Himmah Membara, Ia Semakin Pudar

Sunday, March 21, 2010

Kita lesu, kerana himmah kita kian pudar akhi..


Himmah Membara
Oleh : BroHamzah

Perkongsian yang sangat bermakna

Hujung minggu lepas, saya bermusafir dengan seorang Murrabi yang sangat berpengalaman dalam amal Islami dan sangat bersungguh-sungguh dalam dakwah dan tarbiyah. Bermula pada hari Selasa lepas sehingga pada hari Khamis, banyak perkongsian ilmu, pengalaman, dan tips-tips peningkatan diri telah dicurahkan kepada saya dan seorang lagi teman saya iaitu Ustaz Zulkifli Mohamed.

Murrabi yang saya maksudkan ialah Abu Munzir. Sepanjang masa bersamanya, bibirnya sentiasa membakar semangat kami dengan kalam-kalam nasihat, tidak jemu bercerita kisah-kisah yang dilaluinya dalam proses tarbiyah dan sentiasa membangkitkan syuur kami untuk sentiasa berada dalam keadaan sedar untuk diproses diri serta hati agar dekat dengan Allah SWT.

Beliau tidak berhenti bercakap, bercerita, berkongsi, bergurau dan berceramah sepanjang hari. Tiada riak wajah keletihan dan kepenatan. Seolah-olah beliau sangat bahagia dan gembira dalam berkongsi cerita. Saya yakin, beliau bahagia dengan memberi. Daripada pagi sehingga ke malam, beliau sedaya upaya menyampaikan kalimah Allah ini dengan sedaya upaya yang mungkin.

Lemahnya Himmah

Saya teringat, ada satu ceramahnya Abu Munzir ada menyebut tentang realiti pemuda yang ada pada hari ini.



“ Salah satu fenomena yang ada pada diri para remaja dan pemuda dewasa ini ialah lemahnya HIMMAH mereka dalam kehidupan seharian. Tanpa Himmah dalam jiwa, segala perbuatan kita adalah lemah, tidak bersemangat dan kurang mutunya.”

Hilangnya himmah dalam jiwa menyebabkan apa jua yang dilakukan terasa hambar, kosong dan tidak bertenaga. Semua yang dilakukannya, ibarat melepaskan batuk di tangga. Tiada kesungguhan, tiada perasaan yang membara malah kelesuan itu yang menyebabkan segala yang dilakukan kelihatan kaku dan tidak bermaya.


Seorang sahabat saya pernah menasihati saya :


" Akhi, Kita lesu, kerana himmah kita kian pudar."


Himmah yang dicari


Himmah, adalah sesuatu yang diminati untuk dikerjakan. Al-Himmah adalah faktor yang mendorong untuk mengerjakan sesuatu dengan bersemangat dan bertenaga. Ada juga yang menyatakan bahawa ia adalah hasrat yang kuat atau cita-cita yang tinggi.

Ibnul Qayyim dalam Madarijus- Salikin menyatakan : “ Himmah adalah awal hasrat. Secara khusus, orang-orang mengertikannya sebagai puncak hasrat. Hammu adalah permulaan hasrat, dan himmah adalah puncak hasrat.”

Letak Himmah ada di Hati

Himmah adalah pekerjaan hati, dan yang dapat menguasai hati adalah pemiliknya sendiri. Sebagaimana burung yang terbang dengan menggunakan sepasang sayapnya, manusia terbang menggunakan himmah atau hasratnya yang akan membawanya ke puncak tertinggi.

Imam Ibnul Qayyim RA mengatakan, : “ Ketahuilah, sesungguhnya seorang hamba yang mampu menempuh langkah-langkah perjalanan menuju Allah SWT adalah kerana tekad hati serta hasratnya, bukan kerana tubuhnya. Pada hakikatnya, takwa adalah takwanya hati, buka takwanya anggota tubuh.”



Allah SWT berfirman :



“ Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengaungkan syiar-syiar Allah, maka sesunggunya itu timbul dari ketakwaan hati.”


(Al-Hajj : 32)

Orang yang cergas adalah orang yang menempuh perjalanan dengan semangat yang sihat, himmah(cita-cita) yang tinggi, tujuan yang baik, dan niat yang benar. Sesungguhnya dengan himmah dan rasa cinta yang membara dan hangat itu dapat menghilangkan segala kepayahan, kesukaran dan kegetiran, dan malah diberi nikmat kemanisan iman dalam meniti perjalanan menuju Allah SWT.

Saya masih ingat, ketika saya bersama Abu Munzir dan rakan-rakan di dalam LRT sebaik sahaja baru pulang daripada Pameran Buku Antarabangsa. Ketika masing-masing dalam keletihan dan kepenatan, Abu Munzir ada menyebut :



“ Bagi seorang dai’, kepenatan dan keletihan adalah satu kenikmatan dan kemanisan yang mengalir dalam hati dan jiwanya.”



Jawapan ini, adalah jawapan keimanan yang di dalam jiwanya ada himmah yang membara. Biar pun penat, kemanisan itulah yang dicari.


Ada benar ungkapan ini :


“ Himmah yang tinggi, kehendak yang membara, dan semangat pencarian yang kuat, adalah sebahagian dari kesempurnaan hidup.”

Ibrah untuk jiwa

Tanya pada diri, jika kita ini sentiasa lesu dan tidak bermaya.



Adakah kita masih mempunyai sekelumit himmah dihati dan ada pengharapan untuk memiliki sebuah perjuangan kehidupan



Apa gunanya hidup, jika ingin seperti kebanyakan insan


Bangun, makan, kerja, tidur dan bergembira sahaja.


Syukurlah sekiranya masih dikurniakan dalam hati, perasaan ingin membela deen Allah SWT dan dianugerahi perasaan untuk berjuang mempertahankan iman di sanubari.

Untuk memiliki himmah yang tinggi, pastinya kita akan menempuhi jalan kesukaran. Itu sudah pasti.



Sebagai penutup, saya kongsikan satu syair Arab yang menusuk hati.



Seorang penyair bermadah ;



Katakan kepada orang yang mengharapkan sesuatu yang tinggi,
“ Tanpa bersusah payah, kamu hanya mengharapkan sesuatu yang
mustahil”

Penyair lain menyatakan ;

Kenistaan itu ada pada jiwa yang kerdil dan aku tidak melihat kemuliaan kehidupan mulia, tanpa dilalui dengan bersusah payah




Jadi bagaimana untuk tingkatkan perasaan Himmah ini?




Jawapannya,




Go back to the basic


"baiki hati dan hubungan dengan Allah SWT."

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP