Sinar kebahagiaan - Ia semakin hilang ?
Berputiknya Sebuah Kebahagiaan
Oleh : BroHamzah
Saya termenung, teringatkan satu peristiwa suatu masa dahulu. Sebuah kisah yang mendidik saya tentang suatu hakikat.
“ Abang, kenapa dalam hidup saya penuh dengan masalah?,” Seorang adik peserta bertemu dengan saya setelah program tamat.
“ Saya ada seorang ayah. Tapi saya… saya sangat benci ayah saya. Bagi saya, dia bukan ayah kandung saya,”tiba-tiba air matanya mengalir membasahi pipi.
Saya terdiam. Sambil merenungi wajahnya.
“ Ayah saya tidak pernah solat. Puasa pun tidak. Malah suka mencuri…Saya malu abang. Saya..,” adik itu berkata-kata sambil tersedu.
“ Kenapa ayah saya tidak seperti ayah orang lain. Saya tengok orang lain bahagia dengan ayah mereka.Tapi saya.. terseksa dengan ayah saya,” luahannya menyentuh hati saya.
“ Saya inginkan kebahagiaan abang..Kebahagiaan yang sebenar,” Tersekat-sekat adik untuk berbicara.
Peristiwa ini telah berlalu dua tahun yang lalu, tetapi ia masih segar dalam ingatan saya dan ia sangat berbekas pada hati saya kerana adik ini seorang lelaki. Jarang saya temui para peserta lelaki yang menangis dihadapan saya apabila berkongsi kisah atau masalah hidup mereka.
Lama juga saya berbual dan berkongsi luahan perasaannya. Kisah hidupnya adalah kisah hidup seorang anak yang dahagakan sentuhan kasih sayang dan belaian perhatian seorang ayah. Saya akui, ayahnya adalah seorang ayah yang tidak bertanggungjawab. Membiarkan anak-anaknya tanpa diberi nafkah kehidupan dan tidak menghiraukan langsung keadaan anak-anaknya. Apatah lagi, menjalankan tanggungjawabnya dalam soal pendidikan agama kepada anak-anak.
Daripada riak dan air mukanya, dia sangat-sangat membenci ayahnya. Saya agak terkedu apabila dia menyebut :
“ Saya benci ayah saya sebenci-bencinya. Kalau boleh saya tidak mahu menatap wajahnya. Biar wajahnya luput dari ingatan saya,” Katanya dengan nada yang keras.
Hilangnya sebuah kebahagiaan
Inilah salah satu kisah, daripada beribu-ribu dan bermacam-macam lagi kisah yang berlaku dalam masyarakat kita. Malah ada kisah yang lebih menyayat hati dan tersentak hati kita jika diketahui. Dewasa ini, harga sebuah kebahagiaan itu kian pudar dan semakin tersirna daripada kehidupan manusia. Kebahagiaan yang boleh membawa sinar ketenangan dan kedamaian kian pupus ditelan peredaran zaman dan seolah-olah kini bahagia itu bukan lagi juzuk kehidupan yang sangat penting untuk dikecapi.
Erti bahagia yang disalah ertikan
Saya lihat, konsep kebahagiaan pada hari ini juga telah terpesong dan disalah ertikan. Ramai yang menganggap bahagia itu bersumber daripada faktor luaran semata-mata. Bagi mereka ,kebahagiaan itu berpunca dari harta, kuasa, paras rupa dan kelulusan yang dimiliki seseorang. Kekayaan dan kemewahan dikejari oleh manusia sehingga sanggup bergadai maruah, nyawa dan segala-galanya. Kini, mengejar pangkat dan kekuasaan turut menjadi matlamat utama sehingga sanggup fitnah-menfitnah, tindas-menindas dan sanggup berbuat apa sahaja walaupun hatta menghilangkan nyawa. Jika inilah “parameter” bahagia pastinya golongan jutawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan boleh dikatakan sebagai individu yang bahagia.
Tetapi, sebenarnya bahagia bukan diukur pada aspek-aspek luaran seperti ini. Mari kita teliti, apakah kehidupan mereka ini bahagia? Kita lihat artis-artis Hollywood yang hartanya berbillion dolar, rupaparas menawan dan nama tersohor seantero dunia, tetapi mereka ditimpa masalah yang kronik menyeksakan jiwa dan membebankan fikiran.
Tiger Woods pemain golf bergelar jutawan yang hebat di padang golf akhirnya kecundang apabila memiliki tabiat buruknya dalam hubungan skandal dengan wanita. Madona dan Paris Hilton walaupun memiliki wajah yang jelita tetapi dicerca dan dikutuk kerana berkelakuan buruk. Tidak akhlak, moral dan etika.
Selebiriti yang lain seperti Brigitte Bardot dan Whitney Houston mengalami gangguan sakit jiwa sehingga dikatakan gila. Bob Marley membunuh diri kerana tekanan kehidupan. Kenamaan terkenal seperti Bill Clinton, Lady Diana, Cindy Crawford dan Brooke Sheild mengalami krisis rumah tangga sehingga ada yang bercerai berai mahligai keluarga mereka. Hilang kebahagian, kedamaian dan ketenangan jiwa dalam kehidupan mereka.
Ini belum kira lagi nasib malang yang menimpa negerawan dan bangsawan tersohor seperti Ferdinand Marcos ( Filipina), Tsar ( Rusia) dan Louis XVI (Perancis). Nampaknya secara jelas, bahagia yang mereka cari bukan terletak kepada faktor luaran itu. Jadi, di manakah kebahagiaan yang sebenarnya?
Mencari Sinar Kebahagiaan
Jadi, apa sebenarnya bahagia?
Ramai, sebenarnya. Bahkan kita sendiri. Sanga-sangat berhajatkan kebahagiaan dan kejayaan hakiki dalam kehidupan kita yang singkat ini. Persoalan ini berlegar-legar difikiran kita semua.
Mudahnya, kebahagiaan itu ialah apabila kita memiliki hati yang tenang, pasrah dan cekal dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Hati yang tenang itu lahir daripada keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada ALLAH SWT. Jiwanya subur dengan ketaqwaan dan sentiasa pasrah serta bergantungan sepenuhnya kepada ketentuan dan ketetapan Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda : “ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ada sebuah hadis Rasulullah SAW yang sangat terkesan pada hati saya. Daripada Shuhaib RA, sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud :
“ Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah kebaikan. Apabila mendapat nikmat, maka dia bersyukur dan itu kebaikan baginya. Dan, apabila ditimpa ujian (kesempitan), maka dia bersabar, dan itu kebaikan baginya.” ( Ditakhrij Muslim, 8/125 dalam al-Zuhud)
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata : Rasulullah saw telah membaca ayat ini (maksudnya):
“ Maka sesiapa Yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam ”
( Al-An’am : 125)
Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah itu melapangkan ?
Jawab Baginda : Cahaya yang dicampakkan ke dalam hati .
Mereka bertanya lagi : Wahai Rasulullah, adakah ia mempunyai tanda-tanda untuk mengenalinya ?
Jawab Baginda : Ya, ada.
Mereka bertanya lagi : Apakah dia?
Sabda Baginda saw : Mendekati ( menghampiri ) kepada tempat yang kekal ( akhirat ), menjauhi tempat yang menipu ( alam dunia ) dan bersedia untuk mati sebelum mati. (3)
Ketenangan, keimanan, kepasrahan dan kepergantungan kepada Allah SWT adalah kebahagiaan.
Bahagia, bagi mereka
Yahya bin Khalid al-Barmaky, seorang menteri yang masyhur di zaman Bani Abbas ditanya, “ Apakah yang dimaksudkan dengan bahagia, wahai tuan?”
Jawabnya, “ Sentosa perangai, kuat ingatan, bijaksana akal, tenang dan sabar menuju maksud.”
Seorang penyair bernama Hutai’ah berkata :
“ Menurut pendapatku, bukanlah kebahagiaan itu pada mengumpul harta benda tetapi takwa kepada Allah itulah bahagia.”
Ibnu Khaldun berpendapat : “ Bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan Allah dan berperikemanusiaan.”
Jadi, di mana BAHAGIA?
Dalam Buku Karya Dr Yusof Al-Qardawi, Iman dan Kehidupan ada satu kisah yang sangat menarik berkaitan kebahagiaan. Kisah berlaku antara sepasang suami dan isteri.
Seorang suami marah kepada isterinya dan dengan segera mengancam isterinya :
“ Aku akan melenyapkan kebahagiaanmu.”
Si isteri menjawab dengan tenang, “ Kamu tidak mampu melenyapkan kebahagiaanku sebagaimana kamu tidak memapu memberikan kebahagiaan kepadaku.”
Suami bertanya : “ Mengapa aku tidak akan mampu melenyapkan kebahagiaanmu?”
Isteri menjawab dengan penuh keyakinan : “ Kalau seandainya kebahagiaanku terletak dalam perbelanjaan, tentu anda akan mampu menghilangkannya. Dan kalau terletak dalam pakaian dan perhiasan, tentu kamu juga sanggup menahannya. Tetapi kebahagiaanku adalah sesuatu yang bukan milikmu dan tidak dapat kamu kuasai, baik kamu sendiri ataupun orang lain.”
Suami bertanya dengan penuh kehairanan : “ Di manakah kebahagiaanmu?”
Isteri menjawab dengan penuh keyakinan : “ Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimanaNku. Dan imanku itu dalam hatiku. Tiada seseorang pun yang dapat menguasai hatiku selain Allah.”
Hati adalah tempat bertapaknya keimanan kepada Allah SWT. Di sini juga la, tempat berputiknya sebuah kebahagiaan. Inilah dasarnya. Sesungguhnya bahagia itu terikat pada hati yang punyai sifat redha dan tawakal yang tinggi kepada Allah SWT.
Dan, siapakah insan yang berusaha dengan pengorbanan yang tinggi untuk melebarkan rasa kebahagiaan ini kepada manusia sejagat?
Mengorbankan seluruh kehidupannya agar kita merasai kenikmatan dan kebahagiaan yang hakiki. Agar keimanan itu mewarnai dan bertapak di hati kita?
Itulah baginda Rasulullah SAW. Insan yang memiliki sejuta keistimewaan dan kemuliaan.
Kata semangat
“ Abang simpati dengan kisah adik. Berat sungguh apa yang adik lalui,” Ujar saya dengan nada yang perlahan.
“ Allah SWT beri ujian ini, tanda Allah SWT sayang kepada kamu. Kuatkan hati dan tabahkan jiwa dengan banyak mengingati Allah SWT. Abang sangat-sangat yakin, kamu akan dapat hadapi semua ini dengan kekuatan iman dan keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT.”
“ Orang mukmin itu tidak pernah berburuk sangka kepada Allah SWT. Dia yakin apa jua ujian yang menimpa dirinya ada hikmah dan terpancar kasih sayang Allah SWT kepadanya.
“ Jika adik ingin bahagia, bukannya bergantung sepenuhnya kepada ayah adik. Kamu sebenarnya boleh memperolehi kebahagiaan.”
“ Macam mana abang?,” Tanya adik itu dengan wajah yang bersungguh.
“ Beriman dengan Allah SWT dengan sifat redha dan tawakal yang tinggi kepadanya. Jaga hubungan hati dengan Allah SWT sehingga kamu benar-benar kuat jiwa dan sentiasa pasrah dan bergantung segalanya kepada Allah SWT.”
“ Cintai dan ikutilah segala sunnah ajaran baginda Rasulullah SAW. Sayangi baginda dan selusurilah kehidupan baginda agar kehidupan baginda dihayati dalam jiwa dan perasaan kita.”
“ Terima kasih, abang. Atas nasihat. Saya luah kat abang ini pun dah lega jiwa saya sikit,” ujarnya.
“ InsyaALLAH,” Jawab saya ringkas.
Ya Allah, bantulah dia agar kebahagiaan itu kembali berputik di sanubarinya.
Penutup – Komentar seorang hamba
(1) – Semoga Allah SWT mencampakan kebahagian, ketenangan, kedamaian dan ketenteraman ke dalam jiwa kita semua. Yakinlah, kebahagiaan yang hakiki ia bermula dengan keimanan kepada Allah SWT, keyakinan kepada janji-janji dan ancaman-ancaman-Nya.
(2) – Bersempenan Sambutan Maulidur Rasul, marilah sama-sama kita meluruskan niat, memperkuatkan keazaman dan tekad untuk sama-sama membumikan segala sunnah Rasulullah SAW dari sebesar-besar sunnahnya sehinggalah sekecil-kecilnya. Mudahan, kecintaan kita kepada baginda terikat kukuh atas kefahaman, keyakinan, keimanan dan keteguhan dalam beramal soleh. InsyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
17 comments:
setelah lama saya jadi silent readers, hari ini saya rasa terpanggil untuk meninggalkan komentar.
Saya juga pernah ketemu orang yang sebegini. Seorang gadis, yang punya bapa yang gatal, bahkan. Pun begitu, alamdulillah, menurut ceritanya, bapanya sudah berubah baik :)
1)- iqbalsyarie
Terima kasih atas komentar dan perkongsiannya.
Alhamdulillah
BroHamzah
saya suka entry ini...sungguh terkesan di hati
1)- Anonymous
Semoga bermanfaat.
BroHamzah
Can't deny, this is your best article ever!
Barakallahfeek daaeman.
1)- SERVANT
Thanks. May Allah Bless Us
BroHamzah
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram. [TMQ:13:28]
jus sdkt tmbhn.. btw, nice post about happiness
“ Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimanaNku. Dan imanku itu dalam hatiku. Tiada seseorang pun yang dapat menguasai hatiku selain Allah.”-si isteri..
Ayat yang amat mendalam maknanya..
Teruskan menulis, bro..
Kisah adik itu merupakan antara kisah yang hanya Allah mengetahui berapa ramai lagi yang lebih sengsara..Tidak semua orang beruntung, tapi insyaAllah..adik itu akan dapat melaluinya dengan keimanan yang teguh kerana Allah tidak akan menguji jika kita tidak mampu.
syukran bro hamzah :)
“ Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimanaNku. Dan imanku itu dalam hatiku. Tiada seseorang pun yang dapat menguasai hatiku selain Allah.” si isteri
ya, masih mencari buku IMAN dan KEHIDUPAN karya Dr. Yusof Al Qardhawi ini
1)- hasyimi
Alhamdulillah, syukran atas penambahan dan perkongsian. Sangat-snagat dihargai.
Semoga kebahagiaan itu akan menyinari relung-relung jiwa dan segenap perasaan kita.
InsyaAllah. BroHamzah
1)- musafir kehidupan
Semoga kita semua memperolehi keimanan yang sebenar dalam kehidupan.
Kisah adik ini, berbekas kepada saya. Lama saya memikirkannya, dan saya sedang betapa Allah SWT mengasihi saya dengan memberikan kesempatan dan peluang melalui pengalaman sebegini.
Semoga Allah tabahkannya.
BroHamzah
1)- nordalily
Alhamdulillah, terima kasih atas jejaknya. Mudahan ia menjadi peringatan kepada saya, anda dan kita semua.
Yang lemah,
BroHamzah
1)- syumul
InsyaAllah, boleh dicari dibuku-buku yang menjual buku fikrah Islamiyah. InsyaAllah
Semoga dipermudahkan oleh Allah SWT
BroHamzah
bismillah..
bahagia itu dari kesedihan.
siapa yang tak pernah sedih,
dia takkan tahu 'nilai' sebenar bahagia!
firas az-zahra'
1)- Firas az-Zahra'
Syukran, coretan yang bermakna.
Benar.
" Siapa yang tak pernah sedih, dia takkan tahu "nilai" sebenar bahagia."
Terima kasih.
BroHamzah
Thank's infonya gan !!!
www.kiostiket.com
Post a Comment