Mauqif Sirah - Masyhur di Persada Langit

Monday, March 22, 2010

Membina kebahagian melalui pemilihan pasangan hidup


Mauqif Sirah – Julaibib RA, Sahabat Masyhur di Langit


SIRAH UNTUK DIDALAMI



Mendalami, menghayati dan mecontohi Sirah para sahabat RA adalah salah satu daripada wasilah dalam memproses diri. Seharusnya kita menjadikan mereka sebagai role model, qudwah yang hidup untuk kita contohi.



Seorang sahabat saya, Ustaz Ahmad Muhtad Yusof, selalu mengambarkan bahawa para sahabat yang didik oleh Rasulullah ini “dirasuk” oleh keimanan sehingga lahirlah peribadi-peribadi yang sangat hebat dan unik.



Saya ingin kongsikan satu Sirah yang sangat menyentuh hati saya tentang seorang sahabat Rasulullah SAW yang tidak terkenal malah namanya jarang disebut-sebut dalam Sirah.Tetapi sahabat ini Masyhur di langit sana.



Kita akui beberapa nama yang terselit dicelah-celah lipatan sejarah yang mungkin tidak dirasai oleh masyarakat dizaman mereka tetapi ternyata nama-nama mereka masyhur di persada langit.

SAHABAT NABI YANG BERBUDI



Julaibib RA pemuda miskin yang tak berharta dan rupa. Hidupnya merempat bahkan suatu hari ia lalu didepan baginda Rasulullah SAW lalu ditegur lembut oleh baginda SAW' "Apa kamu tidak ingin berkahwin wahai Julaibib" lalu responnya ringkas "Dengan siapa ya Rasulullah SAW?"



"Siapakah orang yang sanggup mengahwinkan puterinya pada saya?" Ya, siapa yang sanggup mengahwinkan anaknya dengan pemuda hodoh dan hitam serta tiba di Madinah tanpa diketahui nasab keturunannya. Sedangkan tidak tahu nasab keturunan itu adalah satu kecacatan sosial bagi masyarakat arab. Kainnya usang. Pakaiannya lusuh. Kakinya pecah-pecah tak beralas. Tak ada rumah untuk berteduh. Tidur merempat berbantalkan tangan, berkasutkan pasir dan kerikil. Tak ada harta. Minum hanya dari kolam umum yang diceduk dengan tapak tangan yang hitam dan kasar.

Abu Barzah, pemimpin Bani Aslam, pernah berkata tentang Julaibib, “Jangan pernah biarkan Julaibib masuk diantara kamu! Demi Allah jika dia berani begitu, aku akan melakukan hal yang mengerikan padanya!” "Dengan siapa ya Rasulullah SAW?" "Adakah orang yang sanggup mengahwinkan puterinya pada saya?" Ya, itulah jawapan Julaibib dengan penuh ketenangan tanpa sedikitpun tanda-tanda kesal dan kecewa.


Jawapan dari seorang yang jiwanya penuh keimanan. Dia sentiasa berada di saf depan ketika solat jemaah ataupun peperangan. Hatinya penuh ketaqwaan dan kepasrahan, jiwanya adalah sarang kebahagiaan dan qanaah (merasa cukup dengan apa yang ada). Hari berikutnya, ketika bertemu dengan Julaibib, Rasulullah bertanya lagi. “Julaibib, tidakkah engkau mahu berkahwin?”. Dan Julaibib menjawab dengan jawaban yang sama. Begitu, begitu, begitu.



Tiga kali. Tiga hari berturut-turut. Dan di hari ketiga itulah, Nabi SAW memegang lengan Julaibib dan membawanya ke salah satu rumah seorang pemimpin Anshar. “Aku ingin”, kata Rasulullah pada si empunya rumah, “Menikahkan puterimu.” “Betapa indahnya dan betapa barakahnya”, Begitu si wali menjawab berseri-seri, mengira bahawa Nabi lah calon menantunya. “Ooh.. Ya Rasulullah,ini sungguh akan menjadi cahaya yang menyingkirkan kesuraman di rumah kami.” “Tetapi bukan untukku”, kata Rasulullah, “Ku pinang puterimu untuk Julaibib” “Julaibib?”, nyaris terpekik ayah si gadis jelita itu.



JAWAPAN KEIMANAN



“Ya. Untuk Julaibib.” “Ya Rasulullah”, terdengar helaan nafas berat. “Saya harus berbincang dengan isteri saya tentang hal ini” “Dengan Julaibib?”, isterinya berseru, “Bagaimana mungkin? Julaibib berwajah hodoh, tak bernasab, tak berkabilah, tak berpangkat, dan tak berharta. Demi Allah tidak. Tidak akan pernah puteri kita dikahwinkan dengan Julaibib” Perdebatan itu tidak berlangsung lama. Si puteri dari balik tirai berkata dengan nada lembut, “Siapa yang meminta?” Si ayah dan si ibu lalu memberi penjelasan. “Apakah ibu dan ayah hendak menolak permintaan Rasulullah? Demi Allah, kirim aku padanya. Dan demi Allah, kerana Rasulullah yang meminta, maka takkan ia akan membawa kehancuran dan kerugian bagiku”. Si gadis yang solehah lalu membaca ayat ini :



“Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan perempuan beriman, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan lain tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata” (QS. Al Ahzab : 36)


Dan Nabi SAW dengan tertunduk berdoa untuk gadis solehah, “Ya Allah, limpahkanlah kebaikan atasnya, dalam kelimpahan yang penuh barakah. Jangan Kau jadikan hidupnya payah dan bermasalah..” Akhirnya terbinalah rumahtangga di atas dasar iman. Sehinggalah seruan jihad berkemundang lalu Julaibib seperti biasa menyahutnya tanpa ragu-ragu dan berat. Dia membunuh 7 orang kafir hingga dirinya sendiri syahid. Setelah selesai peperangan datang sahabat melaporkan nama-nama yang syahid tetapi ia terlupa melaporkan kesyahidan Julaibib. Ya, mungkin nama Julaibib tidak sepenting pejuang lain. Namun Rasulullah SAW merasai sedikit keanehan.



"Tapi aku merasa kehilangan Julaibib." Kata Rasulullah SAW lalu dicari hingga bertemu jenazah Julaibib dalam keadaan tertutup pasir. Lalu Rasulullah SAW membersihkan pasir dari wajahnya dengan tangan baginda yang mulia sambil bersabda "Ternyata engkau telah membunuh 7 orang musuh, kemudian engkau sendiri terbunuh. Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu. Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu. Engkau termasuk golongan ku dan aku termasuk golongan mu."


MASYA ALLAH



Ketika pertama kali membaca sirah ini, hati saya sangat mengagum insan yang bernama Julaibib ini dan juga puteri solehah yang akhirnya menjadi isteri Julaibib ini. Kisah ini adalah kisah keimanan dan kepasrahan yang sangat besar pengajarannya buat kita.


Dalam soal pemilihan pasangan hidup, bukanlah kecantikan rupa paras, kemewahan harta dan keturunan yang berpangkat itu menjadi faktor utama pemilihan. Tetapi faktor agama atau deen itu diletakkan sebagai ASAS pemilihan.



Pasangan hidup yang ingin kita pilih itu haruslah SOLEH/ SOLEHAH, sukakan kebaikan, jiwanya penuh dengan cita-cita serta hasrat untuk membaiki diri dan yang terpenting ia berada dalam jalan untuk memproses diri menjadi hamba Allah SWT yang berTAQWA.

SUKAR?



“ Susah lah hendak cari pasangan yang macam tu, ustaz,” komen seorang pelajar kepada saya.


Saya terdiam. Dan teringat satu kata-kata Abu Munzir.



“ Kita, jangan CARI tetapi kita MINTA dengan ALLAH SWT.”



Jawapan ringkas. Tetapi menuntut supaya dia berfikir, ikhtiyar dan berusaha.


“ Kalau kamu hajatkan yang SOLEHAH, kamu SOLEHkan diri kamu dulu. Ini fitrah yang telah ALLAH SWT tetapkan,”



Semoga semua impian kita dikabulkan oleh Allah SWT. InsyaALLAH.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP