Baitul Muslim ; Satu Perkongsian

Friday, March 19, 2010

“ We get married to increase our iman. Please do not sin!!.”


Pembentukan Baitud Dakwah : Peringkat Kedua Dalam Merealisasi Rukun Amal
Seminar Baitul Muslim Kebangsaan 2010
Kolej Zaaba, UKM (20 Mac 2010)

Oleh : Tuan Haji Rosdi Bin Baharom ( Abu Munzir)
http://tinta-tarbawi.com/


Marilah kita memanjatkan kesyukuran ke atas kepada Allah SWT di atas nikmat kehidupan yang diberikan oleh Allah SWT. Pernah suatu masa dahulu ana merasai satu perasaan kebimbangan yang bersangatan untuk tidur di waktu malam. Bimbang sekiranya jika tidur itu, keesokannya ana tidak akan bangun lagi. Takut sekiranya, ana tidak akan bangun buat selama-lama daripada tidur yang sementara.

Sebelum mulakan majlis ini, ana ingin melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana mempertemukan dengan generasi harapan Islam. Antumlah generasi yang akan mewarisi kegemilangan Islam. Mudahan majlis pada pagi ini akan merahmati kita semua dalam amal islami ini.


Kenapa kita bincangkan tajuk ini secara serius?

Pembentukan Baitul Muslim, adalah benteng untuk mendapat keredhaan Allah SWT.Istilah baitul muslim atau baitud dakwah itu tidak menjadi masalah. Mungkin juga kita boleh namakan juga baitud jihad. Ia merupakan kubu’ bagi menghadapi suasana pada masa kini. Ia merupakan peringkat kedua dalam rukun amal selepas pembentukan individu muslim. Ana mulakan penyampaian pada pagi ini dengan satu pesan sebagai MINDSETTING kita semua.


Satu pesanan


Kemampuan sesuatu umat atau bangsa hanya mampu memelihara kelangsungan bangsa bergantung kepada sejauh mana sesuatu bangsa itu mampu membangunkan satu generasi yang mampu melaksanakan tuntutan agama. Justeru, penyediaan generasi mendatang perlu dibangunkan dengan penuh kerapian dan kesungguhan. Pembinaan ini mestilah berdasarkan pembinaan aqidah yang mantap dan dinamik.


Pertarungan yang kita tidak sanggup ditewaskan


Musuh Islam memahami hakikat pentingnya pembentukan generasi mendatang dan musuh Islam juga memahami pembentukan ini berasakan aqidah salimah. Mereka tahu, kita memerlukan generasi pewaris dalam meneruskan perjuangan mempertahankan aqidah ini. Musuh Islam juga merancang dan membelanjakan apa juga untuk memisahkan generasi mendatang dari aqidah ini. Kita tidak boleh tewas dalam proses pembentukan generasi ini.


Maka pertarungan yang hebat ini adalah antara kita yang bersungguh-sungguh menyediakan generasi baru, yang dibekali dengan sebanyak mungkin sifat-sifat yang kuat, dengan musuh yang sanggup melakukan apa sahaja untuk melenyapkan aqidah ini dari generasi mendatang ini.


Krisis pembentukan generasi pewaris


Apabila berlakunya kecacatan dalam proses pembentukan generasi pewaris maka kesannya akan memberi sesuatu impak yang besar kepada generasi pewaris ummah Islam. Satu hakikat yang sukar ditolak dalam pertembungan kita dengan Jahiliyah ialah ia merupakan pertembungan sosial dalam kehidupan seharian. Inilah gelanggang bertembungan yang sangat dahsyat yang berlaku pada era ini. Gelanggang pertembungan antara Islam dan Jahiliyah.


Wasilah Asasiyah


Satu wasilah asasi untuk masuk ke gelanggang ini ialah dengan berbentengkan sebuah keluarga muslim dengan anggapan bahawa ia mewakili sebuah masyarakat yang sebenarnya. Bagi seorang dai’ , wasilah ini bertujuan melahirkan satu kelompok dakwah. Keluarga adalah tempat pengasuhan dan tiang seri yang mendokong masyarakat Islam. Tempat pemeliharaan anak-anak yang sedang tumbuh membesar, yang mampu mengembangkan fizikal, daya pertimbangan dan jiwa mereka.

Namun, realitinya anak-anak kita dibesarkan oleh tangan-tangan orang lain. Maka seharusnya kita sedar, proses pembentukan keluarga muslim adalah tanggungjawab kita. Ana teringat satu kata-kata yang disampaikan oleh seorang pendakwah United Kingdom (UK), Hisham Al-Awadi.

Kata Hisham Al-Awadi :
“ We get married to increase ou iman. Please do not sin!!.”


Kita berumah tangga untuk membina/ meningkatkan iman. Jadi, tolonglah jangan lakukan DOSA. Dosa ini adalah satu bebanan dan akan mencacatkan pembinaan rumah tangga yang kita bina.Oleh itu,jangan bina rumah tangga atas dosa. Syaitan akan bertungkus lumus untuk gagalkan kita dan galakan kita berbuat dosa dalam membina baitul dakwah.


Rukun AMAL menurut Al-Banna

“ Yang dikatakan dengan AMAL adalah buah ILMU, PEMAHAMAN dan IKHLAS.” Sedangkan urutan amal yang dituntut dari seorang anggota jamaah yang munazim serta memiliki jiddiyah adalah :

Pertama, pentingnya pembentukan individu yang kuat.
Kedua, ialah pembentukan keluarga muslim yang terancang. Dan pada hari ini, fokus kita ialah pembentukan dan pembinaan baitul muslim.

Tegakan Baitud Dakwah


Kewajipan kita adalah perbaiki diri sendiri dan menyeru orang lain ke jalan Allah merupakan kewajipan asasi. Di samping dua kewajipan tersebut terdapat kewajipan lain yang tidak kurang pentingnya iaitu MENEGAKKAN BAITUN DAKWAH.

Kita sangat memerlukan Baitud Dakwah teladan sebagai tiang yang kuat dalam pembangunan masyarakat Islam. Ia adalah tapak subur bagi tunas-tunas baru. Ia bertanggungjawab mencetek generasi anak yang akan menjadi pewaris masa depan untuk survival ummah Islam.

Pemilihan calon pasangan


Maka, untuk membangunkan yang dilandasi TAQWA, seorang muslim wajib memilih pasangan yang baik keislamannya, dan memahami tugas risalah hidupnya. Kita perlu fahami bahawa suami, Isteri dan anak-anak sebagai sumber pahala.


Memilih pasangan yang akan menjadi SAHABAT DAKWAH yang baik, yang selalu mengingatkannya bila lupa, memberi dorongan berdakwah dan menghalanginya. Perjalanan ini jauh, selalu ditusuk duri, tergelincir dalam lumpuh, dan banyak ranjaunya. Maka, kita benar-benar berhajatkan kepada pasangan yang soleh, solehah dan musleh.


Mustafa Masyhur ada berpesan :


“ Seorang puteri Muslim sejati tidak patut menerima seorang pemuda yang akan menjadi pasangan hidupnya kecuali ia adalah seorang muslim sejati yang mendukung dakwah islamiyah.”

Individu yang ingin kita pilih adalah individu yang mana ruh dakwah menyala dalam hatinya. Jiwa nya besar dengan cita-cita dakwah.Dan calon impian kita adalah calon yang Allah SWT melihatnya dengan penuh rahmat.


Rumah tangga yang ingin dibangunkan itu sepatutnya menjadi pusat pancaran cahaya. Pusat dakwah islamiyah. Pada dirinya adalah TARBIYAH. Ciri-ciri keimanan yang Allah kehendaki dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT. Niat utama baitul muslim ialah meningkatkan iman kepada Allah SWT. Ia akan menjadi teman dakwah dan jihad.

Berusahalah membangunkan baitu dakwah agar terwujud rumah tangga itu sebagai projector yang memancarkan cahaya dan petunjuk kepada orang-orang yang bingung dan sesat di sekitarnya. Inilah adalah salah satu jalan dan dasar yang penting dalam tarbiyah Islamiyah.

Penutup

Ayuh wahai pemuda pemudi yang menjadi harapan ummah. Di tangan antum, tersimpannya suatu harapan dan cita-cita kami generasi lama. Ayuh kita teruskan fasa pembinaan amal ini ke peringkat amal seterusnya iaitu rukun pembentukan baitul muslim dengan dorongan keimanan dan berpaksikan aqidah Islamiyah.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP