyai ilmu berkaitan cinta ini. Jangan membutakan mata dan mata hati untuk mengetahui, mengenali dan mempelajari tentang cinta.

Sebenarnya apa yang saya utarakan ini adalah sebahagian daripada aspek perasaan manusia. Dalam jiwa manusia, terdapat 4 aspek perasaan yang menjadi fitrah manusia. Iaitu fitrah menjadikan Allah SWT sebagai tujuan dan tumpuan, perasaan cinta (al-hub), perasaan takut (al-khauf) dan kepergantungan. Dan perbincangan ini, akan cuba menyimbangi semua aspek ini agar ia selari dengan tuntutan deen Islam.


Cinta itu fitrah


Firman Allah SWT :

“ Orang yang beriman itu sangat kuat kecintaannya kepada Allah SWT.”

( Al-Baqarah (2) : 165)

Kata Ibnu Qayyim dalam Karya Radhatul Muhibbin menyatakan :

"Cinta itu mensucikan akal, menghilangkan kekhuatiran, memunculkan keberanian, mendorong berpenampilan rapi, membangkitkan selera makan, menjaga akhlak mulia, membangkitkan semangat, mengenakan wewangian, memperhatikan pergaulan yang baik, serta menjaga adab dan kepribadian. Tapi cinta juga merupakan ujian bagi orang-orang yang soleh dan cubaan bagi ahli ibadah."

Perasaan ini akan menyapa dan menyentuh sesiapa sahaja apabila tiba masa dan waktunya. Perasaan cinta manusiawi ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Tidak kira sesiapa pun ia. Inilah fitrah manusia, sejajar dengan firman Allah SWT dalam Al-Quran :

“ Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu ; wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari segi emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).”

( Ali Imran (3) : 14)

Ibrah daripada sirah, saya pernah berkongsi satu kisah yang diceritakan oleh Abdullah ibn Abbas.

“ Suatu ketika,” beliau berkongsi cerita,

“ Seorang wanita solat di belakang Rasulullah SAW. Dia seorang wanita yang sangat canti, secantik-cantik wanita. Demi Allah, kata Ibnu ‘Abbas bersaksi, “ Aku belum pernah melihat wanita secantik dia.” Wanita itu berada di saff terdepan di barisan wanita.

Kehadiran wanita itu menyebabkan sikap para sahabat berbelah bahagi dalam aspek menunaikan solat berjemaah. Ada sebahagian berupaya keras datang lebih awal dan mengambil tempat di saff awal agar tidak berkesempatan melihat wanita tersebut , agar hati tidak terganggu.

Tetapi, ada juga yang melambatkan sedikit kehadiran mereka, agar dapat berada di saff akhir di barisan lelaki, agar dapat curi-curi pandangan untuk melihatnya. Kisah ini kita ambil dari sudut, perasaan. Inilah fitrah perasaan yang wujud dalam hati manusia. Kisah ini diriwayatkan oleh para Imam pemilik Kitab Sunan yakni Abu Dawud, At Tirmidzi, An Nasai dan Ibnu Majah. Imam Al Hakim menshahihkannya menurut syarat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim.

Inilah sahabat Rasulullah. Inilah sahabat Rasulullah! Inilah mereka generasi terbaik!.

Ada di antara mereka juga yang mempunyai perasaan kecenderungan untuk tertarik, terpesona dan perasaan sehalus ini. Selalunya kita membayangkan mereka sangat baik, seperti malaikat. Tetapi ketahuilah, mereka tetap adalah manusia. Manusia yang mempunyai fitrahnya yang telah ditetapkan Allah SWT.

Satu kisah lagi yang ingin saya kongsikan, anak Baginda Rasulullah SAW iaitu Siti Fatimah pernah berkata kepada suaminya, Ali Bin Abi Talib :

“ Wahai Ali sesungguhnya sebelum berkahwin, ada seorang lelaki di Kota Mekah ini yang sangat aku kagumi,”

“ Jadi engkau menyesal berkahwin denganku?,” Soal Ali.

Lalu dengan penuh ketenangan sambil tersenyum kepada suaminya yang tercinta :

“ Tentu tidak, kerana lelaki itu adalah kamu..”

Anda pasti tersenyum membayangkan bagaimana reaksi wajah Ali Bin Talib saat mendengar pengakuan tulus daripada isterinya yang tercinta.

Siti Fatimah, telah mempunyai perasaan yang halus semasa zaman remaja terhadap Ali bin Abi Talib. Begitu juga dengan Saidina Ali. Perasaan yang unik itu sudah berputik sekian lama dihatinya, dan akhirnya ia zahirkan perasaan ini melalui jalan yang paling syara iaitu perkahwinan. MasyaAllah.

Saudara-saudari, dan sidang pembaca. Inilah perasaan fitrah anugerah Allah SWT, ia hadir menyapa dan menyentuh sesiapa sahaja.

Bahasa Cinta Manusiawi

Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan bahawa cinta yang kita bicarakan di sini adalah tentang cinta yang suci, dari seorang lelaki yang suci, tidak menginginkan agama dan kesuciaan dirinya serta peribadinya menjadi rosak disebabkan cinta. Dia tidak mahu hubungan antara dirinya dengan Allah renggang, jauh dan tersirna.

Ibnu Hazm pun pernah berkata : “ Ramai dari para Khulafa Rasyidin dan para Imam yang bersih hatinya mengalami jatuh cinta.”

Inilah cinta orang-orang salaf dan para imam terhormat. Ungkapan seorang pemuda yang takut dan bertaqwa kepada Allah SWT dalam bisikan hatinya :

“ Sesungguhnya saya mencintainya kerana Allah dan saya ingin agar cinta ini menjadi cinta yang benar di hadapan Allah SWT.”

Untuk membingkaikan cintanya agar tetap suci seusai fitrahnya, lalu pemuda tersebut berusaha dan bersungguh-sungguhn untuk merealisasikan perasaan cintanya melalui cara yang diredhai ALLAH. Dan bingkai yang syara’ dan diberkati Allah itu adalah bingkai perkahwinan yang bersih, suci dan jernih!.

Seorang muslim mukmin dan muslimah mukminan tidak dilarang untuk saling mencintai. Mereka juga tidak dilarang untuk jatuh cinta. Hanya, Islam menyediakan penyaluran untuk bercinta melalui PERKAHWINAN.

Di bawah naungan perkahwinan, sepasang manusia diberi kebebasan untuk bercinta. Seorang lelaki menjadi seorang suami dan seorang perempuan menjadi seorang isteri. Melalu ikatan ini, terjalinlah perhubungan yang halal, suci dan mampu membuahkan barakah. Lantas tenteramlah hati, sempurnalah keinginan.

Perasaan ini adalah lambang kebesaran dan keagungan Allah SWT. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“ Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya antaramu rasa cinta dan kasih sayang..”

( Ar Rum (30 ):21)

Itulah, apa yang boleh saya simpulkan daripada apa yang saya perolehi dari seminar, perkongsian permusafiran bersama Tuan Haji Rosdi, dari bahan pembacaan sebagai persiapan untuk seminar ini. Ini merupakan perkongsian semampu saya, insyaAllah jika berkesempatan akan saya kongsikan lagi. Kerana di sana, masih banyak input-input baru yang saya perolehi. Nantikan InsyaAllah. Saya akhiri dengan kata-kata dibawa :

“Cinta merupakan cermin bagi seseorang yang sedang jatuh cinta untuk mengetahui watak dan kelemah-lembutan dirinya dalam citra kekasihnya. Kerana sebenarnya dia tidak jatuh cinta kecuali terhadap dirinya sendiri.”

Catatan ringkas :

1. Dalam siri jelajah Forum Cinta berpaksikan wahyu ini, insyaAllah di dalam perancangan ia akan dibuat secara berkala ke seluruh Malaysia. Bagi sesiapa yang berhajat untuk mengadakannya di tempat pengajian dan institusi anda – pihak kami sangat-sangat mengalu-alukannya sebagai wadah perkongsian ilmu. Boleh hubungi BroHamzah di emel brohamzah85@gmail.com.

2. Perancangan terdekat pada hujung tahun ini di utara dan pantai timur.InsyaAllah. Semoga Allah SWT permudahkan.

3. Ramadhan adalah saat yang indah menyuburkan cinta. Saya kongsikan sedikit perkongsian berkaitannya di website Langit Ilahi.Com. Anda dijemput untuk membacanya. Semoga ada manfaat untuk disharekan.

Read more...

Bercahayakah cinta di hati kita?

Wednesday, August 17, 2011

Hati, tempat bertapaknya cinta. Bercahayakah hati kita dengan cinta yang sebenarnya?

Lafaz Bismillah menjadi pembuka bicara pada kali ini.

1. Ramadhan pada kali ini, membawa suatu pengertian yang bermakna buat diri saya. Saya menjalani Ramadhan dalam keadaan bermusafir yang agak panjang . Keadaan yang menuntut kekuatan jiwa yang lebih agar saya mampu memaksimakan setiap masa yang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam meraih janji-Nya iaitu ganjaran taqwa.

2. Alhamdulillah, biasanya di bulan Ramadhan tiada tazkirah, kuliah, forum atau ceramah yang saya libatkan diri. Namun, kali ini Allah SWT berikan suatu pengalaman yang baru. Berforum di siang hari Ramadhan dengan beberapa orang panel yang saya hormati, segani dan kagumi.

3. Forum bertajuk Cinta berpaksikan Wahyu, bertempat di Sekolah Menengah Ibnu Khaldun – saya diamanahkan sebagai moderator. Mengemudikan bahtera forum selama 2 jam memberikan ruang pengalaman yang baru kepada saya. Sudah lama tidak memainkan peranan sedemikian. Pada awalnya agak kekok, tetapi Alhamdulillah – ia berlansung dengan suasana yang tenang dan baik.

4. Panel-panelnya yang sangat arif dalam tajuk ini membawa para pendengar yang terdiri daripada lebih 400 orang pelajar SMIK dengan jayanya. Banyak ilmu-ilmu, panduan-panduan dan cara-cara untuk mengendalikan cinta ini berpandukan suruhan Allah SWT. Alhamdulillah, forum gabungan 3 panelis ini memberikan suatu makna baru buat para audien dalam memahami apa itu cinta.

5. Panel-panelnya, Abu Munzir atau Tuan Haji Rosdi Baharom ( Tinta Tarbawi.Com), Kakak Fatimah Syarha Bt Haji Mohd Nordin ( Blognya, Sebarkan Bahagia) dan Abu Ridhuwan atau Cikgu Razali Maarof ( Blognya, Usrah Keluarga) – telah memberikan suatu input yang sangat berguna buat kami semua sebagai pendengar forum. Alhamdulillah.

6. Abu Munzir, beliau memberikan suatu penjelasan berkaitan makna dan pengertian cinta yang sebenarnya. Membahasakan diri umpama gaya seorang ayahanda, perkongsian beliau memfokuskan kepada bagaimana cinta itu harus dilaksanakan bagi meraih keredhaan Allah SWT. Dan bagaimanakah untuk merawat jiwa jika telah melakukan bentuk-bentuk cinta yang tidak berlesen?

7. Kakak Fatimah Syarha, beliau berkongsi kisah-kisah cinta yang dipetik daripada sirah para sahabat dan sahabiyah pada zaman Rasulullah SAW. Kisah yang sangat menarik, iaitu diolag sepasang suami isteri yang soleh dan solehah iaitu Fatimah Az Zahra dan Saidina Ali bin Abi Talib pada malam hari pertama perkahwinan mereka. Dua, kisah cinta anak Abu Bakr, iaitu Abdullah dan isterinya Atiqah yang meruntun hati dan memperlihatkan bagaimana cinta itu menjadi ujian kepada mereka. Ingin tahu kisahnya?

8. Abu Ridhuwan, beliau membawa perkongsian kisah-kisah yang nyata. Apakah yang dikatakan cinta luar biasa dan cinta luar tabiat? Penyampaian penuh bersemangat, berkobar-kobar dan membara mengugah jiwa para pendengar. Gaya bersahaja itu memberikan suatu konsep bahawa cinta itu mampu menghasilkan natijah yang mulia dan suatu sudut yang lain ia juga boleh memberikan suatu hasil yang hina.

9. Banyak sungguh soalan-soalan yang diutarakan kepada panelis. Saya kira, tajuk cinta ini punyai kekuatannya apabila dibicarakan dan ia akan tetap evergreen sampai bila-bila dan kepada sesiapa pun. Kerana cinta itu adalah fitrah. Seperti nasihat Kak Fatimah Syarha ,” Kita perlu mengurus fitrah agar tidak menjadi fitnah, agar ia membawa rahmah dan berkah.”

10. Saya berhasrat untuk kongsikan sesi forum bersama mereka nanti. Mungkin, dalam perkongsian-perkongsian kuliah dan tazkirah saya mendatang dengan pelajar-pelajar saya. InsyaAllah, jika berkesempatan dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT. Satu kupasan berkaitan cinta dari sudut yang tarbawi, dan membawa perspektif yang dikutip daripada nilaian Islam yang syumul dan menyeluruh.

11. Ramadhan adalah bulan cinta. Bulan yang menyuburkan perasaan cinta terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, terhadap ibu bapa, suami isteri, anak-anak, masyarakat dan ummah. Terasakah kita akan hakikat ini?

12. Semoga Ramadhan yang sedang kita lalui ini, akan menambahkan lagi perasaan cinta yang ada dalam hati serta perasaan kita terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW dan insan-insan yang berada di sekeliling kita.InsyaAllah.

Seusai permusafiran yang panjang,

BroHamzah
18 Ramadhan 1432 H
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Meneguk ibrah dari Telaga Biru

Monday, August 15, 2011


Telaga Biru, kebiruan yang memakmurkan

Lafaz Bismillah sebagai pembuka bicara.
Mudahan catatan di penghujung malam Ramadhan ini ada sesuatu untuk dikongsikan. InsyaAllah.

1. Pertama kali kaki ini menjejaki ibu pejabat Telaga Biru, Sri Damansara, Kuala Lumpur. Alhamdulillah, ia membuka suatu ruangan perkongsian pengalaman, kemahiran dan pengetahuan tentang dunia penerbitan buku dan majalah kepada saya. Bersama dengan sahabat – saya mengharapkan sesuatu daripada ziarah kami ini.

Pejabat pengurusan Telaga Biru, Sri Damansara

2. Telaga Biru, sebuah syarikat penerbitan buku dan majalah yang kian meningkat naik namanya dan kini semakin popular mengeluarkan buku-buku berunsur Islam di perdana tanah air. Saya suka akan buku-buku keluarannya kerana beberapa faktor antaranya, isi yang mantap, kualiti grafik dan kertas bukunya. Warna warni, cantik, kemas dan memikat hati.

3. Ziarah kami disambut oleh En Faruq Zahran, Public Relations Senior Executive. Peramah, mesra dan suka berkongsi ilmu. Banyak beliau kongsikan tentang Telaga Biru. Kemudian, sesi sharing bersama Dato’ Haji Muhammad Zakaria, Pengarah Editorial Telaga Biru dan Husna Hassan, Editor Majalah Solusi. Alhamdulillah, mereka ini tidak lokek berkongsi satu per satu tentang dunia penerbitan majalah. Teruja dan saya mendengar dengan tekun.

Mereka selalu mengulangi ungkapan Ketua Editor Majalah Solusi, Ustaz Pahroi Mohd Juoi berkaitan dunia penulisan ini :

" Kita menulis ini adalah untuk memakmurkan dan menyemarakan dunia penulisan ini dengan dakwah. Inilah niat asal kita. Bukan untuk bersaing dengan mana-mana syarikat buku atau majalah."

Majalah Solusi, saya memiliki kesemua koleksinya kecuali isu 9. Siapa boleh bantu, dapatkannya? Tanya Telaga Biru, mereka kehabisan stok.

4. Menarik perkongsian tentang sejarah penerbitan Solusi. Bermula dengan cetakan hanya 10 ribu pada isu perdananya kini telah mencecah 150 ribu naskah yang dicetak. Tidak keterlaluan, Solusi adalah majalah Islam no. 1 di Malaysia. Banyak kekuatan dan kelebihan yang ada padanya. Dari sini, saya belajar sesuatu daripada majalah Solusi ini. Kini, Telaga Biru telah menerbitkan majalah untuk remaja, Gen-Q. Hujung tahun ini, akan terbit satu lagi majalah baru iaitu Tanyalah Ustaz dan akan menyusul majalah berbentuk rumahtangga iaitu Demi Cinta. – Maju sungguh mereka!

Gerak kerja dan budaya kerja yang profesional dan penuh kesungguhan meletakan team Telaga Biru berada pada tahap ini. Malah mereka ingin pergi lebih jauh. Katanya, kini mereka merancang untuk menghasilkan siaran radio sendiri dan sehingga ke satu tahap memiliki stesen siaran TV sendiri.

Katanya, itu tidak mustahil. Kita berusaha, insyaAllah laluan dan peluang itu akan dipermudahkan oleh Allah SWT. Jauh cita-cita mereka.

Saya suka, sikap berani mereka - menongkah arus yang ada. Sekali melangkah, tekad mereka terus sehingga ke titik akhirnya. Perjuangannya jelas, nyata dan mempunyai strategi yang rapi. Ia harus dicontohi.

5. Alhamdulillah, kami berkesempatan untuk bersembang-sembang sekitar 15 minit bersama Dr Hj Zahazan, Pengarah Eksekutif Telaga Biru. Seorang tokoh ilmuan, Motivator dan pendakwah terkenal di Malaysia. Saya suka nasihat-nasihatnya, simple, mudah dan melekat di hati :

“ Apabila masuk ke dalam dunia penerbitan ini, banyak pahit getirnya."

" Perlu banyak bersabar.”

“ Menulis buku atau majalah bukan untuk popular atau glamor.Jaga hati kita”

“ Jaga keikhlasan dan kebersihan hati. Itulah syarat bantuan Allah SWT.”

“ Berdakwahlah dengan kesungguhan!”

Saya teringat sewaktu di alam IPT dahulu, 5 tahun yang lalu ketika Ustaz Zahazan masih menjadi pensyarah di UIA. Saya dan seorang sahabat saya waktu itu pernah bersembang-sembang dengannya. Beliau mempelawa sahabat saya untuk menulis di bawah Telaga Biru. Sahabat saya, menolak kerana katanya kurang berminat untuk menulis. Namun Ustaz Zahazan tersenyum dan memberikan sedikit taujih buat kami , latihlah diri untuk menulis. Dakwah melaluinya ada kesannya.

Tidak sangka, Ustaz Zahazan begitu serius. Beliau mengambil keputusan berhenti dari UIA sebagai pensyarah dan full time dengan Telaga Biru. Tekad seorang pendakwah.


6. Alhamdulillah, lebih kurang 3 jam kami di Telaga Biru. Belajar, memerhati, meminta tunjuk ajar dan sebagainya. Suatu yang saya suka ialah sikap mereka yang suka memberi, berkongsi dan mencurahkan ilmu yang ada. Mereka sentiasa mengalu-alukan pelbagai penerbitan untuk memakmurkan dunia penerbitan Islam. Banyakan alternatif bahan bacaan.

7. Harapan saya, semoga kami mampu mengorak langkah mencontohi mereka. Saya bercita-cita untuk menceburi bidang penerbitan ini secara serius. Bersembang-sembang dengan sahabat saya, tercetus daripada kami untuk menghasilkan majalah memfokuskan remaja dan mahasiswa. Rasa-rasanya, apakah nama majalah yang sesuai? Anda ada cadangan?

8. Pernah bersembang-sembang dengan CEO Langit Ilahi,sahabat saya Hilal Asyraf – sama-sama memasang impian untuk menerbitkan majalah Langit Ilahi. Konsepnya dan reka bentuknya masih terawang-awang di minda. Mampukah ia dijelmakan di alam realiti?

9. Medium ini, adalah medium dakwah buat masyarakat. Ia adalah salah satu capaian yang ada. Usaha-usaha sebegini harus diperbanyakan lagi. Ada orang berkata, “ Ala.. Cukuplan tu, buat apa banyak-banyak majalah-majalah atau buku-buku berbentuk macam ini.”

Mereka silap. Lihatlah di pasaran media cetak hari ini, berselerak dengan majalah-majalah picisan, komik-komik yang merosakan dan pelbagai buku-buku yang melalaikan.

Jadi, dunia buku serta penerbitan berteraskan dakwah tulin dan unsur Islamik harus diperbanyakan dan diperluaskan.

Siapa yang akan ambil tindakan?

Kata murabbi saya,” Bagi yang berkesedaran, inilah peluang ada. Peluang berbuat amal.”

10. Semoga Allah SWT permudahkan segala cita-cita ini. Terima kasih, buat sahabat-sahabat di Telaga Biru kerana memberikan kami kesempatan untuk meneguk ibrah yang menyejukan di dalam telaga anda. Syukran, semoga Telaga Biru terus sukses di masa hadapan.

BroHamzah
16 Ramadhan 1432 H
Bukit Naga, Klang

Read more...

Zero Dosa

Saturday, August 13, 2011

Transformasi yang sebenar adalah transformasi yang kembali kepada fitrah. Inilah formula kejayaan yang tidak popular dewasa ini.




Memulakan catatan ini dengan kalimah mulia, Bismillah.

Terima kasih kerana sudi berteduh di pondok teduhan ini, mudahan kalian mendapat sesuatu.

1. Sesibuk mana pun kita, sama ada kita ini seorang pimpinan sebuah negara atau organisasi, seorang pelajar yang menuntut pengkhususan dan kepakaran dalam apa jua bidang, atau pun kita ini seorang pekerja kepada seorang majikan, pensyarah kah kita, pengawai bank, pelukis, tukang gunting rambut, tukang sapu sampah atau apa jua kita. – kita harus sedar, suatu hakikat.

“ Kita semua akan pulang bertemu Allah SWT.”

Dan, kepulangan kita ke kampung halaman yang sebenar, harus dengan bekalan yang terbaik. The best ever and ever.- Taqwa.

Dan, kembali kita ke akhirat sana harus dengan suatu keadaan yang sangat bersih, jernih dan mulia. Iaitu dengan :

“ Zero dosa.”

2. Saya mentadabur ayat Al-Quran dalam Surah Taha ayat ke 74-76 yang sangat menyentuh hati. Sama-sama kita semak maknanya yang membawa maksud :

"Sebenarnya sesiapa Yang datang kepada Tuhannya pada hari akhirat sedang ia berdosa maka Sesungguhnya adalah baginya neraka jahannam Yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup.

Dan sesiapa Yang datang kepadanya sedang ia beriman, serta ia telah mengerjakan amal-amal Yang soleh, maka mereka itu akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya:

(Iaitu) Syurga-syurga Yang kekal, Yang mengalir padanya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan Yang demikian itu ialah balasan orang-orang Yang membersihkan dirinya dari perbuatan kufur dan maksiat".

Kampung halaman kita yang hakiki nanti ialah akhirat. Ia memberikan kita 2 pilihan tempat kediaman untuk dipilih. Namun, pemilihan bermula sejak di dunia lagi. Untuk memasukinya ada 2 kunci yang perlu kita ambil. Antara dua kediaman ini, mana pilihan kita.

Semulia-mulia atau sebaik-baik kediaman,
seburuk-buruk atau sejelek-jelek kediaman,


“ Syurga atau neraka.”

Untuk syurga kita boleh memilihnya dengan kunci berikut :

1. Pahala
2. Taqwa
3. Beriman
4. Beramal Soleh


Untuk Neraka, kita boleh menjejakinya dengan anak-anak kunci seperti :

1. Dosa-dosa dan maksiat
2. Kafir
3. Derhaka
4. Penuhi kehidupan dengan kemungkaran

3. Kita semua sedar, kita ini adalah pendosa. Suatu perkara yang tiada siapa yang boleh nafikan. Maha Agungnya Allah SWT, mengurniakan kita Ramadhan sebagai pusat rawatan untuk bersihkan segala dosa-dosa kita ini. Peluang keemasan yang disediakan buat para pendosa seperti kita. Sedarkah kita semua akan hakikat ini?

4. Di Bulan Ramadhan ini, Rasulullah SAW menyarankan agar kita menjadi hamba-hamba Allah SWT yang banyak merintih, bermunajat dan memohon keampunan kepada-Nya. Di sinilah, mahalnya keampunan Allah SWT.

Kenapa?

Kerana, ia akan menghapuskan segala dosa-dosa kita.

Suatu, pertanyaan buat diri. Sudahkan kita bertaubat kepada Allah SWT? Adakah taubat itu dilazimi dan diulang-ulang sentiasa?

Jika, ya. Teruskan dan perbanyakan lagi.

Jika, tidak. Mulakan sesegara mungkin. Ambillah peluang ini wahai jiwa-jiwa yang kotor.

Semoga, Ramadhan ini memberikan nafas baru buat kita. Menghirup udara keampunan Allah SWT dan keluar daripada pusat Ramadhan ini sebagai seorang hamba Allah SWT yang “zero dosa.”

5. Kerdilnya kita dan Maha Agungnya Allah SWT. Namun, hamba yang kerdil inilah yang selalu sombong, ego dan bongkak. Antara tanda-tanda kesombongan kita ialah selalu melakukan dosa terhadap Allah SWT berulang-ulang kali. Rasa bersalah, tetapi terus menerus melakukanya.Amat hinanya dan jijiknya kita.

6. Harapan terhadap Ramadhan kali ini, “ Saya inginkan diri ini zero dosa. Keampunan Allah SWT terhadap dosa-dosa saya yang lalu.Ia terlalu banyak dan tidak terhitung.” Kerana itu, doa yang diulang-ulang adalah istighfar atau lafaz pengampunan kepada Allah SWT disepanjang Ramadhan ini.

Zero Dosa, target Ramadhan ini. Ameen

BroHamzah
14 Ramadhan 1432 H
Bandar Baru Bangi

Read more...

Energi Buat Diri

Thursday, August 11, 2011

Sumber tenaga yang mencetuskan kekuatan. Recharge iman di sepanjang Ramadhan, bekalan untuk 11 bulan mendatang.


0. Saya mulakan titipan ringkas ini dengan bismillah.

1. Selalunya, ada catatan Ramadhan secara berkala yang akan menghiasi paparan muka blog teduhan ini. Namun, Ramadhan kali ini agak berbeza. Semoga kelainannya adalah yang terbaik buat diri saya.

2. Ramadhan kali ini, ia benar-benar menguji. Allah SWT berikan ujian kesihatan yang memudarkan perasaan yang ada. Lemah seluruh badan. Semangat yang berkobar-kobar serta terang benderang nyalaannya seolah-olah kian malap. Ujian itu tarbiyah. Kini, dalam fasa penyembuhan.

3. Pelbagai ragam, karenah dan sikap manusia disekeliling kita. Ada yang bersungguh-sungguh dengan kehadiran Ramadhan. Ada yang bersikap biasa-biasa. Ada yang tidak ambil endah tak endah dengan keberkatan dan keistimewaan Ramadhan. Bagaikan tiada perasaan langsung untuk menghidupkan Ramadhan.

4. Saya cemburu melihat insan-insan yang rapi dan tekun dalam perlaksanaan ibadah dalam bulan Ramadhan. Mereka bergerak dengan strategi yang tersusun kemas. Persiapan yang dibuat awal-awal. Dan, ketamakan terhadap pahala di bulan Ramadhan semakin menjadi-jadi apabila tiba di penghujung Ramadhan. Saya pernah ketemui insan sebegini. Anda pernah?

5. Dunia Online dan Offline ini banyak memberikan kesan kepada saya. Paling berbekas ialah, pandangan sisi terhadap seseorang. Watak manusia sangat berbeza di alam online dan offline. Justeru itu, seorang murabbi sentiasa berpesan agar sentiasa berpijak di alan realiti. Di situ, dunia kita yang sebenar.

6. InsyaAllah, saya cuba sedaya upaya untuk konsisten dalam perkongsian melalui penulisan di website LangitIlahi.Com. Sudi-sudilah mengunjunginya dan mengambil manfaat apa yang dikongsikan. Mudahan segala yang tercatat adalah bekalan buat saya jua. Sayalah individu pertama yang akan mengamalkannya, sayalah yang akan mula-mula respon segala yang disarankan dan sayalah akan bertanggungjawab di hadapan Allah SWT dengan apa yang saya tulis.

7. Sidang pembaca, saya hajatkan 1 bantuan. Satu sahaja, mohon nasihatkan dan tegurlah saya jika ada apa-apa kesilapan, kesalahan dan kelalaian yang saya lakukan. Saya amat senang hati jika ada yang sudi berbuat demikian. Semoga Allah SWT merahmati insan-insan yang sebegini.

8. Akhir kalam, Ramadhan Kareem. Marilah kita benar-benar serius dengan kehadiran bulan barakah ini. Waktu berbaki ini, kita hitungnya dengan melipat gandakan amalan soleh. Mencari bekalan buat perjalanan yang panjang ini.

InsyaAllah, energi buat diri adalah outcome Ramadhan ini.

BroHamzah

Khamis I 5.05 Petang
11 Ogos 2011
11 Ramadhan 1432 H
Pengkalan Chepa

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP