Nota Tarbiyah : Genggami Enam Prinsip

Tuesday, October 11, 2011

" Sahabat, genggamilah tanganku yang terjerumus ke lembah kehancuran." - Kalimah yang pernah aku selami dalam perjalanan hidupku yang penuh warna warni.

Bismillahirahmanirahim

Muqadimmah

Memulakan hari dengan meninggalkan sedikit coretan di alam maya buat nasihat, peringatan dan juga – inspirasi – buat diri.

Tiada apa-apa yang inginku nukilkan saat ini. Merenungi sebuah bingkasan pendek penuh makna yang dipetik daripada himpunan tulisan seorang dai yang mengorbankan seluruh kehidupannya untuk Dakwah, Islam dan Allah SWT :- Imam Hassan al-Banna.

Seorang dai, Abbas Asisy - berkomentar tentang Imam al-Banna :

“ Yang boleh aku simpulkan tentang beliau ialah – seorang insan yang telah mengorbankan seluruh kehidupannya untuk dakwah dan perjuangan Islam.”

Tekad sebuah genggaman

Aku membuka semula coretan daripada tulisan As-Syahid Imam Hassan al-Banna yang bertajuk “ Nizamul Amru Wa Risalatutta’aim”. Sebuah tulisan yang ringkas, padat dan sangat-sangat luas skop maknanya jika diteliti, difahami, dihayati dan dihadami.

Bingkisannya, berbunyi : “ Enam Pegangan”. Ringkas sahaja, namun susunan huruf-huruf dan perkataan demi perkataan memberikan gabungan sebuah konsep pegang yang harus dicermati oleh setiap insan.

[1] Deen hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan dia dalam dirinya.

Komentar : Ruh penghayatan Islam benar-benar dirasai kemanisannya bagi yang melalui proses demi proses dalam pembentukan sahsiah muslim. Ianya, bukan berbentuk konsep, teori, berfalsafah atau slogan-slogan kosong tetapi, proses jelmaan dalam keperibadian diri.

[2] Bahagia dan sa’adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.

Komentar : Kata kunci kebahagiaan itu terletak kepada tiga iaitu yakin, benar dan adil. Ketiga-tiganya didasari dengan akar yang kukuh, kuat dan padu ialah keimanan yang tulen kepada Allah SWT. Kita berhak untuk memilih kebahagiaan, kerana itu pilihlah kebahagiaan yang asli.

[3] Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahankan penderitaan dan kepapaan.

Komentar : Janji Allah SWT memberikan kemenangan kepada hamba-hambaNya yang melalui liku-liku perjuangan yang panjang dengan bibit kesabaran yang sangat dalam. Sabarnya terbukti dalam sanggup pengorbanan, bertahan dengan penderitaan dan redha dengan kepapaan. Pengorbanan adalah salah satu kunci membuka potensi untuk menjadi pejuang atau rijal yang tinggi ruhaninya dan menjulang himmahnya.

[4] Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada Mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

Komentar : Mukmin yang jiwa dan hatinya sentiasa terikat dengan Allah SWT adalah lambang titik mula kejayaan dalam perjuangannya. Buah kesabaran itu berbenih daripada kebersihan, kesucian dan kejernihan yang suci dalam beriman kepada Allah SWT.

[5] Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan, kerana makna dan guna hidup terletak kepada keyakinan dan perjuangan.

Komentar : Kehidupan tanpa sebuah keyakinan dan genggaman perjuangan adalah kehidupan yang kosong, hambar dan tiada harapan. Manusia yang punyai perjuangan, adalah manusia yang terarah.

[6] Belajarlah menfanakan diri untuk kepentingan cita-cita dan Islam.

Komentar : Meleburkan hayat dalam menggapai dan memenuhi cita-cita Islam adalah suatu bentuk kemuliaan pemberian Allah SWT. Menjadi manusia yang terpilih untuk menegakan syiar Islam adalah suatu bentuk kehidupan yang mendekatkan jiwa kepada Allah SWT. Itulah kenikmatan dan kemanisan yang tertinggi dalam menjadi hamba Allah SWT.

Kalimah Akhirah

Lebaran itu, aku tutupi rapat. Menilai semula akan “pegangan” yang dibingkaskan oleh Sang Dai yang telah pergi. Beliau membenarkan segala pegangan dan prinsip-prinsip yang dinukilkan dengan sebuah pengakhiran yang indah. – Tersenyum dalam lenanya yang panjang.

Aku ini tiada apa-apa. Pemuda yang tidak berharta, tiada nama dan apa-apa. Hajat jauh disanubari, ingin meninggalkan alam ini - menuju detik-detik pertemuaan dengan Ilahi dalam keadaan diredhai-Nya. Puas mengembara, letih dalam pendakian dan lelah meneliti dan mencari-mencari akan jalan yang boleh mendekatkan aku kepada Rabbi.

Ternyata : Tiada jalan yang lebih “mulia” untuk itu kecuali mengikuti jalan yang dirintis oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA. Itulah jalan yang menyelamatkan, membahagiakan dan menjaminkan!. Itulah kesimpulan yang mampu dibuat dengan keterbatasan ilmu, pengetahuan dan pengalaman.

Aku masih bertatih ke arah itu. Wahai teman, rakan dan sahabat yang budiman – bantulah dan bimbinglah aku. Jangan kalian meninggalkanku di lorong-lorong kegelapan yang menghinakan.

“ Pimpinlah tangan yang kotor, jijik dan hina ini – agar aku bersama-sama gerombolan kalian.”- DAN - Aku ingin bersama kalian menuju Syurga-Nya.”

BroHamzah
12 Oktober 2011
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

2 comments:

SINCERE SERVANT October 11, 2011 at 11:31 PM  

T_T subhanallah...
perkongsian yang sangat-sangat menyentuh...

p/s: Abang, bawa balik buku IHAB tu kejap ke rumah, boleh kan? Hajat nak baca juga... tak pernah 'came across' lagi rasa-rasanya...syukran buah hatiku... ^^

BroHamzah October 12, 2011 at 12:45 AM  

Sincere Servant

InsyaAllah, abang akan bawa balik.InsyaAllah
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP