Catatan Ramadhan 1430 H Siri 2

Sunday, September 6, 2009

Sentiasalah Memohon Keampunan Di Bulan Ramadhan Agar Kita Kembali Bersih Sesuci Fitrah Seorang Bayi

Oleh : BroHamzah

brohamzh@yahoo.com

http://brohamzah.blogspot.com

Ramadhan kali ini benar-benar membawa rahmat bagi saya. Terasa benar keistimewaannya. Di Perlis, sepanjang Ramadhan pasti ada waktu dalam sehari itu hujan akan turun. Suasana redup, tidak panas, nyaman dan selesa. Ujian panas terik tidak dirasai sangat, namun ujian dalam rupa dan bentuk yang berlainan. Alhamdulillah..Syukur dilafaz tanda kehambaan yang ingin dizahirkan. Tambahan pula sudah lama saya tidak menjalani kehidupan seharian pada Bulan Ramadhan di negeri ini.Inilah susunan Allah SWT buat saya. Pada coretan kali ini, ingin saya berkongsi kisah Ramadhan suatu masa dahulu.

Langkahan Pertama

“ Barang semua dah prepare? Baju dan pakaian lain dah cukup?.” Soal Abah meminta kepastian daripada saya.

“Beres.” Jawab saya.

Hari itu, saya akan bertolak ke sebuah negeri nun jauh di utara. Saya akan berdaftar ke sebuah sekolah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.

Masih segar dalam ingatan saya, ketika mula-mula menjejak kaki ke Ma’had Attarbiyah al-Islamiyah (MATRI). Sekolah yang banyak meninggalkan pelbagai kenangan kisah duka, suka, tawa, riang dan hiba. Yang menarik, saya melangkah memulakan alam menengah ini pada bulan Ramadhan al-Mubarak.

“ Belajar rajin-rajin, jaga akhlak dan ikut nasihat yang diberikan oleh ustaz-ustaz di sini.” Nasihat Abah sebelum berangkat pulang selepas sessi pendaftaran. Rasa sayu je nak kena tinggal.Tapi saya control dengan penuh sifat kelakian dan kemachoan. Mana boleh menangis depan Abah. Anak sulung kena kuat. Kata saya pada diri sendiri.

Ramadhan pada 1998 Masihi, saya jalaninya berjauhan daripada keluarga. Ini kali pertama saya tinggal jauh dari keluarga. Merantau menuntut ilmu jauh daripada abah, emak dan adik-adik. Kalau ditanyakan perasaan ketika itu, mesti jawapannya mengandungi unsur-unsur sentimental yang tidak keterlaluan. Sebenarnya, bila malam tiba saya akan terkenangankan keluarga. Ketika ini, air mata mengalir lah jugak sebab teringatkan mak,abah dan adik-adik.( Bocor rahsia jugak)..

Negeri Perlis berada dalam iklim Monsum Tropika, panasnya tidak perlu diceritakan disini. Saya rasa macam berada di negera Arab. Panasnya, Ya Allah hanya Allah sahaja yang tahu. Tidaklah panas sangat, tetapi masa itu pertama kali berada di Negeri Darul Sunnah. Jadi keluar dari kebiasaan menyebabkan segala-galanya nampak amat luar biasa.

“ Pada Bulan Ramadhan ini, kita digalakan untuk tingkatkan amalan kita.Banyakan membaca Al-Qur’an dan berzikir,” Seorang Abang senior memberi tazkirah kepada kami.Pada Ramadhan tahun itu buat pertama kalinya, saya khatam 30 Juz Al-Qur’an. Semuanya didorong oleh abang-abang dan kawan-kawan. Pada peringkat awal, rasa terbeban sebab saya tidak pernah buat sebegini. Namun, kerana suasana bacaan itu wujud, saya terdorong dan punyai semangat yang jitu untuk khatamkan Al-Qur’an.

Ramadhan Yang Manis

Satu peristiwa yang tidak mungkin saya lupakan. Ketika itu di Bulan Ramadhan sewaktu saya berada di tingkatan dua.Masa itu kami baru di awal Ramadhan. Ketika solah subuh yang hening, salah seorang anak Ust Abd Hadi seorang ustaz Matri menjadi imam. MasyaAllah, suaranya amat merdu dan menusuk kalbu.

Pagi subuh itu, dia membaca dengan alunan bacaan yang amat merdu. Saya masih ingatan ketika itu agak ramai yang menangis. Tersedu-sedu. Dan Ust Abd Hadi sendiri menangis. Entahlah, saya pun hairan.Saya tidak merasai apa-apa pun. Saya berfikir tentang perkara ini. Namun yang tersentuh sebab ramai yang menangis…

“ Keras sangat ke hati aku ini? Orang lain boleh menangis tapi aku??,” monolog saya keseorangan. Sepanjang hari itu, saya berfikir seorang diri tentang kejadian di waktu subuh tersebut.

Malam pada hari yang sama, ketika Solah terawih yang diimamkan oleh Ust Abd Hadi, saya tetiba rasa tersentuh. Bacaan Al-Quran dari beberapa ayat surah al-Baqarah yang saya fahami sedikit maksudnya. Satu perasaan yang tidak pernah saya rasai. Perasaan itu amat luar biasa. Perasaan menyelubungi hati, jiwa dan perasaan saya yang kotor ini. Saya pejamkan mata dan menghayati bacaan Ustaz. Saya cuba lahirkan rasa khusyuk dalam diri.Alhamdulillah…Malam itu buat pertama kalinya, air mata yang beku ini mengalir dan meleleh dipipi saya yang kering ini. Saya tersedu-sedu. Saya membayangkan satu persatu dosa-dosa saya. Perasaan itu amat mendamaikan dan rasa tenteram yang teramat sangat. Saya menangis kerana rasa takut kepada Allah SWT dan rasa rindu kepadaNya. Bukan menangis teringatkan keluarga. Dah form 2 masa ini. Tiada lagi sifat kemanjaan itu.

Ramadhan tahun itu amat luar biasa. Saya rasa terlalu hampir dengan Allah SWT dan rasa diberi hati yang baru.Ketenteraman yang amat membahagiakan dan seolah-olah saya menjadi insan yang baru..Kekadang terfikir, bila lagikah perasaan itu akan hadir?

Saya rindu suasana begitu…Hati terasa lembut dan jiwa terasa akan kejernihannya.

Medan Badar

“ Anggaplah SPM antum umpama Peperangan Badar,” Bicara Cikgu Biologi kami Cikgu Norizan memberi kata-kata semangat. Tahun kelima di MATRI saya akhir dengan bulan Ramadhan. Inilah susunan Allah SWT. Saya memulakan langkah di sini pada Bulan Ramadhan dan mengakhiri juga pada bulan Ramadhan.

Saya menduduki SPM pada bulan Ramadhan al-Mubarak. Jihad di medan ilmu umpama jihad. Jihad untuk bersungguh-sungguh, fokus dan tekun. Kami menganggap inilah medan peperangan untuk kami.

Cikgu mengambil teladan kisah zaman Rasulullah SAW iaitu peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada Bulan Ramadhan. Badar meyaksikan soal keyakinan dan kebergantungan para sahabat 313 orang yang cekal melawan kuffar. Medan tempur Badar membuktikan akan hakikat pengorbanan dan kesungguhan para sahabat dalam menegakan deen Allah SWT.

Ramadhan yang terakhir ini menjadi titik tolak untuk kami melangkah keluar dari ma’had yang banyak mengajar kami sebuah erti kehidupan. Kami melangkah untuk meneruskan kehidupan seterusnya. Ramadhan itu, banyak masa dihabiskan bersama sahabat-sahabat satu batch. Sahur dan berbuka bersama. Mana tidaknya, ketika itu waktu cuti sekolah hujung tahun yang panjang. Yang tinggal hanya kami, pelajar tingkat 5 yang menduduki SPM. Kami studi bersama, bermain bersama dan bergurau bersama. Semua sesama kami sahaja.

“ Ramadhan kali ini amat bermakna buat ana,” seorang sahabat saya meluahkan rasa hatinya. Betul katanya. Majlis Gradusi Batch 8 diadakan pada Bulan Ramadhan. Sungguh meninggalkan kenangan.

Itu sahaja catatan Ramadhan semasa saya di sekolah Menengah. Namun pengalaman sewaktu tingkatan 2 itu tidak boleh saya lupakan. Saya masih terbayangkan suasananya yang sayu dan hiba. Masih terbayangkan saf yang saya berdiri dan saya menghadap kiblat dengan penuh rasa kehambaan. Itu lah nikmat dan anugerah daripadaNya. Anda ada pengalaman begini?Saya yakin masing-masing punyai pengalaman yang tersendiri.

Pengajaran Ceritera

Cerita di atas bukan sebarang cerita, antara pengajarannya :

Pertama

Menuntut ilmu jauh daripada keluarga meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup saya. Belajar berdikari dan mengurus diri. Kalau boleh, sekiranya ada peluang saya ingin melanjutkan pelajaran ke luar Negara. Biar betul-betul jauh daripada keluarga..

Kedua

Menangis kerana Allah SWT lantaran takutkanNya dan rindu kepadaNya berbeza dengan menangis kerana perkara lain. Menangis keranaNya memberi kepuasan dan kenikmatan, adapun menangis kerana hal-hal dunia terasa bebannya dan penuh penyeksaan.

Ketiga

Berpuasalah jugak walapun kita sedang menghadapi exam. Jangan jadikan ia alasan untuk meninggalkan ibadah puasa. Teringat kata seorang Ustaz USIM Ustaz Najib Abdullah : “ Puasa satu hari di Bulan Ramadhan tidak akan menyamai setahun puasa di Bulan lain. Nikmat dan pahalanya lain. Jadi jangan mudah-mudah untuk TIDAK BERPUASA di bulan Ramadhan.”

Ramadhan Kareem.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP