Air Mata
Semalaman aku duduk terpaku
memikirkan tentang diri sendiri. Ada kalanya hati rasa begitu sayu.Ada saatnya
terasa begitu hiba. Tidak semena, air mata mengalir. Manik-manik jernih
mengalir laju membasahi pipku.
Aku sebenarnya baru sahaja membaca
satu artikel yang ditulis oleh Murabbi yang sangat hormati, al-marhum Ustaz
Dahlan Mohd Zain (UDMZ). Kupasannya sangat menyentuh. Dan paling aku
tersentuh adalah pada tajuknya." Titisan Air Mata Lantaran Dakwah
Kehilangan Dai',".
Dunia Dakwah pada hari ini
kehilangan dai yang berjiwa kental, berkemahuan tinggi dan berhati sufi. Medan
ini benar-benar menguji sehingga ramai yang pernah menapak dalam semaian
tarbiyah, hanyut dibawa oleh arus dunia yang ganas, deras dan dahsyat.
" Jahiliyah mencengkam
jiwa-jiwa putera-puteri yang pernah kita didik sehingga mereka tewas," Masih
terngiang-ngiang kata-kata seorang Ustaz.
" Jalan ini, jalan yang
panjang. Tidak semua mampu bertahan dengan jalan ini." Kata
seorang sahabatku. Aku mulai melihat diriku sendiri. Semakin hari semakin
banyak ujian, cabaran dan mehnah yang hadir dalam kehidupan ini. Aku sedar dan
tahu inilah sunnah kehidupan. Inilah warna-warni kehidupan yang perlu aku
tempuhi.
" Anta perlu pelbagaikan
warna dalam hidup enta. Kehidupan yang hanya dengan satu warna adalah kehidupan
yang kosong dan hambar. Warna-warni kehidupan akan mengajar kita untuk lebih
matang dan dewasa. Jangan takut untuk menghadapi kesusahan dan kepayahan.Ada
masanya anta perlu susah dan merasai kegetiran. Dengan kesusahan inilah, jiwa
anta akan lebih peka, halus dan sensitif."
Inilah nasihat daripada seorang murabbiku
- Abu Umar. Kata-katanya sentiasa bermain-main difikiranku. Kata-kata jiwa
untuk meningkatkan lagi syuur untuk terus bertapak pada jalan dakwah dan
tarbiyah ini.
Istiqamah – Ia sukar?
Wahai sahabat ikhwah sekalian, ayuh
kita bangkitkan syuur kita untuk mempersiapkan diri untuk sentiasa istiqamah
pada jalan dakwah dan tarbiyah. Jalan yang akan membersihkan diri kita dan
memelihara kesolehan hati serta kejernihan niat kita kepada Allah SWT. Jadikan
kehidupan ini sebagai kehidupan untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang
sukar. Bersabarlah kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan dari
keimanan yang benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang baik segala
keputusan, ketentuan dan ketetapan Allah SWT disamping meyakini hikmah yang
tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan,
keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.
Marilah sahabat-sahabat yang budiman, kita bina
keimanan yang benar kepada Allah SWT. Kuatkan pergantungan kepada Allah SWT.Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan
seperti sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit
menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung
menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika
perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap
kali berdepan dengan kegagalan.
Ayuh Pemuda, kita bangkitkan Ruh kita! Ruh untuk mendidik dan berbakti kepada
Manusia. Usah kecewa dan kesal dengan karenah manusia. Bersabarlah.Kerana Buah
kesabaranmu itu adalah kejayaan yang sebenarnya disisi Allah SWT.
Nasihat Terakhir
Aku masih ingat pada 15 Februari 2010, ketika
aku bersama Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dengan beberapa orang sahabat diberi
kesempatan oleh Allah SWT untuk menziarahi UDMZ sebelum beliau kembali ke
rahmatullah, alhamdulillah ketika itu UDMZ kelihatan ceria dan semakin sihat.
Ustaz sempat berkongsi syuur dan memberi kami nasihat sebagai bekalan dakwah.
Teringat kata Ustaz :
“ Ana dah
bazirkan banyak masa muda ana dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat.
Pada umur 31 Tahun baru ana dapat kesedaran Islam. Antum patut bersyukur kerana
umur semuda ini sudah diberi taufiq dan kesedaran oleh Allah SWT.”
Kata-katanya masih segar dalam ingatanku
ini. Usiaku, masaku, kudratku dan segala tenagaku benar-benar banyak
dibazirkan.
------
BroHamzah
Medan Menulis Tidak Sama Dengan Medan
Bercakap
Medan Bercakap Tidak Serupa Dengan Medan
Beramal
Medan Beramal Tidak Sama Dengan Medan
Berjihad
Berjihad Di Medan Yang Sebenar!
2 comments:
Terima kasih Abang Ali atas ingatan dan nasihatnya. Sungguh saya terbawa untuk sama berfikir, adakah saya mampu kekal di jalan ini. Moga Allah kekalkan saya dalam kebaikan.
iqbalsyarie
Semoga ianya bermanfaat. Kita berusaha seikhlas mungkin + berdoa + beramal + bertawakal hanya kepada Allah SWT. Semoga amal yang kerdil ini diterima di sisi Allah SWT.
BroHamzah
Post a Comment