Travelog Seorang PA - Titik Mula

Tuesday, October 22, 2013




" Perjalanan berbatu-batu bermula dengan satu langkah pertama. 
Titik mula yang memberikan harapan kepada kehidupan."


Bagaimana saya boleh “terjun” ke bidang ini? Agak-agak pernahkah saya termimpi atau berangan-angan untuk menjadi seseorang yang menceburi kerjaya sebegini?

Tentunya, saya tidak pernah terlintas, malah berfikir untuk mengalas tugasan sebegini. Namun, ada satu harapan dan hasrat saya iaitu menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman daripada insan-insan yang berkaliber, hebat dan luar biasa terutama dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah kepada ummah.

Saya pernah berdoa, berharap dan memasang cita-cita untuk melakukan pelbagai perkara dan kerja – timba banyak posisi dan sudut pendangan kehidupan – sehingga umur 30 tahun. Dan, dengan izin Allah SWT, pelbagai perkara yang saya lalui, santuni dan alami.

Dan, salah satunya ialah menjalankan tugas sebagai seorang PA! Tentunya, pengalaman ini amat mencabar bagi saya secara peribadi.


Titik Mula

Penghijrahan saya dari UiTM, Arau ke Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Kelantan adalah satu keputusan yang saya lakukan setelah solat Istikarah kepada Allah SWT. Di penghujung tahun 2009, tadahan doa dan munajat saya kepada-Nya benar-benar berfokuskan kepada niat untuk berkhidmat dan berbakti dalam arena pendidikan.

Di samping, saya mendapat satu galakan dan support yang kuat daripaa sahabat saya, Abu Ridhuwan serta keluarga yang tercinta. Lalu, saya bertekad untuk melaluinya walaupun saya tahu dan benar-benar kenal dengan KTD sebelum-sebelum ini.Setibanya, di sana – post atau jawatan sebagai pensyarah tiada kekosongan.

Lalu, saya bertemu dengan Ketua Eksekutif menyatakan hasrat saya untuk berkhidmat dengan KTD. Beliau menerangkan keadaan KTD, situasi gaji dan bebanan kerja secara ringkas. Kemudian, beliau menyatakan tiada kekosongan jawatan pensyarah ketika itu. Namun, beliau ada hasrat lain. Katanya, hajatnya ada lulusan Ijazah terutamanya yang muda boleh membantunya untuk pelbagai kerja.

Saya bersetuju dan tanpa mengambil masa yang lama – bermulalah detik sebagai salah seorang staff di KTD. Saya gembira, teruja dan bersemangat. Tiada apa, kecuali ingin memberi khidmat yang terbaik. Jawatan pertama saya ialah sebagai pembantu Khas. Saat itu, lebih kurang setahun – saya banyak menyediakan teks ucapan, membantu kajian boss saya dan yang paling utama menjadi driver serta penemannya ketika travel.

Hampir kesemua negeri saya pernah travel bersama beliau. Hampir tiap-tiap minggu keluar bersamanya. Dan, di situ terlalu banyak pengalaman, perkongsian dan pengamatan yang saya dapat. Dan yang lebih istimewa, setiap masa dan detik yang ada saya lalui didikan tarbawi tanpa saya sedar. Teguran, peringatan dan nasihat yang lebih hidup, segar dan mengesani jiwa.

Melihat kerja-kerja harian beliau daripada perspektif saya sebagai seorang pembantu - memberikan seribu pengajaran buat saya yang masih muda, kerdil dan serba kekurangan.

Kesimpulan saya boleh saya nyatakan tentang boss, murabbi dan KE saya ini ialah beliau sangat komited, bersungguh-sungguh dan serius dengan kerja-kerja yang dilakukannya.


Dari sinilah, saya mulai mengenali susuk tubuh insan yang saya segani dan hormati – Prof Madya Dr Abdullah Sudin Ab Rahman!

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP