Hargai Masa - Pengalaman Bersama Pemimpin

Monday, March 8, 2010

Masa itu pantas berlalu, dan ia seharusnya disedari

Masa itu sangat berharga
Oleh : BroHamzah

Masa yang bersilih ganti antara siang dan malam berlalu dengan begitu pantas. Ia pergi dan berlalu tanpa kita sedari bahawa setiap detik yang telah meninggalkan kita tidak akan berputar kembali. Hakikat ini benar-benar saya rasa apabila usia semakin meningkat.

Malah, semakin hari terasa masa begitu pantas dan berlalu dengan begitu cepat.

Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; "Tidak akan terjadi qiamat sehingga masa menjadi singkat maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api".(Riwayat Tirmizi)


Pada tahun lepas, setiap hujung minggu terisi dengan program dan kem yang perlu saya kendalikan bersama sahabat-sahabat dalam team RMC Training Centre. Bermula bulan Januari sehingga Disember 2009, setiap minggu pasti ada program dan kem.


Permintaan yang banyak dari pelbagai institusi, sekolah rendah dan menengah membuatkan kami menyusun jadual dengan masa yang ada dengan sebaik mungkin. Setiap kali mencari masa dan waktu untuk menetapkan tarikh sesuatu kem atau program kami akan melihat jadual setahun dan ada saatnya semua tarikh itu sudah penuh. Ketika itu terdetik dalam hati saya, masa yang ada ini tidak mencukupi.


Ketika itu Murrabi saya menyebut :


“ Apabila kita melibatkan diri dalam medan amal dan turun kepada masyarakat, kita dapat masyarakat benar-benar berhajat kepada fikrah dan pengisian kita sehingga ketika itu kita tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Nta tengok lah sendiri jadual tahunan kita ini. Tetapi apa yang penting bukannya “banyak kerja” tetapi bagaimana kita memanfaatkan masa kita yang singkat ini dengan kerja-kerja awla dan memberi kekuatan kepada amal dakwah kita.”

Saya baru sahaja membaca perkongsian rasa Murabbi saya Abu Umar berkaitan Masa Terlalu Pantas. Bertepatan sungguh dengan apa yang dinyatakan oleh beliau. Abu Umar, sememangnya sangat sibuk dengan jemputan ceramah, pengisian program dan sebagainya. Tetapi apa yang dinukilkan olehnya itu harus kita lihat dengan pandangan keimanan dan kesedaran yang ada. Bagaimana kita habis masa dan waktu yang sangat singkat ini untuk kita jadikan bekalan kita di saat pertemuan kita dengan Allah SWT?

Pengalaman Bersama Pemimpin

Suatu hari, Dr Abdullah Sudin menyatakan sesuatu kepada saya.

“ Ana keletihan dan kepenatan hari ini.” Ujarnya dengan tenang.


Saya akui akan hakikat ini apabila melihat jadual Dr Abdullah yang padat. Jika dilihat pada jadualnya, saya seakan-akan sukar mengurusnya sekiranya itulah jadual perjalanan kehidupan saya. Ceramah, tazkirah, mesyuarat, perjumpaan dengan pihak-pihak tertentu dan sebagainya. 7 hari seminggu, jadual yang sentiasa terisi dan tidak masa kosong dan terluang.


Jika dilihat pada jadualnya, kita pasti akan malu dengan diri kita sendiri. Saya ambil 1 contoh yang mudah, walaupun beliau sibuk sebagai seorang Ketua Eksekutif kepada sebuah kolej, presiden kepada beberapa buah badan NGO dan penasihat kepada beberapa institusi pendidikan, masjid dan sebagainya, beliau secara konsisten menyampaikan kuliah mingguan kepada 2 buah masjid dan surau di kawasan perumahannya. Setiap hari khamis malam, beliau akan belajar Tafsir Al-Quran dan Hadis bersama sahabat-sahabatnya.


Ceramah?


Boleh saya katakan, setiap minggu Dr Abdullah Sudin ada 4 sehingga 5 ceramah di pelbagai tempat dan pelbagai sasaran audiens. Namun, beliau tetap komited untuk menyampaikan seruan dakwahnya melalui medium ceramah ini walapun sibuk!


“ Umur ana dah masuk 60 tahun, sekarang ini ana hanya nak habiskan saki baki usia ana dengan kerja-kerja Islam.Itu sahaja,” kata Dr Abdullah kepada saya.


Pernah saya mengajukan satu soalan berkaitan dengan pengurusan masa. Tanya tips bagaimana beliau mengurus masa.


“ Ana ini tidak pandai mengurus masa. Masih belajar hendak sistematik dalam pengurusan masa.” Katanya dengan rendah diri.


Hairan juga dengan kenyataan ini, bagi saya beliau adalah orang yang cekap dalam pengurusan masa. Kalau tidak, sukar juga untuk mengurus banyak kerja dan komitmen beliau dengan jumlah kesuntukan masa yang ada.

KITA BAGAIMANA?

Sengaja saya kongsikan kisah ini untuk iktibar kita. Bagi yang muda dan remaja kita seharusnya bijak dan mengoptimumkan masa kita. Kita banyak kudrat, tenaga dan bersemangat. Jika kita melihat syu’yukh kita begitu berkerja keras dalam amal Islami, kenapa kita masih memerhati dan melihat sahaja. Mereka telah melaksanakan kerja ini puluhan tahun dahulu, dan sudah bersedia berkongsi semangat dan tekad untuk mewariskan dakwah ini kepada kita. Kita harus menyahut panggilan ini.


Kerja kita adalah kerja yang besar. Ia menuntut kesediaan jiwa dan kekuatan ruh yang tinggi. Mungkin inilah persediaan yang mesti kita laksanakan. Mulakan gerak kerja dan sentiasa merujuk kepada kepimpinan.

Imam Hasan al-Banna r.h sendiri selalu mengungkapkan antaranya:


“Saya sentiasa berharap supaya kita sentiasa bekerja dan tidak perlu bercakap. Kita serahkan tindakan kita sahaja sebagai jurucakap yang menceritakan siapakah Ikhwan dan apakah strategi Ikhwan. Saya suka jika langkah-langkah kamu yang mendatang berkesinambungan dengan langkah-langkah kamu yang lalu dengan penuh tenang dan lancar, tanpa memerlukan program seperti ini; Program yang akan membentangkan jihad sepanjang sepuluh tahun yang lalu untuk kita mulakan suatu era baru jihad yang berterusan dalam usaha merealisasikan gagasan kita yang mulia ini.” (Muktamar Kelima)


“Setiap kali saya berada di hadapan sidang hadirin yang mendengar ini, saya memohon kepada Allah semoga hari di mana kita beralih daripada medan bercakap kepada medan bekerja, medan mengatur strategi dan kaedah kepada medan melaksana dan mempraktikkan itu akan semakin hampir. Sudah sekian lama kita habiskan masa kita berucap dan bercakap. Masa menuntut kita supaya segera melangkah ke arah kerja yang serius dan produktif. Seluruh aspek di dunia ini bergantung kepada aspek kekuatan dan kesiap siagaan sedangkan kita masih dalam dunia bercakap dan berkhayal.”


Ayuh, Kita isikan masa yang singkat ini dengan AMAL yang NYATA.
Bergerak dalam susunan organisasi yang rapi.
Perkemaskan tarbiyah dan juga sentiasa menjaga hubungan dengan ALLAH SWT.

InsyaAllah, ganjaran redha dan syurga itu menanti.

1 comments:

BroHamzah March 8, 2010 at 7:19 PM  

Ana kongsikan perkara ini agar ia dapt meningkatkan kepekaan kita dalam beramal. Mudahan kita yang MUDA tetap muda dalam gerak kerja dan sentiasa berusaha untuk PROAKTIF!!

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP