Jernihkan Hati

Saturday, March 20, 2010

Malam yang sunyi, terdapat rahsia Allah SWT yang tersembunyi


Menjernihkan hati
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Pada hujung minggu lepas, saya dapat bermusafir dengan seorang Murabbi yang sangat berpengalaman dan bersungguh-sungguh dalam amal Islaminya. Murabbi yang saya maksudkan ini ialah Abu Munzir. Sepanjang perjalanan dari Kelantan ke Utara ( Perak dan Kedah) banyak perkara yang dikongsikan dengan saya dan seorang lagi sahabat saya.

Mungkin di sini, saya ini kongsikan satu perkara sahaja. Abu Munzir berpesan bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk menjernihkan hati. Katanya :



“ Jalan yang terbaik untuk menjernihkan hati ialah dengan bangun bermunajat kepada Allah SWT di tengah malam atau pun Qiamullail. Bangun dan usahalah untuk melaksanakannya walaupun hanya 2 rakaat.”

Sebagai seorang mukmin muslim dan juga dai’ ilallah, memiliki hati yang bersih dan jernih sangat penting. Ia lambang jiwa dan sanubari yang diredhai oleh Allah SWT. Dan bekalan yang sangat mahal dan bernilai di saat hati pertemuan dengan Allah SWT ialah hati yang tenang, bersih dan diredhai oleh Allah SWT.

Amalan Soleh

Saya ada terbaca satu mutiara nasihat yang disampaikan oleh Imam Hassan Al-Banna, katanya :


“ Jika jiwa manusia istiqamah dan jernih, maka apa sahaja yang muncul darinya akan menjadi soleh dan indah.”

Inilah kesan dan pengaruh hati yang jernih dan terhindar daripada dosa dan maksiat. Pada diri yang jiwanya bersih seputih kain putih, akan terpamer keindahan dan kesolehah. Kehidupannya akan dihiasi kebahagian, ketenangan, kepasrahan dan ketenteraman yang menyenangkan. Firman Allah SWT :


“ Siapa yang beramal soleh baik laki-laki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.”



(Surah al-Nahl : 97)


Tindakan yang praktikal


Merancang untuk bangun di sepertiga malam, memerlukan keteguhan hati dan keazaman yang tinggi. Ia bukan sesuatu yang mudah dan tidak juga sesukar mana. Namun, tewasnya kita dengan tuntutan nafsu menyebabkan kita selalu tewas untuk melaksanakan apa jua perintah dan galakan Allah SWT kepada kita terutamanya melaksanakan Ibadah di tengah malam ini.



Salah satu motivasi qiam yang selalu saya baca ialah “ Laksanakanlah Solat Tahajud kerana kemuliaan seseorang mukmin terletak kepada solat tahajudnya.”


Jadi bagaimana untuk kita rancang dan melaksanakan ibadah sunnat yang sangat digalakan ini?



Beberapa tips yang pernah diberikan oleh Murrabi saya :



Pertama, kurangkan dosa dan maksiat di siang hari. Sukarnya kita bangun malam kerana jiwa dan hati yang kotor.


Kedua, tanamkan niat, keazaman dan tekad untuk bangun bermunajat kepada Allah SWT.



Ketiga, tidur awal dan di siang hari boleh laksanakan tidur Qailullah ( 30 minit )



Keempat, sebelum tidur ambil wudhuk, solat sunnat taubat 2 rakaat, bacaan doa dan panjatkan pengharapan kepada Allah SWT.



Kelima, gunakan bantuan seperti jam loceng dan minta sesiapa yang boleh bangunkan kita di waktu malam



Keenam, apabila terjaga terus bangun, ambil wudhuk, mandi (segarkan diri), solat sunat dan teruskan dengan ibadah Qiamullail.

Semoga Allah SWT sentiasa mudahkan kita untuk melaksanakan apa jua kebaikan dan amalan soleh. Sekian

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP