Travelog Seorang PA - Ibrah Musafir

Wednesday, October 16, 2013


" Musafir medan untuk kita mengenali seseorang dengan lebih rapat dan akrab"


Sebelum saya menjadi PA rasmi, tugasan saya ialah bertindak sebagai pembantu kepada boss saya ini. Tugasan saya pelbagai, fleksibel dan kebanyakannya menanti arahan yang diberikan oleh boss. Oh ya hakikatnya, saya tidak memandang beliau sebagai boss semata tetapi murabbi saya. Jujurnya, terlalu banyak pengalaman, didikan, hikmah dan buah santunannya melekat di hati saya.

Satu perkara yang masih segar dalam fikiran saya ialah pengalaman bermusafir dengan murabbi saya ini. Dan, tentunya hampir setiap minggu murabbi saya ini akan bertravel terutamannya ke Kuala Lumpur dengan pelbagai tujuan dalam menjalankan amanahnya yang sungguh berat itu.

Dalam banyak-banyak sesi musafir, satu sesi musafir yang berlaku 3 tahun lepas amat-amat berkesan di hati. Sehingga kini, setiap scene , peristiwa dan apa yang berlaku masih kukuh di benak dan jiwa saya.

Saya masih ingat ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur setelah murabbi saya selesai mesyuaratnya di sana. Kami bertolak sekitar jam 3.00 petang. Seperti biasa, beliau akan keletihan dan kepenatan setelah seharian bermesyuarat. Maka, tugas memandu akan saya laksanakan sepenuhnya.


Ibrah Musafir

Petang itu, perjalanan kami sangat tenang. Kekadang hujan-hujan renyai merentas beberapa bukit bukau yang ada di sepanjang lebuh raya timur barat. Untuk menghilangkan mengantuk saya akan memasang mp3 di telinga tanpa mengganggu murabbi saya. Harapannya agar beliau dapat rehat dengan tenang, tanpa gangguan dan secukupnya.

Perjalanan berlalu dengan aman. Sekali sekala, saya akan mengunyah keropok yang dibeli oleh beliau untuk mengisi perut.

Sehingga waktu malam, kami berhenti untuk solat maghrib dan isyak secara jama' taakhir. Seperti biasa, kami berjemaah dengan ahli kariah tempat masjid yang ada. Jika tidak silap saya, kami berhenti di sebuah masjid di Machang. Kemudian, seusai solat – tiba-tiba perut saya meragam, lalu dengan tangkas saya melulu ke bilik air.

Ketika itu, murabbi saya sudah lama menanti di dalam kereta. Saya dengan pantas terus ke kereta supaya beliau tidak menunggu dengan lama. Lalu, saya sambung semula pemanduan kereta Mercedes biru milik murabbi saya.

Entah mengapa, ketika itu saya begitu fokus untuk sampai awal ke Kota Bharu. Malam masih awal sekitar jam 9.30 malam tetapi saya beriya-iya untuk memecut sampai dengan awal. Target saya hendak sampai sebelum jam 10.30 malam. Ya! Misi ini harus sempurna, detik hati kecil saya.

Lalu, pedal minyak saya tekan rapat-rapat. Deruman ekzos kereta semakin menggancam jiwa raga. Meter minyak naik mendadak. Murabbi kelihatan diam sahaja dengan tindakan saya itu. Sambil-sambil, beliau membelek handsetnya yang baru di”sapa” dengan mesej baru.

Hati saya terasa suka juga dapat pandu Mercedes ini dengan laju. Apatah lagi, laluan jalan ini lurus sahaja. Lagi naik tocang saya saat itu.


Peristiwa Menyentap Jiwa

Dalam keghairahan saya memandu dengan kelajuan yang luar biasa itu, tiba-tiba. - melintas satu lembaga di hadapan kereta kami. Ia berlaku dengan pantas. Sepantas kilat gitu.

Panggg..

Bunyi perlanggaran yang menyentap jiwa saya.

“ Allahuakbar!,” Suara murabbi meninggi di sebelah saya.
“ Kenapa? Anta langgar apa,” Soalnya.

Saya terdiam seketika. Muka pucat keputihan cap colgate. Gulps! Tidak terbayang apa-apa diminda kecuali keadaan kereta Mercedes ini.

“ Mungkin anjing Dr,” Ujar saya tersekat-sekat.

Murabbi diam sahaja. Saya teruskan perjalanan tanpa berhenti kerana kereta malam ini sangat banyak dan memenuhi sepanjang jalan.

Saya pucat. Dada semakin kencang menanti apakah teguran atau kata-kata daripada beliau? Bayangkan kita telah langgar sesuatu menggunakan keretannya dan tentunya akan kemek atau rosak yang teruk.

Namun, murabbi saya diam dan meneruskan kerja-kerja di sebelah saya tanpa butiran bicara. Dan, tentunya saya juga diam tidak terkata apa-apa.

Setiba di penginapan saya di Kota Bharu, saya terus berhentikan kereta di kawasan lapang dan keluar melihat keadaan depan kereta. Kawasan bawah depan kereta pecah, kemek dan rosak. No plat patah.

Adus! Saya dengan rendah diri memohon maaf atas apa yang berlaku.

Murabbi senyum dengan tenang. Lalu, beliau suruh saya berehat setelah bermusafir. Malam itu, saya tidak dapat lelapkan mata dan melulu-lulu serangan menyalahkan diri sendiri hadir.


Teguran Hati

Keesokannya, saya ke pejabat seperti biasa. Tangan, kaki, tubuh badan dan segala saluran darah saya bergoncangan tatkala bertentang mata dengan murabbi yang ketika itu berada di Bilik Ketua Eksekutif. Mana tidaknya, peristiwa semalam masih segar dalam kelopak mata saya.

Saya masuk dan duduk di hadapannya untuk beberapa urusan. Beliau senyum sahaja, dan tanyakan saya rehat cukup atau tidak. Lalu, terus kami bincang urusan kerja. Sehingga saya terlupa akan peristiwa penuh tragis semalam.^^

Namun, hati saya tidak senang. Fikiran saya terfokus tentang kereta itu. Macam-macam bisikan datang. Mahu sahaja, saya baiki dan gantikan bahagian kereta itu. Tapi, terberhenti apabila fikiran soal wang. Pendek kata, jiwa saya keluh kesah saat itu.

Seminggu berlalu, saya bagaikan terlupa seketika tentang peristiwa itu. Setiap hari bertemu murabbi di kamarnya dengan pelbagai urusan tanpa beliau sentuh langsung tentang peristiwa musafir yang lalu. Saya sedikit lega.

Seperti biasa, saya masuk bertemu dengan majikan saya untuk urusan kerja. Tiba-tiba, setelah seminggu baru beliau bertanya sesuatu.

“ Minggu lepas sewaktu kita balik musafir tempohari, anta dalam keadaan berwudhuk tak?,” Soalnya.

“ Tidak Dr,” Ujar saya.

“ Anta buat tak solah sunat musafir dan solat hajat?,” Tanya beliau lagi.

“ Tidak juga Dr. Tidak sempat tempohari,” Balas saya semula.

Beliau tersenyum.

“ Lain kali, anta buat lah semua itu sebelum musafir dan semasa musafir. Moga perjalanan kita sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” Nasihat beliau.

Terpukul saya. Baru saya perasaan, kerana kelam kabut selepas keluar bilik air saya tidak sempat berwudhuk. Saya sangat-sangat terkesan dengan apa yang berlaku ketika itu. Hati saya hiba seketika.

“ Tentang kerosakan itu, tidak mengapa.” Kata murabbi. Beliau memahami situasi kewangan saya.Itulah harga pengajaran yang saya timba bersama beliau. Itu baru satu pengalaman saya bersama dengan beliau.


Bermula saat itu, saya sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk di mana saya berada. Moga Allah SWT merahmati beliau yang sangat halus menegur saya yang kerdil ini.

0 comments:

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP