Cinta Berusrah : Kemanisan Yang Kian Menghilang

Tuesday, April 10, 2012

" Cahaya Iman memancar pada wajah yang memiliki
nur Allah SWT di jiwa dan hatinya."


Bismillah, dengan kalimah ini kita memulakan amal dalam setiap detik kehidupan ini.

Semenjak dua ini, saya merasai kehilangan sesuatu dalam langkah mengikuti arus perjalanan waktu. Terasa kekadang - hilangnya sentuhan perasaan yang suatu saat dahulu ianya memberikan ketenangan, ketenteraman dan kebahagian kepada jiwa ini.

Hari demi hari, kehidupan ini disantuni dengan kesibukan. Betul, setiap daripada kita sentiasa sibuk , sibuk dan sibuk.

Tanyalah kepada sesiapa pun. Perdana Menteri sibuk, timbalannya pun sibuk, Ketua Eksekutif sebuah syarikat juga sibuk, pensyarah pun sibuk hatta jika disoal kepada tukang sapu sampah pun – dia akan menyatakan : “ Saya sibuk!.”

Justeru, apa yang perlu kita soal dan persoalkan ialah ke manakah kesibukan ini melorongkan kita? Di manakah destinasi yang kita tuju dengan kesibukan yang kita kerjakan ini?

Semalam, saya dan zaujati mengawalkan masa Usrah Cinta kami kerana beberapa faktor. Kami sentiasa berusaha untuk wujudkan suasana bagi menyuburkan iman dalam halaman rumah tangga ini, agar kesibukan kami dalam meniti kehidupan tidak berlalu tanpa ketidakterikatan bersama-sama Allah SWT.

Prinsip kami :

Rumah tangga ini harus dihubungkan dengan Allah SWT.
Usrah ini, tiang binaannya ialah kecintaan kepada Allah SWT.

Jika hal ini diremeh-remehkan, maka kami akan kehilangan segala-galanya dalam kehidupan ini. Saya memulakan bicara dengan menyatakan bahawa :

“ Abang rasa kekosongan jika tiada Allah SWT ada hati, malah perasaan itu akan terus menerus menghilangkan jiwa – jika kita mengabaikan perkara ini.”

Saya memetik sebuah kata-kata daripada Imam Hassan al-Basri RA berkaitan amalan soleh yang tidak mampu memberikan pengaruh, bekas dan kesan kepada si pelakunya. Apa katanya ?
Katanya :

“ Carilah kemanisan hidup ini dalam tiga perkara :- dalam solat, dalam dzikir dan dalam membaca Al-Quran. Jika kalian tidak mendapatkannya, maka ketahuilah bahawa pintunya dalam keadaan tertutup.”

“ Jika abang melalaikan hal-hal ini, Solat , Al-Quran dan Dzikir. Mohon ingatkan abang,” Ujar saya.

Perkongsian semalam, lebih kepada gejala kelesuan iman. Kami sama-sama berbincang, berkongsi, bertukar-tukar pandangan dan memberikan solusi agar apa yang dibicarakan mampu diamalkan.

Dan, salah satunya perkara yang mungkin sudah lama diremehkan dalam menguatkan hubungan hati dengan Allah SWT ialah memperbanyakkan munajat kepada Allah SWT. Hal ini, rentetan daripada perkongsian menjadi generasi sajjad (bersujud) pada usrah cinta minggu yang lalu.

Munajat – ia adalah rayuan, curahan perasaan, cetusan hati nurani dan berbisik-bisik dengan Allah SWT bagi memperkukuhkan hubungan Allah SWT. Ia adalah bekalan bagi manusia dalam menghadapi kemelut kehidupan yang tidak sunyi daripada kesulitan, kerungsingan, kelemahan, ketakutan, kesengsaraan, penyeksaan dan kezaliman.

Munajat – adalah dialog, bingkisan perasaan dan luahan jiwa yang punyai kekuatan yang ampuh terutamanya di saat keheningan dan kesyahduan malam yang gelap gulita. Hamba yang jujur lagi ikhlas – merendahkan dirinya menghadap Rabb-Nya dengan jiwa yang mengharapkan belas ihsan, pergantungan dan bantuan daripada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu.”

( Al-Mukmin 40 : 60)

Bermunajat :-

Alangkah besarnya hajat kita kepada Allah SWT agar Allah SWT :

(1) Menyapu bersih hati kita daripada pelbagai penyakit hati dan jiwa.

(2) Memandang kepada kita di tengah-tengah malam dengan pandangan redha.

(3) Membuka bagi kita pintu rahmat-Nya, melalui kejayan dan kemenangan.

(4) Menghapuskan karat-karat pada hati dan menyinarinya dengan Nur Al-Quran.

(5) Membekali kita dengan bekalan iman yang dapat meneguhkan kita pada jalan ini.

(6) Menyirami hati dengan air kesejukan yang mendamaikan nurani.


Itulah pentingnya, munajat!

Dalam didikan ini, kita amat-amat berhajatkan kepada munajat, rintihan dan doa kepada Allah SWT. Ia adalah asas kepada pembentukan jiwa yang sentiasa berhubungan rapat dan punyai kehangatan hubungan dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut.”

( Al-A’raaf 7 : 55)

Jujurnya, inilah kemanisan yang kian menghilang dalam diri kebanyakan daripada kita.

Tanyalah diri kita, bilakah kali terakhir kita duduk tersimpuh menadah tangan bermunajat kepada Allah SWT dengan penuh hina dan insaf mengenang akan diri kita yang kerdil ini?

Soallah diri kita, bagaimanakah kita bersikap dengan tuntutan munajat ini? Adakah merasainya sebagai suatu keperluan atau bebanan?

Suatu yang harus diamati sedalamnya, buat para daie’ yang dicintai!

Sesungguhnya kemampuan pengurusan, pentadbiran, ketelitian dan kerapian dalam berorganisasi mahupun bergerak semuanya itu tidak berguna di dalam amal dan usaha di atas jalan dakwah, apabila tidak disertai dan dikuasai dengan bekalan rohani dan kekuatan hubungan dengan Allah SWT.

Kerana inilah prasyarat untuk melayakannya mendapat taufiq Allah dan memeliharanya daripada kesalahan, penyelewengan dan penipuan. Justeru, munajat itulah jalannya dan wasilahnya untuk mencapai bekalan ini.

Ditengah-tengah usaha, amal dan gerak kerja di atas jalan ini, syaitan dan iblis sentiasa masuk campur serta berbisik-bisik lalu menimbulkan persengketaan dan perselisihan di antara pekerja-pekerja dakwah. Setelah terjadinya kecelaruan ini, kadang-kadang susah untuk mendamaikan antara mereka.

Dan, hanya hati-hati yang benar-benar ikhlas, jujur dan bersih sahaja akan merasa pilu, sedih dan dukacita melihat suasana demikian. Lalu, apakah penawarnya bagi merungkai permasalahan ini? Jawapannya ada - dengan munajat kepada Allah SWT.

Oleh itu masa yang terbaik dan teristimewa dalam bermunajat ialah menjelang fajar, sebaik sahaja si hamba Allah SWT itu menunaikan Qiyamullail dan solat tahajud. Itulah saat-saat yang menggugah jiwa sang hamba.

Sahabat pembaca budiman,

Munajat itu : –

(1) Perlukan keikhlasan hati yang sepenuhnya kepada AllAH SWT.

(2) Melupakan segala yang lain daripada-Nya.

(3) Berhias dengan perasaan hina diri sang hamba kepada Allah SWT.

(4) Dikuasai oleh rasa kelemahan, kekurangan tenaga & upaya lantas dari
yang Maha Kuat.

(5) Suasana yang diselubungi oleh perasaan takut dan gerun kepada Allah SWT.

(6) Takut dan takut dari siksaan-Nya.

(7) Mengakui segala dosa dan kecuaian yang telah dilakukan terhadap hak Allah SWT.

(8) Merayu-rayu dengan segenap kebulatan hati semasa meminta keampunan kepada Allah.

(9) Medan untuk memohon hidayah, petunjuk dan pertolongan daripada-Nya.

(10) Saat terbaik untuk meminta keteguhan jiwa dan istiqamah pada jalan kebenaran.

Saudara budiman,

Berusaha, beramal dan bergerak di atas jalan dakwah bermakna pekerja mesti melaporkan setiap amalan dan hasilnya kepada Allah SWT yang menguasai segenap urusan dan yang memberikan ganjaran di atas amal hamba-Nya.

Ya Ilahi, Aku menuju pintu-Mu dalam kesunyian malam tatkala manusia sedang tidur nyenyak untuk aku meminta kepada-Mu lalu Engkau memberi kepadaku. Inilah seorang fakir yang benar-benar memerlukan-Mu, yang datang mengetuk-ngetuk pintu yang Maha Mulia lagi Maha Pemurah.

Ya Ilahi, Ya Rabbi. Berikanlah aku kekuatan untuk bermunajat, merintih dan bermanja-manja bersamamu.

Ya Rabbi, Ya Ilahi. Aku merindu saat yang penuh manis, lazat dan indah itu. Titipkanlah kelazatan itu, agar jiwa ini akan terus menerus merasai kehangatan bermesra dengan-Mu.

BroHamzah
11 April 2012
Muhasabah, Audit & Koreksi Perjalanan Hidup
Allah SWT itu adalah segala-galanya!

4 comments:

Unknown April 10, 2012 at 7:47 PM  

Salam perkenalan dari saya ... Moga kita boleh bersahabat..

BroHamzah April 10, 2012 at 9:47 PM  

Dr Hafiz

Wassalam, salam perkenalan kembali. InsyaAllah, semoga Allah redha.

BroHamzah

Unknown April 11, 2012 at 11:06 AM  

dah lama tak ber'usrah'....
cuti2 sem ni bnyak buang masa...

[+]Manan Qayyim + Coretan Insan Biasa

BroHamzah April 11, 2012 at 7:27 PM  

Abdul Manan Abdullah

Singgahan di taman syurga seperti Usrah - pastinya menyuburkan jiwa-jiwa yang hajatkan ketenangan dan kebahagiaan.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP