Syurga Rumahtangga, Bukan Sekadar Untuk Bahagia

Saturday, January 5, 2013




Usrah Bahagia + Rumahtangga Barakah = Keluarga Dakwah 
( Bersama Menuju Ke Syurga)
-------
Harapan dan Hasrat Bersama.



Meriah sungguh hujung tahun yang lalu, kad jemputan majlis walimatul urus sentiasa berkunjungan tiba di meja dan tangan kami suami isteri. Gembira, seronok dan bahagia melihat ramainya kenalan, sahabat handai dan saudara terdekat membina lingkaran bahagia mereka melalui bahtera rumahtangga ini.

Syukur – Alhamdulillah.

Pastinya, apabila memenuhi jemputan mereka – kita hadir dengan pelbagai hadiah, sumbangan dan ucapan. Pelbagai ucapan diberikan.

“Semoga berbahagia sehingga ke Syurga!,”
“ Tahniah dan syabas!,”
“ Moga ceria selalu sehingga ke anak cucu,”
“ Mudahan bahagia selalu dan perolehi banyak anak,”

Itu yang biasa dan sering kita dengar. Namun, suatu dimensi yang berbeza di bawah oleh junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW apabila kita meraikan pasangan pengantin baru. Hal ini bermula dengan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang baru sahaja bernikah. Namanya ialah Uqail bin Abu Thalib dan pasangannya dari kalangan bani Jasym.

Saat hari kebahagiaannya, ramai tamu yang hadir dan upacara pernikahan sungguh meriah walaupun sederhana. Ada yang menitipkan ucapan kegembiraan, selamat dan doa. Namun, saat ini jiwa Uqail terasa gundah dan gelisah.

Saat seorang tetamu hadir dan mengucapkan :

“ Bir rafa’I wal banin, Semoga bahagia dan banyak anak!,”

Lalu, Uqail bin Abu Thalib segera teringat akan Rasulullah SAW. Susuk peribadi yang dicintainya. Lalu dengan lembut, seraya beliau berkata :

“ Jangan kalian mengatakan demikian, kerana sesungguhnya Rasulullah SAW menegah sedemikian,”

Beliau kehairan, lalu bertanya :

“ Kalau demikian, apakah yang harus kami katakan ,wahai Abu Zaid?,”

“ Katakanlah oleh kalian :  Semoga Allah kurniakan barakah kepadamu, dan semoga Ia melimpahkan barakah ke atas kamu dan semoga Ia menghimpukan kalian berdua dalam kebaikan.”

Itulah yang diperintahkan kepada kita.”

( Hadis Riwayat oleh Imam Ahmad, Nasai, Ibnu Majah, Ad-Darimi, Ibnu Sunni dan yang lainnya dengan kedudukan hadis hasan)

Menarik bukan? Sungguh halus didikan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya bukan hanya kebahagiaan yang kita impikan bersemi indah dalam rumah tangga kita. Amat terlalu sederhana, jika itu sahaja yang kita cita-citakan.

Maaf, bukan bermaksud saya menidakan pentingnya kebahagiaan dalam binaan bahtera rumahtangga kita. Bahkan, tidak begitu. Bagi kita, seharusnya bukan hanya kebahagiaan yang kita idamkan tetapi juga keberkatan atau keberkahan.

Kenapa keberkatan?

Barakallahu laka wa barakallahu ‘alaika, wa jama’a bainakuma fi khair.

Itulah ucapan yang saya terima ketika majlis walimatul urus saya. Hati begitu tenang mendengar ucapan itu daripada sahabat-sahabat, rakan-rakan dan para kenalan.

Sejuk.
Membunga dengan titipan doa mereka.

Hati saya : “Ameen. Ameen.Ameen.” – Ya Allah, permudahkanlah dan kabulkan hajat ini.

MasyaAllah. Inilah satu didikan Rasulullah SAW buat kita semua. Tiada perkara yang lebih mulia daripada harapan dan hasrat apabila melihat bertemunya dua hati dalam satu payungan cinta melalui teduhan pernikahan ini kecuali keberkatan.

Pernikahan dan perkahwinan yang dikurniai keberkatanlah yang mampu mewujudkan sakinan, mawadah wa rahmah. Justeru, timbul dihati kita – apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan barakah? Wallahu’alam.

Biasanya, keberkatan dikaitkan dengan bertambah-tambahnya kebaikan (ziyadatul khair). Selalu sahaja ada kebaikan yang dapat dihasilkan daripada pernikahan yang barakah. Kesimpulannya, ialah pernikahan yang barakah menjadi penambah bagi lahirnya banyak kebaikan.


Rumahtangga bukan hanya kita

Salah satu tanda barakahnya binaan rumah tangga kita – semakin banyak kebaikan yang mampu kita janakan melalui saluran rumahtangga yang dibina. Sayangnya, berapa banyak keluarga yang memperolehi kebahagiaan, dianugerahi anak yang ramai, diberikan kecukupan rezeki dan harta, tetapi sama sekali tidak ditemukan adanya kebaikan di dalamnya.

Bukan hanya mereka dan anak-anak mendapat impak daripada rumah tangga itu, tetapi apa yang diharapkan lebih daripada itu. Bersatunya mereka mampu menyinarkan satu harapan bagi masyarakat dan lingkaran sekitar mereka. Bersatunya mereka melahirkan anak-anak penyejuk mata yang akan memberikan “sesuatu” kepada masyarakat.

Barakah itu adalah barakah yang melipat ganda kebaikan yang mampu memberi sumbangan kepada ummah keseluruhannya. Inilah hasrat, tujuan dan matlamat murni baginda Rasulullah SAW. Institusi keluarga yang terbentuk daripada masyarakat Islam, adalah institusi yang mampu menjadi cahaya kepada wajah sebenar komuniti muslim yang sebenar.

Itulah impak barakah!


Output Barakah - Keluarga Dakwah

Artinya, keberkatan rumah tangga mampu melahirkan sebuah keluarga dakwah yang sejahtera, berkualiti, mantap dan berdaya. Keluarga yang bergaul bersama masyarakat, ia tumbuh subur dengan masyarakat sekelilingnya dan berperanan bersama mereka. Mereka punyai kekuatan serta semangat untuk selalu berinteraksi dengan masyarakat. Hal ini diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengab cubaan mereka itu lebih baik dan lebih besar pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar atas cubaan mereka.”

( Hadis Riwayat Tirdmizi dan Ibnu Majah)

Kita semak, nilai dan perhalusi rumah tangga kita saat ini. Mudahan, yang kecil-kecil inilah kita selalu tekankan dalam binaan baitul muslim. Bermula dengan aspek pemilihan, barakah kesederhanaan mas kahwin, suasana majlis walimatul urus, biah solehah baitul muslim yang dibina, tarbiyah keluarga dan anak-anak semuanya menjadi elemen penting untuk menuju barakah.

Yang terpenting juga - berusaha menjadi keluarga kita - keluarga dakwah. Suami isteri kita - pasangan dakwah. Dan anak-anak kita - pewaris kader dakwah.

Kerana itu, jangan remehkan doa barakah buat pasangan pengantin baru.

Jumpa mereka, tatapi wajah, genggami tangan dan lafazkanlah :

Barakallahu laka wa barakallahu ‘alaika, wa jama’a bainakuma fi khair.

-----
BroHamzah
Muhasabah Diri, Keluarga dan Sumbangan Kami.

Read more...

Memori Bersama Ayahanda Murabbi

Tuesday, January 1, 2013


Bismillahirahmanirahim
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
--------


Abu Munzir. 
Bagi yang biasa dengan sentuhan tarbiyahnya pasti akan merinduinya.

Bagi yang mengenali beliau – betapa sesungguhnya akan terkesan dengan setiap pengaruh yang dicurahkannya.

Ayanda Murabbi, Abu Munzir merupakan seorang murabbi saya yang paling banyak membentuk, mendidik dan mengasuh saya dalam taman asuhan ini. Beliau tekun, bersungguh-sungguh dan cakna akan diri kami sebagai anak-anaknya.

Hidup bersamanya adalah hidup bersama dakwah, perjuangan dan jihad menuju syurga. Selama lebih 3 tahun dibawah bimbingannya – beliau tidak pernah jemu-jemu memproses kami untuk menjadi calon-calon syurga.

Setiap kali dalam pengisian dan penyampaiannya – fokusnya beliau adalah tazkiyah an-Nafs, tarbiyah ruhiyah, tarbiyah jihad dan jiddiyah. Susuk peribadinya yang serius, bersungguh-sungguh dan tegar itu sentiasa membangkitkan jiwa-jiwa muda saya dan sahabat-sahabat untuk sentiasa istiqamah dengan suasana dan ruh perjuangan yang suci lagi murni ini.

Pengalaman Termanis

Antara kenangan yang termanis saya dengan beliau ialah permusafiran antara kami berdua selama 3 hari menjelajah utara. Best, terhibur, berkesan dan sangat-sangat mengesani kehidupan saya. Selama 3 hari itu, banyak lagi padat perkongsian beliau kepada saya. Bayangkan 3 hari kami berdua bersembang, bermukhalatoh, berdiskusi dan berbincang-bincang dan bertukar-tukar pandangan.

Bermula dari proses mendidik diri, pembinaan rumah tangga sehinggalah mendidik anak-anak – semuanya dicurahkan kepada saya tanpa henti kecuali kami berdua berhenti berehat untuk lelapkan mata melepaskan penat dan lelah. Saya benar-benar puas bermusafir dengannya.




Kerjanya menghidupkan jiwa-jiwa muda untuk terus akrab, dekat dan hampir 
dengan Allah SWT 24 jam.

Nasihat Tanpa Jemu

Ayahanda Murabbi  sentiasa memberikan nasihat dan taujihnya kepada saya dan sahabat-sahabat tentang dua perkara :

(     "Wahai anak muda, lazimilah awal pagi anda sebelum Subuh dengan solat sunat tahajud dua rakaat. Rasailah kemanisannya dan kelazatannya."

Seingat saya – setiap kali pertemuaan minggu inilah peringatan yang diulang-ulangnya. Setiap kali. Tahajud dan bangun malam Qiamullail digalakan, digesa, disuruh dan dingat-ingatkan sehingga ia sebati dengan kami melalui amalan dan tindakan!
  
            "Tatapilah dan bacalah Al-Quran setiap hari walaubagaimana pun keadaan antum."

Al-Quran – adalah kalamullah. Ia menjadi kayu ukur kepada kecintaan kita terhadap Allah SWT. Sesiapa yang akrab dengan Al-Quran, menghidupkan ruh serta seruan Al-Quran di dalam kehidupannya dan menjadikan dirinya Al-Quran yang bergerak maka, sesungguhnya dia adalah sebenar-benar hamba Allah SWT yang mencintai-Nya sepenuh hati.

Inilah yang selalu disebutnya berulang-ulang kali sehingga kami sedar, terbangkit dan terus mengamalkannya secara konsisten, istiqamah dan penuh komited!

Pemergiaannya Bukanlah Suatu Perpisahan

Bermula tahun ini, murabbi kesayangan kami ini akan pergi menjalankan tugasnya di tempat yang lain pulang. Pulang ke kediamannya yang telah lama ditinggalkan setelah lama berkelana di bumi Serambi Makkah dengan tujuan untuk mendidik dan berbakti kepada generasi muda.

Pengorbanannya sungguh besar dan hebat – meninggalkan keluarga, berjauhan dengan isteri tercinta dan menghabiskan kewangan yang ada untuk melaksanakan tuntutan perjuangan ini. Semoga Allah SWT menerima setiap amalan, pengorbanan dan jihad beliau itu.

Pemergian beliau bukanlah satu perpisahan tetapi satu amanah dan tugas yang akan diteruskan pada bentuk suasana dan dimensi yang lain. Agenda, intipati dan fokusnya tetap sama iaitu dakwah dan tarbiyah. Di mana-mana – tugas asasi ini akan digencarkan.

Harapan kerdil saya, agar murabbi akan terus tegar dan kuat dalam melaksanakan amal-amal Islami ini dan sentiasa mendoakan kami di perbatasan ini. Benar-benar rasa kehilangan dan kekosongan tanpa ayahanda di sisi kami. Namun, kehidupan dan perjalanan ini akan diteruskan menuju Syurga Allah SWT. InsyaAllah.








Mudahan Allah SWT rahmati usia dan setiap usaha gigihnya.
Ameen.

Kata Akhir Buat Kami

Sebelum berpisah secara rasmi, kami menadah beberapa sentuhan pengisian beliau sebagai bekalan dalam perjalanan yang panjang ini.

“ Marilah kita memulakan perjalanan kita dengan membuka hati. Bukalah pintu hatimu wahai jiwa agar dimasuki oleh keimanan.”

Nasihat awal ini menyentuh hati saya.

Beliau memetik kata-kata Majdi Al-Hilali dengan menyatakan :

“ Dai’ ini mimpinya juga adalah mimpi dakwah.”

Alangkah beruntungnya kita dipilih oleh Allah SWT untuk berada dalam suasana ini. Justeru, jiddiyah, serius dan kerja keras harus menjadi pakaian dan imej kita. Ia adalah watak orang yang beriman.

Murabbi menggugah jiwa kami sekali lagi dengan ungkapan Abdul Fattah Ismail :

“ Dakwah tidak boleh didukung dan dipikul oleh orang-orang manja.”

Katanya : - Dakwah berkembang dan menyubur di tangan orang-orang yang memiliki keseriusan, kesungguhan dan semangat yang tinggi.

Akhirnya, beliau teringat akan kata-kata Allahyarham Cikgu Tajul :

“ Kita tidak boleh memanjang usia kita justeru, kita perlu berusaha memanjangkan usia dakwah ini.”

Syukran ya murabbi! Semoga Allah berikan kebaikan dan Syurga buatnya di atas segala usaha yang dilakukan sebagai bekalan dan modal untuk bertemu dengan Allah SWT.

---
BroHamzah
Masih teringang-ingang ungkapan murabbi : “ Wahai anak-anak muda, cepatlah dewasa dan membesar. Ingin kami serahkan amanah ini kepada generasi pewaris yang akan meneruskan kerja-kerja ini.”

Read more...

Kalau Dah Namanya Manusia

Monday, December 24, 2012


Mencari Diri Sendiri


Aku manusia biasa.

Tiada jawatan, pengaruh, kuasa dan apa-apa pandangan khusus kepadaku. Hidupku sederhana, biasa-biasa dan sebegini sahaja. Aku memerhati, melihat dan mengamati apa yang boleh aku perhatikan. Dunia ini bulat, pi mai pi mai tang tu juga.

Aku melihat manusia. Ramai, pelbagai, berjenis-jenis dan beraneka ragam. Manusia ini semakin diamati semakin pelik dan jelik mereka. Semakin didekati dan cuba memahami – semakin menjadi-jadi keajaiban demi keajaiban.

Satu perkara yang aku semakin geli dengan manusia ialah kegilaan mereka. Ramai yang gilakan pujian, sanjungan, pengiktirafan dan penghargaan. Diciptanya pelbagai jalan. lorong dan cara untuk menjulang semua ini dengan apa jua peluang dan kesempatan.

Biarpun, ianya atas nama – kerja amal, kerja kemanusiaan atau kerja amal Islami.

Aku terasa akan semua ini. Bahawa, ianya adalah ujian, dugaan dan cabaran dalam beramal. Mungkin benar, mungkin juga salah :

 Jika kita buat sesuatu kerja atau amal kerana hajatkan pujian, fokuskan kepada pengiktirafan dan penghargaan - pastinya kita akan sakit jiwa dan kecewa."

------

Berapa ramai "manusia" yang beramal dan bekerja tapi hatinya sakit, derita dan kecewa. Ramai, ramai dan sangat ramai!

Aku sentiasa diasuh dengan ikhlas, bagaimana untuk ikhlas dan berhadap dengan ikhlas. Semakin belajar, semakinku mengerti bahawa ianya bukannya suatu perkataan yang mudah disebut seperti menyatakannya.

Ikhlas, Ikhlas,Ikhlas.
Kemudian, ikhlas, ikhlas dan ikhlas.
Dan ikhlas, ikhlas dan juga ikhlas.

Belajar ikhlas daripada ikhlas itu sendiri.
Usah belajar ikhlas daripada manusia – pasti kita akan merana.

------
BroHamzah
Belajar Ikhlas

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP