Bahagia Di Pentas Cinta

Sunday, November 18, 2012




Impian, Hasrat, Hajat & Cita-citaku : Agar Kami Dapat Sentiasa Bersama Di Pentas Dakwah Dalam Menyebarkan Cinta.



Bagaikan tidak percaya. Namun, itulah yang terjadi di pentas cinta.

Alhamdulillah, hujung minggu yang lalu – saya dan zaujati digandingkan dalam suatu program bersama remaja Terengganu dalam slot yang cukup istimewa. Mana tidaknya, ialah kali pertama saya dan zaujati “berjaya” dipertemukan untuk bersama-sama berkongsi hati dalam satu pentas yang sederhana tapi penuh makna.

Tajuknya : “ Cinta”

Ha’ah! Tentunya bergetar jiwa-jiwa yang membacanya. Saya dan zaujati bertungkus lumus mencipta keserasian, keseragaman dan juga kata sepakat untuk menjayakan slot cinta ini. Berbincang, berdiskusi, bercambah minda dan bersembang-sembang penuh minat untuk memastikan sesuatu yang bererti untuk dicurahkan kepada para peserta.

Sejujurnya, ianya bukan semudah yang disangka. Berminggu-minggu saya mencari titik mula untuk duduk bersama. Namun, ia tertangguh sehingga ke saat-saat akhir. Berpeluh saya. Migrain hadir menambahkan ragam penuh cuka – segala persediaan dan  persiapan kami. Sehingga, pada hari tersebut barulah kami dapat duduk bersama secara serius, tenang dan penuh tenaga. Akhirnya, itulah yang kami mampu berikan seadanya.

Satu perkara yang benar-benar saya rasai ialah bahagia. Bahagia bersama si dia di pentas cinta. Hajat benar agar suatu masa saya dan zaujati dapat bergandingan bersama-sama dalam memberi apa sahaja yang mampu disebarkan kepada ummat ini. Susunan, tetapan dan aturan Allah SWT Maha Kuasa – di pentas cinta jua kami akhirnya digandingkan.

“Apa perasaan?,” Tanya hati kecil saya.

“ Bahagia,” Jawab monolog sendirian.

“ Bahagia bersama di pentas cinta,” Ujar saya kepada zaujati sambil tersenyum.
------
BroHamzah
Sayang, abang bahagia bergandingan denganmu!

Read more...

Cinta Buat Gaza

Saturday, November 17, 2012



Jujurlah wahai hati, adakah jauh di sudut nurani ini kita benar-benar berduka atas musibah yang menimpa mereka? Jika tiada, benarkah itu cinta saudara seaqidah? 
Atau ia hanya dusta dihujung kata?



Gaza.
Tangisan berdarah lagi.

Ketika Gaza mulai diserang hebat oleh Zionis Israel, aku dan keluarga sedang bersiap-siap untuk bermusafir ke Terengganu. Tujuan dan misi yang perlu diselesaikan dalam rangka mengeratkan silaturahim, mengharumkan hubungan kekeluargaan dan disamping melunaskan kebahagiaan bersama di pentas cinta bersama zaujati.

Teriakan, jeritan dan mogokan seantero dunia – adalah salah satu luahan jiwa ummat untuk menzahirkan kepada ummat manusia bahawa, secara fitrahnya kita bencikan peperangan, kezaliman dan penindasan.

Namun, dicelah-celah itu adalah kuasa dan kekuatan yang tidak boleh dipandang enteng oleh kebanyakan kita. Ia menjadi senjata yang tidak dapat ditandangi oleh mana-mana kecanggihan, kekebalan dan sedahsyatan senjata yang hebat yang pernah direka cipta sepanjang perabadan dunia.

Senjata tadahan doa, munajat, rintihan dan luahan jiwa-jiwa yang bersih, jernih lagi tulus mengharapkan keampunan, keredhaan dan pertolongan daripada Allah SWT.

“ Ah, kita ini boleh doa sahaja. Lepas itu, tutup mata. Tidur!.”
“ Kesian. Tapi tak boleh buat apa-apa. Yang boleh, doa sahaja.”

Aku membesar dengan doa. Hidup dengan doa. Dan memulakan hariku dengan doa. Ia adalah dialogku dengan Rabbku. Komunikasi terus antara aku dan Dia.

Saudara, usahlah begitu. Doa itu sangat-sangat besar maknanya buat mereka.
Saudari, marilah kita gerakan jiwa untuk mereka.
Walaupun sekadar, tembakan doa buat mereka.

Justeru, tanggungjawab kita adalah memastikan doa kita itu termakbul.
Bagaimana?

Itulah peranan kita.
Kelihatan kecil-kecil, biasa-biasa dan kerdil-kerdil sahaja.
Tetapi, agar doa itu biasa termustajab – pastinya bukan calang-calang manusia sebenarnya kecuali kita adalah insan yang terpilih.

Menjadi insan terpilih yang setiap hasrat, doa, permintaan dan tadahan doanya benar-benar menjadi “senjata”. Bukan sekadar ritual, rutin kebiasaan, adab dan budaya semata-mata.

Nah! Kita punyai tugas, amanah dan kerja yang berat!

-------
BroHamzah
Aku berdoa namun, tanpa air mata bersulam cinta.
Berdustakah aku?

Read more...

Gagal = Fail, Bukanlah Penghujung Kehidupan

Tuesday, November 13, 2012





Anda pernah rasai keperitan sebuah kegagalan, kejatuhan dan kekalahan?
Jika pernah, anda adalah insan yang hebat!


-----

Jam sekitar 3.30 pagi.

Peti mesej handsetku berbunyi. Aku begitu sensitif sebenarnya dengan “gangguan” luar yang menjengah di ufuk lenaku yang menyenangkan. Lalu, dengan mata yang kabur ku capainya dalam kegelapan yang ada.

1 Mesej.

“ Salam abang Ali. Saya F bekas student SMK XX. Sekarang tengah belajar sambung diploma di UYY. Dah nak masuk semester last. Saya baru dapat result semester 5, result saya fail 2. Rasa sangat kecewa, saya dah buat habis baik, sedangkan kawan yang saya tolong ajar diaorang lulus. Saya dah macam hilang semangat. Saya perlu nasihat abang Ali. Tolong saya.. Maaf ganggu.”

Aku termenung lama jua. Mengingati siapa pelajar lelaki ini. Samar-samar ia hadir dalam minda dan memoriku. Salah seorang adik yang pernah aku santuni dalam beberapa siri program motivasi kesedaran di Perlis beberapa tahun yang lalu. Bagus orangnya. Ada kesedaran yang tinggi dan punyai semangat untuk berubah.

Pagi itu seusai subuh aku membalas mesejnya untuk membangkitkan semangatnya yang kian hilang dan pudar. Pahit rasanya melalui kegagalan, kekalahan dan kejatuhan. Tetapi, itulah juga perkara yang pernah aku lalui sebelum ini. Sebelah malamnya - aku titipkan sedikit bingkasan buatnya melalui emel.

----------
Assalamualaikum, F.

Terima kasih atas perkongsian perasaan. Semoga berada dalam kekuatan jiwa dan perasaan.

Semoga Allah SWT iringi kehidupan F dengan kasih sayang dan cinta-Nya. Insan beriman amat yakin bahawa setiap ujian,musibah dan dugaan adalah penghapus dosa dan juga tanda kasih Allah SWT terhadap kita.

Saat inilah doa, munajat dan tangisan kita amat berharga. Kerana apa?

Kerna kita amat-amat perlukan Allah SWT, Dialah Rabb tempat meluah dan mengadu. Jadikan ia sebagai titik untuk F kembali muhasabah masa yang lalu.Jika benar ini adalah satu teguran daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan redha, pasrah dan tenang.

F yang budiman,

Gagal, bukanlah penghujung kehidupan tetapi ia adalah langkah untuk semak, baiki dan bangun semula untuk jadi lebih baik. Justeru, susun semula kehidupan dan laluinya dengan keimanan, keyakinan, kepasrahan kepada Allah SWT.

Jika ada masa terluang jemputan singgahan satu laman web yang punyai motivasi untuk bangkit dan membina jiwa.


Lihatlah dan ambilah manfaat daripadanya.

Sekian.

//aali

-----------------------------

Aku temui ramai insan-insan yang melalui pelbagai detik-detik kegagalan, kejatuhan dan kekalahan yang memeritkan. Mereka terpaksa menempuh pengalaman yang mencengkam perasaan sehingga kekecewaan, kesedihan dan kepiluan itu terpaksa ditelan dengan kepasrahan tanpa rela.

Namun, mereka bangkit semula. Bangun dengan sebuah harapan dan asa. Digenggam dengan penuh hasrat, cita dan kuasa. Mereka bangkit untuk terus berjuang hingga ke akhir usia!

Warna Warni Kehidupan

Inilah kehidupan. Perjalanannya sungguh memenatkan. Apa tidaknya, semakin ke hujung semakin banyak pula ujian-ujian, cabaran-cabaran dan dugaan demi dugaan. Justeru, biarpun begini - kehidupan ini tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu.

Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu diukir dengan keindahan, keceriaan dan kegembiraan. Hari-hari yang baru adalah saat yang terbaik untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Hari untuk menukilkan karya baru yang lebih unggul, terbaik dan memberikan kepuasan kepada hati dan nurani.

Tiada istilah kalah, gagal atau fail – tetapi kejayaan dan kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran, ibrah dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini.

Justeru, laluilah ia dengan ketabahan, kecekalan dan kesungguhan. InsyaAllah – inilah modal yang perlu dilaburkan untuk melihat senyuman penuh kepuasan di masa hadapan.

Berjuang Untuk Berubah!
BroHamzah

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP