Gagal = Fail, Bukanlah Penghujung Kehidupan

Tuesday, November 13, 2012





Anda pernah rasai keperitan sebuah kegagalan, kejatuhan dan kekalahan?
Jika pernah, anda adalah insan yang hebat!


-----

Jam sekitar 3.30 pagi.

Peti mesej handsetku berbunyi. Aku begitu sensitif sebenarnya dengan “gangguan” luar yang menjengah di ufuk lenaku yang menyenangkan. Lalu, dengan mata yang kabur ku capainya dalam kegelapan yang ada.

1 Mesej.

“ Salam abang Ali. Saya F bekas student SMK XX. Sekarang tengah belajar sambung diploma di UYY. Dah nak masuk semester last. Saya baru dapat result semester 5, result saya fail 2. Rasa sangat kecewa, saya dah buat habis baik, sedangkan kawan yang saya tolong ajar diaorang lulus. Saya dah macam hilang semangat. Saya perlu nasihat abang Ali. Tolong saya.. Maaf ganggu.”

Aku termenung lama jua. Mengingati siapa pelajar lelaki ini. Samar-samar ia hadir dalam minda dan memoriku. Salah seorang adik yang pernah aku santuni dalam beberapa siri program motivasi kesedaran di Perlis beberapa tahun yang lalu. Bagus orangnya. Ada kesedaran yang tinggi dan punyai semangat untuk berubah.

Pagi itu seusai subuh aku membalas mesejnya untuk membangkitkan semangatnya yang kian hilang dan pudar. Pahit rasanya melalui kegagalan, kekalahan dan kejatuhan. Tetapi, itulah juga perkara yang pernah aku lalui sebelum ini. Sebelah malamnya - aku titipkan sedikit bingkasan buatnya melalui emel.

----------
Assalamualaikum, F.

Terima kasih atas perkongsian perasaan. Semoga berada dalam kekuatan jiwa dan perasaan.

Semoga Allah SWT iringi kehidupan F dengan kasih sayang dan cinta-Nya. Insan beriman amat yakin bahawa setiap ujian,musibah dan dugaan adalah penghapus dosa dan juga tanda kasih Allah SWT terhadap kita.

Saat inilah doa, munajat dan tangisan kita amat berharga. Kerana apa?

Kerna kita amat-amat perlukan Allah SWT, Dialah Rabb tempat meluah dan mengadu. Jadikan ia sebagai titik untuk F kembali muhasabah masa yang lalu.Jika benar ini adalah satu teguran daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan redha, pasrah dan tenang.

F yang budiman,

Gagal, bukanlah penghujung kehidupan tetapi ia adalah langkah untuk semak, baiki dan bangun semula untuk jadi lebih baik. Justeru, susun semula kehidupan dan laluinya dengan keimanan, keyakinan, kepasrahan kepada Allah SWT.

Jika ada masa terluang jemputan singgahan satu laman web yang punyai motivasi untuk bangkit dan membina jiwa.


Lihatlah dan ambilah manfaat daripadanya.

Sekian.

//aali

-----------------------------

Aku temui ramai insan-insan yang melalui pelbagai detik-detik kegagalan, kejatuhan dan kekalahan yang memeritkan. Mereka terpaksa menempuh pengalaman yang mencengkam perasaan sehingga kekecewaan, kesedihan dan kepiluan itu terpaksa ditelan dengan kepasrahan tanpa rela.

Namun, mereka bangkit semula. Bangun dengan sebuah harapan dan asa. Digenggam dengan penuh hasrat, cita dan kuasa. Mereka bangkit untuk terus berjuang hingga ke akhir usia!

Warna Warni Kehidupan

Inilah kehidupan. Perjalanannya sungguh memenatkan. Apa tidaknya, semakin ke hujung semakin banyak pula ujian-ujian, cabaran-cabaran dan dugaan demi dugaan. Justeru, biarpun begini - kehidupan ini tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu.

Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu diukir dengan keindahan, keceriaan dan kegembiraan. Hari-hari yang baru adalah saat yang terbaik untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Hari untuk menukilkan karya baru yang lebih unggul, terbaik dan memberikan kepuasan kepada hati dan nurani.

Tiada istilah kalah, gagal atau fail – tetapi kejayaan dan kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran, ibrah dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini.

Justeru, laluilah ia dengan ketabahan, kecekalan dan kesungguhan. InsyaAllah – inilah modal yang perlu dilaburkan untuk melihat senyuman penuh kepuasan di masa hadapan.

Berjuang Untuk Berubah!
BroHamzah

6 comments:

Qawiem Khairi November 14, 2012 at 5:25 AM  

Bingkisan melalui email itu seakan penawar kepada diri ini jugak. Terima kasih abu mukhlisah.

Moga Allah teguhkan hati abg ali dan family di atas jalanNya. Amin.

Izzati Hashim November 15, 2012 at 4:13 AM  

Salam alaik.

Kegagalan itu memang menyakitkan.
Malu. Tersisih. Terkebelakang.

Tapi,
di saat itulah sedar bahawa segalanya dari Dia.
Di saat itulah, terasa pergantungan yang disandarkan pada Dia.

Kerna kegagalan mengajar erti tawaduk.
Dengan kegagalan Allah salur kekuatan lebih dari orang biasa.

Optimislah! (=

Rintihan HambaMu November 17, 2012 at 4:51 AM  

Assalamualaikum..
Allah...terkesan baca entry nie..
Gagal di dunia tidak bererti Allah tidak sayang padanya..
“Dan kami pasti akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
(Q.S. An-Nahl : 96)

BroHamzah November 17, 2012 at 6:14 AM  

Pelaut Rabbani

Semoga bingkisan ini menjadi penawarnya buat kita semua. Dikongsikan untuk manfaat bersama. InsyaAllah

BroHamzah

BroHamzah November 17, 2012 at 6:16 AM  

Izzati Hashim

Malu. Tersisih. Terkebelakang.
Ia adalah lalui yang pernah ditempuhi oleh kebanyakan juang masa kini.

Justeru, untuk menjejaki para pejuang masa lalu - kita harus ikuti jejak langkah mereka.

BroHamzah

BroHamzah November 17, 2012 at 6:17 AM  

Srikandi Permata

Walaikumusalam, syukran atas perkongsian dan cetusan yang bermakna.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP