Heart Setting Seorang Penulis

Saturday, November 19, 2011

Menulis dengan jiwa, perasaan dan ruh.
Soalnya kembali kepada hati kita.



Heart Setting Seorang Penulis
Bismillah, perkongsian ini dilakarkan.

Semoga sahabat pembaca ceria-ceria selalu hendaknya. Mudahan semuanya dalam payungan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Safar hujung minggu ini , saya dan teman-teman penulis mengadakan pertemuan yang jarang-jarang diadakan. Pertemuan untuk berkongsi rasa, bertukar-tukar pandangan dan bersinergi segala idea yang dilontarkan. Semoga ianya, adalah untuk meraih keredhaan daripada Allah SWT.

Perkongsian yang dikongsikan berkisar : “ Menulis Untuk Remaja.” Kali ini, Abu Umar dan Kak Fatimah Syarha berkongsi pengalaman, ilmu serta pengetahuan mereka berkaitan dunia penulisan ini – khusus untuk remaja. Tidak banyak sekadar cetusan buat renungan, muhasabah dan menyemak semula – kenapa kita menulis?

Titipan Abu Umar,

Remaja hari ini mengalami suatu krisis yang besar di dalam diri mereka. Mereka jauh dan sangat-sangat daripada Allah SWT. Mereka sunyi, sepi dan dahaga kasih sayang daripada Allah SWT.

Kata Sheikh Said Ramadhan al-Buty : “ Remaja adalah mangsa masyarakat.” Mereka tumbuh daripada masyarakat yang rosak. Jiwa mereka dibesarkan di dalam suasana masyarakat – ibu bapa, kaum keluarga dan ahli masyarakat – yang sibuk mengejar kebendaan, kemewahan dan kekayaan duniawi sama adan secara suka atau terpaksa.

Akhirnya, lahirlah generasi-generasi yang sunyi, dipinggirkan, kekeringan sentuhan kasih sayang dan sangat-sangat dahaga perasaan keinsanan.

Bahkan, mereka kehilangan contoh, qudwah dan keperibadian yang baik untuk diikuti. Jiwa mereka tertanya-tanya akan sesuatu untuk diikuti dan diteladani, namun semuanya kabur dalam bayangan sendiri.

Saban waktu, jiwa mereka menderita dan terseksa. Jiwa mereka memerlukan sesuatu untuk difahami, didalami dan dimengertikan. Justeru, heart setting seorang penulis – ia harus menulis dengan jiwa dan perasaan. Kita harus menulis umpama kita bercakap dengan jiwa mereka , menghayati luka-luka yang dialami oleh para remaja. Kita menyelami dan menghayati segala penderitaan dan penyeksaan jiwa mereka – dengan tinta pena ini. Kerana itu, seorang penulis itu harus menulis dengan ruh.

Hati seorang penulis mesti menerbitkan cetusan kasih sayang terhadap remaja. – Saya benar-benar tenggelam dalam perkongsian Abu Umar. Katanya lagi :

“ Menjadi menulis, kita kena belajar menangis. Merasai penderitaan dan penyeksaan mereka. Menulis itu adalah untuk kita berikan sinaran harapan kepada mereka bahawa, mereka perlu dan wajar untuk berubah. Berubah untuk lebih dekat, hampir dan akrab dengan Allah SWT. Sentuhan jiwa inilah kita hajatkan dalam dunia penulisan hari ini.”

Bayangkan jiwa mereka. Kita perlu yakin bahawa yang menghubungkan hati kita dengan mereka ialah Allah SWT. Allah akan sampaikan kepada mereka. Umpama kita sedang berSMS kepada jiwa mereka. Yakinlah, kerana itulah kekuatan kita sebenarnya dalam menulis.

Yakinlah bahawa,
Tulisan itu mampu merawat luka-luka mereka.
Tulisan itu boleh menghiburkan hati-hati mereka.
Dan tulisan itu juga memberikan harapan kepada mereka.
Bahawa, Allah SWT akan sentiasa menerima mereka.

Justeru, titik asas yang utama bagi seorang penulis ialah jiwa dan hatinya harus utuh dan kuat berhubungan dengan Allah SWT. Ia adalah manusia yang kuat kepasrahan, kebergantungan dan keyakinannya kepada Allah SWT. Inilah heart setting utama seorang penulis yang kita idamkan.

Kak Fatimah Syarha turut berkongsi ;- beliau menyatakan bahawa untuk menulis kita perlu melaksanakan 4 M :- Memahami, Mendidik, Menyayangi dan Memotivasikan.

Memahami keperluan, hajat dan kemahuan remaja.
Mendidik mereka dengan tulisan dan cetusan kita bersumberkan Al-Quran dan Hadis.
Menyayangi mereka dengan sentuhan penulisan yang hadir daripada jiwa.
Memotivasikan mereka untuk memulakan suatu perubahan dan istiqamahnya dengannya.

Berusahalah untuk bergerak, bersungguh-sungguh dan berazam untuk menjadi penulis yang benar-benar jujur, ikhlas dan menjadikan ia ibadah kepada Allah SWT.

Katanya, lagi gunakanlah nilai bahasa melayu yang tinggi. Ianya akan tetap evergreen sepanjang zaman. Bahasa-bahasa yang baik ini mampu menghaluskan dan melunakan jiwa kita. Justeru, berusahalah ke arah itu.

Marilah kita menjadi penulis yang menjadikan penulisan sebagai wasilah (jalan) dakwah dan tarbiyah tanpa meninggalkan tuntutan-tuntutan lain yang juga akan disoal di Akhirat nanti. Panjatkan doa dan kuatkan munajat kepada Allah SWT agar kita benar-benar ke arah itu!

Komentar – Seorang Hamba

(1) Alhamdulillah, pertemuan bersama-sama penulis kali ini menyuntik sesuatu yang bermakna buat saya. Sungguh kerdil diri ini apabila mendengar nasihat, panduan dan pedoman yang mereka lontarkan. Ya! -Terlalu banyak kelemahan, kekurangan, keaiban dan kelompongan diri ini.

(2) Saya takut, gerun dan bimbang sekiranya tergolong dalam golongan penulis yang : - jari jemarinya berkata-kata tetapi jiwanya bisu, pandangannya hebat menerokai pelbagai isu tetapi dirinya sendiri terkurung lesu dan tulisannya memancarkan cahaya pembimbing tetapi nuraninya sendiri kelam gelita!

(3) Dalam dunia penulisan, saya ingin mencontohi Abul Ala Al- Maududi dalam kesungguhan dalam menulis, mendalami ilmu dan menyampaikan kepada seluruh manusia. MasyaAllah – bacalah kisah perjuangan yang membakar jiwa di sini.

(4) Ya Ilahi, ampunilah kekurangan diriku. Ampunilah segala kedhaifan yang wujud dalam diri ini. Sesungguhnya, hamba-Mu ini sentiasa mengharapkan segala kekuatan, bantuan dan pertolongan hanya sanya daripada-Mu. InsyaAllah.

BroHamzah
19 November 2011
Kajang, Selangor.

8 comments:

Nur Mayamin November 19, 2011 at 1:19 AM  

salam ziarah..

Alhamdulillah,perkongsian yang sedikit sebanyak memberi inspirasi dan rujukan untuk ana untuk menulis dalam konteks perjalanan seorang remaja yang ingin memahami jiwa remaja sepertinya.

semoga Allah sentiasa menuntun langkah ini.

..[Travelog Nur]..

adysuR November 19, 2011 at 2:17 AM  

Penulis-penulis di LangitIlahi semuanya mampu menyentuh hati insyaAllah. Yang berbeza hanya kedalaman sentuhan. =)

"Saya takut, gerun dan bimbang sekiranya tergolong dalam golongan penulis yang : - jari jemarinya berkata-kata tetapi jiwanya bisu, pandangannya hebat menerokai pelbagai isu tetapi dirinya sendiri terkurung lesu dan tulisannya memancarkan cahaya pembimbing tetapi nuraninya sendiri kelam gelita!"

Moga kita semua tidak tergolong dlm golongan tersebut.

yaqut hulaif November 19, 2011 at 2:31 AM  

Setuju dengan 4 M :- Memahami, Mendidik, Menyayangi dan Memotivasikan

saya masih bertatih untuk melepasi 4 konsep ini.

syukran brohamzah untuk perkongsian ini, sedikit sebanyak memberi suntikan semangat untuk kembali menulis.

yaqut hulaif

.::: mr IQ :::. November 19, 2011 at 6:30 AM  

syukran, penulisan ini akan saya jadikan panduan dalam penulisan saya....

BroHamzah November 19, 2011 at 6:25 PM  

Nur Mayamin

Alhamdulillah, semoga setiap perkongsian dan coretan yang dinukilkan melalui medan penulisan ini akan meninggalkan bekas kepada jiwa kita dan jiwa ssiapa sahaja yang membacanya.

BroHamzah

BroHamzah November 19, 2011 at 6:27 PM  

adysUR

Kata-kata itu adalah nukilan murabbi saya Abu Umar dalam artikelnya bertajuk " Menjadi Penulis Robbani." InsyaAllah

BroHamzah

BroHamzah November 19, 2011 at 6:28 PM  

yaqut hulaif

Alhamdulillah, tulisan anta ada kekuatan. Mohon anta emel ana. Ada sesuatu yang hendak dibincangkan.

Emel ana : brohamzh@yahoo.com

BroHamzah

BroHamzah November 19, 2011 at 6:29 PM  

mr IQ

Alhamdulillah, menulislah kerana rangka dakwah dan tarbiyah. Ia wasilah dalam pelbagai wasilah yang ada. InsyaALLAH

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP