Agar Ia Tumbuh Subur Di jiwa Para Pejuang Kebenaran
Harapan Demi Harapan
Menghembus harapan bagi sang pejuang adalah
tiupan perasaan yang menenangkan lagi mendamaikan. Sang pejuang sangat-sangat
memerlukan tempat persinggahan untuk berehat sebentar sebelum meneruskan
perjalanannya yang semakin hari semakin sukar.
Di hadapanya, jalan penuh berliku.
Tabiat jalan yang diwarnai dengan luka, rasa
penat, penuh kepedihan, linangan air mata dan ditusuk duri adalah perkara biasa
bagi sang pejuang. Namun, mereka tidak akan pernah berhenti melaluinya, tidak
lelah menyusurinya dan terus menerus mengikut arus yang juga tidak pernah
berhenti.
Di jalan ini – “ rasa sakit telah menjadi
kenikmatan, pengorbanan menjadi suatu keindahan dan jiwa menjadi semakin bersih
lagi putih.” Para pejuang terus mengenggam penuh erat tali kebersamaan sesama
mereka kerana perjuangan ini telah menjadikan mereka lebih tabah, sabar, kuat,
kukuh dan sanggup menghadapi apa jua rintangan yang mendatang.
Kita perlukan satu bekalan
Sahabatku, inilah hakikat tabiat jalan ini.
Justeru, kita memerlukan satu bekal yang ampuh iaitu bersikap lapang dada,
nafas panjang dan mudah memaafkan. Hal ini seperti para solihin, salafusoleh
dan juga para sahabat – yang tidak peduli dengan suasana cemas, getir dan
tentangan yang mereka terima dalam melaksanakan segala ketaatan dan kepatuhan.
Begitu juga para pejuang yang kental zaman
berzaman, lihatlah susuk keperibadian mereka yang tidak sengal oleh tipu daya
dan serangan hebat pihak musuh terhadap mereka. Bahkan, junjungan Mulia
Rasulullah SAW tidak merasa tertekan, terhimpit dan seksa dada dengan cacian,
penghinaan dan cercaan manusia-manusia sekitarnya dalam menyenmpurnakan misi
kenabiannya.
Kisah Ibrahim An Nakh’i wajar diteladani.
Suatu masa, beliau berjalan bersama sahabatnya
seorang buta. Setelah beberapa lama menyusuri jalan, orang buta itu mengatakan
:
“ Ya Ibrahim, orang-orang yang melihat kita
mengatakan, “ Itu orang buta dan orang pincang…itu orang buta dan orang
pincang,”
Ibrahim dengan tenang lalu mengatakan :
“ Kenapa engkau begitu terbebani memikirkannya?
Jika mereka berdosa kerana menghina kita sedangkan kita mendapat pahala, lalu
kenapa?
Begitu tenang jiwanya dan jawapannya sangat
menyakinkan.
Manusia yang pelik
Ketahuilah, sahabat kita akan temui pelbagai
jenis ragam, karenah dan kejelekan manusia di sepanjang kehidupan kita. Semakin
hari semakin pelik lagi jelek manusia ini jika terus hidup bersama mereka.
Tetapi, sebagai hamba Allah SWT kita akan dituntut untuk terus bergaul dan
hidup bersama mereka dalam menjalankan misi-misi dan kerja-kerja yang besar.
Lantas, apakah kita akan memencilkan diri?
Tidak sama sekali. Bahkan kita akan terus
menerus menyantuni mereka dengan kadar kemampuan yang ada. Tetapi, sifat lapang
dada, mudah memaafkan dan bersahsiah tinggi akan menjadi pakaian dan imei kita
sepanjang masa.
Mereka yang dirahmati Allah SWT itu, menyikapi
pelbagai persoalan, melayani pelbagai krisis dan berhadapan dengan
bermacam-macam konflik kehidupan dengan lapang dada. Mungkin sahaja, mereka
akan berduka, bersedih, kecewa dan akan memuncak rasa marah. Tetapi, mereka
berhasil menguasai hati mereka kembali.
Hati mereka redha. Mata mereka tetap teduh.
Ketenangan mereka sama sekali tidak terusik. Alangkah indahnya saat itu.
Mereka bahagia begitu. Ketahuilah bahawa
manusia yang paling menderita ialah manusia yang tidak berlapang dada dan cepat
marah lagi melenting.
Dada sempit. Keliru menerjah akal. Nafas
tersengal. Wajah kemurungan. Hilang keceriaan. Hati kesal lagi kesat. Jiwa
bergemuruhan lagi berduka cita, bahkan air mata dan dendam terbit tanpa duga.
Hingga segala istirehat terganggu, fikiran tidak menentu arah.
Jika, lapang dada menjadi benteng. Ketahuilah,
amal-amal yang besar mampu dijanakan. Lantaran, amal-amal besar itu hanya lahir
dari jiwa yang bersih, hati yang tenang, nurani yang putih penuh redha dan
fikiran yang jernih.
Benarlah apa yang diungkapkan oleh Ar-Rafi’I dalam
Wahyul Qalam :
“ Jika engkau menghadapi dunia dengan jiwa
lapang, engkau akan memperoleh banyak kegembiraan yang semakin lama semakin
bertambah, semakin luas, duka yang makin mengecil dan menyempit. Engkau harus
tahu bahawa apabila duniamu terasa sempit, sebenarnya jiwamulah yang sempit,
bukan dunianya.”
Penutup : Rahsia Mereka
Lantas itu, apakah rahsia lapang dada yang
dimiliki oleh para sahabat, salafusoleh dan insan-insan soleh? Bagaimanakah
mereka menyantuni semua kemelut kehidupan dengan penuh kebijaksanaan dan
basirah yang terang?
Satunya ialah wawasan ilmu mereka yang luas.
Manusia yang sempit wawasan – terasa begitu
kerdil untuk berdiri dengan keyakinan, sangat takut dengan peristiwa yang remeh
temeh, gerun dengan perkara-perkara kecil dan mudah marah.
Hal kecil menjadi besar. Perkara yang tidak
perlu dibalasi – diungkit-ungkit tanpa penghujung. Dan, ketahuilah manusia yang
berjiwa besar adalah manusia yang melayani segala konflik, dilemma dan
persoalan kehidupan dengan sahsiah dan akhlak yang mulia. Lidah, anggota badan
dan keperibadian mereka mampu menyenangkan sekitar dan layak mendapat keredhaan daripada Allah SWT.
------------
BroHamzah
0 comments:
Post a Comment