Memori Indah JDK Zon Timur

Tuesday, January 18, 2011

Di sini ia bermula, ILIM Besut

Justify Full
Memori Indah JDK Zon Timur

Oleh : BroHamzah

Sunyi & Kelam

Pagi ini saya bangun dari tidur, berbeza daripada pagi-pagi yang sebelumnya. Jika sebelum ini, saya akan bangun seawal 5.00 pagi untuk bersiap diri, mandi dan berwudhuk dan terus mencapai healer lalu menekan punat siren sebagai bunyi amaran awal untuk mengejutkan para peserta daripada tidur.

Suasana pagi yang hening dan damai di sekitar Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut menjadi bingit seketika. Begitulah setiap pagi, semua adik-adik peserta JDK Zon Timur ( Syabab & Nisaa’) dilatih untuk bangun sebelum azan Subuh dan berkumpul untuk sesi roll call tepat jam 5.30 pagi.

Kursus JDK Zon Timur memberikan saya satu pengalaman yang berbeza dan berharga setiap kali detik waktu berlalu. Selama 22 hari mengendalikan kursus ini sebagai Kem Komandan – ia benar-benar mendidik saya untuk memahami ERTI MEMBERI & BERKORBAN!


Kem Komandan bersama Pengurus Kursus, En Jamil Bin Muda

Dialog Rutin

“ Assalamualaikum, perhatian kepada semua peserta – Syabab & Nisaa’- anda dikehendaki berkumpul di Dataran JDK dengan segera!,” Laungan suara itu memecahkan lagi suasana pagi yang tenang.

“ Dalam kiraan 20, SEMUA SEKALI – berkumpul di Dataran. 20 19 18 17 16 15 14 13 12 11...4 3 2 1 ”

Laungan itulah yang menjadi rutin harian saya sepanjang 22 hari. Tanpa jemu dan bosan saya melakukannya dengan tekun, bersungguh dan serius. Entah mengapa, sepanjang tempoh itu saya begitu bahagia berbuat demikian. (‘’,)

“ Para ulamak menyatakan bahawa, seorang mukmin itu dikira lalai dan lemah, jika dibangun ketika azan Subuh berkumandang. Seorang mukmin harus bangun sebelum azan Subuh,” Kata saya kepada adik-adik peserta saban hari.

Bermula bangun pagi sehingga ke saat adik-adik hendak melelapkan mata – saya menemani dan bersama mereka di sepanjang kursus ini. Kerana itulah, saya benar-benar merasai kebersamaan dan jalinan persaudaraan bersama mereka.

22 hari, mungkin bagi sesetengah orang adalah tempoh yang sangat lama bagi sesebuah kursus sebegini. Tetapi bagi kami, ia adalah tempoh yang sangat singkat dan pendek. Pejam celik, pejam celik – kursus sudah pun tamat dan selesai.

Jika ditanya tentang perasaan saya sepanjang kursus ini, - saya sebenarnya sukar untuk mengungkapkannya melalui kata-kata mahupun tulisan : Namun mungkin 1 perkataan ini mampu memberikan satu makna.

BAHAGIA.

Ya, saya bahagia menjalani kehidupan di dalam kursus ini. Wallahu’alam, mungkin urusetia, sahabat-sahabat fasilitator dan adik-adik peserta merasai perasaan yang pelbagai, beraneka dan berbeza daripada saya. Namun inilah, cetusan saya.


Adik-adik Nisaa' yang cekal

Sumber bahagia

Bagi saya, sumber kebahagiaan saya dalam mengendalikan kursus ini ialah kekuatan keimanan, ruh keyakinan kepada Allah SWT dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Sepanjang JDK ini, kami semua ditekankan tentang aspek ini. Setiap hari perjalanan kursus dimulakan dengan solat berjemaah, zikir al-Mathurat, hafazan Al-Quran, hafazan hadis pilihan, melazimi solat-solat sunat rawatid dan juga solat-solat sunat lain seperti tahajud, taubat, dhuha dan witir.

Inilah keyakinan saya, untuk bahagia ia harus bermula dengan hakikat keimanan yang nyata kepada Allah SWT. MasyaAllah, jiwa adik-adik sebenarnya lembut, bersih dan putih – kebanyakan mereka telah menghafal Al-Quran dengan jumlah hafazan yang berbeza sehinggakan ada dikalangan mereka sudah menghafaz 30 juzuk.

Pada hari pertama, ketika melakukan sesi taklimat kursus – saya berdiri dihadapan adik-adik dengan rasa sedikit gugup dan berdebar. Tidak tahu mengapa. Saya berdiri tegak lalu memandang wajah-wajah adik-adik lelaki dan perempuan. Saya melihat sinar cahaya pengharapan yang memancar di mata mereka. Saya kaku seketika.

Ketika itu, Allah SWT mengilhamkan saya untuk memberikan satu panggilan khusus buat mereka. Panggilan yang memberikan satu ruh semangat yang membara dan membangkitkan rasa kepemudaan.

“ Selepas ini, untuk adik-adik lelaki abang akan panggil dengan panggilan SYABAB!.”

“ Dan, adik-adik perempuan abang akan panggil dengan gelaran NISAA’!.”

“Boleh atau tidak?,” Soal saya.

“ Boleh !!!,” Laungan mereka yang kuat itu mengetarkan jiwa saya. Dan – saat itu bagaikan satu kekuatan yang luar biasa menyentap sanubari saya.

Bermula saat itu, saya dan sahabat-sahabat urusetia dan juga fasilitator berikrar, berazam dan bertekad untuk memberikan khidmat terbaik dalam mengenalikan kursus ini. Alhamdulillah, kami mengorak langkah dengan langkahan kesepaduan yang erat!


Nisaa' yang akan mengoncangkan dunia

JDK berlangsung dengan lancar

Saya sebenarnya, tidak mahu menceritakan panjang soal kursus ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dengan izin Allah SWT. Banyak manfaat, ilmu dan pengetahuan berguna yang diperolehi oleh kami dan adik-adik peserta. Saya sendiri, banyak menimba ilmu-ilmu baru. Alhamdulillah. Semoga ia menjadi bekalan dan panduan berguna buat kami di masa hadapan. InsyaAllah.

Cuma dikesempatan ini, saya sebagai kem komandan JDK Zon Timur ingin mencoretkan sesuatu khusus buat sahabat-sahabat – pak cik-pak cik & mak cik-mak cik Urusetia, adik-adik Fasilitator dan juga SYABAB & NISAA’ yang dikasihi. Semoga coretan ini memberikan manfaat.

1)- Penghargaan buat kalian semua kerana memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan kursus ini. Antara perkara yang paling menonjol di dalam kursus ini ialah pengorbanan, komitmen, kesungguhan dan kecekalan dalam memastikan kursus ini berjalan dengan lancar. Ada seorang pak cik datang dari Kuala Terengganu dengan menaiki motornya. Perjalanan yang jauh ditempuhi dengan semangat untuk berkhidmat mendidik dan berbakti. Terharu saya melihatnya. MasyaAllah.

2)- Salah satu cabaran dan dugaan menjadi kem komandan ialah bersiap sedia untuk tidak disenangi, disukai dan digemari. Watak sebagai kem komandan perlu saya gayakan dan persembahkan sebaik mungkin agar saya benar-benar menjiwai perjalanan kursus ini. Ketegasan, sikap prihatin, ceria, sentiasa bersemangat, mampu memotivasi, membangkitkan dan sebagainya perlu saya laksanakan dengan sehabis baik. Ada kalanya, sikap kem komandan ini menyebabkan adik-adik benci dan tidak suka terutama dalam soal disiplin. Saya tiada pilihan – tugas saya harus dilakukan dengan baik. Maafkan abang dalam soal ini!

3)- Banyak peristiwa sepanjang kursus ini telah memberikan satu impak yang baik kepada saya. Ada saat saya tersentuh dan sebak terutamanya ketika berkongsi rasa seaktu sesi REFLEKSI. Saya masih ingat, satu slot sesi refleksi tentang hati. Begitu lembut hati adik-adik peserta apabila disebutkan tentang koreksi hati. Ramai yang mengalirkan air mata apabila saya meminta mereka melihat mata hati mereka sendiri. Gugurnya air mata malam itu, membuatkan saya sebak sendirian.- Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang melekat dihati ku ini.

4)- Kebersamaan dan jalinan persaudaraan kerana Allah SWT membuatkan saya MENYAYANGI, MENGASIHI, & MENCINTAI semua insan-insan yang hadir dalam kursus JDK ini. Ketika membaca doa di dalam mathurat iaitu doa rabitah setiap pagi, selalu jiwa saya terasa kehangatan ukhuwah ini dan pernah suatu ketika saya hampir-hampir mengalirkan air mata membacanya. MasyaAllah, inilah indahnya ukhuwah kerana Allah SWT.


Halaqah Al-Quran - ia menghidupkan hati-hati kami



Perbarisan setiap pagi untuk pemeriksaan bilik dan makluman kursus



Gambar kenangan sebelum berpisah

Akhirnya : KHUSUS buat Syabab & Nisaa’ ( Buat adik-adik peserta JDK Zon Timur)

Tahniah dan Syabas kerana sudah berjaya menamatkan kursus ini. Anda semua adalah insan-insan yang luar biasa.

Antara kenangan indah di dalam kursus ini ialah membaca luahan hati anda kepada abang. Ada luahan yang membuatkan abang tersenyum senang, dan ada juga yang mengharukan jiwa ini. Luahan hati anda ketika refleksi yang pertama membuatkan abang terus berusaha gigih untuk memberi tanpa lalai, alpa dan cuai. Niat ketika itu, adalah untuk lakukan yang terbaik.

Buat Syabab yang tidak puas hati dengan abang kerana ketegasan abang dalam soal disiplin dan peraturan kursus – abang mohon maaf andai ketegasan itu membuatkan anda terbeban, terseksa dan merana. Ikhlas dihati hanya ingin melatih antum berdisiplin dan mendidik dengan lebih beraturan.

Buat Nisaa’ sekalian, ketika membaca luahan hati sesi refleksi ke 2 – ramai dikalangan adik-adik Nisaa’ yang tidak berpuas hati dengan abang ketika sesi War Game petang itu. Hampir mengalir air mata ini membacanya. Terima kasih atas teguran dan luahan itu....

Ya Ilahi, ampunilah segala dosa-dosa ku, kealpaanku, kesilapanku, kelemahanku dan ketidakupayaanku dalam mengendalikan kursus JDK ini. Semoga amalan ku yang sedikit ini terima oleh-Mu sebagai amalan soleh.

JATIDIRI yang sebenarnya, baru bermula. Kepulangan anda dirumah adalah medan sebenar untuk adik-adik mengaplikasikan dan mengoperasikan segala ilmu dan amalan sunnah yang kita lakukan sepanjang kursus JDK ini. Ingat pesanan Cikgu Ishak Yusof di saat akhir sesi Sharing Moment :

“ Jangan jadi hamba JDK tetapi jadilah hamba Allah SWT.” – Amalan yang kita buat bukan kerana JDK tetapi kita buat kerana Allah SWT. Bukan hanya dilakukan semasa kursus JDK sahaja, tetapi harus berterus di mana-mana sahaja.”

Marilah sama-sama kita membumikan motto JDK kita ini iaitu, "Syara sentiasa dihadapan, Allah is number one " di dalam kehidupan kita. InsyaAllah.

InsyaAllah. Semoga Allah menerima amalan kita dan merahmati ukhuwah kita semua.
Sekian

Yang memerlukan doa kalian,

Kem Komandan JDK Zon Timur
2010/2011, ILIM Bukit Keluang, Besut
Terengganu




12 comments:

Qawiem Khairi January 19, 2011 at 2:37 AM  

salam abg ali, lama x dgr berita..
apa khabar? sihat?

tadi bbrp org peserta jdk timur ada dtg m3..
jwpn ringkas drp mrk.
jdk zon timur adlh pling best dan terbaik.
subhanallah !!

Anonymous,  January 19, 2011 at 6:05 AM  

salam...ILIM adalah tempat saya..dekat dengan rumah..tak pernah masuk ke dalam..tp.bangunannya cukup indah...

BroHamzah January 20, 2011 at 7:24 AM  

1)- Alia

Alhamdulillah, sama-sama. Mohon maaf juga atas segala buat adika-adik peserta

BroHamzah January 20, 2011 at 7:25 AM  

2)- MQ

Alhamdulillah, ana dalam proses baik daripada selsema dan batuk-batuk.

Sedang berehat di rumah. InsyaAllah. Alhamdulillah, terbaik buat kami. Semoga Allah ampuni segala kelemahan dan kekurangan

BroHamzah January 20, 2011 at 7:26 AM  

3)- Faris

Rindu kepada siapa?

BroHamzah January 20, 2011 at 7:28 AM  

4)- Anonymous

Benar sekali, tempatnya sememangnya INDAH. Alhamdulillah kami bersyukur atas kurniaan nikmat Ilahi ini.

MasyaAllah

Aisyah Ulya January 25, 2011 at 2:31 AM  

I've no words to say, but tears starts creeping down my face..

I seek for ALLAH and your forgiveness..

May ALLAH loves you our dear Camp Comandant..

T.T >.<

BroHamzah January 25, 2011 at 5:05 AM  

1)- Aisyah Ulya

Thanks for ur comment & sharing here.
May Allah bless u always.

BroHamzah

Anonymous,  January 26, 2011 at 1:51 AM  

trima ksih kpd kem kom n smua..

maaf krn xdpt mmberikan komitmen yg terbaik, wlaupon JDK(timur) adalah yg terbaik..

ana rsa malu kpd kem kom n smua bila demam n letih..

BroHamzah September 20, 2011 at 5:30 PM  

Anonymous

Tidak mengapa. Semoga pengalaman ini benar-benar memberikan pengajaran yang terbaik buat kita.InsyaAllah.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP