Kerdilnya Diri dan Saya tidak tahu

Sunday, August 1, 2010

Dalami ilmu sehingga menguasainya sebaik-baiknya . Picture by Muttaqe Misran


Kerdilnya Diri & Saya tidak tahu

Oleh : BroHamzah

Satu pengalaman yang Allah SWT berikan kepada saya pada tahun lepas ialah berkongsi ilmu dan mengajar beberapa subjek kepada para pelajar saya di UiTM. Sebagai seorang baru bertatih dalam bidang pengajaran, saya mencuba untuk mengajar dan memberi sedikit ilmu yang ada apa saya untuk dikongsikan, dimanfaatkan dan diamalkan bersama-sama.

Setelah satu tahun mengajar, antara perkara yang saya dapat ialah saya ini adalah orang yang tidak berilmu. Banyak kelemahan dan banyak kekerdilan diri saya. MasyaAllah. Semakin saya dalami ilmu, melakukan persediaan untuk megajar, semakin banyak perkara yang saya tidak tahu.

Setiap kali habis kelas syarahan, pasti ada pelajar akan bertanyakan soalan.

“ Ustaz, saya ada satu soalan,” Seorang pelajar mengangkat tangannya.

Kemudian, ada lagi soalan yang diajukan. Dan pernah dalam suatu sesi kelas perbincangan, hampir 13 soalan diajukan kepada saya untuk mendapatkan penerangan dan penjelasan. Dan, satu hakikat yang ingin saya nyatakan ialah daripada 13 soalan itu hanya 5 soalan sahaja yang saya dapat jelaskan dan selebihnya saya tidak tahu secara terperinci.

“ Maaf para pelajar, saya tidak dapat menjawab soalan ini buat masa sekarang. Nanti akan saya balik dan melakukan rujukan daripada buku-buku dan kitab-kitab apa ulamak yang muktabar.” Jelas saya kepada para pelajar.

Saya tidak tahu!

Inilah hakikatnya, sebenarnya diri kita sangat-sangat kerdil. Tujuan saya berkongsi bukanlah untuk menyatakan bahawa saya ingin merendah-rendahkan diri saya atau apa jua bentuk penjelasan atas kekurangan saya.

Cumanya, ingin saya kongsikan bahawa inilah hakikat keterbatasan penguasaan ilmu dan seharusnya satu tindakan kerja keras yang harus kita lakukan untuk saling bantu-membantu dalam penguasaan sesuatu perkara.

Dan paling utama ialah sikap amanah kita dengan ilmu. Sekiranya kita tidak tahu maka, nyatalah dengan keterbukaan bahawa kita tidak arif dalam perkara tersebut.

Bukan mudah untuk menyatakan perkara ini, jika kita masih berselindung untuk menjaga air muka, maruah keilmuan dan aspek-aspek berkaitan dengannya. Malu untuk mengaku bahawa kita tidak tahu dan arif berkaitan sesuatu hal akan membawa bencana yang besar kepada diri kita sendiri.

Kisah pedoman buat diri

Satu kisah yang pernah saya baca berkaitan Imam Malik yang sangat relevan dengan perkongsian pada kali ini.

Kisahnya begini, pada suatu hari ada seseorang lelaki yang datang dari jauh (Maghrib) ingin bertemu dengan Imam Malik untuk bertanyakan beberapa soalan. Soalan ini merupakan soalan yang dikumpulkan daripada penduduk kampungnya untuk mendapat jawapan langsung daripada Imam Malik.

Perjalanannya bukan semudah kita pada hari ini. Tiada kenderaan pacuan empat roda ataupun kapal terbang yang pantas melintasi langit membiru. Bahkan, perjalanan yang sederhana itu memakan masa berminggu-minggu malah berbulan-bulan lamanya.

Setibanya di Madinah, ia segera bertemu dengan Imam Malik dalam satu majlis Ilmu. Dan mengajukan soalannya itu kepada Imam Malik. Namun jawapan Imam Malik , “ Saya tidak tahu. Permasalahan ini belum pernah berlaku di negeri kami. Guru-guru kami tidak pernah berbicara tentang masalah ini. Kembalilah esok hari.”

Pada keesokannya, lelaki itu kembali lagi bertemu Imam Malik. Diaju soalan yang sama, dan Imam Malik menjawab : “ Aku masih belum tahu jawapannya.”

Lelaki itu berkata : “ Wahai Abu Abdillah, soalan ini adalah soalan daripada penduduk kotaku di Maghrib. Mereka berkata bahawa tidak ada orang yang lebih alim daripada tuan di muka bumi ini. Apa yang harus aku katakana kepada mereka nanti?.”

Sekali lagi Imam Malik menjawab dengan ringannya : “ Apabila kamu telah kembali kepada mereka, beritahu mereka bahawa Malik tidak tahu.”

Pengajaran Ini sangat mengesani saya

Apa ibrah kisah ini? Kita dapat lihat seorang Imam Malik bin Anas yang sangat alim, warak, soleh dan mempunyai keluasan ilmu yang benar sangat berhati-hati dalam menjawab persoalan agama kepadanya.

Jika tidak tahu sesuatu soalan, beliau tidak memaksa diri untuk menjawabnya. Sebaliknya, tanpa malu-malu ia mengucapkan kalimat , “ Saya tidak tahu,”

Imam Malik pernah berkata, “ Jika seseorang mengabaikan (kalimat) saya tidak tahu, maka ia telah jatuh ke dalam kebinasaan.”

Inilah satu sahsiah dan keperibadian sederhana dan warak dalam soal keilmuan. Bukan Imam Malik sengaja tidak mahu menjawab, atau tidak berusaha untuk menyelesaikan permasalahan tersebut tetapi ia melambangkan sifat berhati-hati dalam membicarakan soal keilmuan terutama apabila melibatkan soal atas nama agama.

Langkahan kita

Bukan bermakna apabila kita tidak tahu maka terus kita berada dalam keadaan “tidak tahu itu”. Tetapi berusahalah untuk mencari, menuntut dan belajar akan sesuatu perkara itu dapat kita ketahui dengan jelas dan nyata bedasarkan sumber yang benar. InsyAllah.

Sifat berhati-hati inilah yang wajar dicontohi, dan dilaksanakan di dalam diri kita. Sekiranya kita ada sedikit ilmu, tetapi cepat menghukum juga tidak wajar berada dalam diri seorang muslim. Usah malu menyatakan “ saya tidak tahu” dan berusaha lah menambah ilmu di mana sahaja kita berada.

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan daripada Sufyan Bin ‘Uyainah, “ Orang yang paling memahami fatwa ialah orang yang paling enggan menjawabnya. Dan orang yang paling jahil mengenai fatwa ialah orang yang paling sering menjawabnya.”

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP