Bahagia menjadi Ibu dan Ayah

Monday, April 5, 2010

Abah dan Emak - Tetap tabah membesarkan dan mendidik kami 10 orang


Bahagia menjadi Ibu dan Ayah
Oleh : BroHamzah

Tanggungjawab seorang ibu dan ayah sangatlah besar dan amanah menjadi ibu dan ayah juga amatlah berat. Namun, perasaan menjadi seorang ibu dan ayah adalah pengalaman yang sangat manis bagi seorang wanita yang di dalam hatinya ada nilai keinsanan dan sentuhan kasih sayang.

Anak yang nakal



“ Emak, dalam ramai-ramai anak mak yang sepuluh orang ini. Siapa yang paling nakal dan memang susah mak hendak jaga waktu kami kecil-kecil dulu,” Soal saya kepada emak saya.



“ Kenapa Ali nak tahu?,” Jawab Emak saya ringkas.


“ Ada la,” Saya senyum.



“ Dalam 10 orang anak mak ini. Ali lah yang paling nakal, dan paling susah mak nak jaga,” Jawab mak saya.



Mendengar jawapan emak saya, saya tersengih dan tersenyum lebar. Ia menyebabkan saya terkenangkan zaman saya sewaktu kecil dulu.


“ Ali ini kalau menangis, satu kampung boleh dengar kuatnya suara tangisan tu. Kalau hendak satu benda, tapi kalau mak atau abah tak bagi, Ali akan mengamuk sepahkan satu rumah,” Cerita emak saya lagi.



Saya pernah ingat dulu, masa kecil-kecil mak selalu menangis disebabkan kenakalan dan karenah saya yang beragam. Jika diingatkan balik zaman kanak-kanak, saya adalah anak yang agak sukar dididik dan dibentuk. Mungkin juga, saya ini anak sulung. Emak dan Abah saya masih belajar proses mendidik anak-anak. Kiranya saya ini experiment.

Ketabahan mendidik

Tetapi, emak saya tidak pernah jemu mendidik saya. Setiap hari diulangnya perkara yang sama.



“ Ali, kalau nak minum kena duduk. Nak sopan, dan Allah SWT suka,”



“ Lepas Maghrib ini, baca Al-Quran dengan mak.”



“ Malam ini, mak cerita kisah Nabi Musa.Kita sambung yang semalam.”


“ Sebelum tidur, buat dulu kerja rumah sehingga selesai.”



Inilah peringatan dan ayat-ayat yang selalu diungkapkan oleh Emak saya. Setiap hari, mesti kena baca Al-Quran, setiap hari kena baca Bismillah bila hendak makan. Hampir setiap malam, saya akan diceritakan oleh Emak kisah-kisah Rasul, para sahabat atau kisah Ulamak.



Yang saya hairannya, emak saya tidak pernah jemu melakukan semua ini.



Tiada kebosanan dalam hatinya



Malah, jarang sekali merungut dalam melakukannya

Ketegasan dalam membentuk



Abah saya pun sama juga. Dalam rumah kami, ada peraturan. Dahulu, kami perlu balik ke rumah sebelum jam 6.30 petang. Kata abah, kena siap mandi dan bersiap untuk solat Maghrib. Jika tidak, kami akan dapat hadiah yang special.



Zapp!!



Satu rotan yang bersaiz sederhana singgah ditapak tangan saya.


“ Kan, Abah dah bagitau. Kena balik awal ke rumah. Kenapa tak faham-faham lagi,” Suatu hari, Abah tinggi suara dan saya kena hukuman. Hari tu, saya balik rumah lewat sangat. Terleka tengok televisyen cerita Doremon kat rumah kawan. Masa itu, tv di rumah saya rosak .

Selalu sahaja, saya akan mengikut abah saya ke surau untuk solat Maghrib dan Isyak di Surau. Walaupun ketika itu bukan solat yang menjadi target saya, tetapi proses pembentukan ke arah pembinaan untuk menjadi seorang mukmin muslim itu telah dibentuk.

Cabaran mendidik anak-anak



Saya selalu sahaja ponteng kelas membaca Al-Quran, sehingga terpaksa tukar sehingga 3 orang tok guru. Kerana sikap saya yang sangat malas, abah saya terpaksa tunggu di depan pondok surau tempat saya membaca Al-Quran. Kalau abah saya tidak ada di situ, itulah kegembiraan bagi saya.

Namun, semua ini tidak pernah mematahkan semangat emak dan abah saya dalam mengasuh dan mendidik saya.



“ Ali kena tunjukan contoh kepada adik-adik. Ali kan abang sulung. Mak, harap juga Ali dapat bantu mak dan abah dalam mendidik adik-adik yang lain,” Pesan mak saya kepada saya.



Dorongan, sokongan dan doa tidak pernah putus, malah emak dan abah saya tetap gigih dan berusaha keras dalam mendidik saya dan adik-adik.

Berkat usaha dan doa yang tidak putus-putus, adalah menjadi kekuatan dalam proses pendidikan ini. Segala cabaran, ujian dan dugaan dalam mendidik anak-anak dihadapi dengan kekuatan ini. Sering kali kita lihat ramai ibu bapa mengalir air mata mereka apabila anak-anak mereka tidak menjadi seperti yang diharapkan. Malah inilah dugaan yang sangat perit untuk dihadapi.

Bahagia menjadi Ibu dan Ayah

Dewasa ini ramai yang tertekan dengan kewajipan menjadi seorang ibu dan juga seorang ayah. Kepenatan, keletihan, tekanan dan segala bentuk ujian yang akan dihadapi dalam proses mendidik anak-anak. Namun, ketahuilah wahai ibu dan ayah, tugas dan amanah inilah yang akan memberi kemuliaan kepada seorang ibu dan ayah, sekiranya ia dilakukan dengan tuntutan keimanan kepada Allah SWT.

“ Emak, bahagia ke menjadi seorang “ibu”?,” Saya pernah menyoal emak saya dengna soal ini.



Apa jawapan emak saya.



“ Bahagia , kerana emak sememangnya berhajat dan ingin menjadi seorang “ibu”. Jawapan ringkas tetapi mendalam maksudnya.



Berhajat mempunyai anak dan generasi pewaris. Berhajat untuk mendidik anak-anak mengenal Islam dan mengamalkannya dalam kehidupan. Walaupun susah, payah dan pelbagai masalah yang hadir. Ia umpama penghias kepada jalur-jalur kehidupan seorang ibu. Mungkin, jawapan emak saya adalah MINDSETTING yang perlu ditanam dalam pemikiran semua ibu yang ada. Ia itu hajat dan keinginan untuk menjadi IBU itu ada dalam jiwa dan hati.



Sungguhpun menjadi seorang ibu itu amat meletihkan, namun yakinlah bahawa di sana terdapat ganjaran yang besar sedang menanti. Ciuman “terima kasih”, tinta biru yang bertulis “ Saya sayang ibu”, kiriman SMS secara berkala dan hadiah istimewa daripada anak-anak adalah umpama hadiah yang luar biasa yang sangat membahagiakan.



Malah, ada ganjaran yang sangat besar dan luar biasa daripada Allah SWT, iaitu dosa-dosa kita akan jatuh berguguran di saat kita merawat dan menjaga “buah hati” kita dengan ikhlas serta penuh kasih sayang.

Untuk anak-anak yang punyai ibu dan ayah

Saya cuma ingin kongsikan buat kalian yang masih punyai ibu dan ayah, sayangi dan hargailah mereka tatkala mereka masih bersama kita. Hormati dan cintailah mereka. Taatilah mereka dengan sepenuh jiwa dan raga.



Rasulullah saw juga ada menyentuh tentang keperluan dan keutamaan berbuat baik kepada ibu bapa (birrul walidain). Sabda Baginda SAW :




Maksudnya :



Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata : Aku bertanya kepada Nabi saw : Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah Ta’ala ?


Jawab Baginda : Solat pada waktunya.


Aku bertanya lagi : Selepas itu ?


Sabda baginda : Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.


Ku bertanya lagi : Selepas itu ?


Baginda menjawab : Berjihad di Jalan Allah.


Di dalam hadis di atas, jelas menunjukkan suruhan dari Baginda SAW untuk berbuat baik kepada mereka, malah kelebihan dan fadlilat mereka lebih dari keluar berjihad fisabilillah. Imam Al-Qurtubi ada berkata berkenaan hadis ini :



“ Rasulullah saw menerangkan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah amalah yang paling afdhal selepas solat, yang mana ia (solat) adalah semulia-mulia tonggak agama islam. Lafaz ثم di dalam hadis menunjukkan kepada tertib .”

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP