Saranan Buat Mu Wahai Pemuda
Saturday, April 3, 2010
Antara Tokoh Ulamak Muktabar yang saya kagumi dan contohi adalah Dr Abdullah Naseh ‘Ulwan. Beliau banyak menulis buku untuk golongan pemuda dan penulisan sangat dekat dengan jiwa pemuda.
Pada amatan saya, Dr Abdullah Naseh ‘Ulwan ini mempunyai gaya penulisan yang sistematik dan bahasa jelas dan terang. Antara buku beliau yang sangat saya sukai ialah sebuah buku yang bertajuk “ Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi”. Tulisan buku ini pernah menjadi perbincangan saya dan rakan-rakan semasa di IPT suatu masa dahulu.
Saya kongsikan juga salah satu saranan beliau untuk kita semua. Semoga membakar semangat agar ia sentiasa membara sehingga menghasilkan amal yang nyata.
Peranan Pemuda Di Dalam Menyampaikan Risalah Islam
Oleh Dr Abdullah Naseh `Ulwan
Wahai pemuda-pemuda Islam! Kamu sangat-sangat dituntut supaya bekerja dengan lebih keras dan bersungguh-sungguh. Rasa malu, silu, malas, segan dan sifat tunggu dahulu, jangan dibiarkan wujud sama sekali di dalam jiwa kamu. Terus maralah kamu untuk berdakwah ke jalan Allah.
Sampaikanlah risalah Islam yang kamu bawa ini kepada manusia. Semuga dengan usaha ini terukirlah pula zaman kegemilangan Islam, sebagaimana yang telah dicatat oleh sejarah. Kamulah semua satria pembawa Risalah. Tulang belakang ummah mulai dan sekarang hingga ke hari muka.
Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupa suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan belia-belia Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi.
Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan belia adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.
Di sebalik keagungan dan ilmu ketamaddunan Islam, maka kita dapati generasi belialah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu hebat, hinggakan Keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat kagum sekali. Mereka tidak tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus berusaha, bekerja dan berJihad untuk berdakwah ke jalan Allah, hatta tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni itu...
Duhai pemuda-pemuda Islam! Sem0ga kamu semua akan menjadi perwira Islam. Perwira yang kenal agamanya yang unggul, yang beribadat dan berJihad, memperbaiki kekurangan diri sendiri di samping berdakwah ke jalan Allah. Inilah golongan pemuda yang bersifat mulia lagi terpuji. Golongan inilah yang tidak sanggup dicemar dan dikeji. Kesudahannya zaman Keagungan Islam akan kembali. Negara Islam yang diimpi-impikan oleh setiap penganutnya akan tegak semula di atas daya usaha satria pemuda. Allah Maha Mulia lagi Pengasih. Dia akan memberi kemenangan kepada sesiapa yang Dia sukai.
Saya doakan, semoga Allah jadikan kita seperti golongan yang mendengar ucapan dan disusuli dengan amalan. Semuga Allah jadikan kita seperti para-para da’i yang bekerja dengan tulus ikhlas, demi untuk menyampaikan risalah Islam. Kita tidak gentar dengan sesiapa pun. Hanya kepada Allah saja sebaik tempat kita bergantung dan meminta. Saya sudahi dengan memuji Allah, Pentadbir semesta alam.
(Surah Al Maaidah, Ayat 55,56 )
“Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah, RasulNya, dan orang- orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, seraya mereka tunduk (kepada Allah). Dan barangsiapa mengambil Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.”
0 comments:
Post a Comment