Hasrat dan Impian

Wednesday, March 10, 2010

Dr Abdullah Sudin Mempunyai Hasrat dan Impian yang sangat tinggi


Hasrat dan Impian
Oleh : BroHamzah

Semalam semasa Majlis Makan Malam KTD bersama Media, saya berkesempatan untuk mendengar ucapan aluan Ketua Eksekutif KTD Dr Abdullah Sudin kepada para hadirin jemputan yang hadir. Majlis ini bertujuan untuk meraikan dan menjalinkan hubungan baik pihak KTD dengan pihak Media sama media elektronik mahupun media cetak. Alhamdulillah terdapat beberapa pihak media yang hadir seperti Sinar, Harakahdaily, wakil Berita Harian, THR fm dan beberapa lagi media tempatan.

Tujuan diadakan Majlis ini lebih kepada penerangan berkaitan KTD dan juga visi dan misi KTD dalam halatuju pendidikan serta peranan KTD dalam pembangunan pendidikan dalam pembentukan generasi Malaysia yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Ucapan yang bertenaga



Sekadar perkongsian berkenaan dengan ucapan Dr Abdullah Sudin yang boleh saya sifatkan sangat bertenaga, menyentuh hati dan penuh dengan cita-cita.



“ Tuan-tuan dan puan-puan, saya punyai hasrat dan cita-cita untuk melihat anak bangsa kita maju dan berpendidikan. Hasrat ini cuba saya realisasikan melalui kewujudan KTD. Motto yang selalu saya ulangkan kepada pelajar saya : “ Mengaji Biar Pandai”, “ Perangai Biar Juruh” dan “ Hidup Boleh Tumpang.” adalah integrasi kepada elemen-elemen yang perlu ada kepada seorang pelajar yang berilmu dan berakhlak yang dikehendaki oleh agama kita.” Kata Dr Abdullah.

Beliau mulakan ucapan dengan sejarah ringkas berkaitan KTD. Bermulanya pengambil alihan KTD pada peringkat awal iaitu pada tahun 2004 sehingga kini. Saya tersentuh dengan ucapannya, bagaimana usaha yang dilakukannya untuk memulihkan KTD yang ketika itu berada dalam keadaan yang sangat tenat terutamanya dari segi kewangan.



“ Sehingga sampai satu tahap saya terpaksa memotong gaji saya 100% untuk proses pemulihan KTD. Saya lakukan ini, untuk menyatakan bahawa saya benar-benar serius untuk membangunkan KTD dan juga membangunkan anak bangsa saya.” Ujarnya dengan nada yang tegas.

Hasrat dan Impian



“ Jika kita lihat, kebanyakan pelajar KTD adalah daripada pelajar yang miskin dan susah. Kebanyakan mereka tercicir dan agak lemah dalam pelajaran. Di sini saya bangunkan Tabung Pendidikan KTD untuk membantu mereka. Alhamdulillah, usaha ini mendapat bantuan daripada pelbagai pihak dan juga daripada rakan-rakan saya sendiri.”



“ Tuan-tuan, sidang media. Ini hasrat saya, ini membantu masyarakat Melayu dan ia adalah bangsa kita. Ini cara dan sumbangan yang boleh saya lakukan. Harapan saya agar tuan-tuan juga mempunyai hasrat sebegini dan sama-sama kita bantu-membantu untuk merealisasikan impian ini.” Dr Abdullah berkata-kata dalam nada yang tenang.

Ada satu kisah yang menyayat hati yang diceritakan oleh Dr Abdullah Sudin tentang realiti pelajar KTD. Majoriti susah dan ada di antaranya makan untuk alas perut hanya ala kadar.



“ Ada seorang pelajar yang ibunya bagi wang bulanan hanya RM 50 sebulan. Paginya dia makan biskut kering dengan air teh. Tengahari dia beli sebungkus nasi kerabu RM 1 sahaja. Alhamdulilah cukup wang itu untuk sebulan.”



“ Banyak lagi kisah yang boleh saya kongsikan. Tetapi apa yang ingin saya katakan ialah inilah realiti bangsa kita. Jika kita tidak bantu, siapa yang akan bantu?,” katanya dengan nada yang agak emosi.



Saya lihat wajah hadirin yang hadir seolah-olah terpegum dan khusyuk dengan fokus mendengar ucapan yang penuh inspirasi dan bertenaga.

“ Saya sangat yakin, KTD akan menjadi sebuah institusi yang terkemuka suatu masa nanti. Saya hajat pelajar yang lahir dari KTD adalah pelajar yang excellent akademiknya, akhlaknya baik dan dia bersedia untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Ini kayu ukur kejayaan bagi kami di KTD.”

Aspirasi ini harus didokong oleh semua pihak. Impian ini sangat tinggi. Saya lihat Dr Abdullah Sudin benar-benar serius untuk menjadikan KTD ini sebagai sebuah pusat pendidikan yang terkemuka yang nilai terasnya ialah keimanan kepada Allah SWT.

Pengajaran

Seorang pemimpin yang baik adalah pemimpin yang menyatakan impiannya secara nyata dan berusaha untuk mencapainya bersama para pengikutnya. Dia sentiasa membangkitkan para pekerja dan pengikutnya untuk bersama-sama mencapai hasrat dan impian itu melalui usaha yang kolektif dan bersepadu. Motivasi yang selalu ditiupkan oleh Dr Abdullah kepada Staff KTD ialah kita harus buat yang terbaik.



Jadikan segala yang kita buat dalam kerja kita adalah PAHALA.”
“ Jika dapat duit, kalau boleh tukarkan duit itu menjadi PAHALA.”

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP