Catatan Ramadhan 1430 H
Saturday, September 12, 2009
Catatan Ramadhan 1430 H
Oleh : BroHamzah
Assalamualaikum Waramatuhallahi Wabarakatuh
Alhamdullillah kita selayaknya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas segala kurniaan nikmat yang pelbagai kepada kita. Rasa syukur itu adalah tanda untuk menjadi hambaNya yang dekat pada Nya.InsyaAllah.
Kini kita berada di fasa-fasa akhir Ramadhan. Agak lama saya tidak mencoret sesuatu di sini. Melakarkan dan berkongsi pengalaman bersama anda dan antum semua. Berkongsi ilmu dan pengetahuan yang ada. Semoga setiap coretan dan catatan di ruang maya ini, mampu menjadi amalan yang bermanfaat untuk kita semua.InsyaAllah.
Ramadhan akan meninggalkan kita. Ini suatu hakikat yang tidak dapat kita elakkan. Ramadhan pada kali ini banyak memberi kesan dan impak kepada saya. Ramadhan kali ini, saya lebih bersedia dan saya berazam untuk menggunakan setiap ruang yang ada untuk dekat kepada Allah SWT.Niat dihati hendak bersih dan jernih hati saya. Semoga saya akan lebih menyayangi Allah SWT dalam hidup ini agar kemanisan beriman benar-benar berbunga dihati saya ini. Itu harapan saya..
Kata seorang sahabat saya :
“Kita akan mendapat sesuatu yang berharga daripada tarbiyah Ramadhan sekiranya kita melakukan perancangan, persediaan dan persiapan awal.”
Catatan kali ini adalah berkisar Ramadhan era saya melangkah kaki ke IPT. Era saya mulai mengenal erti kehidupan. Mungkin langkahan saya di Bulan Ramadhan pada era ini lebih matang, dewasa dan bersemangat..
NILAM PURI
Saya rasa beruntung kerana dapat menjejak kaki di Bumi Nilam Puri. Tahun 2003, saya melanjutkan pelajaran di Bumi Tarbiyah Nilam Puri. Di sini, kami diwar-warkan Bumi Tarbiyah ini dengan slogan “Biah Solehah.” Saya akui akan hakikat kebenaran ini. Nilam Puri meninggalkan pelbagai kenangan dan memori indah. Saya merasai ketenangan dan kebahagian di sini. Saya bahagia dengan iman yang dipupuk dan disemai melalui biah solehah yang dibina bersama.
Suasana ilmu dan suasana ukhuwah benar-benar menggamit hati seseiapa yang benar-benar berhajatkan diri untuk dididik. Masjid Kg Laut, Nilam Puri menjadi saksi kehadiran saya dan sahabat-sahabat di
Sahabat-sahabat di Akademi, pastikan akan menganjurkan program IHYA Ramadhan. Pelbagai program disusun dan diatur.Bermula dengan Iftor beramai-ramai, solat Tarawih, tazkirah dan pelbagai program berbentuk mendidik diadakan. Saya masih terbayangkan suasana solat Tarawih di Dewan Johor. Sahabat saya Chai dan Kamarul menjadi Imam tarawih. Kekadang Saudara Dzulkhairi ( sekarang ini Presiden Gamis) menjadi imam dan memberi ceramah beliau yang bersemangat dan bertenaga..Memori bersama Majmuah 1 Gegeriuh yang ceria dan happy itu akan dikenang untuk masa mendatang. Bagaimana mereka sekarang? Agak lama tidak dengar berita..
Kesan tarbiyah di
2 tahun kemudian, saya meneruskan perjalanan pengajian yang panjang ini di
Seperti yang saya nukilkan sebelum ini, Ramadhan di KL amat menyeronokan. Masjid-masjid meriah dengan orang ramai yang datang dari pelbagai kawasan terutamanya, sewaktu berbuka puasa. Saya dan sahabat-sahabat serumah, menjadikan masjid sebagai destinasi untuk kami berbuka puasa. Setiap hari pasti masjid yang berlainan menjadi port untuk kami singgah. Sebut saja Masjid sekitar KL, insyaAllah telah pun kami tiba…
Ramadhan Tahun Lepas 2008/ 1429 H
Semakin hampir kita dipenghujung Ramadhan. Saya pasti merindui Ramadhan pada Tahun lepas. Ramadhan Tahun lepas, kami serumah dipilih oleh Allah SWT untuk berqiam ( Bangun Malam) di Masjid Negara. Saya merasai suatu kelainan dengan Qiam kali ini, penuh bersemangat dan penuh rasa kehambaan ketika melaksanakan solat Tahajud, Taubat dan Tasbih. Perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Malam 21 Ramadhan itu, Allah SWT menganugerahkan kekuatan kepada kami untuk bangun pada jam 3 pagi untuk sama-sama solat sunnat secara berjemaah. Pada malam itu juga dalam sejarah hidup saya, pertama kali saya mendirikan solat Tasbih. Rasa syukur dan syukur itu tidak mampu dilafazkan melalui kata-kata. Impian yang sekian lama terpendam..Alhamdulillah.
“ Emak ana call , dia kata semalam Malam Lailatul Qadr,” Ujar Mas’ul saya. Agak terkejut saya. Sempat bersembang dengan beliau ketika bersahur selepas Qiam. Sekiranya mengikut pengiraan Imam Ghazali, 21 Ramadhan jatuh Malam al-Qadr.
“ Alhamdulillah,” bisik hati saya. Saya benar-benar berhajat untuk menemui Malam yang terbaik itu. Hajat ingin bermunajat dan bersama dengan Allah SWT. Menemui kekasih yang dirindui.
Pagi itu saya lihat langit yang redup dan tenang. Saya lihat tanda-tanda Laylatul Qadar yang jelas pada itu. Sekiranya ia benar, alhamdulillah. Wallahu’alam. Hanya Allah SWT mengetahui.
“ Kita sudah lakukan yang terbaik dan sekarang terpulang sama ada Allah SWT terima atau tidak. Niat itu penting.” Seorang sahabat memberi pendangan. Saya akui nasihatnya.
Perjalanan Ramadhan masih berbaki beberapa hari. Amalan mesti diteruskan. Laylatul Qadar mesti dicari lagi. Kita tidak tahu bila malam yang sebenarnya. Inilah ketidakpastian yang disengaja yang disusun oleh Allah SWT untuk hamba-hambaNya.
Misi untuk menjadikan Ramadhan Tahun ini lebih baik daripada tahun lepas masih belum selesai. Waktu berbaki ini perlu digunakan sehabis baik.
PERLIS
Ramadhan tahun ini, Allah SWT telah memberikan peluang kepada saya untuk menjalani Ibadah di negeri Perlis.Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.
Beriftor di MATRI, setelah hampir 8 tahun tidak berpeluang.
Dapat suasana yang baru dalam menjalani tuntutan Ibadah di tempat yang baru.
Apa pun, kini saya bulatkan fokus untuk mencari dan memburu Lailatul Qadr. Itu fokus saya. Fokus utamanya ialah Keredhaan Allah SWT.InsyaAllah.
Penutup
Sengaja saya wujudkan tajuk catatan sebegini. Saya ingin push diri saya untuk sentiasa bersemangat dengan Ramadhan. Saya ingatkan diri saya dengan saya mengingatkan perkara ini kepada sahabat-sahabat dan para pembaca sekalian. Hajat untuk sentiasa dekat dan hampir dengan Allah SWT. Semoga kita mendapat darjat Muttaqin dihujung Ramadhan nanti. Terima kasih kerana sudi membaca catatan saya yang tidak seberapa ini. Marilah sama-sama kita saling mendoakan antara satu sama lain. Doa itu kekuatan kita. Doalah berulang-ulang. Ulangan itu memberi kesan kepada fikiran, hati dan nurani. Sehingga kita menitiskan air mata kerana dosa dan penyesalan di malam hari, itu sudah baik untuk memberi ketenangan dan kenangan yang manis pada Ramadhan Kali ini…
Semoga kita dapat menangis pada Ramadhan yang berbaki ini.Sekian.
2 comments:
salam...jazakillah ali..
jika semalam adalah malam yang lebih baik dari seribu bulan..alhamdulillah..
mmg, bila kita berpeluang bermadrasah ramadhan di byk tempat, pasti mcm2 kelainan dan pengalaman baru..tp yang hebatnya semuanya mempunyai matlamat yang satu..
InsyaAllah..masih berbaki lagi.Mari kita kejar, mencari dan memburu Malam yang terbaik itu
Post a Comment