" Jiwa lesu, tertekan dan layu lantaran ujian yang bertimpa-timpa,
bilakah ia mampu kembang dan mekar semula?"
Ujian- Ujian Mereka, Ibrah Buat Kita
KISAH SATU
Suasana pejabat saya agak “sejuk” dan selalu menjadi stesen
persinggahan rakan-rakan pejabat untuk menghirup udaranya yang segar serta
menenangkan tubuh badan yang membahang dek kepanasan sang mentari. Saya masih
ingat petang itu di bulan Ramadhan yang penuh barakah seorang teman pejabat
saya melangkah masuk ke pejabat saya dengan wajah yang cerah ceria dan
bersahaja.
Kami di sini memanggilnya dengan panggilan mesra : Putera Zack.
Orangnya suka berjenaka, menegur sapa siapa sahaja, berperwatakan besar dan
berkulit sawa matang.
“ Assalamualaikum, En Ali? Apa khabar?,” Kesunyian pejabat
saya terpecah dengan ketukan pintu dan suara dari luar.
Saya menyahutnya dengan gembira. Tentunya, saya amat
menyukai kehadiran tetamu dalaman dan luaran ke teratak kerja saya.
Sembang-sembang, tanya khabar dan bual-bual ringkas amat menyenangkan sebagai “take 5” daripada kesibukan menyiapkan amanah
kerja yang ada. Apatah lagi jika bos tiada di pejabat – alamatnya sunyilah saya
tanpa teman dan kawan.
Kami bersembang-sembang seketika. Lama kelamaan, banyak
perkongsian yang Putera Z kongsikan bersama saya.
“ Alhamdulillah, saya sebenarnya bersyukur Allah SWT masih
hidupkan saya sehingga kini.” Tiba-tiba ayat itu yang keluar dari mulutnya.
“ Kenapa?” Soal saya ringkas.
“ Oh.. Pengalaman hidup En Ali. Dulu, saya pernah koma
beberapa hari sebab kemalangan jalan raya. Berlaku gegaran kepada otak saya.”
Kisahnya mula menarik perhatian saya.
“ Bila kemalangan itu ?,” Mata saya merenung dalam ke
wajahnya.
“ Tahun 2010 yang lepas. Saya koma hampir seminggu. Dan,
itulah perubahan hidup saya. Allah SWT izin, dalam koma saya – Allah SWT
perlihatkan gambaran dan suasana seperti
neraka. Wallahu’alam, saya tak pasti itu neraka atau tidak. Tetapi, ia sangat-sangat
memberi kesan kepada kehidupan saya.” Sambungnya lagi.
Saya perbetulkan posisi kedudukan agar selesa. Khusyuk dan
tenang saya mendengarnya sambil mengganggukan kepala.
Bicaranya lancar. Bersungguh benar berkongsi cerita dengan
saya. Seolah-olah ada mesej penting yang hendak disampaikan.
“ Selepas koma, saya hilang ingatan langsung. Tetapi,
masyaAllah – hanya satu perkataan sahaja yang terkeluar dari bibir saya iaitu
Mak. Apabila mak saya dengar, dia menangis. Saya tidak ingat langsung apa yang
berlaku, semuanya diceritakan semula oleh mak ayah dan ahli keluarga saya
semula.”
“ Lamakah tempoh hilang ingatan tu?,” Saya mencelah.
“ Adalah dalam sebulan. Saya cuti pun agak lama. Biasalah nak
sembuh ambil tempoh yang lama.”
“ Tapi, En Ali. Saya dapat satu perkara,” Bicara terberhenti
seketika.
“ Diberi peluang yang kedua. Peluang untuk hidup dan membuat
kebaikan di dunia ini. Saya menangis apabila mengenangkan semua ini.”
“ Dulu, saya agak nakal. Solat 5 waktu tetapi kurang
sempurna. Al-Quran jarang-jarang baca. Tetapi kini, saya cuba lakukan yang
terbaik.” Katanya dengan nada yang penuh sederhana.
“ Saya juga bersyukur, kini saya boleh membaca Al-Quran
dengan baik walaupun perlu dipertingkatkan lagi.”
Putera Zack tersenyum. Suka saya melihatnya.
Jiwa saya tersentuh. Redupnya suasana Ramadhan di luar sana,
begitulah teduhnya hati saya ketika itu. Kisah yang segar lagi penuh pengajaran
buat hati ini memberikan suntikan yang benar-benar berbeza. Di celah-celah
menghayati keberkatan bulan Ramadhan, Allah SWT berikan pengalaman seorang insan
yang melalui secara real. Banyak lagi yang beliau kongsikan – dan membuatkan
saya benar-benar terisi hari itu.
Itulah ujian. Dimensi hikmahnya melebar menyentuh sisi
positif dan kebaikan sekiranya sikap baik sangka kita terhadap Sang Pencipta
mendahulu segalanya. Siapa sangka, kemalangan yang menimpanya itu boleh membawa
kepada suatu ibrah yang mungkin sebelum ini tidak terfikir olehnya sendiri.
Maha Suci Allah SWT atas segala pemberian, anugerah dan kurniaan kepada
hamba-hamba-Nya terpilih.
Sebenarnya, kita semuanya pernah alami, sedang menghadapi dan
akan alami pelbagai bentuk ujian, dugaan
dan cabaran.
Sama ada,
kita mahu atau tidak.
Sama ada,
kita minta atau sebaliknya.
Saat itu
akan tiba, kerana hidup sememangnya akan diuji.
Saya membuka
lembaran pasca Ramadhan yang lalu dengan coretan kisah-kisah, cerita-cerita dan
perkongsian-perkongsian yang dekat dengan hati saya. Semoga kita semua bersedia
untuk melalui ujian-ujian kehidupan.
BroHamzah
Lumrahnya,
kita diuji dengan dugaan berbeza
Tetapi ibrah
dan didikannya tetap sama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
sngt beruntung bg hamba ALLAH yg menerima petunjuk seperti itu... umpama memberi peluang kedua untuk hidup di dunia ni...
salam sukses gan, bagi2 motivasi .,
Bersabarlah dalam bertindak agar membuahkan hasil yang manis.,.
ditunggu kunjungan baliknya gan .,.
Post a Comment