Catatan Ramadhan 1430 H

Tuesday, September 1, 2009

Sinar Cahaya Ramadhan Yang Terang Menerangi Hatiku

Catatan Ramadhan 1430 H

Oleh : BroHamzah

brohamzh@yahoo.com

http://brohamzah.blogspot.com

Sepanjang Ramadan ini, weekend saya agak kosong. Selalunya weekend sepanjang bulan lain, penuh dengan pelbagai program dan aktiviti. Ini adalah bertujuan untuk memberi focus dan tumpuan sepenuhnya kepada kehadiran Ramadan. Alhamdulillah, Allah SWT memanjangkan usia kita sehingga saat ini. Sahabat-sahabat dan para pembaca sekalian, bagaimana dengan perjalanan aktiviti ibadah kita di saat ini?

Semoga Allah SWT jinakan hati kita untuk sentiasa lembut untuk mendekatinya sepanjang masa.Dalam buku Menjadi Hamba Rabbani, Dr Majdi al-Hilali ada menyebut tentang hal ini.Katanya, Ramadhan adalah bulan yang sesuai untuk hati kita dibentuk dan diproses untuk tujuan pembersihan dan penjernuhan. Pada waktu ini, iman sedang bertambah, kelesuan hilang dan ikatan-ikatan jiwa terurai. Pada saat ini kelembutan Allah SWT terhembus ke dalam hati hamba-hambaNya. Orang yang bahagia adalah orang yang mendapatkan, memanfaatkan serta menjadikannya sebagai titik awal perjalanannya kepada Allah SWT.

Untuk kali ini sekadar mencatat untuk perkongsian bersama tentang pengalaman di bulan Barakah ini. Saya sebenarnya terkenangkan zaman-zaman sewaktu kecil ketika berpuasa dan saat meniti alam remaja dengan penuh pelbagai kisah dan ragam..

Kanak-kanak Riang

Saya di awal usia membesar di Negeri Serambi Mekah, Kelantan. Sebuah negeri yang aman dan secara jujurnya satu sukakan suasana di sana. Saya berpindah ke Kelantan sewaktu usia umur 6 tahun. Saya bukan hendak cerita kisah saya tetapi pengalaman berpuasa semasa kanak-kanak dulu.

“ Siapa puasa penuh tahun ini,abah bagi hadiah kat dia,” Kata Abah saya menawarkan ganjaran kepada saya dan adik-adik ketika awal Ramadhan.

Selalu, hadiahnya duit raya la. 1 hari 1 ringgit. Kalau penuh satu bulan maknanya saya dan adik-adik akan dapat RM 30. Bagi kami, wang sebanyak itu terlalu banyak. Saya tekad dan berazam, setiap tahun mesti penuh. Seingat saya, saya mula penuh berpuasa ketika darjah 3. Itu sudah dikira lewat sekiranya dibandingkan dengan adik-adik yang lain. Kebanyakannya, darjah satu sudah puasa sebulan penuh.

Berpuasa ketika kanak-kanak ada cabarannya. Bayangkan kebanyakan kawan-kawan sepermainan yang lain tidak puasa. Kita seorang sahaja yang puasa.Itulah cabarannya.

“ Kawe kecik lagi la nak pose, hok demo susoh-susoh pose sapo suruh!.”kata Kawan saya Li memberi pandangan dia.

“ Maso kecik-kecik la kena belatih pose,” jawab saya dalam loghat kelantan. Ujian sungguh. Menghasut pula dia..

Masa puasa dulu, macam-macam fatwa saya dengar. Mungkin sebab kami baru belajar, jadi semua kawan-kawan memberi tahu ilmu yang ada.

“ Kalau kentut masa puasa, batal puasa kamu.” Fatwa pertama.

“ Tidak boleh ludah, nanti pahala kurang.” Fatwa kedua.

“ Berenang dalam sungai boleh masa puasa, tapi jangan kentut.Nanti batal.” Fatwa ketiga.

“ Boleh puasa sekerat/ separuh hari, janji ikhlas.” Fatwa keempat.

Itulah antara fatwa-fatwa semasa puasa yang saya ingat bila bulan puasa time kanak-kanak dulu. Kami semua percaya sahaja. Bila terkenangkan balik semua ini. Tersenyum saya keseorangan.

Setelah penat berpuasa, maka tibalah masa berbuka. Saat ini, sememangnya menyeronokan hati kita semasa kecil. Seronok sangat..Macam-macam juadah makanan di depan mata. Hati sudah tidak tahan, tangan menggigil hendak mencapai kuih-kuih yang dibeli kat bazaar Ramadhan. Sebaik sahaja dengan Azan, terus tangan ini mengambil kuih Akok yang sedap itu..

“ Aikh.. tak baca doa dulu ke?,” soal Emak ditepi. Saya tersentak.

“ Lupoo..la.” tersengih saya. Tangan ditadah, doa dibaca..

“ Jangan lupa, Nabi suruh berbuka dengan buah kurma dulu,” nasihat Emak saya. Adus..saya masa kecil-kecil tak suka buah kurma. Terpaksalah, kalau tak kena berleter nanti.

Selepas berbuka dan solat maghrib. Time itu lah masa untuk berehat. Perut sudah kenyang dengan pelbagai makanan dan minuman. Saya lihat Abah saya makan ala kadar sahaja.Tapi kami adik-beradik makan sungguh-sungguh. Lapar katakan.

Solat Sunat Tarawih, biasanya saya akan solat bersama Abah di Surau. Memang meriah. Ramai orang kampong datang berjemaah di sini. Kami kanak-kanak ini, seronok sebab dapat jumpa kawan-kawan. Bukan solat sangat, main je lebih. Usik sana ganggu sini. Akhirnya, pak cik surau marah.. Turunlah kami ke bawah. Tapi sekurangnya kami tahu, semasa bulan Ramadhan ada solat Tarawih. Sebenarnya ada benda yang ditunggu-tunggu lepas Solat Tarawih, moreh. Kuih-kuih yang menyelerakan..

Biasanya sebelah Malam di Bulan Ramadhan perlu ditidur awal. Esok hendak sahur. Selalunya susah bangun, emak dah kejutkan hampir 5 kali. Liat masa kecil itu perkara biasa dan yang penting latihan untuk berpuasa.

Seronok tengan kartun Upin & Ipin. Comel dan lucu. Bila tengok cerita ini, teringat zaman kanak-kanak semasa mengerjakan ibadah puasa ini… Betul..betul..betul ( gaya upin&ipin)

Pengajaran

Apa pengajaran yang ingin saya kongsikan?

Pertama

Latihan berpuasa perlulah semenjak dari kecil lagi. Realitinya, hari ini ramai orang yang sudah cukup umur tidak mampu berpuasa.

Kedua

Kanak-kanak kecil perlu didedahkan dengan amalan berpuasa dengan kaedah dan cara yang betul. Berikan panduan seperti perkara-perkara membatalkan puasa dan perkara yang sunnah ketika berpuasa. Mungkin mereka tidak dapat melakukannya. Tetapi sekurangnya mereka tahu.

Ketiga

Didiklah kanak-kanak dengan didikan yang tarbawi (mendidik). Ajarkan mereka dengan lemah lembut dan selalulah galakan mereka dengan perkara yang baik. Memberi ganjaran, upah dan hadiah kerana berpuasa satu galakan yang baik. InsyaAllah, lama kelamaan mereka akan memahami hakikat berpuasa yang sebenar apabila sudah meningkat dewasa.

Keempat

Jangan dipaksa kanak-kanak untuk berpuasa, tapi berikan galakan dan sokongan. Ibu bapa perlu pandai menambat hati. InsyaAllah.

Sekian dulu

2 comments:

Unknown September 2, 2009 at 4:21 AM  

Waa... cerita-cerita camnilah seronok!

Enta tambahlah gambar enta kecik2 dulu. Barulah hidup!

BroHamzah September 5, 2009 at 9:26 PM  

Salam, nanti la ana letakkan.Ini dalam proses nak aktif balik walaupun internet tak de kat rumah..Kena banyak bersabar..

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP